Anda di halaman 1dari 5

KPD 3016: PENGAJARAN TEKNOLOGI DAN PENAKSIRAN 1 KUMPULAN A

UJIAN 1

PENSYARAH: DR ABDUL RAZAK BIN ABD SAMAD

DISEDIAKAN OLEH: SITI SAUFU BINTI MAT ISA D20091035140 TEAM 6

Sejak berkurun yang lalu pendidikan telah berkembang dengan pesat. Sejak dari zaman kegemilangan para saintis Islam lewat era pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah, ramai cendekiawan Islam yang lahir antaranya Ibnu Sina, Al Kindi, Al Farabi dan ramai lagi. Selain itu juga lahir empat orang ulama besar yang menerajui empat mazhab utama yang menjadi pegangan orang-orang Islam pada hari ini. Kemudian perkembangan sains terus mengalami evolusi sehingga ke hari ini. Malah, tempiasnya turut terasa di Malaysia. Demi tidak ketinggalan di dalam perkembangan semasa itu, pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan pembelajaran sains di Negara ini.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi senario pembelajaran sains di Malaysia. Namun, antara yang paling penting dan berpengaruh adalah perubahan kurikulum dan pelaksanaan kurikulum.

Kurikulum memberi impak besar dalam perkembangan pendidikan sains kerana kesan daripada perubahan kurikulum turut terpercik pada perkembangan pendidikan sains. Sebelum merdeka, sebuah jawatankuasa ditubuhkan oleh Negeri-Negeri Selat (NNS) dan NegeriNegeri Melayu Bersekutu (NNMB) untuk menggubal tujuan pendidikan sains dan menyusun sukatan pelajaran sains. Kemudian, selepas merdeka, pelbagai jenis kurikulum diperkenal dan dipinda dari semasa ke semasa antaranya Kurikulum Sains Paduan Sekolah Menengah Rendah, Kurikulum Sains Tulan Moden (Biologi, Fizik, Kimia, Rampaian Sains) untuk sekolah menengah, Projek Khas Sains Sekolah Rendah, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan yang terbaru ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Sewaktu Negara baru meraih kemerdekaan, kepentingan pendidikan sains dilihat hanaya untuk meningkatkan perkembangan

sosioekonomi dan taraf hidup masyarakat di Negara ini seperti yang termaktub dalam Penyata Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi 1966 (para 100). Namun kini pendidikan sains digunakan untuk melahirkan modal insan yang holistik dari sudut rohani, intelek, emosi dan jasmani seperti yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang seiring dengan kehendak semasa. Fasa pembelajaran-berasaskan-ekonomi yang semakin tidak relevan kini telah bertukar kepada fasa pembelajaran-berasaskanpengetahuan pula.

Seterusnya, kurikulum diolah agar membantu kesediaan pelajar untuk belajar. Untuk menguasai mata pelajaran sains seperti fizik pada peringkat tertentu, pelajar perlu mempunyai

pengetahuan peringkat sebelumnya. Jika tidak, pelajar akan mengalami kesukaran untuk mahir dalam mata pelajaran tersebut. Ahli psikologi seperti Gagne (1965), Ausubel (1968) dan Bloom (1977) menegaskan kepentingan pengetahuan asas dalam menguasai mata pelajaran sains. Hasil kajian dari Universiti Washington menyatakan pembentukan kurikulum harus berpandukan pengetahuan tantang apa yang pelajar tahu dan boleh tahu dan bukan membuat andaian tentang apa yang mereka patut tahu dan harus boleh buat. Umumnya, kurikulum di Malaysia beranggapan bahawa setiap peringkat persekolahan merupakan persediaan ke tahap yang seterusnya. Oleh itu, pelajar yang mengikuti peringkat persekolahan akan mempunyai pengetahuan secara berperingkat yang memudahkan mereka belajar dengan lancar.

Seterusnya, perubahan kurikulum merangkumi bukan sahaja perubahan isi kandungan malah kaedah mengajar. Perincian kurikulum telah menjadi satu amalan dalam menerangkan kandungan sabagai panduan kepada guru. Sehubungan dengan itu, guru turut menerima kesan daripada perubahan kurikulum yang seterusnya akan memberi kesan pula kepada senario pembelajaran sains di Malaysia. Pendekatan inkuiri diperkenalkan oleh Pembina kurikulum berdasarkan aliran luar Negara. Pendekatan ini amat sesuai digunakan dalam pengajaran sains kerana ia memenuhi tabii sains itu sendiri. Jika guru melaksanakan kaedah ini dengan bersungguh-sungguh, maka pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan seterusnya membantu pelajar untuk belajar dengan berkesan.

Faktor seterusnya yang mempengaruhi proses pembelajaran sains ialah pelaksanaan kurikulum. Dalam pelaksanaan kurikulum, kesediaan guru adalah penting kerana guru merupakan pihak yang akan melaksanakan kurikulum. Dalam pelaksanaan KBSM dan kurikulum lepas, hasil kajian menunjukkan guru menghadapi masalah untuk memahami cara bagaimana perubahan kurikulum harus dilaksanakan. Guru tidak akan menentang sesuatu pelaksanaan kurikulum sekiranya perubahan tersebut tidak menyusahkan guru. Kajian telah dijalankan dan para pengkaji telah mengenal pasti beberapa halangan antaranya kelemahan dari segi kemahiran dan pengetahuan guru, perhubungan cara tradisional antara pelajar dengan guru dan tradisi yang berorientasikan peperiksaan (Swetz & Subahan 1981; Siti Hawa: 1986; Napisah 1983; Azizah 1987). Kegagalan melaksanakan perubahan kurikulum dengan berkesan bermakna pembaziran masa, tenaga dan kewangan yang diperuntukkan bagi perubahan itu. Akibatnya pelajar yang sepatutnya menerima pembelajaran akan menjadi mangsa dan pembelajaran sains akan terjejas.

Dalam pelaksanaan kurikulum, pengkhususan guru juga amat mempengaruhi pembelajaran sains. Dalam laporan mengenai perancangan dan prioriti polisi di Malaysia dalam pendidikan sains, (UNESCO 1992) dilaporkan Negara kita kekurangan guru sains. Akibatnya terdapat guru bukan beropsyen sains mengajar sains. Hasil kajian dalam mengenal pasti masalah dan daya tindakan guru dalam melaksanakan kurikulum fizik oleh guru-guru bukan opsyen yang dijalankan menunjukkan bahawa guru bukan opsyen menghadapi masalah semasa mengajar dalam kelas dan makmal. Kebanyakan guru bukan opsyen mendapati bahawa latar belakang fizik mereka tidak cukup, jadi mereka kurang keyakinan dalam menjawab soalan-soalan yang ditanya pelajar. Ramai juga menghadapi kesukaran dalam pengandalian alat radas dan makmal kerana kurang kemahiran proses. Mereka tidak sedar tentang teknik khusus yang baru dalam pengajaran dan pendekatan mengajar sangat terikat dengan buku teks. Hal ini mengakibatkan pengajaran fizik kurang menarik dan pelajar menganggap fizik bosan dan sukar difahami (Khursheed Syed 1987). Justeru, proses pembelajaran fizik atau sains akan turut terganggu.

Guru selaku pelaksana kurikulum perlu mempunyai pengetahuan konsep yang betul kerana untuk mengajar kefahaman konsepsual dengan berkesan guru harus mempunyai kefahaman konsep sains yang baik. Beberapa kajian telah menunjukkan pelajar sudah membentuk konsepsi alternatif iaitu idea-idea yang bercanggah dengan konsepsi atau penerangan saintifik sebelum guru mula mengajar. Hasil kajian untuk mengenal pasti kerangka konsep (dalam daya dan pergerakan) dalam kalangan guru pelatih siswazah fizik menunjukkan bakal guru siswazah juga mempunyai konsepsi salah, idea konsep yang bercanggah dengan apa yang diterima saintis (Subahan 1990: Lilia 1994). Peranan pendidik adalah untuk memahami pelajar sebaik mungkin agar mereka dapat mengenal pasti kekeliruan dan kerangka alternatif yang ada, seterusnya menyahkan atau membetulkan kerangka alternatif yang ada kepada konsep yang sama dengan konsep saintifik. Bagaimana pula jika guru itu sendiri mempunyai konsep yang salah. Jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari. Jika guru kencing berlari, entah macam mana pula murid kencing. Oleh itu, pengetahuan konsep yang baik dan betul perlu ada dalam diri guru agar pembelajaran sains yang beul dan selaras dengan apa yang diterima saintis adalah penting.

Kesimpulannya, senario pembelajaran sains di Malaysia amat dipengaruhi oleh dua faktor iaitu perubahan kurikulum dan pelaksanaan kurikulum. Perubahan kurikulum akan

mempengaruhi pendidikan sains, membantu tahap kesediaan pelajar dan membantu guru mempelbagaikan kaedah mengajar. Manakala pelaksanaan kurikulum pula merangkumi kesediaan guru untuk mengajar, pengkhususan guru yang mengajar mengikut opsyen dan pengetahuan konsep guru yang baik.