Anda di halaman 1dari 10

Bahan Sisipan Tutor Utusan Melayu Mata Pelajaran : Kesusasteraan Melayu / KOMSAS SPM/PMR Oleh : Mohd.

Fauzi bin Abdullah Institut Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur MARI BERSYAIR Pada keluaran ini, pelajar akan didedahkan dengan panduan mencipta dan mendendangkan syair. Sebelum itu, sebaiknya pelajar mengenali terlebih dahulu konsep, bentuk dan ciri puisi berkenaan bagi memudahkan proses penciptaannya.. Konsep/ Istilah Syair Sepertimana pantun, syair juga adalah karya kreatif lisan genre puisi tradisional Pada awalnya, diguna secara meluas di nusantara untuk menyebarkan ajaran tasauf / sufi Islam di samping untuk tujuan bercerita. Kerana itu, kebanyakan syair ditulis dalam bentuk teks/ naskhah. Istilah syair berasal daripada perkataan Arab shir (puisi/ sajak) dan shair (penulis puisi/ penyajak) Dikarang dan dicipta oleh Hamzah Fansuri (penyair sufi Acheh) Mula dikenali dan berkembang selepas Hamzah Fansuri meninggal pada 1630. Dipercayai bentuk prototaip syair tertulis pada 1380; upajati di batu nisan Minye Tujuh, Acheh. Ciri Syair Empat baris serangkap Tiga hingga empat kata dasar / 8 12 suku kata sebaris Skima rima hujung a,a: a,a (serima) ; tidak dipentingkan rima tengah.

Wujud hentian sebentar (pause) di pertengahan baris dan jeda (caesura) di hujung baris pertukaran lenggok suara dan melodi. Keseluruhan baris adalah satu kesatuan idea. Tidak dapat berdiri sebagai satu rangkap, keseluruhan rangkap adalah kesatuan idea. Isinya bercorak cerita atau huraian panjang mengenai subjek. Bahasanya padat dan puitis. Syair adalah cerita lengkap (ada watak, urutan peristiwa, teknik dan penyusunan plot seperti cereka/ ada subjek dan huraian tentang subjek berkenaan secara berurutan) Panduan Mencipta Syair

1. Tetapkan tema cerita atau subjek, misalnya mengenai : kasih sayang alam sekitar ilmu dan sebagainya.

2. Aturkan urutan peristiwa atau huraian terhadap subjek berkenaan (seperti membina plot cereka; permulaan, perkembangan, penutup). Sebaiknya buat dalam bentuk peta minda. 3. Sebagai latihan awal, hadkan jumlah rangkap yang ingin dicipta Contoh : Tema : Ilmu Jumlah rangkap : 6 Permulaan : konsep ilmu (1 rangkap) Ilmu umpama pohon berbuah, Menanam ia mendapat tuah, Tempat berteduh dikala susah, Jika berhujan pasti tak basah.

Perkembangan : 2 kekuatan orang berilmu (2 rangkap) Orang berilmu sukar dicari, Sehari-hari memencil diri, Hanya manikam kenal jauhari, Bila bercakap merendah diri. Ilmu membentuk budi bahasa, Mengenal diri mengenal bangsa, Bila berhujah tidak berdusta, Tidak bercakap yang sia-sia.

Perkembangan : 2 kelemahan orang tidak berilmu (2 rangkap) Jika malas menuntut ilmu, Jadilah kita bodoh dan dungu, Semua perkara kita tak tahu, Ke mana pergi mendapat malu. Di tengah medan orang berbincang, Kita nan hanya pandang memandang, Tercegat kaku di tengah gelanggang, Barulah sedar diri terbuang.

Penutup : 2 nasihat peri pentingnya menuntut ilmu (2 rangkap) Wahai semua rakan dan taulan, Ikutlah sadba nabi berpesan, Tuntutlah ilmu dari buaian, Sehingga mati berpacak nisan. Ingat-ingatlah saudara semua, Tuntutlah ilmu di mana jua

Penuhkan isi di dalam dada, Bahagia di dunia akhirat jua. 4. Dahulukan isi penting atau subjek yang hendak ditekankan, diikuti isi yang kurang penting atau huraian tentang subjek berkenaan. 5. Satu rangkap adalah satu kesatuan idea yang mewakili satu isi. Elakkan dari memberikan lebih daripada satu isi bagi satu rangkap. 6. Jika ianya berbentuk cerita, fikirkan watak, susunan plot, teknik penceritaan dan elemen-elemen lain seperti penciptaan cereka. 7. Atur dan pilih bahasa / frasa yang sesuai. Proses menyunting perlu dilakukan berkali-kali agar terhasil susunan kalimat yang puitis, tepat dan berkesan. Misalnya : Ilmu membentuk budi bahasa, Mengenal diri mengenal bangsa, Bila berhujah (Petah berhujah) tidak berdusta, Tidak bercakap yang sia-sia. Selepas diamati, frasa bila berhujah mungkin lebih sesuai diganti dengan petah berhujah. Kesesuaian bahasa boleh diukur berdasarkan pertimbangan puitis, sedap didengar, mudah disebut, berkesan dan bermakna. 8. Aturkan perkataan mengikut padanan skima rima a,a;a.a (serima). Sebaikbaiknya skira rima seimbang. Misalnya : Orang berilmu sukar dicari, Sehari-hari memencil diri, Hanya manikam kenal jauhari, Bila bercakap merendah diri. (a) (a) (a) (a)

9. Walau bagaimanapun disebabkan kekangan bunyi perkataan, skima rima hujung syair lebih longgar berbanding pantun (tidak seimbang), misalnya;

Di tengah medan orang berbincang, Kita nan hanya pandang memandang, Tercegat kaku di tengah gelanggang, Barulah sedar diri terbuang. Bunyi suku kata hujung (skima rima) cang, -dang, -gang- dan ang walaupun masih bercorak serima namun tidak berbunyi seimbang. 10. Adalah lebih bagus, sekiranya dapat diaturkan skima rima tengah a,a:a,a sama seperti skima rima hujung. Dengan ini bunyinya menjadi lebih harmonis kerana pengaruh hentian sebentar di tengah baris (pause) dan jeda (caesura) di hujung baris yang mengubah lenggok suara serta melodi syair. Misalnya : Orang berilmu (a) / sukar dicari, (a) Payah bertemu (a) / memencil diri, (a) Manikam tentu (a) / kenal jauhari, (a) Bercakap selalu (a) / merendah diri. (a) Hal ini memerlukan ketelitian dan mengambil masa yang agak panjang, di samping penguasaan perbendaharaan kata yang banyak. Namun dengan kesabaran dan latihan berterusan, pelajar mampu melakukannya. 11. Untuk mendapatkan lenggok bunyi dendangan syair, sebaiknya ketika menulis kita bunyikan dendangan syair berkenaan. Dengan cara itu kita dapat menysun dan memilih perkataan yang seimbang sukatan kepanjangannya bagi menimbulkan keharmonisan melodi syair. Misalnya : Wahai semua / rakan dan taulan, Memang nabi / ada berpesan, (Ikutlah sabda nabi berpesan) Tuntutlah ilmu / dari buaian, Hingga mati / berpacak nisan. Berdasarkan draf awal, baris kedua terasa agak janggal dan kurang harmonis bila didendangkan. Oleh itu penulis menukarkan frasa berkenaan menjadi

ikutlah sabda nabi berpesan, yang kedengannya lebih harmonis dan menepati sukatan lenggok melodi syair. Panduan Mendendangkan Syair Syair boleh didendang menggunakan beberapa versi lagu atau melodi. Ada teks/ naskhah tertentu sememangnya didendangkan dengan melodi lagu yang khusus. Misalnya : o Lagu Selendang Delima ( teks Syair Selendang Delima). Lagu syair ini digunakan secara meluas oleh pelajar dan guru di sekolah serta masyarakat umum untuk mendendangkan syair. o Lagu Siti Zubaidah (teks Syair Siti Zubaidah Perang China) popular di Pahang dan Terengganu. o Lagu Rakis ( teks Syair Rakis karangan Almarhum Pangeran Shahbandar Pangeran Mohamad Salleh popular di Brunai dan Sarawak) o Lagu Narasi popular di Johor, Melaka, Negeri Sembilan. Pelajar dan guru boleh mendengar contoh lagu atau melodi syair berkenaan dengan mendapatkan kaset puisi tradisional (Komsas) yang dikeluarkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Berpandukan melodi lagu Selendang Delima, yakni lagu syair yang sudah sedia digunakan di sekolah oleh pelajar dan guru, berikut diberikan beberapa panduan ringkas untuk mendendangkan syair dengan baik. 1. Suara. Semua orang boleh bersyair, namun tidak semua orang boleh bersyair dengan baik. Suara adalah sifat semulajadi. Adalah satu kelebihan andainya ada pelajar atau guru yang memang dianugerahi suara yang merdu dan tahap boleh-lentur yang tinggi. Namun dengan latihan yang berterusan, semua orang akhirnya akan mampu bersyair, sekurang-kurangnya mengikut lenggok melodi sukatan syair. 2. Hayati tema, suasana dan mood cerita atau isi syair. Sebelum mula mengalunkan dendangan syair kita seharusnya memahami dengan jelas mood

isi cerita syair berkenaan. Hal ini membolehkan kita melenturkan suara dan nada bersesuaian dengan isi syair. 3. Melodi syair. Secara umumnya melodi lagu syair (walau apapun lagu yang digunakan) adalah berentak berlahan dan mendayu-dayu. Hal ini terjadi kerana mesej syair sebenarnya menekankan aspek perasaan yang harus dinikmati telinga secara halus melalui imaginasi akal dan rasa kalbu. 4. Patah kata dan lenggok lagu mengikut baris. Bagi mendapatkan lenggok suara yang harmonis, kita seharusnya menghayati dan memahami setiap patah perkataan, frasa dan ayat yang membentuk tiap rangkap syair berkenaan. Ini untuk memudahkan kita mematahkan kata (pause) di pertengahan baris dan melenturkan suara (caesura) di hujung baris. 5. Skima muzik/ melodi. Secara umumnya bagi mana-mana puisi tradisional termasuk syair, muzik katanya ditandai dengan empat bentuk skima suara : Suara mendatar Suara meninggi Suara merendah Suara beralun

Gabungan skima muzik ini menerbitkan tingkah suara yang mempengaruhi alunan kata dan muzik puisi tradisional. Di sinilah letaknya keindahan pengucapan atau dendangan puisi berkenaan. 6. Sama seperti kita mempelajari hukum tajwid dalam pengajian al-Quran, patah

kata dan perhentian serta turun naik suara tidak boleh dilakukan sewenangwenangnya. Selain menjejaskan keharmonisan lagu, ia juga mungkin mengakibatkan berlakunya kekeliruan atau kesalahan makna kata. Begitulah halnya dengan syair. 7. Pastikan kita berhenti (mematahkan kata) di tempat yang sesuai. Hal ini ditandai di mana pematahan kata ini masih boleh membentuk kata atau frasa yang bermakna; tidak tergantung atau tidak membawa makna. Contoh : Orang berilmu / sukar dicari, Sehari-hari / memencil diri, Hanya manikam / kenal jauhari,

Bila bercakap / merendah diri. Bagi syair di atas, tempat di mana kita berhenti (/) masih lagi berupaya mewujudkan frasa yang bermakna. Perhentian seperti ini adalah perhentian yang sempurna kerana rangkap syair berkenaan dibangunkan secara sempurna; 4 perkataan / 8-12 sukukata sebaris, 16 patah perkataan serangkap. 8. Masalah akan timbul bilamana syair yang dibina tidak cukup sempurna dari segi bentuknya, terutama dari segi jumlah perkataan sebaris. Misalnya : Tersebutlah perkataan Bidasari, (3) Setelah malam sudahlah hari, (4) Bangunlah ia seorang diri, (4) Makan dan minum barang yang digemari. (6) Rangkap syair di atas mengandungi jumlah kata yang tidak seimbang antara baris : 3,4,4,6. Oleh itu hukum perhentian selepas dua patah kata setiap baris tidak dapat diikuti. 9. Dalam kedaan ini kita terpaksa bergantung kepada perhentian mengikut suku kata. Juga berdasarkan rasa harmonis bilamana perkataan berkenaan dipatahkan mengikut tempat yang dirasakan sesuai dengan lenggok suara kita. Misalnya. Tersebutlah perkataan / Bidasari, (3) Setelah malam / sudahlah hari, (4) Bangunlah ia / seorang diri, (4) Makan dan minum / barang yang digemari. (6) Perhatikan tempat di mana kita berhenti (/ ). Kolum perhentian mengandungi sepatah, dua patah dan tiga patah kata. Perhatikan juga pematahan kata yang dilakukan tidak menyebabkan adanya frasa yang tidak bermakna. 10. Berdepan dengan binaan syair yang tidak seimbang seperti ini, kemahiran merasa alunan kata sangat diperlukan. Bagi penyair yang peka dan mahir, ia tidak mungkin berhenti ( / ) atau menukar nada melodi seperti ini :

Tersebutlah / perkataan Bidasari, Setelah malam / sudahlah hari, Bangunlah ia / seorang diri, Makan dan minum barang / yang digemari. Menukar nada atau pause pada tempat yang tidak sesuai seperti di baris 1 atau baris 4, walaupun frasanya masih lagi bermakna, ternyata mengganggu intonasi suara dan menjadikan lagu/ melodinya sumbang. 11. Begitu juga berhenti atau menukar nada di pertengahan kata bukan sahaja

menyebabkan frasa tergantung/ tidak bermakna, malah lebih buruk lagi menghasilkan rentak dan lagu yang amat sumbang kedengaran. Misalnya : Tersebutlah per / kataan Bidasari, Setelah malam su / dahlah hari, Bangunlah ia se / orang diri, Makan dan mi / num barang yang / digemari. Cubalah pelajar dendangkan syair di atas dengan berhenti atau menukar tempo nada pada tempat yang ditandakan (/). Apakah hasilnya? Masih harmoniskah bunyinya? Dapatkah difahami dengan jelas isi syair berkenaan? Oleh itu, berhentilah pada tempat yang sewajarnya. 12. Lenggok suara. Setiap perhentian yang sesuai, memerlukan kita menukar

lenggok suara sama ada mendatar, meninggi, merendah atau beralun. Berdasarkan rangkap syair di bawah cuba pelajar latih diri mengalunkan suara : Orang berilmu (mendatar) / sukar dicari (meninggi & beralun) Sehari-hari (meninggi & beralun) / memencil diri (mendatar & merendah) Hanya manikam (meninggi) / kenal jauhari (mendatar & merendah) Bila bercakap( mendatar) /

merendah diri (mendatar dan merendah) Seseorang yang mula belajar bersyair, biasanya menghadapi masalah pitching bagi mengalunkan frasa pertama baris kedua dan ketiga ( sehari-hari ) dan (hanya manikam). Hal ini disebabkan rasa takut-takut atau malu-malu untuk melepaskan suara dari kerongkong. Ingat, bila berhadapan dengan frasa pada tempat berkenaan, lepaskan semua suara dada dan kerongkong anda secara bersahaja. Jangan simpan di kerongkong. Dengan ini suara akan meninggi dan beralun, meningkah suara pada baris pertama dan keempat. Di situlah wujudnya keindahan dendangan syair. Mintalah kawan atau guru anda dengar dan baikilah di mana yang perlu. Selamat mencipta dan mendendangkan syair. Anda pasti boleh melakukannya. Sekian. Wassalam.

Anda mungkin juga menyukai