Anda di halaman 1dari 14

Nature vs Nurture : Suatu Perbincangan dari Sudut Psikologi

By, azmanamanb
1.0 PENGENALAN Perdebatan nature vs nurture merupakan antara isu yang sering diutarakan dalam bidang psikologi perkembangan. Perdebatan ini mempunyai hubungkait yang penting tentang kualiti pembawaan semula jadi individu dan faktor persekitaran dalam menentukan perbezaan antara individu mengikut ciri fizikal dan tingkah laku. Selain nature vs nurture terdapat empat lagi isu yang sering diutarakan oleh para pengkaji iaitu isu extrovert vs introvert, sensing vs intuitive, thinking vs feeling dan judging vs perceiving. Walau bagaimanapun, antara kelima- lima isu ini, isu nature vs nurture merupakan isu yang paling sukar untuk diselesaikan dan sering mendapat perdebatan yang berterusan sejak dahulu lagi..

Secara umumnya, perdebatan nature vs nurture mengkaji tentang pengaruh tingkah laku individu sama ada dipengaruhi oleh faktor biologi (nature) atau faktor persekitaran (nurture). Pengaruh biologikal merupakan satu proses perubahan tingkah laku manusia berdasarkan ciri fizikal biologi mereka. Antara contoh proses biologi yang mempengaruhi perkembangan tingkah laku seseorang ialah pewarisan gen daripada ibu bapa, perkembangan otak, perkembangan ketinggian dan berat individu, perubahan dalam kemahiran motor, perubahan hormon semasa peringkat kematangan dan kemerosotan tahap kefungsian jantung. Manakala pengaruh persekitaran pula merupakan proses pengadaptasian dan penerimaan keadaan sekeliling dalam

mempengaruhi tingkah laku manusia. Pengaruh persekitaran mempunyai ruang lingkup yang sangat luas meliputi pengaruh budaya, rakan sebaya, keluarga, masyarakat, ekonomi dan agama.

Sebagaimana yang telah sedia maklum, isu ini sentiasa menjadi perdebatan yang hangat sehingga ke hari ini kerana antara faktor semula jadi dan genetik dengan faktor persekitaran merupakan faktor yang paling dominan dalam mempengaruhi tingkah laku manusia. Kebanyakan pemasalahan sering bertindih pengaruhnya sama ada ianya lebih kepada persekitaran atau semula jadi. Oleh itu, para penyelidik psikologi sering mengutarakan dan mengkaji apakah faktor sebenar sesuatu pemasalahan iaitu sama ada dipengaruhi oleh keadaan genetik atau persekitaran.

Oleh itu, pelbagai kajian empirikal yang dapat dijadikan bukti perdebatan tersebut. berikut dinyatakan antara isu yang mempunyai kaitan dengan nature vs nurture yang diperoleh daripada pelbagai jurnal dari pelbagai lapangan seperti kesihatan, pendidikan, masyarakat dan sebagainya. Setiap artikel tersebut merupakan kajian empirikal yang mengkaji sama ada pemasalahan tersebut berpunca daripada pengaruh biologi nature) atau persekitaran (nurture). Kajian-kajian tersebut juga boleh dikaitkan dengan teori-teori psikologi seperti Teori Piaget, Teori Vygotsky, Teori B.Skinner serta pelbagai teori lain yang berkaitan.

2.0 BUKTI-BUKTI KAJIAN EMPIRIKAL


2

Khairul Anwar Mastor (2003) telah membuat satu kajian untuk mengenalpasti hubungan yang wujud mengenai aspek perbezaan individu iaitu tret perbezaan individu dan peranannya dalam membuat keputusan. Kajian tersebut menggunakan 451 orang pelajar Melayu dari matrikulasi di seluruh negara. Subjek terdiri daripada 124 pelajar lelaki dan 327 pelajar perempuan. Kajian dijalankan menggunakan dua alat kajian iaitu melalui soal selidik dan NEO PI-R (Personality Inventory Revesed) oleh Costa&McCrae,1992. Soal selidik yang direka sendiri menggunakan lima skala dengan ukuran 1= sangat rendah dan 5= sangat tinggi bagi mengukur tahap keyakinan dan kepuasan, manakala tiga skala dengan ukuran 1= Ya, 2= Tidak pasti dan 3= Tidak yang digunakan untuk mengukur tahap komitmen dan kesukaran dalam membuat kepututsan.

Kajian mendapati, ukuran kayakinan dalam membuat keputusan di kalangan pelajar tersebut, 76.1% yakin, 18.8% sederhana dan selebihnya tidak berasa yakin dengan pilihan mereka. Kepuasan mereka pula, 83.1% berasa puas dengan keputusan yang mereka buat, 4.8% tidak berasa puas dan 12% lagi sedehana. Tahap komitmen mereka didapati 57.2% mengatakan ya, 40.1% tidak pasti dan 2.7% mengatakan tidak. Di samping itu, kesukaran yang mereka hadapi dalam membuat keputusan menunjukkan 34.8% ya, 39.2% tidak dan selebihnya 25.9% tidak pasti. Alat kajian kedua iaitu NEO PI-R mengandungi 240 item lebih memfokuskan kepada pengukuran lima aspek utama dalam personaliti.

Berdasarkan keputusan kajian, pelajar perempuan dikatakan lebih terdedah kepada pengaruh semulajadi dalam membuat keputusan. Mereka kurang berpuas hati dengan keputusan yang mereka lakukan berbeza dengan pelajar lelaki. Selain itu, pelajar perempuan terlalu
3

bimbang dan gelisah sehingga menyebabkan mereka kurang berpuas hati dengan keputusan yang mereka lakukan. Keputusan kajian juga memberikan maklumat tambahan mengenai semula jadi yang biasanya berlaku tentang hubungan antara aspek neurotism dengan kebimbangan (Meyer&Winer, 1993). Perkara ini menunujukkan tahap neurotism yang tinggi akan menyebabakan seseorang mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi dalam membuat keputusan mereka. Ianya juga boleh dikaitkan sebagai penyebab secara umum mengapa pelajar perempuan seringkali menghadapi kesukaran dalam membuat sesuatu keputusan.

Kesimpulannya, kajian pengaruh dalam membuat keputusan terhadap pilihan bidang pengajian, pelajar perempuan lebih terpengaruh kepada faktor nature berbanding pelajar lelaki. Kebanyakan pelajar perempuan lebih mudah menyesal atas tindakan atau keputusan yang mereka ambil. Pelajar lelaki pula lebih yakin dan konsisten dalam membuat sesuatu pilihan atau keputusan. Oleh itu, dapatan kajian yang utama dalam kajian yang dilakukan ini menyatakan bahawa pelajar perempuan lebih tepengaruh dengan faktor biologi (nature) dalam membuat sesuatu keputusan berbanding pelajar lelaki.

Zalizan Mohd.Jelas, Saemah Rahman, Roselan Baki dan Jamil Ahmad (2005) telah membuat kajian mengenai perbezaan prestasi akademik di kalangan pelajar lelaki dan perempuan dalam sistem pendidikan Malaysia. Subjek kajian yang melibatkan 3 000 orang
4

pelajar sekolah menengah iaitu 1 446 pelajar lelaki dan 1 554 pelajar perempuan bagi meninjau gaya pembelajaran, kemahiran belajar dan perasaan mereka terhadap guru dan persekitaran sekolah. Alat kajian yang digunakan adalah secara soal selidik untuk mengenal pasti profil pelajar tentang faktor diri pelajar dan persepsi pelajar terhadap persekitaran sekolah.

Kajian dilakukan terhadap 3 000 orang pelajar dari sekolah di seluruh negara mengikut zon; utara, tengah, timur dan selatan, kawasan; bandar dan luar bandar, jenis sekolah; SMK, SMKA, SMJK dan SMT, aliran; sains, sastera, agama dan teknik, tingkatan; 3, 4, 5 dan 6, dan sama ada sekolah haria atau berasrama penuh. Soal selidik telah digunakan untuk mengukur factor diri pelajar dan persepsi pelajar tersebut. Sebanyak 134 item yang terdapat dalam soal selidik tersebut dengan beberapa pecahan iaitu demografi sebanyak 18 item, gaya pembelajaran pelajar sebanyak 36 item, strategi dan kemahiran belajar sebanyak 24 item, nilai pelajar terhadap pendidikan dan kerjaya sebanyak 18 item, tahap keluarga sebanyak 8 item seta persepsi mereka terhadap pengajaran guru sebanyak 30 item. Data kemudian dianalisis menggunakan statistik deskriptif iaitu carta graf alguma untuk melihat perbezaan prestasi antara pelajar lelaki dan perempuan dalam peperiksaan awam. Data statistik inferensi juga digunakan yang merupakan ujian t dan analisis varians multivariate (MANOVA) untuk mengenalpasti sama ada erdapatnya perbezaan yang signifikan dalam faktor-faktor yang dijangka dapat mempengaruhi prestasi akademik lelaki dan perempuan. Keputusan kajian yang diperoleh dibahagikan kepada dua iaitu primer dan sekunder. primer merupakan perbezaan jantina dari segi faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar iaitu diri pelajar itu sendiri, gaya pembelajaran, kemahiran dan strategi mereka
5

serta faktor persekitaran meliputi tahap kepuasan persekitaran sekolah dan persepsi mereka terhadap kawalan keluarga mereka. Bahagian kedua pula ialah sekunder yang digunakan untuk menjawab persoalan kajian yang pertama untuk mengetahui corak perbezaan prestasi pelajar di kalangan pelajar lelaki dan perempuan dalam peperiksaan awam negara dan secara keseluruhannya menunjukkan pelajar perempuan memperoleh keputusan yang lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam hampir semua mata pelajaran dalam peperiksaan tersebut.

Kesimpulannya, kajian tersebut menunjukkan perempuan lebih berjaya dalam bidang pendidikan berbanding lelaki disebabkan beberapa faktor yang menunjukkan hubung kait yang rapat dengan pencapaian mereka. Selain itu, lelaki didapati kurang bersemangat dalam meneruskan pelajaran mereka akibat daripada factor dalaman dan luaran yang membrikan mereka berasa tertekan, tidak konsisten dan tidak menumpukan perhatian yang lebih dalam meneruskan pelajaran mereka. Di samping itu, lelaki didapati kurang tumpuan terhadap keluarga mereka berikutan factor keluarga itu sendiri yang terlalu memberikan harapan, desakan dan tekanan yang boleh dianggap sebagai bebanan oleh diri pelajar itu sendiri.

Keltner & Norman L. ( 2000 ) telah membuat suatu kajian mengenai penyakit skizofernia yang merupakan penyakit akibat pengaruh persekitaran seseorang ( nurture ). Mereka telah menggunakan dua subjek utama iaitu dua orang adik beradik, Al dan Pete. Subjek merupakan
6

adik beradik yang berkemungkinan mendapat penyakit skizofernia disebabkan faktor pewarisan. Kajian dijalankan dengan menggunakan kaedah pemerhatian. Ibu mereka didapati turut menghidap penyakit yang sama, namun kajian yang dibuat oleh Keltner & Norman L. telah membuktikan bahawa mereka menghidap penyakit tersebut disebabkan faktor persekitaran. Hal ini dibuktikan berikutan Al dan Pete memiliki seorang ayah yang tegas dan panas baran. Ayah mereka selalu memukul mereka dan adik beradik yang lain sehinggakan Al pernah dipukul teruk. Situasi sebegini telah memberikan kesan trauma serta perasaan takut terhadap bapa mereka dan ianya terus berlarutan untuk masa panjang walaupun ayahnya telah dikatakan meninggal dunia.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh mereka, subjek yang bernama Al dikatakan telah menghadapi halusinasi dan delusi sejak berusia awal 20-an. Pelbagai bentuk gangguan yang dihadapinya seperti mendengar suara yang mengatakan penyakit yang dihidapinya merupakan balasan daripada Tuhan. Selain itu, Al turut sering terbayangkan ruang angkasa, gambaran pembunuhan Christ serta beberapa bentuk halusinasi yang biasa terjadi. Setelah perkara ini berlanjutan lama, Al dimasukkan ke dalam rumah pesakit mental. Perbezaan ditemui pada keadaan Pete, dia pada mulanya kelihatan lebih normal. Pete merupakan seorang yang mempunyai kerjaya dan berkebolehan dalam mengingati sesuatu perkara. Namun, orang dipersekitarannya mula merasakan kelainan terhadap Pete apabila Pete sering bercerita tentang perkara-perkara yang tidak masuk akal. Pete lebih cenderung menghadapi delusi daripada mendengar suara-suara yang pelik. Akhirnya dia juga telah dimasukkan ke hospital sakit jiwa kerana disahkan menghidap penyakit skizofernia yang lebih kronik berbanding Al.

Selain itu, Al dan Pete menghidap penyakit skizofernia disebabkan pengalaman tersendiri yang menakutkan sehingga wujudnya trauma dalam diri mereka. Al pernah dipukul sehingga berlakunya pendarahan, manakala Pete pernah menjadi mangsa rompakan apabila dia dirompak dengan pistol yang diacukan ke arah kepalanya. Keadaan yang traumatik tersebut menyebabkan Pete menghadapi pelbagai delusi seperti melihat cahaya yang terang secara tiba-tiba. Dapatan kajian daripada pemerhatian yang dilakukan ini juga telah mendapati berlakunya dua jenis penyakit skizofernia iaitu undifferentiated schizophrenia yang dihidapi oleh Al, manakala Pete menghidap chronic undifferentiated schizophrenia.

Kesimpulannya, kajian ini mendapati penyakit skizofrenia merupakan penyakit yang bukan sahaja boleh diwarisi melalui faktor genetik tetapi juga boleh terjadi melalui faktor persekitaran yang menyumbang kepadanya. Di samping itu, terdapat juga faktor persekitaran lain yang dikaji boleh menjadi penyebab kepada seseorang untuk menghidap skizofrenia ialah lahir semasa musim sejuk, peradangan semasa dalam kandungan, kebuluran, terdedah kepada toksin semasa dalam kandungan, terdedah kepada radiasi dan sebagainya. ( Andreasen, 1999 ; McNeil, Cantor-Graae & Weinberg, 2000 ) Oleh itu, kajian Keltner & Norman L. dianggap telah berjaya menunjukkan penyakit skizofrenia merupakan penyakit yang boleh dihidapi apabila terdedah kepada beberapa persekitaran ( nurture ) yang boleh menyumbang kepada permasalahan kajian yang telah mereka jalankan.

Paula C.Rust (1992) telah membuat suatu kajian mengenai tarikan seksual dan tingkah laku di antara lesbian dan wanita biseksual. Kajian tersebut melibatkan subjek yang terdiri daripada 365 wanita yang bersifat lesbian dan biseksual. Subjek dikaji dengan menggunakan soal selidik yang direka khas oleh penyelidik. Soal selidik merangkumi kajian sejarah identiti seksual subjek, tingkah laku dan perasaan subjek terhadap tarikan daya seksual yang wujud.

Kajian dilakukan dengan memberikan borang soal selidik yang berkaitan soal pengurusan kendiri subjek. Soalan tersebut diedarkan kepada gay, lesbian dan komuniti biseksual. Selain itu, boring soal selidik diedarkan kepada jaringan sahabat andai, pelbagai organisasi serta iklan-iklan umum di media massa. Hasil daripada penyebaran soal selidik tersebut telah mendapat maklum balas daripada 427 subjek.

Dapatan kajian telah mendapati wanita lesbian dan biseksual mempunyai aturan yang luas tentang tingkah laku dan perasaan serta pengalaman mereka. Lebih 30% subjek iaitu lesbian mengaku bahawa mereka benar-benar tertarik terhadap jantina sejenis tanpa menaruh perasaan terhadap lelaki. Hampir 70% subjek menyatakan mereka tertarik kepada wanita dan lebih cenderung kepada tarikan perasaan hubungan homoseksual berbanding heteroseksual. Golongan lesbian juga turut menyatakan secara umum bahawa mereka terjebak dengan perkara tersebut disebabkan faktor persekitaran. Responden yang terdiri daripada biseksual. Mereka lebih berselindung mengenai perasaan mereka tentang tarikan seksual.

Perbincangan antara faktor-faktor persekitaran yang menyebabkan mereka terjebak dalam gejala homoseksual menyatakan faktor asuhan keluarga terdiri daripada trauma atau pengalaman negatif subjek di alam kanak-kanak seperti masalah penderaan sehingga mereka beranggapan semua lelaki atau perempuan bersikap kasar, ganas dan panas baran yang memungkinkan anak berasa benci pada golongan tersebut. Hal ini seterusnya menjadi pradominan dalam pemilihan identiti, iaitu melalui perhubungan yang renggang dengan ibu dan bapa mereka. Didikan keluarga yang terlalu mengongkong dan mendesak kehidupan mereka. Terdapat segelintir bapa yang tidak dapat menunjukkan kasih sayang dengan anak perempuan mereka malah sehingga terjadinya situasi anak perempuan lebih rapat kepada ibu dan renggang dengan bapa dan seterusnya menjadi faktor terjadinya gejala lesbian. Di samping itu, aktiviti seksual juga turut menjadi salah satu faktor tersebut. Kebanyakan golongan lesbian terdiri daripada golongan remaja. Mereka mempunyai semangat ingin mencuba yang tinggi. Terdapat di kalangan mereka yang telah merasakan hubungan seksual ini pada kali pertama dapat merasakan ianya suatu perkara yang menyeronokkan dan terjadilah kecenderungan untuk mereka melakukannya secara kerap dan berterusan.

Kesimpulannya, gejala lesbian dan biseksual dalam tarikan seksual dan tingkah laku ini dipengaruhi oleh faktor nature dan nurture. Namun, pengaruh daripada faktor nuture lebih memainkan peranannya dalam kajian ini. Didapati faktor nurture yang mempengaruhi gejala ini disebabkan oleh keadaan keluarga dan aktiviti seksual mereka. Manakala faktor nature pula tidak menunjukkan pengaruh yang besar.

10

Kanner (1943) telah menjalankan kajian mengenai penyakit Autisme iaitu sejenis kecelaruan yang tidak diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa. Beliau menggunakan kaedah pemerhatian untuk mendapatkan hasil kajian. Menurut beliau, dalam setiap 10,000 bayi yang lahir, empat daripada mereka berkemungkinan menghidap kecelaruan autistik. Beliau mendapati bahawa kecelaruan ini berlaku seumur hidup dan memerlukan ketabahan yang tinggi khususnya daripada ibu bapa untuk membantu anaknya.

Terdapat ciri-ciri umum untuk kecelaruan autistik, antaranya ialah ketidakupayaan dalam komunikasi. Kanak-kanak autistik menghadapi masalah untuk berkomunikasi, menjalin hubungan sosial dan berfikir secara kreatif. Mereka hidup dalam dunia sendiri. Pada peringkat bayi, anak autistik tidak peduli sama ada dipeluk atau tidak oleh ibu bapanya. Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan mengasingkan diri serta menunjukkan reaksi yang agresif ketika dipegang, disentuh dan dipeluk. Jika sakit, luka atau duka, anak autistik tidak akan meluahkan masalah untuk mengurangkan ketidakselesaan. Mereka suka berseorangan, tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain dan hidup dalam dunianya sendiri.

Hasil dapatan kajian yang diperolehi, hampir 50% daripada anak autistik tidak dapat menguasai teknik pertuturan dengan baik. Anak-anak ini mempunyai suatu corak komunikasi yang digelar echolalia iaitu mengulangi perkataan orang lain. Selain itu, mereka menunjukkan tingkah laku dan minat yang agak luar biasa. Mereka tidak suka diusik, disentuh mahupun tidak
11

suka orang lain mengubah apa yang telah mereka buat. Mereka juga sangat sensitif terhadap kehilangan benda. Mereka dapat mengesan dengan cepat walaupun kehilangan satu atau dua benda hak miliknya. Mereka juga sanggup menggunakan masa yang panjang untuk mengulangi sesuatu perbuatan seperti memusingkan badan dalam bulatan. Sikap mereka yang angkuh, suka mengahafal, mengulang dan tidak menghiraukan kewujudan orang lain merupakan halangan yang merumitkan proses pembelajaran mereka.

Kebanyakan anak yang mempunyai autistik dapat dikesan sebelum usia mereka mencecah tiga tahun. Hampir 50% anak autistik mempunyai IQ (darjah kecerdasan) kurang daripada 50, iaitu julat kecacatan akal yang serius. Sementara itu, hampir 25% tergolong dalam julat IQ 50 hingga 70, manakala bakinya menunjukkan purata IQ yang melebihi 70. Ujian IQ amat penting untuk menentukan pronogsis anak autistik. Punca berlakunya kecelaruan autistik dapat ditinjau melalui perspektif psikologikal, sosial dan biologikal. Kebanyakan anak autistik, mereka menghadapi aras serotonin dan dopamine yang tinggi. Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa kecelaruan autistik lebih kepada faktor nature kerana ianya sering diwarisi. Lelaki menunjukkan kecenderungan yang lebih tinggi menghidapi autisme berbanding dengan perempuan. Kadar kekerapan yang berlakunya biasanya adalah tiga hingga empat lelaki berbanding perempuan, satu sahaja. Autisme merupakan suatu kecelaruan yang masih memerlukan banyak kajian yang lebih mendalam untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai dan berkesan..

12

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, berdasarkan kesemua bukti yang telah dinyatakan, dapat dirumuskan bahawa antara pengaruh biologi ( nature ) dan persekitaran ( nurture ) terdapat beberapa isu yang masih tidak dapat dipastikan keabsahannya sama ada ianya dipengaruhi oleh persekitaran ataupun biologi. Perkara ini kerana dalam sesetengah situasi dan pemasalahan, kedua-dua pengaruh ini saling memainkan peranan dan mempunyai kepentingan serta kelebihan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi dengan melihat kepada kekuatan atau dominannya sesuatu pengaruh, misalnya dalam bukti mengenai skizofernia yang menunjukkan kedua-dua
13

pengaruh dan ianya bergantung kepada pengkaji sama ada untuk melakukan pendekatan tersebut dari aspek nature ataupun nurture.

Kajian yang telah dilakukan sememangnya penting dalam mencari perbezaan mahupun penyelesaian yang berkaitan bagi sesuatu isu perdebatan yang dikemukakan. Pelbagai penyelesaian yang boleh diambil melalui bukti dalam perdebatan tersebut. Sebagai contoh, penyakit autistik sebenarnya disebabkan oleh faktor biologi yang memboloehkan kita mengetahui langkah untuk mengatasi permasalahan tersebut. Oleh itu, kajian perdebatan nature vs nurture bukan sahaja sebagai mengemukakan pembuktian yang terperinci bagi sesuatu isu, bahkan ianya turut memberikan manfaat kepada kajian yang lebih baik pada masa hadapan serta mencari penyelesaian yang berkesan.

14