Anda di halaman 1dari 16

PENCEROBOHAN TANAH WAKAF: PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN APLIKASINYA DI MALAYSIA Mohd Afendi Mat Rani1

Afendiey03@yahoo.com Abstrak Di Malaysia, aktiviti pencerobohan tanah wakaf oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah lama berlaku. Kegiatan pencerobohan tanah wakaf adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah disebabkan oleh kealpaan dan kelalaian pihak yang bertanggungjawab. Selain itu faktor kemiskinan dan desakan hidup juga boleh berlaku. Mereka yang melakukan pencerobohan ke atas tanah wakaf adalah lebih mementingkan peribadi dengan mengaut keuntungan tanpa menghiraukan hak orang lain. Mereka membina rumah-rumah kediaman, dan ada yang disewakan pula kepada pihak lain dengan harga yang tinggi dan menjadi sumber pendapatan tetap kepada individu terbabit. Pencerobohan yang berlaku ke atas tanah wakaf secara tidak langsung akan menghalang pelaksanaan pembangunan ke atas tanah tersebut dan juga terputusnya kelangsungan hak pewakaf. Pelbagai isu, halangan dan beberapa cadangan telah dikemukakan dalam penulisan ini sebagai penambahbaikan dalam meningkatkan keberkesan dan relevansinya institusi wakaf sebagai pemangkin ekonomi dan sistem jaminan sosial dalam Islam.

1.0

Pendahuluan

Isu pencerobohan tanah milik kerajaan bukanlah menjadi isu yang asing di Malaysia. Amalan ini telah berlaku sejak sekian lama, malah ia lebih bertambah kritikal apabila harga nilaian tanah semakin meningkat terutama bagi lokasi-lokasi yang berada di kawasan bandar dan pinggiran bandar. Kebanyakan tanah wakaf yang terletak di pusat bandaraya merupakan kawasan yang berpotensi untuk pembangunan. Oleh itu kebanyakan tanah-tanah ini mempunyai nilaian yang tinggi. Keadaan yang sama juga berlaku di negeri-negeri yang lain. Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Abd Ghafar Yusof, pencerobohan berlaku di hampir semua negeri di Malaysia.2 Pihak terbabit yang menduduki tanah wakaf bukan sahaja tidak mahu bekerjasama untuk mengosongkan tanah yang diduduki, malah mereka telah membuat tuntutan yang berlebih-lebihan kepada pihak MAIN sebagai pemegang amanah. Pencerobohan yang berlaku ke atas tanah wakaf secara tidak langsung akan menghalang pelaksanaan pembangunan ke atas tanah tersebut dan juga terputusnya pahala pihak
1

Pensyarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam Selangor. Ph.D 2 Utusan Malaysia, 28/4/2009

pewakaf. Lebih besar kesannya daripada itu tindakan ini menghalang kemajuan sosioekonomi ummah. 2.0 Pencerobohan Tanah dalam Islam

Pada prinsipnya hak individu atau orang perseorangan adalah terpelihara dan dilindungi dalam Islam. Ini kerana Islam mengiktiraf hak peribadi seseorang terhadap harta yang dimiliki oleh mereka.3 Undang-undang Islam menjamin, memelihara dan melindungi hak individu dalam apa jua keadaan. Harta yang telah dimiliki oleh seseorang mestilah dipertahankan agar tidak berpindah milik kepada orang lain kecuali dengan cara yang hak. Pada dasarnya sebarang bentuk pencerobohan atau pembatalan hak milik adalah dilarang sama sekali dalam Islam, sekalipun dilakukan oleh pihak kerajaan sendiri. Islam mengharamkan tindakan melampaui batas dengan meletakkan hukuman, amaran keras dan menggantikan harta yang telah diambil kepada mereka yang melakukannya.4 Sehubungan dengan itu, Islam telah menggariskan asas kepada perpindahan dan pembatalan hak milik hendaklah dengan kebenaran dan keizinan pemilik serta dilakukan dengan cara yang baik. Imam al-Syafii telah menjelaskan bahawa harta yang dimiliki oleh seseorang tidak akan luput kecuali dengan kemahuan dirinya sendiri.5 Terdapat beberapa cara pemilikan harta seperti melalui pewarisan, penjualan, hadiah, pelepasan hamba, hutang yang perlu dibayar dan lain-lain. Semua ini dilakukan oleh tuan punya harta dengan kemahuannya dan bukan orang lain. Apa yang dijelaskan oleh Imam alSyafii ini adalah hukum asal dan menjadi asas kepada hukum pemilikan harta dalam Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:6 Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulur harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahuinya (salahnya). Di dalam hadith Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:7 Tidak halal harta seseorang Islam kecuali diambil dengan tujuan dan cara yang baik.

3 4

Al-Wafi, Ali Abd al-Wahid (1979), Huquq al-Insan fi al-Islam, cet.5, Kaherah: Dar al-Nahdah, hlm.60. Ahmad Farraj Hussayn (1986), Al-Milkiyyah wa Nazariyyah al-Aqd fi al-Syariah al-Islamiyyah, (t.t), Dar al-Jamiyyah, hlm.73. 5 Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1961), Al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syariyyah, al-Muassasah alArabiyyah li al-Tibaah wa al-Nasyr, hlm.300. 6 Al-Quran, Surah al-Baqarah 2:188 7 Al-Bukhari, Abi Abdillah Muhammad b. Ismail (1992), Sahih al-Bukhari, Hadith No.2401, jld.4, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Abu Daud Sulayman b. Asyath (1988), Sunan Abi Dawud, jld.2 & 4, Kaherah: Dar al-Rayyan.

Islam telah menetapkan tiga batasan terhadap kebebasan individu untuk memiliki harta, mengguna dan menikmati harta tersebut. Antaranya ialah penggunaan harta tersebut tidak memudaratkan diri sendiri dan orang lain.8 Selain itu beberapa jenis harta tidak boleh dijadikan hak milik seperti harta yang digunakan untuk kepentingan umum, bahan galian, harta yang berpindah milik individu kepada kerajaan seperti harta baitumal, dan hak-hak masyarakat umum dalam hak milik individu seperti zakat, nazar, dan lain-lain.9 Manakala dari segi hak pelupusan atau pemberian milik tanah kerajaan pula berlaku melalui dua cara, iaitu melalui pemberian milik oleh kerajaan dan melalui Ihya al-Mawat. Konsep Ihyat al-Mawat tidak tidak boleh disalahgunakan untuk menghalalkan pencerobohan tanah kerajaan.10 3.0 Pencerobohan Tanah Wakaf Dari Perspektif Undang-undang di Malaysia

Di Malaysia, sebagaimana yang diketahui perkara berkaitan harta wakaf adalah salah satu aspek harta amanah yang disenaraikan di bawah Jadual Sembilan, Senarai II, Senarai Negeri. Perkara berkaitan wakaf telah diperuntukkan di dalam enakmen negeri masingmasing. Semua tanah wakaf ditadbir dan diuruskan oleh MAIN sama ada harta alih dan tak alih.11 Tanah-tanah wakaf yang didaftarkan ini adalah terletak hak kepada MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf. Terdapat 2 peruntukan undang-undang berkaitan pencerobohan tanah wakaf. Antaranya ialah: 3.0.1 Peruntukan Undang-undang Sivil Peruntukan undang-undang tentang pencerobohan ke atas tanah wakaf telah diperuntukan dalam undang-undang Sivil dan undang-undang Islam di Malaysia. Menurut Seksyen 89 Akta Kanun Tanah Negara 1965,12 memperuntukkan bahawa pemilik berdaftar (registered owner) atau tuan punya (propritor) mempunyai hak yang mutlak ke atas tanah tersebut dan kesan pendaftaran ini menghalang pihak lain yang tidak mempunyai hak daripada membuat sebarang dealing urusan atau mendudukinya. Begitu juga mana-mana individu yang menduduki sesuatu tanah tanpa permit atau lesen yang sah ataupun kebenaran daripada pemilik tanah dianggap penceroboh atau trespasser dan boleh didakwa. Mereka tidak berhak menuntut ganti rugi atau pampasan daripada MAIN kerana penduduk setinggan tidak mempunyai hak sama ada dari aspek undang-undang ataupun ekuiti. Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56) memperuntukkan bahawa pendudukan tanah kerajaan secara tidak sah adalah satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun.13

8 9

Lihat Majallah al-Ahkam, Perkara 1197 Mohd Ridzuan Awang (2005), Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Pengambilan Tanah Rakyat: Kajian Perbandingan Antara Undang-undang Islam dan Kanun Tanah Negara 1965, Jurnal KIAS, bil.2, 2005/1426H, hlm.60 10 Ibid. 11 Baharuddin Sayin (1998), Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf di Semenanjung Malaysia, Jurnal Fikrah, Jld.1, Januari 1998, Pusat Pendidikan Persediaan, Institut Teknologi MARA, hlm.94-98 12 Akta Kanun Tanah Negara 1965, Seksyen 89 13 Ibid., Seksyen 425 (1) dan (1A).

Dari segi undang-undang Tort pula memperuntukkan bagi mana-mana individu yang memasuki atau menduduki sesuatu tanah yang bukan miliknya adalah disabit sebagai penceroboh/ Trespasser. Pemilik tanah berhak mengusir penceroboh setelah dikeluarkan notis. Begitu juga dengan konsep Ihya al-Mawat tidak boleh dipakai lagi pada hari ini kerana tanah wakaf MAIN bukan lagi tanah yang dikategorikan terbiar atau tanah hutan atau tanah mati. Malahan ia adalah tanah yang boleh dibangunkan. Kesalahan ini dianggap sebagai ghasab (merampas harta orang lain).14 3.0.2 Peruntukan Enakmen Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) MAIN sebagai Pemegang Amanah kepada harta wakaf yang berada di bawah kawalannya berhak menghalang mana-mana individu atau pihak yang melanggar perintah MAIN. Setelah MAIN diperbadankan dan berkuat kuasa undang-undang yang diperuntukan oleh Majlis, maka semua harta wakaf yang berada di dalam negeri berkenaan hendaklah diurus dan ditadbir oleh MAIN. Peruntukan undang-undang dalam enakmen negeri masing-masing, telah memperkukuhkan lagi kuasa MAIN sebagai Pemegang Amanah Tunggal bagi kesemua harta wakaf. Dengan adanya peruntukan ini juga bermakna semua harta wakaf mestilah didaftar di bawah MAIN. Justeru, segala harta takalih yang terletak di negeri tersebut sebaik sahaja didaftarkan di Pejabat Tanah, dengan sendirinya terletak hak di bawah Majlis tanpa apa-apa pemindahan, penyerahan, urus niaga kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis daripada MAIN secara sah mengikut undang-undang. Sebarang pertikaian, pencerobohan ke atas tanah wakaf adalah menjadi hak kepada MAIN untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Perkara berkaitan hukuman, jenis-jenis hukuman dan penalti berkaitan harta wakaf juga diperuntukan di peringkat negeri. Setiap negeri telah memperuntukkan tentang kesalahan menceroboh atau mengambil hasil wakaf di dalam enakmen negeri masing-masing. Sekiranya mana-mana pihak atau individu yang telah disabitkan kesalahan jenayah dia boleh dijatuhkan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan dalam enakmen berkenaan. Namun demikian, hukuman atau penalti ini berbeza antara negeri-negeri di Malaysia Majlis Agama Islam Terengganu melalui Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak kesalahan bagi mereka yang mencerobih harta wakaf boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000, atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.15 Di negeri Johor, kesalahan yang sama boleh dijatuhi hukuman tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Antara hukuman dan denda yang paling tinggi dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan jenayah ke atas harta wakaf iaitu sebanyak RM5000 dan penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali adalah diperuntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah di Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.16 Di Pulau Pinang, bagi memelihara kepentingan harta wakaf, peruntukan denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas mereka yang melakukan pencerobohan, pendudukan,
14

Mohd Afandi Mat Rani (2002), Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf di Negeri Kelantan, Tesis Sarjana Syariah dan Undang-undang, Universiti Malaya: Kuala Lumpur, hlm.185. 15 Enakmen Terengganu (bil.12/1986), Seksyen 214 16 Enakmen Jenayah Negeri Sembilan (bil.4/1992), Seksyen 110, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Melaka (Bil.6/1991), Seksyen 78, Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Sarawak (Bil.6/1991), Seksyen 39.

pengusahaan di atas tanah wakaf tanpa kebenaran majlis. Manakala bangunan yang didirikan seseorang tanpa izin pula boleh dirubuhkan oleh majlis dengan kos ditanggung oleh orang tersebut. Enakmen MAIK 1994 juga jelas memperuntukkan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua bulan atau kedua-duanya sekali berdasarkan Sekyen 111 yang mengatakan:
seseorang yang mencerobohi, menduduki, mengguna atau menikmati mana-mana harta wakaf atau lain-lain harta amanah di bawah jagaan Majlis tanpa kebenaran bertulis daripada Yang Dipertua adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua bulan atau kedua-duanya.

4.0

Prosedur Undang-undang Ke Atas Penceroboh Tanah Wakaf

Di dalam Manual Pengurusan Tanah Wakaf, terdapat garis panduan yang boleh digunapakai oleh MAIN dalam menangani aktiviti pencerobohan ke atas tanah wakaf milik mereka. Antaranya ialah pengurus wakaf hendaklah mendapatkan maklumat berkaitan pencerobohan seperti penempatan haram, penerokaan tanah secara haram, mengeluarkan tanah, bahan batuan atau apa-apa galian tanpa sah dan lain-lain aktviti pencerobohan, lokasi kedudukan tanah dan pemilikan tanah tersebut. Setelah itu pemantauan perlu dilakukan dan siasatan hendaklah dijalankan setelah mendapat maklumat yang telah diberikan. Kerjasama daripada pihak polis perlu diadakan untuk membuat siasatan dalaman MAIN. Pihak MAIN juga perlu membuat tindakan susulan dengan menyediakan laporan kepada jawatankuasa wakaf MAIN untuk mendapatkan pandangan dan tindakan selanjutnya. Notis panggilan perlu dihantar kepada penceroboh untuk hadir ke pejabat MAIN untuk mencari jalan penyelesaian dan rundingan antara kedua-dua belah pihak. Sekiranya kedua-dua belah pihak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh pihak MAIN, pengurus wakaf hendaklah menyediakan surat perjanjian persetujuan dan ditandatangani oleh pihak yang terbabit. Sekiranya berlaku keingkaran terhadap dokumen perjanjian, pengurus wakaf hendaklah membuat laporan polis dan tindakan mahkamah akan diambil.17 Jika berlaku sebarang aduan daripada orang ramai tindakan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang hendaklah diambil. Pengurus wakaf hendaklah menerima dan merekod aduan dalam borang aduan pelanggan. Semakan juga perlu dibuat untuk memastikan hak milikan MAIN dan siasatan ke lokasi hartanah tersebut dijalankan. Dengan ini pengurus wakaf dapat menentukan jenis kesalahan. Laporan polis dan laporan siasatan hendaklah diserahkan kepada pihak pengurusan untuk mengambil tindakan. Pada masa yang sama notis kepada pihak yang melakukan kesalahan hendaklah dihantar sama ada dihentikan, diremedikan, atau menyerahkan milikan kosong hartanah kepada MAIN. Jika tindakan notis tersebut tidak dipatuhi tindakan selanjutnya hendaklah diambil dengan membuat laporan polis dan pejabat tanah di bawah seksyen 425(2) KTN serta mengarahkan panel peguam untuk mengambil tindakan.

17

Manual Pengurusan JAKIM, hlm.49-50

5.0

Kes-kes Pencerobohan Ke atas Tanah Wakaf di Malaysia

Terdapat beberapa contoh kajian kes berkaitan pencerobohan ke atas tanah wakaf di Malaysia. Di negeri Kelantan Majlis Agama Islam Kelantan lawan Haji Muhammad Bin Yusoff.18 Plaintif telah membuat dakwaan di Mahkamah Seksyen Kota Bharu bahawa Defendan telah menceroboh tanah wakaf al-Marhum Raja Dewa di Lot 13, Seksyen 6 bandar Kota Bharu dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk mendapat balik milikan kosong yang diduduki oleh Defendan dan relif lain yang difikirkan bermanfaat oleh Mahkamah. Tanah Lot 13, hanya diberikan keizinan tapak sementara kepada bapa Defendan dan kebenaran untuk menduduki tanah tersebut oleh plaintif telah luput dan terbatal dengan kematian bapa Defendan. Berdasarkan kepada peruntukan Enakmen MAIK 1994, sebarang tuntutan ke atas tanah Lot 13, mestilah dipohon terlebih daripada Plaintif kerana Plaintif adalah pemilik berdaftar bagi tanah tersebut dan bapa Defendan tidak mempunyai hak atau kuasa untuk memberi kebenaran mendudukinya. Maka dalam kes ini Plaintif menganggap segala pembinaan dan kos pembiayaan oleh Defendan selama tempoh tersebut tidak akan ditanggung oleh Plaintif, dengan alasan Defendan telah menduduki tanah tersebut secara haram dan dikategorikan sebagai kes mencerobohi tanah wakaf. Di negeri Melaka juga berlaku pencerobohan ke atas tanah wakaf di Lot 76 dan 82 Mukim Tengkera telah digunakan oleh pemaju pangsapuri tanpa kebenaran MAIM dan telah melanggar perjanjian yang telah dibuat bersama MAIM. Berdasarkan kepada perjanjian asal, tanah ini hanya digunakan untuk digunakan sebagai jalan masuk sementara sahaja sehingga tempoh tertentu. Namun demikian, pihak pemaju telah menggunakannya secara kekal. Manakala Lot 82 telah dibina tangki gubahan najis oleh pemaju bagi kegunaan penghuni pangsapuri tersebut. Begitu juga di Lot 245 Mukim Bukit Piatu yang diwakafkan untuk tapak pembinaan surau telah dijadikan sebagai jalan masuk ke Taman Setiakawan.19 Kes yang sama juga berlaku di negeri Terengganu. Di dalam kes ini20 Encik Wahab bin Hassan (Defenden) telah membuat tuntutan kepada MAIDAM (Plantif) sebanyak RM5,040.00 dengan alasan beliau telah menanam pokok-pokok duku dan pokok pisang yang ditebang bagi laluan High-Tension LLN atas tanah wakaf Lot 1300 Mukim Serada. Tanah ini adalah wakaf al-Marhum Baginda seluas 1.287 ekar yang diserahkan kepada MAIDAM untuk menjadi pemegang amanah. Tanah ini pada asalnya telah diberi sewa oleh bapanya atas arahan Hj Da, Bekas Setiausaha Pejabat Agama, sejak tahun 19681984 dengan kadar sewa RM10.00 setahun. Kemudian tanah ini disewa pula oleh En. Wahab bin Hassan atas dasar menyewa tanah dusun, tanpa melalui sebarang surat perjanjian. Di atas tanah ini terdapat 3 buah rumah kepunyaan En. Wahab bin Hassan,
18

Rujuk fail kes tanah wakaf Lot 13 Seksyen 6 bandar Kota Bharu, Mahkamah Seksyen Kota Bharu saman No. 52-1280-98. 19 Mohd Shahiran Abdul Latif (2006), Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, Tesis Ijazah Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi, hlm. 20 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. Kes Mal. NO.41-005-1-999 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu lwn. Wahab Bin Hassab dan 4 lagi.

anak /menantunya dan ibunya. Pembinaan rumah ini tidak mendapat kelulusan bertulis daripada MAIDAM. Di negeri Johor, MAIJ tidak mempunyai perancangan yang teratur dalam pengurusan dan membangunkan tanah wakaf. Data tanah wakaf yang tidak kemas kini dan pemantauan yang lemah menyebabkan berlakunya pencerobohan tanah wakaf. Antaranya di Lot 138, Lot 1839 dan Lot 154 yang telah diwartakan semenjak tahun 1949 yang telah didirikan dengan sebuah rumah kediaman, kedai 2 tingkat dan sebuah gerai makanan. Pencerobohan ini mula dikesan semenjak tahun 1995. Begitu juga di Tanah Wakaf Surau Taman Pelangi terletak di Lot 18718 Mukim Plentong Johor Bahru dan mempunyai keluasan 0.29 hektar, yang telah dibina sebuah gelanggang bulu tangkis dan sepak takraw dan beberapa gerai makanan. Selain itu tanah rezab kubur Kampung Sri Jasa Mukim 18 Batu Pahat telah digunakan sebagai perusahaan nursery. Pencerobohan juga berlaku ke atas wakaf Sekolah Agama, PTB 17458, Bandar Baru UDA yang dibina sebuah rumah banglo. Selain itu, sebahagian kawasan lapang dengan keluasan 36m X 62m telah disewakan kepada sebuah syarikat pengedar kereta nasional sebagai tempat penyimpanan stok kenderaan yang belum dijual. Perjanjian penyewaan dimeterai antara syarikat dengan Pengetua Sekolah dengan kadar sewa sebanyak RM2,500 sebulan tanpa pengetahuan Majlis dan hasil penyewaan kawasan berkenaan tidak diserahkan kepada Majlis. Di satu kawasan yang lain di atas tanah wakaf tersebut ada sebuah bangunan kantin yang disewakan kepada seorang pengusaha kantin. Temu bual dengan pihak pengusaha kantin mendapati kadar sewa yang dikenakan berjumlah RM500 sebulan dan dibayar kepada anak Pengetua Sekolah Agama.21 6.0 Pencerobohan dan Penyalahgunaan Manfaat Wakaf

Selain pencerobohan ke atas aset wakaf, penyalahgunaan hasil wakaf juga berlaku. Antaranya ialah bayaran sewa tanah wakaf tidak dibayar oleh penyewa dan mereka hanya menikmati manfaat wakaf sahaja. Justeru, berlaku tunggakan sewa yang begitu tinggi dan MAIN terpaksa menanggung kerugian hasil daripada tindakan penyalahgunaan hasil atau manfaat wakaf ini. MAIN juga menghadapi masalah dengan penyewa yang enggan menerima skim baru tarif wakaf. Fenomena ini dianggap menyalahgunakan manfaat wakaf untuk kepentingan diri. Di negeri Kelantan, MAIK berhadapan dengan masalah tunggakan sewa yang belum dilangsaikan sepenuhnya oleh penyewa. Pada tahun 1996 sejumlah RM 100,335.00 yang tertunggak. Pada tahun 1997 pula jumlah tertunggak meningkat sebanyak RM 115,004.00 dan jumlah ini semakin meningkat pada tahun 1998 iaitu sebanyak RM 181, 390.00. Jumlah tunggakan ini dianggarkan semakin meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 1999 Majlis terpaksa menanggung tunggakan sewa tak berbayar sebanyak RM 133,663.70. Pada tahun 2000 terdapat sejumlah kira-kira RM 158,332.82. Jumlah tunggakan tertinggi ialah di Lot 284, Mukim Badang yang mempunyai penghuni seramai 269 orang yang melibatkan tunggakan sejumlah RM 87,732.65. Seterusnya di Lot 401 Kedai Buluh Badang yang mempunyai jumlah 49 orang penghuni, jumlah yang tertunggak bernilai RM 21,260.00. Manakala di Lot 2080, 2081 dan Lot 2082 melibatkan
21

Laporan Ketua Audit Wakaf Negeri Johor Tahun 2003.

tunggakan sebanyak RM 13,984.77 dengan bilangan penghuni seramai 50 orang. Terdapat juga mereka menyewa kepada pihak lain. Hasil tinjauan didapati 14 buah rumah kediaman/ kedai di Lot 2080 telah diberi sewa kepada orang lain.22 7.0 Isu-Isu Berbangkit dalam Kes Pencerobohan Tanah Wakaf

7.0.1 Menambah Keluasan Tanah Wakaf Selain itu terdapat juga isu pencerobohan tanah wakaf dengan menambahkan keluasan tanah wakaf tanpa mendapat keizinan daripada MAIN. Sebagai contoh di negeri Kelantan, MAIK telah mengenal pasti lokasi dan keluasan tanah wakaf yang didiami oleh setiap penyewa dengan melantik seorang Pegawai Penempatan untuk mengukur keluasan tanah seperti yang ditetapkan oleh MAIK dengan kadar harga RM80.00 bagi 1600 kaki persegi. MAIK hanya menaikkan kadar sewa selaras dengan keluasan yang diduduki berdasarkan kadar yang ditetapkan. Sebelum ini MAIK tidak mempunyai Pegawai Penempatan, oleh itu para penyewa sengaja meluaskan tanah yang diduduki oleh mereka sekarang dengan sesuka hati dan keluasan sebenar tidak dapat dipastikan oleh pihak MAIK secara tepat.23 Keadaan yang sama berlaku di negeri-negeri yang lain di Malaysia. Jadual 4: Perbandingan Kadar Sewa Sebelum dan Selepas Pengukuran
BIL 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 NO/FAIL 419/1960/53 419/1960/62 419/1960/76 419/1960/72 224/1970/1 71/1973/8 419/1960/85 71/1973/81 71/1973/223 71/1973/71 71/1973/5 419/1960/59 419/1960/89 419/1960/66 71/1973/18 KADAR SEWA SEBULAN (SBL) (RM) 63.00 63.00 63.00 63.00 13.00 60.00 63.00 60.00 60.00 60.00 60.00 63.00 63.00 63.00 60.00 KADAR SEWA SEBULAN (SLP) (RM) 212.50 50.25 251.00 80.91 261.40 236.00 112.00 282.70 301.00 167.00 76.30 396.70 208.00 182.35 267.25 JUMLAH PERBEZAAN (RM) 149.50 12.75 188.00 17.91 248.40 176.00 49.00 222.70 241.00 107.00 16.30 333.70 145.00 119.35 207.25

Sumber: Unit Baitumal dan Wakaf MAIK 7.0.2 Penjualan Tanah Wakaf

22

Deretan kedai di Lot 174 kebanyakannya adalah disewa kepada orang lain dan ada juga pihak yang tidak bertanggung jawab menjual kepada pihak kedua. Kedudukannya yang strategi berhampiran dengan pusat bandar Kota Bharu menjadi daya tarikan orang ramai untuk meraih keuntungan yang berlipat ganda. Lihat Mohd Afandi Mat Rani (2002), op. cit., hlm.171 23 Mohd Afandi Mat Rani (2002), op. cit., hlm.97

Kedapatan juga tanah wakaf yang dijual oleh anak-anak penyewa asal kepada pihak ketiga tanpa menukar nama pemilik dan di luar pengetahuan MAIK dengan harga yang tinggi. Pihak pertama (penyewa asal) yang mendiami tanah tersebut telah lama meninggal dunia dan diwarisi oleh waris atau isteri atau anak. Ada juga tanah wakaf yang dijual dan ditukar nama secara sah walaupun tiada surat perjanjian. Kebanyakan pembelinya adalah penghuni di kawasan yang sama yang terdiri daripada golongan yang berkemampuan. Apa yang lebih malang, tanah tersebut dijual sedangkan tunggakan hutang sewaan tak terbayar dengan MAIK masih banyak dan belum dilunaskan lagi. Lantaran itu penyewa menjadi mangsa kerana dinaikkan harga sewa bagi meraih keuntungan kepada pemilik yang baru. Pada dasarnya pemilik asal hanya menjual rumah kediaman yang dibinanya sendiri di atas tanah wakaf, namun melihat kepada nilai harga rumah tersebut ia termasuk juga nilai tanah tapak kediaman. Tindakan ini secara tidak langsung menyukarkan pihak MAIK untuk mengenali penyewa asal yang berhak membayar hutang yang tertunggak. Maka adalah tidak adil sekiranya faedah yang diperoleh daripada harta wakaf hanya berlegar kepada golongan tertentu sahaja. 7.0.3 Tanah Wakaf dijadikan Pesaka Isu tanah wakaf dijadikan harta pesaka juga berlaku dan menjadi telah banyak dibincangkan. Tanah wakaf telah diwarisi sama ada oleh isteri, anak-anak, cucu, atau keluarga mereka dan akhirnya harta tersebut menjadi milikan kekal atau dipesakai. Di negeri Kelantan kedapatan juga tanah wakaf yang dijual oleh anak-anak penyewa asal kepada pihak ketiga tanpa menukar nama pemilik dan di luar pengetahuan MAIK dengan harga yang tinggi. Pihak pertama (penyewa asal) yang mendiami tanah tersebut telah lama meninggal dunia dan diwarisi oleh waris atau isteri atau anak. Ada juga tanah wakaf yang dijual dan ditukar nama secara sah walaupun tiada surat perjanjian. Kebanyakan pembelinya adalah penghuni di kawasan yang sama yang terdiri daripada golongan yang berkemampuan. Apa yang lebih malang, tanah tersebut dijual sedangkan tunggakan hutang sewaan tak terbayar dengan MAIK masih banyak dan belum dilunaskan lagi. Lantaran itu penyewa menjadi mangsa kerana dinaikkan harga sewa bagi meraih keuntungan kepada pemilik yang baru. Pada dasarnya pemilik asal hanya menjual rumah kediaman yang dibinanya sendiri di atas tanah wakaf, namun melihat kepada nilai harga rumah tersebut ia termasuk juga nilai tanah tapak kediaman. Tindakan ini secara tidak langsung menyukarkan pihak MAIK untuk mengenali penyewa asal yang berhak membayar hutang yang tertunggak. Maka adalah tidak adil sekiranya faedah yang diperoleh daripada harta wakaf hanya berlegar kepada golongan tertentu sahaja. Keadaan ini langsung bertentangan dengan hukum syarak dan niat pewakaf. Tindakan yang tidak bermoral ini tidak akan memberi manfaat kepada pembangunan umat Islam. Melalui temubual dengan beberapa orang penghuni yang tinggal di tanah wakaf jelas menunjukkan pemahaman dan pengetahuan umat Islam tentang kepentingan pembangunan tanah Wakaf amat terbatas. Mereka cukup bimbang sekiranya penempatan dan kepentingan mereka selama ini diganggu gugat, sekiranya diambil alih oleh MAIK bagi tujuan projek pembangunan. Mereka belum menyedari bahawa pembangunan wakaf dapat membantu proses pembangunan ekonomi umat Islam seluruhnya.

Jadual 4: Tanah Wakaf dijadikan Pesaka BIL 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 NO. LOT 2080 2080 2080 2080 284 284 284 284 284 284 284 284 NO. RUMAH 52 68 69 53 4 11 8 15 22 30 32 44 HUBUNGAN Anak Anak Keluarga Anak Adik beradik Cucu Cucu Anak Anak Keluarga Anak Ibu Mertua

7.0.4 Pendaftaran Tanah Wakaf Dalam kes pembahagian wang pampasan oleh PBN bagi tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan, terdapat juga kes-kes perebutan wang yang berlaku antara pihak-pihak yang berkepentingan disebabkan oleh tanah wakaf yang tidak didaftarkan kepada MAIN. Kes sedemikian juga dianggap menceroboh tanah wakaf dengan membuat pengakuan hak milik tanah. Keadaan ini berlaku kerana pihak kerajaan telah membayar pampasan kepada pewakaf atau ahli waris yang dianggap sebagai pemilik yang sah. Sebagai contoh di negeri Kedah, sebahagian Lot tanah wakaf 11609 SPK 513424 milik Allahyarham Haji Ibrahim Bin Tahir yang diwakafkan pada 14 Oktober 1986 telah terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan untuk tujuan pembesaran jalan Pekan Gurun ke Pekan Sik. Pihak Pentadbiran MAIK mendapati anak pewakaf iaitu Tuan Hj. Mustaffa bin Ibrahim telah menerima wang pampasan berjumlah RM42,607.10 kerana beliau adalah pemilik yang sah berdasarkan dokumen hak milik. MAIK membuat permohonan kepada anak pewakaf supaya wang pampasan yang diterima itu hendaklah diserahkan kepada MAIK untuk membeli tanah lain sebagai ganti yang mempunyai nilaian yang sama atau lebih baik daripada itu. Anak kepada pewakaf tersebut iaitu Tuan Hj. Mustaffa telah bersetuju menyerahkan kembali wang pampasan kepada MAIK untuk diuruskan secara lebih sistematik. Selain kes di atas, terdapat juga kes tanah wakaf jenis tapak surau di Sungai Petani25 yang tidak didaftar di atas nama MAIK dan tanah tersebut telah terlibat dengan pengambilan oleh kerajaan. Ahli waris adalah pihak berkepentingan yang layak untuk menerima wang pampasan sebanyak RM8,000.00 kerana nama MAIK tidak terdapat dalam dokumen hak
24 25

Temubual: En. Ahmad Zaki bin Ghazali, Pegawai Wakaf MAIK, Pada 22/11/2005, di Pejabat MAIK. Ibid.

10

milik tanah tersebut. MAIK telah membuat bantahan kepada ahli waris pewakaf dan mengadakan rundingan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) agar wang pampasan tidak diserahkan kepada ahli waris. MAIK mencadangkan kepada JKR supaya beberapa alternatif diambil sama ada JKR tidak menyerahkan wang pampasan kepada ahli waris, sebaliknya menggantikan tanah lain dengan cara pembelian tanah milik di kawasan yang berhampiran surau berkenaan. Pihak JKR juga bersetuju tidak akan merobohkan surau selagi tidak diganti dengan surau yang lain. Jika diserahkan wang pampasan kepada ahli waris, mereka hendaklah menyerahkan kembali kepada MAIK untuk diuruskan oleh badan ini, atau mereka sendiri hendaklah menguruskan penggantian tanah lain dengan wang pampasan yang diberikan kepada mereka. Di Melaka kes perebutan hak milik juga berlaku di tanah wakaf Lot 586 Mukim Duyung, Daerah Melaka Tengah. Pertikaian ini berlaku antara ahli waris dengan Ahli Jawatankuasa Surau Jambatan Duyung yang berbeza fahaman politik telah menuntut wang pampasan agar dibayar kepada mereka. Menurut Pengerusi Surau Jambatan Duyung, tanah tersebut telah diwakafkan secara lisan tetapi tidak menjalani proses pendaftaran hak milik kepada MAIM. Menurut AJK surau Jambatan Duyung lagi, pembinaan surau di atas tanah tersebut telahpun mendapat keizinan dan kebenaran daripada pemilik asal tanah untuk kegunaan surau. Ahli waris telah menafikan bahawa tanah itu telah didaftarkan sebagai tanah wakaf. Menurut penama di dalam geran tersebut Hussein Doss bin Mohamad dan Jawiah bt Mat, tanah Lot 586 Mukim Duyung adalah tanah hak milik persendirian. Ahli waris juga telah membantah pelantikan ahli jawatankuasa surau dan tidak pernah mengiktiraf penubuhan ahli jawatankuasa tersebut. Tanah ini kemudiannya telah dijual kepada orang lain tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada ahli jawatankuasa surau, termasuk juga tapak surau yang berada di atas tanah yang sama. Manakala tuan tanah yang baru bersetuju untuk mewakafkan sebahagian tanah ini untuk pembinaan surau lain. Ahli waris memohon kepada MAIM supaya menolak sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain yang dianggap sebagai tidak berasas. Ahli waris turut menjelaskan bahawa beliau tidak pernah melantik mana-mana ahli jawatankuasa bagi mentadbir surau tersebut. Pada dasarnya, ahli waris yang membangkang keputusan ahli jawatankuasa surau tersebut bukanlah berhasrat untuk mendapatkan wang pampasan tersebut tetapi ingin menguruskan surau berkenaan secara bersendirian. Apa yang difahamkan ahli waris ingin mendapatkan wang pampasan tersebut untuk membeli tanah lain dan menggantikan surau yang telah dirobohkan. Ahli Jawatankuasa Surau pula tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada MAIM untuk mendapat tindakan yang selanjutnya iaitu mendapatkan pengesahan tentang status atau kedudukan tanah yang belum ditukar hak milik. 7.0.4 Pendudukan Haram di atas Tanah Wakaf Majlis juga berhadapan dengan masalah pendudukan haram yang membanjiri tanah wakaf sejak sekian lama. Penjualan tanah wakaf, penyewaan semula tanah wakaf, pembinaan bangunan kekal, tanah wakaf dijadikan pesaka, keluasan tanah yang diduduki semakin bertambah, isu tuntutan pampasan, tunggakan sewa dan sebagainya menjadi beban kepada MAIK untuk menangani dan melayaninya dalam tempoh yang terdekat. Apa yang termampu bagi MAIK dalam berhadapan dengan permasalahan yang

11

dihadapinya ini diselesaikan secara berperingkat-peringkat. Permasalahan ini juga turut berkait rapat dengan sikap individu sendiri yang terlalu mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan persoalan hukum hakam dan kepentingan masyarakat umum. 7.0.5 Kekurangan Kakitangan MAIN Semakan Jabatan Audit ke beberapa buah negeri mendapati Bahagian Wakaf di peringkat ibu pejabat hanya mempunyai beberapa orang kakitangan sahaja. Ini menyebabkan tumpuan kurang diberikan kepada hal ehwal wakaf dan mengakibatkan pelbagai kelemahan seperti pencerobohan tanah wakaf lewat dikesan. Selain itu, jawatan yang disandang ini adalah berstatus kontrak. Melihat kepada bidang tugas ini, sudah jelas menunjukkan bilangan kakitangan dan tenaga kerja yang menjalankan urusan wakaf amat terhad. Ini adalah faktor utama terbantutnya kelicinan perjalanan urusan wakaf. Situasi ini tidak mungkin dapat melaksanakan program dan perancangan dengan sempurna terutama mengawal selia tanah wakaf daripada pencerobohan. Pegawai Baitulmal dan Wakaf terpaksa memikul semua beban tanggung jawab yang melibatkan dua institusi yang agak besar, iaitu Baitulmal dan Wakaf pada satu masa. Jika dilihat kepada perkembangan antara dua institusi ini nampaknya MAIN lebih memberi keutamaan dan penumpuan kepada institusi Baitulmal. Kemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor tertentu, institusi wakaf tidaklah begitu ketara peranan dan fungsi yang seharus dan sepatutnya dilaksanakan.26 8.0 Saranan dan Cadangan Penyelesaian

Di negeri Kelantan MAIK antara cadangan yang telah dibuat ialah dengan mengadakan perbincangan dengan panel undang-undang MAIK dan beberapa alternatif telah diambil antaranya ialah:27 a) Bagi merancang projek pembangunan notis akan dikeluarkan untuk merampas kembali tanah wakaf yang telah didiami oleh penghuni; b) Pendaftaran semula nama penghuni atau penyewa tanpa mengambil kira kepentingan tuan punya rumah, walaupun mereka telah membayar hasil tanah kepada MAIK; c) Tindakan undang-undang perlu diambil kepada penyewa yang mengaut keuntungan dengan memberi sewa kepada orang lain; d) Penyewa asal dipertanggung jawab sepenuhnya menghalau pihak ketiga (penyewa lain) dalam tempoh tertentu dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak ketiga. Walaupun langkah-langkah ini telah diambil dan cuba untuk diaplikasikan, namun MAIK masih lagi meragui keberuntungan tindakan undang-undang untuk memfailkan saman di
26

Mohd Zain Haji Othman (1998), Wakaf Dari Perspektif Undang-undang Islam, Amalan dan Permasalahannya di Malaysia, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1. jld.6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.193. 27 Rujuk: Surat MAIK kepada Tetuan Azmi Tan & Co. ruj. MUI (KN)/347/161/Bhg.11/ (11), bertarikh 15 Julai 2001.

12

mahkamah bagi mana-mana pihak yang menceroboh tanah wakaf dan yang tidak menjelaskan penyewaan premis. Ini berikutan, implikasi daripada susulan tindakan ini MAIK terpaksa menanggung kos pembiayaan guaman yang tinggi dan penyelesaiannya memakan masa yang panjang. Bagi kes saman penyewa yang tidak menjelaskan tunggakan sewa pula, kos perbicaraan di mahkamah lebih tinggi berbanding jumlah tunggakan yang bakal diperoleh oleh MAIK. Sekiranya MAIK bercadang untuk membangunkan kawasan tersebut, akan timbul isu tuntutan pampasan daripada mereka yang terlibat, dengan alasan bahawa mereka telah mengusahakan tanah tersebut sejak berpuluh-puluh tahun dan tanah tersebut pada mulanya dipenuhi dengan hutan dan semak samun dan berkeadaan terbiar. Akibatnya mereka enggan berpindah kecuali setelah mendapat imbuhan daripada MAIK berupa wang pampasan. Sebagai contoh di Lot 2134 Mukim Panchor Kemumin terdapat 9 buah rumah yang didirikan secara haram meliputi kawasan seluas 4 ekar. Penghuni di atas tanah ini belum pernah mendaftar secara sah dengan pihak MAIK dan tawaran sewaan belum pernah dibuat walaupun ada yang menduduki tanah tersebut sejak tahun 1960 an lagi. Inilah permasahan utama yang dihadapi oleh MAIK terhadap pencerobohan haram ke atas tanah wakaf MAIK, terutamanya tanah wakaf yang berada di sekitar bandar Kota Bharu. Keadaan ini akan berterusan sekiranya tidak ada langkah pencegahan dan tindakan undang-undang dibendung bermula daripada sekarang. Isu pencerobohan haram (Ghasab) atau pendudukan setinggan adalah menjadi masalah yang mesti ditangani secara bijak dengan mengambil kira kesejahteraan yang bakal dinikmati bersama-sama oleh penduduk setinggan agar mereka tidak teraniaya dan tidak menimbulkan sebarang fitnah yang boleh memburukkan nama MAIK sebagai badan yang menjaga hak kebajikan orang Islam. Bagi menangani isu kependudukan haram, beberapa alternatif boleh diambil oleh MAIN, antara langkah awalnya ialah melalui konsep istibdal28 yang telah dibincangkan sebelum ini. Konsep ini boleh diaplikasikan melalui penjualan tanah wakaf yang telah didiami sekian lama oleh penghuni. MAIN perlu mengesyorkan kepada penghuni yang tinggal di atas tanah wakaf agar mereka membeli tanah tapak kediaman masing-masing, terutama bagi kediaman atau bangunan kekal yang didudukinya sekian lama. Bagi golongan yang tidak berkemampuan, mereka boleh menjelaskan bayaran tersebut secara bulanan atau ansuran. Isu pendaftaran tanah wakaf tidak boleh dipandang remeh oleh MAIN. Ini kerana sistem torrens yang diamalkan di Malaysia bahawa hak milik seseorang yang tidak boleh disangkal adalah merujuk kepada tuan tanah yang didaftarkan nama mereka di dalam dokumen pendaftaran. Pendaftaran tanah wakaf sama ada wakaf Khas, Am dan Zuriat hendaklah dilakukan dengan tindakan segera. Kesan pendaftaran ini MAIN akan berhadapan dengan tuntutan dan pertikaian daripada ahli waris pewakaf. Daripada beberapa kes yang dikemukakan berkaitan isu perebutan tanah antara MAIN dengan ahli warisi didapati kebanyakannya adalah disebabkan oleh masalah pendaftaran tanah wakaf
28

Walaupun kaedah ini bertentangan dengan mazhab Syafii yang menjadi rujukan utama kepada MAIK, namun ia boleh diguna pakai jika tidak berlawanan dengan kepentingan awam. Lihat Enakmen MAIK 1994, Seksyen 37 dan 38.

13

Di negeri Kedah, Jabatan Mufti mengakui bahawa adalah menjadi satu kesilapan kepada MAIK kerana tidak membuat penyemakan dan pendaftaran tanah-tanah wakaf masjid dan kubur di Pejabat Tanah apabila berlaku pertikaian hak milik.29 Pengkalan data yang lengkap dan komprehensif mengenai tanah-tanah wakaf belum lagi terkumpul dan tersusun. Dengan adanya inventori wakaf ini secara tidak langsung MAIN dapat mengenalpasti taburan atau kedudukan tanah-tanah wakaf yang berada dalam keadaan berselerak di seluruh daerah di dalam negeri berkenaan. Data-data yang ada perlu direkodkan dan dilaporkan dalam bentuk yang mudah difahami untuk dikaji dan dianalisis dari semasa ke semasa. Kajian dan penyelidikan semula serta siasatan dari semasa ke semasa perlu dijalankan ke atas keseluruhan tanah wakaf di bawah kawalan MAIN Perubahan dan pembaharuan dalam sistem data pengumpulan harta wakaf mesti dilakukan sejajar dengan ledakan arus perkembangan dunia teknologi maklumat berkomputer masa kini. Maklumat harta wakaf yang terkandung dalam fail lama tidak sesuai lagi dijadikan sumber rujukan kerana ia melengahkan usaha MAIN untuk meneliti setiap timbunan fail yang memakan masa yang lama. Keseluruhan hartanah wakaf perlu dikemaskinikan di dalam sistem pengisian maklumat berkomputer atau dikenali sebagai bank data sejak dari mula pengambilan tanah dibuat oleh PBN. Segala maklumat butirbutir setiap kes perlu jelas dari segi jenis wakaf, lokasi, bilangan lot, keluasan tanah dan lain-lain maklumat yang diperlukan diisi dengan lengkap dan sempurna mengikut daerah. Data-data yang telah dikemaskini berupaya memberikan gambaran yang jelas tentang kedudukan semasa hartanah wakaf. Secara tidak langsung maklumat-maklumat yang ada ini dapat membantu MAIN mengawal hartanah wakaf mereka daripada dicerobohi. Secara umumnya, Baitumal tidak menyediakan Laporan Am Tanah bagi mengenal pasti status tanah. Kegagalan menyediakan Laporan Am Tanah ini mengakibatkan Baitulmal tidak dapat mengenal pasti status keadaan tanah. Keadaan ini menyebabkan kemungkinan besar tanah-tanah tersebut dicerobohi dan Baitulmal tidak dapat memungut apa-apa hasil daripada hartanah tersebut. Selain itu, tanpa mengetahui status tanah maka Baitulmal tidak dapat membuat perancangan yang baik bagi membangunkan hartanah wakaf yang berpotensi.30 9.0 Kesimpulan

Tindakan pencerobohan tanah wakaf adalah bertentangan dengan hukum syarak dan niat pewakaf itu sendiri. Tindakan yang tidak bermoral ini tidak akan memberi manfaat kepada pembangunan umat Islam. Melalui temubual dengan beberapa orang penghuni yang tinggal di tanah wakaf jelas menunjukkan pemahaman dan pengetahuan umat Islam tentang kepentingan pembangunan tanah Wakaf amat terbatas. Mereka cukup bimbang sekiranya penempatan dan kepentingan mereka selama ini diganggu gugat, sekiranya diambil alih oleh MAIN bagi tujuan projek pembangunan. Mereka belum menyedari bahawa pembangunan wakaf dapat membantu proses pembangunan ekonomi umat Islam seluruhnya. Justeru, langkah segera perlu diambil oleh pihak berkuasa agar tindakan yang

29

Temubual: Yg. Bhg. Dato Paduka Syeikh Hazbullah B. Hj. Abdul Halim, Mufti Kerajan Negeri Kedah, pada 24/11/2005, di Pejabat Mufti Alor Star Kedah. 30 Laporan Audit Negara Negeri Kedah Tahun 2007.

14

tidak bertanggungjawab ini dapat diatasi dan manfaat wakaf dapat diberikan kepada mereka yang berhak serta dinikmati sebagaimana yang diniatkan oleh pewakaf.

BIBLIOGRAFI Ahmad Farraj Hussayn (1986), Al-Milkiyyah wa Nazariyyah al-Aqd fi al-Syariah alIslamiyyah, (t.t), Dar al-Jamiyyah Abu Daud Sulayman b. Asyath (1988), Sunan Abi Dawud, jld.2 & 4, Kaherah: Dar alRayyan. Baharuddin Sayin (1998), Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf di Semenanjung Malaysia, Jurnal Fikrah, Jld.1, Januari 1998, Pusat Pendidikan Persediaan, Institut Teknologi MARA Al-Bukhari, Abi Abdillah Muhammad b. Ismail (1992), Sahih al-Bukhari, jld.4, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1961), Al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syariyyah, alMuassasah al-Arabiyyah li al-Tibaah wa al-Nasyr Laporan Ketua Audit Negara Negeri Kedah Tahun 2007 Laporan Ketua Audit Negara Negeri Johor Tahun 2003 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. Kes Mal. NO.41-005-1-999 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu lwn. Wahab Bin Hassab dan 4 lagi. Mohd Afandi Mat Rani (2002), Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf di Negeri Kelantan, Tesis Sarjana Syariah dan Undang-undang, Universiti Malaya: Kuala Lumpur Mohd Ridzuan Awang (2005), Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Pengambilan Tanah Rakyat: Kajian Perbandingan Antara Undang-undang Islam dan Kanun Tanah Negara 1965, Jurnal KIAS, bil.2, 2005/1426H Mohd Zain Haji Othman (1998), Wakaf Dari Perspektif Undang-undang Islam, Amalan dan Permasalahannya di Malaysia, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1. jld.6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Mohd Shahiran Abdul Latif (2006), Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, Tesis Ijazah Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi Al-Wafi, Ali Abd al-Wahid (1979), Huquq al-Insan fi al-Islam, cet.5, Kaherah: Dar alNahdah 15

Rujukan Akhbar Utusan Malaysia, 28/4/2009 Senarai Status Akta Kanun Tanah Negara 1965 Akta Pengambilan Tanah 1960 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (bil. 4 Tahun 1994) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (bil.12 Tahun 1986) Enakmen Jenayah Negeri Sembilan (bil.4/1992) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Melaka (Bil.6/1991) Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Sarawak (Bil.6/1991), Seksyen 39. Majallah al-Ahkam Manual Pengurusan JAKIM

Senarai Temubual En. Ahmad Zaki bin Ghazali, Pegawai Wakaf MAIK, Pada 22/11/2005, di Pejabat MAIK. Yg. Bhg. Dato Paduka Syeikh Hazbullah B. Hj. Abdul Halim, Mufti Kerajan Negeri Kedah, pada 24/11/2005, di Pejabat Mufti Alor Star Kedah

16