Anda di halaman 1dari 2

Penyakit jantung serang orang muda

DOKTOR MENULIS RAMAI pesakit mengalami satu episod yang peribadi di dalam hidupnya apabila seorang ahli keluarga yang telah berumur atau yang disayangi menderita akibat penyakit jantung yang melumpuhkan. Lama sebelum itu, timbul persoalan sama ada mereka juga bakal menghadapi risiko penyakit yang sama. Walaupun ramai orang muda mengaitkan penyakit jantung dengan generasi warga emas, kenyataannya, ia boleh menyerang kita semua tanpa mengira umur. Gabungan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang serta kekurangan nutrisi/zat makanan boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular (CVD) dan lain-lain penyakit yang mengancam nyawa. Apabila orang ramai makin menyedari keadaan-keadaan ini, ia menjadi pencetus dan pendorong untuk mereka mengubah amalan gaya hidup yang tidak sihat. Jantung sihat dari mula Penyumbang terbesar CVD adalah aterosklerosis, di mana berlakunya penebalan kolesterol serta bahan berserat yang dikenali sebagai plak, di sepanjang dinding arteri. Ini menyebabkan arteri tersumbat dan akhirnya mengehadkan aliran oksigen dan darah ke jantung serta otak anda. Dalam kes-kes di mana jantung tiba-tiba menerima aliran darah yang tidak mencukupi, kesakitan pada dada serta serangan jantung yang lebih serius boleh berlaku. Persatuan Jantung Amerika menggambarkan aterosklerosis sebagai penyakit perlahan dan beransuransur yang selalunya bermula ketika zaman kanak-kanak dan berkembang cepat menjelang dekad ketiga hidup seorang mangsa. Kebanyakan orang yang telah melalui ujian darah dalam hidup mereka akan diberitahu mengenai kehadiran lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol baik, dan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau kolestrol jahat dalam saluran darah mereka. Tahap HDL lebih tinggi memberi perlindungan dari serangan jantung manakala tahap LDL yang lebih tinggi hanya meningkatkan kebarangkalian serangan jantung. Rosuvastatin, ahli terbaru dalam keluarga ubat jenis statins yang berfungsi mengurangkan tahap kolesterol, didapati telah memberikan kesan positif terhadap aterosklerosis. Penemuan terbaru dari sebuah ujian penting di mana para pesakit yang mempunyai risiko penyakit koronari jantung yang rendah telah diberi rosuvastatin, mengalami 49 peratus pengurangan kolesterol jahat, dan 8 peratus peningkatan kolesterol baik. Dikenali secara tradisi sebagai rawatan tetap penyakit jantung koronari, rosuvastation telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Bagaimanapun, para pesakit digesa mendapatkan nasihat doktor mereka terlebih dahulu untuk analisis rawatan aterosklerosis yang lebih mendalam sebelum mencuba sebarang terapi perubatan. Cara semula jadi

Tiada tandingan bagi pendekatan semula jadi dalam merendahkan faktor risiko mendapat penyakit jantung. Penyebaran penyakit jantung di kalangan populasi muda pada abad ini sangat memeranjatkan. Dengan godaan makanan segera serta hidangan berkalori tinggi, adalah amat penting bagi golongan muda mengamalkan gaya hidup lebih sihat bagi mengurangkan risiko peningkatan tahap kolestrol jahat. Pertama sekali, teruskan pemeriksaan rutin bersama pakar perubatan anda. Mengetahui lebih awal bahagian kesihatan anda yang bermasalah dapat membantu mencegah penyakit serius dalam jangka masa panjang serta merancang satu pelan kesihatan yang boleh anda ikuti. Katakan tidak kepada rokok Berhenti merokok sekiranya anda seorang perokok. Merokok boleh menyebabkan darah beku, kerosakan arteri serta menaikkan tahap kolesterol tubuh badan. Dengan memberhentikan amalan merokok, anda boleh mengurangkan peluang terkena serangan jantung secara ketara, tidak termasuk menidakkan kesan sampingan asap rokok pasif kepada orang tersayang. Mendapatkan berat badan ideal Tahap kegemukan abdomen di Malaysia sedang meningkat. Amat memeranjatkan apabila 48.6 peratus lelaki dan 57.1 peratus wanita menderita akibat kegemukan, sekali gus meningkatkan risiko metabolik kardio. Senaman tetap serta aktiviti fizikal mampu memperbaiki kesihatan jantung serta mengawal berat badan anda. Malahan, senaman meningkatkan jumlah kolesterol baik dan membantu mengurangkan tekanan. Adakan pelan pemakanan berkhasiat yang memberi tumpuan kepada sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin. Jauhi makanan yang mengandungi lemak buatan seperti snek dan makanan yang telah diproses, serta lemak tepu. Mulakan pelaburan kesihatan jantung pada umur muda dan nikmati masa tua yang bakal mendatang. Dr. Khoo Kah Lin ber pengalaman meluas dalam bidang penambahbaikan serta kemajuan rawatan kardiovaskular sejak dulu lagi. Maklumat yang diterbitkan di dalam artikel ini tidak bermaksud mengganti, mengambil tempat atau menambah kepada rundingan yang diberikan oleh pakar perubatan tentang penjagaan perubatan individu pembaca. * Datuk Dr. Khoo Kah Lin - Pengarah Pertubuhan Jantung Malaysia merangkap Presiden Persatuan Perubatan Malaysia

Anda mungkin juga menyukai