Anda di halaman 1dari 5

Huraian Aktiviti

Aktiviti yang kami lakukan pada sesi pengajaran dan pembelajaran (p&p) bagi matapelajaran matematik di bawah tunjang sains dan teknologi iaitu awal matematik di Tadika Pasti Ikhwan Bestari Proton City, adalah aktiviti bermain peta nombor. Melalui aktiviti yang kami lakukan, kami menerapkan kaedah belajar melalui bermain. Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa. Menurut Caplan dan Caplan 1973, main sebagai penentu penting bagi perkembagan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, perkembangan sosial dan intelek di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal, koordinasi dan ketangkasan seseorang murid.

Awal matematik membekalkan pengalaman awal matematik kepada murid prasekolah. Pengalaman ini termasuk konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep ini dipelajari pada masa khas dan juga disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan (Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan). Oleh itu peranan guru sebagai pendidik amat penting dalam membantu kanak-kanak menyerlahkan potensi yang terpendam yang belum digilap lagi. Sifat-sifat yang ada dalam diri kanak-kanak seperti sifat ingin tahu, keterbukaan, daya cipta dan kebolehan menyelesaikan masalah perlulah ditingkatkan kerana ia dapat membantu kanak-kanak menyedari kebolehan diri sendiri.

Pada sesi pertama p&p iaitu set induksi, guru melakukan aktiviti bersoal jawab dengan murid. Berdasarkan penyoalan yang dilakukan dapat memotivasikan murid, merangsang daya pemikiran dan meningkatkan kemahiran sosialisasi antara mereka dengan guru. Teknik soal jawab merupakan teknik paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan Pemilihan teknik ini bukan kerana ia mudah dilaksanakan, tetapi ia adalah bentuk yang berupaya mewujudkan interaksi guru dengan murid secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara

guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan murid dikehendaki memberi tindakbalas yang sewajarnya. Soalan-soalan yang dikemukan memerlukan murid berfikir di samping dapat menguji dan menilai apa yang diajar. Tujuan utama teknik soal jawab adalah untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid, menggalakkan murid berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis dan mendorong murid menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar. Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran murid di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan. Soal jawab asas dalam pengajaran merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi merangsang kanak-kanak berfikir dan belajar. Terdapat beberapa tahap soalan yang dapat menentukan tahap pemikiran kanak-kanak. Misalnya, soalan mengingat kembali adalah tahap soalan yang rendah bagi mendapat maklumat atau fakta seperti siapa, apa, bila dan di mana, soalan kefahaman memerlukan pemahaman dengan memberi interpretasi, rumusan, contoh dan definisi seperti bagaimana dan mengapa, soalan analisis memerlukan penerokaan maksud tersirat dan hubungan, dan soalan penilaian memerlukan pendapat dan kritikan (Hollingworth and Hoover, 1991). Guru perlu merancang soalan-soalan yang akan dikemukakan kepada kanak-kanak.

Selepas bersoal jawab dengan murid, guru menyanyikan lagu mari mengira bersama dengan murid. Alat bantu mengajar yang digunakan adalah kad manila. Guru mempamerkan lirik lagu mari mengira di atas kad manila sebagai panduan untuk murid menyanyikan lagu tersebut. Teknik nyanyian digunakan dalam proses p&p adalah bertujuan memberi peluang kepada kanakkanak menggunakan suara bagi melahirkan perasaan. Umumnya kanak-kanak memang suka menyanyi. Emosi kanak-kanak tergambar menerusi seni kata lagu. Kanak-kanak berasa gembira dan seronok apabila menyanyi kerana nyanyian boleh merangsang minat kanak-kanak bagi mengikuti pengajaran guru, membantu menenangkan fikiran mereka dan memberi peluang mereka melakukan pergerakan. Aktiviti nyanyian menggalakkan penglibatan menyeluruh kanakkanak dan boleh dijalankan secara individu, berpasangan, kumpulan dan berpusingan. Menyanyi juga dapat menguji kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Selain itu, aktiviti nyanyian dapat mempelbagaikan aktiviti p&p di dalam kelas (Hawijah Ahmad dan Md. Safea Mohamad, 1992).

Setelah set induksi selesai, guru melakukan aktiviti pertama iaitu membuat peta nombor. Alat bantu mengajar yang digunakan dalam aktiviti ini adalah karpet, mounting board, kad nombor 1 hingga 10 dan gam. Kesemua alat bantu mengajar tersebut dapat membantu guru melancarkan proses p&p yang dilakukan. Strategi atau kaedah yang digunakan oleh guru dalam aktiviti ini adalah guru terlebih dahulu menunjukkan cara untuk melekatkan kad nombor ke atas karpet yang disediakan. Aktiviti ini bertujuan menarik minat murid untuk melibatkan diri dalam proses p&p. Kefahaman murid tentang apa yang di ajar amat penting bagi mencapai objektif pengajaran. Selain daripada melibatkan murid dengan aktiviti yang dilakukan, guru dapat mengenalpasti murid yang masih tidak memahami konsep nombor yang diajar. Hal ini dapat membantu guru untuk mengulang kembali pengajaran yang diajar agar semua murid dapat memahami apa yang diajar oleh guru.

Aktiviti kedua adalah bermain karpet nombor. Alat bantu mengajar yang digunakan dalam aktiviti ini adalah karpet, mounting board, kad nombor 1 hingga 10, jeli dan dadu. Bahan maujud yang digunakan oleh guru seperti jeli untuk menerangkan konsep nombor amat sesuai di gunakan dalam proses p&p. Hal ini dapat memberi galakan kepada murid untuk menyertai aktiviti yang dilakukan oleh guru. Dalam aktiviti ini juga guru telah menggunakan strategi atau kaedah latih tubi untuk membentuk kefahaman murid. Teknik latih tubi merupakan aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran disamping menjamin pengukuhannya terhadap apa yang dipelajari. Namun begitu, teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.

Aktiviti seterusnya adalah aktiviti operasi tambah yang dilakukan bersama murid. Dalam aktiviti ini, guru mendedahkan kepada murid tentang operasi tambah yang memerlukan dua kelompok benda kemudian digabungkan menjadi satu. Guru perlu kreatif untuk melakukan aktiviti ini agar penyampaian yang dilakukan dapat difahami oleh murid. Alat bantu mengajar yang digunakan ialah karpet, kad nombor 1 hingga 10, jeli, dadu dan kad operasi tambah juga memainkan peranan penting untuk memberi kefahaman kepada murid tentang apa yang dipelajari. Strategi dan kaedah yang digunakan adalah latih tubi dan penyelesaian masalah. Penyelesaian masalah merupakan satu aspek yang sangat penting dan merupakan objektif utama

dalam pembelajaran matematik. Ia juga merupakan bentuk pembelajaran pada tahap yang tertinggi (Gagne, 1985). Pelajar diharapkan dapat membina pengetahuan dan kemahiran baru melalui proses penyelesaian masalah, menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kurikulum matematik serta mengaplikasikan pelbagai strategi penyelesaian masalah matematik dalam konteks yang berbeza. Menurut Krulik dan Rudnick (1989), penyelesaian masalah merupakan satu proses yang kompleks dan sukar dipelajarinya. Ia mengandungi satu siri tugasan dan proses pemikiran yang dihubungkait rapat untuk membantu pembentukan satu set heuristik atau corak heuristik. Ia merupakan satu set cadangan dan soalan yang harus dilalui oleh pelajar untuk membantunya dalam penyelesaian masalah. Heuristik adalah kaedah umum yang dapat diaplikasikan kepada semua kelas masalah.

Terdapat beberapa model penyelesaian masalah yang sering digunakan dalam pendidikan matematik seperti Model Lester (1975), Model Mayer (1983), Model Polya (1973) dan Model Schoenfeld (1985). Model Polya digunakan di sekolah dalam kurikulum matematik bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan sekolah rendah (KBSR). Menurut Noor Shah Saad (2005: 182), Model Polya merupakan model penyelesaian masalah Matematik yang dibina oleh George Polya. George Polya telah memperkenalkan satu model penyelesaian masalah dalam bukunya How to Solve It yang memberi tumpuan teknik penyelesaian masalah yang menarik dan juga prinsip pembelajaran matematik dapat dipindahkan sebaik mungkin. Model ini membabitkan empat fasa utama iaitu: i) Memahami dan mentafsir sesuatu masalah ii) Merancang / membentuk rancangan penyelesaian iii) Melaksanakan peneyelesaian iv) Menyemak semula Dalam penyelesaian masalah matematik, murid tidak harus dikongkong oleh satu teknik penyelesaian yang biasa disampaikan oleh guru sahaja. Teknik lain yang sesuai perlu digalakkan, lebih-lebih lagi yang bersesuaian dengan peringkat perkembangan kognitif murid, pengalaman dan persekitaran pembelajaran yang dilalui oleh murid.

Diakhir pembelajaran, guru hanya melakukan teknik pengulangan seperti nyanyian dan teknik soal jawab untuk menguji tahap kefahaman murid terhadap topik yang di pelajari. Teknik

pengulangan amat sesuai digunakan kepada murid terutamanya murid prasekolah bagi meningkatkan kefahaman serta merangsang mereka untuk terlibat dengan lebih aktif dalam setiap aktiviti yang dilakukan dalam proses p&p.

Anda mungkin juga menyukai