Anda di halaman 1dari 27

TAJUK 2 MASALAH BAHASA DAN KOMUNIKASI

PENGENALAN

Bahasa adalah perantara untuk berkomukasi sesama mereka. Manusia perlu berkomunikasi kerana itulah lumrah kehidupan manusia yang saling memerlukan di antara satu sama lain dalam setiap aspek kehidupan. Tanpa keupayaan berbahasa, adalah sukar seseorang itu hendak meluahkan perasaannya, menyampaikan ideanya kepada orang lain, dan sebagainya. Bab ini akan membincangkan tentang masalah bahasa dan komunikasi yang meliputi masalah bahasa, masalah pertuturan, dan masalah kefasihan. Perbincangan akan tertumpu kepada jenis masalah, punca masalah dan cara membantu kanak-kanak yang menghadapai masalah tersebut. Bagi anda yang telah mengambil mata pelajaran HBSL 1103: Pengenalan Pendidikan Kanak-kanak Masalah Pembelajaran, anda akan dapati bahawa tajuk ini adalah sama dengan tajuk 3 (Kanak-kanak Masalah Komunikasi) dalam mata pelajaran tersebut. Ini kerana tajuk ini membicarakan perkara yang sama dan ditulis oleh penulis yang sama juga.

OBJEKTIF Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat: 1. membezakan antara masalah bahasa, pertuturan, dan kefasihan; 2. mengenal pasti punca masalah bahasa, pertuturan, dan kefasihan; dan 3. menjelaskan cara-cara yang dapat dilakukan untuk membantu mengatasi masalah bahasa, pertuturan, dan kefasihan . GAMBARAN KESELURUHAN TAJUK

Masalah Bahasa dan Komunikasi

Bahasa Pertuturan Kefasihan - jenis masalah - jenis masalah - jenis masalah - punca - punca - punca

- cara membantu - cara membantu - cara membantu

2.1 Masalah Bahasa

Definisi bahasa yang telah dibincangkan dalam tajuk 1 dengan jelas menyatakan bahawa bahasa adalah merupakan alat untuk manusia berkomunikasi. Oleh itu ketidakupayaan berbahasa akan menjejaskan keberkesanan komunikasi seseorang. The National Information Center for Children and Youth with Disabilities (1996), USA telah mendefinisikan masalah bahasa sebagai; adalah kelemahan dalam keupayaan untuk memahami dan/atau menggunakan perkataan-perkataan mengikut konteks, sama ada secara verbal dan bukan verbal. Di antara ciri masalah bahasa termasuklah penggunaan perkataan dan maknanya yang kurang sesuai, tidak upaya menyampaikan idea, bentuk tatabahasa yang kurang sesuai, kurang perbendaharaan kata, dan tidak upaya mengikut arahan.

The American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) (1982) telah memberikan definisi dan jenis masalah bahasa yang lebih perinci seperti berikut; Masalah bahasa adalah kecacatan atau perkembangan pemahaman yang menyimpang atau kandungan bahasa atau penggunaan dalam pertuturan, tulisan (atau kedua-duanya), atau sistem simbol yang lain. Masalah tersebut mungkin melibatkan satu atau gabungan mana-mana aspek bahasa berikut; (1) bentuk bahasa ( sistem fonologi, morfologi, dan sintaksis), (2) kandungan bahasa ( sistem semantik), atau (3) fungsi bahasa dalam komunikasi (sistem pragmatik).

Bentuk bahasa a. Fonologi adalah sistem bunyi bahasa dan peraturan linguistik yang menentukan kombinasi bunyi. b. Morfologi adalah peraturan linguistik yang menentukan struktur perkataan dan pembentukan perkataan daripada unsur makna yang asas (morfem). c. Sintaksis adalah peraturan linguistik yang menentukan susunan dan gabungan perkataan-perkataan bagi membentuk ayat dan hubungan di antara unsur dalam lingkungan ayat tersebut. Kandungan Bahasa

a. Semantik adalah sistem psikolinguistik yang mencorak kandungan pertuturan, kehendak, dan makna perkataan dan ayat. Fungsi Bahasa a. Pragmatik adalah sistem sosiolinguistik yang mencorak penggunaan bahasa dalam komunikasi, yang mungkin disampaikan secara pergerakan atau percakapan. Berdasarkan definisi masalah bahasa di atas, masalah-masalah yang dihadapi adalah seperti berikut;

i. Fonologi Kanak-kanak dengan masalah fonologi berkemungkinan menghadapi masalah dalam bahasa lisan. Mereka kerap membuat kesalahan menggantikan bunyi dalam perkataan seperti nama untuk mama, blink untuk drink. ii. Morfologi Kecelaruan yang melibatkan morfologi termasuklah penggunaan imbuhan yang luar biasa, struktur ayat yang salah, dan penggunaan tenses yang salah (bahasa Inggeris). iii. Sintaksis Masalah yang berkaitan sintaksis (ayat) pula melibatkan kesalahan tatabahasa yang boleh memberi kesan dalam menyusun dan menyampaikan pendapat yang kompleks. iv. Semantik Masalah semantik dapat dilihat melalui perkembangan perbendaharaan kata yang lemah, menggunakan makna perkataan yang tidak sesuai, dan tidak berupaya memahami makna perkataan. v. Pragmatik Masalah berkaitan pragmatik melibatkan ketidakupayaan kanak-kanak memahami atau menggunakan bahasa dalam konteks atau perbualan dalam situasi yang berbeza.

Aktiviti 2.1

Berdasarkan pengalaman anda sebagai guru, bincangkan masalah bahasa yang ditunjukkan oleh pelajarpelajar anda dengan memberi contoh yang sesuai bagi setiap aspek bahasa di atas.

2.1.1 Punca Masalah Bahasa

Antara punca masalah bahasa adalah: Kelewatan bahasa Ada kanak-kanak yang memperolehi bahasa lewat daripada kebiasaannya. Sesetengah kanak-kanak akan dapat menguasai bahasa walaupun agak lambat daripada yang lain, tetapi terdapat juga kanakkanak yang tidak menunjukkan perubahan dan memerlukan intervensi awal untuk membantunya. Aphasia Aphasia merujuk kepada masalah bahasa akibat daripada ketidakupayaan untuk membentuk, atau memperoleh semula, dan memberi makna kepada simbol-simbol arbitrari bahasa (Holland & Reinmuth, 1982). Aphasia berpunca daripada kerosakan otak. Bagi kanak-kanak kerosakan otak berpunca akibat kecederaan otak semasa lahir atau ketumbuhan (tumor) otak. Manakala bagi orang dewasa pula mungkin akibat daripada strok atau kecederaan akibat kemalangan. Gangguan proses auditori pusat (Central auditory processing disorders /CAPD) Semasa berkomunikasi, telinga dan otak akan menerima maklumat auditori (pendengaran) dan menterjemahkannya. Kanak-kanak yang mempunyai CAPD tidak mengalami masalah pendengaran (pekak), tetapi atas sebab tertentu otak tidak dapat menterjemah maklumat auditori yang diterima daripada telinga dengan baik.

Setakat ini anda diharap sudah dapat memahami tentang masalah bahasa secara am. Anda perlu membuat bacaan tambahan untuk menambahkan lagi maklumat dan pengetahuan anda tentang tajuk ini. Apakah masalah bahasa yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pembelajaran?

Kanak-kanak masalah pembelajaran kebiasaannya menghadapi masalah bahasa yang serius. Masalah bahasa yang mereka hadapi lebih tertumpu kepada ketidakupayaan memperoleh dan menguasai bahasa penerimaan yang tepat, ketidakupayaan memproses bahasa dengan tepat, dan ketidakupayaan menguasai serta melahirkan bahasa pelahiran. Masalah bahasa yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pembelajaran secara khusus adalah seperti berikut:

i. mengingat kembali perkataan ii. menyatakan perkara atau bentuk yang abstrak iii. memahami perkataan yang mempunyai pelbagai makna iv. menggunakan ayat yang betul dan lengkap v. meminta penjelasan untuk mesej yang kurang difahami vi. menghasilkan mesej yang kompleks dari segi sintaksis vii. memaklumkan sesuatu maklumat kepada orang lain viii. mempelbagaikan gaya berkomunikasi untuk menyesuaikannya dengan pendengar yang berbeza

Latihan 2.2 Dengan memberi contoh setiap masalah bahasa yang ditunjukkan oleh kanak-kanak masalah pembelajaran, bincangkan langkah-langkah pengajaran yang anda boleh lakukan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut.

2.1.2 Intervensi Pengajaran Bahasa Kanak-kanak yang dikenal pasti menghadapi masalah bahasa hendaklahlah diberi perhatian untuk dipulihkan dengan segera. Tindakan awal untk membantu memulihkan atau mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak ini dikenali sebagai intervensi. Apabila mengajar bahasa kepada kanakkanak terutamanya kanak-kanak masalah pembelajaran, guru hendaklah menggunakan beberapa teknik pengajaran yang khusus bagi memenuhi keperluan bahasa kanak-kanak tersebut. Di antara intervensi pengajaran bahasa yang mungkin dapat membantu kanak-kanak mengatasi masalah penguasaan bahasa mereka adalah seperti berikut: i. Ajar bahasa di dalam situasi Mengajar bahasa di dalam situasi yang diadakan akan membantu kanak-kanak memahami isi pelajaran dan seterusnya menguasai kemahiran bahasa yang diajar. Contoh: membantu ayah di kebun. ii. Ikut urutan perkembangan bahasa normal Pengajaran bahasa hendaklah berdasarkan kemampuan berbahasa kanak-kanak mengikut peringkat umur mereka. iii. Guna strategi pengajaran yang khusus dan berkesan ketika memperkenalkan konsep baru Pelbagai strategi pengajaran khusus boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak masalah pembelajaran seperti teknik REBUS, kaedah VAKT, kaedah fonik dan sebagainya. iv. Bercakap tentang apa yang mereka fikir atau lakukan Kanak-kanak mesti dilatih bercakap dan menyampaikan buah fikiran mereka. Satu cara mudah merangsang mereka bercakap adalah dengan meminta mereka bercakap tentang apa yang mereka sedang fikirkan atau perkara yang mereka sedang lakukan. v. Terangkan apa yang orang lain lakukan Kemahiran menerang boleh ditingkatkan dengan cara meminta mereka menceritakan perkara yang dilakukan oleh orang lain. Menceritakan apa yang dilihat adalah lebih mudah dilakukan oleh kanak-

kanak masalah pembelajaran. vi. Gunakan contoh yang betul untuk memberikan latihan bagi kemahiran bahasa yang khusus Menunjukkan contoh yang betul atau modeling digunakan supaya kanak-kanak dapat meniru kemahiran bahasa yang betul. Kemahiran bacaan mekanis misalnya boleh dajar dengan cara guru menunjukkan cara bacaan yang betul atau menayangkan rakaman pembaca berita TV membaca berita. vii. Gunakan aktiviti harian dalam menyediakan latihan kemahiran-kemahiran bahasa dalam lingkungan konteksnya Aktiviti harian kanak-kanak sama ada di rumah atau di sekolah boleh dimanfaatkan untuk menyediakan pengalaman-pengalaman bahasa yang boleh mereka pelajari. Selain itu, aktiviti harian pelajar juga boleh digunakan sebagai bahan atau tema pengajaran bahasa. Dalam merangka intervensi pengajaran dan pembelajaran bahasa kepada kanak-kanak masalah pembelajaran, aktiviti hendaklah berfokuskan pelajar. Latihan 2.3 Apakah yang dimaksudkan dengan intervensi awal? Apakah bentuk intervensi awal yang boleh dilakjukan untk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah bahasa.

2.2 Masalah Pertuturan

Pertuturan adalah bentuk ekspresi bahasa yang paling biasa dan memerlukan koordinasi di antara alat artikulasi, pernafasan, dan suara. Pertuturan melibatkan simbol-simbol yang diwakili oleh bunyi dalam bentuk bahasa yang formal bertujuan untuk melahirkan idea dan bertukar-tukar fikiran.

2.2.1 Unsur-unsur pertuturan Pertuturan mempunyai empat unsur, iaitu suara, bunyi atau talun (resonance), artikulasi, dan kelancaran. a. Suara terbentuk dalam tiga komponen iaitu (1) pic (pitch) yang merujuk kepada tinggi rendah nada suara, (2) kekuatan, atau kenyaringan suara, dan (3) kualiti suara. b. Bunyi atau resonan adalah aspek bunyi-bunyi pertuturan dan ada kalanya dianggap sebagai sebahagian daripada suara. Ada individu yang mempunyai suara yang kuat dan ada pula yang suaranya lemah atau pun terlalu nyaring. c. Artikulasi melibatkan gigi, lelangit, bibir, lelangit, dan pergerakan lidah untuk mengeluarkan bunyibunyi bahasa. d. Kelancaran adalah keupayaan bertutur tanpa teragak-agak atau tersekat-sekat yang boleh mengganggu komunikasi.

2.2.2 Kategori masalah pertuturan

Apakah yang dikatakan pertuturan normal? Pertuturan yang normal merujuk kepada keupayaan mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa melalui mulut, dilafazkan dengan baik, mempunyai kualiti semula jadi, rentak dan kadar yang baik, dan mempunyai perbendaharaan kata yang mencukupi sesuai dengan peringkat umur. Masalah pertuturan boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar, iaitu masalah artikulasi, masalah suara, dan masalah kelancaran.

i. Masalah artikulasi Masalah artikulasi atau gangguan artikulasi adalah pengeluaran bunyi-bunyi pertuturan yang abnormal, sehingga menyebabkan percakapan menjadi tidak tepat atau percakapan yang tidak sesuai. Masalah artikulasi terdiri daripada perkara-perkara berikut: penggantian pengguguran pengubahan, dan penambahan Penggantian bunyi terjadi apabila bunyi tertentu dalam sesuatu perkataan digantikan dengan bunyi yang lain, misalnya malan untuk makan wabbit untuk rabbit. Kesilapan ini sering berlaku kepada kanak-kanak yang masih belum matang. Pengguguran bunyi pula melibatkan pengguguran atau menghilangkan sesuatu bunyi konsonan. Pengguguran boleh berlaku di permulaan, tengah, atau akhir perkataan, misalnya idung untuk hidung, besa untuk besar, dan lain-lain. Pengubahan bunyi terjadi apabila sebutan asal diubah sehingga boleh menghilangkan maknanya. Masalah ini ketara dalam penyebutan bahasa Inggeris misalnya perkataan sip disebut shlip. Sekiranya untuk perkataan susah, konsonan s disebut dengan hembusan angin yang kuat atau keterlaluan boleh mengubah bunyi perkataan tersebut, misalnya sssyusyah Penambahan bermaksud menambah bunyi tertentu dalam perkataan seperti bawa disebut bawah atau bawuah, animal disebut ammanimal atau ammaminal.

a) Punca masalah artikulasi Masalah artikulasi boleh dikaitkan dengan beberapa faktor yang menyebabkan gangguan artikulasi. Di antaranya adalah seperti sumbing bibir atau sumbing lelangit, kecacatan lidah, penyakit ataupun kecacatan pada hidung atau tekak, kelumpuhan otak, peniruan pertuturan yang salah ketika mula

belajar bercakap sewaktu kanak-kanak, dan juga faktor persekitaran. Sumbing, iaitu kecacatan lelangit atau bibir ialah kerenggangan tulang mulut, tisu lembut, dan struktur bahagian atas bibir yang mengganggu pengeluaran udara melalui hidung dan menghasilkan suara yang sengau. Masalah pertuturan juga boleh berpunca daripada kelumpuhan otak (brain damage) yang mengawal sistem saraf tunjang dan pergerakan otot alat pertuturan. Kanak-kanak akan menjadi sukar menerima atau mengeluarkan bunyi atau suara yang betul. Ketika masih bayi lagi, kanak-kanak belajar bertutur dengan meniru pertuturan orang dewasa. Kebiasaannya sebutan perkataan sengaja tidak lengkap bagi memudahkan mereka meniru sebutan perkataan. Mereka juga menyebut perkataan dengan pelat, misalnya nacik untuk nasi, be ak untuk berak dan sebagainya. Sekiranya kesilapan sebutan ini tidak dibetulkan, maka kanak-kanak tersebut akan mengalami masalah menyebut perkataan dengan betul. Faktor persekitaran juga mempengaruhi keupayaan bertutur kanak-kanak misalnya persekitaran keluarga yang tidak banyak bercakap, menggunakan dua atau lebih bahasa , tekanan emosi, atau juga kanak-kanak yang terbiar tanpa bimbingan orang dewasa sebagai model.. b) Strategi Intervensi Masalah Artikulasi Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk membantu kanaka-kanak yang menghadapi masalah artikulasi sebelum masalah itu berlarutan dan memberi kesan yang negatif kepada kanakkanak tersebut. Di antaranya adalah seperti terapi pertuturan, pendekatan interaktif, dan komunikasi tambahan (augmented communication).

Terapi Pertuturan Ahli terapi pertuturan akan menjalankan terapi bersama kanak-kanak secara individu, dalam kumpulan kecil, atau secara terus di dalam kelas untuk mengatasi masalah pertuturan kanak-kanak. Di antara strategi yang digunakan adalah: aktiviti intervensi bahasa iaitu ahli terapi pertuturan akan berinteraksi dengan kanak-kanak dan bercakap dengan mereka. Bahan-bahan seperti gambar, buku, objek, atau peristiwa yang berlaku digunakan untuk merangsang perkembangan bahasa kanak-kanak . Ahli terapi juga akan menunjukkan cara penyebutan yang betul dan menggunakan kaedah latih tubi untuk membina kemahiran bertutur dan juga bahasa. Terapi artikulasi (alat pertuturan), iaitu melibatkan artikulasi, penghasilan bunyi, dan latihan-latihan melalui tunjuk cara penyebutan yang betul kepada kanak-kanak. Terapi ini dilaksanakan melalui aktiviti permainan. Misalnya ahli terapi akan menunjukkan cara menyebut sesuatu huruf, misalnya r . Selain itu dia juga akan menunjukkan cara bagaimana lidah perlu digerakkan untuk menghasilkan bunyi r sebut.

Pendekatan Interaktif

Melalui pendekatan interaktif ini, ahli intervensi yang mungkin terdiri daripada ibu bapa, guru pendidikan khas, atau ahli terapi pertuturan akan cuba menggunakan sifat semula jadi kanak-kanak untuk bercakap tentang apa yang dia sedang lakukan, merancang untuk lakukan, ataupun perkara yang dia ingin lakukan. Sesi pemulihan ini dilakukan semasa kanak-kanak sedang bermain, makan, atau semasa pergi ke restoran dengan menggunakan bahasa dan sebutan yang betul. Menurut Bloom (1991), tujuan pendekatan ini adalah untuk merangsang kanak-kanak supaya kanak-kanak banyak. Justeru, sebutan mereka akan menjadi lebih tepat di samping meningkatkan lagi perbendaharaan kata mereka.

Komunikasi Tambahan Ada kalanya terdapat kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang mengalami masalah pertuturan yang serius tidak dapat bercakap dengan baik. Oleh itu, komunikasi tambahan diperkenalkan kepada kanakkanak ini. Satu bentuk komunikasi tambahan adalah bahasa isyarat kod tangan yang biasanya digunakan oleh golongan masalah pendengaran.

ii. Masalah suara

Masalah atau gangguan suara melibatkan kualiti bunyi (akustik) suara yang tidak normal atau luar biasa yang dihasilkan ketika kanak-kanak bercakap. Semua suara berbeza dari segi nada, kualiti suara, dan punca suara dihasilkan. Suara kurang menyenangkan apabila dikeluarkan secara sengau, serak atau garau (hoarseness), dan berbisik. Semua ini akan mengganggu komunikasi yang berkesan. Pertuturan sengau terhasil apabila udara dari paru-paru yang sepatutnya keluar melalui rongga mulut telah keluar mengikut rongga hidung ketika bercakap. Keadaan ini menjadikan suara sengau atau seperti hidung tersumbat . Oleh itu kanak-kanak sumbing akan menyebut kebanyakan konsonan secara sengau kecuali bunyi vokal dan bunyi-bunyi konsonan n, m, dan ng . Masalah suara akibat jeritan, sorakan yang terlalu kuat hanyalah bersifat sementara dan akan pulih apabila tekak diubati dan kekuatan bunyi pertuturan dikurangkan. Guru akan dapat mengenal pasti pelajarnya yang menghadapi masalah suara berdasarkan petunjukpetunjuk berikut: i. suara sengau ii. suara orang yang sesak nafas iii. suara berbunyi kasar atau suara seperti orang menarik nafas sambil bercakap iv. suara sangat perlahan v. bercakap seperti berlagu vi. bercakap senada (monotone voice) vii. pic (pitch) suara biasanya tinggi atau rendah viii. corak penekanan perkataan dalam ayat yang berlainan daripada biasa, dan ix. bersusah payah menyebut perkataan ( cth: mengejip mata, muka berkerut, menggenggam tangan, dsb)

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah suara, mereka boleh dipulihkan melalui intervensi terapi pertuturan seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Latihan 2.4

Dapatkan rajah alat artikulasi (pertuturan) dan bincangkan bagaimana setiap bahagian artikulasi itu memain peranan dalam mengeluarkan bunyi-bunyi huruf.

iii. Masalah kelancaran

Gangguan kelancaran melibatkan aliran pertuturan yang mempengaruhi kadar dan kelicinan pertuturan seseorang. Gagap adalah bentuk gangguan kelancaran pertuturan yang paling biasa. Seseorang dikatakan gagap apabila menyebut sesuatu perkataan berulang-ulang, tersekat-sekat, dan diikuti ketegangan otot tekak. Keadaan ini terjadi akibat gangguan pernafasan yang berpunca daripada penyelarasan otot pertuturan yang tidak sempurna. Gagap berlaku secara berselang-seli di antara pertuturan normal dan gagap mengikut kelonggaran dan ketegangan otot pertuturan. Terdapat beberapa fakta yang berkaitan dengan gagap. Di antaranya adalah: gagap sesuatu yang mesti berlaku kepada setiap kanak-kanak (2-4 tahun), tetapi akan beransur-ansur pulih setelah melalui pengalaman interaksi dengan persekitaran, Kaum lelaki lebih ramai gagap berbanding wanita, dan gagap boleh diturunkan melalui pertalian genetik keluarga.

Individu yang gagap akan menunjukkan ciri-ciri tertentu pertuturannya. Namun dari segi fizikal individu yang gagap tidak ada perbezaan dengan individu normal. Di antara ciri individu yang gagap adalah seperti berikut: Pertuturan tidak lancar kerana secara tidak sengaja kerap mengulang-ulang menyebut perkataan dan pemanjangan bunyi perkataan . Melakukan pengulangan dan pemanjangan sebutan satu huruf yang sama . Gagal mengaitkan perkataan dengan emosi. Cuba menyembunyikan masalah gagap dengan mengubah nada dan kadar pertuturan, memejamkan mata, mengulang suku kata, perkataan atau frasa, dan menggerakkan tangan semasa bertutur.

a) Punca masalah gagap Banyak faktor yang dikaitkan sebagai punca kepada masalah gagap. Berdasarkan pendapat daripada beberapa penulis, punca masalah gagap dapatlah dirumuskan seperti berikut. Ketidakstabilan mekanisme neuromuscular untuk pertuturan ketika peringkat awal kanak-kanak. Ketika kanak-kanak sudah mula mahu bercakap, otot-otot pertuturan masih belum bersedia dan tidak stabil. Keadaan ini menyebabkan pertuturan menjadi tersekat-sekat dan berulang-ulang.

Keadaan persekitaran juga boleh menyebabkan gagap terutamanya persekitaran rumah yang tidak selamat dan tidak menggembirakan serta hubungan emosi yang tidak cukup di antara anak dan ibu bapa. Keadaan fizikal yang lemah akibat kekurangan zat makanan, dan mempunyai masalah kesihatan. Kejutan secara tiba-tiba seperti kemalangan, kematian orang tersayang terutamanya ibu atau bapa, pengalaman yang menakutkan, dan menghidap sesuatu penyakit. Peniruan pertuturan yang salah semasa proses mula belajar bertutur. Sekiranya sejarah keluarga mempunyai ahli yang gagap, besar kemungkinan masalah gagap akan diturunkan kepada anak-anak mereka. Seseorang yang mahir tangan kiri boleh menjadi gagap sekiranya dipaksa menggunakan tangan kanan untuk menulis atau membuat sebarang kerja.

b) Panduan mengurangkan masalah gagap

Morley M.E. (1972) telah memberikan lima prinsip rawatan untuk membantu individu gagap mengatasi masalah mereka.

Menyesuaikan diri dengan gagap Ramai individu gagap berasa yang mereka adalah berlainan daripada orang lain hasil daripada pengalaman-pengalaman dan reaksi orang lain terhadap pertuturan mereka yang gagap. Sedarkan mereka bahawa ramai orang yang kononnya tidak gagap sebenarnya mengalami masalah bercakap tersekat-sekat dan mungkin gagap pada masa-masa tertentu. Mereka perlu mengakui yang mereka gagap dan menerima hakikat ini secara positif tanpa rasa takut dan beremosi. 2Terapi mengurangkan ketegangan.(Relaxation therapy) Rawatan terapi mengurangkan ketegangan ini akan mengurangkan ketegangan fizikal dan mental. Sekiranya diamalkan selalu akan meningkatkan keselesaan dan ketenangan mental yang akan meningkatkan kecekapan dan keyakinan untuk menjalani kehidupan tanpa tekanan.

Latihan-latihan yang membantu ke arah mengawal petunjuk-petunjuk Gagap. Latihan hendaklah yang boleh menyumbang ke arah pengalaman pertuturan yang lancar dan latihan yang membantu mereka mengawal gagap ketika berlaku. Perbincangan, cadangan, dan tugasan Pada setiap kali rawatan, masalah dan situasi tertentu akan dibincangkan. Misalnya yang berkaitan dengan penggunaan telefon, membeli tiket bas, dan berbagai-bagai masalah dan situasi lagi. Cadangan diberi bagaimana individu itu mengatasi masalah yang dihadapinya dan menjadikan situasi gagap sebagai latihan untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang diberi. Terapi kumpulan Apabila tiba masa yang sesuai, individu gagap akan menghadiri sesi terapi secara berkumpulan. Di sini dia akan bertemu dengan orang lain yang menghadapi masalah yang sama dan berkongsi pengalaman masing-masing.

Intervensi untuk memulihkan masalah gagap perlulah dimulai pada peringkat awal masalah gagap ditunjukkan sebelum menjadi lebih teruk.

Latihan 2.5 Apakah masalah sosio-emosi yanhg dihadapi oleh individu yang mengalami masalah gagap. Bincangkan.

2.2.3 Kesimpulan

Kemahiran bahasa sangat sukar dikuasai oleh kanak-kanak masalah pembelajaran. Selain bermasalah menguasai komponen bahasa seperti bentuk, kandungan, dan penggunaannya, terdapat ramai juga kanak-kanak masalah pembelajaran yang mengalami masalah dalam pertuturan. Masalah bahasa dan komunikasi tidak boleh dipandang ringan kerana ketidakupayaan menyampaikan mesej dengan tepat dan jelas disebabkan gangguan pertuturan atau masalah bahasa akan menyebabkan kanak-kanak berasa tertekan, malu, rendah diri, takut berhadapan dengan orang lain, dan mengasingkan diri.. Apabila kanak-kanak ini memasuki alam persekolahan masalah ini akan menjejas pencapaian akademik dan kemahiran sosial mereka. Sebagai mana yang telah dibincangkan sebelum ini, masalah bahasa dan komunikasi boleh diatasi melalui pendekatan yang terancang dengan mengambil kira setiap ketidakupayaan yang kanak-kanak

alami. Pelbagai pihak yang berkaitan hendaklah berganding bahu dan bekerjasama sebagai satu pasukan yang terdiri daripada ibu bapa, guru, ahli terapi pertuturan, pentadbir sekolah, doktor, dan juga kaunselor. Intervensi awal adalah sangat penting untuk membantu kanak-kanak mengatasi masalah pertuturan dan bahasa mereka sebelum masalah itu menjadi satu kebiasaan dan sukar dipulihkan.

Rumusan 1. Masalah bahasa adalah kecacatan atau perkembangan pemahaman yang menyimpang atau kandungan bahasa atau penggunaan dalam pertuturan, tulisan (atau kedua-duanya), atau sistem simbol yang lain. 2. Masalah tersebut mungkin melibatkan satu atau gabungan mana-mana aspek bahasa berikut; (1) bentuk bahasa ( sistem fonologi, morfologi, dan sintaksis), (2) kandungan bahasa ( sistem semantik), atau (3) fungsi bahasa dalam komunikasi (sistem pragmatik 3. Antara punca masalah bahasa adalah kelewatan bahasa, aphasia, dan gangguan proses auditori pusat. 4. Masalah pertuturan boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar, iaitu artikulasi, suara, dan kelancaran. 5. Pertuturan adalah bentuk ekspresi bahasa yang paling biasa dan memerlukan koordinasi di antara alat artikulasi, pernafasan, dan suara. Masalah pertuturan boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar, iaitu masalah artikulasi, masalah suara, dan masalah kelancaran.

Kata Kunci Komunikasi Artikulasi Terapi Intervensi Mekanisme neuromuskular

Bacaan/Rujukan Jalongo. M.R., (1992). Early Childhood Language Arts. Boston: Allyn and Bacon. Kirk, Gallgher, & Annastasiow, (1993). Educating Exceptional Children 7th . ed. Boston: Houghton Mifflin Company.

Reed. V.R., (1994). An Introduction to Children with Language Disorders. New York: Macmillan College Publishing Company. PENGENALAN Masalah membaca di kalangan murid sekolah bukanlah perkara luar biasa lagi walaupun mereka telah mengikuti pembelajaran bacaan terutamanya dalam pelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Kemahiran membaca adalah merentas semua mata pealajaran dan kelemahan dalam kemahiran membaca akan menyebabkan pencapaian rendah dalam pelajaran di sekolah . Adalah menjadi tugas guru mengesan kelemahan membaca muridnya dan seterusnya menjalankan pengajaran pemulihan bacaan dengan segera. Berbagai-bagai kaedah dan teknik mengajar bacaan boleh digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan. Kaedah dan teknik mengajar bacaan yang digunakan oleh guru hendaklah sesuai dengan kebolehan membaca murid. Dalam tajuk ini anda akan didedahkan dengan jenis kesalahan bacaan, punca masalah membaca, dan seterusnya kaedah-kaedah mengajar bacaan Bahasa Melayu. Bagi mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, guru hanya perlu sesuaikan kaedah-kaedah ini dengan keupayaan murid-murid.

OBJEKTIF Pada akhir tajuk ini, anda seharusnya dapat: 1. mengenal pasti jenis-jenis masalah bacaan , 2. menjelaskan punca-punca masalah membaca , 3. menghuraikan kaedah-kaedah mengajar membaca

MASALAH MEMBACA

Masalah Bacaan Strategi Pengajaran Kemahiran Membaca

Jenis Masalah Bacaan Kaedah Mengajar Bacaan Masalah dalam memaham Kaedah Khas Pemulihan Bacaan Punca masalah Membaca

6.1 Masalah Bacaan

Masalah bacaan di kalangan pelajar sekolah sekarang mendapat perhatian umum. Kerisauan tentang masalah ini bukan hanya pada ibu bapa dan guru-guru sahaja malah sudah hingga ke peringkat pemimpin tertinggi negara . Berbagai-bagai usaha telah dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan peringkat nasional. Satu usaha terbesar yang dilaksanakan adalah KBSR yang bermatlamatkan kecemerlangan pendidikan sekolah rendah, dan diikuti dengan KBSM di sekolah menengah. Namun selepas fasa pertama KBSM,didapati ramai pelajar kita yang masih gagal menguasai 3M. Hakikat ini diakui dalam seminar Kebangsaan KBSR pada 1989 yang merumuskan; Pelaksanaan Program Pemulihan dan Pengayaan dalam kelas KBSR tidak mencapai tahap yang dijangkakan - menyebabkan terdapat sebilangan kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran asas 3M hingga ke peringkat tahap II persekolahan rendah dan di peringkat persekolahan menengah.

Keadaan ini amat menakutkan apabila semakin ramai pelajar kita yang gagal membaca walaupun sudah memasuki sekolah menengah. Sebagai usaha untuk memulihkan masalah bacaan murid di sekolah randah, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pprogran Kelas Intervensi Membaca dan Menulis atau KIA2M.

6.1.1 Jenis Masalah Bacaan Masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak dapat dilihat melalui aktiviti bacaan nyaring, manakala aktiviti bacaan senyap hanya dapat dilihat melalui aspek bacaan kefahaman. Antara masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak adalah seperti berikut: a) membuang/meninggalkan (omission) Bunyi huruf, perkataan, dan imbuhan ditinggalkan ketika membaca, misalnya buah disebut uah, kering disebut kerin. Perkataan dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca, seperti; Buku itu sangat tebal. dibaca sebagai Buku itu tebal. Manakala meninggalkan imbuhan adalah seperti mengandungi disebut mengandung dan sebagainya. b) Ulangan (repetition) Mengulang-ulang perkataan atau suku kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah gagap.

c) Gantian (substitute) Menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca, misalnya ladang disebut lalang. Manakala terdapat perkataan yang digantikan dengan perkataan lain sehingga boleh mengubah maksud ayat. d) Tambahan (insertion) Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa membaca, misalnya buah disebut buwah. Manakala penambahan perkataan berlaku seperti berikut; Saya suka makan rojak. dibaca sebagai Saya sangat suka makan rojak. e) Pembalikan (reversals) Huruf, perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang. Contoh ; Bala disebut laba, manakala pembalikan perkataan dalam ayat berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh: Dia makan nasi dibaca sebagai Dia nasi makan, dan begitu juga dengan pembalikan frasa. f) Tidak kenal huruf Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan kanakkanak gagal membaca dengan baik. Keadaan ini menyebabkan kanakkanak akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan makna. g) Salah sebutan Salah sebutan terjadi akibat kanak-kanak tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf sehingga sesuatu perkataan tidak bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan.

Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian oleh guru untuk mengatasinya. Selain itu, guru juga perlu memerhati tingkah laku yang ditunjukkan semasa murid membaca yang boleh menunjukkan murid itu bermasalah dalam bacaan.Antara tingkah laku yang kerap ditunjukkan adalah seperti berikut: a) membatang suku kata terlebih dahulu sebelum dapat menyebut seluruh perkataan, b) bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan dan tidak lancar,

c) teragak-agak (hesitation) - teragak-agak bermaksud berhenti sejenak sebelum menyebut sesuatu perkataan ketika membaca disebabkan kanak-kanak tidak pasti akan bacaannya, d) membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda bacaan, e) membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak, f) menunjuk perkataan dengan jari ketika membaca, g) tingkah laku yang tidak selesa seperti mengejip-ngejip mata, mengerut dahi, menggeleng kepada, dan sebagainya, h) Suara terlalu perlahan dan tidak jelas atau blurring, i) kedudukan mata terlalu dekat dengan bahan bacaan, j) cuba mengelak daripada aktiviti membaca, dan k) tidak boleh membaca langsung.

Guru mestilah peka dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid-muridnya kerana tingkah laku tersebut menunjukkan murid berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan.

Latihan: Berdasarkan masalah-masalah bacaan di atas, berikan beberapa contoh masalah atau kesalahan bacaan yang kerap dilakukan oleh kanak-kanak.

6.2 Masalah-masalah dalam Memaham Bacaan Selain masalah bacaan nyaring, kanak-kanak juga menghadapi masalah memahami apa yang dibaca. Masalah tidak memahami isi bahan bacaan tentu akan mengganggu proses pembelajaran murid berkenaan. Guru dapat mengesan masalah memaham di kalangan muridnya berdasarkan pemerhatian dan juga melalui aktiviti-aktiviti soal jawab, kuiz, menceritakan semula, merumus petikan, dan sebagainya. Antara masalah dalam kefahaman bacaan adalah: i) gagal memahami maksud perkataan dan frasa yang berkaitan dengan waktu seperti selepas, sudah, sebelum, pagi, sekejap, dan sebagainya, ii) tidak memahami maksud perkataan dalam pelbagai situasi, misalnya dalam ayat Panjatlah lagi pokok itu. yang bermaksud melarang seseorang daripada memanjat pokok, iii) gagal memahami atau membuat urutan idea atau peristiwa yang terdapat dalam bahan bacaan

terutamanya apabila diminta menceritakan semula petikan yang dibaca, iv) lambat memberi tindak balas terutamanya apabila tidak memahami arahan yang dibaca, v) gagal menghubungkan sebab dan akibat dalam bahan bacaan yang dibaca, vi) tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah (absurdities) dalam bahan yang dibaca, vii) tidak dapat mentafsir atau menggunakan carta, graf, peta, rajah, dan sebagainya dalam buku.

Masalah pemahaman bacaan akan menjejas pencapaian dalam pelajaran secara keseluruhannya sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah. Masalah pemahaman kanak-kanak boleh diatasi melalui beberapa aktiviti pengajaran yang boleh merangsang pemahaman mereka terhadap bahan yang dibaca. Antaranya adalah seperti melatih mereka membuat pemetaan semantik atau peta konsep, carta alir terutamanya untuk melatih membuat urutan peristiwa, membuat carta organisasi, menggunakan kamus untuk mendapatkan makna perkataan, dan yang paling penting adalah melalui teknik penyoalan seperti teknik soalan 5WH (what, who, , where, when,why, dan how).

Latihan: Apakah kepentingan membuat peta semantik, carta alir, dan carta organisasi. Berikan contoh untuk menjelaskan jawapan anda.

6.3 Punca Masalah Membaca

Punca masalah membaca adalah rumit dan sukar hendak ditentukan secara khusus. Namun Guy L.B. dan rakan-rakannya (1994) telah membahagikan punca masalah membaca kepada tiga faktor besar , iaitu : i. Faktor fizikal ii. Faktor kognitif dan bahasa iii. Faktor emosi, persekitaran, dan pendidikan Faktor Fizikal Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah bacaan adalah seperti masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah neurologikal seperti kerosakan otak (serebral palsi, aphasia, terencat akal, dll), dan bermasalah kesihatan (epilepsi, masalah jantung, kurang zat makanan yang serius, dll). Faktor Kognitif dan Bahasa Kanak-kanak yang tahap kecerdasannya rendah dan yang terencat akal akan menghadapi masalah dalam bacaan yang serius. Selari dengan masalah ini ialah tahap kognitif yang rendah sehingga

menyebabkan proses memperolehi kemahiran membaca menjadi sangat sukar. Manakala faktor bahasa melibatkan bahasa penerimaan (receptive language) yang melibatkan keupayaan semantik dan sintaksis. Faktor Emosi, Persekitaran, dan Pendidikan Masalah membaca kebiasaannya wujud seiring dengan faktor-faktor emosi yang memberi kesan yang besar terhadap penyesuaian individu dan sosial kanak-kanak. Masalah penyesuaian mungkin berpunca daripada faktor-faktor fizikal atau perawakan dan persekitaran yang boleh menyebabkan kegagalan membaca. Kegagalan membaca menjadikan kanak-kanak kecewa dan menjejas emosi mereka. Faktor persekitaran bagi kanak-kanak yang kurang beruntung seperti tidak mendapat kasih sayang keluarga, kurang zat makanan, tiada galakan keluarga, dan sebagainya akan menjejas pencapaian mereka dalam pelajaran termasuk keupayaan membaca. Faktor pendidikan adalah seperti tidak menyediakan peluang pengajaran secara individu, tidak memberi perhatian terhadap kesediaan membaca kanak-kanak, mengabaikan kemahiran membaca dalam kebanyakan aktiviti sekolah, penggunaan teknik pengajaran yang kurang berkesan, dan sebagainya.

6.4 Strategi Pengajaran Kemahiran Membaca

Terdapat berbagai-bagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan yang telah kita pelajari dan kita gunakan untuk membantu murid yang tidak dapat membaca dengan baik. Sebenarnya semua kaedah dan teknik itu boleh digunakan dengan berkesan Semuanya bergantung kepada cara kita merancang strategi pengajaran dan melaksanakannya ke atas murid berkenaan. Perkara terpenting adalah muridmurid ini perlu diajar menguasai kemahiran-kemahiran asas bacaan terlebih dahulu supaya pemerolehan kemahiran membaca mereka menjadi mantap. Kemahiran-kemahiran yang dikuasai ini kelak akan membantu mereka menguasai kemahiran bacaan seterusnya Pengajaran membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan strategi yang pelbagai. Guru tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana kerana penerimaan seseorang kanak-kanak terhadap perkara yang diajar adalah berbeza antara satu sama lain. Terdapat beberapa kaedah mengajar bacaan dalam Bahasa Melayu yang sesuai dengan binaan perkataan Bahasa Melayu yang terbentuk melalui gabungan suku kata.

6.5 Kaedah Mengajar Bacaan Dalam tajuk ini anda akan didedahkan dengan beberapa kaedah mengajar bacaan kepada kanak-kanak. Antara kaedah yang sering digunakan adalah: iv. Kaedah abjad/huruf v. Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan vi. Kaedah fonik/bunyi vii. Kaedah Gabungan Bunyi-kata viii. Kaedah VAK ix. Kaedah pelbagai deria - VAKT x. Kaedah Fernald

xi. Kaedah Gillingham

Kaedah Abjad/huruf Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Contoh: Memperkenalkan huruf - a - z Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah. Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.

Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya. Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali. Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan rumah, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf r iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ].

Kaedah Fonik/bunyi Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan

membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ]. [ b ] + [ a ] = [ ba ] [ t ] + [ a ] = [ ta ] [ ba ] + [ta ] = [ bata ]

Kaedah gabungan bunyi kata ( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan ) Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory). Contoh; i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut. ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf. a iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf. iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf. v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf. vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf (terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar). vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut; i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan). ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja). Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.

6.6 Kaedah Khas Pemulihan Bacaan Terdapat segelintir kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang serius dan memerlukan kaedah bacaan khas untuk mengajar mereka seperti kanak-kanak Disleksia, kanak-kanak pemulihan, dan kanakkanak berkeperluan khas (PKBP). Antara kaedah bacaan yang akan dibincangkan dalam bahagian ini adalah seperti kaedah VAK, kaedah VAKT, kaedah Fernald, dan kaedah Gillingham, dan semua kaedah ini digolongkan sebagai pendekatan ki nestetik.(Margaret, Lynne, Janet, 1989).

Kaedah VAK Kaedah VAK menggabungkan deria penglihatan dan pendengaran dengan tulisan (kinestetik atau pergerakan). Dalam kaedah ini murid melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya. Kaedah VAK menggunakan prosedur pengajaran seperti berikut, iaitu pelajar : i. memerhati perkataan yang hendak dipelajari ii. menyebut perkataan itu iii. cuba menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya, dan iv. membandingkan hasil tulisan dengan perkataan asal Prosedur VAK ini diulang-ulang sehingga perkatan dapat ditulis dengan betul.

Kaedah Membaca Pelbagai Deria - VAKT (Multisensory Reading Method) Kaedah ini dikenali sebagai kaedah VAKT yang bermaksud; V - visual (penglihatan) A audio (pendengaran) K - kinesthetic ( pergerakan ) T - tactile ( sentuhan) Kaedah ini berpegang kepada prinsip rangsangan dalam pembelajaran dan berdiri atas Premis bahawa rangsangan ke atas beberapa deria yang sensitif akan mengukuhkan pembelajaran . Langkahlangkah pengajaran adalah sepeerti berikut: - kaedah ini menggunakan surihan (tracing) untuk mengajar bacaan - guru menulis huruf cetak yang besar di atas kertas 4 x 10 ( menggunakan krayon ) - Murid membuat surihan huruf dengan jari di atas kertas itu - Untuk mendapatkan kesan sentuhan semasa membuat surihan, huruf dibuat daripada kertas pasir, menggunakan talam berpasir/lumpur, mewarna dengan jari, huruf timbul yang besar dan lain-lain. - Untuk belajar huruf melalui kaedah VAKT, murid hendaklah ; v. lihat huruf (V)

vi. dengar guru sebut huruf (A) vii. menyebut huruf (A) viii. dengar huruf yang disebut (A) ix. rasa pergerakan otot semasa membuat surihan huruf (K) x. rasa permukaan huruf dgn hujung jari (T) xi. lihat pergerakan tangan semasa tracing (V) xii. dengar sendiri huruf yang disebut semasa membuat surihan (A) Kaedah VAKT dijadikan asas kepada model-model pengajaran bacaan yang lebih perinci oleh tokohtokoh seperti Fernald, Gillingham, dan lain-lain.

Kaedah Fernald Kaedah ini diperkenalkan oleh Fernald G.M. dan Helen, B.K.(1943, 1988) untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk. Kaedah ini merupakan gabungan pendekatan pengalaman bahasa dan pembelajaran berasaskan pendekatan pelbagai deria (VAKT). Pendekatan ini dibentuk untuk pengajaran secara individu. Terdapat empat peringkat pengajaran dalam kaedah Fernald, iaitu: i. Menyurih (tracing) dan menulis berdasarkan ingatan satu perkataan yang diberi, ii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang diberi, iii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang dijumpai dalam petikan, dan iv. Belajar melalui perkataan asas (sight words) yang terdapat dalam teks.

Peringkat pengajaran dalam kaedeah Fernald adalah seperti berikut:

Peringkat 1: - Guru menulis perkataan dengan besar menggunakan crayon di atas kertas. - Pelajar surih huruf-huruf dengan jari (T K) sambil menyebut dan mendengar sebutan perkataan itu (A). - Pelajar juga memandang perkataan itu semasa membuat surihan(V) . - Proses ini diulang sehingga pelajar boleh menulis perkataan tanpa melihat contoh. - Pelajar menulis cerita berdasarkan perkataan yang telah dipelajari. Peringkat 2: - Pelajar tidak perlu surih setiap perkataan, tetapi hanya melihat perkataan yang guru tulis, menyebut, dan menulis perkataan tersebut. - Pelajar meneruskan menulis cerita dan menyimpan fail perkataan. Peringkat 3:

- Pelajar belajar perkataan baru dengan melihat, menyebut, dan menulisnya terus daripada perkataanperkataan bercetak (teks). - Guru tidak perlu menulis perkataan kerana pada tahap ini pelajar sudah boleh membaca daripada buku.

Peringkat 4: - Pelajar dapat mengecam perkataan-perkataan baru berdasarkan persamaannya dengan perkataanperkataan yang tercetak, atau bahagian-bahagian perkataan yang sudah dipelajari. - Pelajar sudah boleh menggunakan kemahiran bacaan untuk mengembangkan minat membaca.

Kesimpulannya, kaedah Fernald menggunakan pengalaman bahasa pelajar dan kaedah VAKT. Kaedah Fernald mempunyai prinsip tertentu yang perlu dipatuhi, iaitu: i. kejayaan hendaklah ditekankan supaya motivasi pelajar dapat ditingkatkan atau dikekalkan, ii. keempat-empat peringkat perlu dikuasai mengikut urutan,dan iii. hanya diguna untuk pelajar yang menghadapi masalah bacaan yang teruk sahaja seperti disleksia, murid pemulihan, dan murid PKBP.

Kaedah Gillingham Kaedah ini diperkenalkan oleh Gillingham dan Stillman pada tahun 1970 AN difokuskan untuk mengajar bacaan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah bacaan yang sangat teruk. Kaedah ini mengambil masa yang lama dan langkah-langkah pengajaran hendaklah dipatuhi dengan ketat, iaitu memerlukan lima sesi pengajaran seminggu untuk selama dua tahun (minimum) Kaedah Gillinghammenumpukan penstrukturan pengajaran yang tinggi dan berorientasikan pendekatan fonetik yang menggunakan teknik surihan (tracing) untuk mengajar huruf tunggal dan bunyi yang bersamaan dengannnya.

Kaedah Gillingham menekankan pendekatan pelbagai deria yang terdiri daripada enam kesatuan deria yang sangat penting pada peringkat permulaan mengajar huruf huruf. Enam kesatuan asas itu adalah: i. V-A (Visual-Auditory). Perkataan yang ditulis dan huruf-huruf dihubungkan denga bunyinya. Murid tidak perlu menyebut bunyi-bunyi itu. ii. A-V (Auditory-Visual). Bunuyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan dengan imej visual. Tugasan ini seakan-akan aktiviti mengeja. iii. A-K (Auditory Kinesthetic). Bunyi-bunyi huruf danperkataan digabungkan dengan pergerakan otot semasa menyebut dan menulis.

iv. K-A (Kinesthetic Auditory). Tangan murid didibantu untuk menyurih atau menulis bentuk huruf sambil menyebut nama atau bunyi huruf tersebut. v. V-K (Visual Kinesthetic). Huruf cetak dan perkataan dikaitkan dengan pergerakan otot semasa bertutur dan menulis. vi. K-V (Kinesthetic- Visual). Pergerakan otot semasa bertutur atau menulis dikaitkan dengan bentuk visual huruf-huruf.

Langkah-langkah pengajaran; Langkah 1: - Dgn menggunakan kad latih tubi, tunjuk satu huruf kepada murid. - Guru menyebut nama huruf dan murid mengikut sebutan guru - Bila sudah mahir, guru menyebut bunyi huruf dan murid mengikutnya - Soalan guru , Apakah bunyi huruf ini? Langkah 2: - Tanpa menggunakan kad latih tubi, guru membunyikan mengikut huruf. - Soalan guru, Berikan nama huruf yang bunyinya [ ] . Guru menggunakan strategi ejaan lisan Langkah 3: - Guru menulis huruf dan menerangkan bentuknya. - Murid menyurih ikut tulisan guru, dengar, pandang, dan membunyikan huruf itu. - guru mula memperkenalkan tulisan sambung.

Setelah murid mahir 10 huruf (konsonan dan vokal), mereka mengadun hurufhuruf menjadi perkataan.

Sebagai rumusan, semua guru adalah bertanggungjawab untuk mengesan kelemahan bacaan pelajarnya, mengenal pasti punca masalah, dan cuba membantu mereka membina kemahiran membaca seawal mungkin supaya masalah ini dapat dipulihkan sebelum menjadi lebih teruk.

Latihan: Bezakan antara kaedah abjad dengan kaedah fonik dalam mengajar bacaan.

6.7 Kesimpulan Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan sematamata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanak-kanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian darikpada langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia menggunakan kaedah tersebut.

Rumusan 1. Masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak dapat dilihat melalui aktiviti bacaan nyaring, manakala aktiviti bacaan senyap hanya dapat dilihat melalui aspek bacaan kefahaman. 2. Guru mestilah peka dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid-muridnya kerana tingkah laku tersebut menunjukkan murid berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan. 3. Guy L.B. dan rakan-rakannya (1989) telah membahagikan punca masalah membaca kepada tiga faktor besar , iaitu faktor fizikal, faktor kognitif dan bahasa, dan faktor emosi, persekitaran, dan pendidikan 4. Murid-murid ini perlu diajar menguasai kemahiran-kemahiran asas bacaan terlebih dahulu supaya pemerolehan kemahiran membaca mereka menjadi mantap. 5. Pengajaran membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan strategi yang pelbagai. Guru tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana kerana penerimaan seseorang kanak-kanak terhadap perkara yang diajar adalah berbeza antara satu sama lain. 6. Kaedah VAK, kaedah VAKT, kaedah Fernald, dan kaedah Gillingham digolongkan sebagai pendekatan kinestetik dan hanya digunakan untuk mengajar bacaan bagi kanak-kan ak yang mengalami masalah bacaan yang teruk.

Kata Kunci

Kinestetik Surih Pelbagai deria Kognitif Aphasia Rujukan Kamarudin Hj. Husin, (1998). Pedagogi Bahasa. Kuala Lumpur: Longman Malaysia Sdn. Bhd. Guy .L.B., Barbara B.W., Miles A.T, & John B.W. (1994). Reading Difficulties: Their Diagnosis and Correction. Boston: Allyn and Bacon. Margaret A. R , Lynne K.L., & Janet W.L. (1989). Reading Problems: Assessment and Teaching Strategies. New Jersey: Prentice Hall.

Anda mungkin juga menyukai