Anda di halaman 1dari 1

PELANCARAN PROGRAM PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL.

LPPKN, 20 April 2010 - Yang Berhormat Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini telah melancarkan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) LPPKN yang berlangsung di Dewan Besar, Tingkat 22, Bangunan LPPKN, Kuala Lumpur. Akhir-akhir ini, negara telah dilanda pelbagai masalah gejala sosial yang berlaku khususnya dalam kalangan remaja seperti seks bebas, hamil di luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Pembangunan ekonomi dan perubahan sosial mencabar golong remaja/muda dari segi fizikal, mental, emosi, psikologi serta sosiobudaya. Menyedari perlunya pendekatan yang holistik bagi pembangunan modal insan terutama golongan muda, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2009. Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial ini merupakan asas kukuh kepada perkembangan serta pembangunan insan yang sihat, berakhlak dan saling hormat-menghormati yang mengambil kira kepelbagaian agama, budaya serta nilai hidup masyarakat Malaysia. Dasar ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial. Bagi mencapai objektif Dasar tersebut, empat (4) strategi telah ditetapkan iaitu, Advokasi, Pembangunan Modal Insan, Penyelidikan dan Pembangunan serta Pemantauan dan Penilaian. Sehubungan itu bagi melaksanakan dasar dan pelan tindakan ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) LPPKN. Antara aktiviti dalam PKRS LPPKN adalah Pelancaran Portal kafe@TEEN yang memberi akses kepada golongan muda untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan berkaitan kesihatan reproduktif, perhubungan dan "coping skills" yang diperlukan. Portal kafe@TEEN (http://kafe4teen.lppkn.gov.my) mempunyai ciri-ciri menarik kerana bersifat interaktif dan remaja berpeluang untuk chat sesama pakar-pakar, rakan sebaya dan Teen Educators mengenai isu-isu seksualiti mereka, tanggungjawab seksual dan kemahiran menghindari kelakuan berisiko. Adalah diharapkan agar semua remaja Generasi Y dan M akan menggunakan kemudahan ini sebaiknya. Seramai 200 orang telah menghadiri majlis tersebut, terdiri dari Agensi Kerajaan, Kaunselor, Guru-Guru Sekolah, IPTA/ IPTS, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajarpelajar sekolah serta agensi-agensi antarabangsa seperti UNFPA, ICOMP dan UNICEF.
http://www.lppkn.gov.my/lppkn/index.php?option=com_content&view=article&id=125%3Apelancaranprogram-pendidikan-kesihatan-reproduktif-dan-sosial&catid=34%3Aberita-danperistiwa&Itemid=59&lang=ms

Anda mungkin juga menyukai