Anda di halaman 1dari 3

PENDIDIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ASING PROF DR.

. ZULKIFLEY HAMID Pengenalan Proses mendidik merupakan proses pemindahan ilmu dan pengalaman. Secara umum, proses ini melibatkan dua pihak, guru dan pelajar. Guru berperanan sebagai pemindah ilmu dan pengalaman, manakala pelajar bertindak sebagai penerima ilmu. Kecemerlangan proses pendidikan bergantung kepada kedua-dua belah pihak, guru dan pelajar. Pelajar yang bermotivasi tinggi dan bersikap positif akan belajar dengan lebih tekun dan lebih berkemungkinan untuk berjaya, berbanding dengan pelajar yang bermotivasi rendah dan bersikap negatif (Atkinson et al., 1983: 283, Grabe & Kaplan, 1992:74). Seseorang guru yang merancang bahan pengajarannya dengan baik serta menyampaikan bahan tersebut menggunakan kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan keperihalan keadaan para pelajar, akan menyebabkan proses pendidikan bahasa berjalan dengan lebih lancar dan mencapai kejayaan. Sesuatu bahasa boleh diajar sebagai bahasa pertama, bahasa kedua atau bahasa asing. Ketiga-tiga status kebahasaan ini mempunyai sifat dan ciri yang saling berbeza di antara satu dengan yang lain Bahasa pertama seringkali juga disebut sebagai bahasa ibunda. Bahasa ini biasanya bahasa yang digunakan di sekitar keluarga dan saudara terdekat. Bagi kanak-kanak normal, proses pemerolehan pengetahuan bahasa pertama mereka biasanya bermula di sekitar umur 18 bulan, dan tahap penguasaan pengetahuan bahasa pertama ini telah mencapai kadar yang memadai apabila seseorang kanak-kanak menjangkau usia 5 tahun (Elliot, 1987: 10). Satu lagi ciri utama proses pemerolehan pengetahuan bahasa pertama ialah proses ini berlaku secara semula jadi tanpa memerlukan apa-apa proses pendidikan bahasa secara formal. Dalam proses penguasaan pengetahuan bahasa pertama, seseorang kanak-kanak tidak memerlukan apa-apa proses pembetulan. Kanak-kanak akan bermula dengan menguasai pengetahuan bahasa pertama daripada tahap paling asas, dan seterusnya bergerak menjadi bertambah rencam. Sebagai contoh, dalam menguasi sistem sintaksis bahasa pertama, kanak-kanak akan bermula dengan tahap telegraf, diikuti oleh tahap morfem, dan akhirnya mencapai tahap transformasi, iaitu kemampuan menghasilkan pelbagai jenis ayat yang gramatis untuk memenuhi pelbagai tujuan komunikasi (Miller & Gildea, 1987). Bahasa kedua merujuk bahasa yang biasanya dipelajari menerusi proses pendidikan secara formal, iaitu bahasa yang dikuasai menerusi proses pendidikan di sekolah atau tempat belajar yang lain (Brown, 1980). Bahasa kedua biasanya menjadi pelengkap kepada peranan bahasa ibunda.

Di Malaysia para pelajar di wajibkan mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan individu yang datang dari luar alam Melayu. Bahasa Inggeris juga dipersepsikan sebagai bahasa untuk urusan perdagangan dan diplomatik di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris turut dipersepsikan sebagai bahasa untuk bidang sains dan teknologi, dan bahasa Inggeris dikatakan perlu dikuasai untuk membolehkan tembok ilmu yang membentengi rakyat Malaysia dirobohkan. Bahasa asing merujuk bahasa yang dipelajari untuk tujuan-tujuan khusus. Bahasa asing biasanya tidak dipelajari secara massa tetapi oleh individu atau kelompok individu yang tertentu. Bahasa asing juga biasanya tidak dirancang proses pendidikannya di peringkat nasional. Ia biasanya bahasa yang hanya dipelajari apabila timbul keperluan-keperluan yang khusus. Apabila kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa pertama, bermakna kita mengajar bahasa Melayu kepada para penutur natifnya, iaitu mereka yang telah menguasai kemahiran mendengar dan bertutur dengan sempurna. Apabila kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, ia bermakna kita mengajar bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar bukan Melayu seperti Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Semai, Jakun dan sebagainya. Mereka semua merupakan rakyat Malaysia dan banyak terdedah kepada pelbagai bentuk data bahasa Melayu. Apabila kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing, kita maksudkan mengajar bahasa Melayu kepada mereka yang bukannya terdiri daripada warga negara Malaysia, iaitu rakyat asing. Orang Cina yang mempunyai warganegara Malaysia diandaikan akan mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, manakala orang Cina rakyat asing akan mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Apabila kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa pertama, kita seharusnya memberikan fokus kepada proses pemerkayaan bahasa (Farid, 1989). Apabila kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, kita seharusnya memberikan fokus kepada proses pembentukan tabiat berbahasa, manakala apabila kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing fokusnya adalah kepada kehendak pelajar atau kelayan. Proses pengajaran yang memfokus kepada proses pemerkayaan bahasa akan memberikan tumpuan kepada proses menambahkan maklumat dan memperhalusi atau memantapkan lagi kemahiran berbahasa yang telah sedia dimiliki sejak kecil. Proses pengajaran yang memfokus kepada pembinaan tabiat berbahasa seharusnya memberikan kemahiran baru dalam bahasa kedua. Sebagai contoh, dalam membina kemahiran lisan, fokus seharusnya kepada memperbaiki bunyi sebutan supaya menyamai dengan sebutan baku atau sebutan para penutur natif. Pengajaran bahasa Melayu sebagai asing seharusnya meneliti keperluan pelajar, sama ada mereka ingin mempelajari bahasa Melayu sebagai penguasaan yang menyeluruh, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dikuasai secara utuh dan berpada,

atau para pelajar ingin lebih memfokuskan proses pengajaran dan pembelajaran kepada kemahiran yang tertentu bergantung kepada minat dan keperluan pelajar. Secara umum, wujud dua situasi pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing jika ditinjau daripada sudut bahan pengajaran. Dalam situasi pertama, Program pendidikan bahasa Melayu sebagai bahasa asing berlaku di negara asing Dalam situasi kedua, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing berlaku di negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca utama seperti di Malaysia, Indonesia dan Brunei. Para guru tidaklah terlalu terbeban dengan tanggungjawab menyediakan semua sumber maklumat kerana sebahagian besarnya dapat diperoleh oleh para pelajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing daripada persekitaran mereka. SEKIAN TERIMA KASIH

Anda mungkin juga menyukai