Anda di halaman 1dari 2

Tahap stres pelajar kita tinggi

Oleh HAKIMI ISMAIL


pengarangutusan.com.my
PUTRAJAYA 5 Okt. - Hasil kajian Kementerian Kesihatan mendapati pelajar di negara ini
mengalami tahap stres yang tinggi.
Dapatan itu diperoleh menerusi projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam
Kalangan Murid sekolah bagi mengenal pasti tanda-tanda stres, keresahan dan kemurungan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, daripada 6,540 orang murid yang telah
disaring, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus
kemurungan yang teruk dan 4.8 peratus stres yang teruk.
Daripada jumlah semua pelajar yang disaring itu juga, kata beliau, seramai 2,345 iaitu 36 peratus
murid telah mengikuti intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental.
Sejumlah 279 guru pula dilatih untuk mengenal pasti dan mengendalikan masalah emosi, tingkah
laku dan permasalahan mental di kalangan murid.
'Bilangan tersebut cukup tinggi, oleh yang demikian kementerian sedang berusaha untuk
meningkatkan latihan dan kemahiran Gaya Daya Tindak ke atas pelajar di seluruh negara.
'Banyak sebab yang menjadi penyumbang kepada masalah pelajar dalam hal ini terutama
sekolah, peperiksaan, keluarga dan sebagainya tetapi apa yang penting ialah melakukan
persediaan awal mengenai kemahiran menangani stres, katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Projek rintis kementerian dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu bermula pada Mac lalu
dan dijalankan di enam buah sekolah di enam negeri.
Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad
Badawi, Pulau Pinang; SMK Simpang Bekoh, Jasin, Melaka; Sekolah Menengah Sains Teluk
Intan, Perak dan Sekolah Menengah St Michael, Penampang, Sabah.
Dua lagi ialah Maktab Rendah Sains Mara, Gemencheh, Negeri Sembilan dan Sekolah
Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya.
Menurut Tiong Lai, kementerian akan memperluaskan projek itu di semua sekolah dalam usaha
meningkatkan kesejahteraan di kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan
mengelakkan perkara lebih serius berlaku.
'Bukan sahaja pelajar, malah projek ini turut melibatkan latihan kepada guru-guru bagi
mengendali masalah stres di kalangan pelajar.
'Ia penting bagi memastikan tiada masalah yang lebih serius berlaku kepada pelajar yang
memerlukan khidmat nasihat ketika saat-saat genting, katanya.
Dalam pada itu, Tiong Lai turut berharap Kementerian Pelajaran mempertimbangkan cadangan
untuk memperluaskan Projek Rintis Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid
sekolah bagi meningkatkan kesejahteraan mental pelajar di seluruh negara.
Sementara itu, kata beliau, saringan kesihatan mental di klinik kesihatan juga telah diperluaskan
secara berperingkat di klinik seluruh negara bermula Jun lalu.
'Perkhidmatan ini akan dapat mengenalpasti lebih awal masalah kesihatan mental di kalangan
masyarakat yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, sehingga kini seramai 637 klinik
kesihatan telah melaksanakan perkhidmatan ini.
'Dari segi latihan pula, seramai 687 pegawai kesihatan yang terdiri daripada 138 doktor dan 549
paramedik telah menerima latihan kesihatan mental komuniti bagi mengesan masalah mental di
kalangan masyarakat, katanya.
Utusan Online10062011

Anda mungkin juga menyukai