Kebajikan warga tua sentiasa menjadi isu yang hangat diperbualkan oleh ahli
masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat madani di negara kita tidak
pernah diajar menjadi seperti kacang lupakan kulitnya. Oleh hal yang demikian,
warga tua yang berkeluarga mahupun tidak berpunya apa-apa lagi menjadi
permata hati pelbagai pihak termasuk kerajaan badan bukan kerajaan. Hari warga
tua kala ini menjadi lebih bererti apabila pelbagai pihak dalam masyarakat hari ini
sanggup memainkan peranan penting untuk membantu warga tua menjalani
kehidupan haria yang lebih bermakna sementara menanti panggilan Ilahi.
Pihak kerajaan Malaysia sentiasa meletakkan warga tua di tahap yang tinggi
acap kali belanjawan negara dibentangkan di Parlimen. Perdana Menteri,
merangkap portfolio Menteri Kewangan telah membentangkan peruntukan yang
"bahagia" sekali gus memberikan keceriaan kepada golongan tua. Elaun sara hidup
warga emas telah dipertingkatkan seiring kenaikan harga barangan keperluan.
Pengumuman ini membawa seribu harapan dan jutaan ukiran senyuman di bibir
warga tua. Oleh sebab itu, warga tua dapat melangsungkan sisa-sisa hidup dengan
lebih bermakna dan gembira.
Akhirnya , setiap daripada kita berpeluang melalui hidup pada usia lanjut.
Mahukah kita melihat warga tua hidup merempat di lorong-lorong kemiskinan? Oleh
hal yang demikian, pendidikan mengapresiasi warga tua haruslah dimulakan sejak
kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan semangat ingin
membantu dan meringankan beban kehidupan warga emas, setiap daripada kita
mampu mengubah kehidupan mereka daripada duka menjadi suka. Sebagai
penutup bicara, ingatlah bahawa hari ini hari mereka, esok hari kita.