Anda di halaman 1dari 21

Dalam sebuah bandar di negeri Arab, ada dua orang adik-beradik. Si abang bernama Kassim Baba.

Si adik pula bernama Ali Baba. Kassim Baba adalah seorang saudagar yang kaya-raya. Ali Baba pula bekerja sebagai pemotong kayu dan hidup miskin. Sungguhpun Kassim Baba tersangat kaya, namun dia sangat kedekut. Oleh sebab itu, Ali Baba jarang meminta pertolongan daripada abangnya. "Engkau seorang pemalas. Itulah sebabnya engkau hidup miskin," kata Kassim Baba, jika sekali-sekala Ali Baba datang meminjam wang. Ali Baba hanya berdiam diri. Dia tidak pandai melakukan pekerjaan lain lagi. Dia hanya mampu menjadi pemotong kayu dan menjual kayu api sahaja. Dia tidak mampu untuk berniaga kerana tidak mempunyai modal. Pada suatu hari, Ali Baba pergi jauh ke kawasan bukit-bukau. Tidak begitu banyak pokok tumbuh di situ kerana semuanya adalah bukit batu. Namun apa boleh buat? Dia harus pergi juga untuk mencari kayu. Ali Baba tahu tiada siapa pernah datang ke tempat itu. Oleh itu, timbul juga rasa takut dalam hatinya. Namun, dia tetap memberanikan diri. Ketika tiba di suatu tempat, Ali Baba terdengar bunyi suara orang. "Tidak mungkin ada orang di sini. Mungkin suara jin," fikir Ali Baba. Kecutlah hatinya. "Matilah aku sekali ini!" fikir Ali Baba lagi. Dia segera lari untuk bersembunyi. Dia memanjat sebatang pokok. Ali Baba ternampak sekumpulan manusia sedang memikul pelbagai jenis barangan. "Mereka adalah penyamun," kata Ali Baba di dalam hatinya. Dia membilang jumlah penyamun itu. "Semuanya empat puluh orang," ujar Ali Baba lagi. Ketua penyamun itu berhenti di bawah pokok tempat Ali Baba bersembunyi. Menggigillah Ali Baba kerana sangat ketakutan. Ali Baba mendengar ketua penyamun itu berkata, "Terbukalah engkau, wahai pintu gua!" Tiba-tiba terbukalah sebuah pintu gua. "Wah, rupa-rupanya di sini ada sebuah gua!" kata Ali Baba dalam hatinya. Kumpulan penyamun itu masuk ke dalam gua tersebut. Tidak lama kemudian, mereka keluar semula. "Sekarang tibalah masanya untuk engkau tertutup semula, wahai pintu gua!" kata ketua penyamun.

Pintu gua itu tertutup. Semua penyamun itu segera meninggalkan tempat tersebut. Ali Baba segera turun dari pokok. Dia pergi ke hadapan gua itu. "Terbukalah engkau, wahai pintu gua!" kata Ali Baba. Pintu gua itu terbuka. Ali Baba masuk ke dalam gua itu. Dilihatnya dalam gua itu terdapat pelbagai jenis harta kekayaan. "Kayalah aku!" ujar Ali Baba. Tanpa berlengah lagi, Ali Baba segera mengambil seguni wang emas. Dia cepat-cepat keluar dari gua itu. "Sekarang tibalah masanya untuk engkau tertutup semula, wahai pintu gua!" kata Ali Baba. Pintu gua itu tertutup. Guni itu sungguh berat, namun Ali Baba tetap berusaha memikulnya. Dia terus pulang ke rumahnya. Terkejutlah isteri Ali Baba apabila melihat suaminya membawa pulang seguni wang emas. "Kita sudah menjadi orang kaya!" kata Ali Baba. Ali Baba pergi ke rumah abangnya untuk meminjam cupak. Dia ingin menyukat jumlah wang emas itu. "Mengapa engkau hanya ingin meminjam cupak dan tidak ingin meminjam wang?" Kassim Baba berasa hairan. Ali Baba lalu menceritakan peristiwa sebenar. Walaupun Kassim Baba sudah kaya-raya, namun dia sungguh tamak. Dia ingin mendapatkan semua harta di dalam gua itu. Dia lalu pergi sendirian ke gua tersebut. "Terbukalah engkau, wahai pintu gua!" kata Kassim Baba. Pintu gua itu terbuka dan tertutup. Tanpa berlengah lagi, Kassim Baba segera mengumpul semua harta di dalam gua itu. "Aku tersangat kaya! Aku tersangat kaya!" Kassim Baba sangat gembira. Tetapi Kassim Baba tidak dapat pulang lagi. Dia sudah terlupa ucapan yang betul untuk membuka pintu gua. "Terbukalah engkau, wahai gua!" katanya. "Terbukalah wahai gua!" katanya lagi. "Terbuka engkau, pintu gua!" dia terus berkata lagi. Tetapi semua ucapan itu salah. Pintu gua itu tidak terbuka. Tidak lama kemudian, kumpulan penyamun itu pulang semula. Terkejutlah mereka apabila mendapati Kassim Baba berada di dalam gua itu. Akhirnya, matilah Kassim Baba dibunuh oleh mereka.

Ali Baba tersangat sedih kerana abangnya sudah meninggal dunia. Namun, apakan daya Ali Baba. Dia tidak menyangka abangnya berani pergi ke sana. Ali Baba sudah menjadi orang kaya. Dia berjaya menjadi seorang saudagar. Dia selalu membantu fakir miskin. Semua penduduk dalam bandar itu hormat dan sayang pada Ali Baba. Tidak lama kemudian, datanglah kumpulan penyamun itu ke rumah Ali Baba. Ali Baba masih kenal akan rupa ketua penyamun itu. Ketua penyamun itu menyamar sebagai saudagar. Dia membawa tiga puluh sembilan buah tempayan besar. "Saya membawa pelbagai jenis barang dagangan," kata ketua penyamun itu. "Saya ingin menumpang bermalam di rumah tuan hamba. Nanti untungnya, kita boleh berkongsi bersama," ujar ketua penyamun itu lagi. "Baiklah!" kata Ali Baba. Dia berpura-pura bersetuju. Pada sebelah malamnya, Ali Baba segera memberitahu perkara sebenar itu kepada isteri dan orang gajinya. Mereka membuka tempayan itu satu persatu. Mereka berjaya membunuh semua penyamun yang bersembunyi di dalam tempayan itu. Ketua penyamun itu pula berjaya mereka tangkap. Ketua penyamun itu dibawa ke hadapan raja. Raja menitahkan supaya ketua penyamun itu dihukum penjara seumur hidup. Semenjak itu, Ali Baba hidup aman dan bahagia.

Kononnya, pada suatu hari Raja Sulaiman menitahkan burung belatuk memanggil sekalian haiwan supaya menghadap baginda. "Perintahkan semua haiwan datang ke istana beta. Sudah lama beta tidak bertemu dengan sekalian haiwan," kata baginda. Tanpa berlengah lagi, terbanglah Sang Belatuk ke segenap penjuru rimba. Tuk! Tuk! Tuk! Sang Belatuk mengetuk batang pokok. "Apa berita yang engkau bawa, wahai Sang Belatuk?" tanya sekalian haiwan. "Aku membawa titah perintah daripada Raja Sulaiman. Baginda menitahkan semua haiwan pergi menghadapnya di istana," ujar Sang Belatuk. Selepas itu, Sang Belatuk terbang ke tempat lain pula. Tuk! Tuk! Tuk! Sang Belatuk mengetuk batang pokok. Begitulah caranya burung belatuk membawa berita kepada sekalian haiwan. Semua haiwan berasa gembira apabila mengetahui berita itu. Mereka akan berlumba-lumba untuk pergi ke istana Raja Sulaiman. Mereka sangat gembira jikalau dapat menghadap Raja Sulaiman. Baginda akan mengurniakan hadiah kepada sekalian haiwan. Namun, ada juga sesetengah haiwan yang enggan pergi menghadap Raja Sulaiman. "Istana Raja Sulaiman itu tersangat jauh. Matilah aku di tengah perjalanan sebelum dapat sampai ke sana," kata segelintir haiwan yang sengaja mencari helah. Haiwan yang ingkar itu akan dijatuhi hukuman

berat oleh Raja Sulaiman. Tersebutlah kisah seekor angsa. Sang Angsa sangat gembira apabila menerima berita daripada Sang Belatuk itu. "Inilah kali pertama aku berpeluang untuk berjumpa Baginda Raja Sulaiman!" ujar Sang Angsa dengan penuh gembira. Kononnya, Sang Angsa ketika itu berbulu hitam dan masih berleher pendek. "Engkau hodoh! Engkau tidak layak masuk ke dalam istana Raja Sulaiman," Sang Biawak mengejek. Sang Angsa sangat bersedih hati mendengar ejekan itu. Namun, Sang Angsa tidak mempedulikan ejekan tersebut. Tanpa berlengah lagi, Sang Angsa berjalan perlahan-lahan menuju ke istana Raja Sulaiman. Setelah beberapa lama berjalan, Sang Angsa tiba di tebing sungai. "Kalaulah aku pandai berenang, nescaya aku boleh cepat sampai ke istana Raja Sulaiman," kata Sang Angsa dalam hatinya. Sang Angsa ketika itu masih belum pandai berenang. Terpaksalah Sang Angsa terus berjalan perlahanlahan. Di pertengahan jalan, Sang Angsa terserempak dengan seorang perempuan tua. Perempuan tua itu sedang menangis. "Mengapa mak cik menangis?" tanya Sang Angsa. Perempuan itu lalu memberitahu, "Aku tersangat lapar. Bekalan makananku sudah habis." Sang Angsa bersimpati pada perempuan itu. "Janganlah mak cik bersedih. Saya akan tinggal di sini selama beberapa hari untuk bertelur. Telur saya boleh mak cik jadikan sebagai makanan," ujar Sang Angsa. Tinggallah Sang Angsa itu di situ selama beberapa hari. Setiap hari Sang Angsa bertelur sebiji. Perempuan tua itu sangat gembira kerana dia sudah memperoleh bekalan makanan. "Tentulah aku akan lewat menghadap Raja Sulaiman," fikir Sang Angsa. Sang Angsa berasa sedih. Namun, Sang Angsa tidak mahu perempuan tua itu mati kerana kelaparan. Beberapa hari kemudian, perempuan tua itu memberitahu Sang Angsa, "Sekarang bolehlah engkau pergi ke istana Raja Sulaiman. Baki telur yang ada ini sudah cukup untuk mak cik." Perempuan tua itu mengucapkan terima kasih kepada Sang Angsa. "Engkau adalah seekor angsa yang sungguh budiman," kata perempuan tua itu lagi. Sang Angsa lalu meneruskan perjalanannya. Semua haiwan sudah berada di istana Raja Sulaiman. Sang Angsa tiba, tetapi sudah sangat terlewat.

"Beritahu pada beta, mengapa engkau lambat sampai?" Raja Sulaiman bertitah kepada Sang Angsa. Sang Angsa sangat ketakutan. Namun, Sang Angsa menceritakan perkara sebenar yang telah terjadi itu kepada Raja Sulaiman. Baginda Raja Sulaiman berasa sangat sukacita kerana Sang Angsa telah menolong perempuan tua itu. "Engkau adalah seekor angsa yang sangat budiman," ujar Raja Sulaiman. "Sekarang beta akan kurniakan hadiah sebagai balasan atas budi baik kamu," kata Raja Sulaiman. Sang Angsa sangat gembira. "Kamu akan menjadi seekor haiwan yang berleher panjang," ujar baginda lagi. Terkejutlah Sang Angsa mendengar kata-kata itu. Semua haiwan ketawa berdekah-dekah. Mereka menyangka Sang Angsa akan menjadi seekor haiwan yang lebih hodoh. Tetapi sangkaan itu salah! Sang Angsa menjadi haiwan yang sangat cantik. Lehernya panjang, bulunya putih, dan pandai pula berenang. Sang Biawak pula dijatuhi hukuman oleh Raja Sulaiman kerana pernah mengejek Sang Angsa. Lidahnya menjadi panjang, suka terjelir, dan bercabang. Kononnya, itulah sebabnya sampai sekarang angsa menjadi haiwan cantik, berbadan putih bersih, suka berenang, dan dipelihara oleh manusia. Biawak pula terpaksa tinggal di dalam hutan kerana berasa malu. Selain itu, biawak juga suka makan telur kerana kononnya sangat marah pada angsa, ayam, dan itik.

Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Temasik sekarang dikenali sebagai Singapura. Hamba itu bernama Badang. Tuannya bernama Orang Kaya Nira Sura. Badang diberikan tugas oleh tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan semak-samun di sebuah bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam. Berhampiran tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak sungai. Di kaki bukit berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas penat bekerja. Setelah selesai sembahyang, barulah Badang membuka bekalan. Badang makan nasi di dalam upih pinang yang dibawanya. Walaupun berlaukkan pucuk dicecah dengan sambal garam, nasi sebungkus itu habis dimakannya. Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak ikan bermain-main di dalam air yang jernih. Badang terfikir, "Daripada aku makan nasi dengan sambal, lebih baik aku cuba tangkap ikan itu. Boleh juga dibuat lauk. Kalau dapat banyak boleh aku bawa pulang kepada tuanku. Tentu tuan aku suka kalau dapat merasa ikan tebarau, terbuk, dan lain-lain."

Sebelum Badang pulang, dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu sejenis perangkap untuk menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di dalam sungai. Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum mula kerja menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang ditahannya. Namun, Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan tulang ikan di tebing sungai berhampiran lukahnya. Badang dengan segera pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya telah diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan sisik-sisik ikan. Dia berasa hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang sama. Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja. Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak pergi melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada waktu malam. Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di tempat itu, Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya. Sekali lagi, dia terperanjat kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu bertambah banyak. Badang terus pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja yang tinggal. Badang bertambah hairan. "Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya. Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu. Kemudian, dia pergi menebas seperti biasa. Apabila hari sudah senja, Badang tidak balik. Dia terus pergi bersembunyi untuk mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah itu. Dia menyorok di sebalik semak. Apabila larut malam, datanglah satu lembaga. Matanya merah, bertaring panjang, berjanggut, dan berambut panjang. Muka lembaga itu sangat hodoh. Kukunya panjang. Lembaga itu mengangkat lukah lalu mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah, hantu rupa-rupanya!" kata Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar Badang lagi di dalam hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun berasa seram. Dia segera menerkam dan menangkap janggut lembaga itu. Berlakulah pergelutan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu. Akhirnya, lembaga itu mengaku kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu dengan begitu mudah. Lembaga itu merayu-rayu minta dilepaskan. "Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba akan berikan apa sahaja yang tuan hamba mahu," ujar lembaga itu. Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah kata-kata lembaga itu

benar? Badang cuba memikirkan apa yang dia mahu minta. Kalau minta banyak harta, nanti harta itu akan menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri cantik, mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah perkasa, tentu boleh menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu. "Baiklah! Aku mahu jadi gagah perkasa," kata Badang. "Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah hamba," kata lembaga itu. Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat! Biar aku jadi gagah," kata Badang. Lembaga itu muntah di atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa berlengah lagi, Badang pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis. Lembaga itu minta dirinya dilepaskan. "Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah sebatang pokok besar. Badang cuba mengangkat pokok itu dengan sebelah tangannya. Pokok itu tumbang. Badang berasa sangat gembira hajatnya termakbul. Badang mengucapkan terima kasih kepada lembaga itu. Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi tiba-tiba bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan berjanggut putih. "Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang untuk menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu. Kemudian dia ghaib daripada pandangan Badang. "Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang. Badang bersyukur kepada Tuhan kerana memperoleh kekuatan yang luar biasa itu. Malam itu, Badang membersihkan semua hutan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang. Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan bertanya mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia telah membersihkan hutan dan semak-samun tersebut. Tuannya, Orang Kaya Nira Sura itu tidak percaya apa yang diceritakan oleh Badang. Dia pergi ke hutan untuk melihat sendiri keadaan tanahnya. Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan dan semak-samun itu memang telah habis dibersihkan oleh Badang. Orang Kaya Nira Sura berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan. Namun, dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula. Orang Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik. Maka Badang pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di istana Raja Temasik sebagai budak suruhan.

Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam. Permaisuri menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda. Badang tidak lengah-lengah lagi. Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan istana raja itu. Disebabkan buah mempelam itu berada di hujung ranting, dia terpaksa menghulurkan tangan untuk mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang berpijak itu patah. Dia terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu. Batu besar di bawah pokok mempelam itu terbelah dua. Namun, kepala Badang tidak cedera. Permaisuri berasa hairan melihat kejadian itu. Permaisuri lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja. Raja datang menyaksikan sendiri. Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu terbelah dua. Baginda sangat hairan akan peristiwa itu. Raja Temasik lalu mengangkat Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan Badang tersebar di seluruh Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke Benua Keling. Maharaja Keling datang ke Temasik dengan membawa pahlawan yang kuat lagi perkasa dari negaranya. Pahlawan itu bergelar Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk beradu kekuatan dengan Badang. Raja Temasik bersetuju pertandingan itu diadakan di hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata. Maka tibalah hari yang ditetapkan. Hari pertandingan kekuatan di antara dua buah negara. Sementara menunggu masa dan ketika peraduan dimulakan, Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu duduk berhampiran dengan Badang. Dia lalu menindih paha Badang dengan pahanya secara bergurau. Namun, Badang boleh mengangkat paha pahlawan itu. "Wah, gagah sungguh Pahlawan Temasik ini!" ujar Pahlawan Gagah Perkasa itu dalam hatinya. Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan. Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu di hadapan majlis raja-raja dan pembesar negara masing-masing. Dengan rasa megah pahlawan itu dapat mengangkat batu itu setinggi paras lututnya. Dia lalu membawa batu itu kehadapan raja dan diletakkannya di situ. Maharaja Keling dan para pembesar negara pun ketawa kerana gembira. Riuh rendah kedengaran. Akhirnya, sampailah masanya giliran Badang. Badang yang bertubuh kerdil berjalan masuk dengan lemah longlai menuju ke batu besar itu. Badang lalu mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga. Pahlawan Gagah Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat menandingi kekuatan Badang yang sungguh gagah perkasa itu. Demikianlah kemasyhuran Badang sebagai seorang yang gagah perkasa pada zaman dahulu. Itulah sebabnya kemasyhurannya menjadi buah mulut yang dituturkan orang dari zaman ke zaman.

Pada suatu hari ada seekor kerbau jantan hendak minum air. Kerbau itu berjalan melalui satu lorong menuju ke sungai. Sungai itu agak luas. Airnya cetek sahaja, jenih dan sejuk. Kerbau itu mengharung air. Air itu hanya setakat lutut sahaja. Kerbau itu menuju ke tengah-tengah sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi jernih. Ketika menghirup air, kerbau terdengar sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke arah suara itu. Kerbau ternampak air terhambur naik di tebing sungai. "Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!" tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai dekat rimbunan buluh. Kerbau cuba memerhati dan meneliti suara itu. Kerbau ternampak sesuatu berbalam-balam dari jauh seperti batang kelapa ditindih sebatang kayu. Suara meminta tolong terus bergema. Merayu-rayu bunyinya. Kerbau mendekati suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok kayu, betul-betul di tengah belakangnya. "Oh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Tolong aku, kerbau! Aku ditimpa oleh pokok yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat sungguh batang kayu ini," jawab buaya. Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba mengangkat kayu itu dengan tanduknya. Apabila batang kayu terangkat, buaya cepat-cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau menghumban kayu itu ke bawah, buaya segera menangkap kakinya. "Eh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau apabila dirasai kakinya digigit buaya. "Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki aku," jelas buaya sambil menggigit lebih kuat lagi. "Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia ini. Tidak tahu membalas budi. Orang berbuat baik, kau balas jahat," kata kerbau. "Sepatutnya buat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat," sambung kerbau lagi. "Aku tidak peduli," jawab buaya. Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya menguatkan lagi gigitannya. Kerbau tidak mampu melepaskan diri kerana berada dalam air. Kalau buaya menariknya ke bawah tentulah ia akan lemas. Kerbau merayu supaya buaya tidak membunuhnya. "Janganlah bunuh aku, buaya! Aku pun mahu hidup. Kaumakanlah benda lain," kerbau merayu. Tetapi buaya tetap tidak peduli.

"Aku boleh melepaskan kau tetapi dengan satu syarat," kata buaya. "Apakah syaratnya?" tanya kerbau. "Kita cuba dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa berbuat baik dibalas baik? Kita tanya apa-apa yang lalu di sini," ujar buaya. "Kalau jawapannya sama sebanyak tiga kali, aku akan bebaskan kau," ujar buaya lagi. Kerbau bersetuju dengan syarat yang dicadangkan oleh buaya. Mereka bersama-sama menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau yang hanyut di dalam sungai itu. Tiba-tiba mereka ternampak sebuah saji yang buruk hanyut. Buaya pun bertanya pada saji. "Saji, betulkah berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. "Tidak betul. Berbuat baik dibalas jahat," jawab saji. Saji menceritakan kisah hidupnya. "Di rumah, aku digunakan untuk menutup makanan. Nasi, lauk, kuih, dan apa-apa sahaja aku lindungi," jelas saji. "Pendek kata, aku banyak menolong dan berbakti kepada tuan aku. Kucing dan tikus tidak boleh mencuri lauk. Aku lindungi," cerita saji. "Tetapi aku amat sedih, apabila aku buruk dan koyak, tidak berdaya lagi menutup makanan, aku dibuang ke sungai," ujar saji. "Itulah sebabnya aku berkata berbuat baik dibalas jahat," saji menamatkan ceritanya dan terus hanyut. "Macam mana kerbau? Betul atau tidak apa yang aku kata?" tanya buaya. Kerbau berdiam diri kerana berasa cemas dan sedih. Kerbau berdoa di dalam hati supaya Tuhan menolongnya. "Tuhan tentu akan menolong orang yang baik," kata kerbau dalam hatinya. Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang kasut buruk pula hanyut di situ. Sebelah daripada kasut itu tenggelam kerana tapaknya tembus. Tetapi kasut itu bergantung kepada pasangannya dengan tali. Keduadua belah kasut itu bersama-sama hanyut. "Hah, itu satu lagi benda hanyut! Kita cuba tanya," kata buaya. "Kasut, betul atau tidak berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. Kerbau berdebar-debar menunggu jawapan kasut. Kalau kasut bersetuju dengan kenyataan itu bererti ia akan selamat. Kalau kasut berkata tidak betul, habislah riwayatnya.

"Tidak betul kerana berbuat baik dibalas jahat," jawab kasut. Hancurlah harapan kerbau untuk hidup apabila mendengar kasut memberi jawapan itu. Kasut lalu bercerita. Pada suatu masa lalu, kasut amat disayangi oleh tuannya. Setiap hari kasut dibersihkan dan dikilatkan. Apabila malam, kasut itu disimpan di tempat selamat. Kasut itu juga hanya dipakai oleh tuannya apabila pergi ke bandar sahaja. Kalau tuannya pergi ke tempat berpasir atau berlumpur, kasut itu tidak dipakainya. Tetapi apabila sudah buruk, kasut itu tidak disayangi lagi. Badannya tidak dikilatkan lagi. Kasut itu dibaling ke tepi tangga selepas digunakan. Apabila malam, kasut itu ditinggalkan di halaman rumah. Kasut itu dibiarkan berembun dan berhujan. Ketika itu juga, kasut itu menjadi tempat persembunyian katak puru untuk menangkap nyamuk. Apabila sudah terlalu buruk dan koyak, kasut itu dibuangkan ke dalam sungai. "Itulah sebabnya aku hanyut ke sini," kasut menamatkan ceritanya lalu pergi bersama-sama arus air. "Sudah dua jawapan. Engkau kalah. Tetapi aku bagi satu peluang lagi," kata buaya. "Kalau datang yang ketiga, sama jawapannya, engkau akan menjadi habuanku," jelas buaya kepada kerbau. Ketika kerbau dan buaya menanti kedatangan benda yang ketiga, tiba-tiba datang seekor kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke tebing tempat buaya dan kerbau. Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki kerbau. Kancil melihat air mata kerbau berlinang. Manakala buaya pula kelihatan bengis. "Ada apa kerbau? Kenapa buaya gigit kaki engkau?" tanya kancil. "Mujurlah engkau datang, kancil! Kami sedang menunggu hakim yang ketiga untuk mengadili kami," kata buaya. "Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat," kata buaya. "Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?" tanya kancil. Buaya lalu bercerita mengenai dirinya yang ditindih batang kayu. Kerbau datang menolong. Tetapi buaya tidak mahu membalas perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu patut menjadi rezekinya. "Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok kejadian asalnya," kata kancil. "Mula-mula aku kena tindih batang pokok patah. Batang pokok itu jatuh menimpa belakang aku," jawab buaya.

"Boleh aku tengok macam mana pokok itu berada di atas belakang kau?" tanya kancil. "Macam mana aku hendak tunjukkan, kerbau sudah alihkan batang kayu itu," jawab buaya. "Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat asal, tempat engkau kena tindih," ujar kancil. Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya melepaskan kaki kerbau lalu duduk dekat batang pokok. "Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah kayu itu berada di atas belakang buaya? Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang kayu itu?" kancil mengarah seperti hakim. Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil. "Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat?" kancil mengarah buaya. Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang pokok itu tetapi tidak berdaya. "Cuba lagi, seperti engkau mula-mula kena tindih," kata kancil. "Up! Up!" bunyi suara buaya cuba mengalih batang pokok. "Kuat lagi! Kuat lagi!" seru kancil. Buaya terus mencuba tetapi tidak berupaya melepaskan diri. Buaya cuba mengumpul kekuatan untuk mengangkat batang kayu itu, tetapi gagal. Ekornya sahaja membedal air tetapi batang kayu tetap itu tidak bergerak. Buaya sudah penat. Kerbau pula menunggu arahan kancil. "Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil. "Selepas itu aku datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya terlepas, ia gigit kaki aku," jawab kerbau. "Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?" tanya kancil. Kerbau segera mendekati batang pokok itu. Kerbau menundukkan kepala hendak mengangkat batang kayu itu. "Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu itu," kata kancil. "Habis itu macam mana pula dengan buaya? Tentu buaya akan mati," jawab kerbau. "Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal

ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil. "Jaga, kancil! Kautipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau," pekik buaya. Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu.

Seluruh negeri Cik Siti Wan Kembang gempar dengan kehilangan Puteri Saadong yang baru dibebaskan oleh Raja Siam. Selepas peristiwa di Istana Mahligai, iaitu peristiwa baginda Raja Abdullah mati di tangan Puteri Saadong akibat pertengkaran di tangga istana itu, Puteri Saadong melarikan diri. Berita bagaimana Puteri Saadong tidak diterima bekas suaminya, Raja Abdullah itu sampai ke telinga Raja Siam. Raja Siam telah berjanji untuk memperisteri Puteri Saadong semula. Sebelum peristiwa malang itu berlaku, Raja Siam telah membenarkan Puteri Saadong pulang ke Kelantan. Puteri Saadong pulang bersama-sama dengan tiga pengasuh peribadinya, iaitu Wan Dogol, Seman, dan Awang Selamat. Mereka menaiki perahu menyusur Kuala Kemasin, terus ke Sungai Mulong dan ke Bukit Marak. Sesampai di Bukit Marak, Puteri Saadong segera ingin menghadap suaminya, Raja Abdullah, yang amat dikasihinya. Puteri Saadong lalu berarak turun dari istananya di Bukit Marak, menuju ke Kota Mahligai, menyusuri Sungai Ketereh. Ada riwayat yang menceritakan, Puteri Saadong sempat melawat tamannya di Melor dan Dusun Buloh kerana ingin mengingati kenangan manis sebelum dipaksa ke Siam. Pemergiannya ke Siam adalah untuk menyelesaikan sengketa perang dua negeri tersebut yang berpanjangan. Atas nasihat paduka ayahanda angkatnya, dia relakan diri menjadi tebusan. Namun, Puteri Saadong berjanji pada suaminya, Raja Abdullah, untuk kembali secepat mungkin dengan menggunakan muslihat tertentu. Suaminya berjanji akan penuh setia menunggu kepulangan Puteri Saadong. Namun, Puteri Saadong kecewa kerana suaminya yang dikasihi sudah mungkir janji. Sesampai di tangga istana, berlakulah pertengkaran. Tamparan Raja Abdullah ke muka Puteri Saadong, disambut oleh Puteri Saadong dengan tikaman sanggul tanduk pengikat rambutnya. Mangkatlah Raja Abdullah. Puteri Saadong melangkah turun tanpa menoleh lagi. Utusan Raja Siam segera menyusur untuk menyiasat ke mana pergi Puteri Saadong. Utusan itu mendapati Puteri Saadong sudah berangkat keluar ke istana Bukit Marak, sehari selepas peristiwa di Mahligai itu. Puteri yang berhati walang itu hanya diiringi oleh pengasuh setia, Wan Dogol, Seman, dan

Awang Selamat. Utusan Raja Siam terpaksa pulang dengan hampa. Raja Siam bersumpah untuk mendapatkan semula Puteri Saadong dengan apa cara sekalipun. Baginda mengutuskan rombongan penyiasat yang kedua. Namun, Puteri Saadong sudah mengetahui, tentu sekali maharaja itu akan menyusurinya. Puteri Saadong amat bijak. Puteri Saadong berkata kepada pengasuh-pengasuhnya, "Wan Dogol, Seman, dan Awang Selamat! Marilah kita menyamar diri sambil berarak menuju ke Gunung Reng, tempat bersemayam baharu kita." Ketiga-tiga orang pengasuh itu segera mempersiapkan diri kerana perjalanan ke sana amat sukar. Selepas menyusur Sungai Nenggiri, jalan air itu terputus di Ulu Legeh. Namun dengan kegagahan Awang Selamat yang mengusung perahu mengikut jalan darat, mereka sampai ke Alur Baru, sungai Batu Melintang, dan terus menyusur lagi. Sesampai di Gunung Reng, Puteri Saadong menemui ayahanda angkatnya yang dihormati. Puteri Saadong lalu menceritakan peristiwa itu satu persatu. Lalu ayahanda angkatnya memperkenannya berlindung di istana. Namun, ayahanda angkatnya risau kalau-kalau diintai oleh perisik Siam. Puteri Saadong lalu berkata, "Janganlah paduka ayahanda berduka nestapa. Tahulah anakanda menjaga diri," Namun, ayahanda angkatnya itu masih tidak faham, lalu meminta Puteri Saadong menjelaskan, apa maksud tujuannya berkata-kata sedemikian. Puteri Saadong menjelaskan agar ayahandanya tidak lagi bimbang. Baginda mendengar dengan teliti. Puteri Saadong memohon izin untuk bersemayam di dalam Gua Gunung Reng, di pinggir sungai. "Berita ini biarlah tersebar agar didengar oleh perisik Siam dan terus mengintip," kata Puteri Saadong. Segala bekalan dan persalinan diletakkan di Gunung Reng, layak dipandang sebagai rumah yang dihuni. Disusun rapi oleh tiga orang pengasuh yang setia. Gua itu seolah-olah sebuah mahligai tempat bersemayam seorang puteri dikelilingi dayang-dayang dan pengasuh. Begitulah helah yang dirancang oleh Wan Dogol, Seman, dan Awang Selamat. Tepat pada jangkaan Puteri Saadong, sampailah berita bahawa perisik Siam telah menjumpai laluan Sungai Nenggiri, dan menyusur sungai Batu Melintang, selepas terputus punca air di Ulu Legeh. Perisik itu tahu, Puteri Saadong bersemayam di dalam gua Gunung Reng. Begitupun, bijak lagi Puteri Saadong. Perancangannya, bak umpan sudah digigit ikan. Puteri Saadong memberi isyarat tertentu, agar pada waktu malam, apabila gua itu dikunjungi oleh perisik Siam, segala pelita hendaklah dinyalakan oleh Awang Selamat. Kemudian Awang Selamat hendaklah menyusup keluar mengikut pintu rahsia. Tiga malam berturut-turut, api bernyala. Namun, kelibat manusia tidak kelihatan. Perisik itu pulang menceritakan hal itu kepada Maharaja Siam. Oleh yang demikian, gemparlah berita kononnya Puteri Saadong sudah ghaib berserta dengan pengasuh Wan Dogol, Seman, dan Awang Selamat.

Puteri Saadong memohon sebidang tanah di hujung negeri Ulu Legeh itu untuk hidup seperti orang kampung. Pengasuh-pengasuh tua itu tetap setia menjaga dan melindunginya. Itulah kisah sebenar Puteri Saadong menghaibkan diri. Semenjak itu, Raja Siam tidak lagi mencuba untuk mencari Puteri Saadong.

Dalam sebuah kampung ada seorang lelaki miskin. Orang kampung menggelarkannya Pak Belalang. Anaknya pula digelarkan nama Belalang. Pak Belalang seorang yang malas bekerja. Namun, mujurlah anaknya itu rajin bekerja. Kalau tidak, tentulah Pak Belalang akan kelaparan. Belalang rajin menolong orang kampung. "Kasihan pada Belalang! Kecil-kecil sudah harus bekerja," kata orang kampung. Mereka selalu memberi upah kepada Belalang. Pada suatu hari, Belalang terlihat dua orang pencuri. Mereka menyembunyikan tiga ekor lembu di dalam hutan. Belalang segera pulang memberitahu hal itu kepada bapanya. Tetapi bapanya berdiam diri sahaja. Pada sebelah malamnya, Datuk Penghulu dan beberapa orang kampung datang ke rumah Pak Belalang. "Ada kamu terjumpa lembu itu?" Datuk Penghulu bertanya pada Belalang. Belalang lalu menjawab, "Suruhlah bapa saya cuba menujum. Bapa saya pandai menujum." Mahu tidak mahu, terpaksalah Pak Belalang berpura-pura pandai menujum. Selesai menujum, Pak Belalang memberitahu, "Pergilah cari lambu itu di dalam hutan." Datuk Penghulu dan orang kampung segera pergi ke hutan. Mereka berjaya menemui lembu itu semula. "Wah, Pak Belalang sungguh pandai menujum!" kata Datuk Penghulu. Beberapa bulan kemudian, datang seorang saudagar ke negeri itu. Saudagar itu pergi menghadap raja di istana. Dia ingin mengadakan pertandingan teka-teki. Raja bersetuju dengan cadangan itu. Baginda menitahkan Datuk Penghulu mencari orang yang pandai menjawab teka-teki. Datuk Penghulu lalu membawa Pak Belalang ke istana. "Beta akan memberikan hadiah, sekiranya kamu berjaya menjawab teka-teki esok," baginda raja memberitahu Pak Belalang. Pak Belalang berdiam diri sahaja. Dia sangat takut sebab dia sebenarnya tidak pandai menujum. Pak Belalang pulang dengan perasaan sedih. "Matilah aku kalau tidak dapat menjawab teka-teki itu," kata Pak Belalang dalam hatinya. Pada malam itu, Belalang berkayuh perahu. Dia pergi ke kapal saudagar. Dia berjaya mengintip perbualan saudagar itu.

Belalang pulang dengan senang hati. Dia sudah mengetahui rahsia teka-teki itu. Dia memberitahu hal itu kepada bapanya. Apa lagi, gembiralah hati Pak Belalang! Keesokan harinya, Pak Belalang dan anaknya pergi ke istana raja. Rakyat jelata turut datang. Mereka ingin menyaksikan pertandingan teka-teki itu. "Lihat kayu dalam air ini," kata saudagar itu. "Yang manakah hujungnya dan yang manakah pangkalnya?" saudagar itu bertanya. Pak Belalang menjawab, "Yang tenggelam itu ialah pangkalnya kerana lebih berat. Yang timbul itu pula ialah hujungnya kerana ringan." "Betul jawapan itu!" kata saudagar. Kemudian saudagar itu berteka lagi, "Lihat kedua-dua ekor itik di dalam kolam. Kedua-duanya kelihatan sama saja. Yang manakah itik jantan dan yang manakah pula itik betina?" Pak Belalang lalu menjawab, "Itik jantan akan mengejar itik betina. Oleh yang demikian, itik di belakang itu ialah itik jantan. Itik di hadapan itu pula ialah itik betina." "Betul jawapan itu!" kata saudagar tersebut. Dia tidak menyangka Pak Belalang sungguh pintar. Dia sudah kalah dalam pertandingan itu. Tiba-tiba seekor serangga terbang dan hinggap di bahu saudagar. Dia segera menangkap serangga itu. Dia berkata kepada Pak Belalang, "Kalau kamu benar-benar pintar, cubalah teka apa yang ada dalam tanganku ini?" Pak belalang tidak tahu hendak menjawab. "Malulah aku!" kata Pak Belalang dalam hatinya. Dia termenung sedih. "Belalang! Oh, Belalang!" Pak Belalang mengeluh sambil menyebut nama anaknya itu. Terkejutlah saudagar itu mendengar jawapan tersebut. Serangga dalam genggaman tangannya itu ialah seekor belalang. "Betul jawapan itu!" ujar saudagar. Pak Belalang sangat gembira. Dia tidak menyangka kata-katanya tadi menjadi jawapan betul. "Kamu seorang ahli nujum yang sangat pintar," kata saudagar itu kepada Pak Belalang. Raja sangat gembira. Baginda mengurniakan hadiah yang mahal-mahal kepada Pak Belalang. Sejak itu, Pak Belalang menjadi orang kaya. Dia dan anaknya hidup bahagia.

Salah sebuah gunung yang sangat masyhur di negara kita ialah Gunung Ledang. Gunung ini terletak di negeri Johor. Nama gunung ini begitu masyhur kerana terdapat sebuah cerita legenda berkaitannya. Kononnya, pada suatu zaman dahulu di atas gunung itu tinggal seorang puteri yang jelita. Namanya terkenal

sebagai Puteri Gunung Ledang. Orang-orang kampung yang pergi mencari hasil hutan di gunung itu, sekali-sekala pernah terserempak dengan Puteri Gunung Ledang. Kadang-kadang orang terserempak puteri itu menyamar sebagai perempuan tua. Puteri Gunung Ledang sangat baik hati. Dia selalu memberikan makanan dan menolong orang yang tersesat jalan. Namun, bukan semua orang berpeluang bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Dia hanya muncul sekali-sekala sahaja, terutama untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah, jika nama Puteri Gunung Ledang menjadi sebutan di mana-mana. Sultan Mahmud Syah yang memerintah di negeri Melaka pada masa itu juga turut mendengar khabar tentang Puteri Gunung Ledang. Baginda bercita-cita ingin mengahwini Puteri Gunung Ledang. Baginda lalu memberitahu hal itu kepada para pembesarnya. "Pergilah beberapa orang daripada kamu ke Gunung Ledang itu. Beta mahu kamu mencari dan meminang Puteri Gunung Ledang. Beritahulah kepada Puteri Gunung Ledang bahawa beta mahu menjadikannya sebagai permaisuri beta," titah Sultan Mahmud. Beberapa orang pembesar Melaka segera pergi ke Gunung Ledang. Salah seorang daripada mereka ialah Tun Mamat. Berhari-hari lamanya mereka mendaki gunung itu dengan segala susah payah. Puas mereka cuba mencari, namun Puteri Gunung Ledang tidak ditemui. Tun Mamat cuba berjalan seorang diri untuk mencari Puteri Gunung Ledang. Akhirnya, Tun Mamat berjaya bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Kawasan tempat tinggalnya sangat indah kerana penuh dengan pelbagai jenis bunga. Tun Mamat lalu menyampaikan titah daripada Sultan Mahmud itu. Puteri Gunung Ledang enggan menjadi permaisuri Sultan Mahmud. Tetapi dia tidak tergamak untuk menolak pinangan itu. Oleh yang demikian, dia memberikan beberapa syarat. "Jikalau Sultan Mahmud dapat memenuhi semua syarat tersebut, barulah saya bersetuju menjadi permaisuri baginda," kata Puteri Gunung Ledang kepada Tun Mamat. Tun Mamat bergegas pulang ke Melaka. Beliau lalu memberitahu hal itu kepada Sultan Mahmud. "Apakah syarat-syarat yang dipinta oleh Puteri Gunung Ledang itu?" Sultan Mahmud ingin tahu. "Puteri Gunung Ledang mahukan sebuah jambatan emas dibina dari Kota Melaka ke Gunung Ledang, setempayan air pinang masak, setempayan hati nyamuk, setempayan hati kuman, semangkuk darah tuanku, dan semangkuk darah putera Raja Melaka," jelas Tun Mamat. Termenunglah Sultan Mahmud mendengar segala syarat peminangan yang diberitahu oleh Tun Mamat. Setelah berfikir panjang, akhirnya Sultan Mahmud bertitah, "Segala syarat itu jika beta mahu, nescaya beta mampu menunaikannya. Tetapi syarat untuk mendapatkan semangkuk darah anakanda beta, tiada sanggup beta menunaikannya. Beta tidak sanggup mengambil darah anakanda beta sendiri." Semua pembesar berdiam diri mendengar kata-kata itu.

"Tidak mengapalah, wahai Tun Mamat! Beta batalkan hasrat untuk meminang Puteri Gunung Ledang itu," titah Sultan Mahmud lagi. Dengan demikian, tidak jadilah Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak sanggup mengorbankan nyawa anakanda kesayangannya. Selepas peristiwa itu, tiada seorang pun dapat bertemu dengan Puteri Gunung Ledang lagi.

Di negeri Kelantan pada suatu zaman dahulu ada seorang puteri raja bernama Puteri Saadong. Puteri Saadong bukan sahaja terkenal kerana berbudi pekerti mulia, malah masyhur kerana wajahnya sungguh jelita. Oleh sebab itu, nama Puteri Saadong menjadi sebutan ramai di segenap ceruk rantau. Ramailah golongan raja dan rakyat jelata ingin mengenali Puteri Saadong. Malah, sesetengah putera raja bercita-cita ingin meminang Puteri Saadong. Salah seorang yang turut bercita-cita demikian ialah Raja Siam. Baginda pernah menghantar rombongannya untuk meminang Puteri Saadong. Tetapi pinangan itu ditolak oleh Puteri Saadong. Puteri Saadong tidak ingin menjadi permaisuri Raja Siam. Raja Siam berasa sangat kecewa. Namun, Raja Siam tidak berputus asa. Baginda sentiasa berfikir cara untuk mengambil Puteri Saadong menjadi permaisurinya. Pada suatu hari, Raja Siam mendapat khabar bahawa Puteri Saadong sudah berkahwin. Suaminya ialah seorang putera raja bernama Raja Abdullah. Marahlah Raja Siam bukan kepalang! Akhirnya Raja Siam mengambil keputusan untuk menyerang negeri Kelantan. Berlakulah peperangan dan ramailah rakyat yang terkorban. Puteri Saadong berasa sangat sedih. Puteri Saadong lalu memberitahu suaminya, "Biarlah adinda pergi menghadap Raja Siam itu. Adinda akan cuba memujuk Raja Siam supaya berhenti berperang." Tetapi suaminya tidak bersetuju. "Jika adinda pergi, adinda mungkin akan ditangkap oleh Raja Siam," ujar suaminya. Puteri Saadong cuba memujuk lagi, "Kita tidak mempunyai cara lain lagi. Jika kita kalah berperang, negeri kita akan ditawan oleh Raja Siam." Akhirnya, Raja Abdullah terpaksa bersetuju dengan cadangan isterinya itu. Puteri Saadong lalu pergi ke negeri Siam. Hari demi hari, Raja Abdullah menunggu kepulangan isterinya. Tetapi Puteri Saadong tidak pulang-pulang. Puteri Saadong menjadi tawanan Raja Siam. Namun demikian, Puteri Saadong tetap berada dalam selamat. Setiap kali Raja Siam cuba menghampiri Puteri Saadong, badan Raja Siam itu dipenuhi penyakit kudis. Puaslah baginda cuba mengubati penyakitnya itu. Tetapi tiada sembuh.

Setelah setahun berlalu, akhirnya sembuhlah penyakit yang dihidapi oleh Raja Siam itu. Baginda berasa insaf. Baginda lalu membebaskan Puteri Saadong. Puteri Saadong segera pulang ke Kelantan untuk menemui suaminya. Tetapi alangkah terkejutnya Puteri Saadong kerana suaminya sudah mempunyai isteri baharu. "Pergilah engkau menjadi permaisuri Raja Siam itu!" Raja Abdullah menghina Puteri Saadong. Sedihlah hati Puteri Saadong mendengar kata-kata itu. Lebih menyedihkan lagi, suaminya menghalau supaya dia pergi dari situ. "Di sinilah tempat tinggal adinda. Adinda tidak mahu pergi. Kasihanilah adinda!" ujar Puteri Saadong sambil menangis. Raja Abdullah tersangat marah. Baginda mencabut keris hendak membunuh Puteri Saadong. Terpaksalah Puteri Saadong mempertahankan diri untuk menyelamatkan nyawanya. Dalam pergelutan itu, Puteri Saadong secara tidak sengaja telah tertikam suaminya. Mangkatlah Raja Abdullah. Peristiwa itu sangat menyayat hati! Sejak itu, Puteri Saadong tidak mahu tinggal di istana itu lagi. Dengan linangan air mata, Puteri Saadong berangkat meninggalkan istana tersebut. Semenjak itu sampailah sekarang, tiada seorang pun mengetahui, ke manakah sebenarnya Puteri Saadong membawa diri? Tinggal menjadi kenangan hanyalah peristiwa yang menyayat hati!

Di dalam sebuah kampung tinggal seorang petani miskin. Petani itu seorang yang baik hati dan rajin bekerja. Setiap hari, pagi-pagi lagi, dia sudah pergi ke kebunnya untuk bercucuk tanam. Dia menanam pelbagai jenis sayur-sayuran. Namun, kasihan petani itu kerana dia sering dimarahi oleh isterinya. Setiap hari isterinya berleter, "Awak malas bekerja. Itulah sebabnya hidup kita tetap miskin." "Setiap hari saya pergi bekerja. Walaupun hidup kita miskin, namun kita tidaklah menjadi pengemis," kata petani itu kepada isterinya. "Awak memang seorang pemalas. Itulah sebabnya hidup kita tetap miskin," kata isterinya lagi. Petani itu berasa sedih. Dia selalu menasihati isterinya, "Walaupun rezeki kita hanya sedikit, namun kita mestilah sentiasa bersyukur pada Tuhan." Setiap hari, petani itu gigih bekerja. Selain bercucuk tanam, dia melakukan pelbagai jenis pekerjaan lain pula. Dia pergi mencari dan menjual kayu api, mengambil upah memanjat kelapa, dan lain-lain lagi. Namun demikian, hidup petani itu tidaklah mewah sebagaimana orang kaya-raya. Oleh sebab itu, setiap hari dia sentiasa dimarahi oleh isterinya yang garang itu.

Pada suatu hari, petani itu diajak oleh isterinya pergi ke sungai. "Mulai hari ini, awak cuba pergi menangkap ikan di sungai pula. Mungkin boleh mendapat ikan yang banyak," kata isterinya. "Jika awak dapat menangkap banyak ikan, awak boleh menjualnya di merata-rata kampung. Rezeki kita akan bertambah dan kita mungkin akan menjadi kaya," kata isterinya lagi. Terpaksalah petani itu pergi ke sungai pula untuk menangkap ikan. Walaupun dia sudah sangat kepenatan kerana bertungkus-lumus bekerja di kebunnya, namun dia terpaksa patuh pada suruhan isterinya. Petani itu tidak mahu bertengkar dengan isterinya. Oleh itu, dia segera membawa jalanya pergi ke sungai. Sepanjang petang, petani itu menjala di sungai. Rezekinya sangat murah. Dia mendapat banyak ikan. Isteri petani itu sangat gembira. Mereka menjual ikan itu. Mereka mendapat banyak wang. "Esok kita akan bersama-sama pergi ke sungai. Saya boleh mengayuh perahu. Awak pula boleh menjala," kata isteri petani itu. Dia sudah menjadi tamak. Dia mahu mendapatkan lebih banyak ikan. Keesokan paginya, mereka pergi ke sungai. Apabila sampai di tengah-tengah sungai, petani itu segera menjala. Namun, dia terkejut kerana jalanya terasa sangat berat. "Saya tidak terdaya hendak menarik jala ini. Jala ini sangat berat," kata petani itu. "Tentu banyak ikan," kata isterinya dengan perasaan sangat gembira. Tanpa berlengah lagi, petani itu cuba sedaya upayanya menarik jala tersebut. Alangkah terkejutnya petani itu kerana di dalam jala itu rupa-rupanya terdapat rantai emas. Isterinya sangat gembira. "Wah, rantai emas! Rantai emas! Kita akan kaya-raya," isterinya menjerit-jerit kerana sangat gembira. "Tarik! Tarik!" kata isterinya. Petani itu terus menarik rantai emas itu. Rantai emas itu sangat panjang. "Tarik! Tarik!" kata isterinya lagi. Petani itu terus menarik lagi. "Tarik! Tarik!" isterinya menyuruh lagi. "Janganlah tamak! Kita kerat sahaja rantai ini. Cukuplah sebanyak ini," petani itu cuba menasihati isterinya. Tetapi petani itu dimarahi oleh isterinya, "Awak ini sangat bodoh. Kita akan menjadi kaya-raya. Tarik rantai emas ini. Jangan berhenti!"

Mahu tidak mahu terpaksalah petani itu terus menarik rantai emas tersebut. Perahu yang mereka naiki menjadi semakin berat. Akhirnya, tenggelamlah perahu itu. Petani itu terpaksa berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan dirinya. Dia tidak sempat menyelamatkan isterinya. Matilah isterinya yang sangat tamak itu.