Anda di halaman 1dari 2

KAIFIYAT SOLAT ORANG YANG UZUR

Uzur menurut ulama fiqh bukan semata-mata tertentu kepada yang tidak boleh berdiri langsung yang disebabkan oleh patah kaki atau sakit teruk atau terlampau tua, tetapi keuzuran itu termasuk juga kepada mereka yang takut binasa diri, atau bertambah sakit, atau berlaku kesusahan yang bersangatan untuk berdiri, atau takut tenggelam dan pening kepala pada mereka yang menaiki perahu. Berkata Imam Al-Haramin, Pengertian uzur berdiri itu ialah keuzuran yang membawa kepada hilang khusyuk, dan Imam Asy-Syafie pula berkata, Keuzuran itu ialah kepayahan untuk berdiri yang tidak termampu ditanggung masysyaqqahnya.

Maka bagi mereka yang uzur, tidak boleh berdiri kerana tua, atau sakit dia boleh bersolat mengikut tahap kemampuan masing-masing. Bagi mereka yang tidak boleh berdiri betul dengan sebab tua atau lainnya malah cara berdirinya itu seperti orang rukuk, maka dia wajib merendahkan lagi tubuhnya untuk membezakan di antara berdiri betul dengan rukuk.

Bagi mereka yang langsung tidak boleh berdiri betul, maka dia wajib bersolat duduk menurut yang terdaya olehnya dan cara yang afdal ialah duduk iftirasy atau cara duduk antara 2 sujud. Duduk bersimpuh dengan meletakkan punggung di atas buku lali kiri dengan mengenakan belakang kaki kiri itu ke tempat duduk, serta mendirikan tapak kaki kanan. Kedua belah tangan diletakkan di antara dada dan pusat seperti solat orang yang sihat. Rukuk sekurang-kurangnya menundukkan kepala hingga berbetulan dahi dengan hadapan dua lututnya dan yang sempurnanya menundukkan kepala hingga dahinya berbetulan dengan tempat sujud. Iktidalnya pula dengan cara mengangkat kepala kembali dan melepaskan kedua belah tangan.

Orang yang tidak boleh duduk, maka dia wajib bersolat berbaring mengiring di atas rusuk kanan dengan menghadapkan muka dan dadanya ke arah kiblat. Rukuk dan sujudnya diisyaratkan dengan kepala dan isyarat untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada isyarat rukuk. Jika tidak upaya mengisyaratkan dengan kepala, bolehlah diisyaratkan dengan kelopak mata. Jika itu juga tidak upaya maka bolehlah dikerjakan di dalam hati sahaja.

Orang yang tidak boleh berbaring mengiring, maka dia wajib bersolat berbaring secara telentang dengan cara melunjurkan kedua kaki ke arah kiblat dan kepada ditinggikan sedikit dengan dialaskan sesuatu seperti bantal supaya dia menghadap kiblat. Cara rukuk dan sujud sama sahaja dengan solat secara mengiring tadi. 1

Orang yang belayar dalam kenderaan maka dia wajib menunaikan solat dengan berdiri betul kecuali dia tidak berkuasa berdiri kerana sakit atau uzur seperti pening, takut bertambah sakit, bimbang terjatuh atau rebah dari kenderaan kerana goncangan kenderaan yang kuat sedangkan tidak ada tempat solat yang dikhaskan atau disediakan. Maka hukumnya sama seperti orang yang sakit di mana dia wajib juga menunaikan solat mengikut kadar yang terdaya olehnya.

Anda mungkin juga menyukai