Anda di halaman 1dari 17

Penyelidikan Pendidikan

SIKAP DAN AMALAN PELAJAR PONTENG


(Satu Kajian di Sebuah Sekolah Daerah Keningau)
oleh Ishak bin Harun, Azman bin Konil @Kanil, dan Ahmad bin Mohd. Yasin

PENGENALAN DAN LATAR BELAKANG Secara am sekolah merupakan tempat untuk murid menerima pengajaran atau pelajaran dari orang tertentu yang sebahagian besarnya dipanggil guru. Masyarakat umum pula menganggap bahawa sekolah adalah tempat menyediakan murid dengan kemahiran asas dan latihan yang sesuai untuk masa depan mereka. Jadi, tujuan utama sekolah ialah untuk menghasilkan manusia yang terdidik. Sebagai sebuah organisasi formal, sekolah mempunyai ciri-ciri organisasi kompleks yang lazimnya wujud hari ini. Ia mempunyai matlamat, khususnya untuk menghasilkan manusia terdidik dan berguna kepada negara. (Rahimah Hj. Ahmad, 1982: 75) Oleh itu setelah bertahun-tahun bersekolah sejak dari berumur enam atau tujuh tahun hingga tamat persekolahan, sekurang-kurangnya berumur tujuh belas tahun, seharusnya apabila tamat persekolahan mereka menjadi orang yang baik dan berguna kepada masyarakat. Namun, yang berlaku hari ini sangat membimbangkan para ibu bapa dan masyarakat umum, belum pun habis belajar sudah menunjukkan tanda-tanda negatif hingga UMNO, sebuah parti yang menerajui kepimpinan negara, menganggap gejala sosial di kalangan pelajar hari ini sudah sampai ke tahap darurat yang boleh mengancam keselamatan negara. (Berita Harian, 28 Februari 1997: 1) Dalam hal ini, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan bukan tidak peka dengan gejala sosial remaja yang membahayakan. Beberapa langkah telah, sedang dan akan dilakukan; antaranya dengan memberi penekanan kepada kegiatan kokurikulum, sukan, unit beruniform dan persatuan termasuk kem-kem motivasi dan bina semangat. Malah gejala sosial remaja yang melibatkan perlanggaran disiplin khususnya ponteng sekolah terus meningkat tahun demi

tahun.

OBJEKTIF KAJIAN Kajian ini bertujuan untuk melihat apakah tingkah laku negatif yang sering dilakukan oleh pelajar ponteng, bagaimanakah amalan sikap mereka, dan apakah pandangan mereka terhadap pembelajaran di kelas.

PERNYATAAN MASALAH Pembongkaran kes jenayah remaja bermula dari pembunuhan seorang pelajar berpunca daripada peras ugut wang RM5.00 sahaja. Rentetan peristiwa itu pihak polis telah mengaitkan kes-kes yang tidak sihat dilakukan oleh pelajar seperti terlibat dadah, pembunuhan, kongsi gelap, curi, pecah rumah dan sebagainya. Sehingga kini, lebih 100 tangkapan telah dibuat di seluruh negara. (Berita Harian, 26 Februari 1997: 3). Pada tahun 1996 pihak polis telah menahan 4,601 orang pelajar remaja kerana disyaki terlibat dengan kes bunuh, kes curi kenderaan, kes saman malam hari, kes curi harta siang hari, kes dadah, dan kes-kes lain. Akhbar Harian Mercu 22 Februari 1997 melaporkan, pada tahun 1995 sebanyak 666 orang remaja dapat dikesan terbabit dengan dadah, pada tahun 1996 terdapat 544 orang penagih dadah remaja di bawah umur 18 tahun dapat dikesan hingga September. Sebanyak 126 orang diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya. Jumlah paling tinggi pelajar terbabit dengan dadah mengikut negeri ialah Selangor 58, Johor 36 dan Sabah 20. Manakala Berita Sabah keluaran 16-28 Februari 1997 pula melaporkan Kongsi gelap di Sabah bimbangkan ibu bapa. Akhbar itu juga menyebut Anak baik juga boleh terjebak dengan kongsi gelap jika tidak dikawal oleh ibu bapa. Ekoran dari sini telah dibuat temu bual dengan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau dan perbincangan dengan penguasa polis Daerah Keningau menyentuh masalah jenayah remaja yang pernah dirujuk kepada Balai Polis Keningau. Didapati pada tahun 1996 terdapat lebih 50 kes jenayah pelbagai jenis yang melibatkan pelajar sekolah menengah. Manakala pihak sekolah sasaran kajian pula telah menyenaraikan beberapa kes masalah disiplin yang sedang

berlaku, yang paling ketara ialah ponteng sekolah. Berikut disenaraikan klasifikasi dan bilangan kes yang terlibat di sekolah sasaran dari Januari hingga 30 September 1997. Jadual 1 KOD KLASIFIKASI
8.1 TINGKAH LAKU JENAYAH 112 Mencuri (mencuri di pasar raya) ... 4 kes 113 Melawan/mengancam/memukul/mencederakan pelajar lain ... 6 kes 118 Menyalahgunakan dadah ... 1 kes 8.2 TINGKAH LAKU LUCAH 255 Menggunakan kata-kata dan perbuatan lucah ... 6 kes 8.3 KEKEMASAN DIRI 332 Berkuku panjang ... 49 kes 335 Memakai barang-barang yang dilarang ke sekolah ... 62 kes 8.4 TINGKAH LAKU TIDAK MEMETINGKAN MASA

441 Berkeliaran di kawasan sekolah ... * 442 Datang lewat ke sekolah ... 46 kes 444 Makan di kantin di luar masa rehat ... 38 kes 8.5 TINGKAH LAKU KURANG SOPAN DAN BIADAP 555 Menyimpan rokok ... 9 kes 556 Menghisap rokok ... 27 kes 557 Mengganggu pengajaran dan pembelajaran ... 52 kes 8.6 TINGKAH LAKU MUSNAH 661 Merosakkan harta benda sekolah ... 10 kes 8.7 PONTENG 881 882 883 884 885 886 Ponteng kelas/mata pelajaran ... 26 kes Ponteng sekolah (tiada surat ibu bapa/penjaga ... 304 kes Ponteng perhimpunan ... 29 kes Ponteng ujian bulanan ... 48 kes Ponteng kegiatan luar/aktiviti kokurikulum ... * Ponteng peperiksaan ... *

*Data perlanggaran disiplin tidak diperoleh.

Pelbagai sebab diberi oleh pihak-pihak tertentu tentang punca gejala sosial remaja kini semakin meningkat. Malah ada yang lantang menyebut kurikulum pendidikan negara perlu dikaji semula. Namun setelah temu bual dan pemerhatian dibuat, penyelidik merasakan perlunya dibuat kajian terperinci terhadap pelajar ponteng kerana dalam masalah ponteng ini terdapat pelbagai aktiviti perlanggaran disiplin dan moral. SOALAN-SOALAN KAJIAN Kajian ini akan menjawab beberapa persoalan

1. 2. 3. 4.

Apakah jenis masalah disiplin pelajar? Bagaimana sikap pelajar ponteng di dalam dan di luar bilik darjah? Apakah tingkah laku negatif yang dilakukan pelajar ponteng? Apakah punca pelajar bersikap negatif?

KAEDAH KAJIAN Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berdasarkan kaedah kajian lapangan dan kaedah kajian perpustakaan. Menerusi kaedah kajian lapangan, penyelidik membuat pemerhatian terus bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang kegiatan dan tingkah laku pelajar ponteng di sekolah dan luar sekolah, keadaan persekitaran tempat tinggal dan sikap ibu bapa/penjaga terhadap pelajar berkenaan. Untuk keperluan kajian, temu bual telah dilakukan kepada tiga sampel yang dipilih iaitu pelajar yang bermasalah ponteng sekolah, dua orang mewakili penduduk tempatan dan seorang lagi imigran dari Indonesia. Kaedah kajian perpustakaan bertujuan untuk mendapat maklumat yang jelas tentang kajian yang pernah dijalankan dan bahan yang berkaitan kes kajian. Kaedah ini juga dibuat bertujuan untuk mendapat kejelasan tentang definisi konsep, sejarah pendidikan dan sosiologi masyarakat daerah Keningau, khususnya sekolah yang menjadi sasaran kajian ini. Kaedah ini dijalankan dengan membuat pembacaan dan rujukan buku, makalah, jurnal, tulisan latihan ilmiah, kertas kerja seminar/bengkel dan sebagainya, kajian yang pernah dijalankan dan bahan berkaitan kes kajian. KEPENTINGAN KAJIAN Kajian ini cuba mencari punca pelajar-pelajar sering ponteng di sekolah sasaran khasnya dan daerah lain yang setaraf amnya. Secara am, kajian ini cuba memecah persoalan apakah aktiviti pelajar semasa ponteng dan keseluruhan sikapnya. Dapatan yang diperolehi daripada kajian ini boleh dijadikan panduan kepada pihak yang terbabit secara langsung dalam pendidikan untuk menangani gejala sosial dan masalah ponteng sekolah pelajar yang sedang berleluasa di negara ini.

TINJAUAN PENULISAN Sebenarnya telah banyak dibuat kajian tentang masalah disiplin di kalangan pelajar. Antara masalah yang sering dilihat ialah berkaitan masalah akademik, persekitaran, keluarga, rakan sebaya dan sebagainya. Ibrahim Haji Salleh (1981: 3), menyokong hujah Skinner (1938), menyatakan pelajar yang di bawah paras kecerdasan sering menimbulkan masalah disiplin di

dalam kelas dan akan berterusan di luar kelas. Seterusnya kajian beliau menunjukkan bahawa punca masalah akademik pelajar ialah kepincangan sosial dan emosi serta kasih sayang keluarga. John Robertson (1981) juga menyatakan keruncingan dalam keluarga, pertelingkahan ibu bapa, ibu bapa bengis, keluarga yang ramai, kurangnya perhatian kanak-kanak oleh penjaga dan taraf pekerjaan penjaga rendah akan mempengaruhi emosi pelajar dan tingkah laku. Becker (1952) dalam kajiannya mendapati ada guru yang menganggap mengajar pelajar kelas bawahan sebagai tidak memberi faedah kerana mereka mempunyai motivasi yang rendah, mahu dikawal dan memiliki sifat suka bermain-main seperti agresif dan mempunyai sifat supaya orang menjauhkan diri daripadanya. Abdul Rahman Arof (1984) menjelaskan, disiplin dan tingkah laku murid dalam sesebuah bilik darjah mungkin tidak terkawal jika terdapat pengaruh jahat dan liar seseorang atau beberapa murid lain. Hussein Mahmood dan Kamaruddin Abd. Rahman (1984) telah memetik pendapat beberapa orang tokoh tentang masalah disiplin pelajar, antaranya:
o

Thrasher (1963) menyatakan bahawa perlakuan murid banyak terpengaruh oleh jiran tetangga, rakan sebaya dan lain-lain yang ada di sekelilingnya.

Waller (1939) menyatakan segala masalah disiplin di sekolah adalah pertentangan pendapat antara guru dan murid tentang sesuatu keadaan di sekolah, kerana masingmasing mempunyai kemahuan yang berbeza, lebih-lebih lagi di sekolah menengah.

Duke (1980) mengatakan tiap-tiap individu itu bertanggungjawab di atas perlakuannya sendiri. Murid-murid menjadi tidak berdisiplin kerana mengikut kemahuannya sendiri tanpa sebarang pengaruh luar.

Ivor Morrish (1975) menyatakan, ibu bapa perlu menolong anak-anak supaya layak

memasuki masyarakat mereka.


o

Seterusnya Hussein Mahmood dan Kamaruddin Abdul Rahman mendapati bahawa masalah besar yang dihadapi oleh pelajar adalah masalah yang berkaitan keluarga dan rumah. Keadaan ini dikaitkan dengan masalah disiplin kendiri dan psikologi.

Selain maklumat di atas, ada banyak lagi kajian tentang disiplin pelajar dan puncanya. Para tokoh pendidik juga banyak memperkatakan tentang disiplin. Dalam kajian ini kami juga akan memperkatakannya.

GEJALA PONTENG SEKOLAH Kes ponteng di sekolah sasaran dapat dikategorikan kepada enam jenis utama (rujuk Jadual 1). Daripada jumlah tersebut kes ponteng sekolah tanpa sebab merupakan kes yang paling ketara, melibatkan 304 kes. Untuk tujuan kajian ini, telah diambil tiga sampel yang melibatkan dua orang warga tempatan dan seorang warga asing. Pengambilan sampel ini juga dibuat berdasarkan kekerapan mereka melakukan ponteng sekolah sehingga pertengahan tahun ini. KES 1 Latar Belakang Umum Seorang pelajar yang berusia 15 tahun, anak kedua daripada enam orang adik beradik. Ayahnya seorang petani, tinggal di sebuah kampung pinggir bandar Keningau. Kedua ibu bapanya senantiasa menyayangi anak-anaknya termasuk sasaran kajian (selepas ini dipanggil SK1). Begitu juga SK1 menyedari kasih sayang ibu bapanya. Ayahnya mengusahakan sebidang tanah untuk tanaman padi, mencukupi untuk menyara hidup keluarga. Di samping itu ayahnya juga sering ke kebun atau hutan di pinggir kampung untuk mencari kayu api dan sebarang jenis hasilan yang boleh dibawa balik. Pekerjaan ayahnya sering dibantu oleh ibunya. Rumah tempat mereka tinggal hanya untuk dijadikan tempat berteduh dari panas dan hujan.

Keadaan tempat tinggal yang kurang selesa tidak menggalakkan untuk ahli keluarga ini berehat di dalam rumah. Mereka lebih selesa berada di luar rumah ketika siang hari. Abangnya yang hampir sebaya bersekolah di sekolah menengah yang berlainan di bandar ini juga. Di persekitaran tempat tinggal keluarga ini terdapat lebih kurang 20 buah rumah yang menjadi penduduk tetap kampung ini. Rata-rata antara penduduk kampung ini mempunyai pertalian saudara. Oleh itu tidak hairanlah antara penduduk kampung sering berkumpul dan berbualbual sahaja ketika masa lapang. Dalam perbualan dengan SK1, dia menjelaskan tidak pernah menolong ayahnya bertani, hanya kadang-kadang sahaja dia menolong ibunya membasuh pinggan, itu pun pinggan makannya sendiri. Namun begitu, ketika temu bual ayahnya menyatakan tidak kisah, asal anaknya rajin belajar supaya boleh dapat pekerjaan yang baik nanti. Pengharapan seorang ayah dan ibu yang begitu besar terhadap anak-anaknya tidak pernah dihayati oleh SK1. Pergaulannya dengan rakan-rakan di sekolah dan di luar sekolah tanpa batasan dan normanorma remaja. Kawan Rapat di Sekolah, di Luar Sekolah dan Kegiatan Luar Sama ada di sekolah mahu pun di luar sekolah SK1 senantiasa berkawan dengan kawan rapatnya yang sekampung dan kebetulan belajar dalam kelas yang sama di sekolah. Keadaan ini menggalakkan pakatan untuk ke arah tingkah laku negatif berterusan. Mereka berdua telah menyertai tujuh orang kawan-kawan lain di sekolahnya untuk ponteng sekolah. Apabila ditanya siapa yang memulakan dahulu dia tidak pasti; yang jelas, tahu-tahu sudah jadi geng. Awal pagi SK1 dan rakannya telah menaiki bas ke sekolah. Ibunya membekalkan wang belanja sebanyak dua ringgit dan tambang bas satu ringgit, dengan pengharapan agar anaknya belajar rajin-rajin, tetapi apa yang berlaku, SK1 tidak sampai ke sekolah. Mereka berhenti di bandar dan pulang ke rumah apabila murid-murid lain yang bersekolah pulang, kira-kira jam satu tengah hari. Kekerapan melakukan ponteng sekolah hingga mencapai paras bahaya iaitu hingga mencapai empat hari seminggu.

Aktiviti Ketika Ponteng Ketika murid-murid lain mengikuti perhimpunan mingguan atau mengikuti pembelajaran waktu pertama, SK1 sibuk berkumpul dengan kawan-kawannya di suatu tempat, di tengah bandar Keningau untuk berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Mereka mempunyai perancangan tersendiri iaitu: Minum di kedai kopi. Oleh sebab hari masih pagi mereka menghabiskan masa di kedai kopi Cina sambil berbual-bual. Antara topik perbualan yang sering dibualkan ialah tentang kebanggaannya melakukan perbuatan negatif seperti mencuri ayam, tentang BF yang ditonton, tentang perempuan dan sebagainya. Berpelesiran di perpustakaan daerah. Apabila matahari mulai tinggi kira-kira jam 9.00 pagi mereka berpelesiran di perpustakaan daerah. Ada tiga tujuan utama, iaitu kadang-kadang bertemu dengan kawan perempuan (girl friend), kadang-kadang untuk mengurat atau mengacau pelajar perempuan yang sekolah petang atau ponteng juga; dan hanya untuk bersuka-suka. Mandi sungai. Selepas minum di kedai lazimnya SK1 bersama kawan-kawan mandi di Sungai Pegalan untuk berseronok sambil berkesempatan untuk merokok dan minum minuman keras, kadang-kadang sampai mabuk. Rokok dan minuman keras dibeli secara kongsi sesama ahli kumpulan. Lepak dan berpelesiran di kedai. Kadang-kadang SK1 lebih gemar berduaan dengan teman sekampungnya berpelesiran di kedai video games atau di pasar raya hingga habis waktu persekolahan. Dalam temu bual, SK1 melahirkan rasa seronok dengan berbuat demikian, tetapi adakalanya rasa takut kalau-kalau kedapatan keluarganya; kalau kedapatan orang kampungnya tidak begitu bimbang, yang paling membimbangkan kalau kedapatan guru sekolahnya. Aktiviti di Luar Masa Persekolahan

atau Masa Hari Minggu Berjalan-jalan di kampung. Pulang dari sekolah kononnya Sk1 terus makan nasi yang telah disajikan oleh ibunya. Lepas itu lazimnya SK1 rehat atau tidur seketika. Apabila matahari mulai condong ke Barat, SK1 sering berjalan-jalan di sekitar kampung atau kampung-kampung yang berhampiran bersama teman sekolah yang sekampung dengannya. Kadang-kadang lewat Maghrib barulah pulang. SK1 juga menjelaskan, hanya untuk suka-suka sahaja jumpa kawankawan. Menyabung ayam. Setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad, SK1 bersama teman sekolah yang sekampungnya pergi menyabung ayam di kampung lain atau di tempat menyabung ayam yang dikelolakan oleh peminat sabung ayam. Menceritakan tentang ayam sabung, dia sering ke kampung lain untuk menyewa ayam sabung. Harga sewa bagi seekor ayam sabung ialah RM100.00. Dalam pertaruhan sabung ayam lazimnya antara RM200.00 hingga RM400.00. Kalau tiada wang, biasanya dia hutang dan apabila menang baru bayar. Sekiranya kalah, dia mesti berusaha membayar hutang dengan apa cara sekalipun. Kebiasaannya dia menjual ayam peliharaan atau mencuri ayam jiran-jiran. Sikap Terhadap Pelajaran dan Guru Pelajaran yang paling tidak digemari oleh SK1 ialah Bahasa Inggeris, Geografi dan Matematik. Ponteng mata pelajaran ini kerana gurunya garang dan sering memalukannya di hadapan kelas. Manakala Matematik pula kerana tidak pandai, bukan gurunya, menurut SK1 guru Matematik baik orangnya. KES 2 Latar Belakang Umum Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun. Berketurunan Bugis dan beragama Islam. Tinggal di Kampung Biah bersama keluarga. Beliau bukan warganegara Malaysia. Anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Abangnya bekerja sebagai pemandu bas sekolah

dan bertindak sebagai pelindung kepada adiknya. Ibu bapanya berniaga kedai runcit. Kedua ibu bapanya berasal dari Kalimantan, Indonesia dan tidak menerima sebarang pendidikan formal. Aktiviti Masa Lapang Masa lapangnya diisi dengan aktiviti menjaga kedai dan berjalan-jalan dengan rakan sebayanya. Antara tempat yang sering dilawati ialah pasar raya Keningau. Selain itu beliau juga ada pergi menonton MTV bersama-sama dengan kakak saudara dan rakan-rakan sekolah. Biasanya pada hujung minggu dia akan keluar dari rumah pada pukul sembilan pagi dan balik ke rumah pada pukul lima petang. Kesalahan di Sekolah Antara kesalahan yang biasa dilakukan di sekolah ialah ponteng sekolah, ponteng kelas dan bergaduh. Selalunya aktiviti ponteng kelas melibatkan mata pelajaran yang dia tidak minat seperti Matematik dan Bahasa Inggeris. Alasan yang diberikan ialah guru yang mengajar subjek tersebut tidak menyampaikan pengajaran secara berkesan malah selalu menghukumnya jika melakukan sebarang kesalahan. Ponteng sekolah biasanya dilakukan pada hari Isnin (adanya perhimpunan sekolah). Alasan yang diberikan ialah kerana pada hari tersebut guru disiplin akan memeriksa pakaian dan kekemasan pelajar. Pelajar yang melakukan kesalahan akan dihukum. Selain itu pelajar akan dipilih secara rambang untuk membaca sifir. Oleh sebab pelajar ini dalam keadaan tidak bersedia, maka keputusan yang diambil ialah ponteng sekolah. Pelajar ini juga pernah bergaduh dengan rakan sekelas. Ini menyebabkan tindakan disiplin telah diambil pada pelajar tersebut. KES 3 Latar Belakang

Berusia 15 tahun anak ketiga kepada pesara kerani sekolah. Dua orang adiknya masih bersekolah, manakala dua orang abangnya pula sudah bekerja di Seremban. Kini sasaran kajian (selepas ini dipanggil SK3) dan keluarganya tinggal di penempatan bumiputera di tengah bandar Keningau. Lebih 90% penduduknya beragama Islam yang terdiri daripada pelbagai etnik. Daripada jumlah penduduk kawasan ini lebih 30% terdiri daripada imigran Indonesia. Untuk mengurangkan beban keluarga, ibunya menjaja di pasar malam. Demi kemajuan persekolahan anaknya, ibu bapa SK3 membekalkan belanja RM5.00 sehari termasuk tambang bas ke sekolah. Pengharapan seorang ibu dan bapa tidak pernah dihargai oleh SK3. Kecenderungannya untuk ponteng sekolah menjadi-jadi. Apakah sebabnya dia sendiri tidak tahu. Apa yang nyata ialah keterlibatannya bersama kumpulan yang disertai oleh SK1 memang menyeronokkan walaupun ada rasa takut kalau kedapatan keluarganya. Kawan-kawan di Sekolah, di Luar Sekolah SK3 mempunyai kawan pergaulan yang berbeza ketika di rumah. Ketika di sekolah kawankawan rapatnya ialah mereka yang selalu ponteng, antaranya ialah SK1. Manakala kawan pergaulan semasa di rumah adalah orang yang sudah tidak bersekolah, rata-rata mereka yang telah berhenti sekolah sebelum tamat. Kegiatan Liar Semasa Ponteng Bermain Snuker. Selain kegiatan liar bersama SK1 semasa ponteng, SK3 juga sering bermain snuker bersama kawan-kawan yang tidak bersekolah. Pertaruhan juga biasa dibuat, kadangkadang habis hingga RM8.00 sehari. Apabila habis duit hanya mengharap kawan-kawan belanja sahaja. Merokok dan minum minuman keras. Sebagai orang Islam SK3 tahu yang minum minuman keras itu haram, tetapi dia merasakan lebih selesa kerana pada anggapannya menampakkan kematangan dan ada rasa bangga. lazimnya beliau menghisap rokok antara 10 hingga 15 batang sehari, malah kadang-kadang lebih khususnya semasa main judi, snuker dan

menonton BF. Menonton BF. Aktiviti ini sering dilakukan semasa ketiadaan ibu dan bapanya di rumah seperti ketika mereka pergi ke Kota Kinabalu. Ketika itulah dia mengajak kawan-kawannya datang ke rumah khasnya semasa ponteng sekolah. Menurutnya filem itu dipinjam dari kawan-kawan yang tidak bersekolah atau pemandu dan konduktor bas. Berpelesiran dan berbual-bual bersama kawan di kedai. Kadang-kadang dia tidak pergi ke mana-mana hanya berpelesiran di kaki lima kedai, pasar raya atau berbual-bual dengan kawan-kawan di kedai runcit di kampung berhampiran. Antara topik perbualan ialah ceritacerita lucu, lucah, perempuan dan umum. Kegiatan di Luar Masa Persekolahan Berjudi. Lazimnya hampir setiap malam dia keluar rumah dengan izin ayahnya hendak ke masjid, tetapi melencong ke kedai minum dan terus ke rumah kawan bermain daun terup. Kebiasaannya main lak-lak 13 daun, dua puluh satu dan sebagainya. Kadang-kadang pernah kalah hingga lebih RM100.00. Sering juga main sambil minum bir. Bulan puasa merupakan waktu kegiatan yang paling aktif, kadang-kadang sampai mabuk kerana dapat kebebasan lebih untuk ke masjid. Kumpulan haram (kongsi gelap). Kumpulan haram ini pada asasnya dipelopori oleh kaum imigran dari Filipina dan Indonesia. Aktivis kumpulan ini senantiasa berusaha untuk menarik lebih ramai remaja sekolah menganggotainya. Bila ditanya tentang tatu hitam di bawah bibir, SK3 menjelaskan dia hanya menganggotai kumpulan PIRAHAN BULL pada peringkat sekolah sahaja. Tambah beliau, anggota kumpulan ini dimestikan mendaftar dengan mengisi borang keahlian, berpegang pada janji dan membuat tatu di bawah bibir. Manakala yuran keahlian hanya RM2.00 sebulan. Perjumpaan mingguan kumpulan ini pada hari Jumaat selepas waktu persekolahan. Biasanya di kedaivideo games bandar Keningau. Tujuan kumpulan ini ialah untuk membantu kawankawan yang ada masalah, kalau ada kawan kena pukul, sama-sama bantu. Jadi, apabila

menjadi ahli kumpulan ini SK3 berasa megah dan selamat. Sejauh mana keterlibatan pelajar ini dalam kumpulan haram belum terjawab. Namun begitu menurut pihak Polis Cawangan Khas, di Keningau terdapat 13 kumpulan haram yang diterajui oleh imigran asing, antaranya: KRK (Knight Right Keeper) BBO (Batang Basilan Organization) Pirahan Bull Garuda mantel Rainbow Setiap kumpulan ini senantiasa bersaing untuk menarik ahli khususnya di kalangan remaja sekolah sama ada lelaki atau perempuan. Penyerapan masuk kumpulan ini ke sekolah-sekolah dikatakan melalui pemandu dan konduktor bas. Sikap Terhadap Guru dan Pelajaran Dalam perbualan kami, SK3 tidak meminati pembelajaran Bahasa Inggeris dan Geografi kerana katanya guru garang sangat. Jadi sebelum guru masuk kelas SK3 keluar dulu. Sasarannya ialah tandas atau kantin atau belakang bangunan. Menurutnya lagi, guru Bahasa Inggeris sering mengejek dan memalukannya di hadapan kelas. Itulah sebabnya dia benci.

CADANGAN 1. Pihak ibu bapa mestilah senantiasa prihatin terhadap kegiatan dan rakan pergaulan anaknya dan sebarang aktiviti anak-anak kita khususnya yang baru meningkat remaja

kerana pada usia inilah mereka membina identiti. 2. Tindakan yang diambil oleh pihak sekolah mesti ada tindakan susulan. Misalnya, bagi pelajar perempuan yang melakukan salah laku seks, sebelum hukuman buang sekolah dilakukan, pihak sekolah hendaklah memaklumkan atau menyerahkan salinan laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. 3. Masyarakat setempat khususnya ibu bapa haruslah berani merobah dan menolak amalan dan budaya negatif yang berleluasa tanpa memberi apa-apa faedah kepada ahlinya. 4. Organisasi komuniti setempat mestilah mantap untuk sama-sama memerangi gejala sosial. 5. Pihak sekolah juga mestilah segera mengambil tindakan wajar pada peringkat awal. 6. Guru-guru lain haruslah memberi sokongan kepada guru kaunseling dan guru disiplin khusus tentang pelajar yang sedang dalam proses bimbingan atau amaran, jangan sampai memalukan prospek di khalayak ramai atau dalam kelas. Manakala guru kaunseling juga mestilah mengedarkan senarai pelajar yang sedang dibimbing kepada guru-guru dan nyatakan bentuk kerjasama yang diperlukan. 7. Pihak sekolah juga harus berani mendedahkan kepincangan nilai murni pelajar kepada masyarakat. 8. PIBG mestilah berperanan lebih aktif sebagai badan yang bergabung dengan pihak sekolah kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan pelajar, seperti keterlibatan program khemah ibadat, bina semangat, kegiatan kokurikulum dan sebagainya. 9. Pihak sekolah dan pihak lain yang berkaitan terus membuat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang yang berkaitan.

PENUTUP Semoga penghasilan kajian kecil ini membuka laluan yang lebih luas dalam kajian akan datang. Kajian ini juga merupakan sumbangan pihak maktab kepada masyarakat setempat dalam usaha memerangi masalah gejala sosial remaja. Walaupun kajian ini tidaklah boleh dijadikan pedoman sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya boleh dijadikan asas untuk samasama berfikir.

RUJUKAN Abdul Main Hj. Salimon, 1987. Perasaan Sering Kecewa Semasa Kecil Menjadi Masalah Bila Dewasa dlm. Utusan Malaysia, 14 Januari 1987. Abdul Rahman Md. Aroff, 1984. Konsep Denda dlm. Jurnal Masalah Pendidikan, Jld. II 1984/1985, Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Abd. Raof Dalip dan Abdullah Mohd. Noor, 1987. beberapa Aliran Pendidikan dlm Mastika, Februari 1987, hal. 1619. A. Rajaguru dan Mohd. Daud Saad, 1982. Pengamatan Terhadap Masalah Disiplin dlm. Isu Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Atan Long, 1978. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Chiam Heng Keng, 1985. Masalah Remaja dan Penyelesaiannya dlm. Jurnal Kementerian Pelajaran Malaysia, Jld. XXIX, Kel. 67, Disember 1985, Kuala Lumpur: Jemaah Nazir Sekolahsekolah Persekutuan. Comer, Jales, P., 1984. Home and School Relationship as They Affect the Academic Success of Children in Education in Urban Society, Vol. 16, No. 3, Baverly Hills: Sage Publication Inc., hal. 323 337. Hassan Langgulung, 1983. Psikologi dan Kesihatan Mental di Sekolah-sekolah. Kuala Lumpur:

Universiti Kebangsaan Malaysia. Hussein Mahmood dan Kamaruddin Abd. Rahman, 1984. Beberapa Pandangan dan Dapatan Yang Berkaitan dengan Disiplin di Sekolah dlm. Jurnal Kementerian Pelajaran Malaysia, Jld. XXVIII, Kel. 65, September 1984, Kuala Lumpur: Jemaah Nazir Persekutuan. Ibrahim Saad, 1982. Isu Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ibrahim Ahmad Bajunid, 1975. Pertimbangan ke Arah Berkenaan Kanak-kanak dan Faham Ras dlm.Jurnal Pendidikan, No. 1, April 1975, Kuala Lumpur, hal. 33-37. Ibrahim Salleh, 1981. Pengajaran Bahasa untuk Murid-murid Lembap dlm. Kertas Kerja Ilmiah, Serdang: Universiti Pertanian Malaysia. Jackson, D. W., 1968. Life in The Classroom. New York: Holt, Rinechard and Wiston. John Robertson, 1981. Effective Classroom Control. Singapore: Hodder and Stoughton. Mac Millan, Donald L., 1973. Behavior Modification in Education. New York: The Mac Millan Company. Mustafa Fahmi, 1976. Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. Kota Bharu: Pustaka Aman Press. Murad Mohd. Nor, 1980, Disiplin di Sekolah, Masalah dan Penyelesaian dlm. Ucapan Seminar Nasional di Sekolah-sekolah di Pulau Pinang pada 15 Disember 1980, terbit dalam Diskusi, Januari 1985. Morrish, Ivor, 1975. The Sociology of Education, In Introduction. London; George Allen & Unwin Ltd. Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid, 1987. Akta dan Dasar Pelajaran Kebangsaan: Satu Penilaian Semula dlm. Dewan Masyarakat, Januari 1987, hal. 1119. Pengarang, 1986, Kegiatan Kokurikulum Bukan Mengabaikan Pelajaran Akademik

dlm. Majalah Era, No. 2, Januari 1986, hal. 2425. Rahimah Hj. Ahmad, 1982. Pengalaman Persekolahan Murid-murid: Implikasi kepada Pengajaran Formal dan Pentadbiran Sekolah dlm. Jurnal 10, 1982/1983, Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Pendidikan. Rosniza Rasul, 1987, St. Gabriel Anjur Minggu Disiplin dlm. Berita Harian, 25 September 1987. S. Othman Kelantan, 1985, Disiplin satu Nilai Baik Yang Diabaikan dlm. Diskusi, Jld. 10, Januari 1985, Kuala Lumpur: Yayasan Anda. Skinner, L., 1938. Educational Psychology. New York: Appelton Century Croff. Salvson, E. (ed.). The Practice of Group Therapy. London: The Publishing Press. Tajul Ariffin Noordin, 1987, Dasar Penyelidikan Perlu Menyeimbangkan Yang Tak Seimbang dlm. Dewan Masyarakat, Januari 1987. Waller, 1939. The Culture of The School. Eletchley: The Open University Press. Yaacub Hj. Yusof, 1977, Perbandingan Nilai Ibu Bapa Murid Yang Ponteng dengan Murid Yang Tidak Ponteng dlm. Tesis Sarjana Pendidikan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

JPMMPKS, 2004

Anda mungkin juga menyukai