Anda di halaman 1dari 3

Industri desa sememangnya tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai potensi

yang begitu besar dan penghasilannya juga dapat membantu dalam


meningkatkan ekonomi penduduk dan negara ini. Ulaskan pernyataan tersebut
dan jelaskan cara-cara memajukan industri desa.

Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya
untuk menjana ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa
industri desa yang juga mampu meningkatkan ekonomi negara semakin
dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan
dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri desa
merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa
yang masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek
moyang mereka.

Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu
industri yang berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar
tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa
bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka. Mereka
hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya
mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman
diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika industri desa
ini dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf
kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan kerana di mana ada gula, di situ ada
semut. Selain itu, indusri desa yang kaya dengan budaya Malaysia yang tak lekang
dek panas, tak lapuk dek hujan juga dapat membantu dalam usaha menarik
pelancong asing berkunjung ke negara kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ


ada jalannya. Industri desa di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika
pihak kerajaan dan pihak yang terlibat mengambil inisiatif untuk
mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan bantuan
kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan
pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu
melalui suntikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industri
ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan pendapatan negara
kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf industri desa sebagai satu industri
yang mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Industri ini
dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika
kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar kepada industri ini.

Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus
digantikan dengan konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah
diibaratkan enau di dalam belukar melapaskan pucuk masing-masing. Mereka
mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil industri desa dengan harga
yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri desa
haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi
menghidupkan industri desa ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh
anak-anak kampung yang berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti
kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk
mencari nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan berperanan penting
dalam usaha menggalakkan generasi muda masa ini untuk menceburi industri desa
supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia dan Malaysia
mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu
pengetahuan serta kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan
Thailand yang banyak menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Negara kita
haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang maju dalam industri desa
dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam bidang ini
untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita. Selain itu,kita
harus pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan
kejayaan negara-negara lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk
menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah
ditransformasi kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada
jenis penghasilan produk yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan
mengagumkan para pembeli. JIka usaha memajukan industri desa dilakukan secara
sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti
industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta
untuk memaksimumkan hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh
bergantung sepenuhnya pada pihak kerajaan untuk menghidupkan industri desa
kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kedua-dua pihak ini
haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk tradisional secara
komersial kepada dunia luar. Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan kepada
pengusaha industri desa supaya produk industri desa seperti kraf tangan yang
dihasilkan lebih berkualiti. Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya akan
mendapat sambutan yang baik daripada para pembeli di negara kita mahupun
pembeli dari negara asing. Penggunaan mesin juga dapat mempercepat proses
pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti barangan industri desa yang
dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada pembeli
ataupun para pengusaha secara berterusan.

Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baharu kepada


masyarakat luar bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita
negara. Oleh itu, pihak yang terbabit harus sentiasa memastikan bahawa penduduk
di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan kemudahan yang secukupnya untuk
meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri ini juga harus melakukan
anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri desa di negara
kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama
Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!