Anda di halaman 1dari 10

Penggunaan kaedah Mental Rehearsal untuk membantu murid tahun 5 yang akan mewakili sekolah dalam permainan bola

tampar dalam melakukan kemahiran menyangga mengikut teknik dan cara yang betul Mohd Firdaus bin Ibrahim Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh 31150 Hulu Kinta Perak Darul Ridzuan E-mel : mu-si-ca88@hotmail.com

Abstrak Kajian tindakan ini dijalankan untuk melihat sejauh manakah penggunaan kaedah Mental Rehearsal dapat membantu meningkatkan keyakinan diri (self-confidence) murid-murid untuk menguasai kemahiran menyangga dalam permainan bola tampar. Subjek kajian ini terdiri daripada enam orang murid lelaki tahun lima daripada pasukan bola tampar sekolah yang gagal untuk melakukan kemahiran menyangga dengan baik selepas dijalankan ujian pemerhatian awal (ujian pra). Data dikumpul melalui temu bual saya dengan jurulatih pasukan, temu bual dengan subjek, ujian pra dan ujian pos. Hasil analisis mendapati bahawa dua orang subjek telah mencatatkan peningkatan markah yang agak besar dalam ujian pos berbanding ujian pra manakala tiga yang lain turut mencatatkan peningkatan markah ujian pos berbanding ujian pra. Hanya seorang sahaja subjek yang tidak mencatatkan peningkatan semasa ujian pos. Keputusan kajian menunjukkan bahawa penggunaan kaedah Mental Rehearsal sangat berkesan dalam membantu meningkatkan keyakinan diri murid untuk melakukan kemahiran menyangga dalam permainan bola tampar mengikut cara yang betul.

PENDAHULUAN Nama saya Mohd Firdaus bin Ibrahim dan saya telah menjalani Praktikum 3 selama tiga bulan dan juga Internship selama sebulan di Sekolah Kebangsaan Clifford yang terletak di Kuala Kangsar. Saya telah diminta oleh pihak sekolah untuk membantu jurulatih sedia ada iaitu En. Ahmad Shafei bin Yusoff bagi melatih murid tahun lima yang mewakili sekolah dalam pertandingan bola tampar. Latihan bola tampar pasukan tersebut dijalankan pada hari selasa dan hari rabu setiap minggu. Pasukan bola tampar sekolah ini terdiri daripada murid tahun lima dan tahun enam. Murid tahun lima dalam pasukan ini merupakan murid yang masih baru dalam permainan bola tampar dan memiliki kelemahan dalam beberapa kemahiran dalam permainan bola tampar. Sekolah ini merupakan sekolah gred B, oleh itu tidak ramai murid yang betul-betul berkemahiran boleh dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bola tampar. Terdapat beberapa

kemahiran asas yang penting untuk dikuasai seseorang individu dalam permainan bola tampar iaitu kemahiran menyangga, servis, mengumpan, merejam dan mengadang. Sewaktu saya melatih pasukan bola tampar Sekolah Kebangsaan Clifford, masalah utama yang saya perhatikan adalah dalam kemahiran menyangga. Antara kesilapan semasa menyangga yang selalu dilakukan oleh pemain-pemain pasukan bola tampar sekolah ini adalah kaki yang tidak dibuka seluas bahu, lutut tidak dibengkokkan ketika kontak dengan bola, lengan dibengkokkan semasa kontak dengan bola, tiada perlakuan menyerap bola semasa lengan kontak dengan bola, tiada perlakuan ikut lajak selepas lengan kontak dengan bola, murid menyangga bola terlalu tinggi dan murid melakukan kontak dengan bola pada bahagian antara pergelangan tangan hingga jari. Masalah ini berlaku kerana mereka kurang didedahkan dengan latihan kemahiran dan latihan psikologi bagi meningkatkan keyakinan diri (self-confidence) dalam diri mereka. Melalui pemerhatian saya semasa sesi latihan pasukan ini, ada antara muridmurid ini gagal untuk melakukan aktiviti menyangga lebih daripada lima kali kerana mereka kurang yakin dapat melakukannya. Mereka juga kelihatan sedikit gugup apabila saya meminta mereka untuk melakukan aktiviti menyangga sebanyak lima kali secara individu. Menurut Bandura, 1977; Feltz, 1992; Hardy, Jones Gould, 1997; Weinberg dan Gould, 1999 (seperti mana yang dicatatkan oleh Mohd Sofian Omar Fauzee, 2002) keyakinan diri merupakan salah satu faktor pengaruh yang paling penting untuk meningkatkan persembahan atlet.

FOKUS KAJIAN / ISU KEPERIHATINAN Tinjauan Masalah Daripada refleksi saya tadi, didapati murid tidak dapat menguasai dan melakukan kemahiran menyangga dengan baik mengikut teknik dan cara yang betul kerana mereka kekurangan keyakinan diri (self-confidence) dalam diri mereka. Keyakinan diri adalah sangat penting dalam semua jenis sukan. Pemain-pemain dan atlet-atlet memerlukan keyakinan diri yang secukupnya untuk melakukan yang terbaik dalam sukan yang diceburi mereka. Menurut Bandura (1977), definisi keyakinan diri adalah darjah kepercayaan seseorang individu mempersembahkan sesuatu perlakuan untuk mencapai matlamat tertentu. Feltz (1994), menyatakan bahawa keyakinan diri adalah satu kepercayaan dan kepastian terhadap kebolehan diri sendiri dalam usaha untuk mencapai sesuatu yang diharapkan. Menurut Marcus dan Owen, 1992; Morris, 1995 (seperti mana yang dicatatkan oleh Mohd Sofian Omar Fauzee, 2003) dalam sukan, keyakinan diri merujuk kepada tahap kepercayaan seseorang individu mengenai kebolehan mereka untuk mempersembahkan sesuatu persembahan yang spesifik berkaitan dengan sukan dan sikap senaman yang ingin mereka baiki. Jika masalah keyakinan diri ini tidak ditangani, ia akan menjadi lebih teruk. Murid akan terus berasa kurang yakin dengan diri mereka sendiri seterusnya masih gagal untuk melakukan aktiviti menyangga dengan baik. Hal ini akan

merugikan pasukan bola tampar sekolah kerana jika pemain selalu melakukan kesalahan semasa menyangga, pasukan lawan akan mendapat mata secara mudah. Bagi mengatasi masalah ini, saya telah memasukkan elemen psikologi iaitu Mental Rehearsal (raptai minda) semasa sesi latihan pasukan bola tampar sekolah ini. Saya memfokuskan kepada penggunaan kaedah Mental Rehearsal bagi meningkatkan keyakinan diri pemain semasa menyangga. Deborah L. Feltz (1988) telah menjalankan kajian ke atas seramai 27 orang peserta daripada Persatuan Figure Skating Amerika Syarikat yang berumur antara 10 hingga 18 tahun. Beliau mendapati bahawa dua kumpulan yang menjalani kaedah latihan mental, telah berupaya meningkatkan prestasi mereka dari segi melakukan latihan lompatan dan pusingan. Mereka juga telah dapat meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi pertandingan jika dibandingkan dengan sekumpulan peserta kawalan yang hanya menjalani aktiviti regangan. Pendekatan-pendekatan yang saya gunakan dalam kaedah Mental Rehearsal adalah latihan teknik pernafasan, latihan self-talk (bicara kendiri), konsentrasi, latihan visualization (visualisasi) dan latihan imagery (imejan). Analisis Tinjauan Masalah Analisis Temu Bual Jurulatih Pasukan Bagi mendapatkan data awal dalam kajian ini, pertama sekali saya telah menjalankan temu bual dengan jurulatih pasukan iaitu En Ahmad Shafei bin Yusoff untuk mengetahui kaedah pengajaran yang pernah digunakan oleh beliau semasa melatih pasukan bola tampar sekolah khususnya berkaitan teknik menyangga. Hasil temu bual mendapati bahawa beliau pernah menggunakan kaedah pengajaran demonstrasi serta latih tubi kepada pemain-pemainnya. Beliau juga telah menyatakan bahawa kurangnya keyakinan diri (self-confidence) dalam diri pemain-pemain menyebabkan mereka sukar untuk melakukan kemahiran menyangga mengikut cara yang betul. Analisis Ujian Pemerhatian Awal (Ujian Pra) Cara kedua saya mendapatkan data awal adalah dengan menjalankan ujian pemerhatian awal (ujian pra) terhadap 15 orang murid tahun lima yang merupakan pemain bola tampar sekolah semasa sesi latihan pasukan bola tampar tersebut. Ujian pemerhatian awal yang saya jalankan ini adalah tertumpu kepada bilangan perlakuan menyangga dan lima teknik menyangga yang mampu dilakukan oleh tiap-tiap 15 orang pemain bola tampar sekolah tersebut dalam grid segi empat sama yang dibentuk menggunakan penanda (marker) berukuran 2 meter x 2 meter. Murid perlu melakukan aktiviti menyangga dengan ketinggian lambungan bola adalah lebih kurang 2 meter selepas kontak dengan lengan. Murid hanya diberikan sekali sahaja percubaan. Saya bertindak selaku server iaitu melambung bola kepada murid untuk disangga. Saya telah menetapkan markah bagi ujian yang dijalankan ini. Markah tersebut ditentukan berdasarkan dua kriteria pemarkahan iaitu markah bilangan kali boleh menyangga serta markah teknik menyangga dan dicatatkan dalam borang senarai semak. Kriteria pemarkahan ujian yang saya jalankan adalah seperti Jadual 1 di halaman sebelah :

Jadual 1 Kriteria Pemarkahan Ujian Pemerhatian Awal (Ujian Pra)


Markah bilangan kali menyangga 1 kali = 10 markah 2 kali = 20 markah 3 kali = 30 markah 4 kali = 40 markah 5 kali atau lebih = 50 markah Markah teknik menyangga Berdiri tegak, kaki dibuka seluas bahu = 10 markah Lutut direndahkan sedikit mengikut keselesaan = 10 markah Lengan diluruskan dan siku dikunci semasa kontak dengan bola = 10 markah Menyerap bola semasa lengan kontak dengan bola = 10 markah Ikut lajak selepas lengan kontak dengan bola = 10 markah

Markah bilangan kali menyangga dan markah teknik menyangga dicampurkan untuk mendapatkan markah penuh ujian. Markah penuh bilangan kali menyangga adalah 50 manakala markah penuh teknik menyangga juga 50 menjadikan markah penuh ujian ini adalah 100. Data ujian pemerhatian awal saya dicatatkan di dalam borang senarai semak. Markah ujian pemerhatian awal (ujian pra) ditunjukkan dalam Rajah 1 berikut :

2 0 4 0

Rajah 1. Graf Ujian Pemerhatian Awal (Ujian Pra)

Saya telah menetapkan bahawa murid yang mendapat markah bawah separuh daripada markah keseluruhan (bawah 50 markah daripada 100 markah) akan dijadikan subjek kajian. Didapati enam orang murid daripada jumlah keseluruhan 15 orang murid telah mendapat markah bawah separuh daripada markah keseluruhan. Oleh itu, bilangan subjek kajian saya adalah sebanyak enam orang. Analisis Temu Bual Subjek Kajian Cara ketiga saya mendapatkan data awal adalah dengan menjalankan temu bual dengan subjek kajian. Temu bual tersebut dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pengalaman dan pengetahuan mereka dalam teknik menyangga. Kesimpulan yang boleh dibuat daripada temu bual dengan subjek yang telah saya jalankan ialah subjek menanamkan kepercayaan dalam diri mereka bahawa kemahiran menyangga merupakan satu kemahiran yang sukar untuk dilakukan disebabkan kurang keyakinan (selfconfidence) dalam diri setiap responden tersebut. Faktor lain ialah mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai cara perlakuan teknik menyangga yang betul, mungkin akibat tidak diberikan penerangan yang terperinci oleh jurulatih walaupun mereka sering bermain bola tampar terutamanya semasa sesi latihan pasukan.

OBJEKTIF KAJIAN / SOALAN KAJIAN Objektif Am Secara amnya diharap kajian tindakan yang saya jalankan akan dapat membantu pengajaran dan program latihan jurulatih atau sesiapa sahaja yang menjalankan program latihan sukan agar lebih efisien dan bermutu. Objektif Khusus 1. Murid akan dapat meningkatkan tahap kemahiran menyangga mereka. 2. Murid dapat meningkatkan keyakinan diri (self-confidence) dalam diri mereka. 3. Murid akan menerapkan penggunaan teknik psikologi (Mental Rehearsal) untuk meningkatkan kemahiran menyangga. 4. Guru dapat meningkatkan keberkesanan program latihan mereka agar mendatangkan kesan yang positif terhadap kemahiran murid dan juga psikologi mereka. Soalan Kajian Adakah kaedah Mental Rehearsal dapat membantu menaikkan keyakinan diri (selfconfidence) murid seterusnya meningkatkan kemahiran menyangga murid?

KUMPULAN SASARAN Terdapat enam orang subjek dalam kajian ini yang dipilih hasil daripada Ujian Pemerhatian Awal (Ujian Pra) terhadap 15 orang pemain bola tampar lelaki tahun 5 Sekolah Kebangsaan Clifford kerana mendapat markah bawah separuh daripada markah keseluruhan.

PELAKSANAAN TINDAKAN Prosedur Tindakan Berpandukan model kajian tindakan Kemmis & McTaggart (1988) yang saya peroleh daripada penulisan blog bertajuk Tugasan Kelas: Model Kajian Tindakan oleh Aini (2009), terdapat lima langkah untuk menjalankan kajian tindakan iaitu plan (merancang), action (bertindak), observe (memerhati), reflect (membuat refleksi) dan revised plan (merancang semula). Semasa langkah plan, saya telah merancang untuk menggunakan kaedah Mental Rehearsal bagi mengatasi masalah kurang keyakinan diri subjek bagi meningkatkan kemahiran menyangga mengikut teknik yang betul. Menurut Ahmad Sazli (2002), keyakinan diri dalam sukan adalah faktor psikologikal yang penting bagi menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang atlet. Dalam erti kata lain, kejayaan atau kegagalan seseorang atlet ditentukan oleh faktor keyakinan yang ada dalam dirinya sendiri. Pada 1990, Craig R. Hall, Wendy M. Rodgers dan Kathryn A. Barr (seperti yang dicatatkan oleh Ahmad Sazli, 2002) telah membuat kajian ke atas 381 peserta lelaki dan perempuan yang melibatkan diri dalam enam jenis sukan iaitu bola sepak, hoki ais, skuasy, gimnastik dan luncur ais di Amerika. Hasil kajian mereka mendapati bahawa atlet-atlet ini menggunakan lebih banyak latihan berunsur persediaan mental untuk mendapatkan keyakinan diri apabila hampir tiba pertandingan berbanding pada waktu latihan. Semasa langkah action, Latihan kaedah Mental Rehearsal telah dijalankan kepada enam orang subjek tersebut selepas setiap sesi latihan pasukan bola tampar. Setiap sesi latihan Mental Rehearsal dijalankan selama 30 minit selepas latihan pasukan selama dua jam. Latihan pasukan bola tampar sekolah tersebut adalah pada hari selasa dan rabu setiap minggu. Bagi latihan yang pertama iaitu latihan pernafasan, saya menjalankan dua cara latihan pernafasan iaitu latihan pernafasan sambil duduk dan latihan pernafasan sambil berdiri. Kemudian, bagi sesi latihan seterusnya saya telah menjalankan latihan self-talk (bicara kendiri). Latihan self-talk adalah latihan yang memerlukan dialog dalaman subjek kajian. Oleh itu, saya meminta setiap subjek kajian saya supaya berdialog ataupun bercakap dengan diri mereka sendiri tanpa mengeluarkan suara. Saya membacakan skrip self-talk ketika mereka duduk dan mereka hanya perlu memejamkan mata dan bersoal jawab dengan diri sendiri menerusi skrip yang diberikan. Dalam latihan yang seterusnya iaitu latihan konsentrasi, saya telah menekankan kepada dua aspek iaitu pernyataan objektif setiap seorang daripada enam orang subjek tersebut mengenai penyertaan mereka dalam pasukan bola tampar sekolah dan aktiviti pemusatan terhadap postur badan dalam keadaan sedar akan setiap perlakuan menyangga yang

dilakukan subjek tersebut. Kemudian, saya menjalankan latihan visualization (visualisasi) kepada subjek kajian. Latihan visualization adalah bayangan yang dibuat mengenai situasi yang berubah-ubah. Subjek diminta berada dalam posisi yang selesa dan sedari pernafasan mereka sambil memejamkan mata serta bayangkan diri berada dalam situasi yang telah disebut oleh saya dalam skrip. Latihan yang berikutnya adalah latihan imagery (imejan). Semasa latihan imagery, saya telah meminta subjek saya duduk di kawasan lapang dan tenang di luar bilik darjah. Saya meminta setiap subjek saya supaya memejamkan mata dan mula membayangkan perlakuan mereka melakukan kemahiran menyangga mengikut turutan perlakuan yang telah saya ajarkan kepada mengikut teknik yang betul. Latihan ini dijalankan secara ansur maju iaitu membayangkan perlakuan menyangga secara tanpa bola dan diikuti membayangkan perlakuan menyangga secara dengan bola. Semasa langkah observe, saya menjalankan ujian pos bagi mendapatkan data selepas latihan kaedah Mental Rehearsal diberikan kepada enam orang subjek kajian saya. Ujian pos yang saya jalankan ini adalah tertumpu kepada bilangan perlakuan menyangga dan lima teknik menyangga yang mampu dilakukan oleh tiap-tiap 15 orang pemain bola tampar sekolah tersebut dalam grid segi empat sama yang dibentuk menggunakan penanda (marker) berukuran 2 meter x 2 meter. Murid perlu melakukan aktiviti menyangga dengan ketinggian lambungan bola adalah lebih kurang 2 meter selepas kontak dengan lengan. Murid hanya diberikan sekali sahaja percubaan. Saya bertindak selaku server iaitu melambung bola kepada murid untuk disangga. Saya telah menetapkan markah bagi ujian yang dijalankan ini. Markah tersebut ditentukan berdasarkan dua kriteria pemarkahan iaitu markah bilangan kali boleh menyangga serta markah teknik menyangga (sama seperti kriteria pemarkahan ujian pra) dan dicatatkan dalam borang senarai semak. Semasa langkah reflect, saya telah membuat refleksi sama ada kajian yang saya jalankan berjaya ataupun tidak. Refleksi yang dibuat menjelaskan aspek-aspek merangkumi kekuatan serta kelemahan kajian yang telah saya jalankan ini. Sekiranya kajian saya tidak mencapai kejayaan, saya perlu melakukan refleksi mengapa kajian tersebut tidak berjaya serta menyatakan cadangan penambahbaikannya. Semasa langkah revised plan, sekiranya selepas dijalankan ujian pos, subjek kajian saya mencatatkan markah yang lebih rendah berbanding semasa ujian pra, atau tiada peningkatan ataupun mencatatkan markah bawah separuh daripada markah penuh (bawah 50 markah), saya akan menjalankan langkah revised plan iaitu merancang semula sebuah kaedah baru yang boleh digunakan sebagai alternatif lain bagi meningkatkan kemahiran menyangga subjek yang masih gagal mencatatkan pencapaian melepasi 50 markah dalam ujian pos. Kaedah baru yang saya rancang adalah penggunaan tayangan video bagi meningkat keyakinan diri murid seterusnya membantu mereka melakukan kemahiran menyangga bola tampar dengan cara yang betul. Kemudian, ujian pos revised plan dijalankan terhadap subjek yang dipilih daripada ujian pos lepas. Refleksi juga perlu dibuat setelah dijalankan kaedah baru ini.

ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA Analisis Ujian Pos

Rajah 2. Graf Peningkatan Pencapaian Subjek Dalam Ujian Pra-Pos Berdasar Rajah 2 di atas, majoriti subjek iaitu seramai lima orang subjek menunjukkan peningkatan dalam ujian pos berbanding ujian pra manakala seorang subjek mencatatkan markah yang sama dalam ujian pos berbanding ujian pra. Peratus bilangan subjek mencatatkan peningkatan adalah 83.33% manakala peratus bilangan subjek tidak mencatatkan peningkatan (sama) adalah 16.67%. Hanya dua orang murid sahaja masih tidak berjaya mencatatkan markah melepasi separuh daripada markah keseluruhan ujian (50 markah) dan salah seorang daripadanya tidak mencatatkan peningkatan markah ujiannya. Analisis Ujian Pos Revised Plan Saya merancang untuk menggunakan kaedah baru bagi membantu dua orang subjek yang mendapat markah bawah separuh daripada markah keseluruhan untuk meningkatkan markah ujian mereka. Subjek 2 dan Subjek 6 yang memperoleh 40 markah dalam ujian pos telah dipilih sebagai subjek dalam penggunaan kaedah baru yang saya jalankan. Kaedah baru yang saya jalankan adalah penggunaan tayangan video bagi meningkat keyakinan diri murid seterusnya membantu mereka melakukan kemahiran menyangga bola tampar dengan cara yang betul. Setelah diberikan kaedah baru tersebut, dua orang subjek itu telah menjalani ujian pos Revised Plan bagi melihat hasil penggunaan kaedah tersebut. Prosedur dan kriteria pemarkahan ujian pos Revised Plan yang saya jalankan

untuk kaedah ini adalah sama seperti prosedur dan kriteria pemarkahan ujian pos yang terdahulu. Data hasil ujian pos Revised Plan yang saya jalankan ditunjukkan dalam Jadual 2 berikut :

Jadual 2 Pencapaian Subjek Bagi Ujian Pos Revised Plan


PENINGKATAN MARKAH BILANGAN MENYANGGA MARKAH TEKNIK MENYANGGA

JUMLAH MARKAH

Subjek 2 Subjek 6

Daripada Jadual 2 tersebut, dapat dilihat bahawa Subjek 2 dan Subjek 6 telah berjaya mencapai keputusan melepasi 50 markah setelah dijalankan ujian pos Revised Plan. Markah keseluruhan Subjek 2 dalam ujian pos Revised Plan adalah 50 berbanding markahnya semasa ujian pos terdahulu. Markah keseluruhan Subjek 6 pula dalam ujian pos Revised Plan adalah 60 berbanding semasa ujian pos yang terdahulu. Subjek 2 telah mencatatkan peningkatan markah sebanyak 10% manakala Subjek 6 mencatat peningkatan markah sebanyak 20%.

DAPATAN Berdasarkan data yang dikemukakan, jelas menunjukkan pada peringkat awal sebelum kaedah Mental Rehearsal diberikan, hampir semua subjek mencatatkan pencapaian markah yang rendah berbanding selepas kaedah tersebut diperkenalkan kepada mereka. Hal ini dibuktikan oleh kejayaan 5 orang subjek (83.33% daripada jumlah keseluruhan) yang berjaya meningkatkan pencapaian markah masing-masing dalam ujian pos yang telah dijalankan. Jumlah julat peningkatan pencapaian ujian pra dan pos yang agak kecil bagi kebanyakan subjek serta kegagalan sebahagian kecil subjek (16.67 daripada keseluruhan subjek ataupun 1 daripada 6 orang) untuk mencatatkan peningkatan dalam ujian pos mungkin disebabkan oleh beberapa faktor berikut masa, kesediaan atau kemampuan subjek serta emosi subjek.

SUBJEK

30 30

20 30

50 60

10 20

Senarai Rujukan

Ahmad Sazli bin Mohd Zain. (2002). Satu Tinjauan Keyakinan Diri di Kalangan Atlet Bawah 18 Tahun di Sebuah Sekolah Menengah di Daerah Batang Padang. Tidak diterbitkan. Aini. (2009). Tugasan Kelas: Model Kajian Tindakan. Diperoleh April 20, 2011 dari http://gb5023researchaction.wordpress.com/2009/10/29/tugasankelas-model-kajian-tindakan/ Annie Plessinger. The Effects of Mental Imagery on Athletic Performance. (n.d.). Diperolehi April 15, 2011 dari http://www.vanderbilt.edu/ans/ psychology/health_psychology/mentalimagery.html Bandura , A. (1977). Self-efficacy: Toward a Unifying Theory of Behavior Change. Psychological Review. Tidak diterbitkan. Beverly Oden. How to Use Visualization to Succeed at Volleyball: How to Visualize. (n.d.). Diperoleh April 14, 2011 dari http://volleyball.about.com/od/training/ a/MentalImagery_2.htm Darren Hiller. (2009). Sports Hypnosis Techniques: Mental Rehearsal. Diperoleh Mac 30, 2011 dari http://www.articlesbase.com/sports-and-fitness-articles/sportshypnosis-techniques-mental-rehearsal-741061.html Driskell , J., Copper , C., & Moran , A. (1994) American Psychological Association, Inc. (1994). Does Mental Practice Enhance Performance? Diperoleh Mac 29, 2011 dari http://web.rollins.edu/~jdriskell/mentalpractice.pdf Feltz , D.L. (1994). Self-confidence and performance. In D. Druckmand and R. A. Bork (Eds.). Learning remembering, believing: Enhancing human performance. Washington, DC: National Academy Press. Mohd Sofian Omar Fauzee. (2001). Psikologi Sukan: Aplikasi Teori dan Praktikal. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Mohd Sofian Omar Fauzee. (2002). Masalah Sosial dan Kesepaduan: Pendekatan Psikologi dalam Menangani Masalah Atlit. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publications Sdn Bhd. Mohd Sofian Omar Fauzee. (2003). Sosio-Psikologi: Sukan dan Kegiatan Fizikal. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publications Sdn Bhd. Suhaimi bin Mohamed Sayuti. (2003). Faktor Motivasi yang Mempengaruhi Penglibatan Pelajar dalam Aktiviti Sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Klang, Selangor Darul Ehsan. Tidak diterbitkan.