Anda di halaman 1dari 7

Cerpen: Mimpi seorang Padin

Oleh AHMAD J. HUSEIN SEPERTI biasa, ketika feri Pulau Layang-Layang memuntahkan penumpangnya di jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim, manusia keluar berpusu-pusu dari perut feri dan melangkah cepat menuju ke destinasi masing-masing. Mereka berjalan gopoh-gapah macam dikejar hantu syaitan dari neraka ketujuh. Tidak menghiraukan di antara satu sama lain. Seperti biasa juga, dia tidak pernah mengendahkan sesiapa di situ. Dia dengan dunianya. Mereka dengan mereka. Sesiapa pun boleh melintasinya. Ada kalanya, dia menyedut kentut daripada manusia yang berjalan dan melintasinya di lorong sempit itu. Pun dia tidak ambil kisah tentang segala kentut yang dihembuskan oleh punggung-punggung yang kecil besar itu. Dia masih duduk dan menyandarkan belakangnya pada tiang besar berhampiran tandas awam di situ. Sebuah buku yang sudah kumal dibelek-beleknya. Dia masih memegang buku itu dan sesekali kelihatan mulutnya kumat-kumit membaca tulisan-tulisan yang tercatat di dalam buku yang lasam itu. Tiba-tiba seorang perempuan separuh umur melontarkan beberapa keping syiling ke atas ribanya. Dia terperanjat tapi buat tidak kisah saja. Dia tidak meminta mereka berbuat begitu. Mungkin orang itu ikhlas hendak menolongnya? Dia tidak pernah fikir tentang itu. Dengan baju besar dan seluar besar yang dipakainya dia menghendap-hendap pada dinding tandas. Kegemarannya ini telah lama. Dia suka membaca segala tulisan yang tercatat di dinding tandas itu. Kadang-kadang melihat frafiti lucah. Tentunya dilakar oleh manusia kurang bermoral. Tapi dia tidak pernah mengambil tahu dan memikirkan itu semua. Malah dia sendiri tidak berapa tahu erti ``kurang bermoral'' itu. Dia melihat beberapa tulisan diconteng di dinding tandas. Dia membaca perlahan. Dunia ini penuh dengan manusia tidak beretika. Mereka amalkan rasuah dan rasuah Pak Lah marah orang tumbuk rusuk. Tumbuk kepala tak apalah. Dia senyum dan bergeleng. Dia faham sedikit saja maksud tulisan yang separuh kemas itu. Dia membaca tulisan yang lain pula. Tulisan kali ini ditulis dengan pen dakwat merah. Dia pun membaca. Apa nak jadi dengan Proton? Mahathir suruh tutup Proton. Tutup lagi bagus. Dah tak ada nilai la ni! Dia bergeleng lagi. Senyum. Dan dia terus membaca tulisan yang lain pula.

Aku cintakan kau, Fidah. Tapi kau meminati benda yang besar-besar saja. Kau suka kereta besar, rumah besar dan pangkat besar. Tapi aku budak kampung saja. Mana mungkin aku dapat beli benda yang besar-besar itu. Boleh blah kau, Fidah. Yang benar, Montoya, Batu Kurau. Dia bergeleng sekali lagi. Tulisan itu halus dan kemas. Mungkin ditulis oleh budak yang baru lepas tingkatan lima. Tapi dia tidak pernah memikirkan itu semua. Kalau ditulis oleh anak menteri pun dia tak kisah. Dia mana tahu menteri ada anak. Dunianya kadangkadang terlalu sepi. Membosankan. Tapi itulah, apabila bosan bersandar di tiang itu, dia akan melangkah tersiuk-siuk masuk tandas. Berjam-jam dia di situ. Dia masih di dalam tandas. Dia melihat wajahnya di dalam cermin. Dia meneliti rambutnya yang panjang dan berbiji-biji. Dia menarik beberapa helai rambut dan meneliti biji-biji hitam pada rambut yang ditariknya tadi. ``Biji rambut ni kalau boleh makan bukankah bagus?'' Tiba-tiba dia berkata seorang diri. Dia senyum. ``Heh, kau buat apa di sini? Berak? Kencing?'' Seorang lelaki separuh umur menyergahnya. ``Apa ada di dinding? Ada gambar mak bapa kau?'' ``Tak ada... tak ada... aku suka baca di sini!'' ``Oh... kau suka tengok gambar lucah ya?'' ``Tidak... tidak... aku suka tengok gambar... Mahathir... tu... sana tu... kat dinding tu. Siapa lukis aku mana tau?'' Kata lelaki yang berumur lebih kurang dua puluh sembilan tahun itu. ``Kalau kau rajin sangat, kau duduk di sini dan tengoklah siapa yang suka buat ``kerja gila'' di dalam tandas ini! Tahu?'' ujar lelaki separuh umur itu sambil melangkah keluar dari tandas sebaik-baik saja dia melepas hajatnya di situ. ``Tak mahu, tak mahu... aku tak mahu buat macam tu!'' kata lelaki berambut tak terurus itu lagi. Dia senyum. Tapi lelaki tadi itu telah meninggalkannya di tandas itu. Dia mampir di tepi dinding itu lagi. Beg sandangnya dikepit bawah ketiak. Dia melangut ke dinding dan baca lagi perlahan-lahan: Dunia tak adil terhadap Islam. PBB barua Amerika. Bush patut ditendang masuk penjara kerana membunuh rakyat Iraq dan Afghanistan.

Dunia semakin kacau. Islam dituduh pengganas? Adakah orang Islam saja yang menjadi pengganas? Aku cinta Umie, tapi dia dah kahwin dengan pengusaha kereta terpakai di Selangor. Yang benar Lee, Padang Senai. Setelah selesai membaca semua catatan itu, lelaki itu bergeleng beberapa kali. Begitulah! Setiap kali dia selesai membaca segala catatan pada dinding itu, dia akan bergeleng. Tiba-tiba seorang lelaki India terjengul di pintu tandas. Dia melihat ada seseorang sedang membaca sesuatu dekat dinding, berhampiran cermin di situ. ``Daey! Lu apa bikin sini tempat?'' ``Aku punya tempat, aku punya fasallah... lu apa peduli? Asyik tanya orang saja!'' Kata lelaki itu dengan nada keras. Lelaki berketurunan India terus menikus. Cepat-cepat dia membuang air kecil dan keluar dari tandas. Dia meluru kepada perempuan penjaga tandas lalu mengadu sesuatu kepada perempuan yang sebangsanya itu: - qwertrewq... ouiytbgrewqq! - Bvfderaq... kji tre#@...? - QweRkityredfddghg. - Dia tarak betul punya orang, apa fasal lu kacau? - GHerwr, etreqazxqq! - ??? Setelah lelaki India itu berlalu dengan tergesa-gesa, penjaga tandas itu pun masuk ke tandas. Di tangannya ada sebuah baldi dan berus sabut. Selalunya, apabila orang tidak sibuk di dalam tandas itu dia akan masuk untuk menjalankan tugasnya di situ. Kadang-kadang anak lelakinya datang menolongnya. Selalunya anaknya datang pada hari tidak bersekolah. Budak itu ringan tulang. ``Heh, apasal lu bising-bising tadi?'' tanya wanita India itu. ``Aku bising? Tarak... aku tak bising. Tak... tak... tak adalah... aku duduk sini tempat, baca semua yang orang tulis di sini!'' balas lelaki itu bersungguh-sungguh. Perempuan itu bergeleng. Dia menyimpul sanggulnya yang terburai. Senyum. Dia tahu kadang-kadang lelaki itu terlalu pelupa.

Dia masih ingat, beberapa kali lelaki itu meninggalkan dompetnya di atas simen tempat selalu dia berbaring. Tetapi dompet itu diambilnya dan mengembalikan semula kepada lelaki itu. ``Lu pergi sana duduk, aku mau bikin kerja,'' kata perempuan India itu kemudian. Dia memimpin tangan lelaki itu ke pintu tandas. ``Baik-baik, aci... aku sana duduk.'' Dia terus melangkah ke tempat yang selalu didudukinya. Apabila sampai di situ dia melihat beberapa keping wang syiling bertaburan di atas kertas alas duduknya. Dia tidak berkata apa-apa. Dia memungut wang syiling itu dan memasukkan ke dalam beg sandangnya. ``Aci! Aku mahu tidurlaaah,'' laungnya kepada perempuan yang sedang mencuci dalam tandas. ``Okey! Lu mau tidur, tidurlah..., aku mau kerja dulu. Nanti bos marah,'' balas perempuan India itu kuat. Suaranya bergaung di dalam tandas. Dia terus menjalankan tanggungjawabnya. Dia tahu, kini anaknya tidak dapat datang menolongnya di tandas itu. Kupusamy ada kelas tambahan di sekolahnya. Dia sedar, kelas tambahan itu sangat penting bagi anaknya kerana tahun ini budak itu akan mengambil peperiksaan STPM. Dan peperiksaan itu akan menentukan masa depan Kupusamy. Dia tidak menghalang Kupusamy menghadiri kelas tambahan itu. Biarlah dia belajar dulu. Dia sedar, dalam dunia yang penuh persaingan ini pelajaran sangat penting untuk semua orang. Dia tidak mahu Kupusamy jadi macam anak Ganesan. Baru gagal dalam SPM kena tangkap polis kerana menghisap ganja dengan kawan-kawannya di Sungai Pinang. Budak-budak yang tidak ada kerja, selalunya melakukan pekerjaan yang merugikan diri sendiri. Muniamah tidak mahu hal buruk itu berlaku ke atas diri Kupusamy. Dia mahu Kupusamy berjaya dalam pelajarannya. Dan selama ini pun Kupusamy sangat cemerlang dalam pelajarannya. Kawan Kupusamy ialah Hasbullah, anak Haji Daud, imam Masjid Kampung Datuk Keramat. Di sekolah, Hasbullah dan Kupusamy sekelas. Muniamah tahu, Hasbullah baik hati orangnya. Dia selalu menolong orang yang kesusahan. Sifat mulia itu diwarisi daripada ayahnya Haji Daud, yang sangat dikenali Maniamah. Setelah selesai mencuci tandas, Muniamah kembali ke meja kecil tempat selalu dia menunggu pelanggan masuk tandas. Di situlah dia membuka sumpit pinang sirihnya. Di situ jugalah dia berbual-bual dengan lelaki malang yang sedang tidur lena di tepi tiang besar itu!

Apabila melihat lelaki itu, perasaan belas kasihan timbul dalam dadanya yang telah leper itu. Dia tahu, Padin bukan tidak bersekolah. Ketika di estet dulu, Padin budak yang cerdik. Padin belajar di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur. Tetapi entah mengapa nasib Padin jadi begitu. Kata orang, Padin gagal peperiksaan kerana terlalu memikirkan kekasihnya dikahwinkan dengan lelaki lain! Muniamah menghampiri Padin yang sedang tidur terlentang di tepi tiang besar itu. Dia lihat wajah Padin berkerut-kerut. Muniamah tidak mahu mengganggui lelaki itu. Biarlah dia tidur di situ. Tiba-tiba seorang pegawai polis menghampiri tempat Padin tertidur. ``Apasal dia tidur sini?'' pegawai polis menghalakan pertanyaannya kepada Muniamah. Perempuan itu senyum sambil memutarkan jari telunjuknya di kepala. Dan pegawai polis itu senyum. Kemudian dia berlalu sambil bergeleng beberapa kali. Tidak ramai orang yang lalu-lalang di situ ketika Muniamah masuk ke tandas untuk mencuci. Di tangannya ada sebuah baldi plastik dan berus sabut yang telah haus. Ketika dia sedang mencuci dinding tandas muncul Padin sambil menenyeh matanya. Sesekali lelaki itu menguap. Mungkin dia mengantuk lagi, fikir Muniamah. ``Kalau lu ngantuk, pergilah tidur...'' kata perempuan India itu sambil mencurah air ke lubang najis. Padin diam. Matanya melingas ke dinding tandas. Dia membaca perlahan-lahan tulisan yang tercatat di situ. Perempuan itu tidak boleh harap, dia penting dirinya saja. Kalau aku ada kuasa aku cekik dia sampai mati. Selamat jalan Timah, semoga kau bahagia di sisinya. Aku yang masih sayang pada kau. Md. Deris Blues, Padang Siding. Padin bergeleng. Senyum lagi, Muniamah dilihatnya begitu tekun mengikis tulisantulisan dana grafiti itu dengan sebilah pisau tumpul. ``Semua orang gila punya kerja, masuk ini jamban bikin kotor, kasi susah aku. Criiittt!'' dia meludah air pinangnya ke dalam singki yang penuh puntung rokok. ``Lu cakap juga tarak guna. Kalau lu segan kerja pergi duduk sana mejalah!'' ujar Padin, tersengih-sengih. ``Mana boleh segan nanti bos datang, dia marah sama aku...'' balas Muniamah dan dia terus mengikis tulisan-tulisan pada dinding yang berdanur itu. ``Lu banyak rajin kerja... nanti aku belanja sama lu,'' Padin tersenyum-senyum. Tapi dia terus mengikis juga tulisan yang berselekeh di dinding itu.

Padin melangkah keluar dari tandas setelah rasa begitu lapar. Sambil mengepit beg sandangnya dia melangkah ke seberang jalan untuk membeli dua bungkus nasi. Dia selalu membeli nasi campur di warung itu. Dan orang di warung itu sangat mengenali Padin. Matahari terik dan haba panas membahang. Lalu lintas bertali arus di atas aspal. Sibuk sekali suasananya. Padin teragak-agak hendak melangkah ke warung di seberang jalan. Tiba-tiba sebuah kereta memberi hon. Mersik bunyinya. Padin terperanjat. Matahari pukul dua belas memancar terik di atas ubun-ubun. Angin panas bertiup kencang menjadikan baju dan seluar besar yang dipakai Padin melibas-libas. Dia tidak ambil kisah tentang keadaan itu. Dunianya adalah tersendiri. Persoalan pakaian bukan terlalu penting baginya. Dia menyanyi-nyanyi kecil tetapi buah butirnya tidak ketahuan hala. Ada kalanya macam lagu Tamil. Memang Padin pakai hentam saja. Dia mana tahu tentang lagu! Dia terus tersiuk-siuk menuju warung nasi kandar yang telah dikerumuni orang. ``Mari, mari, mari! Nasi kandar ``spesial'' punya! Mari! mari, mari, ikan ada, ayam ada, bendi ada, telur ada. Semua ada! Suara itu menujah gegendang telinga Padin. Dia melangkah cepat ke situ. ``Nah... lu punya nasi sudah siap. Okey?'' mamak yang bermisai tebal itu terus menghulurkan sebungkus nasi ke tangan Padin. ``Apa lauk?'' Tanya Padin, menajamkan matanya ke wajah mamak itu. ``Macam biasalah... bendi campur telur...'' Padin mengangguk lesu. Kemudian berlalu tanpa menoleh lagi kepada mamak yang sedang dikerumuni pelanggan itu. Dia memang sibuk tengah hari begini. Tidak menang tangan, kata orang. Nasi kandarnya memang laris walaupun segala kuahnya bercampur dengan peluh dan rambut! ``Hoi! Duit tarak kasi lagi daaa!'' ``Ah, esok angkatlah... aku lapar sekarang!'' Kata Padin dan terus melangkah pergi. Mamak itu diam. Malas dia hendak layan Padin. Pelanggannya terlalu ramai. Tapi dia tahu, esok Padin akan bayar. ``Jangan lupa esok lu kasi duit ya!'' Padin berlari-lari anak. Tiba-tiba dia menyanyi: Mari menyusun seroja bunga serojaaaa!

marilah adik memetik bungaaaa! sekarang bukan bermenung zaman bermenungggg marilah adik makan nasi kandarrrr janganlah adik duduk termenung janganlah adik suka terlena kalau terlena, kalau terlena, kalau terlena nanti masuk pusat serentiiii dapat makan freeee! Beberapa gadis remaja yang berselisih dengan Padin ketawa terkial-kial mendengar lagu dan seni kata yang pelik itu. Padin buat tidak tahu saja. Dia menyanyi lagi seni kata lagu yang agak pelik itu. Dan gadis-gadis itu terus ketawa. Tolak-menolak antara satu sama lain. Padin tidak kisah semua itu. Dia terus menyanyi dan sesekali mempamerkan giginya yang berkarat. Marilah adik memetik bunga marilah adik makan roti canai marilah adik makan nasi kandar nasi kandar campur peluh kita makan sampai berpeluh! Padin terus menyanyi di tengah hiruk-pikuk manusia yang lalu-lalang di lorong sempit itu. Orang ramai tidak mempedulikannya!

Dipetik dari, http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp? y=2005&dt=1127&pub=utusan_malaysia&sec=sastera&pg=sa_03.htm&arc=hive (27 NOVEMBER 2005)