Anda di halaman 1dari 3

Sederhana Itu Apabila Tidak Boros Dan Menyombong Diri

Dipetik daripada www.darulkautsar.net


Daripada Amar bi Shuayb daripada ayahnya daripada datuknya katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekah tanpa boros dan tidak menyombong diri. (al-Nasa`i no: 2559, Abu Dawud al-Tayalisi, Ahmad no: 6695, dan al-Bukhari secara taliq) Makanlah dan minumlah makanan dan minuman yang baik dan berkhasiat, pakailah pakaian yang diharuskan shara dan bersedekah kepada mereka yang berhajat tanpa boros dan tidak menyombong diri. Hendaknya kita menjadi orang yang sederhana dalam makanan, minuman dan pakaian. Sikap ini juga harus ada dalam bersedekah. Hadis ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t.


Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (alAraf: 31) Sebab Allah s.w.t. tidak suka kepada orang-orang yang boros ialah kerana sikap melampau dalam mengecapi makanan lazat dan baik serta membelanjakan harta yang lebih untuk mendapatkannya itu biasanya membawa kepada kehabisan harta dan haloba untuk memperbanyak harta. Apabila orang yang boros mengalami kesempitan wang maka ia berusaha mencari harta melalui jalan yang batil demi memadam keinginannya untuk memperolehi kelazatan. Maka ini akan menjadi kebiasaannya. Kadang-kadang dia mengalami kesempitan harta maka sukar baginya untuk mencabut sifat ini dari kebiasaannya. Akibatnya dia hidup dalam kesusahan dan kesempitan. Boleh jadi dia mencari harta dengan cara yang haram menyebabkannya dia ditimpa azab di dunia dan akhirat. Boleh jadi akibat buruk itu menimpa juga

ahli keluarganya. Celaan dan dilemparkannya kepadanya yang membawa kepada cacatnya sistem kekeluargaan. Ini berbeza dengan membanyakkan infaq di jalan kebajikan kerana ia tidak akan berlaku seperti ini. (lihat Ibn Ashur, al-Tahrir Wa al-Tanwir, jil. 8, hal. 124) Harus menimati kurniaan Allah dalam bentuk makanan dan pakaian dan berkongsi dengan mereka yang lain yang tidak bernasib baik tetapi dengan syarat tidak boros dan sombong sehingga orang lain terasa terhina. Allah s.w.t. menciptakan bumi ini dan apa yang ada padanya untuk manfaat manusia kecuali apa yang dinyatakan sebagai haram. Apa yang diharamkan ialah benda yang memudaratkan sama pada agama, tubuh badan, akal dan harta.


Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi. (al-Baqarah: 29) Dalam pada itu, manusia diperintahkan supaya memilih makanan dan minuman yang baik.


Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (al-Baqarah: 172)


Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Mu`minun: 51) Ayat ini menunjukkan perintah makan dikaitkan dengan amalan soleh. Antara amalan soleh ia bersedekah atau berkongsi rezki kurniaan Allah dengan fakir miskin. Penggunaan benda yang halal juga boleh membawa kepada mudarat jika berlebihan. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. mensyaratkan keharusan tersebut dikaitkan dengan tidak boros.

Satu aspek lagi yang ditekankan dalam hadis ini ialah adab menggunakan nimat dalam konteks hidup bermasyarakat. Tidak boleh sama sekali menggunakan kurniaan Allah dengan sombong hatta dalam bersedekah kerana ia boleh menghina pihak yang lain. Terdapat beberapa makna bagi kalimah boros. 1- Membelanjakan harta yang banyak pada tujuan yang remeh. 2- al-Jurjani berkata boros ialah membelanjakan pada sesuatu yang patut tetapi dengan lebih daripada yang sepatutnya. Ini berbeza dengan membazir iaitu membelanjakan sesuatu pada yang tidak sepatutnya. 3- Abu al-Baqa` berkata, boros ialah melampaui had pada kuantiti. Ia adalah kejahilan tentang kadar hak-hak. Membazir pula ialah melangkaui tempat yang hak yani yang dibenarkan. Ia adalah kejahilan tentang tempat-tempat hak. Maksud kesombongan dalam bersedekah ialah membesarkan diri di hadapan fakir miskin, mengungkit-ngungkit apa yang diberikan kepada mereka, merasa hairan dengan diri sendiri dan suka kepada pujian. Abdul al-Latif al-Baghdadi berkata, hadis ini lengkap merangkumi sifat-sifat terpuji tentang pengurusan diri manusia itu sendiri. Hadis ini juga menyatakan pengurusan maslahah jiwa dan jasad di dunia dan akhirat kerana sesungguhnya boros itu memudaratkan diri dan kehidupan dan membawa kepada kerosakan. Membahayakan jiwa kerana ia pada kebanyakan keadaan mengikuti jasad. Kesombongan memudaratkan jiwa di mana ia melahirkan ujub. Memudaratkan akhirat di mana ia mengakibatkan dosa dan membahayakan dunia kerana ia menimbulkan kemarahan orang lain. (Qadi Husayn al-Maghribi, al-Badr al-Tammam, jil. 5, hal. 229)

Sumber: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=4213