Anda di halaman 1dari 3

Terima kasih dan ucapan salam sejahtera saya tujukan kepada Yang Berbahagia

Saudari Pengerusi Majlis. Yang dimuliakan Ketua Pengarah Unit Bimbingan dan Kaunseling,
Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, para pengetua sekolah-sekolah
menengah zon Pudu dan Bangsar, guru-guru kaunseling , guru-guru yang dihormati, panel
hakim yang arif lagi adil dalam menegakkan panji-panji keadilan, barisan pencadang yang
disegani, dan hadirin-hadirat sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.
Pagi yang ceria ini akan menjadi saksi kepada gelanggang perbahasan kita yang
bertajuk Bidang teknologi banyak membantu negara. Sebagai barisan pembangkang,
kami tetap dengan pendirian bahawa bidang teknologi melakukan sebaliknya.
Rentetan kekunci, pada skrin dipaparkan,
Budaya menulis mula dilupakan,
Bukalah mata dan saksikan kebenaran,
Teknologi pemangkin keruntuhan peradaban.
Penyataan Bidang teknologi banyak membantu negara izhar sekali menampakkan
ketidakmatangan pihak pencadang dalam mengeluarkan kebenaran yang rasional. Ketika
kita berjuang menongkah arus pemodenan yang kini menyelubungi setiap penjuru
kehidupan kita, kita mampu dengari rintihan siddiq yang dengan senyapnya, menyeru kita
untuk melihat di sebalik petala keagungan teknologi yang diuar-uarkan di media.
Kegemilangan sesebuah tamadun telah dirintis oleh perkembangan teknologi yang
semakin maju. Pada Era Kegemilangan Islam, beberapa tokoh telah menempa nama dalam
pelbagai bidang, sekaligus telah menjadi sumber rujukan penduduk dunia ketika itu.
Antara yang menjadi sebutan hingga kini ialah Ibnu Sina yang merupakan pencipta ubat
bius dan tokoh perubatan Islam terulung manakala Al-Khawarizmi pula telah memberi
nafas baru kepada bidang kalkulus dan tokoh matematik yang disegani. Teknologi telah
menjadi pencetus kepada perkembangan intelektual tokoh-tokoh tersebut.
Kendatipun begitu, prospek signifikan teknologi pada zaman itu tidak boleh lagi
diaplikasikan dalam konteks zaman millenium sekarang. Ironiknya, teknologi pada masa
kini menjadi pemangkin yang tepat bagi kejatuhan peradaban negara.

Bayangkan jika pada masa akan datang, terdapat pelbagai mesin dan robot yang
akan membantu kita untuk membersihkan rumah, memasak, membuka pintu dan
membawa binatang peliharaan kita bersiar-siar. Situasi ini dengan lantang menunjukkan
tahap kerajianan dan ketekunan kita yang pastinya akan semakin meleset. Apa yang
dilakukan secara manual sebenarnya memberi impak yang baik kepada kita - menghindari
kita daripada bersikap berat tulang dalam melakukan sesuatu kerja. Persoalannya di sini,
jika pelbagai teknologi dicipta dengan harapan dapat membantu sesebuah negara,
mampukah kerajaan menerima fakta bahawa rakyatnya akan semakin culas?
Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Kadar produktiviti industri negara berkadar songsang dengan kadar produktiviti
kraftangan seni dan warisan negara. Kepelbagaian teknologi dalam industri negara telah
berjaya menarik minat rakyat yang mencari kesenangan dalam menempuh alam kerjaya
sekaligus rakyat memandang sebelah mata pada bidang kraftangan seni dan warisan
negara

yang

memerlukan

anak-anak

watan

negara

untuk

menghasilkan

produk

menggunakan tangan dan kebolehan sendiri. Sehubungan dengan itu, perkara ini memberi
impak pada industri pelancongan negara. Bagaimana harus kita pamerkan hasil kraftangan
kebanggaan negara kita jika generasi veteran kini yang menjadi pelopor utama, sudah
tiada dan tanpa pengganti?
Ingin saya bertanya kepada sidang hadirin sekalian, percayakah anda jika teknologi
masa kini menghakis nilai komunikasi langsung antara individu? Apabila nama Malaysia
direkodkan sebagai negara ynag paling ramai rakyatnya melayari laman sosial Facebook,
serta-merta para cendiakawan negara melahirkan rasa hampa dan bimbang. Ini kerana,
terbuktilah, rakyat Malaysia lebih cenderung duduk di hadapan komputer dan berchatting
daripada berkomunikasi secara bertentang mata. Situasi yang dikesali ini mampu
mengubah arus pembangunan modal insan negara kita. Mungkin pada sautu hari nanti, kita
tidak ada lagi pemimpin yang mampu untuk berkomunikasi dengan rakyat kerana sifat
karisma tidak boleh dipupuk melalui teknologi semata-mata.
Warga dewan yang saya muliakan,
Bagaimana untuk kita mengajar anak kita tentang jarum jam jika dia dilahirkan
dengan jam digital? Inilah persoalan yang dititipkan ke dalam kehidupan kita. Teknologi
yang kian berkembang maju mula memberi impak yang menggerunkan kepada rakyat
terutama sekali golongan remaja. Dengan kemudahan yang sedia ada sejak lahir, golongan
remaja negara kita menghadapi masalah untuk menanam sifat berdikari dalam diri

mereka. Generasi X yang dilahirkan dengan dugaan dan jerih payah untuk mendapat
sesuap nasi kini diganti dengan Generasi Y yang telah memperkenalkan trend baharu segala benda harus disuapkan kepada mereka. Alangkah terkejutnya Perdana Menteri
Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak apabila statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan
Psikososial Remaja, Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyatakan 78.5% remaja mampu
membaiki perisian komputer tetapi hanya 29.1% sahaja yang mampu memasang perabot
sendiri. Hal yang demikian telah membuka mata kerajaan untuk mengolah semula subjek
Kemahiran Hidup Bersepadu pada peringkat menengah rendah dengan memberi penekanan
terhadap aspek D.I.Y atau Lakukan Sendiri agar remaja tidak terlalu bergantung kepada
teknologi sahaja untuk mengharungi cabaran dalam kehidupan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Teknologi merupakan salah satu aspek yang penting dalam pembentukan sesebuah
negara yang maju. Namun begitu, teknologi di negara yang sering disalahgunakan sama
ada secara langsung atau tidak langsung mampu meruntuhkan tiang pembangunan
sesebuah negara. Kerajaan haruslah menetapkan batasan dalam penggunaan teknologi
bagi menghalang gejala berat tulang daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat
segenap lapisan usia. Intiharnya, Malaysia mampu untuk menjadi model peranan kepada
seantero dunia dengan mengehadkan teknologi atas tujuan pembinaan modal insan yang
holistik tetapi masih lagi megekalkan arus globalisasi dan modenisasi setanding dengan
negara-negara Dunia Pertama.
Sebelum berundur, saya tetap menegaskan bahawa bidang teknologi tidak banyak
membatu negara malah sebaliknya. Oleh sebab masa mencemburui saya, ingin saya sudahi
hujah-hujah saya dengan serangkap pantun.
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
Sekian, terima kasih.