Anda di halaman 1dari 6

Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Johor Bahru dan Singapura.

Pada awal cuti sekolah akhir tahun 2011 yang lalu, pelajar Tingkatan 5 Bukhari, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian tealah mengadakan lawatan sambil belajar ke Johor Bahru dan Singapura. Lawatan yang dianjurkan pada hari Sabtu, bermula dari 19 hingga 22 November 2011 terdiri daripada 30 orang termasuk guru pengiring. Rombongan lawatan ini diketuai oleh Pn. Norwahidah Bt. Sarlan.

Objektif lawatan tersebut adalah bagi menambahkan pengetahuan serta mengutip pengalaman di negara orang iaitu Singapura yang terkenal dengan kebersihan persekitarannya.

Sabtu, 19 November 2011 Bas bertolak dari perkarangan sekolah pada pukul 8.00 pagi. Kami berdoa semoga perjalanan kami berjalan dengan lancer dan selamat tanpa sebarang kesulitan. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kesesakan lalu lintas yang ditempuhi dengan sabar. Kebanyakan pelajar hanya tidur sepanjang perjalanan. Kami ada berhenti di beberapa kawasan berhenti rehat dan rawat (R&R) untuk solat dan mengisi perut. Akhirnya sampai jua ke destinasi pertama iaitu Hotel Rasa Sayang untuk mendaftar masuk pada pukul 6.00 petang. Selepas diberi kunci bilik masing-masing, semua beredar ke bilik-bilik yang ditetapkan. Selanjutnya, kami bersiap-siap selepas selesai solat Maghrib di dalam bilik untuk keluar makan di sekitar hotel. Gerai makan yang hendak ditujui hanya mengambil masa selama 10 minit sahaja untuk sampai, maka, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja ke gerai makan tersebut. Setelah selesai menjamu selera, kami berjalan kaki ke City Square Mall untuk menukar Ringgit Malaysia kepada Dollar Singapura. Setelah urusan penukaran wang selesai, kami pun pulang ke hotel untuk tidur dan membuat persiapan untuk keesokan harinya.

Ahad, 20 November 2011 Setelah bersarapan, pada pukul 9.00 pagi kami bertolak ke imigresen Johor Bahru untuk meneruskan perjalanan kami ke Singapura. Keadaan di imigresen amat kelam-kabut dengan bilangan manusianya yang ramai. Ada yang berlari-lari anak, yang berlumba-lumba untuk sampai ke kaunter masuk pun ada. Bagi kami amat melucukan tapi cikgu sudah pesan dari awal bahawa kami pun perlu bergerak pantas seperti mereka kerana jalan cepat merupakan budaya masyarakat negara maju seperti Singapura. Pemeriksaan pasport kami tidak mengambil masa yang lama. Selepas pemeriksaan selesai, kami merentasi Tambat Johor yang menjadi jambatan penyambung antara Malaysia dengan Singapura. Masa yang diambil untuk merentasi jambatan tersebut hanya dalam 20 minit sahaja. Kami sampai di imigresen Changi dalam pukul 9.50 pagi. Ketika pemeriksaan pasport kami di imigresen Singapura, terdapat sedikit konflik yang timbul kerana mengikut apa yang dikata oleh pegawai imigresen yang memeriksa, pasport kami tidak dicop oleh imigresen Malaysia. Disebabkan masalah tersebut, kami terkandas di kaunter tersebut hampir 30 minit sementara menunggu pengesahan daripada pihak imigresen Malaysia. Setelah masalah selesai, kami diminta membuat pertukaran bas daripada bas sekolah kepada bas yang disewa di Singapura. Selanjutnya, destinasi pertama kami ialah Pasar Geylang. Perjalanan yang mengambil masa hanya 15 minit berjalan dengan lancar. Pasar Geylang tersebut umpama pasar tani di negara kita cuma keistimewaan pasar Geylang ialah pasar tersebut dijalankan dalam bangunan 2 tingkat manakala pasar tani diadakan di dataran. Tingkat bawah merupakan pasar basah yang menjual makanan laut, daging serta keperluan harian manakala tingkat atas terdapat kedai-kedai menjual pakaian, barang perhiasan serta medan selera untuk pengunjung. Seterusnya, kami pergi ke mercu tanda Sinagpura iaitu patung singa yang diberi nama Merlion. Kami meluangkan masa di sana dalam 40 minit untuk menangkap beberapa keping foto bersama rakan-rakan dan guru-guru sebagai kenangan. Memang tidak dapat disangkal akan kebersihan bandar Singapura seperti yang dikhabarkan oleh orang ramai. Dari Merlion kami dapat melihat bangunan Marina Bay Sand yang gah yang menempatkan pusat membeli-belah barangan berjenama dan hotel 2

penginapan mewah. Terdapat sebuah taman landskap di tingkat paling atas bangunan tersebut. Selain itu, kami dapat melihat bangunan-bangunan pencakar langit yang unik yang wujud di Singapura dari tempat kami berada. Cuaca di Singapura lebih panas jika dibandingkan dengan Malaysia. Mungkin disebabkan banyaknya pembangunan konkrit, pengurangan tumbuhan hijau. Selepas itu, kami bertolak ke Arab Street untuk membeli sedikit cenderamata seperti baju, kraf tangan dan penyangkut kunci untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Apabila azan Zuhur sudah berkumandang, maka kami pun turut tunaikan dari masjid yang terdekat iaitu Masjid Sultan. Tarikan yang terdapat pada masjid tersebut ialah orang bukan Islam boleh masuk dengan syarat mereka perlu memakai pakaian khas yang menutup aurat yang telah disediakan oleh pihak masjid. Tambahan pula, rekaan dalaman masjid amat cantik dengan ukiran, karpet serta lampu-lampu yang harmoni warnanya. Hidangan makanan tengah hari kami telah ditempah oleh cikgu maka kami hanya makan dalam kawasan masjid. Setelah selesai solat dan makan, kami meneruskan lawatan kami ke Pulau Sentosa yang memakan masa 45 minit untuk sampai ke destinasi. Di dalam Pulau Sentosa terdapat pelbagai taman rekreasi yang dibahagikan kepada lima stesen. Setiap stesen ada bayaran tiket yang dikenakan. Disebabkan bayarannya terlalu mahal, maka kami hanya jalan-jalan di luar stesen sahaja. Keadaan yang terlalu sesak dan hujan menyebabkan kami meluangkan masa yang singkat sahaja di situ tetapi kami sempat melihat burung merak. Selanjutnya, kami kembali ke imigresen dan meneruskan perjalanan pulang ke hotel untuk berehat. Pada malam harinya, kami pergi makan di Medan Selera Larkin berdekatan dengan Stesen Bas Larkin dan pulang ke hotel untuk tidur.

Isnin, 21 November 2011 Setelah bersarapan di sekitar hotel, kami teruskan aktiviti lawatan kami ke UTM Skudai yang terkenal dengan jurusan kejuruteraan itu pada pukul 8.00 pagi. Setelah sampai, kami disuruh masuk ke dalam bangunan empat tingkat perpustakaan universiti tersebut. Tingkat satu 4

merupakan ruang bacaan yang menempatkan buku-buku bukan ilmiah, tingkat dua pula merupakan ruang akses untuk penuntut-penuntut manakala tingkat tiga dan empat menempatkan bahan-bahan ilmiah yang disusun dalam rak-rak buku dengan kemas. Selepas meronda seluruh kawasan perpustakaan kami diberikan setiap seorang sedikit cenderahati oleh pihak universiti. Seterusnya kami pergi ke Muzium Johor tetapi berpatah balik dengan perasaan kecewa kerana muzium tersebut sedang menjalankan penambahbaikan. Jika kami tidak dapat melawat muzium, maka taman bunga pun terpaksa dibatalkan kerana taman bunga terletak dalam kawasan muzium. Oleh itu, kami pun bercadang untuk menukar destinasi kami ke Plaza Angsana yang merupakan pusat perniagaan orang Melayu terbanyak. Selepas itu, kami pergi ke pusat membeli-belah bebas cukai, The Zone. Terdapat pelbagai jenis pakaian yang berkualiti dan minyak wangi berjenama yang dijual di kedua-dua pusat membeli-belah tersebut dengan harga yang berpatutan. Setelah membeli sedikit barang kami pun meneruskan perjalanan dan berhenti di sebuah surau untuk menunaikan solat. Selepas itu, kami pun bertolak pulang ke hotel. Kami makan malam di Danga Bay. Selasa, 22 November 2011 Pada hari terakhir, selepas bersarapan dan mengemas barangan keperluan, kami pun mendaftar keluar dari hotel pada pukul 9.00 pagi dan meneruskan perjalanan ke Ayer Hitam untuk melihat cara pembuatan tembikar. Setelah sampai, kami pun melihat pelbagai jenis, bentuk dan warna tembikar yang dihasilkan untuk dijual di pasaran. Bukan sekadar tembikar, pelbagai jenis kerepek serta bantal turut dijual dengan harga yang berpatutan. Kebanyakan pelajar perempuan membeli bantal dan kerepek sebagai buah tangan. Selepas itu, kami turut makan tengah hari di gerai makan yang berdekatan. Ketika perjalanan pulang, kami berasa amat bosan. Kemudian, pemandu bas memasang beberapa filem untuk menghilangkan rasa bosan. Kami berhenti di R&R Dengkil dan R&R Sungai Perak untuk menunaikan solat dan mengisi perut. Setelah menempuh sembilan jam perjalanan, akhirnya kami tiba di sekolah pada pukul 9.30 malam. Maka berakhirlah lawatan sambil belajar kami yang berjalan dengan lancar dan para pelajar kembali ke rumah masing-masing dengan selamat. Konklusinya, lawatan sambil belajar yang telah diadakan telah menambahkan rasa tanggungjawab dalam diri kami agar menjaga kebersihan alam sekitar supaya imej negara kita dipandang tinggi. Maka, tidak hairanlah Singapura lebih dikenali berbanding Malaysia. Selain itu, kami juga dapat merasai pengalaman sebagai mahasiswa di universiti. Walaupun kami melalui sebuah perjalanan yang memenatkan, tetapi kami masih berasa gembira kerana pelbagai kenangan telah terbina dalam lawatan ini. Semoga kami dapat meluangkan waktu dalam hari-hari yang mendatang. Dengan ini, diselitkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat bagi menjayakan lawatan kami ini. Disediakan oleh, NASYRAH (NURNASYRAH BT. ABD. GHAFUR) Setiausaha 5 Bukhari 2011, SMKA Kerian, Semanggol, Perak. 5 6 Disember 2011

Anda mungkin juga menyukai