Anda di halaman 1dari 6

Teks Ucapan Timbalan PPD Sempena Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Seri Berjaya Kali Ke-10 Tahun 2012

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera. Saudara Pengacara Majlis, YB Tn Hj Hashim bin Ahmad, Guru Besar SK Seri Berjaya Yang Dihormati En. Yusri bin Azhar YDP PIBG Penolong-Penolong Kanan AJK PIBG Guru-Guru,Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat kita sama-sama berkumpul pada pagi yang mulia ini, sempena Majlis Mesyuarat Agung PIBG kali ke-10 bagi Sekolah Kebangsaan Seri Berjaya. Saya bagi pihak Tuan Pegawai Pelajaran Daerah merakamkan ucapan terima kasih di atas jemputan untuk hadir ke majlis hari ini dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG sekolah ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Penasihat dan

Jawatankuasa PIBG kerana telah dapat merancang, mengelola dan seterusnya melaksanakan mesyuarat ini. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Seperti yang kita sedia maklum, semua Mesyuarat PIBG sekolah mesti diadakan pada setiap tahun sebelum 31 Mac dengan memilih dan melantik AJK PIBG pada setiap kali Mesyuarat Agung diadakan. Disamping itu harus diingatkan bahawa perkara berkaitan dengan Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) perlu dipatuhi pada setiap masa seperti mana yang tercatat dalam SPI Bilangan 5 Tahun 2001 yang dikeluarkan oleh pejabat KPPM, KPM. Perkara-perkara yang disentuh di dalam surat pekeliling itu ialah PIBG Sekolah bertujuan untuk mewujudkan

permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk

meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership).

Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan saling melengkapi terhadap fungsi Kementeiran Pendidikan dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan. Seterusnya dalam Peraturan 5

PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN (PERSATUAN IBU BAPA GURU) 1998 yang berkuatkuasa pada 26 Mac 1998, dengan jelas telah menggariskan tujuan dan batasan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah. Dalam subperaturan (5) dan (6) ada dinyatakan batasan-batasan yang dikenakan kepada Persatuan, iaitu : Subperaturan (5) Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasa Persatuan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah, pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan yang lain dalam sekolah. Subperaturan (6) Persatuan tidak boleh menjadi jentera bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara-perkara lain yang berkaitan antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua atau kakitangan sekolah di mana Persatuan ditubuhkan atau Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Bahagian atau Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan atau Kerajaan Negeri atau Persekutuan.

Di samping itu, kepimpinan PIBG di sekolah-sekolah juga diingatkan supaya tidak sekali-kali membabitkan Persatuan dan sekolah dengan apa juga kegiatan yang boleh menggugat kestabilan sistem persekolahan dan perpaduan masyarakat setempat. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar kepimpinan PIBG terlibat dengan aktiviti-aktiviti anti kerajaan atau menjadikan Persatuan sebagai platform untuk berpolitik atau bagi tujuan memperoleh kepentingan peribadi. Jika keadaan ini berlaku, dikhuatiri Persatuan akan menyeleweng daripada matlamat asal penubuhannya, dan akhirnya akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran,

sekaligus akan merugikan pendidikan anak-anak murid di sekolah. Guru Besar dan Pengetua selaku ex-officio dan Penasihat PIBG hendaklah memaklumkan kandungan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998 kepada semua ahli jawatankuasa PIBG yang dilantik dan ibu bapa keseluruhannya agar ia dipatuhi pada setiap masa.

Tuan-tuan dan Puan-Puan Sesungguhnya, majlis pada pagi ini amat bermakna, di mana pihak sekolah dan ibu bapa dapat bertemu untuk berbincang dan mencari kata sepakat, demi kepentingan dan masa depan anak-anak masing-masing. Permuafakatan seumpama inilah yang menjadi kunci kejayaan PIBG dan sekolah dengan mengambil kira batasan-batasan kuasa PIBG seperti yang telah saya terangkan tadi. Selain daripada memilih dan melantik Jawatankuasa PIBG yang baru dan membincangkan usul-usul daripada ibu bapa, diharapkan juga mesyuarat PIBG pada pagi ini akan berbincang dan mendapat persetujuan bersama berkaitan kutipan tambahan PIBG bagi

Tahun 2012. Seperti arahan JPN, permohonan kutipan ini mesti dihantar ke PPD sebelum atau pada 2 April 2012 untuk dipanjangkan ke JPN. Diharapkan perkara ini dapat diputuskan dengan sebaik mungkin tanpa menimbulkankan masalah kepada pihak ibu bapa atau waris murid-murid. Dalam proses pembinaan insan yang dinamakan murid-murid ini, pelbagai inisiatif, usaha dan program telah dilakukan oleh pihak KPM. Ini termasuklah pelbagai transformasi pendidikan seperti program IM1S, KSSR, PBS, MBM MBI dan di samping itu pelbagai bantuan khas juga diberikan kepada murid-murid termasuk mereka yang berada di

prasekolah, kelas pendidikan khas dan juga IPS. Semua ini sebenarnya menunjukkan komitmen pihak kerajaan khususnya KPM dalam membina

generasi yang dapat bersaing dan mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran. Adalah diharapkan juga pengetahuan berkaitan NKRA Kementerian Pelajaran ialtu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan difahami oleh semua pihak. Di bawah NKRA KPM tersebut difokuskan kepada 4 sub-NKRA iaitu berkaitan prasekolah, literasi dan numerasi (LINUS), sekolah berprestasi tinggi (SBT) dan juga New Deal atau Tawaran Baru kepada Guru Besar. Saya yakin dan penuh percaya Guru Besar dan guru-guru akan dapat melaksanakan transformasi pendidikan dan NKRA KPM dengan penuh amanah. Harus juga diingatkan kecemerlangan anak-anak kita sebenarnya bermula di rumah. Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan menentukan sama ada anak-anak kita terdidik dengan nilai-nilai yang murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan segala gejala negatif di luar rumah. Jelas, tanggungjawab menentukan keperibadian anak-anak

sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil untuk melepaskan tanggungjawab itu sewenang-wenang ke atas bahu guru dan pihak sekolah. Dalam konteks ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selain daripada membantu dalam kebajikan pelajar, guru dan juga pembangunan sekolah.

Alhamdulillah, setakat ini kerjasama yang baik dan erat telah ditunjuk oleh oleh pihak sekolah dan PIBG. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Kerjasama yang baik ini telah dapat membantu sekolah melonjak dalam prestasi UPSR 2011 bagi sekolah ini. Kita berbangga kerana hampir 40 peratus pelajar telah mendapat 5A dan 95% murid-muridnya berjaya mencapai ABC dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua guru dan tidak lupa kepada PIBG yang sentiasa menyokong usaha-usaha peningkatan akademik sekolah tanpa jemu. Diharapkan untuk UPSR 2012, sekolah akan mencapai kejayaan yang lebih gemilang lagi. Usaha-usaha JK PIBG dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti telah juga dapat membantu sekolah meningkatkan keceriaan persekitarannya, memantapkan lagi hubungan

guru bersama ibu bapa melalui aktiviti anjuran bersama seperti Majlis Hari Raya, Majlis Qurban, Sukan, Hari Anugerah Sekolah dan Maulidur Rasul. Selain dari pencapaian di bidang akademik, diharapkan murid-murid sekolah ini akan cemerlang dalam bidang-bidang lain. Terima kasih saya ucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua kerana menghantar anak ke sekolah ini. Insya Allah kepercayaan dan keyakinan tuan-tuan dan puan-puan terhadap guru-guru di sekolah ini dalam mendidik anak-anak tuan-tuan dan puan-puan tidak akan dipersiakan dan didoakan murid-murid

di sekolah ini akan dapat terus menempa kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Di samping itu, sebagai ibu bapa diharapkan jasa guruguru sekolah ini dihargai dan sekiranya ada masalah berkaitan anak-anak berbincanglah dengan penuh hemah dan bijaksana. Tindakan yang terburu-buru dan cepat melenting tidak akan mendatang kebaikan kepada semua pihak. Oleh itu, peranan PIBG dalam membantu sekolah menerangkan dan menghebahkan program, aktiviti dan tindakan sekolah amat membantu pihak sekolah. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan ke majlis pada pagi ini dan saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada JK PIBG yang bakal dipilih dan dilantik sebentar nanti. Harapan saya ialah supaya Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-10 ini akan dapat berjalan lancar dan teratur.

Dengan harapan itu, dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia kali ke-10. Sekian, terima kasih dan wassalamualaikum wbh.

Anda mungkin juga menyukai