Anda di halaman 1dari 14

PENGENALAN - Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing

agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia, yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia. - Bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, termasuk dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, maka Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan Konsep 1Malaysia yang berpaksikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. - Konsep 1Malaysia bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, stabil dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia. DEFINISI - Konsep 1Malaysia menurut penjelasan YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak: Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakantindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut : Konsep 1Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masingmasing. Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia memberi maksud bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masingmasing. Mereka juga perlu melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, tidak wajar hanya berfikir dalam skop bangsanya sahaja. Mereka juga diminta tidak perlu hanya membataskan tindakan mereka kepada perkaraperkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum lain, mereka perlu melakukan perkara yang sama. Sementara ayat dan kita mengambil tindakantindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama di Malaysia. Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1Malaysia Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing. Melalui konsep 1Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA Berpandukan definisi konsep 1Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1Malaysia memiliki kelainan seperti berikut: 1Malaysia adalah gagasan bagi mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Konsep Malaysian Malaysia pula adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud itu. Keadilan yang dicanangkan dalam konsep Malaysian Malayisa diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. KONSEP 1MALAYSIA Konsep 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1Malaysia Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukanperuntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. HUBUNGAN KONSEP 1MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU Perkaitan antara konsep 1Malaysia dan dasardasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan Konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dasar-dasar yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara. MATLAMAT 1Malaysia bermatlamat untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai

bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. 7 HURAIAN 1Malaysia membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. 1Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara. Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. 7.2 1Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malaysia merupakan sebuah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Setiap ahli dalam masyarakat atau kaum tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan mendapat pembelaan kerajaan yang sewajarnya.

1Malaysia adalah pemangkin kepada pewujudan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan antara satu sama lain. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Justeru pemimpin dan rakyat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. 3 PRINSIP TERAS 1MALAYSIA 1Malaysia disandarkan kepada 3 teras dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu: PRINSIP PENERIMAAN PRINSIP KENEGARAAN PRINSIP KEADILAN SOSIAL 8.1 PRINSIP PENERIMAAN Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia. 8.2 PRINSIP KENEGARAAN Konsep perpaduan, semangat nasionalisme dan cintakan negara telah diterapkan semenjak dahulu lagi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman melalui Parti Perikatan yang dipimpinnya dengan dibantu oleh Tun Tan Cheng Lok dan Tun V.T Sambanthan berjuang bagi mendapat kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu. Tun Abdul Razak pula mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tujuannya adalah untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Tun Hussien Onn yang sememangnya terkenal dengan usaha-usaha yang dilakukan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat sehingga diberi gelaran Bapa Perpaduan. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pula membawakan Wawasan 2020 dan konsep Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagai gagasan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. 8.3 PRINSIP KEADILAN SOSIAL Setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting. Melalui Konsep 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

Namun begitu Konsep 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan bukan-bukan. 9. NILAI-NILAI 1MALAYSIA Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep 1Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai tersebut adalah: Budaya kecemerlangan Ketabahan Rendah hati Penerimaan Kesetiaan Meritokrasi Pendidikan Integriti BUDAYA KECEMERLANGAN Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Budaya berprestasi tinggi memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa dan acuh tak acuh tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju. Budaya ini perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan. Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara. Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan. Sistem Petunjuk Utama Prestasi (KPI) amat penting dalam mengukur pencapaian perkhidmatan yang diberi di samping dedikasi, komitmen dan bekerja keras. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport. 9.2 KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahannya dan hendaklah memperbaikinya secara positif. Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara. 9.3 RENDAH HATI Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri. Sifat berhemah dan berbudi bahasa amat perlu menjadi amalan hidup kita. Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada. Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan. 9.4 PENERIMAAN Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur paksaan. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan

secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini. Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik. Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan 1Malaysia. Pembangunan diri tanpa mengambil kira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang. 9.5 KESETIAAN Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara, prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan dan kecemerlangan. Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran. Kesetiaan akan membina kepercayaan dan menjalin satu ikatan antara dua pihak. Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin. Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menjamin kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan. Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama. Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik. Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan. Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

9.6 MERITOKRASI Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut. Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang. Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan. Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi masing-masing dan memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan. Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/ liberalisasi. 9.7 PENDIDIKAN Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya. Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka. Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular. Semua aliran, sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina atau Sekolah Tamil hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk 1Malaysia. Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat.

9.8 INTEGRITI Intergriti penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Bersikap jujur dan amanah terhadap sesuatu tindakan dan percakapan. Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima. Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna. Menepati janji dan masa adalah sifat mulia yang dituntut semua agama. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan. Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah. Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi. Budaya berprestasi tinggi adalah asas utama integriti dalam semua aspek dan khidmat yang diberi. 10. KESIMPULAN Konsep 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana yang digariskan dalam prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep 1Malaysia tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara. Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja

maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Satu Malaysia
Konsep 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, telah diperkenalkan oleh Dato Sri Najib Bin Tun Abdul Razak setelah beliau secara sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April yang lalu. Pelbagai persepsi timbul daripada pengenalan konsep ini yang dikatakan menyamai konsep Malaysian Malaysia yang diperkenalkan oleh parti politik DAP pada tahun 1960-an. Namun hal ini hanya merujuk kepada ideologi politik yang diperjuangkan oleh individu yang bernaung dibawah pengaruh parti politik tempatan. Sesuatu yang seharusnya menjadi debat dan forum percambahan minda ialah kaedah dan pelaksanaan yang boleh diguna pakai untuk menterjemahkan ideologi kepimpinan beliau dan sejauh manakah pelaksanaannya mempengaruhi penerimaan masyarakat terhadap konsep baru ini. Oleh itu, definisi konsep yang seharusnya merangkumi pelbagai sudut pandangan perlu diperjelaskan untuk membolehkan penerimaan konsep ini dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia. Secara umumnya, Malaysia yang berlatarbelakangkan kepelbagaian kaum dalam satu

naungan kuasa raja berperlembagaan amat menitikberatkan semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi dalam setiap diri masyarakatnya. Hal ini perlu dijaga dan sering diberi perhatian bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara. Oleh itu, konsep 1 Malaysia ini secara sosiologinya bermaksud kewujudan satu bangsa yang besar yang digelar Bangsa Malaysia dan menggantikan dasar perkauman yang hanya menjauhkan hubungan antara kaum di negara ini. Bangsa-bangsa di negara ini harus membentuk satu budaya penerimaan pelbagai aplikasi adat, budaya dan peraturan yang dipraktikkan sesebuah kaum bagi meningkatkan kesefahaman dan menjayakan gagasan ini. Sikap hormat-menghormati dan mesra antara kaum amat penting bagi menzahirkan jati diri Bangsa Malaysia. Oleh itu, pemupukan nilai murni ini bolah dilaksanakan di peringkat awal lagi khususnya dalam membina kehidupan berjiran di kawasan perumahan agar gagasan 1 Malaysia dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat. Dalam aspek politik pula, gagasan ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka. Hal ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Parti-parti politik yang berpengaruh perlu bersifat glokal bagi mancari usaha ke arah pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia yang

lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan pemimpin mahupun rakyat di negara ini agar langkah menjaga Bangsa Malaysia dapat diperkukuhkan. Seterusnya, aspek ekonomi pula lebih memperlihatkan penghapusan dasar Pecah dan

Perintah yang diperkenalkan oleh penjajah barat sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai kemerdekaan. Meskipun sudah 52 tahun, Malaysia mencapai kemerdekaan, namun kesan daripada dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi gagasan 1 Malaysia ini, sektor ekonomi lebih tertumpu kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat. Jika dahulu kaum Melayu lebih tertumpu kepada bidang pertanian dan perikanan, kaum Cina memonopoli bidang perniagaan dan perlombongan serta kaum India hanya tertumpu kepada bidang perladangan dan estet, kini pelbagai kaum mampu menceburkan diri dalam bidang yang mereka mampu bangunkan. Monopoli bangsa tertentu ini mampu dipecahkan menerusi dasar-dasar yang dibentuk oleh ahli-ahli Dewan Parlimen menerusi kaedah perlembagaan negara. Dalam hal ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan mampu memberi peluang dan suntikan semangat kepada individu yang berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang yang berpotensi untuk dimajukan. Kesannya, ekonomi negara mampu diperkasakan oleh rakyatnya sendiri yang membentuk gagasan 1 Malaysia. Dalam pada itu, aspek pendidikan turut menjadi fokus utama pengenalan gagasan 1 Malaysia. Institusi-institusi pendidikan di negara ini yang berlandaskan kurikulum yang telah ditetapkan Dasar Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai 1 Malaysia dalam diri dan mentaliti pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran gagasan ini diperkenalkan. Secara definisinya, konsep 1 Malaysia dalam pendidikan merangkumi pembentukan sistem pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan masyarakat amnya. Penghapusan dasar pendidikan yang hanya berkepentingankan sesebuah bangsa dan menafikan hak golongan tertentu merupakan matlamat 1 Malaysia dalam pendidikan. Persaingan yang sengit antara pelajar hari ini dalam memperoleh peluang pendidikan yang lebih tinggi menuntut kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertindak bijak dan saksama agar peluang yang diwujudkan tidak menindas mana-mana pihak atau bangsa tertentu. Selain itu, pembentukan satu jenis sekolah sahaja yang menggunakan satu bahasa penghantar yang rasmi iaitu bahasa Melayu mampu melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi perhubungan antara kaumnya. Justeru itu, tindakan-tindakan seperti ini amat membantu dalam melahirkan golongan pemimpin yang berfikiran kreatif dan berpandangan jauh untuk masa depan negara mereka yang tercinta.

Selain itu, aspek agama dan kepercayaaan setiap bangsa di Malaysia turut diambil kira dalam usaha menjayakan gagasan 1 Malaysia. Hal ini kerana, agama dan kepercayaan merupakan pengaruh terbesar dalam menghasilkan keputusan yang melibatkan pertimbangan yang dilakukan oleh aspek lain. Oleh sebab itu, 1 Malaysia dalam soal agama dan kepercayaan merujuk kepada sikap keterbukaan masyarakat dalam menerima dan menghormati prinsip dan amalan agama sesebuah bangsa. Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian merupakan agama yang menjadi anutan sebahagian besar masyarakatnya. Justeru itu, sensitiviti agama dan perkauman perlu dijaga dan tidak boleh dipermainkan bagi menimbulkan kemarahan dan ketegangan yang seterusnya menidakkan kejayaan gagasan ini. Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjungmengunjung yang semakin diguna pakai semasa musim perayaan oleh masyarakat tempatan merupakan salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu adat dan memahami sensitiviti sesuatu kaum seterusnya memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain. Langkah muhibah ini mampu memperjelaskan lagi secara rohaninya konsep 1 Malaysia. Kesimpulannya, gagasan 1 Malaysia bukan sahaja satu harapan untuk generasi akan datang sebaliknya langkah ke arah pembentukannya perlulah bermula daripada sekarang. Seruan pemimpin negara, perlu disahut semua pihak dalam usaha menjayakannya. Perkongsian ideologi dalam menjayakannya perlulah bersifat mantap dan pelaksanaannya perlulah secara bersepadu bagi merealisasikan harapan beliau kepada negara. Kesannya bukan sahaja melibatkan negara secara umumnya, malahan meliputi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Oleh itu, semangat 1 Malaysia perlu didukung semua pihak untuk memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi dan menyiapkan negara dalam mengharungi arus permodenan, pembangunan, persaingan dan globalisasi dunia. Diharap gagasan ini akan mencapai matlamat dan halatuju seperti yang telah ditetapkan.

Sumber: www.1Malaysia.com.my Akhbar-akhbar tempatan

Anda mungkin juga menyukai