Anda di halaman 1dari 14

Bahasa Melayu dalam Media Massa: Pencemaran Bahasa Melayu dalam Media Massa Oleh : Hajarmunira binti Sauli

1.0 Pengenalan Pada asalnya bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa Austronesia pula berasal daripada keluarga Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia terdapat beberapa rumpun lain seperti rumpun bahasa Astro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina. Kemudiannya rumpun bahasa Austronesia ini terbahagi kepada empat kelompok yang lebih kecil iaitu bahasa-bahasa Kepulauan Melayu atau Bahasa Nusantara seperti bahasa Melayu, Aceh, Jawa, Sunda, Dayak dan banyak lagi. Seterusnya ialah bahasa-bahasa Polinesia seperti bahasa Hawaii, Tonga, Maori dan Haiti. Kemudian adalah bahasa Melanesia iaitu bahasa-bahasa di Kepulauan Fiji, Irian dan Kepulauan Caledonia. Manakala yang terakhir ialah bahasa-bahasa Mikronesia seperti bahasa-bahasa di Kepulauan Marianna, Marshall, Carolina dan Gilbert. Bahasa Melayu yang dituturkan pada masa dahulu merupakan bahasa Melayu kuno dan ianya berbeza dengan yang digunakan pada masa sekarang. Bahasa Melayu juga berkembang mengikut perubahan abad. Selain itu, bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca bagi seluruh Kepulauan Melayu. Media Massa merupakan satu media yang secara khususnya menjadi sumber rujukan serta bahan bacaan bagi semua masyarakat. Kehadiran media massa banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat samada melalui media cetak atau media elektronik. Seiring dengan perkembangan dunia pada masa sekarang, media massa memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan bahasa Melayu. Ini kerana ia merupakan

sumber rujukan utama bagi masyarakat dewasa ini. Namun begitu, ada sesetengah individu yang cuba merosakkan bahasa menggunakan kemudahan yang ada. Perkara seperti ini perlu ditangani oleh semua pihak terutama pihak yang terlibat dalam mengatasi masalah ini. Penegasan penggunaan bahasa perlu selalu dipantau dan diberi perhatian sewajarnya. Tujuannya adalah untuk mengawal pencemaran bahasa Melayu yang semakin menular dalam kalangan masyarakat kita pada masa sekarang. Dikhuatiri pada masa sekarang adalah penggunaan bahasa Melayu dalam media elektronik. Oleh itu, hal ini perlu diketahui punca terjadinya serta cara atau kaedah untuk mengatasi masalah yang semakin lama menjadi faktor kemerosotan kualiti bahasa Melayu.

2.0

Faktor Berlakunya Pencemaran Bahasa Melayu dalam Media Massa 2.1 Kecelaruan Bahasa Melayu dalam Media Elektronik Kecelaruan bahasa dari sudut definisinya ialah penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Selain itu, kecelaruan bahasa ini dikenali juga dengan bahasa rojak. Contoh penggunaannya ialah pada perkataan sureheboh. Masalah ini berpunca melalui media elektronik yang banyak menggunakan bahasa campuran Melayu-Inggeris. Walaupun terdapat dua jenis media massa iaitu media cetak dan media elektronik, secara nyata media elektronik lebih banyak memberi pengaruh yang besar dalam penyalahgunaan bahasa. ini kerana, penulisan dalam media cetak sering dipantau. Berbeza dengan media elektronik yang terdiri daripada siaran televisyen, internet dan komunikasi yang berkaitan dengan sistem pesanan ringkas (SMS). Kecelaruan bahasa yang dapat dikesan oleh masyarakat umum adalah melalui media siber iatu internet. Ianya seiring dengan bercambahnya laman-laman sosial yang banyak memberi pengaruh. Contohnya laman facebook, friendster dan myspace. Lamanlaman seperti ini amat diminati oleh masyarakat masa kini terutama peringkat remaja. Sememangnya melalui laman tersebut dapat mendekatkan hubungan antara yang jauh dengan yang dekat. Namun ianya akan menjadi sebaliknya apabila setiap komunikasi menggunakan bahasa yang mudah dan bercampur aduk. Antaranya ialah ruang sembang yang terdapat dalam laman facebook. Setiap individu mula merosakkan bahasa dengan menggunakan bahasa yang diringkaskan, penggunaan simbol dan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Contoh bahasa perbualan dalam facebook ialah gua ok jek ngan pendapat lu menggantikan saya setuju

dengan pendapat awak. Manakala bagi penggunaan simbol pula seperti :) bermaksud suka atau gembira dan :( membawa maksud sedih. Bagi campuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti berikut, I kena ready utk handle my baby sorang-sorang lerr bermaksud saya perlu bersedia untuk menguruskan anak saya sendirian. Penggunaanpenggunaan seperti inilah yang menjadi punca kecelaruan dalam bahasa Melayu. 2.2 Menjadikan Dialek Masyarakat sebagai Alat Komunikasi Secara umumnya, masyarakat sekarang mementingkan dialek setempat yang secara langsungnya meninggalkan bahasa baku yang sebenarnya. Lebih buruk lagi ianya digunakan dalam komunikasi serta penulisan yang melibatkan urusan rasmi. Contohnya penggunaan dalam penulisan ilmiah yang disebarkan melalui media elektronik, melibatkan penulisan blog, rencana dan surat rasmi. Sememangya hal ini ingin dielakkan bagi setiap individu terbabit, namun kadangkala ia terjadi secara tidak sengaja. Ini disebabkan pengaruh daripada pertuturan seharian yang biasa menggunakan dialek setempat atau lebih tepat lagi dialek negeri. Antara masyarakat yang sukar untuk mengubah dialek mereka ialah masyarakat di

kawasan pantai timur dan utara. Contohnya negeri Kelantan dan Kedah. Oleh sebab itulah penggunaan bahasa baku mereka agak lemah. Antara dialek Kelantan ialah tok se dan gapo. 2.3 Pengaruh Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Rosakkan Bahasa Sepertimana yang telah diketahui umum, sistem pesanan ringkas yang menjadi alat penghubung pada masa sekarang banyak membawa kemudaratan kepada penyalahgunaan bahasa Melayu. Hal ini menjadi semakin membimbangkan apabila ianya menjadi punca

kemerosotan penguasaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat terutama pelajar sekolah. Ini kerana mereka terbawa-bawa singkatan tersebut dalam penulisan esei di sekolah. Malahan, berdasarkan sumber yang diperolehi memberitahu antara sebab berlakunya

kemerosotan pencapaian kelulusan bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah berpunca daripada budaya perkhidmatan sistem pesanan ringkas. Penggunaan bahasa ringkas yang menjadi penghubung dalam sistem pesanan ringkas tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya ianya hanya digunakan untuk tujuan perhubungan semata-mata. Namun, masalah yang timbul sekarang penyalahgunaan bahasa tersebut terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi sehingga merosakkan bahasa asal. Dr. Awang Sariyan (2004) menyatakan bahawa jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi dan ragam bahasa basahan, pencemaran bahasa akan berlaku. Oleh itu, seseorang itu tidak sepatutnya terikut-ikut dengan ragam bahasa basahan hingga menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti menulis karangan, surat rasmi dan memo. Berdasarkan penyataan tersebut, dapat diketahui bahawa setiap indvidu perlu tahu masa serta keadaan yang sesuai untuk menggunakan bahasa basahan atau ringkasan perkataan. Walaupun ianya merupakan kesalahan besar dalam penulisan, namun untuk komunikasi sistem pesanan ringkas ia menjadi perkara yang baik kerana dapat menjimatkan ruang serta kos. Contoh bahasa dalam sistem pesanan ringkas (SMS) ialah, awal lg lapuasa pn dak lg dan aittxkan tgk accident mlm td trus hilg ingtn kot.

3.0

Kesan Pencemaran Bahasa Melayu dalam Media Massa 3.1 Penulisan Esei Pelajar tidak Berkualiti Dewasa ini, banyak pengaruh negatif yang terjadi dalam kalangan pelajar. Bukan sahaja perkara yang berkaitan dengan isu-isu sosial tetapi ia juga melibatkan penggunaan bahasa Melayu yang lemah dalam kalangan remaja terutama yang bergelar pelajar. Ramai pelajar yang tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Walhal bahasa Melayu merupakan bahasa bangsa dan bahasa Ibunda. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang yang timbul pelbagai perkara yang menyebabkan penyalahgunaan bahasa seterusnya

mempengaruhi cara penulisan para pelajar. Terutamanya penulisan esei dalam peperiksaan. Penyalahgunaan bahasa para pelajar merupakan kesan daripada komunikasi dalam sistem pesanan ringkas, sembang dalam internet dan pelbagai perkara lagi. Berpunca daripada perkara seperti inilah yang telah melemahkan penguasaan pelajar dalam bidang penulisan. Kebanyakan pelajar tidak pandai mengolah ayat, menggunakan tatabahasa yang betul, melakukan kesalahan ejaan dan banyak lagi. Kesannya, penulisan esei pelajar tidak menarik, banyak menggunakan kata singkatan, tidak dapat menerangkan sesuatu perkara dengan jelas dan skop perbincangan menjadi terikat. Sekiranya kecelaruan bahasa ini tidak dikawal dan tindakan yang sepatutnya tidak diambil, kebiasaan penggunaan bahasa dalam perhubungan serta komunikasi harian dikhuatiri akan menjadi sebati dengan individu tersebut dan menyebabkan kemerosotan bahasa Melayu. Ini akan menyebabkan para pelajar gagal dalam penulisan esei yang terdapat dalam peperiksaan. Contoh kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar ialah terbawa-bawa ringkasan perkataan yang sering digunakan dalam bersembang atau sistem

pesanan ringkas. Antara perkataannya ialah x yang menggantikan tidak atau tak, yg singkatan dari perkataan yang dan seterusnya ialah perkataan utk. Perkataan-perkataan ini akan mengelirukan pelajar dalam penulisan esei mereka. Lama-kelamaan, wajah dan ciri bahasa Melayu akan mula berubah. 3.2 Wujudnya Salah Faham Semantik dalam Masyarakat Setiap tempat mempunyai dialek atau bahasa mereka yang tersendiri. Ini melambangkan budaya serta keistimewaan tempat atau negeri yang terbabit. Antara negeri yang terkenal dengan dialek mereka yang tersendiri ialah negeri Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan lain-lain lagi. Walaupun terdapat keunikan pada setiap dialek negeri-negeri tersebut, namun ianya memberi kesukaran untuk mereka berkomunikasi antara satu sama lain. Hal ini juga turut sama menjejaskan bahasa Melayu baku. Akibat daripada perbezaan dialek, kesan yang jelas kelihatan ialah berlakunya salah faham semantik. Salah faham semantik ialah kesukaran serta kegagalan penyampai dan penerima mesej mentafsirkan kod yang ingin dijelaskan. Ianya akan mengganggu komunikasi antara individu yang terlibat. Ada sesetengah media elektronik yang menggunakan dialek tempat masing-masing. Contohnya adalah siaran radio bagi setiap negeri. Selain itu, penulisan dalam laman soaial iaitu blog. Sudah pastinya setiap individu mengarang penulisan mereka dengan bahasa Melayu yang betul, namun ada segelintir individu yang menggunakan dialek mereka mengikut negeri kelahiran. Sekiranya blog yang dicipta itu banyak memberi maklumat kepada pembaca, semestinya para pembaca akan mendapat kesukaran sekiranya dialek mereka berbeza. Contohnya blog yang dicipta itu mengikut dialek Kelantan, maka bagi masyarakat yang

luar daripada negeri itu akan mendapat kesukaran dalam menterjemahkannya kepada bahasa Melayu yang asal. Antaranya ialah perkataan tak dok yang bermaksud tiada, wak gini bererti buat seperti ini dan lain-lain lagi. Oleh itu, untuk mengelakkan berlakunya pertembungan dialek yang sukar difahami, penyeragaman bahasa Melayu perlu disedari oleh setiap masyarakat khususnya di Malaysia. 3.3 Kemerosotan Kualiti Bahasa Melayu Penggunaan bahasa Melayu dalam media elektronik semakin maju ekoran perkembangan media siber atau media baharu iaitu internet. Namun begitu, kemajuan elektronik yang sedang dicapai ini telah dicemari dengan bahasa-bahasa yang kurang menyenangkan. Ini kerana terdapat pelbagai bahasa yang digunakan, antaranya ialah bahasa Melayu. Jenis bahasa yang digunakan juga adalah pelbagai seperti bahasa baku, bahasa rojak, bahasa perbualan dan dialek. Bahasa rojak atau bahasa basahan telah menjejaskan kualiti bahasa melayu yang kebiasaannya digunakan dalam laman sosial dan blog persendirian. Penggunaan bahasa dalam media ini sukar dikawal kerana tiada peraturan yang dibuat untuk menghalangnya. Ianya hanya bergantung pada kesedaran dan tahap pengetahuan bahasa pengguna media tersebut. Kesannya suatu hari nanti, bahasa Melayu tidak akan dipandang tinggi oleh masyarakat dan sukarlah untuk menjadikannya sebagai salah satu bahasa utama dunia yang berwibawa. Disamping itu, ia juga akan menjejaskan kewibawaan bangsa yang menuturkannya. Kesan negatif seperti inilah yang ingin dielakkan melalui media massa, namun ia sudah digunakan dengan cara yang salah. Terutama dari segi ejaan serta

tatabahasa bahasa Melayu. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini dengan tidak segan silu mencemarkan bahasa sendiri dengan bahasa yang tidak sepatutnya. Contohnya adalah melalui laman sosial yang terkenal iaitu facebook. Pencemaran bahasa banyak berlaku dalam laman ini seperti penggunaan ejaan dan simbol.

4.0

Cara Mengatasi Pencemaran Bahasa Melayu dalam Media Massa 4.1 Kesedaran Individu dan Masyarakat Ini merupakan salah satu cara yang paling penting dalam memelihara kualiti bahasa Melayu secara umumnya. Ini kerana tanpa ada kesedaran semua pihak, masalah pencemaran bahasa yang berlaku pada masa kini tidak akan dapat dibendung. Sebab utama terjadinya pencemaran bahasa adalah melalui penyalahgunaan bahasa yang dilakukan oleh semua pihak, samada dalam media cetak atau media elektronik. Perkara pertama yang perlu diketengahkan dalam menyedarkan masyarakat ialah mempamerkan kepada mereka kepentingan menjaga bahasa Melayu iaitu bahasa Ibunda. Terutama dari segi penggunaan dalam media massa. Ini kerana, media massa merupakan bahan tatapan umum yang menjadi sumber rujukan bagi semua pihak. Ianya merangkumi rujukan bagi perbendaharaan kata dan penyusunan serta pengolahan ayat. Antara cara yang biasa digunakan ialah mengadakan pameran bahasa yang melibatkan semua pihak. Beserta dengan pameran tersebut dapatlah diselitkan beberapa pengetahuan mengenai penggunaan laman-laman sosial dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS). Ini berdasarkan kenyataan yang disebut oleh Datuk Mahadzir Mohd Khir. Datuk Mahadzir Mohd Khir menyatakan masalah pencemaran bahasa Melayu tidak akan dapat diatasi selagi pihak pengguna tidak peka terhadap pentingnya penggunaannya yang betul dalam semua aspek.

Jelaslah disini bahawa perkara asas yang perlu diberi perhatian dalam menjaga darjat bahasa Melayu ialah kesedaran serta kepekaan setiap pihak mengenai kepentingan menggunakan bahasa melayu yang betul. 4.2 Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Media Massa Sumber rujukan pada masa sekarang adalah melalui media massa yang merangkumi media cetak dan media elektronik. Media cetak terdiri daripada akhbar, majalah, rencana, ensiklopedia dan banyak lagi. Pada masa kin media cetak merupakan bahan yang menjadi tempat untuk memperkasakan lagi penggunaan bahasa melayu. Melaluinya dapat menerangkan kepada masyarakat mengenai kepentingan bahasa Melayu serta penjagaan dalam membina struktur ayat dan penggunaan tatabahasa yang betul. Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu dalam media elektronik telah digunakan dengan sewenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyebabkan pencemaran bahasa mula menular. Bagi membendung gejala salah laku bahasa ini, pihak tertentu perlu mewujudkan pemerhatian yang khusus dalam media elektronik sepertimana yang terdapat dalam media cetak. Pemantauan penggunaan istilah yang betul dan tidak merosakkan bahasa melayu yang asal. Antara cara lain yang dapat dilakukan bagi memperkasa penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam media elektronik ialah memperbanyakkan blog yang ditulis dengan bahasa Melayu yang baik dan teratur. Kebiasaannya blog-blog seperti ini dibuat oleh individu yang berpengetahuan luas dalam bidang bahasa. selain itu, pemblog tersebut juga berpengalaman dalam bidang penulisan. Contohnya blog yang ditulis oleh penulis terkenal, seperti Sasterawan Negara Dato Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain dan Nisah

Harun. Dengan ini, penulisan mereka dapat dijadikan sumber rujukan bagi individu yang berminat untuk menulis dalam media elektronik. Kemudiannya, perlu disediakan kemudahan penyuntingan dalam media elektronik bagi memudahkan membuat pembetulan sekiranya terjumpa laman yang menggunakan bahasa rojak dan mengutamakan dialek-dialek yang sukar difahami. Seterusnya mengawal pengguna internet yang berada di peringkat bawah umur supaya penyalahgunaan dalam peperiksaan tidak begitu ketara dan dapat diatasi. Contohnya penggunaan singkatan bahasa, penggunaan simbol dan kecelaruan menggunakan tanda baca. 4.3 Peneguhan Sistem Pembelajaran Matapelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kaedah lain yang dapat membendung gejala pencemaran bahasa Melayu ialah melalui sistem pembelajaran matapelajaran bahasa Melayu di sekolah. Ini kerana, untuk membaiki sesuatu perkara perlulah dimulakan dari awal lagi. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini penyalahgunaan dalam bahasa Melayu dapat dikawal dengan lebih baik lagi. Oleh itu, pendukung pendidikan bahasa Melayu perlu mengambil inisiatif yang bersifat proaktif untuk menangani masalah pencemaran bahasa. antara usaha yang dapat dilaksanakan ialah menggunakan aspek pedagogi dalam pendidikan bahasa Melayu, cara guru mengendalikan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, pelaksanaan kurikulum sekolah berdasarkan kepentingan bahasa Melayu dan banyak lagi. Selain itu, para guru juga dapat menerapkan pembelajaran mengenai kelebihan dan kekurangan alat komunikasi pada masa sekarang serta mempamerkan pengaruhnya dalam masyarakat yang

berada disekeliling mereka. Perkara ini penting untuk para pelajar dalam mempersiapkan diri mereka ke arah kehidupan berwawasan. 5.0 Kesimpulan Secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa antara media elektronik dan media cetak, media elektronik lebih banyak membawa kemudaratan dalam pencemaran bahasa Melayu. Hal ini kerana kebanyakan pengaruh terdapat dalam media siber iaitu laman-laman sosial yang terdapat dalam internet. Selain itu, sistem pesanan ringkas (SMS) merupakan alat komunikasi yang berdasarkan media elektronik juga kerana menghubungkan dua individu dalam talian yang jauh. Tanpa panduan khusus, penggunaan bahasa SMS yang tidak terkawal dan sewenang-wenangnya, terutamanya yang dipaparkan pada skrin televisyen atau komputer akan memberikan impak yang negatif terhadap perkembangan bahasa Melayu. Oleh itu, arus globalisasi yang membawa kepada perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang melanda dunia hari ini sewajarnya tidak dibiarkan mempengaruhi, melemahkan dan menghakis bahasa Melayu. Ianya sepatutnya

dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kemajuan dan perkembangan positif bahasa Melayu tinggi yang merupakan gambaran kebijaksanaan bangsa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang tinggi mencerminkan kesopanan serta kesantunan pekerti bangsa Melayu itu sendiri. Jangan sekali-kali mengabaikan kemurnian bahasa sendiri dalam mengejar arus kemodenan dan inginkan kemajuan. Kemajuan akan lebih dicapai sekiranya setiap individu memartabatkan bahasa Melayu untuk dibawa dan ditunjukkan pada mata dunia.

Bibliografi Asal usul bahasa Melayu (2010). http://faculty.unitarklj1.edu.my/ALD0063 Diperoleh pada Ogos 28, 2010 daripada

Sharifudin Lubis. (2009, Ogos). Dewan Bahasa. Memasyarakatkan Dialek, 24-25. Zaidi Ismail. (2010, Februari). Dewan Bahasa. Bicara Bahasa, Indah Budi Kerana Bahasa, 5. Teo Kok Seong. (2010, Mac). Dewan Bahasa. Bahasa dalam Komunikasi Siber Kelebihan dan Kekurangan, 6-10. Rozita Radhiah Said. (2010, Mac). Dewan Bahasa. Bahasa dalam Komunikasi SMS, 16-18. Zalila Isa. (2010, Mac). Dewan Bahasa. Media Siber dan Bahasa, Kebebasan yang ada Batasannya, 20-23. Yahya Othman (2006, Januari). Dewan Bahasa. Pemerkasaan Pendidikan Bahasa Melayu, 42-44.

Anda mungkin juga menyukai