Anda di halaman 1dari 10

PENGENALAN

1.1

Pendahuluan

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Seksyen 130 (2) (i) memperuntukkan semua sekolah hendaklah menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sehubungan itu Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) telah diwujudkan di tiap-tiap sekolah di Malaysia. Pertubuhan PIBG di peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syorsyor berlandaskan Laporan Azizi yang diumumkan pada tahun 1971. PIBG ini dianggotai oleh guru-guru, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak di sekolah berkenaan. Pada kebiasaannya sekolah mengutip yuran daripada pihak penjaga sebagai sumber menggerakkan persatuan.

Mesyuarat Agung PIBG diadakan sekali setahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasanya. Pengerusi PIBG selalunya dilantik di kalangan ibu bapa sementara pengetua atau guru besar bertindak sebagai penasihat dan seorang guru bertindak sebagai setiausaha. Fungsi PIBG utama yang ditubuhkan di sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajarpelajar dan guru-guru, di samping memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah. Fungsi PIBG ini dapat diperlihatkan daripada kegiatan-kegiatan sosial, akademik dan kebajikan yang diusahakan mengikut garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Perlembagaan PIBG dijadikan sebagai panduan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh PIBG sekolah. Guru-guru dapat mengenalpasti peranan ibubapa dan peranan ibubapa sebagai ahli PIBG melalui perlembagaan. Perlembagaan PIBG telah menggariskan batasan penglibatan PIBG di sekolah. Isunya ialah sejauh manakah PIBG telah mematuhi peranan dan fungsi yang telah digariskan dan adakah perlembagaan tersebut memberi kesan terhadap PIBG untuk meningkatkan kebajikan pelajar?

Untuk mendapatkan gambaran yang jelas berkaitan dengan penglibatan dan permasalahan PIBG di sekolah, satu kajian telah dilakukan di SMV Sungai Buloh bersama Setiausaha PIBG iaitu Puan Zarina Ibrahim dimana persoalan lebih ditekankan dari sudut kebajikan pelajarpelajar sekolah tersebut iaitu : a) bentuk-bentuk penglibatan PIBG di sekolah terhadap kebajikan pelajar, b) penglibatan PIBG dalam membantu meningkatkan kebajikan pelajar, c) Isu-isu yang timbul akibat penglibatan PIBG di sekolah. d) Keberkesanan peranan dan fungsi PIBG untuk meningkatkan kebajikan.

2.0

Bentuk-Bentuk Penglibatan PIBG

Sambutan terhadap kegiatan PIBG adalah berbeza-beza antara sekolah. Terdapat PIBG yang aktif dan ada yang kurang aktif. Berdasarkan sekolah yang dikaji, Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang ditubuh mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa. Ini kerana pemimpin sekolah amat bertanggungjawab untuk mengaktifkan PIBG di mana pengetua sekolah sentiasa akan melibatkan PIBG dalam usaha-usaha mencapai hasrat sekolah. Di samping faktor kepimpinan pengetua, ahli-ahli PIBG SMVSSB mempunyai pasukan ahli jawatankuasa yang bersedia dan berminat untuk menjayakan program-program sekolah.

Berdasarkan sekolah yang dikaji, pengetua dan guru-guru SMVSSB telah menyatakan kebanyakkan bentuk penglibatan PIBG SMVSSB adalah dalam aktiviti yang berbentuk kegiatan gotong-royong, Hari Anugerah Cemerlang, Hari Terbuka, Hari Sukan, motivasi dan kaunseling, aktiviti yang berbentuk keceriaan serta aktiviti yang berbentuk program motivasi, kokurikulum dan kerohanian yang dianjurkan oleh pihak PIBG atau sekolah.

Dengan ini, penglibatan PIBG adalah penting dalam membantu meningkatkan kebajikan pelajar seperti menyelesaikan masalah salah laku pelajar, membantu dalam kerja-kerja amal dan dapat membantu mencari sumber kewangan bagi pihak sekolah dan pelajar. Untuk menjayakannya, kepimpinan PIBG perlu berinovasi agar dapat merancang pelbagai strategi untuk menjalankan fungsi dan peranan masing-masing selaras dengan kedudukan mereka dalam persatuan supaya matlamat PIBG akan tercapai. PIBG juga semestinya memegang amanah sebagai persatuan yang berjuang dan memperjuangkan kebajikan ahlinya sekaligus mendasarkannya kepada kepentingan pelajar dan murid.

Apa yang boleh dikatakan disini adalah PIBG merupakan penggerak utama dalam menyokong dan membantu membina kebajikan pelajar dan kemajuan di sesebuah sekolah agar matlamat Falsafah Pendidikan Negara dapat direalisasikan. Usaha ini memerlukan komitmen semua pihak bermula dari guru besar atau pengetua, ibu bapa, guru-guru, masyarakat sekitar dan pelajar. Kita telah sedar bahawa PIBG adalah salah satu pertubuhan di dalam sekolah yang boleh memainkan peranan besar terhadap meningkatkan kebajikan dan pencapaian persekolahan pelajar-pelajar. Ahli-ahli PIBG yang aktif boleh menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan mereka dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah yang berkenaan.

3.0

Penglibatan PIBG di Sekolah Terhadap Kebajikan Pelajar

3.1

Akademik

Ibu bapa sangat mementingkan pelajaran anak-anak mereka. Oleh itu, kerjasama daripada ibu bapa dalam PIBG adalah penting untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar-pelajar. Dengan saluran PIBG, ibu bapa yang berkeinginan tinggi untuk mengetahui perkara yang berlaku di sekolah dapat berhubung pihak sekolah secara langsung dengan

mana-mana guru yang terbabit. Jadi pihak sekolah haruslah mengambil perhatian ke atas perkara tersebut supaya lebih banyak ibu bapa dapat memainkan peranan mereka sebagai ibubapa bertanggungjawab dan secara tidak langsungnya dapat meningkatkan pencapaian pelajar serta perkembangan sekolah.

Dengan saluran ini, ibu bapa akan lebih berperanan sebagai guru kepada anak-anak mereka dalam pendidikan informal dalam institusi keluarga, yang mana anak-anak mendapat pendidikan dari ibu bapa mereka secara praktik dan teori sebagai ikutan serta sebagai contoh teladan kepada mereka. Oleh itu, sebagai ibu bapa haruslah mengamalkan sikap, tingkah laku serta nilai yang baik supaya anak-anak mereka dapat diikuti dan dipelajari daripada mereka.

3.2

Sumbangan

PIBG merupakan sebuah organisasi yang berwibawa dan boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Dana atau sumber adalah penting untuk sekolah dan sesuatu persatuan. Ini kerana dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk mengerakkan sekolah atau persatuan ke arah yang lebih maju dan gemilang.

Selain itu, yuran yang dibayar oleh ibubapa adalah untuk kebajikan pelajar bukan saja untuk kegunaan sekolah atau persatuan. Di mana pungutan derma atau yuran daripada ibubapa, orang kenamaan, syarikat atau firma akan dijadikan sumber kewangan persatuan dan sebagai pembiayaan projek untuk sekolah. Secara langsungnya pelajar akan dapat menikmati faedah daripada itu. Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan

ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.

3.3

Membantu pelajar miskin.

Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) akan mewujudkan bank data untuk menyenaraikan palajar daripada keluarga miskin, sekaligus memudahkan proses menyalurkan bantuan kepada mereka. Bank data itu bertujuan

memudahkan proses khidmat kebajikan dan bantuan dihulurkan kepada belajar terbabit. Pelajar yang tersenarai akan diberi bantuan sama ada dalam bentuk kewangan dan perkhidmatan lain menerusi dana sumbangan ahli korporat dan agensi kerajaan yang disalurkan kepada persatuan berkenaan. Perlaksanaan program ini memerlukan perbelanjaan yang besar, oleh itu diharapkan lebih ramai ahli korporat tampil untuk membantu menjayakan kegiatan sukarela berbentuk kebajikan ini.

Setiap PIBG peringkat sekolah disarankan menyediakan bank data sendiri dengan menyenaraikan semua pelajar miskin yang berhak dibantu. PIBG patut menjadikan usaha membantu pelajar miskin ini sebagai satu daripada agenda utama supaya golongan ini dapat belajar dengan selesa sepertimana pelajar lain. PIBG juga patut membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan memastikan mereka tersenarai menerima buku menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

3.4

Menganjurkan Seminar dan Motivasi

PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf dan

kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, ianya bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi.

PIBG juga perlu beriktiar menganjurkan pelbagai majlis ilmu dan seminar motivasi kecemerlangan yang membabitkan pelajar daripada keluarga berkenaan. Penyertaan dalam program ini akan memberi rangsangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan persekolahan hingga berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan merangkul segulung ijazah.

3.5

Kawalan Disiplin

Ibu bapa sebagai ahli PIBG adalah penting iaitu dapat memberi kesan positif kepada pembangunan pelajar-pelajar dan sekolah dalam membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah seperti masalah disiplin dan kelakuan pelajar. Antara kegiatan berunsur ganas yang kerap berlaku di sekolah ialah mencuri, bergaduh, peras ugut, malah percubaan merogol. Kenakalan melampau ini sudah menjadi satu trend di kebanyakkan sekolah malahan hal ini telah sering kali dibangkitkan oleh guru-guru, juga selalu menjadi agenda utama dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Antara perkara lain yang dilakukan oleh PIBG dalam membantu memantapkan disiplin pelajar ialah menjadikan isu-isu pelajar sebagai salah satu agenda perbincangan dalam mesyuarat ialah menyediakan sejumlah peruntukkan wang sebagai membantu sekolah dalam melaksanakan program pemantapan disiplin pelajar seperti Kursus Kepimpinan Pelajar, Kem Kokurikulum dan Hari Anugerah Cemerlang. PIBG juga boleh mengenalpasti ahli yang berkebolahan dalam bidang-bidang tertentu untuk membantu sekolah contohnya ceramah motivasi yang dianjurkan dan penceramahnya merupakan waris kepada pelajar sekolah ini.

3.6

Peranan Sebagai Penjaga.

Ibu bapa seharusnya menjadi penjaga yang bertanggungjawab. Ibu bapa perlu mengambil berat setiap tindak tanduk anak-anak untuk menjamin masa depan mereka. Jika perkara ini tidak diberi perhatian yang serius sejak dari awal, cita-cita ibu bapa untuk menjadikan anaknya cemerlang mungkin hanya tinggal angan-angan sahaja. Bak kata pepatah, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila ibu bapa dapat memainkan peranannya secara positif di rumah maka tugas guru disekolah dapat diringankan dan tidak ada berlaku kecelaruan fikiran di kalangan anak-anak.

Di sekolah pula, guru yang mengisi sebahagian daripada keahlian PIBG seharusnya berperanan sebagai ibu bapa yang mengambil berat setiap keperluan dan kebajikan pelajar. Secara tidak langsung juga ia memperlihatkan usaha merealisasikan konsep sekolah penyayang yang dapat dihayati oleh pelajar. Apa yang diharapkan pelajar sendiri bersyukur dan menghargai nilai peribadi dan personaliti gurunya yang memberi kasih sayang yang amat luas dan sesuai dalam setiap detik pengajaran dan pembelajarannya. Akhirnya, guru dapat menyediakan dunia pengajaran dengan keseronokkan mengajar manakala pelajar menikmati pembelajaran dengan keseronokkan belajar.

4.0

Keberkesanan Peranan dan Fungsi PIBG

Berdasarkan sekolah yang dikaji, PIBG SMV Sungai Buloh mematuhi Perlembagaan PIBG iaitu Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) 1998. Pada keseluruhannya pengetua dan guru mengakui PIBG di sekolah mereka telah mematuhi peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan. Walau

bagaimanapun, bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa secara aktif dalam aktiviti PIBG mereka sangat bersetuju supaya peraturan yang sedia ada disemak semula supaya ibu bapa dan ahli PIBG boleh berperanan secara maksimum dan bergerak dengan lebih aktif serta berkesan.

Akta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak pernah menyekat PIBG untuk campur tangan dalam hal ehwal sekolah kecuali pentadbiran. Oleh itu, semua perkara kecuali berkaitan pentadbiran boleh disentuh oleh PIBG sejajar dengan matlamat penubuhannya iaitu membantu pihak sekolah dalam hal-hal kebajikan, disiplin dan aktiviti pelajar. Peranan PIBG ialah sebagai pelengkap kepada kegiatan sekolah dan bukannya mengambil alih peranan guru besar, pengetua atau guru. Maka jelaslah bahawa Akta PIBG tidak pernah melarang ahlinya atau ibu bapa memberi pandangan dan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dan sekolah.

Cuma dalam hal ini, PIBG dan pihak sekolah perlu bermuafakat dalam menentukan segala pelaksanaan tindakan yang telah dipersetujui antara kedua belah pihak. Mesyuarat PIBG yang diadakan di sekolah boleh dijadikan batu loncatan kepada ibu bapa untuk terlibat dalam kegiatan sekolah. Apabila sudah ada agenda maka akan ada pelan tindakan seterusnya laporan berhubung kegiatan yang telah dijalankan. Sebab itulah kehadiran ibu bapa dalam setiap mesyuarat PIBG dengan pihak sekolah penting supaya apa yang diputuskan memuaskan hati semua pihak sekali gus memudahkan perlaksanaan kegiatan pelajar.

Maka, apa yang perlu ialah budi bicara pihak sekolah dalam memberi laluan kepada PIBG untuk melaksanakan program pelajar termasuk dalam hal disiplin kerjasama. Permuafakatan perlu dijalin kukuh di antara kedua-dua pihak bagi memastikan pelajar mendapat manfaat. Berdasarkan maklumat kajian, bagi sekolah berasrama penuh, masalah besar yang dihadapi dalam konteks PIBG biasanya tidaklah begitu serius. Ini disebabkan ibu bapa tinggal jauh

dari sekolah malahan di luar dari negeri tempat sekolah itu terletak. Walaubagaimanapun, tiap-tiap ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru ataupun tiap-tiap penjaga murid-murid di sekolah menengah seperti ini mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dengan ibu bapa dan penjaga pelajar yang berada di sekolah harian.

Matlamat asal penubuhan PIBG adalah untuk kebajikan dan kemajuan pelajar-pelajar, agar mereka di sekolah berkenaan memperolehi faedah yang maksimum daripada kemudahankemudahan pendidikan yang telah disediakan. Setiap ahli adalah diharapkan menghormati perjalanan PIBG dengan memberikan kerjasama yang teguh dengan menghadiri setiap aktiviti yang dianjurkan oleh PIBG. PIBG sekolah perlu berperanan dalam aktiviti yang dianjurkan oleh PIBG untuk berkongsi pendapat dengan guru serta maklumat yang mengenai cara terbaik bagi meningkatkan kebajikan pelajar.

Selain daripada itu, keberkesanan fungsi dan peranan PIBG terserlah apabila ibubapa sendiri yang memainkan peranan dalam PIBG sekolah untuk memastikan anak-anak mereka dapat menikmati perkhidmatan yang disediakan oleh sekolah. Misalnya, mengambil tahu akan keselamatan di bengkel dan makmal sekolah serta kelas tambahan yang diadakan oleh sekolah juga turut mendorong ibu bapa supaya lebih berperanan dalam aktiviti PIBG di sekolah. Dengan saluran PIBG inilah, ibu bapa dan guru dapat mengenalpasti kebaikan dan kekurangan sesebuah sekolah seterusnya mencari jalan penyelesaian terhadap masalahmasalah yang telah dikenalpasti.

5.0

Penutup

Kesimpulannya, perlembagaan PIBG yang telah termaktub merupakan tunjang kemantapan sesebuah sekolah. PIBG yang mantap organisasinya mempunyai pelan tindakan dan perancangan jangka panjang yang memungkinkannya berfungsi secara aktif dan betul serta tepat kepada sasarannya. PIBG memerlukan kehadiran pemimpin dan keahlian yang berwibawa serentak. Dengan adanya kekuatan tersebut, pelbagai perancangan dan tindakan yang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan yang diinginkan. PIBG seperti inilah yang boleh menjadi tunjang menjamin kebajikan pelajar. Maka, Kementerian Pendidikan Malaysia juga perlulah menyusun langkah-langkah untuk terus memantapkan peranan PIBG dengan memastikan PIBG terus sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan PIBG 1998. Asasasas yang kukuh dan jitu adalah perlu untuk kesinambungan pendidikan di semua peringkat sekolah.

10

Anda mungkin juga menyukai