Anda di halaman 1dari 3

Good Leadership in Schools. Guru adalah pendidik yang dikurniakan dengan pelbagai tanggungjawab.

Dalam sebuah organisasi sekolah, guru tidak hanya mengajar tetapi juga merupakan pemimpin. Secara sedar atau tidak sifat kepimpinan yang baik dan berkualiti bagi seorang guru di sekolah dikuasai dan diperhalusi bagi mewujudkan iklim pendidikan yang mampu memacu kecemerlangan. Pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan berhemah tinggi sentiasa dapat mewujudkan hubungan yang baik dengan kelompok yang dipimpin. Menurut Jemaah Nazir Sekolah 2003 dalam kajian kepimpinan di sekolah berkesan Semenanjung Malaysia, didapati pemimpin sekolah yang berkesan memberi perhatian yang berat terhadap aspek-aspek kepimpinan seperti gaya kepimpinan, budaya ilmu dan berfikir, permuafakatan, motivasi dan dorongan, kepimpinan kurikulum dan pengupayaan kepimpinan di tempat kerja. Berdasarkan kepada dapatan berkenaan, maka aspek-aspek tersebut telah di tetapkan sebagai indikator prestasi oleh Nazir Sekolah untuk mengukur keberkesanan kepimpinan di sekolah. Pemimpin yang baik seharusnya memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Ilmu tersebut merangkumi ilmu berteraskan ikhtisas pentadbiran pendidikan, psikologi, komunikasi serta pengetahuan semasa. Ilmu ikhtisas pentadbiran pendidikan amat penting bagi memastikan komuniti pendidikan di bawahnya seperti guru, kakitangan sekolah, serta murid dapat diurus dengan sempurna dan selaras dengan keperluan semasa di samping memenuhi aspirasi pendidikan negara. Manakala ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi dan komunikasi amat diperlukan oleh pemimpin di sekolah bagi memastikan layanan dan kemesraan yang diwujudkan sesama ahli komuniti berjalan dengan baik di samping dapat mengelakkan konflik. Sementara itu, pengetahuan yang luas tentang isu semasa bakal menjadikan minda pemimpin akan sentiasa mengikut peredaran zaman dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang. Pemimpin bercirikan perkara di atas pastinya guru yang pakar di bidang pengurusan serta bidang profesionnya. Di Antara ciri terpenting lain yang juga harus wujud di dalam diri pemimpin di sekolah ialah mereka harus mempunyai ketinggian peribadi. Ketinggian peribadi yang dimaksudkan dari segi tutur kata bukan sahaja dari santunan bahasa penuh hemah, malah mereka harus bijak untuk berkomunikasi dengan semua peringkat umur. Komen dan kritikan yang diberikan seharusnya bersifat membina bukannya merendah-rendahkan martabat

seseorang. Ketinggian peribadi juga boleh diukur dengan tingkah laku yang merendah diri tetapi tegas, tidak sombong dan memberikan layanan kepada semua pihak tanpa memilih bulu dan penuh hikmah. Pemimpin jenis ini pasti manis air mukanya, bijak mengatur kata, penuh hikmah perlakuannya serta mempunyai jatidiri dan integriti yang tinggi. Pemimpin yang baik di sekolah juga harus memiliki ciri-ciri mempunyai pengaruh melalui tauladan. Pengaruh melalui tauladan diterjemahkan melalui contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin berdasarkan apa yang diungkapkannya. Pemimpin ulung harus menunjukkan contoh tauladan kepada komuniti di bawahnya melalui perlakuannya yang mendahului yang lain dengan niat untuk diteladani oleh semua. Pemimpin berjiwa rakyat sebegini akan dipandang tinggi oleh komuniti pendidikan sebagai pemimpin yang mampu mengotakan janjinya melalui tauladan. Sebagai contohnya pemimpin yang ingin melihat kakitangannya datang awal ke tempat kerja pasti menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang datang lebih awal daripada yang lain. Selain itu, pemimpin yang mempunyai ciri pemimpin budiman harus memiliki visi dan misi yang jelas di dalam membangun dan mentadbir sesebuah organisasi. Ini kerana dengan kemampuan untuk membentuk visi dan misi yang jelas, barulah mudah seseorang pemimpin itu untuk membawa komuniti yang dipimpinnya ke arah mercu yang direncanakannya. Contohnya, bagi pemimpin unit dan organisasi sekolah yang mempunyai visi dan misi yang jelas pasti berusaha membawa organisasi di bawah tanggungjawabnya untuk cemerlang dari segala aspek dan dicontohi oleh yang lain. Bagi menjadikan pemimpin itu berkredibiliti tinggi, mereka harus mempunyai kemahiran membimbing yang effektif. Kemahiran membimbing ini penting bagi tujuan memperkasakan diri individu yang dibimbing bertujuan mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dengan jaya. Guru besar yang budiman harus mampu untuk membimbing kakitangannya bagi menjamin kelangsungan budaya kerja berkualiti. Guru-guru muda terutamanya yang baru mula bertugas terutamanya dibimbing agar cepat menyesuaikan diri di dalam sistem pendidikan dan dibantu perkembangan dirinya sebaik mungkin. Manakala guru senior pula yang mempunyai kepakaran berteraskan pengalaman dibimbing untuk terus kekal aktif terutamanya dalam menginovasikan proses pengajaran dan pembelajaran serta menggalakkan budaya kajian tindakan.

Pemimpin yang baik juga mesti sedar bahawa tugas mereka bukanlah mudah. Mereka juga dikenali dan terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya. Seseorang pemimpin hendaklah berupaya membuat keputusan yang terbaik bukan sahaja terbaik untuk dirinya sendiri tetapi terbaik kepada semua pihak yang lain. Ia juga hendaklah terbaik kepada orang-orang yang dibawah pimpinannya dan semua yang terlibat dengan keputusannya secara langsung ataupun tak langsung. Sebagai contohnya apabila seseorang guru besar telah mengenal pasti beberapa masalah disiplin yang dilakukan oleh seorang guru, haruslah disiasat dan diberi pertimbangan rapi berasaskan fakta dan bukti. Andainya wujudnya keraguan munasabah yang menepati tatacara tatatertib, maka pemimpin tersebut harus membuat keputusan berbentuk amaran, penggantungan kerja atau sebagainya. Ini bagi mengelakkan kesalahan tersebut menjadi barah lantas menimbulkan sesuatu yang tidak diingini. Dalam pemilihan sekolah berprestasi tinggi (SBT), sumbangan dan kepimpinan pengetua atau guru besar yang berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolahnya sehingga terpilih sebagai sekolah berprestasi tinggi diberi ganjaran dan pengiktirafan. Guru besar merupakan orang yang terutama di peringkat sekolah untuk menyokong dan memastikan kejayaan pelaksanaan teras yang berkaitan di peringkat sekolah. Kualiti kepimpinan yang tinggi adalah sangat diperlukan untuk mengurus dan mentadbir sekolah bagi melahirkan generasi berkualiti. Demi keberkesanan pelaksanaan segala dasar pendidikan secara efektif dan inovatif di peringkat sekolah kita memerlukan kepimpinan guru besar yang berkesan. Seorang pemimpin juga seharusnya beriman kepada Tuhan dan mempunyai kepercayaan serta kepatuhan kepada agama. Tidak kiralah samada pemimpin tersebut beragama Islam, Kristian, Hindhu ataupun Buddha, kepercayaan ini penting bagi memastikan mereka mempunyai pegangan dan dasar kepercayaan yang utuh. Bertitik tolak kepada kepercayaan kepada agama ini lah akan mencernakan peribadi terpuji selaras dengan agama yang dianuti. Manakala konsep etika dan amalan keagamaan seharusnya memberikan kekuatan jatidiri kepada pemimpin tersebut di dalam memimpin sesebuah organisasi terutama memacu kecemerlangan pendidikan di sekolah.

Anda mungkin juga menyukai