Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Nabi dan Rasul adalah orang-orang yang dipilih oleh Tuhan untuk menyampaikan ajaran-
Nya yang terkandung di dalam Kitab kepada manusia.
Nabi adalah juga Rasul kerana dia menyampaikan. Perkataan Rasul bermakna pembawa
atau penyampai. Akan tetapi, bukan semua Rasul diangkat menjadi Nabi.
Justeru itu, Nabi adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Rasul. Nabi diberi Kitab dan
telah membuat perjanjian dengan Allah, seperti yang diceritakan di dalam al-Qur'an
berbunyi:
"Dan apabila Allah mengambil perjanjian Nabi-Nabi, 'Bahawa Aku memberikan kamu
Kitab dan Kebijaksanaan; kemudian akan datang kepada kamu seorang rasul,
mengesahkan apa yang bersama kamu. Kamu akan mempercayainya, dan kamu akan
menolongnya. Adakah kamu setuju?'" (3:81).
Perjanjian antara Nabi dan Allah di sini adalah untuk menolong Rasul yang datang
kepada mereka, dan percaya kepada mereka, untuk menyampaikan Kitab Allah kepada
manusia.
Nabi dan Rasul adalah ramai, diutus dari semasa ke semasa sejak zaman purba lagi.
Antara yang disebut oleh Allah adalah nama-nama yang disemadikan di dalam ayat-ayat
berikut:
"Dan Kami memberikan dia (Ibrahim) Ishak, dan Yaakub - masing-masing Kami
memberi petunjuk. Dan Nuh, Kami memberi petunjuk sebelum itu, dan daripada
keturunannya, Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun -
begitulah Kami membalas orang-orang yang berbuat baik. Dan Zakaria, dan Yahya, dan
Isa, dan Elias; masing-masing termasuk orang-orang salih. Dan Ismail, dan Alyasa, dan
Yunus, dan Lut; masing-masing Kami melebihkan di atas semua alam." (6:84-86)
Dan Muhammad adalah juga Nabi dan Rasul disebut di dalam ayat lain, iaitu 33:40.
Semua Nabi adalah handalan belaka. Manusia tidak dibenarkan membuatkan perbezaan
antara mereka, misalnya, berkata bahawa Nabi Isa itu adalah lebih handal daripada Nabi
Muhammad, atau berkata, Nabi Muhammad adalah Nabi yang paling mulia antara semua
Nabi Allah.
Ayat 3:84 turut melarang amalan membeza-bezakan Nabi. Selanjutnya, manusia juga
dilarang membuat perbezaan antara para Rasul Allah, seperti yang dijelaskan dalam ayat
Tuhan, 2:285. Orang-orang yang tidak membuat perbezaan antara rasul-rasul-Nya akan
diberi upah atau pahala oleh Tuhan (4:152).
Sebelum menamatkan penjelasan mengenai Nabi dan Rasul di sini, yang akan
bersambung dalam cerita-cerita Nabi akan datang, disebut satu daripada sifat Nabi yang
ditegaskan oleh Allah di dalam sebuah ayat, iaitu bahawa Nabi tidak menipu. Dia tidak
bercakap bohong. Inilah bunyi ayat-Nya:
"Tiadalah bagi seorang Nabi untuk dia menipu, dan sesiapa menipu akan datang dengan
apa yang ditipukannya pada Hari Kiamat; kemudian tiap-tiap jiwa akan dibayar
sepenuhnya apa yang ia mengusahakan, dan mereka tidak dizalimi." (3:161).
Nabi Yahya
Tidak ramai antara para Nabi diceritakan ceritanya dari kecil di dalam al-Qur'an. Mereka
yang diceritakan kisahnya semasa kanak-kanak adalah Nabi Musa, Yusuf, Isa dan Yahya.
Nama Yahya disebut sebanyak lima kali di dalam al-Qur'an. Cerita bermula dengan bapa
Nabi Yahya, bernama Zakaria, yang memohon kepada Tuhan agar dikurniakan seorang
anak. Dua ayat Tuhan yang berikut mengisahkannya:
Permintaannya ditunaikan oleh Allah kerana "mereka bersegera kepada kebajikan, dan
berseru kepada Kami daripada rasa rindu dan rasa gerun, dan mereka merendah hati
kepada Kami."
"Wahai Zakaria, Kami memberi kamu berita gembira mengenai seorang anak lelaki,
namanya Yahya. Tiada yang Kami membuatkan nama seperti ini sebelumnya." (19:7).
Semasa kanak-kanak lagi Nabi Yahya telah dipimpin oleh Allah. Lalu dia menjadi pandai,
suka membaca Kitab Tuhan, takut kepada Tuhan, taat kepada ibu bapa, dan dia, tidak
sombong dan ingkar.
Firman-Nya:
"'Wahai Yahya, ambillah Kitab itu dengan kekuatan"; dan Kami memberinya Putusan
semasa kanak-kanak lagi; dan rasa belas kasihan daripada sisi Kami, dan kesucian, dan
dia bertakwa; dan seorang yang taat kepada ibu bapanya, dan dia tidak sombong, ingkar.
Kesejahteraan ke atas dia, pada hari dia diberanakkan, dan hari dia mati, dan hari dia
dibangkitkan hidup," (19:12-15).
Renungkanlah nilai-nilai murni yang terdapat pada diri Nabi Yahya di dalam ayat-ayat
tersebut.
Demikianlah sebuah kisah mengenai seorang Nabi semasa dalam alam kanak-kanak.
Kisah itu menjadi teladan bagi semua manusia.