Anda di halaman 1dari 2

AURAT WANITA

(Yang kita kata atau yang ada dalam Al Quran)


Bila kita bicara mengenai aurat, kita tahu aurat tu kena tutup. Kita pun tahu
aurat tu meliputi seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan (mazhab
Shafie). Kita semua tahu tak tutup aurat berdosa. Kita semua tahu tak tutup aurat
hari-hari maknanya hari-harilah kita berdosa. Dan kita semua tahu kalau dah banyak
dosa mestilah masuk neraka. Ha! Neraka! Astaghfirulahala'zim. Kita tahu neraka tu
tempat yang dasyat. Kita tahu kita tak mampu menahan azab siksa neraka. Kita tahu
kita ni tak banyak amalan yang lain. Pendek kata memang kita tahu semua tu, tu,
tu, tu dan macam-macam tu. So, sebab kita takut berdosa, kita takut masuk neraka,
kita pun tutuplah aurat (kita yang kata...). Kita pakai T-shirt lengan panjang
dengan kain , atau pakai baju kurung, lepas tu pakai tudung. Kita pun ucap
Alhamdulillah...(ucap Syukur pada Allah tu baguslah!) sebab kita kata kita dah
tutup aurat (kita yang kata...). Kadang-kadang kita pakai T-shirt atau kemeja
dengan seluar panjang, sebab nak ringkas... yang penting pakai tudung supaya tutup
aurat.. takut dosa! (kita yang kata). Pakai tudung pulak warnanya mestilah kena
dengan baju.. tudung ikut trend, pakai tudung ada corak bunga-bunga. Pakai tudung
pun ada 'style'... dengan keronsang yang berkilau. Tak pe, yang penting tutup
aurat (kita yang kata....)
Tapi, kenapa ada golongan yang pakai tudung labuh pulak. Ooo... sebab dia baik
sikit atau alim sikit (kita yang kata...). "Aku belum boleh pakai tudung labuh
sebab aku ni jahat sikit, kah kah..." aik! Mengaku jahat pun boleh ketawa. Lepas
tu ada pulak golongan yang pakai jubah dengan tudung labuh tu. Itulah org yang
tinggi ilmu agamanya (kita yang kata....) Pendek kata, memang semuanya kita yang
kata. Kata-kata kita pun memang pendek-pendek belaka. Sebab kita guna akal yg
pendek. Bila tanya, sekolah agama sampai darjah khas. Tapi, hukum agama main ikut
kata sendiri. Islam yang kita lihat sana-sini, penampilan dan keperibadian
ditafsirkan mengikut pendapat kita sendiri.... sebab kita yang kata. Tak
terfikirkah kita kalau apa yang kita kata tu tak betul. Takut tak dengan azab
kubur dan siksa neraka? Eeee... takut! Memang takut. Tapi, tak terfikir ke kita
kalau tersilap kata... akhirnya kita boleh masuk neraka. Berdasarkan hadis
Rasullullah SAW, "Ramai yang masuk neraka hanya kerana hasil ucapannya sendiri"
Saudari para muslimat yang dihormati, sebenarnya Islam tidak pernah
mengkategorikan pakaian menutup aurat mengikut tahap kealiman seseorang. Tiada
kategori yang menentukan pakaian itu samaada orang yang jahil agama atau tinggi
agama. Ketahuilah bahawa hanya ada satu garis panduan sebagai perintah menutup
aurat kepada kaum wanita muslimat. Iaitu menutup aurat mengikut syariat Islam
seperti yang tersebut dalam Surah An-Nur ayat 30-31.
Setiap kaum wanita muslimat itu wajib menutup aurat mengikut syariat Islam. Ini
jelas menunjukkan bahawa kita tidak perlu tunggu sehingga tinggi ilmu agama atau
alim baru nak tutup aurat. Hari ni kita masuk Islam, maka hari ni lah kita kena
tutup aurat.
Macam mana pakaian tutup aurat tu? Pakaian menutup aurat mestilah menepati konsep
dan ciri-cirinya seperti mana yang disarankan oleh Nabi Junjungan SAW. Yang
dikatakan telah menutup aurat ialah apabila kita telah menutup seluruh tubuh badan
serta perhiasan yang ada pada diri kita samaada perhiasan semulajadi atau tidak.
Dengan erti kata yang lain, bila kita pakai pakaian menutup aurat, janganlah pula
pakaian tu ada unsur-unsur perhiasan. Untuk memudahkan bicara, kita sebut pakaian
tutup aurat tu sebagai hijab.
Hijab adalah wajib ke atas wanita Islam seperti mana wajibnya solat dan puasa.
Jika seseorang muslimat tidak memakainya atau mengingkari kewajipannya maka
jatuhlah Islamnya dan menjadi murtad. Sebaliknya jika ia tidak memakai tetapi
mengakui wajibnya berhijab (tidak mengingkari) cuma tak pakai sebab ikut trend
semasa dan sebagainya, maka dia adalah 'aasiah' (derhaka) terhadap perintah Allah
SWT yang menyuruh dia berhijab seperti yang tersebut di dalam ayat 59 surah Al
Ahzab. Oleh yang demikian wahai para muslimat, patuhilah perintahNya atau adakah
anda ingin termasuk golongan murtad atau penderhaka kepada Khaliq (pencipta)?
Saudari para muslimat yang dihormati, selagi pakaian kita tidak menepati ciri-ciri
'hijab', selagi itulah kita belum menutup aurat. Tiada istilah 'dah tutup aurat
tapi tak lengkap atau tutup aurat lengkap'. Istilah yang wujud hanyalah ' tutup
aurat atau buka aurat'. Dan jika memakai seluar panjang atau baju kurung sutera
dengan warna-warni serta corak bunga yang indah berserta tudung atau selendang
yang juga 'indah' itu telah menutup aurat, maka mengapa ada wanita lain yang
memakai jubah yang luas serta tudung labuh. Apakah mereka ini alim atau tinggi
ilmu agama? Apakah orang lain yang tidak alim maka tidak layak memakai pakaian
jubah yang luas? Sedangkan yang menentukan tahap kealiman seseorang itu hanya
Allah SWT. Orang yang beribadat bertahun-tahun pun belum tentu masuk syurga. Ini
jelas menunjukkan bahawa kita sebenarnya tidak tahu bagaimana Allah menilai para
hambanya. Yang kita dapat lakukan ialah meningkatkan ilmu agama dari masa ke
semasa dan berusaha sedaya mungkin (tanpa jemu) untuk mencari keredhaan Allah.
Saudari para muslimat yang dihormati, buangkanlah salah faham yang ada dalam diri
kita. Buangkan jauh-jauh dan tuntutlah ilmu. Bukan kita atau mereka (sape-sape je)
yang mentukan seseorang itu alim atau tidak. Menutup aurat yakni memakai hijab
itu wajib, kita tak perlu tunggu 'ilmu agama' kita tinggi atau 'alim' baru nak
pakai hijab. Menuntut ilmu dari masa ke semasa. Ilmu Allah Maha luas. Sesuai
dengan tuntutanNya bahawa menuntut ilmu itu wajib dan sesuai dengan hadis
Rasulullah yang menyuruh kita menuntut ilmu walau sampai ke negeri China. Bila
kita dah menutup aurat (berhijab), janganlah pula 'over confident', yang kita cari
ialah keredhaan Allah. Bukannya status 'alim' pada pandangan manusia. Hendaklah
kita sentiasa berhati-hati mengawal pergerakan hati kita jangan sampai 'riak' atau
takbur. Nawaitu (niat) kita perlu dijaga dengan penuh waspada dan merendah diri
sesuai dengan status kita sebagai hambaNya.
Apabila kita melihat seorang muslimat itu telah berhijab, bermakna dia telah
melaksanakan salah satu daripada tanggungjawabnya. Maka jika kita dapati dia
melakukan 'kesilapan' yakni perbuatan mungkar. Jangan sekali-kali kita mengaitkan
perbuatan mungkar muslimat tadi dengan pakaian hijabnya. Jangan pandang mereka
ibarat kain putih yang mana tercalit sedikit... kita terus menganggap kain itu
kotor. Sedangkan jika kita fikir menggunakan akal bijak, kain putih itu masih
boleh dibersihkan dan kembali putih dan suci seperti sedia kala. Sama seperti
seorang wanita yang berhijab, mereka belum tentu alim. Mereka memakai hijab kerana
kewajipan. Maka, apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan mungkar samaada
sengaja atau tidak, hendaklah kita menegur dengan cara yang paling baik. Sampaikan
pada nya bahawa apa yang dilakukan itu adalah perbuatan mungkar. Samaada dia
berdosa atau tidak, Allahualam. Kewajipan kita menegur... kerana tiada manusia
yang 'perfect' dalam dunia ni. Jangan mudah mencari kesalahan orang lain.
Sebaliknya tuntutlah ilmu supaya kita tidak taksub dalam beramal atau terburu-
terburu mempertikaikan amalan orang lain.
Semoga segala isi perbincangan yang dihuraikan dapat membantu umat Islam sama ada
muslimin ataupun muslimat memahami hakikat sebenar. Dengan keberkatan dan
keredhaan Allah SWT, apabila kita menjaga aurat sepertimana yang telah
disyariatkanNya, semoga kita terpelihara daripada sebarang fitnah dan bala yang
boleh merosakkan diri dan umat Islam. Amin.
'Jangan malu untuk beribadat dan jangan pula riak ketika melakukan amal ibadat'