Anda di halaman 1dari 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Panduan Mudah Solat Lima Waktu Solat lima waktu sehari semalam telah disyariatkan kepada umat Islam semasa peristiwa Isra dan Mikraj. Nabi Muhammad S.A.W menunaikannya dengan penuh khusyu dan memerintahkan umat Islam menunaikannya tepat pada waktunya iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, dan Isya. Maksud Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. Dari segi syara, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syaratsyarat tertentu. Perkataan-perkataan di dalam solat dikenali sebagai rukun qawliyy. Manakala perbuatan-perbuatan di dalam solat dikenali sebagai rukun filiyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali sebagai rukun qalbiyy.

WAKTU SOLAT Waktu solat fardhu lima waktu iaitu Zuhur, Asar, Maghrib, Isya dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga akhir oleh Sunnah Nabi. Secara umumnya, waktu-waktu itu telah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang bermaksud: Jibril telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersolat Zuhur bersamaku ketika tergelincir matahari dan Asar ketika bayang-bayang sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib ketika terbenam matahari dan Isya ketika terbenam syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada keesokan harinya, Jibril bersolat bersama saya solat Zuhur ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan Asar ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan Isya ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi. Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu solat Nabi-Nabi sebelum engkau. Waktu solat adalah di antara waktu ini. Secara terperincinya, waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut: 1. Waktu Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari condong daripada tengah-tengah langit ke arah barat dengan keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari terpacak dan matahari mula condong ke

arah barat. Waktu Zuhur berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya. 2. Waktu Asar (solat al-wusta) bermula dengan berakhirnya waktu Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari. 3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya merah) dengan tidak kelihatan sedikitpun kesannya. 4. Waktu Isya bermula dengan tamatnya waktu Maghrib, iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik fajar. 5. Waktu Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk.

WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan solat di dalamnya, iaitu: 1. Selepas solat Subuh hingga terbit matahari. 2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari. 3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur). 4. Selepas solat Asar hingga terbenam matahari. 5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam. Tegahan untuk melakukan solat pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis solat tertentu sahaja, iaitu:

1. Semua solat yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti solat sunat mutlaq dan solat sunat tasbih. 2. Solat yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah. Semua solat ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan solat itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada solat yang telah disebut ialah beberapa solat tertentu iaitu: 1. Solat yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti solat yang telah luput (qadha), jenazah, nazar, sunat wudhu dan tahiyyatul masjid. 2. Solat yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti solat kusuf (gerhana) dan istisqa (minta hujan). 3. Solat Jumaat ketika matahari tegak. 4. Solat di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan solat itu sendiri. Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan solat, antaranya solat semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum solat Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.1

http://smzblog.wordpress.com/2008/04/02/solat-dan-pengertian/

Anda mungkin juga menyukai