Anda di halaman 1dari 25

www.karyanet.com.

my BAHASA

BAB

Bahasa
I
Apa itu bahasa
Bahasa adalah satu fenomena penting dalam hidup kita.
Kebanyakan kita hanya menganggap kebolehan bertutur itu
sebagai salah satu kebolehan asasi manusia tanpa
mempersoalkan sama ada ia merupakan kebolehan semula jadi
manusia ataupun yang dipelajari. Sebenarnya kebolehan
bertutur itu adalah satu keanehan. Berbeza dengan kebolehan
berjalan, manusia bertutur dipengaruhi oleh masyarakat yang
berada disekelilingnya. Sekiranya masyarakat itu dihapuskan,
kanak-kanak itu akan terus berjalan tetapi tidak bertutur.
Sekiranya ia diletakkan dalam satu masyarakat lain, ia akan
terus berjalan dan seterusnya menuturkan bahasa
masyarakatnya yang baru itu. Ini menunjukkan bahawa berjalan

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 1


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

adalah fungsi biologi tubuh badan secara naluri, tetapi pertuturan


adalah fungsi kebudayaan yang harus dipelajari.
Jika diteliti akan cara orang bertutur tentang bahasa, kita
sering mendapati bahawa bahasa itu sering dianggap sebagai
suatu alat yang boleh dipunyai, diperoleh malah dihalangi. Ahli-
ahli linguistik pula sering memperkatakan mengenai bahasa
sebagai sesuatu yang berlaku seolah-olah ia suatu objek seperti
jam loceng yang mempunyai struktur dalaman yang boleh
dikaji. Anggapan sebegini tidaklah tepat kerana bahasa itu
seringkali dirujuk sebagai organisma yang hidup.
Mengikut Pit Corder dalam bukunya Introducing Applied
Linguistic:

“We speak about the birth of the language,


of its growth, development and decline. Lan-
guage have periods of blossoming and flower-
ing; they are related to each other in families,
or descended from each other. They are living
or dead. They also have physical and moral
qualities; they are beautiful, ugly, vulgar,
based or decadent”.

Petikan di atas bermaksud, ‘Bahasa itu dikatakan lahir,


tumbuh, berkembang dan merosot. Ada masanya bahasa itu
menguntum, dan berbunga, berkeluarga dan berketurunan serta
mempunyai kualiti moral dan fizikal seperti ia cantik, buruk,
kasar, rendah atau lapuk’.
Di samping itu, bahasa juga dianggap unik kerana boleh
digunakan untuk menulis, membaca dan berkomunikasi. Ini
memberi pengertian bahawa bahasa dianggap sebagai satu
kelakuan mahir (skilled behaviour) yang terpaksa dipelajari.

2 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

Manusia tidak lahir dengan kebolehan bertutur dan


memahami bahasa. Sebaliknya manusia harus mempelajari
untuk menguasainya. Adalah jelas bahawa kelakuan bahasa
adalah suatu kemahiran yang kompleks yang sukar dikuasai oleh
seorang bayi dalam satu tempoh masa yang singkat. Mengikut
ahli bahasa dan ahli psikologi, manusia dilahirkan dengan satu
kebolehan belajar khusus yang ditentukan secara genetic. Ada
juga yang berpendapat bahawa kebolehan menguasai bahasa
itu hanyalah satu fungsi dari kapasiti-kapasiti kognitif am
manusia yang memungkinkan mereka belajar.
Bahasa yang digunakan dalam pertuturan merupakan satu
alat perhubungan penting dalam kehidupan manusia seharian.
Walaupun ia merupakan satu alat yang begitu kompleks, bahasa
dapat digunakan dengan kod-kod tertentu sahaja. Ia tidak pula
menjadi satu-satunya sahaja cara manusia berhubung. Manusia
boleh berhubung melalui gerak-geri simbol atau kod telegraf,
muzik dan lain-lain, tetapi yang paling sempurna sekali ialah
melalui perantaraan bahasa. Bahasa menggunakan bunyi suara.
Daripada bunyi suara itulah pula diterbitkan lambang-lambang
visual berlainan yang boleh digambarkan di atas kertas dan lain-
lain seperti tulisan dan isyarat.
Untuk memahami apa itu bahasa, kita perlu juga
meninjaunya dari segi fungsinya sebagai fenomena sosial.
Menguasai apa yang diakui sebagai alat yang kompleks tidak
berguna sekiranya penilaian dan penggunaannya tersendiri tidak
diambil peduli oleh masyarakat sekelilingnya. S. Pit Corder
menjelaskan ‘People sometimes even actually call language a
tool’. Maksudnya ia digunakan untuk menghubungkan seseorang
individu dengan individu yang lain dalam sesebuah masyarakat.
Seseorang penutur akan bersikap bersahaja atas sebab audiennya
tidak mendapat tindak balas. Ini terjadi sekiranya si penutur

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 3


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

tidak memperhitungkan sifat-sifat dan kelakuan si pendengar


biarpun kedua-duanya menggunakan bahasa.
Bahasa daripada pendekatan yang kedua ini menjadikannya
suatu peristiwa sosial. Ia tidak akan dapat dihuraikan sepenuhnya
sekiranya pihak yang terlibat di dalam bidang ini iaitu mengenai
keperibadian, kepercayaan, sikap-sikap, pengetahuan tentang
dunia perhubungan antara satu sama lain, status sosial, aktiviti
yang sertai, tentang apa yang diperkatakan dan peristiwa-
peristiwa yang berlaku sebelumnya, secara linguistik dan secara
bukan linguistik, apa yang berlaku selepasnya, di mana mereka
berada dan sejumlah fakta-fakta lain dan mengenai situasi itu
tidak diambil kira.
Bahasa adalah keupayaan sesuatu kumpulan. Ini bermaksud
bahawa kita hanya boleh berhubung dengan orang lain jika kita
berkongsi suatu set cara-cara berkelakuan yang ‘dipersetujui’.
Lebih jelas lagi, bahasa boleh dikatakan satu alat perhubungan
antara seseorang itu dengan orang lain. Inilah salah satu fungsi
bahasa yang diperkatakan oleh S. Pit Corder dalam bukunya
Introducing Applied Linguistic:

“Language is a means of communication: by


which man communicates; a system of com-
munication; for the purpose of communica-
tion”.

Bahasa juga adalah satu alat perhubungan yang mempunyai


sifat-sifat yang universal. Bahasa merupakan milik manusia yang
terpenting dan ia jugalah yang membezakan di antara manusia
dengan makhluk yang lain. Manusia menggunakan bahasa sebagai
alat untuk berhubung, melahirkan pandangan, perasaan dan
pendapat, menyampaikan ilmu pengetahuan dan sebagainya

4 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Bahasa itu sering
dianggap sebagai alat yang boleh dipunyai, diperoleh dan boleh
juga terhapus.
Bahasa diketahui lahir dan berkembang melalui masa.
Perkembangan sesuatu bahasa itu pula bergantung kepada
penggunaan dan usaha memperkayakannya. Satu bahasa, jika
tidak berkembang dan maju, bolehlah dianggap sudah pupus.
Satu ketika dahulu bahasa-bahasa seperti bahasa Yunani Kuno,
bahasa Latin dan bahasa Sanskrit merupakan bahasa yang
dikagumi pada peringkat awal tamadun manusia tetapi tidak
digunakan lagi pada masa kini.
Terdapat pelbagai pendapat telah diperkatakan tentang
bahasa. Malah pendapat-pendapat di kalangan ahli bahasa juga
didapati berbeza-beza tetapi pada maksud dasarnya masih
sama. Bahasa dianggap oleh ahli-ahli bahasa sebagai sistem
lambang-lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat
perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Ianya
bermaksud, bahasa tidak lain merupakan alat yang digunakan
oleh sesebuah kumpulan atau kelompok masyarakat dengan
tujuan untuk berhubung.
Bahasa yang digunakan oleh kelompok masyarakat itu pula
berbeza di antara satu dengan yang lain. Apabila dua orang
berkomunikasi, mereka akan menggunakan bahasa yang sama
sebagai alat untuk berhubung. Oleh sebab bahasa itu digunakan,
alat-alat artikulasi memainkan peranan yang penting untuk
mengeluarkan bunyi bahasa secara sistematik dan dalam linguistik
bunyi-bunyi ditafsir sebagai lambang. Ini kerana bunyi tidak
menghasilkan maksud atau makna kecuali setelah dituturkan
dalam bentuk unit bahasa yang terkecil iaitu kata. Bunyi-bunyi
yang digunakan juga tertakluk pada perubahan-perubahan yang
dibenarkan oleh bahasa dan perubahan-perubahan itu sangat

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 5


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

sistematis. Keseluruhan organisasi bunyi itu dipanggil sistem


bunyi atau sistem lambang-lambang bahasa. Dengan maksud
yang sama Edward dalam bukunya An Introduction to the Study
of Speech mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang-
lambang pertuturan yang digunakan oleh manusia secara arbitrari
untuk tujuan menyampaikan fikiran dan perasaan.
Ahli-ahli psikologi pula menganggap bahasa itu sebagai
alat untuk melahirkan perasaan, menyampaikan ilmu, mencipta
keindahan, menurunkan ilmu kebudayaan peradaban dan untuk
berkomunikasi (Raja Mukhtaruddin Mohd Dain, 1982:29). Pendapat
ahli-ahli psikologi ini ada benarnya dalam beberapa perkara.
Apabila seseorang itu berbicara, ia akan menggunakan bahasa
sebagai alat menyatakan perasaannya seperti suka, kasih sayang,
marah, benci dan lain-lain. Dalam hal ini penggunaan nada
suara itu penting seperti intonasi, tekanan dan jeda. Pada aspek
keindahan pula, seseorang itu menggunakan bahasa untuk
menyampaikan nyanyian, puisi, pantun dan sebagainya dalam
bahasa yang puitis. Bagi menyampaikan ilmu, bahasa memerlukan
alat yang berkuasa merakamnya. Sesungguhnya ilmu yang kita
miliki dan peroleh itu adalah melalui perantaraan bahasa.
Sultan Takdir Alisjahbana mula melihat bahasa sebagai
ucapan fikiran dan perasaan manusia yang teratur dengan
memakai alat bunyi (S.Takdir Alisjahbana, 1964:7). Bertolak
daripada pengertian yang sama, bahasa boleh dibahagikan
kepada dua bahagian. Bahagian pertama berupa isi iaitu fikiran
dan perasaan, bahagian kedua pula berupa bentuk iaitu bunyi
yang teratur. Bentuk bahasa yang dituturkan itu meliputi segala
aspek yang tersusun dan berperingkat-peringkat iaitu bermula
dari peringkat perkataan, frasa, ayat, bunyi, intonasi hinggalah
ke peringkat wacana.
Di antara pendapat ahli bahasa tentang definisi bahasa,

6 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

pendapat Block & Trager merangkumi segala maksud yang


terkandung dalam bahasa sebagai alat perhubungan manusia.
Dalam bukunya yang berjudul Outline to Linguistic Analysis,
mereka menyatakan ‘Bahasa ialah suatu sistem lambang-lambang
pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh anggota-anggota
sesebuah masyarakat untuk berhubung’. Berdasarkan definisi
yang diberikan oleh Block & Trager itu, maka apa juga bahasa
di dunia ini mempunyai ciri-ciri umum seperti berikut:

1. Bahasa terdiri daripada bunyi-bunyi.


2. Bahasa dilambangkan secara struktur.
3. Bahasa mempunyai sistem.
4. Bahasa mempunyai erti.
5. Bahasa adalah arbitrari.

Menurut Edward Sapir dalam bukunya An Introduction to


the Study of Speech:

“Language is a purely human and non-instinc-


tive method of communicating ideas, emotions
and desires by means of a system of voluntarily
produce symbols”.

Yang bermaksud:

“Bahasa adalah satu cara tulen yang non-


instingtif yang digunakan oleh manusia untuk
menyampaikan buah fikiran (ide), perasaan
dan hasrat dengan menggunakan suatu sistem
simbol-simbol atau lambang yang dihasilkan
secara arbitrari”.

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 7


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

Henry Sweet pula berpendapat:

“Language is the expression of speech, sounds


into words. Words are combined into sen-
tences. This combination answering to that of
idea into thought”.

Yang bermaksud:

“Bahasa adalah peluahan atau penyataan buah


fikiran dengan bunyi suara digabungkan dalam
bentuk perkataan. Perkataan pula digabung-
gabungkan menjadi ayat. Gabungan inilah
melahirkan maksud ‘buah fikiran’ itu”.

Fromkin dan Rodman mendefinisikan bahasa sebagai

‘Satu sistem yang mengaitkan bunyi dengan


makna’.

Sarjana Melayu terkenal, Asmah Hj. Omar pula melihat


bahasa itu dari segi fungsinya iaitu:

“Sistem yang menyatakan akal fikiran dan isi


hati manusia dan juga bahasa sebagai alat
perhubungan antara manusia dan harus
berkembang selaras dengan perkembangan
masyarakat pemakai bahasa itu. Dengan
perkataan lain bahasa yang mendukung akal
fikiran itu harus dapat mengejar dan mengatasi
keperluan masyarakatnya”.

8 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

Daripada definisi-definisi yang telah diberikan tadi, dapat


dibuat kesimpulan bahawa bahasa adalah satu sistem lambang
pertuturan arbitrari yang digunakan oleh anggota masyarakat
untuk berkomunikasi sesama mereka. Tetapi tidak semua
komunikasi antara manusia menggunakan bahasa. Misalnya,
senyuman, marah, kerlingan dan sebagainya tidak tergolong
dalam pengertian bahasa. Ahli-ahli bahasa membataskan bahasa
kepada komunikasi manusia yang melibatkan sistem vokal atau
pertuturan. Oleh itu, bunyi-bunyi lain yang dihasilkan oleh
manusia tidak tergolong dalam bahasa. Bunyi-bunyi ini tidak
digunakan untuk menyampaikan maklumat seperti juga halnya
dengan bersin, batuk, berdengkur dan sebagainya. Bunyi yang
dihasilkan itu bukan arbitrari. Oleh sebab itu, bahasa merupakan
satu perlakuan yang dikawal dan dimiliki bersama dalam kadar
yang tertentu oleh semua penutur dalam sesebuah masyarakat.

Bahasa adalah sistem


Tiap-tiap bahasa mempunyai susunan tertentu, sama ada dalam
bentuk bunyi-bunyi perkataan, susunan perkataan, nahu ataupun
bentuk sintaksis. Dalam bahasa terdapat beberapa unit tertentu
yang dicantumkan menjadi satu susunan yang sempurna mengikut
strukturnya. Percantuman unit-unit itu pula terjadi menurut
dasar-dasar tertentu. Daripada bilangan unit yang begitu banyak
dalam sesuatu bahasa, percantuman tidak boleh terjadi
sembarangan tetapi dengan tatacara dan peraturan yang
tertentu. Percantuman menurut cara dan peraturan tertentu
inilah yang dikatakan ‘bersistem’.
Bahasa dikatakan mempunyai sistem kerana mempunyai
aturan-aturan atau rumus-rumus tertentu yang pasti dan teratur.
Tanpa sistem pada bahasa tentunya manusia mengalami kesulitan
untuk mempelajarinya. Selain daripada itu, bahasa juga tidak

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 9


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

akan berkembang. Dalam pertuturan terkandung bentuk-bentuk


bahasa yang terdiri daripada kumpulan bunyi yang berupa
perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat. Tiap-tiap bahasa
mempunyai set atau sistem tertentu yang menjadi asas kepada
pengguna untuk menuturkannya. Tiap-tiap bentuk mempunyai
sistem tingkah laku yang tersendiri. Bahasa Melayu misalnya
mempunyai sistem atau peraturan-peraturannya yang tersendiri
dalam menghasilkan sesuatu urutan bunyi dan mempunyai
hukum-hukumnya yang membentuk perkataan, rangkai kata dan
ayat-ayat.
Bunyi-bunyi yang dikeluarkan itu ada peraturan. Bahasa
mempunyai sistemnya tersendiri yang meliputi kata, frasa,
klausa, ayat dan wacana. Contohnya dalam bahasa Inggeris
terdapat bunyi konsonan yang diwakili oleh lebih dari satu huruf
dalam perkataan seperti ‘wh’ pada perkataan what, which,
who, spring, dan bunyi ini tidak terdapat dalam bahasa Melayu.
Sebaliknya bunyi konsonan ‘ny’ dan ‘ng’ berulang kali timbul
dalam perkataan-perkataan seperti yang terdapat pada perkataan
nyamuk, nyanyi, nyanyuk, mengantuk, nganga, dan mengambil
yang tidak terdapat dalam bahasa Inggeris.
Menurut Bolinger D. Sears dalam bukunya Aspect of
Language:

“Bahasa adalah satu sistem komunikasi yang


melibatkan pertuturan dan pendengaran hasil
interaksi dengan pengalaman pengguna-
penggunanya dengan menggunakan simbol-
simbol yang konvensional yang terdiri daripada
unit-unit bunyi bersifat arbitrari dan disusun
mengikut peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan”.

10 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

Pernyataan ini cuba menerangkan bahawa tiap-tiap bahasa


mempunyai sistem atau peraturan-peraturannya tersendiri yang
berupa set dan ini menjadi asas kepada pengguna untuk
menuturkan bahasa tersebut.
Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu kita mempunyai
struktur frasa ‘buku itu’, dan ‘tiga buah buku kuning’. Dalam
bahasa Inggeris strukturnya berlainan sebab sistemnya berbeza-
beza. Frasa-frasa nama dalam bahasa Inggeris seperti:

that book (buku itu) (itu buku)


three yellow books (tiga buah buku kuning) (tiga kuning buku)

Dalam bahasa Mandarin pula:

na ben shu (buku itu)


san ben huang se de shu (tiga buah buku kuning)

Contoh-contoh itu membuktikan bahawa struktur bahasa


berlainan dalam sesuatu bahasa kerana sistemnya berbeza-
beza.

Bahasa adalah linear


Ronald Wardhaugh di dalam bukunya Introduction to Linguistics,
memberi definisi yang sama dengan Sapir tetapi menekankan
penggunaan bahasa sebagai alat untuk manusia berkomunikasi.
Beliau melihat bahasa dari aspek gramatikal yang lebih jelas
dan praktikal. Di dalam buku beliau yang berjudul Language
and Its Structure, beliau menggambarkan bahasa sebagai satu
set ayat-ayat yang tidak terhad yang bercirikan makna dan
bunyi.
Bagaimana yang dikatakan ‘Bahasa adalah linear’? Walaupun
dalam bahasa Melayu istilah ‘linear’ bermaksud mendatar,

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 11


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

kelinearan bahasa merupakan satu sifat yang abstrak. Bahasa


dikatakan linear apabila bahasa yang dituturkan oleh seseorang
diturunkan menurut urutan mendatar, satu demi satu mengikuti
yang lain, dengan satu lambang mewakili satu bunyi. Apabila
seseorang itu bertutur, bunyi-bunyi bahasa dihasilkan satu
persatu, atau sekelompok demi sekelompok, yakni sejajar
dengan pergerakan alat pertuturan. Misalnya untuk menyebut
perkataan ‘nasi’, bunyi-bunyi yang dihasilkan ialah [ n ], diikuti
oleh [ a ], [ s ], dan [ i ]. Begitu juga dengan pengucapan
yang lebih panjang seperti frasa dan ayat. Dalam ayat ‘saya
makan nasi’, satu kelompok lambang yang mewakili sekelompok
bunyi ‘saya’ mendahului kelompok bunyi ‘makan’ dan kedua-
duanya mendahului pula kelompok bunyi ‘nasi’.
Charles F. Hockett di dalam bukunya Refurbishing Our
Foundations pula mengatakan bahawa bahasa adalah linear
apabila bahasa yang dituturkan bersifat satu arah dan satu
dimensi. Beliau mengatakan bahawa bahasa dituturkan mengikut
satu arah iaitu yang terdahulu hingga yang terkemudian. Beliau
juga menyifatkan pertuturan bersifat satu dimensi sebab
pertuturan hanya boleh didengar tetapi tidak boleh dilihat.
Bunyi hanya boleh didengar semasa berlakunya pertuturan,
mengikut aturan dari yang terdahulu hingga yang terkemudian
dan selepas selesainya penuturan itu, bahasa tidak dapat
didengar lagi.
Dari aspek sintaksis pula, John Lyons di dalam bukunya
Introduction to Theoretical Linguistics mengatakan bahawa
semua ayat di dalam suatu bahasa mempunyai satu struktur
linear. Sesungguhnya setiap ayat dalam sesuatu bahasa itu
boleh diterangkan dari sudut gramatikal sebagai satu pertalian
konstituen (atau perkataan-perkataan). Pertalian konstituen ini
mempunyai susunan yang tertentu. Dalam kebanyakan bahasa,

12 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

susunan adalah dari kiri ke kanan. Contohnya ‘saya makan nasi’.


Jika susunan ini diubah, ayat tersebut akan menjadi sama ada
tidak bermakna atau akan memberi makna yang lain. Sebagai
contoh, ‘saya nasi makan’, adalah ayat yang tidak jelas
maknanya, manakala ayat ‘nasi makan saya’ mempunyai nilai
yang tidak bermakna berbanding dengan ayat ‘saya makan
nasi’.
Susunan perkataan dalam pertuturan boleh diterangkan
oleh hukum kelinearan sintaktik seperti berikut. Jika terdapat
dua perkataan, A dan B, hanya ada dua kemungkinan yang akan
terjadi iaitu sama ada A mendahului B atau B mendahului A.
Perkataan mana yang mendahului perkataan yang satu lagi
adalah faktor penting yang menentukan makna sesuatu frasa
atau ayat.

Contohnya:

air mata : mata air


kuda lumba : lumba kuda
Ali melihat Halimah : Halimah melihat Ali

Sebagai kesimpulan, apabila bahasa dikatakan linear,


maksudnya merujuk pada bentuk pengucapan. Jika diimbas
kembali sejarah masa yang lampau, pada abad yang ke-18,
ramai ahli falsafah Perancis, bermula dengan Condillac pernah
menekankan bahawa kelinearan pertuturan merupakan faktor
penting yang memaksa seseorang itu menyusun fikiran. Pendapat
Condillac ini disokong oleh Saussure, Lashley dan Vygotsky.
Bagaimanapun, menurut Hockett, pendapat ini kurang tepat.
Ini kerana, kelinearan pertuturan tidak membawa kepada
kelinearan dalam berfikir. Kelinearan pertuturan tidak
menyempitkan dimensi interpretasi dan kefahaman orang yang

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 13


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

mendengar. Ini disebabkan orang yang mendengar itu akan


memproses maklumat yang didapatinya dengan berbagai-bagai
cara.

Bahasa bersifat arbitrari


Terdapat keterangan yang menyebut arbitrari bermaksud
‘sewenang-wenangnya’. Secara sosialnya, dikatakan bahawa
lambang bahasa dicipta sesuka hati. Secara linguistik pula,
apabila satu lambang, contohnya ‘sekolah’ apabila disebut, ia
tidak membayangkan murid-murid, meja, kerusi, guru dan lain-
lain. ‘Sekolah’ hanya berfungsi sebagai lambang semata-mata.
Ringkasnya, tiada perhubungan atau perkaitan yang wujud di
antara bunyi atau lambang dengan maksud/makna lambang,
malahan bahasa digunakan sebagai alat berhubung untuk maksud
sosial dan bukannya maksud penghayatan.
Dalam menjelaskan konsep arbitrari ini, Wardaugh menulis,
‘...We cannot predict exactly which specific features we will
find in a particular language if we are unfamiliar with the
language or with a related language’ yang bermaksud, kita
tidak boleh mengandaikan dengan tepat fitur-fitur khusus mana
yang akan kita temui dalam bahasa tertentu jika kita tidak
arif tentang bahasa itu ataupun bahasa yang berkaitan. Tidak
terdapat sebarang cara untuk meramal maksud sesuatu perkataan
dengan hanya mendengar sebutannya.
Menurut De Saussure, bahasa dikatakan arbitrari dari
aspek ia dihasilkan dengan tidak dimotivasikan, tidak terdapat
hubungan semula jadi di antara penunjuk dengan apa yang
ditunjuknya dan sebarang perkara yang ditunjukkan boleh
dinyatakan oleh sebarang penunjuk. Sama sekali tidak boleh
dijangkakan di dalam kebanyakan sifat-sifat bahasa dan hampir
wujud perkaitan antara simbol dan objek (Wells, 1968) apabila

14 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

mereka bertutur. Dengan perkataan lain, bunyi bahasa yang


diucapkan itu tidak semestinya ada hubungan penghayatan di
antara bunyi yang dilafazkan dengan benda atau objek atau
peristiwa yang dimaksudkan (Arbak, 1986).
Oleh sebab sifat yang arbitrari itulah, maka bahasa
mewujudkan perkataan-perkataan lain dalam pelbagai bahasa
untuk menerangkan atau melambangkan maksud yang sama.
Sebagai contoh:

Bahasa Kata nama

bahasa Melayu bulan


bahasa Inggeris moon
bahasa German mond
bahasa Greek men
bahasa Arab Al-gamar

‘bulan’ , ‘moon’, ‘mond’, ‘men’, dan ‘Al-gamar’ merupakan


urutan bunyi yang berbeza tetapi mempunyai satu makna yang
sama. Oleh sebab sifat arbitrari itu juga, bahasa-bahasa yang
berlainan dapat mengenali lambang yang bermaksud ‘bulan’
dalam bahasa Melayu dengan perkataan-perkataan yang dicipta
sewenang-wenangnya (secara arbitrari itu).
Satu lagi aspek bahasa yang bersifat arbitrari ialah ono-
matopoeia yang sering diubahsuai kegunaannya menjadi kata
kerja. Sebagai contoh, ‘kambing itu mengembek dengan kuat’,
perkataan ‘embek’ itu merupakan bunyi kambing yang berperanan
sebagai kata kerja dalam ayat tersebut. Dalam bahasa Inggeris
pula, bunyi onomatopoeia ini boleh menjadi kata adjektif
misalnya, ding dong bell atau kata kerja contohnya the cat
meowed dan the clock ticks.
Sebagai kesimpulan, bahasa-bahasa di dunia ini telah
dicipta sewenang-wenangnya tanpa memperlihatkan perkaitan

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 15


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

yang jelas di antara makna dan bunyi/lambang. Namun begitu,


ini tidak bermakna bahawa semua bahasa tidak boleh dijangka
atau diramal sepenuhnya dalam sistem masing-masing. Jika ini
benar, unsur-unsur seperti kata nama, kata kerja, ganti nama,
konsonan dan vokal tidak dapat dibincangkan oleh sesiapa pun.
Walaupun sifat-sifat spesifik bagi tiap-tiap bahasa adalah arbitrari
dan tidak terjangkakan, mereka mempunyai satu sistem undang-
undang bahasa yang tertentu. Yang penting, dengan wujudnya
bahasa, manusia dapat berhubung dan bertukar-tukar maklumat
antara satu sama lain dan memudahkan berbagai-bagai urusan.

Bahasa sebagai kod


Untuk mengenal bahasa, ada yang mengatakan supaya kita
mengenal maksud ‘kod’. Bagaimanakah dapat kita menjelaskan
konsep bahawa bahasa itu merupakan suatu ‘kod’.
Pandangan yang menentang fikiran tentang bahasa itu
dikatakan kod ialah hakikat bahawa bahasa tidak wujud dalam
keadaan abstrak, sebaliknya bahasa digunakan oleh orang
sehari-hari untuk menyatakan segala hal yang berlaku
disekelilingnya melalui pertuturan atau pengucapan sebenar,
dan bahawa setiap mesej yang dipindahkan dalam pertuturan
atau tulisan perlu ada permulaannya, walaupun titik permulaan
itu tidak diketahui tempatnya.
Jawapan yang mudah untuk itu ialah otak dan sistem saraf
seseorang dan bagaimana pengucapan itu dirangkaikan bukanlah
tugas ahli bahasa tetapi merupakan tugas ahli psikologi atau
ahli neurologi, atau seseorang yang mengkhusus dalam bidang
permasalahan extra-linguistik kerana ini melibatkan penerbitan
idea atau fikiran. Ada pihak yang menjawab persoalan ini
dengan mudah dan mengatakan bahawa manusia mengumpulkan
tanda-tanda linguistik di dalam otak dan sistem sarafnya

16 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

sebelum menggunakannya. Sebaliknya, jika kenyataan itu adalah


benar, maka kenapa pula terjadi keadaan kita mengalami
kesusahan untuk mengungkap perkataan yang sesuai dalam
peristiwa berbahasa. Kenapa kadang-kadang kita berupaya
memilih perkataan daripada stok item yang dianggap sesuai
dan menolak apa yang kita tidak gemari? Apa yang kita lakukan
seolah-olah ialah memilih item-item daripada stok yang ada
pada kita yang difikirkan sesuai dan menolak yang tidak sesuai
digunakan.
Sehubungan dengan pemilihan ini, ada pihak mengatakan
bahawa yang memilih pengucapan ialah keperihalan keadaan
(context of situation), iaitu keadaan yang menyebabkan
terjadinya penggunaan bahasa. Ini kerana suatu peristiwa
pengucapan biasanya tidak berlaku tanpa sebab. Dalam bahasa
Inggeris misalnya, pengucapan The gonfalons ticklish entropy
cherishes too heavy gossamer concrete merupakan ayat yang
cukup ‘gramatis’ kerana ia dibawakan oleh pola sintaksis yang
lazim di kalangan penutur natif bahasa Inggeris, walaupun ayat
itu tidak dapat dianggap ayat yang pernah diucapkan sebelum
ini, kerana konteks untuk pengucapannya tidak pernah wujud
sebagai bermakna. Dalam hubungan dengan anggapan ini, teori
tanda (the theory of signs) dapat menerangkan hal di mana
situasi memilih pengucapan.
Kita menggunakan bahasa melalui pembelajaran.
Pembelajaran pula berlaku secara perlahan, iaitu untuk seseorang
menguasai cara bahasa digunakan memerlukan tahap kematangan
yang akan mengambil masa. Oleh itu, pembelajaran kita untuk
menerima correspondences di antara pola-pola sebutan dengan
sensasation dan pengamatan kita tentang sesuatu, terbina dan
tersimpan dalam ingatan kita yang meliputi seluruh item dan
susunannya dalam bentuk pola yang lazim. Manakala daripada

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 17


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

ingatan itu tadi, item-item dapat dikeluarkan secara sedar


dengan tidak perlu adanya penggerak luaran (external stimuli)
untuk mengatur pengucapan.
Pemisahan pola sebutan daripada pengertian (sensasation)
dan pengamatan yang berkaitan, dengan mengosongkan dan
mengisi semula secara konstan pola-pola bentuk tersebut
dengan ingatan yang berbeza tentang sebutan yang berbeza
(yang kemudiannya apabila kita belajar membaca dan menulis
menggunakannya sebagai simbol grafik) merupakan ciptaan
jentera linguistik yang dapat pula mendorong secara sedar
pemilihan item-item yang berbeza-beza maknanya bagi
mendapatkan pola-pola yang sesuai. Ini dilakukan dengan
pengamatan yang terdapat pada pengalaman seseorang serta
lambang-lambang bahasa yang berkaitan. Seseorang itu dapat
mengeluarkan bahan bahasa yang dikehendaki daripada ingatan
pada masa-masa yang diperlukan untuk mengisi pola-pola yang
diingati itu.
Seperti yang telah kita ketahui, bahasa merupakan bentuk
isyarat (signalling) yang telah berkembang pada tahap tertinggi
dalam kelompok haiwan. Cuma bezanya manusia daripada
haiwan ialah kebolehan menggunakan tanda-tanda atau isyarat
bunyi yang membolehkan manusia mengetahui maksud orang
lain iaitu melalui perhubungan. Masalahnya ialah bagaimana
dan bila manusia mula bercakap? Masalah ini menjadi tugas
ahli etologi (ahli dalam hal tingkah laku binatang) dan tugas
ahli psikologi yang berkemungkinan hingga sekarang pun belum
lagi selesai.
Ahli bahasa menganggap tugas tersebut sebagai bidang
tugas di luar dunia linguistik tulen. Mereka lebih gemar
mengetahui bahasa sebenar yang digunakan oleh manusia dan
bukan ramalan tentang bagaimana bahasa bermula. Dari aspek

18 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

‘bagaimana’ bahasa itu terjadi masih menjadi tanda tanya,


lebih-lebih lagi ahli bahasa tidak berminat pada aspek seperti
itu, tetapi dari aspek ‘mengapa’ bahasa digunakan telah
diteroka dan hakikatnya jelas. Besar kemungkinan bahasa mula
diungkapkan kerana manusia perlu bekerjasama di antara satu
sama lain untuk mereka menjalani hidup, dan kerjasama ini
memerlukan komunikasi yang efisien.
Bahasa akhirnya digunakan untuk membezakan maklumat
yang bersifat fakta dengan bentuk-bentuk arahan yang perlu
disampaikan. Inilah yang dikatakan fungsi arahan pada bahasa
atau dengan lebih mudah dikatakan ‘percakapan yang
memberitahukan’. Bahasa juga dapat digunakan untuk
menyampaikan perasaan dan emosi, iaitu fungsi ekspresif bagi
bahasa atau percakapan ragam. Aspek bahasa ini tidak
berkembang baik berbanding percakapan pemberitahuan. Ini
kerana manusia dapat menyampaikan perasaannya melalui
jeritan, grants, sobs, isyarat-isyarat dan sebagainya.
Dalam komunikasi terdapat sejenis bahasa yang digunakan
untuk ‘cakap-cakap kosong’ di kalangan sahabat handai, rakan
kenalan yang dianggap pengungkapan yang tidak bererti dalam
kehidupan sehari-hari seperti ‘Hai, bagaimana kau hari ini’?,
‘Ponteng kerja ke’? Pengungkapan sosial di kalangan rakan
taulan seperti ini dipanggil bahasa taulan (Phatic Communion).
Terdapat juga beberapa fungsi bahasa yang tidak berapa
penting dari kaca mata ahli bahasa, iaitu golongan yang
berminat pada bahasa sebagai alat penyampai maklumat yang
tepat. Seseorang boleh menggunakan bahasa untuk tujuan
pemupukan kesenian. Dalam penulisan puisi, misalnya, seseorang
pandai bermain kata-kata seperti mana juga pandainya seorang
pelukis bermain dengan berus untuk menghasilkan sebuah
lukisan iaitu maksud yang ternyata atau terkandung dalam puisi

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 19


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

itu boleh berbeza-beza, sedikit sebanyak bergantung pada


tafsiran seseorang untuk menafsirkan maksud pelukis
menghasilkan lukisannya itu.
Bahasa boleh juga digunakan dengan cara yang tersendiri
untuk menyampaikan perasaan tegang, kemarahan dan
kekecewaan yang dihadapi oleh seseorang. Pengungkapan ini
dianggap bahasa wacana atau pengungkapan komunikatif yang
berdasarkan situasi atau keperihalan keadaan dalam peristiwa
bahasa. Bidang ini dianggap juga bidang di luar dunia linguistik.
Banyak faktor yang terlibat dalam pengungkapan seperti itu
seperti penutur, topik, daftar, situasi, orang yang dilawan
bertutur, mesej dan sebagainya. Di kalangan ahli bahasa, faktor
yang berbeza-beza mempengaruhi penggunaan bahasa yang
berbagai-bagai ragam dan bentuknya itu dianggap bidang stilistik,
iaitu bidang yang mengkaji bahasa dari sudut sosiolinguistik.

Bahasa selalu berubah


Semua bahasa selalunya berubah. Salah satu kekuatan bagi
bahasa ialah hakikat bahawa bahasa dapat mengatasi situasi-
situasi besar dengan cara membentuk perkataan dan gabungan-
gabungan perkataan baru. Ini tidak pula bermakna bahawa
bahasa sentiasa berada dalam perubahan yang berterusan. Oleh
sebab unsur-unsur bahasa saling bergantung antara satu dengan
yang lain, perubahan pada satu unsur boleh mendatangkan
kesan kepada unsur-unsur lain.
Dalam bahasa, sering terjadi sentuhan perubahan pada
unsur-unsur yang lain dan ini berlaku dengan sendirinya apabila
salah satu atau beberapa unsur bahasa mengalami perubahan.
Semasa perubahan berlaku, unsur-unsur baru yang mengalami
perubahan itu boleh menduduki tempat tertentu dalam pola
yang ada atau pola baru terbentuk sesuai dengan perubahan

20 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

yang berlaku itu. Apa pun yang terjadi, bahasa tetap wujud
dalam keadaan berpola, jika tidak, perhubungan akan terjejas.
Kejadian pola inilah membolehkan manusia mengingati begitu
banyak item dan bercakap tentang begitu banyak hal. Manusia
tidak mungkin mengingati kekeliruan oleh beribu-ribu item yang
berubah tanpa landasan berpola.
Oleh sebab keadaan bahasa yang sentiasa berubah, pola-
pola bahasa menjadi tidak sempurna atau sentiasa tetap.
Kekecualian tetap berlaku di sana sini tetapi dalam keadaan
yang minimum gejalanya. Maksud ini selari dengan kata Edward
Sapir bahasa ‘semua tatabahasa bocor’.
Perubahan dan kebocoran yang konstan membuatkan banyak
perkara menjadi sukar di kalangan ahli bahasa. Mereka mestilah
menganggap bahasa sebagai sistem yang terikat kuat dalam
satuan yang bertindak sendiri, di samping pada masa yang sama
mengakui bahawa sistem yang dipercayai bertindak sendiri itu
juga mengalami liku-liku dan sentiasa berubah (sekalipun
perlahan-lahan). Apa yang tidak boleh sama sekali dilakukan
oleh ahli bahasa ialah perbuatan (dengan sikap positif mana
sekalipun) mencipta rumus atau mewujudkan bentuk-bentuk
pengucapan yang tidak pernah diungkapkan oleh penutur natif
bahasa itu. Mereka juga tidak ada bidang kuasa untuk
menghapuskan kekecualian yang wujud secara natural dalam
bahasa atau menimbulkan sebarang kekecualian baru yang
dipaksa ke atas penutur atau pengguna bahasa yang berkenaan.
Demikianlah objektifnya sikap ahli bahasa dalam kajiannya,
walaupun pada masa yang sama mengakui bahawa bahasa selalu
berubah. Di kalangan para pengkaji bahasa, termasuklah ahli
bahasa yang menghuraikan gejala bahasa secara saintifik,
istilah ‘dinamik’ digunakan untuk maksud perubahan yang
berlaku pada bahasa. Justeru itu, salah satu sifat bahasa yang

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 21


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

universal ialah ‘bahasa itu dinamik’.

Skop linguistik
Linguistik umum meliputi bidang topik yang luas sekali dan sukar
juga untuk mendefinisi batas dan had-hadnya. Gambar rajah di
bawah ini menggambarkan ruang lingkup yang diliputi oleh
linguistik.

SINTAKSIS

FONOLOGI
MORFOLOGI
FONETIK

SEMANTIK

Rajah: 1.1

Gambar rajah yang berbentuk roda di atas meletakkan


fonetik pada pusat bahasa iaitu kajian tentang bunyi-bunyi
bahasa manusia. Pengetahuan yang lengkap tentang fonetik
perlu bagi seseorang ahli bahasa. Malahan pengetahuan ini
merupakan pengetahuan latar belakang asas untuk memahami
linguistik berbanding bahagian-bahagian lain dalam kajian
linguistik itu sendiri. Seperti perlunya kita belajar membaca
sebelum mengkaji kesusasteraan, begitu juga perlunya kita
mempunyai pengetahuan tentang fonetik sebelum mengkaji
linguistik.
Ahli fonetik mengetahui sifat-sifat fizik bunyi yang
merupakan bahan mentah bagi bahasa yang diucapkan itu.

22 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif


www.karyanet.com.my BAHASA

Mereka mengkaji kedudukan lidah, gigi dan pita suara semasa


bunyi-bunyi bahasa dihasilkan, selain mencatat dan menganalisis
gelombang bunyi. Manakala ahli bahasa lebih berminat pada
cara pola-pola bahasa dinyatakan. Mereka menganalisis bentuk
pola-pola ini berbanding unsur fizikal yang membentuk kesatuan-
kesatuan (unit-unit) bahasa.
Ahli bahasa Swiss yang terkenal Ferdinand de Saussure,
menyatakan perbezaan yang jelas apabila membandingkan
bahasa dengan permainan catur (chess game). Ahli bahasa
berminat pada beberapa pergerakan yang dilakukan oleh buah
catur serta cara kedudukan buah catur itu ditempat dan diatur
di atas papan catur. Daripada apa buah catur dibuat, sama ada
daripada keju atau gading, tidak penting kerana yang diambil
kira ialah unsur-unsurnya yang tidak boleh merubah peraturan
permainan. Kalau buah-buah catur itu dianggap unsur dalam
permainan catur, demikian pula kesatuan-kesatuan bahasa yang
dianggap unsur dalam pola-pola ayat tidak mampu merubah
peraturan bahasa tetapi sebaliknya digunakan mengikut peraturan
atau rumus dalam sesuatu bahasa itu.
Walaupun fonetik dan linguistik kadang-kadang dirujuk
bersama sebagai ‘sains linguistik’, fonetik bukanlah bahagian
utama daripada linguistik umum sebagai kajian pola-pola bahasa.
Atas alasan ini, maka fonetik khususnya mengendali tentang
cara (yang melibatkan perhubungan alat-alat tutur, dan sifat-
sifat bunyi yang melibatkan sifat-sifat arus udara yang terlibat
serta dari mana arus itu bergerak, datang dan melalui bahagian
tertentu di ruang mulut dan sebagainya) sesuatu bunyi itu
dikeluarkan dari dalam mulut manusia.
Fonologi (fungsi bunyi), tatabahasa dan semantik (kajian
makna) merupakan asas kajian bahasa (linguistik). Semantik
terletak di luar fonologi dan tatabahasa oleh kerana hubungannya

© Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif 23


PENGANTAR LINGUISTIK AM www.karyanet.com.my

yang rapat dengan dunia luar yang melibatkan hal-hal yang


mujarad dan tafsiran. Dalam pada itu, semantik dapat juga
dianggap bidang kajian yang khusus apabila bahasa itu dianggap
terbentuk oleh unsur-unsur makna yang pengucapannya itu
menjadi cara menyampaikan makna dan maksud dalam
perhubungan. Kini kelihatan jelas bahawa semantik telah berdiri
sebagai suatu disiplin yang berjalan seiring dengan linguistik.
Mengelilingi bidang-bidang utama (seperti yang tergambar
di dalam gambar rajah 1.1) ialah beberapa cabang linguistik
yang juga berkembang pesat hingga sekarang. Bidang-bidang
itu ialah psikolinguistik, sosiolinguistik, linguistik antropologi,
linguistik falsafah, linguistik matematik, linguistik komputer,
dan stilistik manakala pengajaran bahasa yang mendapat manfaat
daripada linguistik dianggap tergolong dalam bidang ‘linguistik
gunaan’. Ada pula yang berpendapat bahawa kesemua disiplin
yang tersenarai itu dikira sebagai bidang ‘linguistik gunaan’.
Hasil-hasil kajian linguistik dianggap bahan bantu bagi kajian
yang tujuannya untuk mengetahui perkara-perkara yang berada
di luar bidang, walaupun ada kaitannya, seperti nilai budaya
sesuatu masyarakat, status pengguna bahasa dalam masyarakat,
struktur pemikiran, penterjemahan, proses pembelajaran dan
metodologi pengajaran.

24 © Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif