Anda di halaman 1dari 3

TAJUK: KISAH ASHABUL UKHDUD

Terima kasih pengacara majlis, yang dihormati barisan hakim yang arif lagi bijaksana, barisan guru, rakan-rakan serta hadirin dan hadirat sekalian. Berdiri saya untuk bercerita, Kisah termaktub dalam Al Quran, Banyak pengajaran kepada kita, Kisah Ashabul Ukhdud mari dengarkan..
Pantun :

Raja yang zalim sedang bertakhta, Angkuh dan sombong mengaku tuhan, Ahli sihir bertindak duta, Pemberi nasihat semua urusan.. Kawan-kawan, Pada zaman dahulu, ada sebuah negeri yang di perintah oleh seorang raja yag beragama Yahudi dan sangat zalim. Baginda mempunyai seorang ahli sihir yang menjadi pembantu kepada baginda. Suatu hari, ahli sihir telah berkata kepada raja: Ampun tuanku, kini patik sudah tua, dan mungkin telah dekat ajal patik, kerana itu tuanku bawakanlah seorang budak yang dapat patik ajarkan ilmu sihir patik kepadanya", kata ahli sihir tua itu. Semua kehendak raja turuti, Seorang budak langsung dicari, Agar bersedia sebagai pengganti, Ilmu sihir mulai diajari..
Nada Nasyid Sepohon Kayu:

Sering terlewat balik dan tiba, Terima hukuman selalu didera, Rupanya berguru kepada pendeta, Setiap hari mengajar agama..

Kawan-kawan, Raja yang zalim itu segera mendapatkan seorang budak, untuk diajarkan ilmu sihir kepadanya. Namun, dalam diam-diam, rupanya budak itu juga menuntut ilmu agama daripada seorang pendeta. Setiap hari dia singgah di rumah pendeta itu, menyebabkan dia sering dipukul oleh ahli sihir kerana lewat sampai, dan dipukul pula oleh ibunya kerana lewat pulang. Pendeta merasa kasihan kepada budak itu, lalu mengajarkan suatu helah kepadanya. Wahai anak kecil, sekiranya ahli sihir bertanya kenapa engkau lewat sampai,

maka beritahulah dia bahawa ibumu menahanmu. Dan jika ibumu pula yang bertanya kenapa engkau lewat pulang, maka jawablah bahawa ahli sihir menahanmu di rumahnya, kata rahib itu. Maka budak itu pun mengikut nasihat pendeta tersebut, dan selamatlah ia dari pukulan ibunya dan juga ahli sihir tua itu, serta dapatlah ia belajar ilmu agama daripada pendeta itu. Tibalah detik sampailah ketika, Untuk menguji ilmu di dada, Adakah sihir atau agama, Yang lebih benar di sisi Yang Esa..

Syair :

Kawan-kawan sekalian, Pada suatu hari, ketika dalam perjalanan, budak itu telah terserempak dengan seekor binatang buas yang sangat garang. Malah membuatkan seluruh penduduk di situ tidak berani melalui kawasan tersebut. Maka berkatalah budak itu dalam hatinya: Sekarang aku akan mengetahui, mana yang lebih baik di sisi Allah apakah ajaran pendeta atau ajaran ahli sihir itu". Maka diambilnya sebiji batu dan berdoa "Ya Allah, jika ajaran pendeta itu lebih baik di sisiMu, maka bunuhlah binatang itu supaya orang ramai dapat lalu lalang di tempat ini". Lalu dilemparkanlah batu itu, dan dengan serta-merta membunuh binatang itu. Kejadian itu pun dikhabarkan kepada rahib. Lalu rahib berpesan kepada budak itu, katanya: Wahai anak kecil, engkau telah mencapai darjat yang tinggi. Ingatlah pesanku ini. Tidak lama lagi engkau akan menerima ujian, maka pada ketika itu, jangan sekli-kali engkau menyebut namaku. Maka selepas itu, budak itu telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan beberapa kelebihan iaitu boleh menyembuhkan penglihatan orang buta dan penyakit kusta, serta pelbagai jenis penyakit yang lain. Kawan-kawan sekalian, Berita tentang kehebatan budak ini, akhirnya sampai juga ke pengetahuan raja. Maka raja memerintahkan agar budak itu dibawa menghadap dengan segera. Apabila budak itu telah sampai di istana, raja pun berkata, "Hai anak! hebat sungguh sihirmu sehingga dapat menyebuhkan orang buta, sopak dan berbagai macam penyakit" Jawab budak itu "Sesungguhnya patik tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun, hanya semata-mata Allah yang menyembuhkan". Raja itu pun bertanya "Adakah beta?" "Tidak" jawab budak itu. Raja bertanya lagi "Apakah engkau ada tuhan lain selain beta?" Jawab budak itu "Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah".

Kawan-kawan, Raja sangat murka dengan jawapan budak itu. Lalu, memerintahkan para pengawalnya supaya membunuh budak itu. Namun dengan kuasa Allah, orangorang suruhan raja itu pula yang mati. Pendek kata, semua rancangan raja untuk membunuh budak itu tidak berjaya. Lalu berkatalah budak itu kepada raja, "Jika tuanku hendak membunuh patik, tuanku mestilah kumpulkan semua orang di suatu lapangan, dan gantungkanlah patik di atas tiang. Kemudian bacalah: (Dengan nama Allah, Tuhan kepada budak ini). Lalu tuanku panahlah tepat ke jantung patik dengan anak panah milik patik ini. Itulah satu-satunya cara untuk membunuh patik, jelas budak itu. Kawan-kawan, Setelah semua usul budak itu dilaksanakan oleh raja, maka barulah budak itu berjaya dibunuh. Namun, suatu hal yang tidak disangka oleh raja telah berlaku. Semua yang hadir tiba-tiba berkata: Kami beriman kepada Tuhan budak itu". Maka berimanlah sekalian penduduk negeri itu kepada Allah s.w.t. Raja pun menjadi semakin murka. Raja memerintahkan supaya digali parit yang panjang di sepanjang jalan kemudian dinyalakan api di dalam parit tersebut. Selepas itu, semua orang dikumpulkan untuk ditanya tentang agamanya. Jika orang itu setia bertuhan kepada raja itu, maka dia dilepaskan, tetapi jika ia beriman kepada Tuhan budak itu iaitu Allah, maka dia akan dihumban ke dalam parit yang berapi itu. Kawan-kawan, Demikianlah kisah Ashabul Ukhdud yang dipetik daripada surah Al-Buruuj ayat : 4 dan 5 yang berbunyi: Maksudnya: Celakalah orang-orang yang menggali parit, (parit) berapi yang mengandungi bahan bakaran. Wahai kawan-kawan, jauhkanlah kezaliman, Nada lagu Kalau Berpacaran: hindarilah sihir, ilmu hitam perbuatan syaitan, teguhkanlah hati pada Allah kita beriman, agar hidup kita di dunia dapat keberkatan.