Anda di halaman 1dari 4

Kegemukan, mendengar perkataan itu sahaja sudah mampu untuk menggerunkan kita semua.

Namun, dalam sedar tidak sedar, perut terus diisi tanpa belas, mulut tidak henti-henti mengunyah apa-apa sahaja makanan yang mampu dicapai dek tangan. Pergerakan menjadi semakin malas, yang kita tahu, kita hanya mampu memerap di rumah sahaja. Maka, hal itu membawa kita kepada bahana obesiti.

Kata kunci pertama yang menyebabkan obesity mula mendekati, ialah pemakanan. Sudah terang lagi bersuluh, tabiat pemakanan yang tidak seimbang boleh mengakibatkan yang kurus menjadi gemuk, yang kecil nampak besar. Menurut Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) seperti yang dilaporkan oleh akhmar nasional Berita Harian 11 Mac 2011 yang lalu, sebanyak 30 peratus rakyat Malaysia, yang bersamaan dengan 8.1 juta orang, bakal berdepan dengan masalah kegemukan yang teruk pada tahun ini. Ketua pegawai eksekutif lembaga tersebut juga turut menyatakan bahawa peningkatan sebanyak 250 peratus orang obes dalam jangka masa 10 tahun sahaja, dari tahun 1996 ke tahun 2006, sememangnya menakutkan. Kegemaran rakyat Malaysia untuk memilih makanan segera berbanding dengan masakan rumah, menyumbang kepada timbulnya masalah pemakanan dalam kalangan warga Malaysia, justeru membawa efek yang bukan kecil, tetapi obesiti. Pengusaha restoran makanan segera mungkin memudahkan warga kita untuk mendapatkan makanan pada waktu yang singkat sahaja, tetapi sebenarnya, mereka secara tidak langsung telah memperkenalkan budaya mengamalkan memakan makanan berkalori tinggi yang tidak sihat. (W. Sam, 2010).

Bukan itu sahaja, pengaruh iklan-iklan komersial berkenaan makanan segera pada waktu perdana di kaca-kaca televisyen secara tidak langsung menarik perhatian anak-anak kita.

Francais makanan segera tidak segan-silu menyogok penonton-penonton kecil dengan tawaran mainan percuma dengan setiap belian set makanan segera, kerana mereka sedar yang golongan kanak-kanaklah yang mudah diracuni. Maka, menurut Mohana Priya, daripada Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia, menyatakan tidak mustahillah apabila wujudnya peningkatan masalah obesity dalam kalangan kanak-kanak berumur 7-10 tahun adalah sebanyak 6.6% bagi umur tujuh tahun ke 13.8 % bagi umur 10 tahun. Sebanyak 12.8% peratus daripada kanak-kanak ini adalah lelaki. Masalah obesiti ini juga semakin ketara di kalangan remaja berumur 13-17 tahun. Jelaslah di situ bahawa obesity bukan satu masalah yang boleh dipandang enteng sahaja.

Berikutan daripada amalan pemakanan yang tidak sihat, membawa kita kepada gaya hidup rakyat Malaysia yang kurang aktif. Manakan tidak, apabila makanan yang diambil melebihi keperluan tenaga yang benar-benar diperlukan oleh badan, maka tubuh menjadi malas dan sukar bergerak. Gaya hidup moden ini dibuktikan dengan tumbuhnya kedai-kedai makan yang menawarkan perkhidmatan 24 jam supaya pelanggan dapat menjamu selera pada tengahtengah malam sehingga ke awal pagi. Sebaik pulang ke rumah, kebanyakannya akan terus lena yang menyebabkan perut tidak dapat memproses hasil makanan yang diambil dengan efektif, kerana sistem penghadaman sedang mengalami proses perehatan.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak hinggalah remaja pada zaman teknologi serba canggih ini, bukan lagi seperti kanak-kanak dan remaja zaman dulu-dulu. Anak-anak sekarang lebih memilih untuk bermain permainan elektronik di rumah sahaja, yang langsung tidak memerlukan sebarang pergerakan kecuali pada jari-jari sahaja. Akibatnya, makanan yang diambil sebelumnya tidak

dihadam sepenuhnya, membawa kepada pengumpulan lemak di bahagian-bahagian organ penting seperti jantung. Kanak-kanak obes ini bakal terdedah dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti diabetes. Menurut Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Putrajaya, Dr Fuziah Md Zain, masalah diabetes di kalangan kanak-kanak tidak datang sendiri malah sering dikaitkan dengan masalah kegemukan atau obesiti semakin meningkat. Pada 2006 saja, 5.4 peratus pelajar sekolah mengalami masalah obesiti dengan nisbah seorang bagi setiap pelajar di Kuala Lumpur saja. (Berita Harian, 2010). Hal ini dapat disimpulkan bahawa, apabila tiadanya kawalan terhadap makanan yang dimakan anak-anak, membawa kepada kegemukan, dan seterusnya mengundang penyakit kronik seperti kencing manis pada usia anak-anak kita yang masih muda.

Selain itu, faktor obesiti yang seterusnya adalah datangnya daripada keturunan seseorang itu sendiri, iaitu faktor genetik. Dua sindrom paling utama yang dapat dikaitkan dengan obesity ialah sindrom Bardet-Biedl dan sindrom Prader-Willi. Sindrom Bardet-Biedl merupakan sejenis penyakit keturunan, yang disebabkan oleh wujudnya mutasi dalam sekurangnya 14 gen yang berlainan sehingga member kesan terhadap sel yang terlibat dengan pergerakan dan sebagainya. Obesiti merupakan salah satu akibat daripada sindrom ini, yang menyebabkan terdapatnya pertambahan berat badan pada awal zaman kanak-kanak dan akan terus berlarutan sepnajang kehidupan individu tersebut. (diterjemahkan daripada Genetics Home Reference, 2010). Manakala sindrom Prader-Willi pula merupakan sindrom yang bakal mengakibatkan individu yang menghidapi sindrom itu, mengalami rasa lapar yang berterusan. Hal ini disebabkan oleh terdapat kegagalan di salah satu bahagian otak untuk mengawal rasa lapar daripada berhenti. Individu akan sentiasa makan berlebihan dan berikutnya, membawa kepada masalah kegemukan. (Diterjemahkan daripada National Institute of Child Health and Human Development, 2010).

Tiga kata kunci utama punca-punca kegemukan atau obesity harus diambil serius. Dengan pertambahan rakyat Malaysia pada setiap tahun yang mengalami masalah ini, tanyakan pada diri sendiri, apakah tindakan yang harus dilakukan bagi mengatasi obesity ini?

Rujukan http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/praderwillisyndrome.html http://ghr.nlm.nih.gov/condition/bardet-biedl-syndrome http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/keselamatan-produk/168-makanansegera-yang-berleluasa http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kanak-kanakgemukmudahkenadiabetes/Article/ http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gayahiduptakaktifpuncaobes/Article/ http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/kesihatan/207-obesiti-di-malaysiaapakah-yang-perlu-dilakukan http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ter kini&pg=bt_24.htm