Anda di halaman 1dari 11

1201 - Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Bantal Rasulullah s.a.

w yang biasa baginda gunakan untuk bersandar adalah dibuat daripada kulit yang diisi dengan sabut 1202 - Diriwayatkan daripada Jabir r.a katanya: Setelah aku berkahwin, Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Adakah engkau memggunakan permadani? Aku bertanya kepada baginda kembali: Adakah aku mempunyai permaidani? Rasulullah s.a.w bersabda: Ingatlah, sesungguhnya kamu akan memilikinya! 1203 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong 1204 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku melihat seorang lelaki melabuhkan kainnya, beliau menghentakkan kakinya ke bumi. Lelaki itu ialah pembesar Bahrain. Beliau mengucapkan: Pembesar datang, pembesar datang. Sementara itu, aku mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan kainnya dengan perasaan bongkak 1205 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, beliau begitu bangga dengan juntaian rambutnya serta kejantanannya, tibatiba beliau ditenggelamkan oleh bumi, maka beliau pun terbenam di dalam bumi sehingga ke Hari Kiamat 1206 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w bahawa baginda melarang memakai cincin emas 1207 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyuruh supaya membuat cincin daripada emas, baginda meletakkan permata cincinnya pada bahagian dalam telapak tangan, apabila baginda memakainya, orang ramai pun membuatnya sedemikian. Kemudian suatu ketika, baginda duduk di atas mimbar, lalu mencabut cincinnya seraya bersabda: Aku pernah memakai cincin ini dan meletakkan permatanya di bahagian dalam telapak tangan lalu baginda membuang cincin itu dan bersabda: Demi Allah, aku tidak akan memakainya lagi buat selama-lamanya! Orang ramai pun turut membuang cincin-cincin mereka 1208 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai cincin perak. Pada cincin itu terpahat nama Muhammad Rasulullah Baginda bersabda kepada kaum muslimin: Aku membuat cincin dari perak dan padanya aku ukirkan Muhammad Rasulullah Maka tidak ada seorang pun dapat mengukir pada ukirannya 1209 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya aku melihat di tangan Rasulullah s.a.w ada sebentuk cincin dari perak mungkin yang dimaksudkan dengan cincin emas. Pada suatu hari, orang ramai pun membuat cincin-cincin dari perak dan memakainya. Kemudian Rasulullah s.a.w membuang cincin baginda. Oleh itu orang ramai pun turut membuang cincin-cincin mereka 1210 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang di antara kamu memakai selipar, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kanan dan apabila ingin mencabutnya, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kiri. Seboleh-bolehnya pakailah kedua-dua selipar itu sekaligus atau mencabut kedua-duanya sekaligus 1211 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid r.a katanya: Sesungguhnya aku melihat Rasulullah s.a.w berbaring di dalam masjid sambil meletakkan sebelah kaki baginda pada sebelah kaki lagi 1212 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w melarang memakai pakaian berwarna kunyit 1213 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang Yahudi dan orang Nasrani tidak mencelup, jadi bezakanlah sesuatu dengan mereka

1214 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar 1215 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia. Aisyah berkata: Kami mempunyai benang yang boleh kami katakan sutera, maka kami memakainya 1216 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang-orang yang membuat atau melukis gambar-gambar akan disiksa pada Hari Kiamat. Maka akan difirmankan kepada mereka: Hidupkan apa yang telah kamu ciptakan 1217 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia yang paling berat siksanya pada Hari Kiamat, ialah para juru gambar 1218 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap tukang gambar akan di masukkan ke dalam Neraka. Allah akan menjadikan baginya dengan setiap gambar yang dibuatnya nafas yang menyiksanya di Neraka Jahannam 1219 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Siapa lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang cuba membuat ciptaan sama seperti makhlukku? Maka lebih baik mereka cuba menciptakan zarah, menciptakan bijibijian, atau mencipta biji gandum 1220 - Diriwayatkan daripada Abu Basyir al-Ansari r.a katanya: Aku pernah mengikuti Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan, lalu Rasulullah mengirimkan seorang utusan. Abdullah bin Abu Bakar berkata: Aku kira Abu Basyir juga menyatakan: Sementara itu, orang ramai berada di tempat penginapan mereka untuk mendengar sabda baginda: Jangan biarkan pada leher unta terdapat kalung dari tali, putuskanlah tali tersebut 1221 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Ketika Ummu Sulaim bersalin, beliau berkata kepadaku: Wahai Anas! Lihatlah anak ini, dia tidak akan mendapat sesuatupun sebelum engkau membawanya kepada Nabi s.a.w supaya baginda meletakkan pada lelangitnya dengan makanan manis dan sebagainya sebelum disusui. Oleh itu, aku terus pergi dan aku dapati Rasulullah s.a.w berada di kebun. Baginda pada ketika itu memakai pakaian bulu berwarna hitam. Baginda sedang meletakkan tanda pada unta yang diserahkan kepada baginda semasa pembukaan Kota Mekah 1222 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang mencukur sebahagian rambut di kepala 1223 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Hindarilah dari duduk di tepi-tepi jalan. Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Kami tidak boleh menghindarinya kerana kami duduk berbincang-bincang di sana iaitu di tepi jalan. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu ingin duduk juga, maka berikanlah pada jalan itu haknya. Para Sahabat bertanya: Apakah haknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Mencegah dari melihat sesuatu yang dilarang, menghindarkan perkara-perkara yang merugikan, menjawab salam serta membuat perkara yang baik dan mencegah perbuatan mungkar 1224 - Diriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar r.a katanya: Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku mempunyai seorang anak perempuan yang bakal menjadi pengantin. Beliau pernah diserang penyakit campak, sehingga rambutnya gugur. Bolehkah aku menyambungnya dengan rambut orang lain? Rasulullah s.a.w bersabda: Allah mengutuk orang yang menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya

1225 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Seorang gadis dari kaum Ansar berkahwin. Oleh kerana sebelumnya beliau pernah menderita sakit, maka semua rambutnya gugur. Keluarganya ingin menyambung rambutnya, lalu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hal itu. Maka Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya 1226 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya, orang yang membuat tatu dan orang yang meminta supaya dibuatkan tatu 1227 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Allah mengutuk pembuat tatu iaitu tanda pada badan yang dibuat dengan melarik, mencucuk dan memasukkan warna, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang menghilangkan rambut pada muka serta orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada wajahnya, serta orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikkan untuk mengubah ciptaan Allah. Perkataan Ibnu Umar itu sampai kepada seorang wanita dari Bani Asad yang bergelar Ummu Yaakub. Beliau sedang membaca al-Quran. Lalu dia datang kepada Ibnu Umar dan berkata: Apakah benar berita yang sampai kepadaku bahawa engkau mengutuk pembuat tatu, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada muka dan orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikkan untuk mengubah ciptaan Allah? Abdullah bin Umar berkata: Bagaimana aku tidak mengutuk orang-orang yang juga dikutuk oleh Rasulullah s.a.w? Sedangkan perkara itu ada disebutkan dalam Kitab Allah. Wanita itu membantah: Aku sudah membaca semua yang ada dari kulit ke kulit, tetapi aku tidak mendapatinya. Ibnu Umar berkata: Jika engkau benar-benar membacanya, pasti engkau akan menemuinya. Allah s.w.t berfirman: Yang bermaksud: Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah ia dan apa yang dia larang kepada kamu, maka tinggalkanlah ia. Wanita itu berkata: Aku melihat sesuatu di antara yang engkau bicarakan ini pada isterimu sekarang. Ibnu Umar berkata: Pergilah melihatnya. Wanita itu pun masuk mendapatkan isteri Abdullah bin Umar. Namun beliau tidak melihat sesuatu pun. Maka beliau datang lagi kepada Ibnu Umar dan berkata: Aku tidak melihat sesuatu pun. Ibnu Umar berkata: Ingatlah, seandainya apa yang aku perkatakan ada pada isteriku nescaya aku tidak akan menggaulinya 1228 - Hadis Muawiyah bin Abu Sufian r.a: Diriwayatkan daripada Humaidi Ibnu Abdul Rahman bin Auf katanya: Aku pernah mendengar Muawiyah bin Abu Sufian r.a berkata di atas mimbar sambil memegang jambul rambut yang kemudiannya jambul tersebut dipegang oleh pengawal. Wahai penduduk Madinah! Di mana Ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah s.a.w melarang hal semacam ini iaitu membuat jambul pada rambut, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Bani Israel mengalami kecelakaan ketika para wanita mereka menggunakan hal ini 1229 - Diriwayatkan daripada Asma' r.a katanya: Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Aku mempunyai permasalahan, maka adakah aku berdosa apabila aku berpura-pura cukup dengan harta suamiku dengan apa yang tidak beliau berikan kepadaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpurapura puas dengan apa yang tidak diberikan kepadanya, samalah seperti orang yang memakai pakaian palsu 1230 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Seorang lelaki memanggil temannya di Baqie': Wahai Abu al-Qasim! Lalu Rasulullah s.a.w berpaling ke arah orang yang memanggil itu. Orang itu terburu-buru berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak bermaksud memanggilmu. Tetapi aku memanggil si anu. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh menggunakan nama dengan namaku, tetapi jangan menggunakan gelaran dengan gelaranku 1231 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Salah Seorang di antara kami mempunyai anak. Beliau menamakannya dengan nama Muhammad. Orang ramai berkata kepadanya: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah s.a.w. Lalu orang tersebut membawa anaknya yang diletakkan di atas belakang untuk menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sampai di hadapan Rasulullah s.a.w beliau berkata: Wahai Rasulullah! Anakku yang lahir ini, aku namakannya dengan nama Muhammad tetapi orang ramai berkata kepadaku: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh menamakannya dengan namaku, tetapi jangan menggelarkannya seperti dengan gelaranku kerana akulah Qasim, aku mengasingkan di antara kamu

1232 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Abu Qasim iaitu Rasulullah s.a.w bersabda: Berikanlah nama dengan namaku, tetapi jangan memberikan gelaran dengan gelaranku 1233 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya nama Zainab pada mulanya ialah Barrah. Ada orang mengatakan: Dia membersihkan dirinya. Lalu Rasulullah s.a.w memberinya nama Zainab 1234 - Hadis Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya nama yang paling tidak senonoh di sisi Allah, ialah mereka yang memberikan nama dengan Malikul Amlak. Ibnu Abu Syaibah menambahkan di dalam riwayatnya: Tidak ada Raja kecuali Allah s.w.t 1235 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. Lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma 1236 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Asma' binti Abu Bakar telah keluar sewaktu hijrah. Di mana beliau sedang sarat mengandung kepada Abdullah bin Az-Zubair. Beliau melalui Quba', ketika sampai di Quba' beliau melahirkan Abdullah. Setelah melahirkannya beliau keluar menemui Rasulullah s.a.w supaya baginda meletakkan sesuatu pada lelangit anaknya. Lalu Rasulullah s.a.w mengambil anak tersebut darinya dan baginda meletakkannya di dalam pangkuan baginda, kemudian baginda meminta buah kurma. Aisyah berkata: Kami harus mencarinya dahulu sebelum diberikan kepada baginda. Baginda meludahkannya ke dalam mulut anak tersebut, sehingga yang pertama masuk ke perutnya adalah ludahan Rasulullah s.a.w. Selanjutnya Asma' berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w. mengusap kepala anak tersebut, lalu mendoakannya dan menamakannya dengan nama Abdullah, kemudian apabila anak itu berumur tujuh atau lapan tahun, beliau datang untuk berbai'ah kepada Rasulullah s.a.w kerana ayahnya Az-Zubair yang memerintahkan beliau berbuat demikian. Rasulullah s.a.w tersenyum ketika melihat anak itu mengadapnya, kemudian beliau berbai'ah kepada baginda 1237 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w diajukan seorang bayi, lalu baginda memberkatinya dan meletakkan sesuatu pada lelangitnya 1238 - Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: al-Munzir bin Abu Usaid ketika baru dilahirkan, beliau telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda meletakkan diatas pahanya, sedangkan pada ketika itu Abu Usaid duduk, tetapi perhatian Nabi s.a.w tertumpu kepada sesuatu di hadapan baginda, lalu Abu Usaid menyuruh seseorang mengangkat anaknya dari atas paha Rasulullah s.a.w dan memindahkannya. Apabila Rasulullah s.a.w tersedar, baginda bertanya: Mana anak itu? Abu Usaid menjawab: Kami memindahkannya, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bertanya: Siapa namanya? Abu Usaid menjawab: Si anu, wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak, tetapi namanya adalah al-Munzir. Jadi, pada hari itu, Rasulullah s.a.w menamakannya dengan nama al-Munzir 1239 - Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya Tiada seorang pun yang bertanya tentang Dajjal kepada Rasulullah s.a.w lebih banyak daripada pertanyaanku kepada baginda dalam persoalan yang sama. Maka baginda bersabda: Wahai anakku! Apakah yang membuatkan kamu bersusah payah untuk memikirkannya? Sesungguhnya dia tidak akan membahayakanmu. Aku berkata: Orang ramai beranggapan bahawa dia akan membawa air yang banyak dan gunung-gunung roti. Rasulullah s.a.w bersabda: Yang lebih dari itu, mudah saja bagi Allah 1240 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Aku berada di dalam majlis orang-orang Ansar di Madinah. Tiba-tiba Abu Musa datang dengan ketakutan. Kami bertanya: Kenapa dengan engkau? Abu Musa menjawab: Sesungguhnya Umar menyuruhku supaya datang kepadanya. Aku pun datang, setelah berada di hadapan pintunya, aku memberi salam sebanyak tiga kali, tetapi tidak ada jawapan, lalu aku pun pulang, tetapi setelah aku berjumpa lagi dengannya beliau bertanya: Apakah yang menghalangimu datang kepadaku? Beliau menjawab: Aku telah datang kepadamu, aku memberi salam tiga kali di hadapan pintumu. Setelah tidak ada jawapan aku pun terus pulang. Berdasarkan peristiwa tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang di antara kamu minta izin tiga kali kemudian tidak mendapat jawapannya, maka hendaklah beliau pulang

1241 - Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari r.a katanya: Abu Musa telah datang menemui Umar bin al-Khattab lalu mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abdullah bin Qais. Tetapi tidak ada jawapan, maka sekali lagi beliau mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abu Musa, Assalamualaikum, ini al-Asy'ari. Kemudian beliau beredar untuk pulang, tiba-tiba Umar muncul dan berkata: Datanglah dahulu, datanglah dahulu. Setelah Abu Musa datang, Umar bertanya: Wahai Abu Musa! Mengapa engkau cepat sangat hendak pulang? Kami sedang melakukan suatu pekerjaan. Abu Musa berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Minta izin itu tiga kali. Jika engkau mendapat izin, maka engkau boleh masuk. Tetapi, jikalau tidak mendapat izin, maka pulanglah 1242 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Aku datang kepada Nabi s.a.w lalu memanggil baginda. Nabi s.a.w bertanya: Siapa ini? Aku menjawab: Aku. Maka Nabi s.a.w pun keluar seraya berucap: Aku, aku 1243 - Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad as-Saidi r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda gunakan untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan 1244 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya seseorang telah mengintai pada salah satu bilik Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w menghampirinya dengan membawa anak panah bermata lebar dan aku melihat seakan-akan Rasulullah s.a.w mengugut untuk menikamnya 1245 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesiapa yang menjenguk-jenguk ke dalam rumah sesuatu kaum tanpa mendapat izin mereka, maka di halalkan bagi mereka untuk mencungkil matanya 1246 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai 1247 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lima kewajipan bagi seorang muslim terhadap saudaranya sesama muslim iaitu: Menjawab salam, mendoakan kepada orang yang bersin, menyahut undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah 1248 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Ahli Kitab mengucapkan salam kepadamu, maka jawablah kepada mereka: Waalaikum 1249 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya, apabila orang Yahudi mengucapkan salam kepada kamu, mereka mengucap: Assaamualaikum iaitu kematian tetap atas kamu. Maka jawablah kepada mereka: Alaika iaitu ke atas kamu 1250 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sekumpulan orang-orang Yahudi meminta izin kepada Rasulullah s.a.w mereka mengucapkan: Assaamualaikum. Maka Aisyah menyahut: Bal Alaikumussaam walla'nah iaitu bahkan atas kamulah, moga-moga mendapat kematian dan kutukkan. Rasulullah s.a.w menegur: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah menyukai keramahan dalam segala hal. Aisyah berkata: Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan? Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah menjawab Wa'alaikum iaitu begitu pula kamu 1251 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah datang kepada kanakkanak, lalu baginda mengucapkan salam kepada mereka 1252 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Saudah telah keluar selepas diwajibkan hijab iaitu kain tudung untuk memenuhi keperluannya. Beliau adalah seorang wanita yang tinggi dan gemuk. Orang ramai yang sudah mengenalinya tidak akan terkejut atau hairan melihatnya. Maka Umar bin al-Khattab

melihatnya, lalu menegurnya: Wahai Saudah! Bagaimana engkau tidak membuat kami terpegun, sesungguhnya aku melihat bagaimana engkau keluar? Saudah segera pulang. Sementara itu, Rasulullah s.a.w sedang makan malam di rumahku dan baginda masih memegang tulang. Maka ketika itulah Saudah masuk dan mengadu: Wahai Rasulullah! Aku baru saja keluar, lalu Umar menegur aku begini dan begini. Kemudian diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w iaitu satu ayat dari surah al-Ahzab di mana tulang masih lagi berada di tangan baginda yang belum baginda letakkan. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya telah diizinkan bagi kamu iaitu kaum wanita untuk keluar memenuhi hajat dan keperluan kamu 1253 - Diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hindarkanlah diri kamu dari masuk menemui wanita iaitu wanita yang bukan mahramnya. Seorang Sahabat Ansar bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana kalau ipar? Rasulullah s.a.w bersabda: Ipar itu ialah mati (lebih merisaukan) 1254 - Diriwayatkan daripada Sofiah binti Huyai r.a katanya: Pada suatu malam ketika Nabi s.a.w sedang beriktikaf aku datang menziarahi baginda. Setelah puas berbual-bual dengan baginda, akupun berdiri untuk pulang. Rasulullah s.a.w ikut berdiri untuk menghantarku. Manakala tempat tinggal Sofiah adalah di rumah Usamah bin Zaid. Tiba-tiba datang dua orang Ansar. Apabila mereka melihat Nabi s.a.w mereka mempercepatkan langkah mereka. Lalu Nabi s.a.w bersabda: Perlahankanlah langkah kamu. Sesungguhnya ini adalah Sofiah binti Huyai Maha suci Allah, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada aliran darah manusia. Sebenarnya aku risau ada tuduhan buruk atau yang tidak baik dalam hati kamu berdua 1255 - Diriwayatkan daripada Abu Waqid al-Laithi r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w duduk di dalam masjid bersama kaum muslimin, tiba-tiba datang tiga orang lelaki, dua orang daripadanya terus menghampiri Rasulullah s.a.w lalu salah seorang dari keduanya mengadap Rasulullah s.a.w. Setelah melihat ada tempat kosong beliau terus duduk di situ. Adapun yang seorang lagi, duduk di belakangnya. Sementara itu, orang yang ketiga, terus pergi. Setelah Rasulullah s.a.w selesai, baginda bersabda: Tidakkah kamu ingin aku beritahu tentang tiga orang tadi? Salah seorang di antara mereka berlindung kepada Allah, maka Allah melindunginya. Yang keduanya malu, maka Allah pun malu kepadanya. Sedangkan orang yang ketiga menghindar, maka Allah menghindarkan darinya 1256 - Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Jangan sekali-kali seseorang di antara kamu membuatkan orang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian kamu duduk di tempat tersebut 1257 - Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki pondan yang berperilaku seperti wanita berada di rumah beliau, ketika itu Rasulullah s.a.w juga berada di rumah tersebut. Lelaki itu berkata kepada saudara Ummu Salamah: Wahai Abdullah bin Abu Umaiyah! Jika Allah menolong kamu menaklukki Thaif besok, maka akan kutunjukkan kepadamu anak perempuan Ghailan, nescaya beliau mengadap dengan empat lipatan perut dan kembali dengan lapan lipatan perut kerana sangat gemuk. Jadi, ketika Rasulullah s.a.w mendengar pembicaraan itu, baginda bersabda: Janganlah mereka itu masuk ke tempat kamu! 1258 - Diriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar r.a katanya: Az-Zubair telah mengawiniku. Beliau tidak memiliki harta atau saudara mara dan apa-apa pun di bumi ini kecuali kudanya. Oleh itu, akulah yang memberi makan kudanya, mencukupi bahan makanannya, mengurusnya, menumbukkan biji kurma bagi pengairannya, memberinya makan, meminumkan air, menjahit timbanya dan membuat adunan rotinya. Sementara itu, aku tidak boleh membuat roti dengan baik. Oleh sebab itu, para tetanggaku serta kaum wanita Ansar tolong membuatkan roti untukku, mereka adalah para wanita yang tulus. Aku biasanya memindahkan biji kurma dari tanah az-Zubair yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w dengan menjunjungnya di atas kepalaku. Tanah itu jauhnya kira-kira dua pertiga farsakh iaitu satu batu dari kota. Pada suatu hari aku datang dengan membawa biji kurma di atas kepalaku, lalu aku bertemu dengan Rasulullah s.a.w bersama beberapa orang sahabat. Baginda memanggilku, kemudian mengucapkan: Ikh, ikh iaitu ucapan untuk memberhentikan unta. Baginda bermaksud supaya aku membonceng baginda dari belakang. Asma' berkata: Aku merasa malu dan aku mengerti kecemburuan mu. Az-Zubair berkata: Demi Allah! Engkau menjunjung biji kurma di atas kepalamu adalah lebih berat daripada engkau menunggang bersama baginda.

Sesudah itu, Abu Bakar menghantar seorang hamba. Hal itu, membuatkan aku tidak lagi menguruskan kuda, seakan-akan membebaskanku 1259 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila terdapat tiga orang, maka janganlah dua orang di antara mereka berbisik-bisik tanpa disertakan oleh seorang lagi 1260 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu ada tiga orang, maka janganlah dua orang di antara kamu berbisik-bisik tanpa disertai oleh seorang lagi sehingga mereka bergabung dengan orang ramai agar tidak membuatnya sedih 1261 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Mata iaitu pandangan mata yang menyebabkan penyakit adalah benar 1262 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah di sihir oleh seorang Yahudi dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin al-A'sham sehingga Rasulullah s.a.w merasakan seolah-olah melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda. Pada suatu hari atau pada suatu malam Rasulullah s.a.w berdoa dan terus berdoa, kemudiannya bersabda: Wahai Aisyah, apakah engkau merasa bahawa Allah memberiku pertunjuk mengenai apa yang aku tanyakan kepadaNya? Dua Malaikat telah datang kepadaku. Salah satu di antara keduanya duduk di samping kepalaku, kemudian yang satu lagi duduk dekat kakiku. Malaikat yang berada di samping kepalaku berkata kepada Malaikat yang berada dekat kakiku atau sebaliknya (bercakap-cakap): Apa sakit orang ini? Yang ditanya menjawab: Tersihir. Seorang lagi bertanya: Siapakah yang menyihirnya? Yang satu lagi menjawab: Labid bin al-A'sham Salah seorang bertanya: Di manakah sihir itu ditempatkan? Yang satu lagi menjawab: Pada sikat dan rambut gugur yang berada di sikat serta pundi-pundi yang diperbuat dari kurma jantan. Salah seorang bertanya: Di manakah benda itu diletakkan? Yang satu lagi menjawab: Di dalam telaga Zu Arwan. Aisyah menyambung lagi: Lalu Rasulullah s.a.w pergi ke telaga tersebut bersama beberapa orang Sahabat baginda. Kemudian baginda bersabda: Wahai Aisyah demi Allah, seakan-akan air telaga itu berwarna inai (berwarna kuning kemerahmerahan), kemudian pokok-pokok kurma yang ada di situ bagaikan kepala-kepala syaitan. Aku (Aisyah) bertanya: Ya Rasulullah, Mengapakah engkau tidak membakar saja benda itu? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. Mengenai diriku, Allah telah berjanji menyembuhkanku dan aku tidak suka membuatkan orang ramai menjadi resah, kerana itulah aku menyuruh menanamnya 1263 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Seorang wanita Yahudi datang kepada Rasulullah s.a.w dengan membawa hidangan daging kambing yang diracuni. Rasulullah s.a.w pun memakan hidangan itu, lalu wanita itu dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Ketika ditanya tentang perbuatan tersebut, beliau menjawab: Aku memang bermaksud hendak membunuhmu. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak akan memberikan kekuasaan kepadamu untuk melakukan hal itu. (Menurut satu riwayat, ada tambahan kalimat terhadapku.) para Sahabat bertanya: Bolehkah kami membunuh wanita ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Jangan! Anas berkata: Aku akan selalu mengenali wanita yang hendak mengkhianati Rasulullah s.a.w 1264 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Biasanya apabila ada seorang di antara kami menderita sakit, Rasulullah s.a.w mengusapnya dengan tangan kanan baginda, kemudian baginda membaca: yang bermaksud: Hilangkanlah sakit, wahai tuhan manusia! Berilah penyembuh. Engkaulah Zat yang memberi penyembuh. Tiada penyembuh, kecuali penyembuh dariMu. Penyembuh yang tidak menyiksakan pesakit. Sementara itu, ketika Rasulullah s.a.w menderita sakit dan semakin parah, aku pegang tangan baginda untuk melakukan seperti yang biasa baginda lakukan, namun baginda menarik tangan baginda dari tanganku, kemudian membaca: yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah aku dan jadikanlah aku bersama ArRafiqul A'la. Aku bergegas untuk melihat, namun ternyata baginda telah wafat 1265 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya apabila ada salah seorang anggota keluarga baginda yang sakit, baginda menyemburnya dengan membaca bacaan-bacaan. Sementara itu, ketika baginda menderita sakit yang menyebabkan baginda wafat, aku juga menyemburkan baginda dan mengusap baginda dengan tangan baginda sendiri, kerana tangan baginda tentu lebih banyak berkatnya daripada tanganku

1266 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w memberi izin kepada ahli bait dari golongan Ansar untuk menjampi (dengan zikir yang dibenarkan oleh syarak) dari apa saja yang beracun 1267 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya bila ada seseorang yang mengeluh kerana sakit atau luka, maka baginda meletakkan jari telunjuknya ke tanah lalu mengangkatnya semula seperti mana yang dicontohkan oleh Sufian kemudian membaca: Yang bermaksud: Dengan menyebut nama Allah, Debu tanah kami, dengan ludahan sebahagian kami, agar sembuhkanlah penyakit kami, dengan izin tuhan kami 1268 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menyuruhnya supaya membaca jampi untuk mengelak dari penyakit mata 1269 - Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Jariyah yang berada di rumah Ummu Salamah isteri Nabi s.a.w. Yang dilihat oleh baginda memiliki warna wajah yang lain daripada yang lain dan bersabda: Beliau terkena sakit akibat buatan orang, maka jampilah beliau 1270 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya beberapa orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: Apakah ada di antara kamu yang boleh menjampi? Kerana ketua atau penghulu kampung kami terkena sengat. Salah seorang dari para Sahabat menjawab: Ya, ada. Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka Sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: Aku akan menyampaikannya kepada Nabi s.a.w, beliau pun pulang menemui Nabi s.a.w dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu, Rasulullah s.a.w tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau, bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi. Kemudian baginda bersabda lagi: Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu 1271 - Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Aasim bin Umar Ibnu Qatadah katanya: Sesungguhnya Jabir bin Abdullah menjenguk al-Muqanna' yang sedang sakit kepala, kemudian berkata: Aku tidak akan pulang sebelum engkau mahu berbekam, kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di samping berbekam itu ada pengubatnya 1272 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Demam itu berasal dari didihan Neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah demam itu dengan air 1273 - Diriwayatkan daripada Asma' r.a katanya: Bahawa pernah ada seorang wanita yang gelisah kerana demamnya yang teruk, beliau dibawa berjumpa Asma', lalu Asma' meminta air kemudian menyiramnya ke dalam baju wanita itu. Asma' berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sejukkanlah kepanasan demam itu dengan air. Baginda juga bersabda: Sesungguhnya panas itu adalah dari didihan Neraka Jahannam 1274 - Diriwayatkan daripada Rafi' bin Khadij r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kepanasan demam itu adalah kepanasan yang berasal dari Neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah kepanasan itu dengan air 1275 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Kami memberikan Ladud kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda sakit. Lalu baginda memberi isyarat supaya aku tidak melakukan hal itu. Maka kami beranggapan bahawa itu adalah ketidaksukaan orang yang sakit terhadap ubat. Tatakala sedar, baginda bersabda: Setiap orang dari kamu sudah pasti pernah berubat dengan Ladud, kecuali al-Abbas, kerana beliau tidak sempat menyaksikan kamu

1276 - Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya pada jintan hitam itu terdapat ubat dari segala macam penyakit, kecuali mati. Dan jintan hitam ialah Syuniz (sejenis jintan hitam) 1277 - Diriwayatkan daripada Aisyah isteri Nabi r.a katanya: Apabila ada keluarganya yang meninggal dunia, para wanita berkumpul. Kemudian setelah mereka beredar kecuali keluarga dan orang-orang tertentu, beliau menyuruh untuk memasak seperiuk bubur Talbinah (bubur tepung), kemudian dibuat pula Tharid (sejenis makanan yang diperbuat dari campuran roti dan daging), lalu disiram dengan bubur Talbinah tersebut, kemudian beliau berkata: Makanlah! Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bubur Talbinah itu boleh menyegarkan hati orang yang sakit dan dapat menghilangkan sebahagian dari kesedihan 1278 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Saudaraku terasa mual-mual perutnya. Rasulullah s.a.w bersabda: Berilah beliau meminum madu! Setelah lelaki itu memberikan madu kepada saudaranya, beliau datang lagi kepada Nabi s.a.w dan menyatakan: Aku telah memberinya minum madu, tetapi perut beliau bertambah memulas. Kejadian itu berulang sehingga tiga kali. Pada kali yang keempat, Rasulullah s.a.w bersabda: Berilah beliau minum madu! Lelaki tersebut masih lagi menyatakan: Aku benar-benar telah memberinya minum madu, tetapi perut beliau bertambah memulas. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Maha benar Allah yang telah berfirman: Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalam minuman itu terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Oleh itu, mungkin ada yang tidak sesuai dengan perut saudaramu itu. Akhirnya Rasulullah s.a.w sendiri yang memberikan minum madu dan sembuhlah saudara lelaki itu 1279 - Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Penyakit taun itu adalah satu tanda atau azab yang dikirimkan kepada Bani Israel atau kepada kaum yang sebelum kamu, maka apabila kamu mendengar khabarnya janganlah datang ke tempat itu dan jika taun itu berjangkit di mana kamu berada, maka janganlah kamu lari daripadanya 1280 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a katanya: Sesungguhnya Umar bin al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan para pengikutnya. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para Sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam. Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para Sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini. Lalu Umar menyeru di tengahtengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga? Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, maka janganlah kamu mendatanginya. Sebaliknya, kalaulah wabak itu berjangkit di suatu daerah

sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya. Mendengar katakata itu Umar bin al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu 1281 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada larangan atau pantang pada bulan Safar dan tidak ada kecelakaan yang ditandai oleh suara burung malam. Kemudian seorang desa bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana dengan unta yang berada di padang, yang bergerak bebas bersih laksana kijang, kemudian didatangi oleh unta berkudis dan setelah bergaul, maka kesemua unta tersebut berkudis? Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah yang menjangkitkan kudis kepada unta yang pertama? 1282 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Tidak ada istilah berjangkit dan tidak ada tanda atau firasat kesialan dan yang menghairankanku ialah kalimat yang baik, kalimat yang bagus 1283 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kesialan itu ada pada rumah, pada wanita dan pada kuda iaitu kenderaan 1284 - Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau memang kesialan itu ada, maka kesialan itu ada pada wanita, pada kuda iaitu kenderaan dan pada tempat tinggal 1285 - Hadis Aisyah r.a katanya: Aku pernah bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya beberapa orang dukun pernah menceritakan sesuatu kepada kami dan kami rasa apa yang mereka ceritakan itu benar. Rasulullah s.a.w bersabda: Kalimat yang benar itu memang sengaja diambil dengan cepat oleh jin lalu dilemparkan ke telinga walinya, tetapi di dalamnya sudah ditokok tambah dengan seratus kedustaan 1286 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyuruh supaya membunuh ular kerana binatang tersebut boleh membutakan pandangan mata dan mencelakakan kandungan 1287 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular-ular berbisa dan ular-ular yang jahat kerana keduanya boleh menggugurkan kandungan dan membutakan pandangan mata 1288 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Kami pernah bersama Nabi s.a.w di dalam sebuah gua. Di dalam gua tersebut, Allah berfirman kepada baginda: Demi Malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Kami berhasrat untuk mengambil buah kurma yang berada di depan gua tersebut, tiba-tiba keluar seekor ular. Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular itu. Kami bergegas untuk membunuhnya, namun ular tersebut sangat pantas sehingga terlepas. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: Rupanya Allah telah melindunginya dari kejahatan kamu, sebagaimana Allah telah melindungi kamu dari kejahatannya 1289 - Diriwayatkan daripada Ummu Syarik r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w menyuruhnya supaya membunuh cicak. Kemudian di dalam Hadis Ibnu Abu Syaibah ianya disuruh 1290 - Hadis Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberikan nama kepada cicak Fuwaisik iaitu sangat jahat 1291 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih? 1292 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang wanita disiksa gara-gara seekor kucing. Beliau mengurungnya sampai mati, kerana kucing itulah beliau masuk Neraka. Beliau telah mengurungnya tetapi tidak memberinya makan dan minum bahkan beliau tidak mahu membiarkan kucing itu memakan serangga-serangga tanah

1293 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang wanita disiksa gara-gara seekor kucing. Beliau tidak mahu memberinya makan dan tidak mahu memberinya minum. Bahkan beliau tidak mahu membiarkannya memakan serangga-serangga tanah 1294 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: Anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit iaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk mengigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah s.a.w menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya 1295 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan 1296 - Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Anak Adam selalu mencaci-maki masa, padahal Akulah masa. Siang dan malam berada di tanganKu 1297 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jangan sekalikali salah seorang di antara kamu memanggil: Wahai hambaku (lelaki) dan hambaku (perempuan). Kerana kamu semua adalah hamba-hamba Allah. Seluruh kaum perempuan adalah hamba-hamba Allah. Tetapi hendaklah dia memanggil: Wahai khadamku, wahai jariahku dan wahai muda-mudiku 1298 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah sekali-kali salah seorang di antara kamu berkata: Celaka sekali aku, akan tetapi sebaiknya dia berkata: Susah sekali aku 1299 - Diriwayatkan daripada Sahl bin Hunaif r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah salah seorang di antara kamu berkata: Celaka sekali aku, akan tetapi sebaiknya hendaklah dia berkata: Susah sekali aku 1300 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sebaik-baik gubahan sesebuah syair iaitu puisi yang dibawa oleh orang-orang Arab ialah syair atau puisi Labid: Yang bermaksud: Tidakkah mengingati sesuatu selain dari Allah adalah batil

Anda mungkin juga menyukai