Di Burma, sistem feudal yang wujud merupakan kesan daripada kebergantungan raja kepada golongan pembesar terutama Myowun (gabenor) dan Myosa (pembesar wilayah). Di ibu negeri terdapat empat orang Myowun yang mengendalikan hal ehwak tempatan, setiap orang mentadbir sebuah daerah di ibu negeri tersebut. Myowun yang berada di luar ibu negeri menjalankan kuasa atas dasar feudal iaitu mereka mempunyai kuasa besar memungut cukai sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada hasil tahunan rakyat. Sebahagiannya dihantar kepada raja di pusat dan sebahagiannya disimpan untuk kegunaan sendiri. Masyarakat Vietnam pula masih berpegang kepada sistem tradisi. Sistem pemerintahan di bawah Maharaja Gia Long dan selepasnya adalah bercorak birokratik yang berasaskan hierarki Mandarin. Negara dibahagikan kepada tiga wilayah iaitu Annam, Tongking dan Cochin-China. Wilayah Annam terletak di bawah kuasa raja manakala dua wilayah lagi dikuasai oleh wizurai yang mempunyai kuasa yang sangat besar. Wilayah-wilayah ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil termasuk provinci, phu, huyen, tong, kemun di mana setiap bahagian di tadbir oleh seorang pembesar. Pembahagian ini menyebabkan kerajaan pusat kurang memberi perhatian dan menyebabkan para pembesar mengukuhkan kedudukan masingmasing. Walaupun raja adalah berkuasa mutlak, namun dalam keadaan sebenarnya, pembesar Mandarin yang menjalankan sistem sosial dan pemerintahan Vietnam. Sistem feudal di Asia Selatan pula telah diamalkan lebih kurang pada abad ke-4 sebelum Masihi. Sistem ini telah dilakukan oleh kerajaan Maurya yang turut menjadikan tanah sebagai elemen utama iaitu tuan tanah mempunyai hak yang lebih besar berbanding petani. Dalam sistem feudal di Asia Selatan, golongan keagamaan atau Brahmin turut terlibat. Brahmin merupakan pemilik tanah terutama geran-geran yang diberikan oleh pihak-pihak berkuasa sebagai satu keistimewaan terhadap golongan ini dan untuk menjaga status mereka di kalangan masyarakat. Mereka mempunyai kuasa autonomi yang besar pada tanah-tanah yang mereka miliki. Secara langsung, sistem feudal di Asia Selatan yang terus berlangsung sehingga pasca-kemerdekaan memperlihatkan satu keterikatan yang sangat kuat antara pihak berkuasa, bangsawan dan pemerintah tempatan, golongan agama dan petani yang menduduki atau menyewa tanah. Pada zaman kemuncak sistem feudal, iaitu sebelum kuasa Barat muncul pihak pemerintah yang terdiri daripada golongan raja merupakan pihak yang diberi seluruh taat setia mereka. Kelangsungan ini dapat dilihat di mana muncul ratusan raja-raja kecil yang menguasai wilayahwilayah tertentu di Benua Kecil India. Kedatangan British pada tahun 1947 tidak mampu menguasai seluruh benua itu, dan masih terdapat raja-raja yang masih bebas. Raja-raja ini mempunyai pembesar-pembesar daerah atau digelar Nayaka yang bertanggungjawab
menyediakan segala keperluan raja, mengutip cukai dan sebagainya. Untuk mempertahankan kedudukan raja, mereka telah menubuhkan pasukan ketenteraan yang terdiri daripada rakyat. Sistem feudal juga dijalankan di negara-negara Asia Timur. Di Jepun, sistem feudal dilihat secara jelas iaitu maharaja mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas segala aspek di bawah pemerintahannya termasuk tanah. Misalnya, pada zaman Kamakura antara abad ke-12 dan 14, keluarga Minamoto menjadi keluarga yang penting di Jepun. Selain itu, sistem feudal ini dapat tumbuh subur kerana tumbuhnya estet-estet persendirian yang dikenali sebagai syo atau syoen. Pertumbuhan estet-estet ini telah dipercepatkan oleh kemerosotan golongan aristokrat dan kebangkitan kelas perwira (buke). Di Jepun, sistem feudal telah menyebabkan satu corak tertentu dapat dilihat di mana telah melahirkan dua golongan yang saling bergantung antara satu sama lain, iaitu golongan tuan-tuan tanah dan daimyo yang bertanggungjawab menyumbangkan sebahagian daripada hasil tanah kepada maharaja. Golongan daimyo mempunyai hubungan yang kuat dengan petani dan tentera, tetapi golongan maharaja tidak banyak peranan. Kemunculan golongan tentera khusus (profesional) sebagaimana di Jepun begitu berpengaruh dalam menentukan hala tuju pemerintahan. Golongan daimyo merupakan kelompok yang sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya mengalahkan kuasa maharaja. Golongan tentera mempunyai kebolehan yang besar dalam peperangan dan digunakan oleh golongan bangsawan untuk mempertahankan hak milik mereka atau menjaga keselamatan tuan-tuan mereka. Kekuatan daimyo ini menjadi tulang belakang kebangkitan daimyo sehingga maharaja tidak ada peranan. Secara ringkasnya, sistem feudal di Asia Tenggara dan Asia Timur mempunyai persamaan daripada beberapa segi iaitu raja atau maharaja memerintah hanya pada teorinya sahaja sementara kuasa sebenar banyak ditentukan oleh pembesar-pembesar. Pembesar-pembesar ini juga mempunyai gelaran yang berbeza mengikut kekayaan dan kedudukan. Golongan pembesar ini biasanya adalah golongan pemerintah. Selain itu, kerajaan terbahagi kepada dua iaitu kerajaan pusat dan wilayah di bawah kekuasaan pembesar. Tanah juga menjadi pengikat yang kuat dalam sistem feudal. Kesimpulannya, abad ke-19 dan 20 memperlihatkan satu perkembangan menarik dalam sejarah sistem feudal di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur. Sejak sekian lama, ketigatiga rantau ini telah melaksanakan dan menerima sistem feudal sebagai sistem sosial mereka. Peranan pembesar wilayah mempunyai pengaruh yang sangat besar meskipun meletakkan raja atau maharaja sebagai kuasa tertinggi.