Anda di halaman 1dari 7

STRUKTUR KOTA KOTA AWAL SEMENANJUNG TANAH MELAYU KURUN KE-2 HINGGA KE-13 MASEHI: SATU ANALISIS SOSIOEKONOMI

Nasha Rodziadi Khaw (USM) Nazarudin Zainun Ph.D. (USM) Tarmiji Masron Zulkifli Jaafar

PENDAHULUAN 1. Semenanjung Tanah Melayu telah mula menjadi kawasan persinggahan untuk para pedagang dan pengembara dari Timur dan Barat sejak kurun ke-2 Sebelum Masihi lagi. Semenanjung Tanah Melayu dengan lokasinya di pertengahan laluan perdagangan Nusantara telah memberi pengaruh kepada bentuk aliran komoditi, dan seterusnya kepada pola perdagangan di perairan Asia Tenggara pada zaman moden awal. Pada masa yang sama, lokasinya yang diapit oleh dua buah kuasa besar Asia iaitu China dan India menyebabkan percaturan politik sosioekonomi di kedua-dua tamadun tersebut secara berterusan mempengaruhi pula perkembangan penempatan-penempatan di kawasan pesisir Semenanjung Tanah Melayu. Interaksi tersebut membawa kesan terhadap perubahan sosioekonomi penempatan-penempatan tersebut. Perubahan sosioekonomi tersebut membawa kepada pembentukan yang kota-kota awal yang berfungsi sebagai pelabuhan-pelabuhan dagang.

2. Berbeza dengan keadaan mukabumi pusat-pusat tamadun awal Asia Tenggara yang lain seperti Indochina, Pulau Jawa, mahupun Sumatra yang memiliki dataran luas yang menjadi pemisah antara kawasan pergunungan dan pesisir pantai, Semenanjung Tanah Melayu cuma terdiri daripada kawasan banjaran gunung yang tinggi dan curam serta diliputi hutan hujan tropika dengan tebal dengan lereng banjaran yang terus menganjur ke laut. Kawasan pesisir pantai di pantai Barat diliputi oleh kawasan paya bakau manakala di kawasan pantai Timur wujud deretan kawasan pantai berpasir. Kawasan tanah rata di Semenanjung Tanah Melayu pula cuma terhad di lembah sungai-sungai pendek dan deras, yang merupakan satu-satunya laluan yang menghubungi kawasan pesisir dan pedalaman Semenanjung Tanah Melayu. Tanah yang wujud pula kebanyakannya adalah tidak subur dan kurang sesuai untuk pertanian secara besar-besaran. 3. Masyarakat yang menetap di sekitar Semenanjung Tanah Melayu terdiri daripada masyarakat penutur bahasa Austronesia dan bahasa Austroasiatik. Masyarakat awal di Semenanjung Tanah Melayu kebanyakannya wujud dalam bentuk penempatan kecil sama ada di muara dan pesisir sungai, ataupun kumpulan nomadik dan semi-nomadik di kawasan pedalaman. Sehingga kini, masih belum ditemui sebarang bukti konkrit yang benar-benar dapat mengesahkan masyarakat yang mana satu yang membina kerajaan-kerajaan awal di Semenanjung Tanah Melayu pada zaman protosejarah. Walau bagaimanapun, pertimbangan terhadap lokasi kebanyakan kerajaan-kerajaan tersebut serta masyarakat yang diketahui mendiami kawasan tersebut dapat dapat dijadikan asas kepada andaian masyarakat yang mengasaskan kerajaan-kerajaan tersebut. Untuk kebanyakan kerajaan yang terletak di pesisir Selat Melaka, kemungkinan besar kerajaan-kerajaan tersebut didirikan oleh masyarakat

penutur bahasa Austronesia. Andaian ini dibangun berdasarkan kepada fakta yang pesisir Selat Melaka didiami masyarakat orang laut yang menutur bahasa tersebut. 4. Dengan keadaan geografi dan demografi tersebut, telah wujud kota-kota pelabuhan awal di sekitar kawasan pesisir dan lembah sungai Semenanjung Tanah Melayu. Tidak seperti kerajaan-kerajaan yang telah mencapai tahap ketamadunan yang tertentu, kota-kota awal tersebut sini tidak mempunyai zaman kesinambungannya selepas kemerosotannya. Negaranegara ini sama ada terus lenyap ataupun diserap oleh kerajaan-kerajaan yang lain. Kerajaankerajaan tersebut termasuklah Tan-Tan, Kalasapura, Fo-Lo-An, Chiu-Chih, Lo-Yeh, ChihTu, Langkasuka, Tun-Sun, Pan-Pan dan Hsia-Wai-Lu. Diperhatikan di sini yang kerajaankerajaan tersebut mempunyai nama dalam loghat bahasa China. Perlu difahami di sini yang nama-nama kerajaan tersebut diambil daripada sumber-sumber penulisan China. Nama-nama asal kerajaan di Nusantara sudah semestinya wujud dalam bahasa tempatan ataupun Sanskrit. Walau bagaimanapun, kerana perbezaan bahasa, nama kerajaan yang digambarkan diberi di dalam sebutan bahasa China. Contohnya, Shih-Li-Fo-Shih adalah transkripsi untuk Srivijaya, San-Fo-Chi adalah transkripsi untuk Suvarnadvipa, dan Tan Ma Ling adalah transkripsi untuk Tambralinga. Untuk kerajaan yang transkripsi asal namanya tidak dapat diperolehi, nama dalam loghat China telah dikekalkan. 5. Wujud pelbagai bentuk interpretasi mengenai struktur, keadaan sosioekonomi, dan pola perubahan politik kota-kota pelabuhan tersebut. Bagi kota-kota pelabuhan tersebut, kebanyakannya cuba digambarkan sebagai kerajaan-kerajaan kecil yang memiliki pengaruh Hindu-Buddha. Dari segi politik pula, perkembangan kota-kota tersebut seringkali dibincangkan secara berasingan tanpa sebarang kesimpulan umum dibuat. Makalah ini akan cuba membincangkan struktur, keadaan sosioekonomi, dan perkembangan politik kota-kota awal semenanjung tanah melayu sebelum kurun ke-13 Masehi.

LATAR BELAKANG SUMBER-SUMBER 6. Rekod-rekod paling sahih yang dapat menerangkan keadaan sosiobudaya, ekonomi dan politik kerajaan-kerajaan di kawasan tersebut sejak dari zaman kuno sehingga perkembangannya pada zaman moden awal adalah terletak pada sumber-sumber penulisan asing. Gambaran dari perspektif penulisan tempatan pula wujud dalam bentuk lagenda dan mitos-mitos yang sukar dibuktikan dan tidak dapat dianggap sebagai sebagai suatu sejarah yang sahih. Antara sumber-sumber luar yang wujud adalah sumber China, Eropah, India dan Arab. Di dalam tulisan ini penggunaan sumber China dan India adalah lebih dominan. Hal ini disebabkan sumber lain seperti Arab didapati hanya mencatat mengenai kawasan ini bermula dari kurun ke-8 Masihi. Sumber Eropah pula sebahagian besarnya adalah saduran daripada sumber India. Kewujudan sumber-sumber asing mengenai kota-kota pesisir Semenanjung berkait rapat dengan kepentingannya kepada negara-negara tersebut. 7. Sumber penulisan terpenting yang wujud tentang zaman awal Semenanjung Tanah Melayu ialah Sumber China. Bentuk-bentuk sumber yang wujud adalah Catatan-Catatan Dinasti, Ensiklopedia, Catatan Pelayaran dan Catatan Topografi. Berdasarkan sumber penulisan terawal, iaitu Chien Han Shu , telah mula wujud hubungan antara kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu, iaitu kerajaan Fu-Kan-Tu-Lu dengan Maharaja Wu-Ti dari Dinasti Han antara tahun 141 hingga 87 Sebelum Masihi. Dinasti Han yang menggantikan Dinasti Qin pada 206 Sebelum Masihi telah mula mengamalkan dasar perdagangan yang aktif dengan negara-negara di luar sempadan empayar China, terutamanya semasa zaman

pemerintahan Maharaja Wen-ti pada 179 hingga 157 Sebelum Masihi. Pada zaman tersebut laluan perdagangan yang digunakan antara China dan Timur Tengah adalah melalui jalan darat. Penguasaan Dinasti Han terhadap kawasan Canton, Tenggara China, serta penguasaaan terhadap kawasan pesisir di Selatan China kemungkinan besar telah menjadi perintis kepada perkembangan kegiatan maritim China di Lautan Selatan. 8. Semasa penghujung zaman pemerintahan Maharaja Wu-ti, dasar expansionalisme yang diamalkan membawa kepada banyak kekacauan di dalam empayar tersebut. Masalah dalaman yang wujud seperti perang saudara dan perebutan kuasa yang berlaku secara berterusan semasa pemerintahan Maharaja Wu-Ti sehingga kejatuhan dinasti tersebut pada awal kurun ketiga Masihi menyebabkan hubungan diplomatik empayar China dengan negara luar tidak diberi perhatian. Malahan kadang kala terkesan diabaikan. Oleh sebab itulah, selain daripadaa gambaran yang diberikan tentang hubungan ufti Fu-Kan-Tu-Lu dengan Maharaja Wu-Ti, tidak disebut apa-apa lagi tentang hubungan antara Dinasti Han dengan Lautan Selatan. 9. Walau bagaimanapun, bukti kewujudan negara-negara kota di Semenanjung Tanah Melayu dapat mula dibuktikan secara konkrit pada zaman Dinasti Liu-Song [420-479M], Dinasti Chi [[479-501M], Dinasti Liang [502-556M], Dinasti Chen [557-581M], Dinasti Sui [581-618M] dan setersnya Dinasti Tang yang berlanjutan sehingga 907M. Zaman ini memperlihatkan kebangkitan entiti-entiti politik di Semenanjung Tanah Melayu akibat kejatuhan empayar Funan. Dalam usaha untuk melindungi dan mengukuhkan kepentingan kerajaan masingmasing para pemimpin setempat telah berusaha mendapatkan pengisytiharan kedaulatan daripada negara luar yang dianggap kuat ketika itu. Negara-negara kota tersebut telah menghantar ufti kepada Maharaja-Maharaja China. 10. Penghantaran ufti oleh negara-negara kota tersebut direkod dalam Sejarah-Sejarah Dinasti China. Misalnya tercatat utusan terakhir yang dihantar pada tahun 668 Masihi oleh Kerajaan Tan-Tan. Keadaan demikian juga didapati selari dengan zaman perkembangan kuasa Talasokrasi Srivijaya-Palembang yang memulakan proses pasifikasi negara-negara kota di pesisir Selat Melaka. Antara Cerita-Cerita Dinasti yang wujud adalah Chien Han-shu, LiangShu, Sung-Shu, Sui-Shu, Chiu-Shu, Chen-Shu, dan Hsin Tang Shu. Rekod-rekod ini biasanya dikompilasikan oleh pegawai-pegawai istana pada penghujung sesebuah dinasti untuk kegunaan golongan birokrasi yang kurang mementingkan keadaan geopolitik negaranegara di luar sempadan negeri China. Rekod-rekod ini sangat berguna dalam usaha melihat perkembangan kerajaan-kerajaan Melayu awal di Segenting Kra dan Semenanjung Tanah Melayu. 11. Di samping Cerita-Cerita Dinasti, maklumat tentang negara-negara kota awal di Semenanjung Tanah Melayu juga boleh diperolehi daripada ensiklopedia China. Ensiklopedia-ensiklopedia yang wujud ini merupakan kompilasi maklumat-maklumat daripada penulisan yang lebih awal. Antara ensiklopedia yang menyentuh tentang kerajaankerajaan awal ialah Tung Tien, Wen Hsien Tung Kao, dan Tai Ping Y Lan. 12. Sumber China yang terakhir ialah catatan topografi yang ditulis oleh pelayar-pelayar China yang melawati perairan nusantara. Contoh penulisan yang menyentuh tentang kerajaan awal Semenanjung ialah Tai Ping Huan Y Chi. Di dalam penulisan-penulisan China, gambaran diberi berdasarkan kepada pemerhatian mereka terhadap keadaan sosioekonomi dan sosiobudaya masyarakat tempatan. Pandangan-pandangan para pelayar ini tentunya bukan sahaja satu pandangan dari geledak kapal semata-mata tetapi juga memberikan gambaran lebih mendalam mengenai tempat-tempat yang disinggahi. Selain itu turut juga

dinyatakan sumber-sumber komoditi perdagangan yang dihantar sebagai ufti kepada Maharaja China. 13. Walaupun diketahui bahawa sumber China merupakan sumber yang secara relatifnya paling lengkap yang menceritakan tentang sejarah awal kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu, namun ianya bukanlah sumber yang tertua. Sumber yang tertua yang menyebut tentang kerajaan-kerajaan awal di Semenanjung Tanah Melayu merupakan sumber India. Contohnya, penulisan Ramayana yang mula dikarang pada kurun ketiga hingga kurun keempat Semelum Masihi merupakan penulisan tertua yang menyentuh tentang nusantara. 14. Kontak antara India dengan nusantara telah bermula sejak zaman prasejarah. Ini dibuktikan dengan jumpaan arca Buddha di dalam lapisan stratigrafi Zaman Neolitik. Hubungan antara India dan nusantara berterusan, hasilnya wujudlah rekodrekod di dalam sumber-sumber penulisan mereka, sama ada di dalam prasasti [batu bersurat] ataupun syairsyair dan sastera. 15. Walau bagaimanapun, antara kurun ke-10 hingga kurun ke-12 M, maklumat mengenai nusantara lenyap daripada sumber penulisan India. Hal ini demikian kerana pada zaman tersebut, berlaku perubahan politik yang ketara di Benua Kecil India, iaitu proses expansionalisme agama islam. Kerajaan-kerajaan Hindu yang sibuk mempertahankan kedaulatan mereka menyebabkan kurang perhatian diberi kepada perkembangan dunia luar. Di samping itu, kontak perdagangan antara barat dan timur yang pada asalnya dikuasai oleh pedagang India telah mula didominasi oleh pedagang islam. Oleh yang demikian, pedagang dan pengembara India telah hilang kepentingan mereka di nusantara, dan tidak lagi mempunyai sebab untuk terus menulis gambaran tentang nusantara. 16. Sumber-sumber India wujud dalam bentuk sastera iaitu Sastera Hindu, Sastera Buddha, dan Sastera Tamil. Di dalam sumber-sumber penulisan India, kebanyakan gambaran yang diberikan berkisar tentang kekayaan serta keindahan kawasan yang dilawati. Penulisan India jarang menyentuh tentang kebudayaan dan bentuk kerajaan yang wujud. Hal ini mungkin kerana kedatangan orang India diwakili oleh golongan pedagang yang cuma berminat pada komoditi-komoditi perdagangan dan kurang berminat kepada maklumat-maklumat yang berkaitan dengan urusan diplomatik. 17. Kedua-dua sumber tersebut memberi sedikit gambaran tentang kewujudan kerajaankerajaan awal di Segenting Kra dan Semenanjung Tanah Melayu. Selain dari sumber penulisan, wujud juga jumpaan-jumpaan arkeologi yang boleh membuktikan kewujudan kerajaan-kerajaan awal tersebut. Jumpaan-jumpaan arkeologi tersebut terdiri daripada penemuan seramik, candi-candi, peralatan logam, dan prasasti. 18. Walau bagaimanapun, jumpaan arkeologi yang wujud cuma dapat menerangkan sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan kebudayaan, keadaan sosioekonomi dan politik masyarakat purba di Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, penemuanpenemun tersebut cukup untuk mengesahkan bahawa wujud penempatan manusia awal di kawasan lembah-lembah sungai Semenanjung Tanah Melayu. Contohnya adalah seperti penemuan di Besut, Kuala Selinsing, Hulu Kelantan, Jenderam Hilir, Sungai Lang, Lembah Bujang, dan Sungai Perak. Walau bagaimanapun, wujud banyak kelompangan di dalam penemuan-penemuan tersebut. Penemuan yang wujud adalah masih belum cukup untuk memberi gambaran yang lengkap tentang evolusi dan struktur kota-kota awal tersebut. Hal ini

telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk interpretasi mengenai struktur dan bentuk perkembangan kota-kota tersebut sama ada dari segi politik ataupun sosio-ekonomi. PERKEMBANGAN POLITIK 19. Hampir kesemua negara kota maritim berkembang daripada petempatan pesisir pantai di muara-muara sungai. Sejak zaman pra sejarah lagi, petempatan-petempatan sebegini telah mula berkembang di pantai timur dan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu. Muaramuara sungai tersebut dapat dihubungkan ke pedalaman yang kaya dengan pelbagai komoditi perdagangan melalui jalan sungai. Oleh yang demikian apabila wujud permintaan terhadap komoditi-komoditi yang ditawarkan, petempatan tersebut mula berfungsi sebagai pusat pengumpulan. 20. Perkembangan ini seterusnya membawa kepada kewujudan interaksi perdagangan antara masyarakat pedalaman dan pesisir. Dengan kedatangan pedagang-pedagang luar, nilai guna dan nilai tukar komoditi tempatan meningkat. Hal ini seterusnya membawa kepada pengumpulan nilai surplus. Ini akan mewujudkan golongan yang mengawal surplus tersebut, dan seterusnya mencetuskan pembentukkan stratifikasi sosial. Oleh yang demikian, berdasarkan pemerhatian jelas kesan perubahan sosioekonomi tersebut membawa kepada kewujudan entiti politik di petempatan awal. 21. Sebagai sebuah entiti politik pesisir pantai, kota-kota tersebut memiliki substruktur ekonomi yang berasaskan kepada perdagangan. Dengan wujudnya substruktur ekonomi yang amat bergantung kepada perdagangan, superstruktur politik dan sosial yang dibangun dari asas tersebut akan turut berorientasikan kepada perdagangan. Hal ini menyebabkan kewujudan, naik dan jatuhnya sesebuah kerajaan Maritim ditentukan oleh faktor-faktor yang mempengaruhi substruktur tersebut. Ia termasuklah pola perdagangan yang wujud, laluan perdagangan yang digunakan di samping faktor intristik negara-negara kota tersebut. Pola perdagangan tersebut pula ditentukan secara ekslusif oleh faktor percaturan politik dan sosioekonomi kerajaan-kerajaan sekitar yang mempunyai kepentingan perdagangan di Nusantara. 22. Kebergantungan substruktur ekonomi negara-negara kota maritim kepada perkembangan dunia luar menyebabkan naik jatuhnya setiap kerajaan maritim di Nusantara bersifat terpencil dan tidak berkesinambungan. Setiap satunya melalui suatu kitaran perkembangan dan kemerosotan yang bergantung kepada sejauhmana negara kota tersebut mempunyai kepentingan kepada perdagangan pada satu-satu masa? Hal ini sudah semestinya mewujudkan satu keadaan sentiasa berubah-ubah berdasarkan keadaan pasaran yang wujud serta jaringan laluan perdagangan yang digunakan. 23. Petempatan-petempatan pesisir tersebut boleh berfungsi sama ada sebagai feederpoint ataupun entrept. Federpoint berfungsi sebagai pusat pengumpulan komoditi-komoditi tertentu yang boleh didapati dari kawasan tersebut. Di samping itu, kawasan yang dapat membekalkan air bersih, dan berkedudukan strategik juga mampu menjadi feederpoint. Pelabuhan entrept pula merupakan pusat pengumpulan komoditi-komoditi dari feeder point, yang juga berfungsi sebagai pusat perdagangan antarabangsa. Walau bagaimanapun, status petempatan-petempatan pesisir sebagai entiti politik adalah berbeza dari kerajaan agraris. 24. Seperti yang telah dibincangkan, entiti-entiti politik di Semenanjung Tanah Melayu kebanyakannya terletak di kawasan lembangan sungai dan kawasan pesisir pantai. Antara

lembangan-lembangan sungai dan pesisir pantai di kawasan pantai timur dan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu dipisahkan oleh banjaran-banjaran gunung yang tinggi dan curam. Hal ini menyebabkan negara-negara kota yang wujud terpisah secara geografi dan wujud sebagai entiti-entiti politik yang berasingan dan tidak berpusat. Hal ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa populasi penduduk di negara-negara kota di Semenanjung Tanah Melayu adalah amat kecil. Keadaan ini tentunya menyebabkan kebanyakan entiti politik pesisir pantai di Semenanjung Tanah Melayu wujud sebagai negara-negara kota yang kecil dan lemah. 25, Oleh yang demikian, perlu ditekankan di sini bahawa satu-satunya faktor yang membawa kepada kewujudan kota-kota pelabuhan tersebut adalah kepentingan mereka dari segi ekonomi perdagangan. Kebanyakan negara kota tersebut tidak mempunyai sumber manusia yang cukup, tidak mampu menghasilkan makan sendiri, serta tidak mempunyai penguasaan terhadap tanah. Adalah dipercayai satu-satunya perkara yang menegakkan superstruktur politik dan sosiobudaya masyarakat adalah kegiatan perdagangan. 26. Disebabkan oleh keadaan ini, kebanyakan negara kota termasuklah Kedah Tua sentiasa dibayangi oleh kuasa-kuasa talasokrasi lain yang sentiasa mengambil kesempatan terhadap lokasi strategik mereka. Berdasarkan kepada substruktur ekonomi yang wujud, entiti-entiti tersebut tidak mampu untuk berdiri sendiri. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada entiti politik yang mampu mengawal dan memanipulasi sumber manusia yang wujud. Contohnya, diketahui bahawa negara-negara kota maritim di kepulauan Asia Tenggara secara berturutan dikuasai oleh oleh kuasa-kuas maritim seperti Funan, Srivijaya dan Suvarnabhumi dan kewujudan mereka sebagai entiti-entiti politik yang bebas cuma berlaku dalam masa yang amat singkat sahaja. 27. Dari segi politik dan ekonomi, kota-kota pelabuhan yang wujud sebenarnya secara berterusan dibayangi oleh empayar-empayar besar yang wujud ketika itu. Empayar-empayar besar ini sentiasa mengambil kesempatan keatas lokasi strategik kota-kota pelabuhan tersebut. Tujuannya ialah untuk menguasai perdagangan antarabangsa yang pastinya menjana keuntungan besar. Oleh yang demikian, kota-kota pelabuhan tersebut tidak dapat mengamalkan dasar perdagangan mereka sendiri. Sebaliknya tertakluk secara berterusan di bawah dasar perdagangan yang ditetapkan oleh empayar yang menguasainya. 28, Keadaan ini terjadi kerana hampir kesemua kota pelabuhan yang wujud hanya berbentuk petempatan pesisir pantai dan sungai. Mereka tidak mempunyai sumber manusia dan kekuatan politik yang cukup untuk mempertahankan kedaulatan masing-masing, apatah lagi untuk wujud sebagai sebuah entiti politik yang bebas. Kemakmuran kota-kota pelabuhan tersebut sangat bergantung kepada faktor persekitaran ekonomi serantau yang melibatkan perubahan dasar perdagangan, laluan perdagangan yang digunakan, serta pasang surutnya permintaaan terhadap sesuatu komoditi. Kesemua faktor tesebut merupakan hasil daripada percaturan politik dan perubahan dalam pola penguasaan ekonomi kuasa-kuasa besar. 29. Disebabkan oleh keadaan ini, kebanyakan negara kota sentiasa dibayangi oleh kuasakuasa talasokrasi lain yang memiliki struktur kerajaan yang lebih kuat untuk mengambil kesempatan terhadap lokasi strategik mereka. Berdasarkan kepada substruktur ekonomi yang wujud, entiti-entiti tersebut tidak mampu untuk berdiri sendiri. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada entiti politik yang memiliki dan mampu mengawal dan memanipulasi sumber manusia yang wujud. Seperti kerajaan Srivijaya dan Suvarnabhumi, Walaupun kedua-dunya merupakan kerajaan maritim, tetapi penguasaan terhadap orang laut

membolehkannya berkembang menjadi sebuah empayar yang kuat. Contohnya, diketahui bahawa negara-negara kota maritim di kepulauan Asia Tenggara secara berturutan dikuasai oleh oleh kuasa-kuasa maritim seperti Funan, Srivijaya, dan Suvarnabhumi, dan kewujudan mereka sebagai entiti-entiti politik yang bebas cuma berlaku dalam masa yang amat singkat sahaja.

PENUTUP 30. Berdasarkan perbincangan di atas, penelitian yang dibuat terhadap substruktur ekonomi negara-negara kota maritim dan keadaan persekitaran geografi yang wujud, beberapa kesimpulan umum dapat dibuat tentang ciri-ciri yang dimiliki oleh negara-negara kota tersebut. Antaranya adalah kewujudan populasi yang kecil, sistem hierarki sosial yang ringkas, kegiatan ekonomi yang melibatkan pengumpulan hasil-hasil hutan dan perdagangan, dan lokasinya di kawasan muara-muara sungai. Di samping itu, diketahui juga bahawa negara-negara kota tersebut wujud sebagai entiti-entiti politik yang kecil dan lemah. Hierarki sosial yang ringkas melibatkan sistem pemerintahan bentuk chiefdom. Sistem tersebut melibatkan sesebuah masyarakat dengan keadaan stratifikasi sosial yang ringkas, dan pembahagian tenaga kerja yang kurang jelas.

Anda mungkin juga menyukai