Anda di halaman 1dari 9

Perbandingan Kosmologi Tamadun Cina dan Tamadun Melayu Berdasarkan Mitos dan Falsafah: Tumpuan kepada Aspek Hubungan

Manusia dengan Alam Semesta


Ho Kee Chye Abstrak Kertas kerja ini ingin membincangkan hubungan manusia dan alam semesta tamadun Cina dan tamadun Melayu melalui perspektif mitologi dan falsafah. Melalui mitos-mitos yang ditemurunkan sejak zaman kuno, kita dapat membuat penelitian tentang cara penduduk tamadun Cina dan Melayu menjelaskan kewujudan alam universal, manusia serta segala fenomena alam semulajadi yang telah berlaku. Mitos-mitos tersebut walaupun penuh dengan unsur-unsur khayalan dan mistik, tetapi ia dapat memberikan kita suatu gambaran tentang pandangan asas manusia primitif serta perhubungan dan kedudukan manusia dengan alam semulajadi. Selepas perbincangan asas kosmologi yang berdasarkan mitos-mitos tertentu, kertas kerja ini cuba membuat penelitian ringkas ke atas hubungan manusia dengan alam semesta dalam konteks falsafah, yang juga merupakan pengalihan kosmologi asas tamadun Cina dan Melayu dari peringkat primitif kepada peringkat yang lebih kompleks dan rasional.

Biodata Ho Kee Chye, penyelidik dan pensyarah dari Pusat Pengajian Etnik Malaysia, Kolej New Era. Beliau memperolehi ijazah Sarjana Sastera (Pengajian Peradaban) , Universiti Malaya pada tahun 2008 dan Sarjana Muda Sastera (Pengajian Asia Timur), Universiti Malaya pada tahun 2000. Minat penyelidikan beliau termasuk bidang pengajian peradaban Asia Timur, pengajian zaman pendudukan Jepun di Malaya dan pengajian etnik Cina di Malaysia.

Perbandingan Kosmologi Tamadun Cina dan Tamadun Melayu Berdasarkan Mitos dan Falsafah: Tumpuan kepada Aspek Hubungan Manusia dengan Alam Semesta
Ho Kee Chye

1. Pendahuluan Kehidupan manusia tidak dapat terpisah daripada alam semesta, namun cara manusia memandang dan melayani alam semesta telah melahirkan nilai serta kebudayaan tamadun masing-masing. Hakikatnya, kosmologi sesebuah tamadun adalah berbeza, dan nilai-nilai atau ideologi-ideologi ketamadunan yang dipegang oleh tiap-tiap tamadun juga adalah berlainan. Oleh itu, Kertas kerja ini cuba membincangkan kosmologi tamadun Cina dan Melayu dari dua perspektif, iaitu dari perspektif mitologi dan falsafah, dengan merujuk kepada hubungan manusia dengan alam semesta kedua-dua tamadun ini. Setiap tamadun mempunyai mitos masing-masing. Mengikut definisi Kamus Dewan, mitos ialah cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam dan sebagainya (2007: 1037). Mitos merupakan warisan kerohanian yang berharga dari sudut sastera dan budaya. Kebanyakan mitos ditemurunkan secara naratif dari satu generasi ke generasi yang lain. Mitos telah memperlihatkan daya kreativiti nenek moyang manusia yang penuh imaginasi, romatik dan mistik. Walaupun kandungan mitos tidak mudah dipercayai, namun ia telah memanifestasikan semangat dan pandangan dunia yang paling asas bagi sesebuah bangsa atau tamadun. Oleh yang demikian, mitos dapat dikatakan melambangkan semangat atau jiwa sesebuah tamadun dalam usaha mengenali dunia yang mereka tinggal dan kesungguhan mereka menyelesaikan masalah dunia yang tertimbul. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990: i) Dalam usahan mengenali dunia, kerangka pemikiran atau sistem kepercayaan yang asas akan terwujud. Hal sedemikian menunjukkan sesebuah tamadun sedang mengalami peralihan dari suatu peringkat yang primitif kepada peringkat yang lebih rasional. Ini adalah kerana kerangka pemikiran atau sistem kepercayaan tersebut akan menggariskan asas nilai dan estetika indvidu kepada asas masyarakat dan kemajuan sosial. (Hairudin Harun, 2001: 4). Sistem pemikiran sedemikian menjelaskan dan mendefinasikan tentang hubungan manusia dengan alam, hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan telah dilanjutkan sehingga munculnya ilmu falsafah yang lebih sistematik dan rasional. Oleh yang demikian, , proses pada peringkat ini menjadi lebih kerap dan lebih mendalam. Dalam prosese peralihan tersebut, kelihatan juga kemasukan pengaruh asing seperti budaya dan fikiran daripada tamadun lain telah menjadikan kosmologi sesebuah tamadun lebih komplek dan berwarna-warni.

2. Mitos Tentang Penciptaan Alam Semesta dan Kewujudan Manusia Tao Yang & Zhong Xiu telah membuat koleksi mitos Cina (lebih daripada 200 buah cerita) dan membahagikannya kepada 12 kategori yang merangkumi mitos penciptaan universal, mitos asal usul manusia, mitos wira, mitos raja dan sebagainya. (1990: 6-11) Koleksi mitos yang serba banyak ini telah menunjukkan kekayaan dan kepelbagaian tamadun Cina. Abdul Rahman Abdullah berpendapat bahawa mitos merupakan salah satu corak sastera rakyat atau sastera naratif yang tertua, dan merupakan juga sumber terpenting dalam kajian tentang kosmologi Melayu. (1999: 11) Beliau telah mengemukakan beberapa buah contoh mitos di Nusantara untuk menunjukkan kosmologi Melayu Asli yang bersifat dualisme. (1999: 11-15) Oleh yang demikian, perbincangan selanjutnya akan tertumpu kepada mitos penciptaan alam semesta atau universal dan mitos kewujudan manusia di tamadun Cina dan tamadun Melayu. 2.1 Penciptaan Alam Semesta / Universal Alam semesta, atau dikenali sebagai universal, merupakan suatu bidang yang luas dan jauh daripada pengetahuan manusia kuno, bahkan manusia kini. Kekurangan pengetahuan sains dan teknologi mengakibatkan manusia menggunakan ilmu yang sedia ada dan terhad untuk menjelaskan fenomena atau kejadian alam yang telah berlaku di sekelilingnya. Untuk memunasabahkan penjelasan mereka, maka peminjaman unsur-unsur ghaib merupakan satu cara penyelesaian yang paling sesuai. Berikut merupakan beberapa contoh mitos tamadun Cina dan Melayu tentang penciptaan universal. (i) Tamadun Cina Di China, dipercayai bahawa dunia pada asalnya adalah berbentuk telur. Di dalam telur tersebut hanyalah segala campur-campuran dan kekaburan. Seorang tokoh yang bernama Pan-gu telah dilahirkan di antaranya. Pan-gu telah memecahkan kerangka telur mengakibatkan bahagian kerangka atas berkembang menjadi langit dan bahagian kerangka bawah telah menjadi bumi. Campuran yang terang dan ringan di dalam telur telah berkembang menjadi udara dan awam, manakala campuran yang berat jatuh ke bawah menjadi tanah. Pecahan-pecahan kerangka telur yang tercampur dengan campuran berat bertukar menjadi batu-batuan, manakala pecahan yang tercampur dengan campuran ringan bertukar menjadi bintang. Dua pecahan kerangkan telur yang besar pula bertukar menjadi matahari dan bulan. Sejak itu, terwujudnya langit dan bumi, pagi dan malam. Selepas Pan-gu mati, badannya bertukar menjadi gunung Kunlun dan rohnya menjadi dewa petir. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990:1) Terdapat juga cerita yang mengatakan bahawa selepas Pan-gu mati, matanya bertukar menjadi matahari dan bulan; rambut dan jangutnya bertukar menjadi bintang; nafas dari

mulutnya menjadi angin dan awan; bunyinya menjadi petir, darahnya menjadi sungai dan sebagainya. Roh dan semangat Pan-gu pula melahirkan manusia serta segala haiwan, burung dan serangga di dunia. Dengan itu, maka wujudnya dunia sekarang. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990: 8-10) (ii) Tamadun Melayu Sekiranya ditinjau dari pandangan orang asli atau penduduk asli di kepulauan Tanah Melayu, kita dapat meneliti sedikit sebanyak tentang asas kosmologi Tamadun Melayu. Misalya menerusi mitos orang Iban, mereka percaya dunia dan manusia sekarang adalah dicipta oleh dua ekor burung dewa yang bernama Ara dan Irik. Pada masa dahulu, berlaku kebanjiran yang besar di alam dunia, Ara dan Irik telah mengeluarkan dua bentuk pepejal telur dari kebanjiran tersebut dan menukarkan mereka kepada langit dan tanah. Ara dan Irk kemudiannya menciptakan gunung,-ganang, sawah padi, sungai dan tanah pamah. (Ling Ching Ching, 2005: 117-118) Selain daripada mitos tersebut di atas, terdapat versi lain yang popular di kalangan orang Iban. Orang Iban juga percayai bahawa dunia ini dicipta oleh Raja Entala dan isterinya. Mereka menggunakan kotoran badan mereka untuk menciptakan langit dan bumi. Disebabkan bumi lebih besar daripada langit, Raja Entala terpaksa memanpatnya menyesuaikan langit. Akibatnya, wujudlah gunung, bukit, lembah, sungai dan pamah. Kemudian tertumbuhnya paku pakis, pokok, bunga dan rumput. (Ling Ching Ching, 2005: 118) Bagi orang semai pula, mereka percaya bahawa dunia ini dicipta oleh Tak Pedn dan Enku. Dunia terdiri daripada tujuh lapisan bumi dan tujuh lapisan langit yang masing-masing ditinggal oleh mahluk sakti yang baik dan jahat. Begitu juga di Indonesia, misalnya di daerah Batak Toba terdapat mitos yang mengisahkan penciptaan bumi, matahari bulan dan manusia oleh Raja Odap-Odap dan Boru Deak Parujar. Di daerah Sikka pula terdapat mitos yang mengkaitkan perkahwinan Lero Wulang dan Niang Tana dengan kelahiran dunia kini. (Abdul Rahman Abdullah, 1999: 12-13). Dalam al-Quran telah mengisahkan bahawa Allah menggunakan 6 hari untuk mencipta dunia, seperti yang berikut: Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras dan matahari dan bulan serta bintang-bintang, tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. (al-Qural, 7: 54)

2.2 Mitos Tentang Kewujudan Manusia Mitos penciptaan universal biasanya akan disambung atau diteruskan oleh mitos kewujudan manusia. Kesinambungan ini memperlihatkan pandangan manusia zaman kuno menganggap bahawa manusia adalah dilahirkan kemudian selepas dunia tercipta. Alam semesta telah mengurniakan nyawa kepada manusia serta semua mahluk di dunia, dan membekalkan mereka segala keperluan demi kehidupan. Oleh yang demikian, manusia primitif percaya bahawa alam semesta mempunyai kuasa ghaib atau semangat yang boleh mempengaruhi kehidupan mereka. Kepercayaan ini melahirkan fahaman animisme dan dinamisme, iaitu kepercayaan terhadap jiwa, roh atau semangat yang boleh memepengaruhi kehidupan manusia. (Abdul Rahman Abdullah,1999: 14). (i) Tamadun Cina Selain memberi penjelasan terhadap punca kewujudan alam semesta serta fenomena alam semulajadi, mitos tamadun Cina turut membekalkan penjelasan terhadap kewujudan manusia di dunia. Terdapat banyak mitos yang mencerita tentang kewujudan manusia. Kandungan mitos tersebut juga adalah berbeza-beza mengikut bangsa masing-masing. Namun di antaranya, mitos yang paling popular ditemurunkan adalah mitos Nwa mencipta manusia. Nwa dikatakan ialah seorang dewi berbadan ular tetapi berkepala manusia. Selepas Pan-gu mencipta dunia, Nwa merasakan masih terdapat kekurangan di dalam dunia tersebut. Oleh itu, Nwa menggunakan tanah liat dari Sungai Kuning untuk mencipta patung manusia. Dengan bantuan kuasa saktinya, Nwa berjaya mengibaskan mereka kepada manusia yang hidup. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990: 30, 126-130; Wikipedia, 2009a, 2009b) (ii) Tamadun Melayu Merujuk kepada contoh mitos orang Iban, terdapat beberapa versi tentang kewujudan manusia. orang Iban percaya bahawa burung dewa Ara dan Irik telah mencipta dua orang manusia (lelaki dan perempuan) daripada tanah liat. Oleh itu, kedua-dua orang manusia tersebut ialah nenek moyang manusia. Selain itu, juga dipercayai bahawa manusia adalah dicipta oleh Raja Entala dan isterinya. Selepas mencipta dunia, Raja Entala dan isterinya ingin mencipta manusia supaya menguasai dunia tersebut, maka mereka menggunakan pokok pisang sebagai bentuk manusia, dan bendalir pokok pala yang berwarna merah sebagai darah manusia. (Ling Ching Ching, 2005: 118) Kaum Dayak pula percaya bahawa nenek moyang manusia wujud daripada mulut burung enggang. Burung enggang adalah jelmaan dewa Mahadallah dan isterinya dewi Putir yang dipercaya menciptakan dunia sekarang. (Ling Ching Ching, 2005: 119-120) Selain itu, Bagi orang Dusun, mereka percayai bahawa manusia adalah dicipta oleh Kinaringan dan Munsumundok. (Yap Beng Liang, 1985: 79)

Dalam Hikayat Hang Tuah pula, pernah mengisahkan tentang kemunculan manusia (puteri yang cantik) akibat kemuntahan seekor lembu putih. (Azmi Rahman, 2008) Melihat dari kanca Islam, menurut Hikayat Nur Muhammad, manusia adalah dicipta daripada peluh burung merak. Burung merak tersebut dibentuk daripada pancaran cahaya jed putih. Allah mencipta sebatang pokok dan meletakkan burung merak di atas pokok. Burung merak memuji Allah selama tujuh puluh ribu tahun. Selepas itu, Allah meletakan cermin di hadapannya lalu burung merak merasa malu dan mula berpeluh. Peluhnya bertukar menjadi jiwa rasul, khalifah dan segala benda di alam semesta. (Mohd. Nor bin Ngah, 1985: 9-10) 3. Manusia dan Alam Semesta dalam Konteks Falsafah Berdasarkan contoh-contoh mitos yang berkaitan dengan kewujudan alam semesta dan manusia, boleh diperhatikan bahawa mitos-mitos asas kosmologi di tamadun Cina dan tamadun Melayu mempunyai banyak persamaan. Dalam kepercayaan kedua-dua tamadun ini, unsur-unsur dualisme dapat diperhatikan di mana dunia / universal biasanya dicipta oleh dewa-dewi yang merupakan suami isteri; keadaan geografi alam seperti langit dengan bumi; manusia dicipta pada mulanya ialah dua orang, iaitu lelaki dan perempuan dan sebagainya. Selain itu, mitos tentang kewujudan manusia juga saling berkait dengan sumber bumi (tanah liat), atau berasal daripada haiwan, tumbuhan dan sebagainya. Pemilikan kosmologi asas sedemikian juga mendorong tamadun Cina bahkan tamadun Melayu bersifat animisme. Kedua-dua tamadun ini pada primitifnya percaya kepada semangat ghaib atau kuasa luar biasa yang dapat menentukan kebaikan atau keburukan kehidupan mereka. Oleh yang demikian, untuk mendapat berkat daripada kuasa alam semesta, upacara-upacara penyembahan dan pengorbanan telah diadakan. Semangat kepecayaan primitif sedemikian telah melahirkan pantang larang bagi manusia kedua-dua tamadun supaya dapat hidup menjauhi segala malapetaka, berharmoni dan mengamati alam semesta yang dipercayai sebagai satu entiti yang mistik tetapi mulia. Segala aktiviti dan interaksi dengan alam semesta telah mendorong mereka membina budaya, sastera, teknologi dan falsafah pemikiranan mereka. Tambahan lagi pengaruhan budaya atau agama dari luar seperti Hindu-Buddha, Islam turut memberi suntikan, terutamanya kepada tamadun Melayu untuk membangunkan kosmologi mereka. Di sini, kertas kerja ini cuba mengemukakan beberapa konsep falsafah / keagamaan secara ringkas, yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan alam semesta: Konsep Taiji Dalam tamadun Cina, unsur-unsur dualisme tersebut telah melahirkan konsep Taiji. Taiji bererti sesuatu yang bersifat universal, dan digunakan untuk menjelaskan perubahan dunia serta segala kewujudan benda di alam dunia. Taiji adalah prinsip dan displin kepada semua benda di alam dunia ini, dan selalu berada dalam keadaan bertentangan,

iaitu Ying (negatif) dan Yang (positif). Maka segala fenomena dan benda adalah saling kait mengait dan saling tentang menentang, seperti wujudnya kelahiran tentunya ada kematian. Ini merupakan tatatertib pengedaran alam semesta. Taiji telah memberi pengaruhan yang dalam kepda aliran falsafah Konfusianisme dan Daoisme di Cina. Konsep Tian Ren He Yi Ahli falsafah Cina, Zhang Dainian berpendapat bahawa Tian Ren He Yi merupakan salah satu daripada asas kepada budaya tamadun Cina. (2004: 211-222) Oleh itu, konsep penyatuan manusia dengan alam semesta merupakan satu aspek yang amat penting dalam aliran-aliran falsafah Cina. Istilah Tian di sini merujuk kepada alam semesta, universal, langit, syugar atau Tuhan. Oleh itu, untuk menyatukan manusia atau diri sendiri dengan alam semesta, manusia perlu memupuk dirinya sehingga ke suatu tahap tertentu. Atas konsep ini, aliran Daoisme telah melanjutkan makna Tian Ren He Yi kepada sesuatu skop yang lebih luas, iaitu membincangkan tentang sifat semulajadi manusia. Daoisme berpendapat bahawa Tian adalah sesuatu yang semulajadi, begitu juga dengan Ren (manusia): Given man, and you have Heaven; given Heaven, and you still have Heaven (Zhuang zi, 2009a: The Tree on the Mountain) Heaven, Earth, and I were produced together, and all things and I are one (Zhuang zi, 2009b: The Adjustment of Controversies) Konfusianisme pula merupakan aliran falsafah yang praktikal. Bagi Konfusianisme, Tian merupakan ketinggian etika dan akhlak dalam universal. Oleh itu, pengikut-pengikut Konfusianisme harus memupuk sifat semulajadi mereka supaya tidak dipengaruhi oleh pelbagai nafsu. Dengan hanya memerlihara hati / sifat semulajadi, manusia boleh mencapai ke tahap Tian Ren He Yi yang merupakan ukuran ketinggian nilai akhlak sesebuah tamadun atau individu. Dunia Kehidupan dan Akhirat Selepas kedatangan tamadun Islam di Nusantara pada abad ke-13, kosmologi tamadun Melayu telah mengalami perubahan. Kenyataan sedekian disetujui oleh Syed Muhamad Naguib Al-Attas (1972) yang berpendapat bahawa kedatangan Islam telah memberi pengaruhan ke atas sistem dan cara hidup orang Melayu yang sebelum itu menganuti animisme dan Hindu-Buddha. Maka kosmologi tamadun Melayu turut mengalami perkembang ke tahap yang lebih beradab. Kini, tujuan manusia dicipta bukan tanpanya makna, tetap adalah disebabkan oleh Allah ingin manusia mengenali-Nya. (Mohd. Nor bin Ngah, 1985:19) Dalam pandangan Islam, Allah membahagikan alam universal kepada dunia kehidupan dan akhirat. Kedua-dua dunia ini adalah penting bagi seseorang muslim kerana segala perbuatannya di dunia kini akan berdampak di dalam akhirat. Kehidupan akhirat dipentingkan dalam Islam dan kita dapat menelitinya melalui ayat-ayat al-Quran seperti

yang berikut: ... Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (al-Quran, 3: 185) ...Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan, dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal. (al-Quran, 40: 39) Oleh itu, kehidupan seseorang di akhirat amat bergantung kepada cara dia hidup di dunia kini. Maka, seseorang perlu menjaga kelakuan dan bertanggungjawab ke atas tindakannya. Ini termasuklah tidak merosakkan sumber alam dunia. Al-Quran mencatatkan bahawa: Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan... (al-Quran, 14: 51) Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Quran, 28: 77) 5. Kesimpulan Kertas kerja ini hanya sempat membuat perbandingan dan penganalisaan yang ringkas terhadap kosmologi tamadun Cina dan Melayu. Walau bagaimanapun, berdasarkan perbincangan di atas, didapati bahawa manusia pada zaman kuno telah bersungguh-sungguh untuk mengenali dunia yang mereka tinggal. Mereka terpaksa menggunakan imaginasi dan unsur-unsur mistik untuk mengisahkan kejadian dan kewujudan yang berlaku di sekitar mereka. Dengan itu, wujudnya mitos-mitos yang dapat membayangkan kosmologi asas mereka. Di tamadun Cina dan Melayu, kosmologi asas yang berdasarkan mitos-mitos bukan sahaja memperlihatkan banyak persamaan, tetapi juga cara kedua-dua tamadun tersebut berinteraksi dengan alam semesta secara harmoni. Hal sedemikian dapat diteliti melalui konsep-konsep falsafah yang menegaskan fahaman-fahaman seperti keseimbangan universal dan keharmonian dengan alam semulajadi.

Rujukan: al-Quranl, Terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayu. http://www.iiu.edu.my/deed/ quran/malay. Abdul Rahman Abdullah (1999). Falsafah alam semesta di nusantara. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributiors Sdn Bhd.

Azmi Rahman (2008). Logik Melayu: suatu pertimbangan. http://www.esasterawan.net/ esasterawan/1_karya.asp?uid=170&ID=3307. Hairudin Harun (2001). Kosmologi Melayu dalam era teknologi maklumat. Kuala Lumpur: Dewan bahasa Dan Pustaka. Kamus Dewan (Edisi Keempat) (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ling Ching Ching (2005). Shalaoyue yiban zu de minsu, shuochang yishu ji qi huazu wenhua secai (A study of Sarawak Iban folk culture, performance arts and the nuance of Chinese Culture within Iban traditions). Sarawak: Sarawak Chinese Cultural Association. Mohd. Nor bin Ngah (1985). Islamic world-view of Man, society and nature. In Mohd. Taib Osman (ed) (1985). Malaysian world-view. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.
Syed Muhamad Naguib Al-Attas (1972). Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu.

Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Tao Yang & Zhong Xiu (2008). Zhongguo shenhua (Mitos China). Beijing: Shangwu yinshu guan. Wikipedia (2009a). Nuwa. http://id.wikipedia.org/wiki/Nuwa. Dicapai pada 25 April 2009. Wikipedia (2009b). Nwa. http://zh.wikipedia.org/wiki/%E5%A5%B3%E5%A8%B2. Dicapai pada 25 April 2009. Yap Beng Liang (1985). The traditional world-views of the indeneous peoples of Sabah. In Mohd. Taib Osman (ed) (1985). Malaysian world-view. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies. Zhang Dainian (2004). Wenhua Chubanshe. yu jiazhi (Budaya dan nilai). Beijing: Xinhua

Zhuangzi (2009a). The tree on the mountain. In Donald Sturgeon (ed.). Chinese Text Projec. http://chinese.dsturgeon.net/text.pl?node=2712&if=en. Zhuangzi (2009b). The adjustment of controversies. In Donald Sturgeon (ed.). Chinese Text Projec. http://chinese.dsturgeon.net/text.pl?node=2712&if=en.

Anda mungkin juga menyukai