Anda di halaman 1dari 10

Cara atasi masalah was-was

Posted 13 Ogos 2011 by darululumonline in Sembang Hukum. 9 Komen

1 Votes SOALAN: 1) Saya mengalami masalah was-was yang teruk. Ia selalu berlaku jika saya hendak berwuduk dan solat. Ketika berwuduk, saya selalu was-was ketika hendak membasuh muka. Ketika saya menadah air, saya merasakan bahawa air dari muka saya menitik masuk ke dalam tangan. Saya terpaksa buang air tersebut dan menadah air baru sehingga beberapa kali sampai saya yakin. Hal ini membuatkan saya selalu mengambil masa yang lama untuk berwuduk iaitu kira-kira 10 minit. Demikian juga semasa hendak solat. Ia berlaku semasa hendak berniat menyebabkan saya terpaksa menyebut niat dengan mulut dan bukannya dalam hati. Sudah bermacam-macam cara saya lakukan termasuk membaca istiazah, surah an-nas namun tetap was-was. Bagaimana mengatasi masalah ini? JAWAPAN: Ustaz turut bersimpati dengan masalah was-was adik. Kedengaran ia sangat memeritkan hidup adik selama ini. Masalah ini bukan dihadapi oleh adik seorang. Terdapat ramai lagi yang menghadapi masalah ini. Bahkan daripada kalangan bukan Islam dan pada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan agama. Ia kadang-kala dikaitkan dengan masalah psikologi yang dinamakan obsessive-compulsive disorder (OCD). Menurut perspektif Islam, memanglah situasi yang adik gambarkan dinamakan was-was (dalam bahasa Arab waswasah pl. wasaawis) iaitu bisikan yang tidak diundang dalam jiwa dan pemikiran oleh syaitan. Al-Quran telah menerangkan kepada kita yang ia telah bermula dari hari-hari pertama Adam hidup di syurga lagi firman Allah, surah al-Araaf, ayat 20: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua (agar) mendedahkan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga). Begitu juga dalam surah Taha, ayat 120: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang membolehkan kau hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Allah mengajar kita manusia agar memohon perlindungan-Nya agar terpelihara daripada mudarat teknik hasutan bisikan syaitan ini dalam surah al-Araaf, ayat 200: Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Di penghujung al-Quran dalam surah al-Naas, kita diajar dengan lebih terperinci bagaimana melindungi diri daripada was-was dengan membacanya dengan penuh penghayatan terhadap maksud setiap ayat dalam surah yang pendek tetapi besar fungsinya kepada kita dalam memerangi was-was secara kognitif: (1) Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuan Empunya sekalian manusia. (2) Raja segala raja yang Menguasai sekalian manusia. (3) Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia (4) Dari kejahatan pembisik hasutan yang tenggelam timbul. (5) Yang menyuntik bisikan hasutannya ke dalam hati manusia. (6) (Iaitu pembisik hasutan) dari kalangan jin dan manusia. (an-Naas: 1-6) Alhamdulillah, adik telah berjaya mengesan masalah adik dan telah cuba berusaha dengan inisiatif sendiri mengatasinya. Kemudian diteruskan melalui bantuan kawan-kawan.

Malahan adik masih berinisiatif untuk mencari jalan keluar masalah adik dengan bertanya kepada ustaz. Itu tandanya Allah masih sayangkan adik sebab itu Dia tetap Memberi Hidayah-Nya kepada adik. Surah al-Naas Sekarang ustaz nak adik cuba kawal tumpuan aliran pemikiran adik. Cuba sedikit demi sedikit secara berperingkat. Kemudian, adik cuba semula cara kawan adik dengan membaca surah al-Naas dan istiazah tetapi dengan menghayati, menyebatikan dan menjadikan maksudnya berpasak sekukuhkukuhnya di minda adik. Bacalah bersama surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali selepas setiap solat. Adik mesti yakin Allah SWT sedang memerhati adik dan Maha Mendengar keluhan penderitaan adik yang memohon-Nya melindungi adik daripada gangguan was-was tersebut. Daripada luahan hati adik mengenai masalah ini, ustaz juga dapati adik sentiasa sedar apabila ia berlaku dan hati adik tidak suka masalah ini berterusan seakan di bawah kawalan sesuatu, betul tak? Oleh itu, ustaz mahu adik sentiasa memantau aktiviti dalaman minda dan jiwa adik terutamanya apabila bisikan-bisikan yang membawa kepada was-was muncul. Apabila ia datang, cuba labelkan bahawa ia bukan daripada diri adik tetapi bisikan syaitan dan syaitan itu musuh manusia yang nyata. Oleh kerana ia musuh adik, pastinya ia bertujuan memusnahkan adik. Oleh itu, adik mesti mengawal diri dan minda adik agar tidak dapat ditakluk oleh kuasa syaitan dengan memohon perlindungan Allah SWT daripada mudarat yang mungkin diakibatkan oleh syaitan itu pun dengan izin Allah. Kemudian, cuba ubah aliran tumpuan fikiran adik daripada menyedari kemunculan bisikan-bisikan ini kepada memberi sepenuh tumpuan kepada wuduk atau solat adik. Cuba jangan pedulikan bisikan waswas yang muncul. Cuba bayangkan ia seumpama sesuatu imej, pangkahkan untuk menutup skrin imej itu seperti adik menutup skrin halaman sesawang. Hilang. Beritahu diri adik ia sesuatu yang tidak penting langsung untuk diberi perhatian atau disedari kemunculannya. Wuduk dan solat yang ingin adik persembahkan yang terbaik kepada Allah adalah lebih penting. Adik juga boleh melakukan terapi kepada diri sendiri. Contohnya bagi diri adik masa selama seminggu. Cuba berwuduk atau bersolat pada waktu lapang. Apabila bisikan was-was itu muncul cuba kawal diri adik daripada mengulang-ulang mana-mana bahagian wuduk atau solat. Hari pertama mungkin daripada kebiasaannya adik berwuduk sampai 10 minit, adik pastikan dapat kurangkan sehingga sekurang-kurangnya seminit, jadi sembilan minit. Begitulah sampai hari ketujuh, mungkin sudah mencapai tahap normal tiga hingga lima minit. Begitu juga ketika berniat solat. Terapi ini biasanya sangat berkesan dan akan menghentikan masalah yang adik hadapi sekarang secara beransur-ansur. Insya-Allah. Ustaz dapati rasa was-was ini dicetuskan daripada rasa bersalah (guilt) adik. Seakan-akan minda adik dihantui ketakutan kemungkinan adik akan melakukan kesalahan dalam setiap perbuatan adik ketika berwuduk dan dalam solat. Perasaan bersalah dan takut ini bagus tetapi perlulah diimbangi dengan rasa yakin diri dan mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengasihani, Islam datang bukan untuk menyusahkan sehingga adik rasa tertekan setiap kali hendak solat sedangkan ia tiang agama yang menjadi kewajipan utama seperti yang terdapat dalam al-Quran. Al-Quran juga tidak diturunkan untuk membuat kita tertekan, firman Allah dalam surah Taha ayat 2: Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) untuk menyusahkanmu. Sedangkan Allah berfirman kepada orang-orang yang melampaui batas (melakukan maksiat) agar jangan berputus asa daripada rahmat Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (az-Zumar: 53) Mesti Allah lagi Maha Mengasihani terhadap adik yang ingin mempersembahkan solat yang terbaik kepada-Nya. Jadi, adik tak perlu terlalu risau, tertekan terlalu obses tidak mahu buat silap ketika berwuduk atau solat. Yakin dengan diri adik yang adik buat itu sudah betul sekadar yang adik termampu sebagai seorang manusia. Hanya Allah sahaja yang Maha Sempurna. Tentang was-was yang menyerang akar-umbi akidah adik sehingga meragukan adik terhadap kewujudan Allah pula, perkara ini ada disebut dalam hadis: Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda: Syaitan akan mendatangi seseorang daripada kamu lalu berkata: Siapa yang mencipta ini

dan itu? Sehingga sampai satu peringkat ia menyoal: Siapa pula yang mencipta Allah? Apabila hal seumpama ini terjadi, maka mohonlah perlindungan dengan Allah (istiaazah) dan hentikanlah (mindamu daripada menerawang berterusan mencari jawapan kepada soalan bisikan syaitan itu). (riwayat al-Bukhari) Pedoman Hadis Manakala hadis yang sama dalam riwayat Muslim terdapat tambahan: Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. (Aamantu billahi wa rasulihi). Cubalah ikut pedoman hadis ini apabila adik menghadapi masalah itu lagi. Insya-Allah, berkat yakin beramal dengan hadis Nabi SAW, semua masalah was-was adik akan beransur-ansur hilang kelak. Beritahulah kepada ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan adik tentang masalah adik ini sambil meminta mereka memberi sokongan moral kepada adik sepanjang berjuang membebaskan diri adik daripada dijajahi was-was. Mereka mungkin boleh membantu adik contohnya memantau semasa adik berwuduk dan bersolat. Pada masa yang sama banyakkan membaca al-Quran terutamanya surah al-Baqarah serta ayat al-Kursi jika adik mampu, banyakkan lagi bersabar dan teruskan berdoa memohon kepada Allah SWT agar masalah adik ini segera selesai. Amin. Jika keadaan bertambah teruk, adik perlulah mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor atau ahli psikologi yang terlatih untuk mengatasi masalah ini kerana kadang-kadang ia ada kaitan dengan faktor genetik atau aktiviti-aktiviti tertentu otak atau masalah peribadi yang adik hadapi dalam kehidupan sehari-hari seperti perasaan terlalu merendah diri dan mengutuk diri saya bodoh, jahil dan sebagainya. Biasanya ia berpunca daripada peristiwa tertentu pada masa lalu yang memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri adik. Begitu juga sumber informasi yang salah seperti rasa takut (khawf) kepada Allah yang tidak disertakan dengan informasi ia perlu diimbangi dengan rasa harap (rajaa) kepada Allah. Kesimpulannya, cubalah menambah ilmu pengetahuan dengan belajar atau melalui pembacaan terutamanya buku-buku agama.

1.

Assalamualaikum Ustaz. Saya tertarik membaca articel diatas..untuk pengetahuan ustaz saya juga ada mempunyai masalah yang sama..masalah saya ketika membaca bismillah ketika wuduk dan solat. saya mengulang gulang bacaan bismillah keran kurang yakin dengan bacaan saya itu.. ataupun boleh kah kita lintaskan saya bacaan itu diadalam hati ustaz. Dan masalah keduanya ketika niat selalu ada bisikan yang ingin menyesatkan saya contohnya saya buat kerana Allah taala..dia berbisik saya buat tu salah dan ianya ingin menyesatkan saya..saya takut ustazkadangkala saya mengambil masa yang lama untuk berwuduk dan mandi wajib sehingga 1 atau 2 jam lamanya..lagi satu bolehkah kita melafazkan bacaan bismillah didalam bilik air ketika mandi dan wuduk kerana kurang yang dengan bacaan didalam hati.. mohon bantuan ustaz. Balas

Posted by aq hamba ALLAH on 20 Mei 2010 at 11:52 am

Dua persoalan di atas kemungkinan besar akan di hadapi oleh seseorang yang bersolat di dalam pesawat terbang, terutamanya bagi para penumpang yang belum biasa dalam suasana penerbangan. Gangguan khusyu seperti was-was akan pertama kali solat dalam pesawat, keraguan arah qiblat, tempat sempit yang tidak memungkinkan perlaksanaan solat dengan sempurna dan pesawat yang bergoyang adalah antara contoh gangguan yang dimaksudkan. Termasuk dalam situasi ini ialah anak-anak kapal yang bersolat samada juruterbang atau ahli kabin, kekadang terfikir dan teringat tentang tugas yang ditinggalkan sebentar bagi mendirikan solat. Semua ini menyebabkan seseorang itu adakalanya menghadapi gangguan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ibadat yang sedang didirikan berbanding dengan situasi solat di rumah atau di masjid. Pergerakan terpaksa pula ialah seperti berpusing bagi menghadap arah qiblat baru apabila pesawat menukar arah, sekali-sekala berpegang atau bersandar pada dinding atau sesuatu bagi mengimbangi diri di kala solat atau mungkin sahaja terpaksa menepi sebentar bagi membolehkan penumpang lain melepasi kita yang sedang bersolat dan menghalang pula perjalanan mereka. Maka dari dua suasana di atas timbul persoalan adakah gangguan khusyu atau pergerakan yang terpaksa dalam solat membatalkannya ?

Bagaimana pula dengan segelintir yang berpendapat daripada menghadapi berbagai gangguan solat dalam penerbangan, adalah lebih baik diqadhakan sahaja apabila mendarat nanti. Dalam ajaran Islam, khusyu bagi ibadah solat terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu 1. Khusyu zahir iaitu kepada pekerjaan-pekerjaan solat. Khusyu ini mewakili kesedaran seseorang itu terhadap segala gerak-geri solatnya, seperti kedudukan tangan, posisi rukuk, sujud dan tohmaninah bagi setiap posisi perbuatan itu. Khusyu sebegini memperlihatkan seseorang itu tidak melakukan perbuatanperbuatan remeh seperti menggaru-garu kepala atau bermain-main jari tangan. 2. Khusyu rohani iaitu kepada kehadiran hati dalam solatnya. Ini digambarkan sebagai mengenali akan dirinya yang sedang berhadapan dengan Rabbnya, tahu akan apa yang disebut dan sedar akan apa yang dibaca. Perhubungan antara khusyu rohani dan khusyu zahir dalam solat dikaitkan dengan kata-kata hikmah: Jika hatinya khusyu tentu khusyu jugalah anggota-anggota badannya. 3. Khusyu kepada keseluruhan ibadah solat itu sendiri sebagai suatu ibadah seorang hamba kepada Rabbnya yang Maha Agung lagi Maha Besar. Kekhusyukan ini membawa seseorang itu kepada penghayatan solat yang sepenuhnya dan ia adalah sesuatu yang tidak mudah digambarkan dengan perkataan mahupun lisan. Khusyu dalam solat amat dituntut dan dengan ia seseorang itu dapat memperoleh hasil solat yang menuju kejayaan hakiki sepertimana firman Allah Azza waJalla: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu dalam solatnya. [Maksud surah al-Mu'minun 23 - 1,2]. Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga telah menerangkan keutamaan solat yang khusyu dengan sabda beliau: Tidaklah salah seorang dari kamu berwudhu kemudian membaguskan wudhunya kemudian berdiri lalu solat dua rakaat , dia menumpukan perhatian dengan hati dan wajahnya maka dia telah mewajibkan bagi dirinya syurga.[1] Walaubagaimanapun, di sebalik tuntutan dan penekanan yang amat berat kepada kekhusyukan dalam solat, ia tidaklah menjadi syarat sah bagi ibadah solat itu. Semua Mazhab Fiqh ahli Sunnah wal Jamaah yang empat tidak mengkategorikan khusyu sebagai salah satu syarat sah solat.[2] Dalil yang digunakan oleh para ahli usul ialah hadith berikut ini: Daripada Abu Hurairah radiallahu-anhu, sesungguhnya Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Apabila dilaungkan azan untuk solat maka syaitan yang mempunyai kentut itu pergi sehingga dia tidak mendengar azan itu lagi. Kemudian jika azan sudah selesai ia datang kembali. Dan apabila dibacakan iqamat dia pergi (semula). Maka apabila sudah selesai iqamat ia datang lagi sehingga ia membisikkan antara seseorang dan hatinya , (dengan) ia berkata Ingatlah ini, Ingatlah itu untuk sesuatu yang tidak diingatnya sehinggakan seseorang itu menjadi tidak tahu berapa rakaat dia sudah solat. Maka jika seseorang di antara kamu tidak tahu apakah dia sudah solat tiga atau empat rakaat hendaklah dia sujud (iaitu sujud sahwi-P) dua kali sedang dia tetap dalam keadaan duduk.[3] Dalam hadith di atas, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menerangkan bahawa seseorang yang bersolat biasa sahaja akan diganggu oleh syaitan dengan berbagai taktik yang menghalang kekhusyukan solat akan tetapi ini tidaklah membatalkan solat tersebut sekalipun sehingga seseorang itu terlupa terus bilangan rakaaatnya. Dari hadith ini Imam asy-Shaukani menerangkan: Gerakan hati tidaklah membatalkan solat sekalipun berlangsung lama. Hadith ini menunjukkan bahawa bisikan hati di dalam solat tidak membatalkannya. Begitu juga semua bentuk gerak hati kerana dalam hal ini tidak ada yang membezakan.[4] Selain hadith di atas terdapat beberapa lain kisah riwayat yang menerangkan bahawa gangguan kekhusyukan itu tidaklah membatalkan solat. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam selaku seorang manusia juga tidak terlepas dari sifat kekurangan khusyu dalam solat sebagaimana terang Abdullah ibnu Masud radiallahu-anhu: Kami mengucapkan salam kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, pada waktu itu baginda sedang solat. Baginda menjawab salam kami. Ketika kami kembali dari rumah Najasyi, kami sekali lagi mengucapkan salam kepada baginda. Tetapi kali ini baginda tidak menjawabnya lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bukankah kami pernah mengucapkan salam kepadamu ketika kamu sedang solat dan kamu menjawab salam kami? Rasulullah bersabda: Sesungguhnya di dalam solat terdapat kesibukannya tersendiri. [5] Selain dari hadith di atas terdapat juga riwayat yang menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam selaku imam pernah memendekkan bacaan ayat Quran selepas al-Fatiha apabila mendengar tangisan bayi kerana enggan memberatkan ibu bayi tersebut manakala dalam satu riwayat lain Nabi sallallahu-alaihiwasallam pernah bergegas bangun sejurus sahaja selepas habis solat. Apabila ditanya oleh para sahabat, beliau menerangkan bahawa ketika sedang solat beliau teringat akan sekeping logam emas yang masih tersimpan dalam rumahnya lalu beliau tidak mahu berlengah-lengah lagi untuk mensedekahkannya.

Amirul Muminin Umar al-Khattab radiallahu-anhu pernah menerangkan bahawa dia memikir-mikirkan tentang strategi ketenteraannya ketika sedang solat.[6] Semua hadith-hadith ini menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah adakalanya tidak khusyu dalam solatnya sehingga sedar akan hal-hal di sekelilingnya dan itu sememangnya adalah sesuatu yang lazim bagi setiap manusia. Rumusan dari beberapa keterangan rinkas di atas menunjukkan bahawa tidak khusyu dalam solat tidaklah membatalkan solat tersebut. Setiap manusia memiliki sifat kelaziman yang pasti sahaja akan teringat, terfikir dan terlintas berbagai isu dan persoalan di benak hatinya mahupun di akal fikirannya sesuai dengan suasana dan kondisi dia berada. Ini semua adalah sesuatu yang diketahui oleh Allah Subhanahu waTaala dan justeru itulah Dia tidak membebankan manusia dengan sesuatu yang di luar kemampuannya. Akan tetapi ini tidaklah bermakna seseorang itu boleh meremehkan faktor kekhusyukan di dalam etika solatnya. Setiap individu muslim tetap wajib berusaha dan sentiasa wajib berusaha mencari dan mendapatkan kekhusyukan dalam setiap ibadah solatnya.[7] Pergerakkan dalam Solat. Sebelum dimulakan huraian ini disalinkan dahulu beberapa hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam [1] Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma berkata: Aku bertanya kepada Bilal tentang bagaimana Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menjawab salam apabila para sahabat memberi salam kepadanya ketika sedang solat ? Bilal menjawab: Beliau memberi isyarat dengan tangannya.[8] [2] Aisyah radiallahu-anha berkata: Pada suatu kali aku mengetuk pintu rumahku ketika Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sedang solat sunat. Pada waktu itu pintu rumahku berada di arah qiblat. Mendengar ketukan aku, beliau berjalan ke kanan atau ke kiri menuju ke pintu (lalu membukanya). Setelah membukakan pintu beliau kembali meneruskan solatnya.[9] [3] Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata: Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah menyuruh kami membunuh ular dan kala jengking ketika sedang solat.[10] Tiga hadith sahih di atas dijadikan dalil oleh para fuqaha bagi membolehkan pergerakkan yang harus ketika sedang melaksanakan solat. Hadith pertama menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab salam yang diucapkan kepada beliau ketika sedang solat dengan isyarat tangan, adakalanya dengan jari beliau dan adakalanya dengan tapak tangan beliau.[11] Sementara hadith kedua menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah berjalan dalam solatnya untuk membukakan pintu bagi isterinya yang hendak masuk ke rumah manakala hadith ketiga pula menerangkan anjuran / suruhan membunuh ular dan kala jengking (dan apa-apa lain binatang merbahaya) sekalipun ketika sedang solat. Selain itu banyak lagi riwayat-riwayat hadith yang menerangkan pergerakkan yang dibolehkan dalam solat, contohnya ialah yang menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah mendukung cucunya ketika sedang mengimami solat fardhu manakala dalam satu riwayat lain pula pernah Husain radiallahuanhu naik dan duduk di atas belakang Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ketika beliau sedang sujud lalu beliau melamakan sujudnya itu sehinggalah Husain turun semula. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah solat di malam hari dalam rumahnya yang tidak berlampu dan apabila sujud beliau terpegang kaki isterinya Aisyah radiallahu-anha lalu dialihkan ke tepi dari arah qiblatnya sementara dalam satu suasana yang lain pula serban beliau pernah jatuh dari kepala ketika sujud lalu beliau mengangkatnya semula ke atas kepala. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila mengimami solat-solat yang fardhu adakalanya bersolat di atas mimbar bagi mengajar makmum akan cara-cara bersolat dan apabila tiba giliran bagi sujud, beliau akan turun dari mimbar dan bersujud kemudian naik semula ke atas mimbar bagi meneruskan solatnya. Beliau juga pernah solat dengan memakai kasut lalu kemudian diketahui bahawa kasutnya itu bernajis lalu beliau terus membuka kasut itu dan meneruskan solatnya. Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila diberi salam ketika sedang solat beliau menjawabnya dengan isyarat tangan. Beliau juga pernah berdehem-dehem dalam solatnya sebagai isyarat dan beliau juga mengajar kaum wanita yang bersolat jamaah agar menepuk tangan bagi membetulkan imam yang tersilap.[12] Himpunan dari keseluruhan hadith-hadith di atas menunjukkan bahawa pergerakkan yang terpaksa dalam solat adalah dibolehkan tanpa membatalkan solat tersebut. Hanya sahaja yang dibolehkan ialah pergerakkan yang benar-benar perlu bagi menjaga kemaslahatan solat atau suasana sekeliling. Pergerakkan yang sengaja adalah tidak dibolehkan malah ianya membatalkan solat tersebut, seperti sengaja berjalan-jalan, sengaja menggoyang-goyangkan kaki atau tangan, solat sambil memandang ke sana-sini dan sebagainya. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa pergerakkan dalam solat hanya dibolehkan bagi solat sunat akan tetapi pendapat ini dikira lemah kerana banyak hadith-hadith lain yang menunjukkan adanya pergerakkan yang dilakukan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam solat-solatnya yang fardhu lagi berjemaah.[13] Sesetengah pendapat lain pula mengatakan bahawa pergerakkan dalam solat hanya dibolehkan kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam seorang sahaja, akan tetapi pendapat ini juga tertolak

memandangkan wujudnya beberapa riwayat hadith dari para sahabat yang turut mencontohi perbuatan bergerak dalam solat apabila perlu. Salah satu antaranya ialah yang tercatit dalam kitab Sahih Bukhari: al-Azraq bin Qais radiallahu-anhu menceritakan bahawa Abu Barza al-Aslami sedang berada di Azwaz (daerah di Iraq-P) di tebing sebatang sungai. Di sana dia bersolat sambil memegang tali kendati kuda tunggangannya. Apabila kudanya hendak bergerak maka Abu Bazrahpun mundur mengikutinya sama. Kebetulan hadir seorang Khawarij di situ lalu katanya: Ya Allah ! Celakalah orang itu ! Lihatlah bagaimana dia bersolat ! Setelah selesai solatnya Abu Bazrah berkata: Telah saya dengar ucapan itu tadi. Tetapi ketahuilah saya telah mengikuti Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam peperangan sampai enam, tujuh atau lapan kali. Jadi saya mengetahui selok-belok masalah serta keringanan-keringanan yang diajarkan beliau. Maka mundur mengikuti binatang itu adalah lebih penting bagiku daripada membiarkannya kembali ke tempatnya (di persekitaran liar-P) yang pasti sahaja akan menyusahkan aku.[14] Terdapat perbincangan yang mendalam di kalangan para fuqaha tentang sekadar manakah bilangan pergerakkan dalam solat yang dibolehkan. Ada yang berpendapat ianya adalah tiga kali maksimum, ada yang membahagikan ia kepada pergerakkan anggota ringan atau anggota berat, ada yang mengira samada perbuatan itu sengaja atau tidak sengaja dan ada yang melihat samada perbuatan itu mencacatkan bentuk solat itu atau tidak.[15] Walaubagaimanapun penganalisaan dari keseluruhan dalil-dalil yang ada serta perbandingan antara beberapa pendapat-pendapat ini mendapati bahawa yang benar adalah tiada dalil jelas yang menetapkan sebanyak manakah pergerakkan yang dibolehkan atau tidak dibolehkan. Penelitian yang mendalam dalam bab ini merumuskan bahawa jumlah pergerakkan yang dibolehkan tanpa membatalkan solat seseorang itu bergantung kepada keadaan, situasi dan suasana yang dihadapi oleh seseorang itu. Pergerakkan yang dibolehkan dalam solat adalah selari dengan suasana yang dihadapi oleh orang yang bersolat itu. Contohnya bagi seorang yang sedang berada di rumahnya sudah tentu tiada alasan kukuh bagi dia melakukan apa-apa pergerakkan di dalam solatnya manakala bagi seseorang yang solat di masjid pergerakkan yang perlu adalah sekadar berjalan bagi memenuhi ruang saf yang kosong di hadapannya. Berbeza pula bagi seseorang yang solat di sempadan perperangan sudah tentu dia memerlukan pergerakkan yang lebih banyak seperti memegang senjata, melihat-lihat di sekeliling dan bersiap sedia menghadapi serang hendap musuh. Demikian juga bagi seseorang yang menghadapi bahaya ancaman orang jahat atau binatang berbisa, sudah tentu pergerakkan yang perlu bagi menghindar bahaya ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditetapkan kiraannya. Pendek kata, pergerakkan di dalam solat adalah dibolehkan atas tujuan memelihara kemaslahatan solat tersebut dan suasana sekelilingnya. Dalam sumber-sumber nas al-Quran dan as-Sunnah tidak terdapat penetapan jelas akan bilangan atau kadar pergerakkan yang dibolehkan. Akan tetapi kefahaman dari himpunan keseluruhan dalil-dalil yang ada menunjukkan bahawa kebolehan pergerakkan dalam solat adalah dibolehkan selari dengan suasana dan situasi yang dihadapi oleh orang yang bersolat itu dan ia berbeza antara satu suasana dengan suasana yang lain. Pergerakkan yang jelas lagi pasti tidak dibolehkan ialah pergerakkan yang sengaja tanpa sebarang tujuan atau manfaat disebaliknya.[16] Bagi seseorang yang sedang solat di dalam pesawat terbang, atau mungkin sahaja dalam apa-apa medium pengangkutan yang lain, sudah tentu adakalanya akan timbul suasana yang memaksa dia melakukan satu atau lebih pergerakkan seperti mengalih badan bagi arah qiblat yang baru, menyesuaikan bentuk badan bagi rukuk dan sujud di ruang kecil, menepi atau berjalan bagi membolehkan orang lain yang hendak berjalan apabila sedang solat di ruang yang sempit, memegang atau bersandar sebentar kepada sesuatu apabila pesawat bergoyang dan banyak lagi hal-hal yang seumpama. Pergerakkan seperti ini dipandang sebagai sesuatu yang perlu dan ianya tidaklah dipandang sebagai sesuatu yang membatalkan solat mahupun mengurangi kesempurnaannya. Nota Tambahan I Pendapat yang masyhur tempatan menyatakan bahawa pergerakkan dalam solat adalah dibolehkan sehingga 3 kali maksimum di mana jikalau melebihi bilangan ini akan batallah solat orang itu. Pendapat ini disandarkan kepada ajaran Mazhab Shafie. Benarkah demikian ? Rujukan kepada hujah penerangan Imam an-Nawawi, seorang Imam Mujtahid besar bagi Mazhab Shafie mendapati bahawa dibolehkan sesuatu pergerakkan itu dalam solat apabila suasana memerlukannya. Adapun batas 3 kali sebagai ukuran membatalkan solat adalah bagi perbuatan yang tidak mempunyai tujuan atau objektif di sebaliknya. Berikut diturunkan penerangan Imam an-Nawawi: Kesimpulan dari pendapat sahabat-sahabat kami (Mazhab Shafie) ialah pekerjaan yang tidak masuk ke dalam perbuatan solat jika banyak membatalkan solat. Ini merupakan kesepakatan seluruh ulama kami. Jika menurut pendapat yang benar lagi masyhur, pekerjaan yang dibolehkan dalam solat ialah pekerjaan

yang lumrah berdasarkan ukuran adat kebiasaan iaitu seperti isyarat untuk menjawab salam, membuka atau menanggalkan kasut, mengangkat serban dan meletakkannya, memakai kain ringan dan menanggalkannya, mendukung anak kecil, menolak orang yang melintas di hadapan, menggosok ludah yang diludahkan dan yang seumpama. Adapun pergerakan yang dipandang banyak oleh adat kebiasaan ialah seperti melangkah beberapa kali dan beriring-iring pula jelas membatalkan solat. Adapun satu langkah atau sekali pukul tidaklah ia di pandang banyak. Tegasnya ia tidak membatalkan solat. Tiga kali langkah atau tiga kali pukul dipandang sebagai pergerakan yang banyak dan ia membatalkan solat. Menurut mazhab kami (mazhab shafie) bahawa pekerjaan yang sedikit yang tidak membatalkan solat dihukum makruh terkecuali di beberapa suasana: Pertama dikerjakan kerana lupa, Kedua dikerjakan kerana ada keperluan, Ketiga dikerjakan kerana sememang diharuskan seperti membunuh ular, lipan dan sebagainya; dan seperti menolak orang yang melintas dihadapan dan orang yang membuat kejahatan terhadap diri orang yang sedang solat.[17] Nota Tambahan II Penerangan dalam bab Pergerakkan dalam solat ini banyak melibatkan hadith-hadith yang khusus membicarakan beberapa etika solat yang sabit dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Mungkin ada yang bertanya atau tertanya, adakah semua perbuatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam itu boleh kita ikuti dan contohi ? Bukankah beliau seorang Nabi Allah, seorang Rasul Allah dan seorang yang amat mulia kedudukannya di sisi Allah Azza waJalla sehingga mungkin dikhaskan kepada beliau beberapa perkara yang tidak dikhaskan kepada kita umat beliau selaku manusia biasa? Tambahan lagi bukankah beliau seorang yang maksum lagi terpelihara dari dosa ? Sebenarnya persoalan ini pernah timbul di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sendiri dan hadith berikut disalin sebagai muqaddimah penjelasan Ata ibnu Yasar radiallahu-anhu menerangkan bahawa pernah sekali seorang sahabat telah mencium isterinya padahal dia ketika itu sedang berpuasa. Perbuatannya ini merunsingkan dirinya lalu dia mengutuskan isterinya kepada Nabi sallallahu-alaihiwasallam supaya ditanyakan hal itu. Isterinya menemui Ummu Salamah radiallahu-anha, isteri kepada Nabi dan menceritakan hal itu kepadanya lalu Ummu Salamah menerangkan bahawa Nabi sendiri biasa menciumnya ketika berpuasa. Si isteri itu kembali kepada suaminya dan menceritakan hal itu tetapi suaminya bertambah runsing dengan berkata: Kita bukanlah sama dengan Rasul Allah. Allah membolehkan kepada RasulNya itu (Muhammad-P) apa sahaja yang IA sukai. Lalu si isteri itu kembali semula menemui Ummu Salamah dan didapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada bersamanya. Bertanya Nabi: Apa tujuan wanita itu? Ummu Salamah menerangkan apa yang telah terjadi lalu beliau bersabda: Bukankah kamu telah memberitahu dia bahawa aku sendiri melakukannya? Berkata Ummu Salamah: Aku telah memberitahunya tetapi apabila diterangkan kepada suaminya dia menjadi bertambah runsing dan berkata Kita bukanlah sama dengan Rasul Allah. Allah membolehkan kepada RasulNya itu (Nabi SAW) apa sahaja yang IA sukai. (Mendengar itu) Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjadi marah lalu bersabda: Demi Allah ! Aku adalah yang paling bertaqwa kepada Allah di antara kalian dan yang paling tahu mengenai aturan-aturan Allah. [18] Hadith di atas menerangkan bahawa setiap perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam itu adalah di atas dasar ketaqwaan yang sebenar kepada Allah Taala dan bukan semata-mata kerana beliau adalah seorang yang maksum lagi tiada berdosa. Segala perbuatan beliau adalah dalam batasan dan aturan syariat Allah dan tidak terkeluar dari itu. Dengan marah Nabi menyangkal dakwaan bahawa kononnya perbuatannya itu adalah suatu kesengajaan yang diluar batas aturan Allah Azza waJalla. Hadith di atas juga adalah merupakan salah satu dalil yang dijadikah hujah oleh para ahli usul fiqh bagi menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam itu tidaklah terhad bagi dirinya seorang sahaja tetapi adalah umum mencakupi keseluruhan umatnya sehingga ke akhir zaman (lihat mana-mana kitab usul fiqh atas tajuk sunnah fiiliyyah). Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidaklah berlaku dua, lain untuk dirinya dan lain pula untuk umatnya. Setiap perbuatan beliau dalam hal-hal ibadah adalah hujah dalam agama dan setiap perbuatan beliau dalam hal-hal kehidupan duniawi adalah teladan untuk kita ikuti. Malah menolak sunnah beliau yang merupakan kemudahan syariat atas alasan ia hanya khas untuk seorang utusan Allah pernah disanggah oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut: Bagaimana keadaan orang-orang yang telah sampai kepada mereka sesuatu yang aku beri kemudahan lalu mereka tidak suka bahkan menjauh pula darinya ? Maka Demi Allah ! Sesungguhnya akulah orang yang paling tahu di antara mereka tentang Allah dan orang yang paling bertaqwa kepadaNya.[19]

Harapnya dua hadith di atas adalah mencukupi bagi menjawab persoalan atau keraguan yang timbul dalam bab ini. Setiap perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang disabitkan dengan hadith yang sahih adalah merupakan hujah agama yang wajib kita taati tanpa sebarang alasan atau tanda tanya keraguan. Balas

Posted by aq hamba ALLAH on 20 Mei 2010 at 11:57 am

Hukum terpenting yang dibentuk dari hadith ini adalah berkenaan seorang yang telah berwudhu dan tidak pasti adakah dia telah terbatal ataupun tidak. Jumhur ulama termasuk Imam Ab Hanfah, Imam al-Shfi`, dan Imam Ahmad b. Hanbal, menyatakan ketidakpastian (was-was) perlu diabaikan setiap masa. Ini juga disebut oleh Imam Mlik. Akan tetapi terdapat 2 pendapat lain yang disandarkan kepada Imam Mlik tentang perkara ini. Salah satu pendapat itu ialah ketidakpastian(was-was) membatalkan wudhunya. Tetapi riwayat ini adalah dhaif dan bertentangan dengan maksud yang jelas dari hadith-hadith yang sahih. Pendapat ke-3 yang disandarkan kepada Imam Mlik ialah jika was-was berlaku diluar solat , maka dia perlu mengambil wudhu yang baru, tetapi jika was-was berlaku di dalam solat, maka dia perlu abaikannya. Pendapat ini amat pelik kerana apa yang membatalkan wudhu di luar solat sudah pastinya membatalkan wudhu didalm solat. Menurut Ibn Hajar al-`Asqalni di dalam Fath al-Br (1/287) : Riwayat yang menerangkan penbahagian tersebut tidak boleh disandarkan kepada Imam Malik , Ia hanyalah perkataan pelajarnya Kita boleh katakan, tanpa syak lagi, pendapat yang benar tentang perkara ini adalah pendapat Jumhur Ulama bahawa keraguan tidak membawa sebarang faedah. Seorang akan kekal dalam keadaan berwudhu sehingga dia pasti dia telah terbatal. Aplikasi Hukum 1) Jika seseorang dalam keadaan bersuci , terasa dia telah terkentut, ini tidak membawa apa-apa makna.Dia perlu benar-benar pasti untuk membuktikan wudhunya telah terbatal. 2) Jika seseorang tahu dia dalam keadaan wudhu dan was-was bahawa dia telah membuang air, dia perlu abaikannya. 3) Jika seseorang dalam keadaan suci kemudian dia tertutup mata sebentar kerana mengantuk dan tidak pasti dia telah tertidur(lama) untuk wudhunya terbatal , maka dia perlu menganggap dia masih dalam keadaan suci. Dalam keadaan ini atau situasi yang hampir serupa, seseorang perlu mengabai was-wasnya. Begitu juga, jika seseorang tidak pasti air kolah telah tercemar dengan najis atau tidak , dia perlu mengaggapnya ia masih bersih. Sama juga berkenaan baju, tempat solat, dan makanan yang ingin dimakan. Ini adalah hukum asas dalam semua masalah berkenaan bersuci dan keharusan, yang mana keyakinan(kepastian) adalah penting untuk mengisytiharkan sesuatu(kesucian) itu sebaliknya. Hukum ini cara fikir ini menutup pintu kepada ketidakpastian(was-was) dan keraguan yang dialami oleh sebilangan besar umat Islam. Tambahan, para ulama telah Ijma apabila Rasulullah SAW berkata: Kecuali kamu mendengar bunyi atau bau sesuatu Beliau bukanlah memaksudkan kepada 2 perkara itu sahaja, Beliau hanyalah menerangkan tentang tahap keyakinan yang perlu ada dalam keadaan tersebut. Al-Khattb menyebut dalam I`lm al-Hadth (1/227-228): Rasulullah SAW tidak bermaksud hukum ini terhad kepada isu kentut dan 2 cara memastikannya. Jawapan Rasulullah SAW, bersesuaian dengan soalan yang dikemukakan. Maksudnya boleh diperluaskan kepada tahi , kencing, air madzi, air mani, darah, dana apa-apa yang boleh membatalkan kesucian seseorang. | Sheikh Salman al-Oadah| Diterjemahkan oleh: FAZH Institut al-Imam asy-Syafie Consultant dan Training Balas

Posted by NORAZ on 31 Mei 2010 at 11:30 pm

Terima kasih atas makluman dan penjelasan dari ustaz. (Cukup Berkesan) .Bagaimana pula dengan ganguan ketika membaca bismilliah untuk mengambil wuduk dan ketika bersuci..dan bagaimana pula ganguan ketika kita ingin berniat..terima kasih ustaz.. Balas

Posted by ruslan bin ibrahim on 23 November 2010 at 10:30 pm

salam ustazbantulah saya dalam memerangi masalah was-was..saya menghadapi masalah was-was terutamanya bab najis mugholazoh..ia terjadi setiap kali saya memandu, bila melalui kawasan bangkai babi dijalan raya rasa seolah-olah tayar kereta memijak bangkau tersebut..tp ada juga sya terlupa msa masukkan angin keta saya tersentuh tayar n mulai fikiran was-was dtg sama ada saya perlu samak atau tidakbila pulang kerumah sya terfikir2 nak samak atau tidak, tp kerana ikutkan nafsu saya terpaksa akur lalu menyamaknya..tp perasaan was-was masih menghantui saya..saya terfikir objek2 lain yg saya sentuh dgn tangan basah adakah sya perlu menyamaknya..itu yg membuat saya makin terseksa..tp hati sya sentiasa mahu mendekatkan diri pd Allah tp bila perasaan was-was menghantui saya membuatkan sya berputus asa dlm ibadah..minta pandngn Ustz dlm menangani masalah saya ni Balas

Posted by Huda on 3 Disember 2010 at 2:40 pm

assalamualaikum,ustaz. sy mengambil masa hampir setengah jam untuk berwudhu. membazir air dan masa. tutamanya bahagian kaki, klu bleh,ustz tolong tunjukkan cara berwudhu yang paling mudah dan sempurna. satu lagi, ada tak kemungkinan gangguan was-was disebabkan oleh gangguan anasir jin? syukron. Balas

Posted by aliah on 13 Februari 2011 at 8:54 am

assalamualaikum.. saya rasa umpama banyak yang saya boleh contohi melalui pendapat atau penerangan yang diberikan oleh ustaz ani sedangkan saya pun mengalami situasi yang sama. hurmadakah kiter kena yakin dan hiraukan rasa was-was itu ya ustaz??? saya pon mengalami was-was dalam solat terutama semasa berwudhuk dan meniatkan solat fardhu. sudah 2 kali saya terlepas solat fardhu mangrib kerana sentiasa mengulang-ngulang niat solat fardhu maghrib sehingga masuk waktu solat isyak. saya berasa sedih sangat. saya harap dengan penerangan ustaz dapat membimbing saya. wasalam Balas

Posted by Keliru on 4 Mei 2011 at 3:14 pm

assalamualaikum ustaz Saya sering menghadapi masalah ini terutama ketika mandi wajib.saya berasa was2 setiap kali melaksanakan mandi wajib.Pada hal saya sudah pastikan segalanya sempurna dalam mandian saya.Tetapi setiap kali selepas mandi wajib,perasaan was-was tu akan datang dan ini menjejaskan ibadah solat saya. Adakah solat saya sah jika saya mengalami was-was?Apakah cara berkesan untuk mengatasi masalah ini?

Saya ada 1 lagi persoalan yang bermain di fikiran saya selama ini. Saya pernah melakukan onani tetapi tidak kerap.Dalam 1 malam,saya akan melakukannya 2 atau 3 kali.Soalan saya adalah,berapa kalikah mandi wajib yg perlu saya lakukan?Adakah memadai dengan sekali mandian sahaja? Balas

Posted by Effa Boboiboy on 9 Ogos 2011 at 5:59 pm

saya selalu diganggu di dalam hati supaya murtad.saya tidak mahu murtad.perkara ini sangat menyeksakan bagi saya.jika saya ingin melupakan perkara tersebut,tidak boleh.perasan itu selalu datang tidak kira di mana jua saya beradadi dalam hati selalu berbisik,aku telah murtad.saya keliru siapa cakapsama ada bisikan itu ataupun saya.adakah allah menerima amalan dan keislaman saya yang saya lakukan dahulu jika saya jatuh murtad?bagaimana mahu mengatasi masalah ini?

Anda mungkin juga menyukai