Anda di halaman 1dari 7

Majlis Ugama Islam Singapura Khutbah Jumaat 30 November 2001 / 14 Ramadhan 1422

Meraih Manfaat Dari Bulan Ramadhan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t, dengan sebenar-benar erti taqwa, iaitu dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi apa jua larangan-Nya, kerana dengan ketaqwaan sahajalah kita dapat mencapai tahap kemuliaan serta ketinggian di sisi Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Hujurat ayat 13:

yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu, sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal" Sidang Jumaat Yang Dimuliakan, Seribu empat ratus empat puluh lima tahun dahulu, wahyu pertama diturunkan oleh Allah s.w.t kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Ketika tersebut Rasulullah s.a.w sedang beribadat seorang diri di gua Hira, di luar kota Mekkah. Ia berlaku pada malam ke tujuh belas bulan Ramadhan. Inilah yang kita kenang sebagai Malam Nuzul Al-Quran. Wahyu pertama yang diturunkan adalah perkataan 'Iqra' atau 'Bacalah!'. Ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu bagi orang Islam. Bacalah! Dengan pembacaan akan bertambah ilmu. Dengan bertambahnya ilmu, kehidupan seseorang akan bertambah baik, dunia dan akhirat. Orang yang berilmu akan tetap dihormati walaupun dia itu miskin. Orang berilmu mendapat tempat yang mulia disisi masyarakat. Saidina Ali karramallahu wajhah berkata bahawa perbezaan antara ilmu dan harta itu tiga. Pertama: Ilmu menjaga kita sedangkan kita terpaksa menjaga harta. Kedua: Ilmu bertambah apabila dikongsi sedangkan harta berkurangan apabila dikongsi. Ketiga: Ilmu tidak boleh dicuri sedangkan harta boleh dicuri. Itulah kelebihan-kelebihan ilmu. Akan tetapi sayang sekali, masih ada segolongan dari masyarakat kita yang tidak mementingkan ilmu. Mereka lebih suka membelanjakan harta mereka untuk hiasan dan hiburan daripada membelanjakannya untuk membeli buku pelajaran dan mengikuti kursus-kursus. Malah ada sebahagian dari mereka yang sanggup mengarahkan anak-anak mereka untuk berhenti sekolah atas sebab kekurangan wang. Atau menyuruh anak mereka agar tidak meneruskan pelajaran mereka dan sebaliknya keluar bekerja. Akan tetapi apabila dilihat rumah mereka, kita akan

dapati alat-alat hiburan dan perabut-perabut yang mahal-mahal. Dimanakah kepentingan mereka? Adakah dengan rumah yang cantik dan perabut yang mahal akan menjamin kebahagian kehidupan mereka dan anak-anak mereka? Sekiranya umat Islam masih lagi tidak sedar akan pentingnya menuntut ilmu sepanjang hayat, dari lahir hingga liang lahat, masyarakat Islam akan terus ketinggalan dibelakang masyarakat-msaysarakat lain. Mereka yang tidak menghargai ilmu sesungguhnya belum lagi menghayati Islam sepenuhnya, kerana Islam adalah ugama yang menitik-beratkan ilmu. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Ilmu dunia akan dapat menjamin kebahagian kehidupan di dunia. Ilmu akhirat pula dapat menjamin kehidupan di akhirat. Dan sebaik-baik ilmu adalah ilmu Al-Quran. Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: Sebaik-baik kamu adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarnya. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, bulan yang juga dikenali sebagai bulan Al-Quran, marilah kita sama-sama memperbanyakkan membaca Al-Quran. Kalau sepanjang tahun jarang-jarang kita membuka lembaran Al-Quran untuk membacanya, maka marilah kita gunakan kesempatan bulan ibadat ini untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Kalau dibulan-bulan yang lain kita tidak sempat mengkhatamkan AlQuran, marilah kita gunakan kesempatan bulan ini untuk mengkhatamkan Al-Quran. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

Ertinya: Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba, maka berkatalah puasa: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menghalangnya dari makan dan minum pada siang hari maka izinkan aku untuk memberi syafaat kepadanya. Dan berkata Al-Quran: Wahai Tuhanku! Aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam maka izinkan aku untuk memberi syafaat kepadanya. Maka kedua-duanya puasa dan Al-Quran diizinkan untuk memberi syafaat. Begitulah saudara-saudara sekelian, sekiranya kita menjalankan ibadah puasa dan bacaan Al-Quran kita dengan ikhlas dan sungguh-sungguh, mereka akan memberi syafaat kepada kita pada hari Kiamat kelak. Dan dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: Tidak berkumpul sekumpulan manusia didalam rumah Allah, mereka membaca Al-Quran dan mempelajarinya kecuali akan diturunkan sakinah (ketenteraman), dan diselubungi dengan rahmah, dan para malaikat akan mengelilingi mereka. Dan Allah akan menyebut mereka kepada para malaikat di langit.

Rebutlah peluang ini. Sekiranya kita tidak mampu membaca seorang diri, maka bacalah beramai-ramai di masjid-masjid. Mudah-mudahan nama kita disebut oleh Allah s.w.t di kalangan para malaikat. Sidang Jumaat Yang Berbahagia, Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk membuang tabiat-tabiat yang merugikan dan sia-sia. Antara tabiat-tabiat tersebut adalah merokok. Merokok adalah satu perbuatan yang bukan sahaja mendatangkan mudharat kepada perokok itu sendiri, bahkan ia membahayakan kesihatan orang yang berada disekelilingnya. Syariat Islam bukan sahaja melarang seseorang dari menimbulkan kesulitan dan kemudaratan pada dirinya sendiri bahkan ia juga melarang seseorang daripada memudaratkan orang lain. Hal demikian terdapat pada kebiasaan merokok. Merokok bukan sahaja menjejas kesihatan diri perokok, malah boleh membahayakan kesihatan orang lain yang berada disekelilingnya. Menurut pakar perubatan, orang yang terhidu asap rokok juga boleh terdedah kepada penyakit yang disebutkan tadi. Tambahan lagi jika perokok sudah terkena penyakit disebabkan tabiat merokok itu dan ia pula sebagai ketua keluarga misalnya, sudah tentu kehidupan seluruh anggota keluarga akan terjejas. Maka bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita mengambil peluang untuk kita mengubah sikap kita dengan meninggalkan tabiat buruk kita kepada sesuatu yang diredai dan disukai Allah s.w.t. Sekiranya sebahagian kita yang merokok boleh berhenti dari merokok sehari suntuk ketika berpuasa, kenapa tidak diteruskan untuk berhenti buat selamalamanya? Mudah-mudahan Allah menerima usaha baik kita dan memberi kita ganjaran yang tidak terhingga.

Allah s.w.t telah berfirman di surah An Nur ayat 21 yang bermaksud:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, barangsiapa yang mengikuti jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh kepada perbuatan yang keji dan mungkar, kalaulah tidak kerana kurnia dan rahmat Allah nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) buat selama-lama, tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.