Anda di halaman 1dari 2

Ulasan: 13 Mei Sebelum dan Selepas

May 27th, 2008Visited 3955 times, 3 so far today Ulasan Buku Rozlan Mohamed Noor 8 Comments

Judul: 13 Mei: Sebelum dan Selepas Pengarang: Tunku Abdul Rahman Harga: RM 20.00 Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Tahun: 2007 Muka surat: 195 Editor: Rozlan Mohamed Noor Setelah hampir 40 tahun berlalu peristiwa berdarah yang melanda negara pada 13 Mei 1969 terus menjadi polemik yang signifikan untuk diperkatakan. Pelbagai pihak mahu tampil dengan bermacam-macam tanggapan, pandangan, malah saranan yang berbeza; yang memungkinkan pelbagai kepentingan dalam pernyataan pendirian tersebut. Sebuah buku yang dilancarkan pada Mei tahun lalu dan ditulis oleh Prof. Dr. Kua Kia Soong misalnya (May 13 Declassified Documents on the Malaysia Riot of 1969, SUARAM), mengemukakan salah satu pandangan berhubung peristiwa tersebut. Malah menurut pandangan seorang tokoh sejarah, pendekatan yang digunakan dikatakan menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam aspek sosioekonomi. Dikatakan buku tersebut juga mengemukakan dakwaan bahawa wujudnya kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tecetusnya peristiwa itu. Sebaliknya apabila kita mengamati buku catatan peribadi Tunku dalam versi 13 Mei: Sebelum dan Selepas, 1969 terbitan Kumpulan Utusan dan kini diterbitkan semula sebagai sebuah catatan bersejarah oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Utusan), suatu perbandingan dapat dilakukan. Buku yang menurut Tunku, hal-hal sebenar yang berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat, adalah sebuah catatan hasil renungan Tunku tentang peristiwa itu. Dalam buku ini Tunku memberi gambaran bahawa Peristiwa 13 Mei merupakan akibat daripada pelbagai faktor, termasuk perarakan pengebumian seorang aktivis Parti Buruh yang pernah ditembak mati oleh polis setelah menyeru orang awam memulau pilihan raya pada 10 Mei 1969.

Tetapi, satu isu timbul apabila Tunku sendiri dikatakan tidak terus menerus mempertahankan versinya dalam buku tersebut. Misalnya, dalam suatu wawancara pada April 1979 menjelang ulang tahun ke-10 peristiwa 13 Mei (Nadi Insan, 1 Mei 1979), jelas Tunku menganggap bahawa Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengkhianatinya (dikutip daripada Prakata buku terbitan UP&D). Sebelum meleraikan persoalan sejauh mana Tunku mempertahankan pandangannya tentang peristiwa berdarah tersebut (terutama catatan Tunku melalui bukunya), sewajarnya buku catatan beliau yang telah diterbitkan semula ini dibaca, diteliti dan dikaji semula. 13 Mei: Sebelum dan Selepas yang diberi kata pengantar oleh dua tokoh berwibawa Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmod dan Prof. Jomo K.S, seharusnya dimiliki dan jelas sekali memperkayakan lagi aspek rujukan silang bagi peristiwa yang benar-benar memberi pengajaran kepada bumi bertuah Malaysia. Sesungguhnya setelah 50 tahun negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan, kita akan lebih matang menjadi sebuah negara berbilang bangsa yang murni hidup dalam masyarakat adil, makmur, sejahtera dan bersatu padu. InsyaAllah kematangan ini akan mengukuhkan penyatuan hidup kita pada masa-masa yang akan datang.

Anda mungkin juga menyukai