Anda di halaman 1dari 7

1.

BIOGRAFI PENGARANG MALINA MANJA (9 DIS 1937 4 MAC 2001) BIDIN SUBARI antara dramatis komedi yang memberikan sentuhan yang lain kepada perkembangan teater moden Malaysia. Bidin mempunyai beberapa nama pena seperti Azidin, Sunarsih, Biro Dino, Imam Sutrisni, dan Malina Manja. Daripada sekian banyak nama penanya, Malina Manja adalah yang paling sinonim. Bahkan nama itu lebih dikenali ketimbang nama asalnya Bidin Subari. Antara karya dan arahan Bidin Subari termasuklah: 1. Oh Awangku Sayang (7-8 Mei 1965) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 2. Rindu Hatiku Rindu (14 dan 15 April 1967) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 3. Datok Ahmad Dadida (4 dan 5 September 1971) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 4. Anak Kerbau Mati Emak (15 dan 16 September 1972) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 5. Ayam Jantan Ayam Betina (4 dan 5 Mei 1973) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 6. Umbut Keladi Tidak Berisi (1 dan 2 Mac 1974) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 7. Timang Tinggi-Tinggi (1-3 November 1974) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 8. Tinggi-Tinggi Si Matahari (1 dan 2 Februari 1975) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 9. La Haula Wala Anakku (9-10 Mei 1975) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. 10. Tingginya Menyapu Awan (8 dan 9 November 1975) di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Selain bergiat di pentas drama, Bidin juga sebenarnya seorang yang aktif dalam sukan bina badan, bahkan beliau pernah menyandang gelar MR. Selangor sekitar tahun 60an. Bidin Subari, atau lebih dikenal sebagai Malina Manja pulang ke rahmatullah pada 4 Mac 2001 dari kompllikasi penyakit diabetes, buah pinggang dan jantung dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang. 2. SINOPSIS Drama Ayam Jantan Ayam Betina mengisahkan tentang sebuah keluarga kelas menengah pada tahun 70-an, yakni keluarga Rahim dan isterinya Midah yang runsing dan kelam kabut menjalani kehidupan sehari-hari disebabkan ulah karenah anak-anak mereka, iaitu Ani dan Kadir. Bermula dengan perangai meminta duit belanja berlebih-lebihan hinggalah kepada persoalan hubungan kawan dengan keluarga-keluarga yang lebih berada, Ani dan Kadir tak habis-habis menyebabkan Rahim selalu saja dalam keadaan 1

serba salah. Dollah, seorang pengarah syarikat dan isterinya Kesum telah menuduh Kadir berlaku tidak sopan terhadap anak gadis mereka Rohana. Ini menyebabkan Dollah datang dan menuntut ganti rugi sebanyak lima ribu ringgit dari keluarga Rahim. Rahim yang hanya berjawatan kerani mulanya tak berani melawan tetapi atas desakan Midah akhirnya Rahim mendapatkan akal untuk menyelesaikan masalah tersebut, sehinggalah masalah baru tiba, yakni Rohana melarikan diri dari rumah orang tuanya mengikut Kadir ke rumah Rahim. Ani pula sering keluar dengan Samson, anak Tuan Mansur. Dalam kegentingan masalah Kadir dan Rohana, Tuan Mansur datang ke rumah Rahim untuk memeterai hubungan Ani dan Samson. Hampir-hampir saja Tuan Mansur dapat mempengaruhi fikiran Dollah tentang hubungan kasih sayang muda-mudi yang tak dapat dihalang lagi, muncul Ani menuduh Samson cuba memperkosanya. Tuan Mansur terkejut dan malu, Rahim berang dan menghalau Tuan Mansur dan anaknya pergi dari rumahnya. Selesai persoalan Samson dan Tuan Mansur, Rohana pula masih tidak mau pulang ke rumah mengikut orang tuanya. Pertengkaran kembali marak dan mereka menerkam antara satu sama lain. 3. PLOT Drama Ayam Jantan Ayam Betina mempunyai tiga babak yang berbentuk progresif. Babak pertama dimulakan dengan Ani yang sedang meminta wang belanja tambahan dari ayahnya Rahim. Rahim yang pada mulanya menolak akhirnya memberi juga wang tersebut kepada Ani. Midah memperli Rahim yang tak tetap dengan pendiriannya dalam mendidik anak-anak dan mengemudi keluarga. Setelah mendapat tahu yang Ani berjaya meminta wang belanja tambahan, Kadir adiknya pula mengambil giliran. Kali ini lebih banyak lagi menyebabkan Rahim marah. Tetapi akhirnya tetap juga wang Rahim berpindah ke tangan Kadir. Babak ini banyak menggambarkan keadaan keluarga Rahim, yang biarpun selalu kecoh dan bermasalah tetapi mereka dapat hidup berbahagia. Dalam babak ini juga, sedikit keterangan awal tentang hubungan Kadir dan anak orang kaya Dollah juga hubungan Ani dengan Samson, anak Tuan Mansur. Bermulanya babak kedua, Dollah sedang bertandang ke rumah Rahim membincangkan tentang Kadir, sepertimana yang telah diberitahu oleh isterinya Kesum, telah mengucup bibir anak gadis mereka, Rohana. Hal itulah yang memaksa Dollah datang dan isterinya juga meminta Dollah menuntut ganti rugi sebanyak lima ribu daripada Rahim sebagai ganti rugi malu. Midah kesal melihat suaminya yang hanyak pandai mengangguk, kini melawan Dollah dan hujah-hujahnya. Pertengkaran tercetus dan Dollah pergi dari situ. Sejurus selepas itu Kadir pulang untuk menerima kemarahan Rahim dan Midah. Tak sempat Rahim marah lebih lanjut perutnya memulas memaksanya ke bilik belakang. Tak lama kemudian Samson sampai menyampaikan pesan pada Midah dan Rahim bahawa ayahnya Tuan Mansur akan datang untuk memutuskan hubungannya dengan Ani. Samson meminta Rahim dan Midah agar tak mempedulikan Tuan Mansur kerana dia dah bertekad untuk berkahwin dengan Ani. Kegembiraan Rahim dengan tekad Samson tak lama kerana sebentar saja Samson pergi, tiba pula Dollah dan kali ini dia membawa isterinya Kesum. Mereka kembali bertengkar perkara Kadir dan Rohana. Tak semena-mena Rahim mendapat akal dan berjaya menipu Dollah untuk membayarnya lima ribu ringgit kerana menceroboh rumahnya. Dollah yang kaya tak takut membayar maka dia pulang dulu 2

bersama Kesum untuk mengambil buku ceknya. Sepulangnya Dollah, Tuan Mansur pun sampai. Midah yang masih terbawa dengan kemarahannya pada Dollah kini menyemburkannya pula kepada Tuan Mansur. Rahim berjaya meredakan Midah setelah dapat menangkap maksud kedatangan Tuan Mansur yang datang untuk mempersunting Ani. Rahim tak tentu arah dalam babak ketiga kerana larinya Rohana dari rumah orang tuanya, menurut Kadir ke rumah Rahim. Suntuk Rahim dan Midah memikirkan tentang perkara tersebut. Rahim meminta Kadir memujuk Rohana agar kembali pulang, tetapi tak berjaya. Dalam keadaan kelam kabut itu, Rohana ingin beredar dari rumah Rahim tapi Rahim pula menghalangnya kali ini, kerana Rohana masih tak mau pulang ke rumah orang tuanya. Takut dia kalau-kalau akan dituduh jika terjadi apa-apa yang buruk pada Rohana. Jangkaan Rahim tepat kerana Dollah tiba di rumahnya terus marah-marah menuduh Kadir menculik Rohana. Dollah dihalang masuk oleh Rahim, biarpun dia mengaku Rohana ada di rumahnya, tapi Rohana datang atas kemahuannya sendiri. Dollah dan Kesum berdebat dengan Kadir mengenai hubungan perasaan dan materialisme dalam hubungan lelakiperempuan. Tuan Mansur sampai; tujuannya untuk memeterai hubungan Ani dan Samson. Samson akan dihantar belajar ke England, maka itu diharap Ani dan Samson dapat segera dinikahkan dan dapat mereka bersama pergi ke sana. Rahim terkejut, tetapi Dollah lebih terperanjat. Dia mempersoalkan keputusan Tuan Mansor ingin berbesankan keluarga Rahim. Pertengkaran tercetus lagi, lebih parah antara Kesum dan Midah. Tiba-tiba Ani sampai dalam keadaan pucat dan diikuti Samson membuatkan pergaduhan terhenti. Samson tak menyangka begitu ramai orang di rumah Ani terkejut melihat ayahnya turut berada di situ. Ingin dia beredar tapi ditahan ayahnya. Ani menjelaskan pada Midah bahawa Samson ingin mencubanya. Tuan Mansur turut terkejut dan marah apabila Samson sendiri mengakui. Menurutnya apalah bezanya sekarang dengan lepas bersanding nanti. Ini benar-benar menaikkan darah Rahim dan Midah, terus memarahai Samson dan Tuan Mansor. Kesom dan Dollah masih tak selesai memujuk Rohana pulang, manakala Tuan Mansor yang malu dengan sikap anaknya itu pulang setelah dihalau Rahim. Dalam keadaan yang tegang antara Kesum dan Rohana, Midah ikut campur. Kembali tercetus api yang tadi reda sebentar, dan kali ini mereka menerpa dan menerkam antara satu sama lain. Tirai pun ditutup. 4. TEMA Tema yang diolah oleh pengarang dalam drama ini adalah paradoks antara material dan kasih sayang. Bagi golongan muda dan moden, mereka ingin menentukan jalan mereka sendiri tanpa harus berpandukan kepada arahan golongan tua yang ingin melihat mereka berjaya dari segi material terlebih dahulu sebelum berani berkasih sayang. Ketaksuban atas gelar pendidikan juga mendapat sindiran di sini melalui watak Samson yang telah mempunyai ijazah tetapi tidak mempunyai moral Melayu yang baik kerana mengamalkan seks sebelum kahwin. Tak ada solusi yang ditawarkan pengarang, melainkan sebagai tempelak untuk kita terus mentertawakan tingkah kita sendiri dalam drama Ayam Jantan Ayam Betina ini. 3

5. LATAR 5.1 Tempat Semua babak dalam drama Ayam Jantan Ayam Betina ini terjadi di rumah Rahim. Lebih tepat lagi di ruang tamu rumah tersebut. 5.2 Waktu Ketiga-tiga babak dituliskan pengarang terjadi pada waktu siang. Terdapat indikasi dalam peralihan setiap babak merupakan selang hari atau selang waktu tertentu. Contohnya selang antara babak satu dan babak dua mungkin saja mengambil masa sehari/semalam dan selang antara babak dua dan babak tiga mungkin lebih lama. Ini kerana peristiwa Rohana melarikan diri mungkin mengambil masa lebih dari sehari. 6. WATAK Bil 1 WATAK Rahim PERWATAKAN Fizik: Separuh baya. Badan jangkung (tulang dada melengkung) Psiko: Bermasalah untuk mengambil keputusan tetap. Sosial: Seorang kerani. Kelas menengah ke bawah. 2 Midah Fizik: Lebih muda dari Rahim. Psiko: Fikiran tajam dengan bahasa yang lebih tajam pula. Cepat melenting. Sosial: Isteri Rahim. 3 Ani Fizik: Dua puluhan. Cantik. Jaga penampilan. Psiko: Manja. Sosial: Anak Rahim dan Midah. Bercinta dengan Samson. 4 Kadir Fizik: Kurus, pengotor. Umur 18 tahun. Psiko: Malas berusaha. Lebih suka bermain. Sosial: Anak Rahim dan Midah. Adik kepada Ani. Bercinta dengan Rohana. 5 Dollah Fizik: Gempal, kemas dan berpenampilan. Psiko: Bangga diri, materialistik. Sosial: Pengarah Syarikat. Ayah Rohana. 6 Kesum Fizik: Berpenampilan sesuai dengan status suami. 4

Psiko: Bangga diri, materialistik. Sosial: Isteri Dollah. Ibu Rohana. 7 Rohana Fizik: Cantik. Umur sebaya Kadir. Psiko: Tetap pendirian. Sosial: Anak Dollah dan Kesum. Kekasih Kadir. 8 Mansur Fizik: Berpenampilan. Psiko: Tenang, peramah. Sosial: Seorang kaya dan berpengaruh. Ayah Samson. 9 Samson Fizik: Muda, sedikit lebih tua dari Ani. Psiko: Liberal. Berpendidikan. Sosial: Anak Mansor. Bercinta dengan Ani.

7. BAHASA Dalam menuliskan drama Ayam Jantan Ayam Betina ini, pengarang banyak menyelitkan penggunaan sinkof. Ini disebabkan oleh dialog-dialognya diciptakan secara realis mendekati bahasa percakapan sehari-hari. Penggunaan bahasa Inggeris juga terdapat dalam dialogdialog dalam drama ini, lebih sebagai penanda kepada status penggunanya. Dialognya dicipta untuk dimainkan dengan pantas, dan bersahaja. Penggunaan bahasa-bahasa kesat seperti bangang, babi dan sebagainya dimasukkan sebagaimana patutnya sebuah farce dicipta. 8. MUZIK Elemen muzik dalam naskah ini sangat bergantung pada orkes dialognya. Biasanya sebuah farce akan diciptakan dalam suasana yang selalu tegang dan selalu ketegangan itu berakhir dengan ledakan ketawa penonton. 9. INTERPRETASI Ayam Jantan Ayam Betina dalam 2011; Adakah masih relevan? Seorang lelaki muda duduk di ruang tamu. Gelisah membenahi letak kakinya. Sejak melangkah masuk melaui pintu kaca yang tiga kali lebih besar dari pintu rumahnya, hatinya telah mula tak tenteram. Dua pasang mata tajam tuan rumah menyambutnya di ruang tamu. Hatinya mengeluh, senyum si dara pujaan hati hanya dapat disambut dengan 5

pandang lemah matanya di depan kedua orang tua kekasihnya itu. Dia dipersilakan duduk. Terasa menciut dia terbenam dalam empuk sofa kulit Itali seharga dua tahun gajinya sendiri. Sungguh dia benar-benar merasa kecil di rumah sebesar istana itu. Sesekali dia menyeka dahinya yang berkeringat halus. Suhu 22 darjah celcius yang menderu dari kotak pendingin hawa yang jauh lebih besar dari peti ais di rumahnya tak mampu menghilangkan panas jiwanya. Kepalanya terus menunduk, hanya menjeling sebentar pada kekasihnya yang menuangkan kopi dan menghulurkan cawan kepadanya. Menggeletar tangannya menyambut piring dan cawan meletakkannya di meja, bertentangan dengan ayah dan ibu kekasihnya. Ditekannya getaran itu dengan bisikan dalam hati,Mereka juga manusia, bahkan manusia besar dengan gelar ilmu dan kehidupan. Pasti mereka akan faham.. Minumlah. Suara tuan rumah, si ayah terdengar mesra. Kemesraan yang kaku, seperti yang selalu didengarnya ketika mesyuarat jabatan. Segera dia mengangkat cawan dan memandang. Agak terketar dia menyuakan cawan ke mulutnya, diikuti lirik mata si ibu yang memandang di balik kaca mata tebal berbingkai emas. Berapa gaji engkau sebulan? Hampir tersedak kopi di tekaknya mendengar soalan dari sang ibu. Si dara memandang ibu dengan mata protes. Dia menelan sisa kopi yang semakin pahit di tekaknya. Si ayah membetulkan duduknya, mungkin untuk dengan lebih jelas memesrakan suaranya agar tak kelihatan terlalu kaku. Kami bukannya apa, kami cuma nak yang terbaik untuk anak kami yang satunya ini. Dari apa yang kami dengar, make up dia sebulan pun belum tentu dapat kau adakan dengan gaji kau sekarang. Ayah! Saya tak kisah ayah. Saya sayangkan dia. Kami saling mencintai dan itu yang penting dalam hubungan kami. Bantah si dara. Tak sempat dia meletakkan cawan kembali di piringnya untuk berkata apa-apa, si ibu menambah,Hidup zaman sekarang ni bukan macam dulu. Ingat dengan cinta boleh kenyang ke perut tu? Nanti kalau dah makan pun tak cukup, macam mana pulak nak membela cucu-cucu aku nanti? Langkahnya menuju ke hentian teksi seakan tak terasa. Hanya tiris airmata di pipi kekasihnya yang memandang pemergiannya, membawa ego yang terluka parah. Ego cinta sang kerani miskin yang berani memingit dara keluarga kaya. Satu persatu langkah lemahnya, kilat hujung kasut kulitnya, ya, semalam hampir dua jam dia mengilatkan kasut itu untuk penampilan terbaik hari bersejarah dalam hidupnya, kini mengacakan wajahnya sendiri, penuh ejekan, riak wajahnya ketika disuruh pulang dan melupakan si dara oleh si ibu. Senario di atas adalah sesuatu yang biasa dilihat hari ini. Kemampuan menyediakan kemewahan, gelar pendidikan dan status sosial akan selalu jadi penentu bagi keluarga yang memikirkan apa yang terbaik untuk masa depan anak-anak mereka. Cuma satu yang mereka lupa. Lupa untuk bertanya apa yang anak-anak mereka perlukan sebenarnya. Kepincangan keluarga yang memikirkan mereka telah berjaya mendidik anak dengan menyediakan segala kemewahan tapi bukan perhatian, kerana perlumbaan mengejar harta dan status itu adalah jaminan masa depan mengakibatkan anak-anak yang kaya zahir penampilannya, tapi miskin hati budinya. Memilih menantu melalui baju dan kasut yang dipakai, dan bukan dari cara bagaimana dia mendapatkannya juga menyumbang kepada penyatuan dua hati yang munafik, melahirkan generasi munafik seterusnya masa depan. 6

Justeru itu penulis bersetuju bahawa tema, dan gaya yang dibawa pengarang dalam drama Ayam Jantan Ayam Betina ini masih tetap relevan untuk dipaparkan di depan audiens, tak kira melalui media baca ataupun persembahan. Gayanya yang membalut keseriusan isu dengan jenaka kelam kabut (farce) sekurang-kurangnya dapat membuat kita bercermin dan berfikir dalam hati yang masih kembang dalam tawa. Mudah-mudahan.