Anda di halaman 1dari 4

Mariam

Sebelum menurunkan kisah Nabi Isa eloklah diceritakan hal ibunya dahulu. Ibunya
adalah seorang perempuan yang mulia. Allah memuliakannya dengan menamakan sebuah
surah sempena namanya. Surah itu adalah surah Mariam iaitu surah yang kesembilan
belas di dalam al-Qur'an.

Bapa Mariam bernama Imran. Dia juga dimuliakan Allah. Sebenarnya, keluarga Imran
dimuliakan Allah. Buktinya terdapat pada ayat berikut:

"Allah telah memilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas
semua alam" (3:33).

Demikianlah dinamakan keluarga-keluarga yang dipilih Allah di atas semua di alam ini.
Ayat itu adalah ayat yang ke-33 dalam surah Ali Imran, atau Keluarga Imran, iaitu surah
ke-3 di dalam al-Qur'an.

Di surah itulah bermula cerita Mariam. Ceritanya bermula dengan kelahirannya. Allah
menceritakan begini:

"Apabila isteri Imran berkata, 'Pemeliharaku, aku bernazar kepada Engkau, untuk
kebaikan, apa yang di dalam perutku. Terimalah Engkau yang ini daripadaku;
sesungguhnya Engkaulah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.'

"Dan apabila dia melahirkannya, dia berkata, 'Pemeliharaku, aku telah melahirkannya,
seorang anak perempuan.' Allah sangat mengetahui apa yang dia melahirkan, dan
bukanlah anak lelaki seperti anak perempuan, 'Dan aku menamakan dia Mariam, dan
melindungkannya kepada Engkau dengan keturunannya, daripada syaitan yang direjam.'"
(3:35-36)

Perhatikan kepada doa ibu Mariam sebelum dan selepas melahirkannya. Allah menerima
doa ibu Mariam dengan baik.

Kemudian, Allah menceritakan pula Mariam dijagai oleh Zakaria. Mungkin kerana ibu
bapa Mariam sudah meninggal dunia. Zakaria adalah ahli keluarga Imran. Dia berjaya
menjaganya setelah bertengkar dengan ahli keluraga yang lain kerana masing-masing
ingin menjaga Mariam (3:44).

Lalu Mariam membesar,

"..... dia membesar dengan menarik hati .... Setiap kali Zakaria masuk kepadanya di
mihrabnya (bilik ibadat), dia mendapati rezekinya. Dia berkata, 'Wahai Mariam, dari
manakah ini kepada kamu?' Dia (Mariam) berkata, 'Daripada Allah,'" (3:37).
Di bilik itu sentiasa terdapat makanan yang datang dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah
memelihara Mariam dengan baik untuk suatu rancangan-Nya yang besar. Mariam adalah
seorang yang taat kepada Allah.

Suatu hari tatkala Mariam sedang menyendiri muncul seorang malaikat (juga dipanggil
rasul) yang menyerupai di hadapannya seperti seorang manusia dengan tanpa cacat. Dia
menjadi takut seraya berkata,

"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada
Tuhan)!'

"Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara
kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'

"Berkata, 'Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia
pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?'

"Dia berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya
Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami;
ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:18-21).

Bayangkanlah perasaan seorang perempuan yang mulia yang akan mengandung tanpa
suami! Bagaimanakah dia akan menjelaskannya kepada keluarganya dan orang lain?

"Lalu dia mengandungnya, dan berundur dengannya ke suatu tempat yang jauh" (19:22).

Tempat itu, menurut ayat 23:50, adalah "di atas bukit, di mana ada sebuah lubang, dan
sebuah mata air."

"Dan rasa sakit beranak mendatanginya di batang pohon palma. Dia berkata, 'Aduhai,
sekiranya aku telah mati sebelum ini, dan menjadi sesuatu yang dilupakan!'" (19:23).

Mariam kesakitan. Dia keseorangan. Kalaulah dia sudah mati sebelum itu, katanya.
Justeru, bayi yang baru dilahirkannya berkata-kata pula kepadanya.

"Tidak, janganlah kamu bersedih; sesungguhnya Pemelihara kamu mengadakan di bawah


kamu sebuah anak sungai.

"Goyangkanlah kepada kamu batang palma; ia akan menjatuhkan kepada kamu kurma
yang segar dan masak.

"Maka makan dan minumlah, dan bergembiralah; dan jika kamu melihat seseorang
manusia, katakanlah, 'Aku telah bernazar kepada Yang Pemurah untuk berpuasa, dan
pada hari ini, aku tidak akan berkata-kata kepada seseorang manusia pun.'" (19:24-26)
Anak yang baru dilahirkannya, selain menyuruh makan dan minum, mengajarnya apa
yang harus dilakukan apabila berjumpa orang lain. Dia menyuruh ibunya mendiamkan
diri kerana dialah yang akan menjelaskan keadaan sebenar. Selepas itu Mariam pulang ke
rumah.

"Kemudian dia mendatangkannya kepada kaumnya dengan membawanya; dan mereka


berkata, 'Wahai Mariam, sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang aneh!

"Wahai saudara perempuan Harun, bapa kamu bukanlah seorang lelaki yang jahat, dan
bukan juga ibu kamu seorang jalang,'" (19:27-28)

Sekiranya Mariam menjawab tuduhan itu tentu keadaan menjadi amat rumit lagi baginya.
Dia mendiamkan diri seperti yang disuruh oleh puteranya.

"Maka dia menunjuk kepadanya; tetapi mereka berkata, 'Bagaimanakah kami berkata-
kata kepada orang yang masih dalam buaian, seorang anak kecil?'" (19:29)

Lalu sesuatu yang memeranjatkan mereka berlaku, apabila,

"(Isa) Berkata, 'Sesungguhnya aku hamba Allah; Dia memberi aku al-Kitab, dan
menjadikan aku seorang Nabi.

"Dia membuat aku diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia mewasiatkan aku supaya
bersolat, dan zakat, selama aku hidup,

"Dan taat kepada ibuku, dan Dia tidak membuat aku sombong, sengsara.

"Kesejahteraan ke atasku, pada hari aku diberanakkan, dan hari aku mati, dan hari aku
dibangkitkan hidup'" (19:27-33).

Apakah reaksi orang ramai apabila melihat Nabi Isa berkata-kata semasa masih bayi lagi?

Namun, selepas berlaku mukjizat itu, masih terdapat orang-orang yang tidak percaya dan
melakukan pengumpatan yang besar terhadap Mariam (4:156).

Apa yang berlaku pada Mariam adalah suatu contoh ujian dan pengorbanan bagi orang
yang percaya kepada Allah. Khususnya bagi kaum wanita.

Mariam adalah salah seorang daripada dua orang perempuan beriman yang berdarjat
tinggi di sisi Allah. Demikian itulah kata Allah berbunyi,

"Allah membuat satu persamaan bagi orang-orang yang percaya - isteri Firaun, apabila
dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman,
dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku
daripada kaum yang zalim.'
"Dan Mariam, puteri Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami menghembuskan ke
dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan
Kitab-Kitab-Nya, dan menjadi antara orang-orang yang patuh" (66:11-12).

Akan tetapi, Allah berfirman lagi mengenai Mariam. Kata-Nya Mariam adalah di atas
semua perempuan di semua alam.

"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan
membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'"
(3:42).

Selepas ini, sekiranya para pelajar berjumpa atau mendengar orang yang menyebut nama
perempuan lain sebagai yang paling mulia di dunia maka ingatlah bahawa orang itu
adalah seorang pendusta yang nyata.

Apakah pelajaran atau iktibar yang pelajar perempuan perolehi daripada kisah Mariam
itu?