Anda di halaman 1dari 1

Ijazah Aeronautik Bakal Lonjak Nama UTHM

UNIVESITI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah ke hadapan apabila menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tunggal di negara ini menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional). Penawaran kursus berkenaan adalah selaras dengan keperluan pasaran kerja apabila seramai 17,000 juruterbang baru diperlukan setiap tahun di seluruh dunia dalam jangka masa 20 tahun akan datang. Malah, seramai 250,000 jurutera dan juruteknik penyelenggaraan pesawat terbang pula diperlukan untuk menyokong operasi penerbangan di rantau Asia hingga tahun 2017. Kursus yang ditawarkan oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) itu akan mengambil masa empat tahun pengajian.Pengambilan pelajar perintis kursus itu dijangka bermula Julai tahun depan di Kampus UTHM bagi program Ijazah Sarjana Muda. Kursus latihan juruterbang pula akan dijalani pelajar di Asia Pacific Flight Training (APFT) di Kota Bharu, Kelantan yang diiktiraf oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM). Tenaga pengajar yang terlibat adalah bertauliah dengan DCAM bagi memastikan para penuntut mendapat peluang pembelajaran yang terbaik di samping dapat meningkatkan tahap profesional mereka. Ketika ini, UTHM telah menandatangani memorandum perjanjian dengan APFT untuk mengendalikan komponen perlesenan penerbangan profesional itu. Dengan pengenalan kursus tersebut, UTHM merupakan universiti pertama di negara ini yang akan melahirkan jurutera sekali gus berkelayakan untuk menerbangkan pesawat komersial. Segala kemudahan makmal telah pun disediakan dan ia menjadi pendorong bagi UTHM untuk memberanikan diri memulakan pengajian tersebut. Selain itu, UTHM juga kini sedang giat membangunkan prasarana di Lapangan Terbang Tanjung Labuh yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kampus UTHM untuk kegunaan penuntut kursus tersebut. Lapangan terbang itu asalnya milik DCAM dan segala kemudahan sedia ada akan dipertingkatkan oleh UTHM. Buat permulaan, seramai 25 penuntut akan dipilih untuk mengikuti jurusan tersebut. Dengan adanya program ijazah yang menawarkan kelayakan diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti lesen penyelenggaraan pesawat dan lesen juruterbang profesional, ia sudah pasti mampu menarik penuntut dalam dan luar negara mengikuti kursus itu di UTHM.

Pada masa yang sama, ia juga dapat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan aeronautik di rantau Asia Tenggara.Berdasarkan kajian prasarana yang dijalankan, gaji permulaan yang dijangka diperoleh oleh para graduan program ini antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, bergantung kepada syarikat penerbangan yang disertainya.

Terakhir dikemaskini ( Rabu, 19 Ogos 2009 )

Anda mungkin juga menyukai