Anda di halaman 1dari 7

CIKGU OH CIKGU

Hasil Karya: Juliana bt Razid Disenarai Pada: 09 June, 2004

Lagu 'Sephia' nyanyian Sheila On 7 berkumandang di radio ERA pada petang itu. Lina yang sedang asyik membaca majalah REMAJA terhenti bacaannya. Dia segera bangun untuk menguatkan suara radio. Ketika dia ingin baring semula di kerusi panjang, Lina terpandang akan ibunya yang baru balik dari pekan. Segera disambutnya barang-barang yang dibawa oleh Puan Zaleha lalu diletakkan berhampiran meja kecil di situ sebelum dia menghilangkan diri ke dapur. Puan Zaleha duduk melepaskan lelah. Peluh yang mengalir di dahinya dikesat dengan selendang yang baru dibuka. Lina muncul semula dengan menatang dua biji gelas berisi air oren. "Kak Long mana mak?" Lina mencapai kembali majalah kesayangannya itu.

"Dalam bilik..menyalin pakaian agaknya." Balas Puan Zaleha. Gelas air dicapainya. Lega rasanya bila air oren yang sejuk itu membasahi tekak.

"Lina, mak nak cakap sikit," Puan Zaleha memecahkan kesunyian. Lina segera berpaling ke arah ibunya. Radio kecil yang terletak di atas televisyen dimatikan.

"Ada apa mak?" Wajah ibunya ditatap dengan penuh kasih sayang.

"Begini Lina.., sudah dua minggu lebih kamu berada di rumah ini. Sementara menunggu keputusan peperiksaan akhir dan mendapat tawaran kerja, elok rasanya kamu bekerja mencari pengalaman. Mak bukannya apa, kalau kamu asyik duduk di rumah, buang masa pula. Apa kata kalau kamu memohon jawatan sebagai guru sandaran di sekolah di kampung ini. Boleh juga kamu berbakti kepada anak-anak kampung." Penuh diplomasi suara Puan Zaleha ketika mengemukakan cadangan.

"Apa? Jadi cikgu?????? Eeeeiiii, tak sangguplah mak. Leceh!!"

Puan Zaleha ketawa kecil melihat mimik muka Lina. Beliau yang baru bersara dari jawatan guru 2 tahun yang lalu amat memahami perangai anaknya yang ini. Lina kasar orangnya dan agak panas baran, berbeza benar dengan perangai Liza yang lemah lembut dan penyayang.

"Belum cuba belum tahu Lina. Tengok mak sudah 30 tahun berkhidmat sebagai guru bukannya susah sangat," Puan Zaleha memujuk.

"Iyalah Lina kamu boleh ganti Kak Long. Kak Long dijangka bersalin lagi 2 minggu. Kalau ada masalah, boleh kamu rujuk pada Kak Long. Alaaaah Lina... budak darjah 3, tak susahlah. Lagipun, anak murid Kak Long semuanya baik-baik belaka. Hmmm ajar Bahasa Melayu kacanglah" Liza yang muncul dari biliknya menyampuk perbualan. Perlahan sahaja dia duduk di kerusi sambil menampan perutnya yang membusung. Lina mencebik bibirnya.

"Betul tu Lina esok kamu pergi Pejabat Pendidikan Daerah. Kamu isi borang dan tunggu panggilan temuduga. Mudah saja prosedurnya. Dapat juga duit poket untuk kamu berbelanja," Puan Zaleha menambah.

"Cuba saja Lina. Dua bulan tak lama. Kamu cuma isi masa terluang sementara nak dapat kerja tetap. Eh, jadi cikgu besar pahalanya tau," Liza memberi semangat. Lina memandang wajah penuh harapan kakak dan ibunya. Dia mengangguk lemah

********************************************************** Dada Lina berdebar-debar ketika kereta yang dipandu oleh ayahnya memasuki perkarangan Sekolah Kebangsaan Seri Damai. Perasaannya berbaur. Cemas, takut, gementar, semuanya ada.

"Selamat mengajar," ayah memberi kata semangat sebelum pulang. Adik bongsunya, Asmira yang belajar di tahun 6 menemaninya ke pejabat sekolah sebelum dia ke kelas. Lina melemparkan senyuman kepada setiap kakitangan yang ditemui.

"Kkrrriiiiiiiiiiiiiiggggg"

Loceng sekolah berbunyi. Agak lama juga Lina berurusan di pejabat sekolah. Setelah berjumpa dengan Guru Besar, dia berurusan pula dengan Penolong Kanan. Lina kemudiannya diberi buku ringkasan mengajar dan beberapa keping borang yang perlu diisi oleh kerani. Setelah selesai, Lina segera ke kelas 3 Pintar untuk memulakan pengajaran pertama. "Bangun semua" ketua darjah segera memberikan arahan sebaik sahaja Lina melangkah masuk ke kelas.

"Assalamualaikum cikgu" Lantang suaranya diikuti oleh 34 orang murid kelas 3 Pintar. Bergema seketika kelas itu. Suatu perasaan halus menyelubungi Lina apabila mendengar kalimat "cikgu".

"Duduk semua." Lina meletakkan buku yang dikendongnya di atas meja. Sebuah buku rekod kedatangan murid tersedia di atas meja.

"Murid-murid semua, nama cikgu ialah Norazlina bt Samsudin. Kamu boleh panggil cikgu, Cikgu Lina. Mulai hari ini cikgu akan menggantikan guru kelas kamu, Cikgu Norliza yang cuti bersalin selama 2 bulan." Wajah-wajah comel di hadapannya ditatap.

"Pertama sekali, cikgu nak berkenalan dengan kamu semua. Kita mulakan dengan pelajar yang duduk di tepi tingkap berhampiran pintu. Siapa nama kamu, adik manis?"

Pelajar itu tersipu malu. " Nama saya Siti Aishah, cikgu". Seorang demi seorang pelajar kelas 3 Pintar bangun memperkenalkan diri. Anas, Badrul, Syafiq, Nani, Fazlin, Aimi, Irfan, Safwan, Azizi, Atikah, Salwa, Azwin, Fairus dan bermacam-macam nama lagi yang didengarnya. Ianya mungkin mengambil masa beberapa hari untuk Lina mengingati nama-nama mereka. Sepanjang hari itu Lina hanya berkenalan dengan murid-muridnya. Walaupun baru sehari Lina bersua muka namun suatu perasaan halus muncul dalam dirinya.

******************************************************* Masa berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, sudah hampir satu bulan Lina menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Seri Damai. Pelbagai peristiwa pahit manis yang telah dialaminya. Entah bagaiman, sepanjang tempoh satu bulan itu, belum sekali pun Lina naik angin. Segala masalah yang timbul dapat diatasinya dengan penuh diplomasi. Apa yang pasti, Lina mula mencintai kerjaya barunya.

"Cikgu, Safwan kacau saya," terdengar suara Aishah mengadu.

"Safwan, kalau betul kamu nak mengurat, tunggulah bila dah kerjasekarang ni masa untuk belajar," seloroh Lina. Murid-murid 3 Pintar ketawa geli hati. Safwan dan Aishah tersipu malu.

"Cikgu, Badrul dengan Taufik bergaduh!! Taufik tumbuk Badrul," nyaring sekali suara Azwin melaporkan. Lina mengeluh.

"Taufik, Badrul, mari sini sayang." Keduanya segera ke hadapan kelas. Badrul menahan tangis.

"Hah, kenapa bergaduh? Tak elok gaduh-gaduh ni. Dalam satu kelas, kita mesti bermuafakat. Sudahlah berdamai semula. Senyum ok... salam" dan keduanya berbaik kembali. Sememangnya hati anak-anak ini lembut, mudah menurut kata dan boleh dilentur.

Begitulah antara kenangan mengajar yang tidak dapat dilupakan oleh Lina. Pelbagai peristiwa yang mencabar harus dihadapi setiap hari namun suatu peristiwa itu tidak mungkin dapat dilupainya sampai bila-bila. ************************************************ "Murid-murid, hari ini kita akan belajar mengarang. Tajuk untuk hari ini ialah ' Ibu Saya' atau 'Bapa Saya'. Boleh semua?"

"Bolehhhh cikgu" sambut mereka dengan girang.

"Cikgu, nak tulis apa?" Irfan yang petah bersuara bertanya.

"Emm.kamu boleh tulis nama dia, perkerjaannya, tempat kerja"

"Kalau tulis kegemaran dia boleh tak, cikgu?" Fazlin memotong percakapan Lina.

"Boleh sayang. Kamu boleh tulis apa sahaja pasal ayah atau ibu kamu," lembut suara Lina menerangkan.

"Ok, mulakan sekarang ya, murid-murid". Lina mundar-mandir di dalam kelas bagi meneliti hasil kerja murid-muridnya. Dalam keasyikan mereka mengarang, Lina terpandang akan Salwa yang masih termenung. Pelajar comel bertocang dua itu segera dihampirinya.

"Hai Salwa, boleh cikgu bantu?" Walaupun tiada sebarang jawapan yang diterima, Lina tetap setia menanti di sebelah. Ditariknya kerusi kosong berhampiran tempat itu lalu dia melabuhkan punggungnya.

Gelagat Salwa yang pendiam pada hari itu begitu membingungkan Lina. Selalunya Salwa adalah antara pelajar yang agak aktif di dalam kelas. Walaupun pelbagai soalan yang ditanya, Salwa tetap membatukan diri. Lina tidak dapat menahan sabar. Mulutnya terlancar memarahi Salwa dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba, Lina terpandang setitis air mata yang mengalir di pipi Salwa yang akhirnya turun bagaikan juraian mutiara. Belum sempat ditanya, loceng pulang berbunyi dan Salwa terus keluar tanpa mengucapkan salam.

Sudah dua hari Salwa tidak hadir ke sekolah. Hati Lina mula gelisah. Ketika sesi persekolahan berakhir sekolah lelaki yang berusia lewat 20-an menanti Lina di luar kelas.

"Cikgu Lina, nama saya Azhar, waris kepada Salwa." Hati Lina berdetik. Begitu muda lelaki ini kerana mempunyai anak yang berusia 9 tahun. Dia mempersilakan lelaki itu duduk di salah sebuah kerusi di kelas itu.

"Begini cikgu, Salwa tidak mahu datang ke sekolah. Dua hari yang lalu dia pulang dengan mata yang bengkak kerana menangis. Katanya cikgu telah memarahinya di depan kawan-kawan. Dia malu." Encik Azhar memulakan perbualan.

"Hmm Salwa itu manja agaknya. Baru sedikit dimarahi sudah tidak mahu datang ke sekolah. Itulah dia ibu bapa zaman moden, terlalu memanjakan anak, begitulah jadinya," Lina membebel kecil.

Encik Azhar sedikit tersentak. Dia membetulkan duduknya. " Err maaf cikgu, mungkin cikgu sedikit terkasar dengannya. Sebenarnya Salwa itu sensitif orangnya. Hmm mungkin sebab dia rasa kehilangan."

"Kehilangan?" Wajah Lina dipenuhi tanda tanya.

"Ya cikgu. Kedua ibu bapa Salwa telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya 3 tahun yang lalu manakala Salwa sendiri telah mengalami kecederaan yang agak parah. Kini, Salwa tinggal bersama saya dan neneknya. Sejak itulah Salwa berubah sikap. Dia sunyi agaknya. Maklumlah, saya sendiri selalu 'out-station'." Bicara Encik Azhar benar-benar menyentuh hati Lina.

"Errr tak mengapalah. Katakan pada Salwa, Cikgu Lina tidak marah lagi. Dia tidak perlu menyiapkan karangan itu. Saya minta maaf Encik Azhar. Saya tak tahu." Perlahan benar suara Lina. *************************************************** Sambutan Hari Guru peringkat sekolah begitu meriah. Lina begitu seronok meraikannya. Nyanyian lagu 'Kami Guru Malaysia' dan sajak 'Guru Oh Guru' dihayatinya dengan penuh perasaan. Persembahan daripada pasukan koir sekolah tidak kurang hebatnya. Hati Lina tersentuh mendengar lirik lagu yang berbunyi, "Guruku engkau ibarat lilin, membakar dirimu, untuk insan lain untuk insan lain. Jasamu guru tidak kulupakan Kan kuabadikan di jiwa raga Anak muridmu gembira selalu Buat hatimu, riang tak tentu Maafkan daku atas silapku Buat hatimu berduka selalu" Benarlah kata pepatah, 'Tak kenal maka tak cinta'. Sesungguhnya pada hari itu di dalam jiwa Lina telah tertanam kasih yang mendalam terhadap profession guru. "Cikgu, Salwa beli hadiah ini istimewa untuk cikgu. Pak su Azhar yang tolong pilihkan," bicara tulus pelajar itu begitu mencuit hati. Terngiang-ngiang lagi permintaannya yang satu itu, "Mak Salwa dah mati. Boleh tak cikgu jadi mak Salwa?" Lina terkejut besar. Masakan dalam usia 23 tahun, dia memiliki anak sebesar itu. Memikirkan perasaan anak kecil yang ketandusan kasih, Lina mengiyakan sahaja. Betapa girangnya anak comel itu lantas Lina dipeluk dan diciumnya sepuas hati. Lina berasa sungguh terharu. ************************************************ Akhirnya, tempoh mengajar selama hampir dua bulan di Sekolah Kebangsaan Seri Damai tamat jua. Hari yang pada mulanya begitu dinanti bertukar menjadi hari yang begitu memilukan. Lambaian perpisahan daripada murid-muridnya mengharukannya. Pelbagai kotak hadiah tanda ingatan dari mereka diterimanya dengan perasaan bercampur baur. 'Agaknya begini perasaan emak ketika mahu bersara dahulu,' bisik Lina di dalam hati. **************************************************** Walaupun baru seminggu tugasannya sebagai guru sandaran berakhir, Lina sudah tidak senang duduk. Setiap masa wajah-wajah comel murid-muridnya terbayang di mata. Gelagat dan tingkah laku mereka membuatkan Lina kerinduan yang amat sangat, Akhirnya setelah puas memendam rasa, suatu hari Lina berterus-terang dengan ibunya.

"Mak, Lina rasa nak ambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di maktablah," perlahan benar suaranya ketika meluahkan apa yang terpendam.

Puan Zaleha menatap wajah anaknya dengan perasaan was-was. "Tapi Lina, dulu di universiti, bukankah Lina ambil jurusan Perakaunan? Boleh ke nak jadi cikgu sepenuh masa?"

"Mak, Lina rasa Lina sudah jatuh cinta dengan kerjaya sebagai seorang guru. Terngiangngiang di telinga suara manja mereka mak. Lina tak kisah walaupun cita-cita asal Lina untuk menjadi akauntan terkubur," tegas sekali suaranya. Puan Zaleha terdiam tanpa kata.