Anda di halaman 1dari 13

CIRI-CIRI DAN SKOP DALAM BIDANG SAINS POLITIK SERTA KONSEP ASAS KUASA , PENGARUH , DAN PIHAK BERKUASA

NAMA : SITI AFIQAH BINTI SHEIKH SURATUL AKMAL KURSUS: KENEGARAAN NO. MATRIK: D20111048443 PENSYARAH: ENCIK MOHAMAD KAMAL BIN KAMARUDDIN

Bab 2 Ciri-Ciri Dan Skop Dalam Bidang Sains Politik Sains politik adalah satu bidang akademik yang menjadikan politik sebagai tema utamanya , iaitu untuk memahami sifat dan skop prinsip-prinsip yang mengkaji politik dalam semua aspek. Bidang ini muncul kerana politik amat penting serta berada di sekeliling kita seperti kerajaan sesebuah negara , parti politik , persatuan atau organisasi bahkan di tempat kerja juga wujud politik. Bidang ini amat penting kerana kajian yang lakukan akan membolehkan sistem politik dunia diperbaiki apabila wujud individu yang betul-betul memahami sistem politik itu. Oleh itu , adalah penting untuk kita memahami ciri-ciri dan skop bidang ini. Apabila kita mengkaji dengan lebih mendalam kita akan mengetahui bahawa bidang ini tidak berkisarkan skop yang terhad sahaja dan terdapat salingkait antara bidang ini dengan bidang kajian lain seperti bidang sejarah , falsafah , ekonomi , sosiologi , psikologi dan undang-undang. Selain itu , kita juga harus berfikiran jauh dan tidak terikat dengan konsep sains politik hanya terhad kepada orang yang ingin melibatkan diri dalam bidang politik kerana terdapat banyak kebaikan yang boleh didapati jika bidang ini dikaji dan dipelajari. 1. Bidang ini mempunyai banyak definisi berdasarkan interpretasi yang berbeza oleh pelbagai tokoh. Terdapat tokoh yang menyatakan bidang ini memusatkan kajian tentang teori, organisasi, kerajaan dan urusan kerajaan serta hanya berperanan memberi maklumat dan pemahaman kepada pihak yang mengawal negara sahaja. Pendapat ini mendapat banyak tentangan kerana begitu cetek interpretasinya. Oleh itu , sains politik ialah satu sains yang matlamatnya untuk menentukan fakta politik dan susunannya dalam satu turutan yang sistematik yang ditentukan mengikut logik dan sebab-musabab yang wujud antara mereka. Definisi ini yang paling tepat sebenarnya dan terima banyak pihak. Selain itu , bidang ini turut melibatkan interaksi rakyat dengan kerajaan iaitu persatuan atau parti politik yang mewakili rakyat yang turut dikaji dalam bidang sains politik. Bidang ini turut mengkaji pemikiran rakyat dan kerajaan dalam membuat pemilihan wakil kerajaan(rakyat) dan kaedah-kaedah kerajaan dalam melaksanakan polisi atau menjalankan sistem pemerintahan. Selain itu , bidang sains politik tidak terhad kepada negara dan kerajaan semata-mata tetapi turut mengkaji sesebuah masyarakat yang terlibat dengan pelbagai institusi kerajaan.

2. Skop yang dikaji dalam sains politik berubah mengikut perkembangan masa kerana semakin lama pengurusan sesebuah kerajaan rumit dan yang memerlukan lebih banyak agansi-agensi baru ditubuhkan dengan skop tugas yang pelbagai. Ini menyebabkan jumlah bidang yang harus dikaji dalam sains politik turut bertambah. Antara bidang yang dikaji dalam sains politik ialah teori politik , hubungan antarabangsa , politik perbandingan dan kerajaan , dan pentadbiran awam. 2.1 Dalam mempelajari Teori Politik , pelajar akan didedahkan dengan idea politik tokoh-tokoh tertentu bermula daripada tokoh greek purba seperti Aristotle dan plato hingga teori politik tokoh-tokoh terkini iaitu Al-Farabi , Locke , Hobbes , Ibn Khaldun dan Syed Qutb untuk menambahkan pemahaman mereka tentang politik. Teori politik yang dipelajari bukan terhad kepada fakta semata-mata tetapi turut menekankan perkara norma iaitu serta mendedahkan tentang teori empirikal , di mana penyelidik membangunkan saranan tentang hubungan politik.Cadangan ini adalah tertakluk kepada ujian empirik dengan mengumpul maklumat yang sebenarnya perlu dipatuhi dan penting kerana digunakan dalam semua cabang bidang sains politik. 2.2 Dalam bidang Hubungan Antarabangsa , pelajar akan didedahkan dengan polisi keselamatan negara dan negara asing, diplomasi dan persaingan, kerjasama dan peperangan antara negara. Bidang ini turut meliputi Undang undang Antarabangsa dan organisasi antarabangsa dan organisasi serantau seperti United Nation dan Asean serta mempelajari bagaimana negara-negara dan organisasi supra-nasional seperti European Union dan syarikat multinasional berinteraksi dan kenapa sesebuah negara mengambil sesuatu tindakan . Selain itu , pelajar juga perlu mempelajari sebab dan kesan peperangan kerana pada zaman moden ini terlampau banyak faktor yang boleh membawa kepada kemusnahan manusia seperti perbezaan ideologi antara negara-negara lain serta perkembangan senjata nuklear. Bidang ini amat penting kerana hubungan luar semakin ditekankan oleh setiap negara bagi mengukuhkan ekonomi dan kemajuan negara. 2.3 Perbandingan antara politik dan kerajaan merupakan cabang yang paling luas dan mencabar dalam sains politik. Ini kerana mereka mengkaji persamaan dan perbezaan dalam kalangan negara berkenaan dengan badan-badan eksekutif, perundangan dan kehakiman, perlembagaan, undang-undang, organisasi pentadbiran, polisi luar negara, parti-parti politik, fungsi ekonomi, sosial dan politik, serta budaya dan tradisi mereka. Bidang ini turut memerlukan pelajar menerangkan kenapa wujud perbezaan dari pelaksanaan sistem pemerintahan dan ideologi antara

negara . Ini menunjukan cabang ini memerlukan pelajarnya mengkaji politik negara-negara luar dan membuat perbandingan dari pelbagai aspek dan skop bidang ini terlampau luas disamping pemahaman yang jitu supaya perbandingan yang baik antara negara dapat dibuat . 2.4 Pentadbiran Awam juga merupakan salah satu bidang dalam sains politik kerana bidang ini penting dalam mempelajari bagaimana untuk menguruskan dan mentadbir negara. Kerajaan adalah pengerak sesebuah negara. Oleh itu , kerajaan memerlukan tenaga kerja bagi penyelarasan, pengurusan dan penyeliaan, untuk prestasi yang lebih berkesan bagi fungsi kerajaan dan organisasi kerajaan yang lebih baik. Pelajar bagi pengurusan pentadbiran akan didedahkan dengan semua ini dan menjadi tenaga kerja yang diperlukan oleh kerajaan bagi menggerakkan pentadbiran negara. Pelajar juga akan didedahkan dengan pelaksanaan dasar awam di mana mereka akan menilai pelbagai jenis dasar awam dan menganalisa proses membuat dasar yang membawa kepada keputusan dasar dan pelaksanaannya. Selain itu , bidang ini turut memberi pengetahuan mengenai teknik dan kaedah mengurus dan mentadbir kerajaan dalam organisasi pentadbiran, kakitangan pentadbiran, kewangan atau fiskal pentadbiran dan pengurusan perhubungan awam yang baik. Boleh dikatakan dalam pengurusan sesebuah negara , bidang pentadbiran awam amat penting dan penentu kepada kemajuan dan keharmonian sesebuah negara kerana tanpa pentadbiran awam yang sistematik sesebuah negara itu akan hancur.

3. Sains politik juga mempunyai kaitan dengan bidang-bidang lain seperti bidang falsafah , sejarah , ekonomi dan sosial. Ini kerana bidang-bidang tersebut memberi kesan kepada sistem politik dan tingkah laku politik. 3.1 Bidang falsafah telah membawa kepelbagaian kepada bidang falsafah politik seperti teori politik tentang asal sesebuah negara , individualisme, demokrasi, komunisme, dan pengasingan kuasa kerajaan yang merupakan hanya sebahagian kecil dari bidang ini . Teori-teori ini akan meluaskan pengetahuan pelajar dalam bidang sains politik dan mengukuhkan lagi pemikiran pelajar sains politik. 3.2 Sains politik dengan bidang sejarah pula memang tidak dapat dipisahkan. Ini kerana sejarawan akan mengkaji sesuatu peristiwa melalui sumber-sumber yang mereka temui seperti dokumen, artifak dan membandingkan sumber mereka dan melihatnya tanpa unsur bias. Ini turut

diamalkan dalam bidang sains politik. Selain itu , pelajar sains politik juga perlu mengkaji sejarah sesebuah negara tersebut dan institusi politiknya supaya mereka mengetahui asal usul negara tersebut , perkembangan negara tersebut , budaya dan pemikiran masyarakatnya serta institusinya bagi membolehkan kajian menyeluruh dapat dilakukan bagi memudahkan analisis sebab dan musahab tindakan yang diambil oleh negara tersebut dapat dibuat. Melalui sejarah juga , pemikir politik juga boleh melakukan analisis dan mendapatkan gambaran pola politik semasa untuk mengkaji hala tuju politik masa hadapan. 3.3 Sains politik turut berkait rapat dengan bidang ekonomi. Bidang ekonomi ialah satu bidang yang mengkaji masalah sumber ekonomi yang terhad dalam memenuhi permintaan masyarakat yang tidak terbatas. Dengan menggunakan pandangan ekonomi , pelajar sains politik mampu melihat keadaan ekonomi negara disamping melihat bagaimana sesebuah kerajaan boleh merangka polisi ekonomi terbaik bagi memaksimumkan kebajikan rakyat mereka. Selain itu , ekonomi yang membentuk sesebuah kerajaan dan politik negara , penggerak, serta pembentuk institusi politik itu kerana bagi mewujudkan satu negara yang kuat , kestabilan ekonomi memainkan peranan yang amat penting. 3.4 Begitu juga dengan bidang sosiologi kerana bidang ini mengkaji masyarakat secara keseluruhan. Bidang ini juga mengkaji masalah yang dihadapi oleh masyarakat seperti masalah jenayah , masalah perkhawinan , jenayah juvana , masalah perumahan dan pelbagai lagi jenis masalah yang dihadapi oleh masyarakat amat berguna kepada ahli sains politik untuk dinilai dan digunakan untuk mengasas undang-undang yang sesuai dalam mewujudkan negara yang aman. Selain itu , bidang ini juga membolehkan pelajar memahami bagaimana kerajaan menggunakan kuasa yang mereka ada dengan tidak mendapat bantahan dan tentangan daripada rakyat. 3.5 Bidang psikologi turut penting dalam bidang sains politik kerana bidang ini mengkaji perlakuan manusia dan menerangkan kenapa manusia mengambil sesuatu tindakan. Kajian ini boleh digunakan dalam bidang sains politik dalam memahami dan menganalisis sesuatu fenomena politik seperti nasionalisme , kepimpinan revolusioner , cara undian dan punca peperangan yang disebabkan oleh manusia serta bagaimana manusia mengambil sesuatu keputusan atau tindakan.

3.6 Selain itu , sains politik turut berkaitan dengan perundangan kerana masyarakat hidup berlandaskan undang-undang yang digubal oleh pihak berkuasa ,dilaksanakan serta dikekalkan oleh kerajaan. Oleh itu, perundangan ialah sebahagian daripada sains politik itu sendiri walaupun tidak dikaji dengan menyeluruh kerana telah dikaji dengan menyeluruh oleh bidang undangundang. 4. Sains politik juga ialah satu bidang yang mengkaji idea , perlakuan , institusi dan polisi yang berkaitan dengan orang awam dan kerajaan. Skop bidang ini amat luas dan sukar untuk memilih apa yang harus dikaji atau tidak. Malah telah wujud satu perbezaan pendapat dalam menentukan sains politik boleh dikaji secara saintifik atau tidak. Tetapi walaupun manusia beremosi tidak seperti robot namun perlakuan manusia ini mempunyai pola tertentu. Oleh itu , ahli sains politik boleh melakukan pemerhatian dan satu formula matematik boleh dibina bagi menentukan pola tindakan manusia. Penganalisis perlakuan manusia ini mengkaji apa yang benar-benar berlaku bukannya mengkaji perlembagaan atau bagaimana institusi itu berfungsi seperti yang dilakukan oleh saintis sains politik. Oleh itu , mereka memberi penekanan kepada menganalisi data kuantitatif dan ini menyebabkan penilaian sendiri tidak sepenting analisis dan pengumpulan data. Bagaimanapun penganalisis tingkahlaku bersetuju bahawa bidang sains politik memang salah satu daripada sains sosial tetapi sains politik lebih terhad dimana bidang ini mengkaji perlakuan manusia yang berbeza perlakuan dan personaliti. Oleh itu , kajian dalam sains politik tidak boleh dilakukan di makmal seperti saintis biasa. Tambahan pula , sains politik membuat pemerhatian dan tekaan dalam kajian mereka. Oleh itu tidak mungkin keputusan yang dilakukan oleh mereka tepat seperti yang dilakukan oleh saintis sains kerana bidang ini semuanya bergantung kepada kemungkinan. 5. Saintis sains politik turut akan membuat perbezaan antara fakta dan nilai. Fakta ialah sesuatu yang benar-benar berlaku. Sebagai contoh Canada dan Malaysia mengamalkan sistem berparlimen. Manakala nilai bermaksud satu rujukan minda yang merujuk kepada sesuatu. Sebagai contoh apabila kita menyatakan sistem pemerintahan terbaik ialah sistem Teokrasi. Setengah saintis politik berpendapat dalam bidang ini pengkaji tidak boleh membuat penilaian dan tafsiran sendiri dalam memberi pendapat tentang sesesuatu sistem yang terbaik diamalkan oleh sesebuah kerajaan. Oleh itu mereka harus menyatakan tentang sesuatu fakta semata-mata dan analisis adalah neutral dan tidak menyokong mana pihak. Jadi dalam kajian mereka

perkataan seperti patut atau harus tidak harus wujud. Tetapi penyataan ini disangkal oleh sesetengah saintis kerana bagi mereka tidak mungkin seseorang pengkaji itu mampu membuat sesuatu kenyataan atau kajian tanpa dipengaruhi oleh penilaian mereka sendiri. Ini dapat dilihat dalam pandangan sarjana Islam atau sarjana barat tentang sistem pemerintahan iaitu sarjana Islam percaya bahawa semua tindakan politik yang diambil harus berpandukan norma dan nilai seperti nilai kebesaran tuhan , ilmu , keadilan , dan penyertaan politik dan nilai kemanusian. Ini berbeza dengan pendapat sarjana barat dimana mereka mementingkan demokrasi dan kapitalis. Selain itu, sarjana Islam juga menyarankan pengkaji menyatakan pendirian mereka dengan jelas daripada berpura-pura bersikap neutral. Tambahan pula , mereka berhak untuk menyuarakan pendapat mereka sendiri seperti manusia lain selagi orang lain memahami pendirian mereka. 6. Terdapat beberapa kaedah dalam mempelajari politik seperti melalui falsafah politik , tingkahlaku politik , dan pendapat politik. Kaedah-kaedah ini merangkumi kajian dari segi teori hingga emosi masyarakat. 6.1 Dalam kaedah falsafah politik, kaedah ini ialah kaedah paling lama yang digunakan iaitu kajian tentang idea politik seperti persoalan tentang bagaimana manusia harus hidup. Kaedah ini turut menekankan etika dalam membuat keputusan politik serta mengajar rakyat bagaimana untuk menggunakan logik dalam memahami tindakan politik dan bagaimana untuk terlibat dalam pilihan masyarakat. 6.2 Politik perlakuan pula lebih kepada memahami kenapa masyarakat mengambil sesuatu keputusan. Bukan apa yang harus dilakukan oleh rakyat seperti dalam falsafah politik. Kaedah ini digunakan oleh kebanyakan saintis sains politik. 6.3 Kaedah pilihan orang awam pula mempunyai dua andaian iaitu andaian bahawa ahli politik ialah rasional dan membuat keputusan yang baik untuk mereka. Atau tindakan seseorang dalam institusi yang menentukan faedahnya. kaedah ini, menggunakan cara tekaan kepada perlakuan manusia , pemikiran logik dan model yang abstrak. Ketiga-tiga kaedah pendekatan politik yang digunakan membantu kita memahami bagaimana masyarakat membuat pilihan. Walaupun kaedah-kaedah ini terdapat kekuatan dan kelemahan tersendiri tetapi kaedah ini membantu kita memahami dunia politik dengan lebih mendalam.

Kesimpulannya , bidang sains politik bukannya bidang yang tujuan utamanya memberi peluang kepada penuntutnya terlibat dalam politik ,menjadi penjawat awam dan sebagainya semata-mata. Ini kerana bidang ini mempunyai skop pekerjaan yang begitu luas seperti jawatan dalam kerajaan , sekolah undang-undang , pendidikan , duta dan pelbagai lagi pekerjaan. Namun , tujuan utama bidang ini diperkenalkan ialah sebagai latihan kewarganegaraan untuk membantu kita lebih memahami sistem pemerintahan dan pentadbiran serta keadaan negara sendiri. Bidang ini turut mempersiapkan rakyat yang bukan hanya mematuhi undang-undang dan mengundi sahaja, sebaliknya melahirkan rakyat yang bijak dan tahu bagaimana kerajaan bertindak , serta bagaimana polisi negara digubal. Bidang ini turut membantu pelajar memahami proses bagaimana keputusan institusi dilakukan. Selain itu , bidang ini turut berguna untuk mendalami bidang-bidang akademik lain dengan lebih mendalam seperti bidang undang-undang , sejarah dan psikologi.

BAB 3 KONSEP ASAS KUASA , PENGARUH , DAN PIHAK BERKUASA. Dalam politik , kuasa amat penting kerana dengan adanya kuasa ia membolehkan kerajaan melaksanakan undang-undang dan melaksanakan polisi dari segi sosial , dan ekonomi untuk perkembangan negara. Dalam masyarakat , pemilikan kuasa menimbulkan reaksi yang berbezabeza sama ada positif atau negatif kerana kuasa boleh mendatangkan kesan yang baik atau buruk dari segi fizikal dan mental. Konsep kuasa ini tidak bertemakan politik semata-mata dan selalu disalah ertikan oleh kebanyakan pihak. Walaupun maksud kuasa , pengaruh dan pihak berkuasa seperti mempunyai maksud yang sama tetapi kadangkala andaian yang salah tentang konsep ini telah berlaku. Definisi umum yang diberikan ialah kemampuan individu atau sekumpulan individu untuk mengubah tingkah laku seseorang atau individu mengikut kehendaknya menggunakan kuasa yang dipegang sama ada secara rela atau paksaan. Tetapi harus diingati bahawa kuasa hanya wujud apabila ada pihak yang sanggup menjadi pengikut. Kuasa tidak bersifat vakum dan hanya digunakan dalam hubungan. Kuasa juga mengikut situasi , keadaan dan kedudukan dimana bidang kuasa terhad mengikut bidang kuasa masing-masing. 1. Kuasa ialah kelebihan yang diperlukan bagi memastikan seseorang mengikut kehendak kita. Kuasa terbahagi kepada dua iaitu pertama ialah Power Potential iaitu keadaan dimana kuasa tersebut ada tetapi tidak digunakan dan yang kedua ialah Power in Useyang terbahagi kepada tiga cara iaitu secara paksaan , pujukan dan melalui keyakinan. 1.2 Cara paksaan ialah cara dimana seseorang harus mengikut kehendak orang yang memegang kuasa menggunakan tekanan psikologi atau tekanan fizikal. Kaedah kuasa ini memang mendapat tentangan tetapi kaedah ini kaedah terbaik dalam menimbulkan perasaan takut dalam memastikan undang-undang dan arahan diikuti oleh masyarakat. 1.3 Kaedah pujukan dalam penggunaan kuasa merupakan kaedah dimana pemimpin menjanjikan sesuatu ganjaran atau kelebihan kepada pengikut mereka sama ada dari segi psikologi , ekonomi , politik dan material bagi memastikan kesetiaan pengikut kepada mereka.

1.4 Kaedah keyakinan melibatkan perbahasan dan maklumat untuk menarik minat seseorang supaya mengikut arahan si pemujuk. Kaedah ini boleh terdiri daripada bentuk nasihat , memberi maklumat mahupun melalui penipuan dalam menimbulkan keyakinan orang ramai kepada pemegang kuasa. Kaedah ini banyak dipraktikan oleh organisasi-organisasi besar. Kuasa mungkin dilihat dalam mengawal seseorang. 2. Sumber kuasa terdiri daripada lima iaitu menggunakan paksaan , kekayaan , kepakaran , populariti dan kedudukan. Sumber-sumber kuasa inilah yang telah memberi tempat kepada pemimpin untuk mengukuhkan kuasa mereka. 2.1 Sumber kuasa melalui paksaan ialah sumber kuasa yang nyata kerana dapat dilihat dan diketahui kaedah paling berkesan memastikan kehendak pemegang kuasa diikuti. Sumber ini berjaya kerana pengikut percaya bahawa pemimpin atau kerajaan boleh menghukum mereka dan kaedah ini digunakan oleh kebanyakan kerajaan. Kuasa ini dikukuhkan dengan arahan larangan pemilikan senjata kepada orang awam bagi memastikan tiada tentangan berlaku atau organisasi tanpa persetujuan rakyat serta amat terhad walaupun kebenaran diberikan. 2.2 Sumber kekayaan merupakan kaedah yang efektif juga kerana boleh membeli kesetiaan dan mengikat seseorang melalui ganjaran. Kaedah ini dipanggil hubungan tuan dan pengikutnya , disamping membina kuasa melalui harta yang dimiliki. kepakaran yang dimiliki juga salah satu sumber kuasa kerana terdapat kata-kata bahawa ilmu ialah kuasa. Ini membina keyakinan pengikut kepada pemimpin mereka. Pemimpin yang mempunyai maklumat yang lebih tinggi tarafnya dan berkeupayaan. 2.3 Kepakaran termasuk memiliki ilmu dan kemahiran mengenai sesuatu perkara itu juga salah satu sumber kuasa. Ini kerana apabila kepakaran ini dimiliki oleh pemimpin segala tindakannya tidak akan dipertikaikan oleh rakyat kerana rakyat yakin pemimpin itu tahu apa yang dilakukan olehnya. Sebab itu kalau kita lihat semua pendapat-pendapat pakar daripada pelbagai bidang menjadi pembentuk kepada setiap keputusan yang diambil oleh masyarakat. 2.4 Kedudukan atau pangkat dalam sesuatu organisasi turut sumber kepada kuasa. Ini kerana dalam masyarakat wujud satu organisasi yang akan membuat keputusan tentang sesuatu isu atau apa sahaja. Oleh itu apabila seseorang mempunyai kedudukan dalam organisasi tersebut , dia akan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan ketetapan yang diingininya. Jenis kuasa

ini dikenali sebagai kuasa undang undang yang wujud apabila ahli organisasi itu percaya bahawa pemimpin berhak mempengaruhi keputusannya dan harus dipatuhi semua arahan pemimpin. Keupayaan untuk membuat keputusan yang berkesan adalah perlu dalam memiliki kuasa dan ini yang didapati didalam sesebuah organisasi. Walaubagaimanapun , tahap kuasa yang dimiliki bergantung kepada setinggi mana pangkat seseorang itu dalam sesebuah organisasi. 2.5 Populariti juga merupakan sumber yang amat penting dalam politik kerana pemimpin memerlukan sokongan rakyat untuk memenangi sesebuah pilihan raya. Tambahan pula dalam sistem politik negara yang tidak tetap dan demokrasi , populariti penting dalam menjaminkan kedudukan dalam kerajaan. Jenis kuasa ini turut membolehkan paksaan dan pemberian ganjaran dalam mengukuhkan kuasa tidak diperlukan. Kuasa ini dikenali sebagai rujukan kuasa kerana ia adalah berdasarkan pengenalan pengikut dengan pemimpin. Walau bagaimanapun jenis kuasa ini ialah bagi kuasa yang berpotensi sahaja dan hanya wujud melalui kempen politik. 3.Dalam sains politik selalu timbul kekeliruan dalam membezakan kuasa dan pengaruh. Orang ramai menyatakan apabila bercakap tentang politik adalah berkenaan dengan kuasa dan pengaruh. Menurut Lasswell dan Kaplan , kuasa ialah kawalan yang disokong oleh penggunaan sebenar atau ancaman kekerasan dan "ia adalah proses melaksanakan dasar-dasar dengan bantuan (secara ancaman atau sebenar) untuk tidak menepati dengan dasar-dasar yang disasarkan. Ini bermaksud juga kuasa penting dalam menjalankan pengaruh. Tetapi ini disangkal Bell yang menyatakan dalam ancaman atau janji, pengaruh melibatkan ramalan dalam bentuk nasihat, galakan, amaran, dan sebagainya. Ini jelas menunjukan kuasa bergantung kepada kemahiran untuk memanipulasikan sesuatu tindakan tidak seperti pengaruh. Bagi tokoh lain pula sifat kekerasan dalam penggunaan kuasa ini yang membezakannya. Ugutan yang digunakan tetap ugutan walaupun tidak keras. Tetapi tidak begitu banyak perbezaan antara kuasa dan pengaruh melainkan dari segi bahasa. 4. Kuasa dan rasuah memang tak dapat dielakkan kerana apabila seseorang mempunyai kuasa yang besar dia berkecenderungan untuk menerima rasuah. Oleh itu , pemberian kuasa kepada satu individu tidak disokong kerana takut disalahgunakan. Tambahan pula , bukti nyata dapat dilihat dalam setiap organisasi atau kerajaan di dunia. Kuasa ialah satu alat untuk melakukan kebaikan atau keburukan. Oleh itu kerisauan yang timbul ialah pemimpin yang memegang kuasa yang banyak dalam kerajaan akan gagal menjaga kebajikan rakyat serta menyalahgunakan kuasa

meraka. Sebab itu , amat penting untuk memastikan kuasa eksekutif, perundangan.dan kehakiman tidak berpusat pada individu yang sama. Namun begitu , pemberian kuasa yang terhad kepada pemimpin turut mempunyai kesan buruk kepada kerajaan kerana sukar bagi pemimpin untuk mencapai matlamat yang diingininya yang mungkin boleh dicapai melalui rasuah. Ini kerana kadang kala cara tidak beretika harus digunakan bagi memastikan matlamat demi kebaikan negara tercapai. Tetapi cara ini tidak disokong oleh tokoh islam kerana dalam islam , kuasa yang digunakan harus telus dan tidak menggunakan tipu helah serta mengikut keadilan dan membawa rahmat kepada manusia bagi mendapatkan keberkatan daripada Allah. 5. Pihak berkuasa berkait rapat dengan kuasa. Pihak berkuasa adalah formal atau sah berbeza daripada kuasa peribadi. Perkataan authority datang daripada perkataan Roman iaitu Author atau Auctoritos yang bermaksud pembela atau nasihat. Ia merupakan satu kedudukan yang dicipta oleh peraturan-peraturan asas yang popular diterima untuk operasi sistem politik. Dalam konsep pihak berkuasa , perkara yang terlibat ialah kedudukan atau peranan dalam institusi dan individu yang memegang peranan itu. peranan bermakna masyarakat berpegang kepada jangkaan yang berpola mengenai kelakuan pemimpin dalam sesebuah institusi. Institusi pula ialah satu set peranan yang saling berkaitan yang direka untuk menyusun dan menyelaras tingkah laku untuk melaksanakan sesuatu fungsi. Pihak berkuasa harus berpegang kepada kosep ini. Selain itu , pihak berkuasa juga bermaksud mempunyai hak untuk mengawal sesetengah pihak atas isu-isu tertentu dalam sistem politik serta mempunyai hak untuk memberi arahan kepada orang yang mempunyai tanggungjawab moral. Selain itu , tindakan pihak berkuasa semuanya adalah betul dan sah dan tidak mungkin sesebuah kerajaan itu dapat berfungsi tanpa adanya pihak berkuasa. 6. Webber menyatakan terdapat tiga jenis sumber pihak berkuasa iaitu tradisi , karisma dan undang-undang yang rational. 6.1 Pihak Berkuasa Tradisional adalah kerajaan berdasarkan adat lama atau adat serta konvensyen yang bergantung kepada pemodenan dan ketaatan berterusan dari generasi ke generasi. Banyak pihak yang hanya mahu berpegang kepada norma politik atau institusi yang mereka tahu sahaja. Selain itu , mereka juga percaya kepada hak ilahi kerajaan atau raja. 6.2 Charismatic authority merujuk kepada orang yang mengikut ketua mereka kerana mereka percaya ketua mereka mampu untuk memberi arahan dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selalunya ketua seperti ini hanya wujud dalam keadaan kacau bilau dan hanya bertahan kuasanya selama kepercayaan rakyat wujud. 6.3 Pihak berkuasa undang-undang rasional wujud melalui penerimaan masyarakat terhadap undang-undang yang dibuat mereka. Disini kepatuhan bukan kepada adat atau budaya tetapi kepada undang-undang. Contoh kerajaan jenis ini ialah kerajaan biokrasi moden. Pihak berkuasa jenis ini turut mempunyai sistem yang teratur dan telus bukannya memerintah mengikut kemahuan sendiri. 6.4 Terdapat pelbagai jenis pihak berkuasa. Namun begitu sukar untuk kita temui satu kerajaan yang hanya menggunakan satu sistem sahaja kerana selalunya kerajaan mengamalkan dua atau semua jenis pihak berkuasa yang ada. Ini dapat dilihat di malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen. Dalam pemerintahan penggunaan satu jenis sistem biasanya akan menimbulkan masalah pemusatan kuasa yang akan mendorong kepada penyalahgunaan kuasa seperti jika pemerintahan Anarki diamalkan. Kesimpulannya , kuasa , pengaruh dan pihak berkuasa memang mempunyai saling kait dan tidak dapat dipisahkan. Apabila ketiga-tiga konsep ini disebut pasti akan wujud faktor atau kesan yang membawa kebaikan dan keburukan. Namun begitu , tanpa konsep ini sesebuah negara tidak mampu ditadbir dengan baik. Oleh itu , amat penting bagi masyarakat membuat pilihan yang terbaik dalam memilih tampuk kepimpinan yang akan mewakili mereka dalam pemerintahan supaya keharmonian dan keamanan serta kestabilan dapat dicapai.