Anda di halaman 1dari 4

BAHASA MELAYU (SEKOLAH RENDAH)

KERACUNAN MAKANAN Keracunan makanan merupakan penyakit yang berlaku akibat pengambilan makanan yang tercemar. Makanan dikatakan tercemar sekiranya terdapat sesuatu yang tidak sepatutnya berada dalam makanan itu. Secara umumnya terdapat tiga jenis pencemaran makanan. Pencemaran biological merupakan pencemaran yang disebabkan oleh bakteria, fungi (kulat dan yis), dan virus. Sementara itu, pencemaran fizikal pula disebabkan oleh benda-benda fizikal seperti rambut, paku, kaca dan sebagainya yang tercampur dengan makanan. Jenis pencemaran yang ketiga ialah pencemaran kimia iaitu pencemaran makanan yang berpunca daripada bahan kimia beracun seperti racun serangga, bahan pencuci, racun rumpai, aditif makanan yang berlebihan seperti bahan pengawet, pewarna makanan dan sebagainya. Walaupun tanda-tanda terkena keracunan makanan itu berbeza menurut faktor usia seseorang, daya ketahanan, jenis racun, jenis bakteria, dan sebagainya; secara umumnya tanda-tanda yang biasa ialah pesakit akan berasa loya dan muntah-muntah. Mangsa keracunan makanan juga mungkin akan demam dan kehilangan air dalam badan atau dehidrasi serta mengalami cirit birit. Walau bagaimanapun, mencegah sesuatu penyakit adalah lebih baik daripada mengubatinya. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun mengeluarkan garis panduan tentang kebersihan dan keselamatan makanan, khusus untuk pengendali makanan seperti pengusaha kafetaria sekolah atau pengusaha makanan di asrama sekolah. Garis panduan yang dikeluarkan itu menyentuh tatacara yang perlu diamalkan oleh pengusaha makanan demi menjamin keselamatan pelanggan. Namun begitu, pengusaha makanan sekolah bukanlah pihak yang seharusnya dipersalahkan seratus peratus apabila berlaku kes pencemaran makanan di sekolah, tetapi mereka tetap dilihat sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan makanan dan minuman yang dijual itu adalah bersih dan selamat dimakan. Sekiranya pihak pengurusan sekolah, pengusaha kantin, ibu bapa, para pelajar dan agensi seperti jabatan kesihatan tempatan memainkan peranan masing-masing, isu keracunan makanan pasti tidak akan begitu kerap terpapar di dada akhbar.

Soalan 1. Apakah yang diperkatakan tentang teks ini? 2. Keracunan makan dalam teks tersebut berkaitan dengan keracunan makanan di mana? 3. Mengapakah kita harus mengelakkan daripada mengambil makanan yang tercemar? 4. Pada pendapat anda, mengapakah Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan garis panduan tentang kebersihan dan keselamatan makanan? 5. Apakah yang dapat anda rumuskan tentang teks tersebut?

Cadangan Jawapan 1. Teks ini adalah berkenaan dengan jenis-jenis, tanda-tanda dan tanggungjawab badan-badan tertentu berkaitan dengan keracunan makan di sekolah. 2. Keracunan makan tentang teks tersebut berkaitan dengan keracunan makanan di sekolah. 3. Kita harus mengelakkan daripada mengambil makanan yang tercemar kerana ia boleh menjejaskan kesihatan kita. 4. Pada pendapat saya, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan garis panduan tentang kebersihan dan keselamatan makanan adalah sebagai cara untuk mengelakkan kejadian pencemaran makanan yang boleh membawa kepada keracunan makanan. 5. Saya dapat merumuskan bahawa pencemaran makanan boleh membawa kepada keracunan makanan yang dapat menjejaskan kesihatan kita. Justeru, semua pihak harus mengambil bahagian dalam menangani masalah tersebut, terutamanya di sekolah.

BAHASA MELAYU (SEKOLAH MENENGAH) SISA SIFAR

Konsep sisa sifar masih baru di negara ini. Konsep ini ada kaitannya dengan konsep kitar semula. Namun, jangkauan maknanya lebih luas lagi. Kitar semula hanya boleh berlaku atau hanya boleh dilaksanakan setelah sesuatu barang diguna pakai. Sisa sifar pula bermula sebelum sesuatu produk atau barang tersebut dicipta atau dihasilkan. Ia juga memastikan bahawa sesuatu poduk atau barangan itu dicipta atau dibuat untuk digunakan semula, diperbaiki dan dikitar semula ke dalam alam atau pasaran. Konsep ini melibatkan pendekatan keseluruhan sistem yang meliputi aliran sumber dan sisa dalam masyarakat. Sisa sifar memungkinkan kitar semula dimaksimakan dan meminimakan sisa penggunaan serta memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh digunakan semula, dibaiki, dikitar dan dikomposkan serta memastikannya sehingga ke tahap atau tiada lagi sisa. Oleh itu, pihak pengeluar perlu menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang tidak berbahaya dan paling sikit menghasilkan sisa selepas ia digunakan. Ia juga harus memastikan aspek pembungkusan dan produk itu sendiri atau bahagian-bahagiannya boleh dikitar dan digunakan semula bagi menghasilkan produk yang seterusnya. Pihak penguasa tempatan juga perlu memberi garis panduan untuk menjalankan kolaboratif dengan industri untuk mewujudkan alternatif inovasi dan mempelbagaikan serta meluaskan sistem pemulihan sedia ada. Sebenarnya sisa sifar merupakan sesuatu yang mampu dicapai tetapi memerlukan masa dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Pendidikan adalah jalan keluarnya. Justeru, masyarakat perlu ada pemahaman yang jelas tentang sisa sifar. Setelah wujud pemahaman, pasti akan timbul kesedaran. Masyarakat harus dididik bukan saja tentang apa yang perlu dilakukan tetapi juga mengapa mereka perlu melakukannya.

SOALAN 1. Apakah yang diperkatakan tentang teks ini? 2. Apakah perkara utama yang perlu dilakukan bagi memastikan konsep sisa sifar ini berjaya? 3. Mengapakah kita harus mengamalkan konsep sisa sifar ini? 4. Pada pendapat anda, apakah perbezaan antara sisa sifar dengan kitar semula? 5. Apakah yang dapat anda rumuskan tentang teks tersebut?

JAWAPAN 1. Teks ini adalah berkenaan dengan konsep sisa sifar yang baru diperkenalkan di negara ini. 2. Perkara utama yang perlu dilakukan ialah memberi pendidikan dan pemahaman kepada semua. 3. Konsep sisa sifar ini harus diamalkan supaya pembaziran tidak berlaku dan negara kita bersih daripada sampah serta dapat menjaga alam sekitar. 4. Sisa sifar adalah konsep di mana semua barang-barang yang dihasilkan adalah bertujuan untuk digunakan semula sehingga tahap tiada lagi sisa. Sementara kitar semula pula adalah barang-barang yang telah digunakan dan diguna semula. 5. Saya dapat merumuskan bahawa konsep sisa sifar ini berbeza dengan konsep kitar semula dan amatlah penting dalam menjamin kebersihan dan mengelakkan pembaziran daripada berlaku dinegara kita. Ia juga penting untuk dijadikan amalan bagi kita semua.

Anda mungkin juga menyukai