Anda di halaman 1dari 42

Peranan Guru Besar

dan Penolong Kanan Dalam Meningkatkan Kualiti Staf


Pendahuluan Senario pendidikan negara hari ini harus dapat dilihat secara menyeluruh dalam konteks merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan Pendidikan supaya rakyat dan negara tidak terpinggir dalam arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang begitu pantas berkembang. Segala perubahan yang sentiasa berlaku khususnya dalam pendidikan negara kita memerlukan para Guru Besar dan Penolong Kanan sama-sama bersedia untuk berubah, bersedia untuk menerima cabaran-cabaran baru di peringkat akar umbi iaitu sekolah agar kualiti dan kecemerlangan pendidikan yang menyeluruh dapat dicapai dengan berkesan. Kecemerlangan perlukan reformasi di peringkat sekolah terutama menumpukan kepada faktor-faktor dalam sekolah itu sendiri yang merangkumi dasar sekolah, amalan-amalan, tanggapan, sikap dan motivasi staf, matlamat dan kesetiaan serta pencapaian organisasi. Reformasi perlukan penglibatan total seluruh staf yakni bukannya bersifat individualistik atau melibatkan sekumpulan guru sahaja. Jika tidak kemajuan adalah sedikit sahaja dan tidak berjaya dari segi 'school wide improvement.' Perubahan ke arah peningkatan kualiti staf dan organisasi perlukan kefahaman dan kesediaan pihak-pihak berikut; 1. Pengurusan atasan (pemimpin) 2. Seluruh kakitangan/Staf (Total Involvement) 3. Pasukan-pasukan kerja. QC (Quaity Control) mula-mula dilaksanakan dalam tahun 1920 di Amerika Syarikat sebagai satu alat statistik dalam usaha penambahbaikan pengeluaran industri pada waktu itu. Jepun kemudiannya menggunakannya di dalam semua operasi sesebuah organisasi sebagai kawalan kualiti yang dikenali kemudiannya sebagai Total Qualty Control (TQC). A.V. Feigenbaum (1920 ) orang yang memperkenalkan TQC mendefinisikan TQC sebagai; "Total quality control is an effective system for integrating the quality-development, quality-maintenance, and quality -improvement efforts of the various groups in an organization so as to enable production and service at the most economical levels which allow for full customer satisfaction." Sheh Seow Wah dalam Chinese Management (1995) menyenaraikan tujuh ciri yang digelarnya sebagai 'kesakitan-kesakitan menular' di dalam organisasi:

1. Kurangnya sistem operasi dan mekanisme kawalan. 2. Struktur aktiviti yang rendah. 3. Stail Kepemimpinan. 4. Ketrampilan dan kemahiran pengurusan. 5. Kurangnya Arahtuju. 6. Ketidakberkesanan Mesyuarat. 7. Cakap Sahaja Tiada Tindakan. Situasi ini akhirnya mewujudkan semangat bekerja yang rendah di kalangan staf ditambah pula suasana kerja yang pasif dan tahap motivasi yang juga rendah. Keadaan ini seterusnya timbul budaya kerja yang jadi faktor penghalang kepada penyuburan, kemajuan dan perkembangan organisasi. Hubungan Individu dengan Organisasi Setiap individu adalah anggota organisasi. Tingkah-laku individu merupakan tingkah-laku organisasi. Jika setiap individu di dalam sesuatu kumpulan bekerja dengan baik maka prestasi kumpulan itu menjadi baik. Jika setiap kumpulan dalam bahagian/unit dapat bekerja dengan baik, seluruh prestasi bahagian/unit itu juga akan jadi baik. Begitulah seterusnya jika setiap bahagian/unit dalam sesuatu organisasi bekerja dengan baik, nescaya organisasi akan mencapai kecemerlangan, menjadi lebih kompetetif dan makmur. Para pengurus mestilah dapat menentukan arahtuju dan dengan itu dapat menukar dan membentuk tingkahlaku staf ke arah yang lebih berkualiti dan cemerlang. Dalam situasi di mana tiadanya objektif dan arahtju serta tiada pula pelan tindakan organisasi itu menuju kehancuran. Bagi yang ada objektif tetapi tiada pelan bertindak ia seolah-olah bermimpi di siang hari. Begitu juga halnya jika organisasi mempunyai pelan bertindak yang baik tetapi kurang pula aspek objektif dan arahtuju yang jelas, organisiasi sedemikian dikatakan berjalan dalam tidur. Mod Tingkah-laku : Pengurus personel perlu sediakan role-model dalam interaksi harian dengan manusia, respon kepada peristiwa dan membuat keputusan. Nilai dan norma haruslah serasi dengan perkembangan polisi dan prosedur yang diperkenalkan. Mengubah tingkahlaku selalunya sukar dan menyulitkan Perubahan tingkah-laku hanya boleh berlaku apabila manusia mempunyai pengetahuan dan kebolehan menterjemah nilai-nilai dan norma-norma baru di samping boleh menerimanya. Jika pekerja tidak mempercayai kepentingan nilai-nilai dan norma-nroma tersebut, mereka tidak akan mengamalnya. Oleh itu mengubah tingkahlaku individu, kumpulan dan organisasi lazimnya memakan masa, dari tahap ke tahap serta secara beransur-ansur. Menurut Sergiovanni (1984) Guru Besar mestilah memainkan peranan pemimpin yang berketrampilan (competent leader). Beliau senaraikan lima kelompok peranan tersebut sebagai berikut: 1. Pemimpin Teknikal: - Tumpukan kepada teknik pengurusan yang cekap dan mahir memanipulasi strategi dan keadaan bagi jamin keberkesanan yang maksimum. 2. Pemimpin Manusia: - mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia, perhubungan individu dan

manusia menggerakkan (motivate) stafnya, membina dan mengekalkan moral yang tinggi, galakkan inovasi dan kreativiti di samping beri sokongan yang perlu. 3. Pemimin Pendidikan: - main peranan sebagai 'clinical practitioner' iaitu sumbangkan kepakaran dalam pendidikan dan persekolahan. Mahir dalam aspek kurikulum, diagnosis keperluan pelajar, penilaian dan penyeliaan atau pencerapan yang berkesan. 4. Pemimpin Simbolik: - mainkan peranan sebagai penghulu (chief) yang memberi isyarat tentang nilai, kepentingan atau tujuan sesuatu yang hendak dicapai. Perlu punyai wawasan yang disampaikan kepada staf dan pelajar di sekolahnya. 5. Pemimpin Budaya: - main peranan sebagai 'high priest' - dilihat dari usaha-usahanya mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sebuah sekolah yang unik. Kepemimpinan ini selalunya memperlihatkan usaha bagi mengekal imej dan prestij sekolah. Hussein Mahmood (1993) menyenaraikan peranan-peranan berikut sebagai menyumbang kepada kejayaan, kecemerlangan dan kualiti sekolah. 1. mempunyai wawasan tentang sekolahnya; 2. menetapkan falsafah, misi (mission) dan matlamat serta objektif sekolahnya; 3. menjelaskan wawasannya kepada semua staf dan pelajar termasuk ibu bapa dan masyarakat sekitar; 4. menetapkan objektif dan strategi pengajaran dan kurikulum; 5. menyelia, mengesan dan menilai kurikulum dan program pengajaran; 6. menyelaras program pengajaran dan aktiviti kurikulum sekolah; 7. mengawasi waktu pembelajaran murid; 8. menggalak dan memberikan sokongan perkembangan profesional kepada guru; 9. membantu dan memberi sokongan kepada guru dalam pengajaran serta menyediakan intensif dan sumber; 10.mengawal mutu pengajaran di sekolah; dan 11.mewujudkan iklim sekolah yang kondusif bagi meningkatkan proses pembelajaran Membina Hubungan Interpersonal/ Organisasional Mewujudkan hubungan interpersonal dalam sesebuah organisasi amat penting dilakukan secara profesional bagi menentukan kejayaan objektif yang telah ditentukan. Satu situasi hubungan yang dinamakan Menang/Menang (Win/Win) harus dapat diwujudkan dan ini sekaligus melibatkan prinsip-prinsip kepemimpinan interpersonal. Kepemimpinan interpersonal yang berkesan perlukan: 1. Visi 2. Inisiatif proaktif 3. Bimbingan 4. Kebijaksanaan dan Hikmah 5. Kuasa

Situasi menang/menang mempunyai lima dimensi yang penting; 1. Watak 2. Hubungan 3. Persetujuan 4. Sistem sokongan 5. Proses 1. Watak : Asas kepada menang/menang dan terdiri daripada tiga ciri penting iaitu: a. INTEGRITI - nilai kepada diri sendiri - bina sedar-diri dan kebebasan memilih dan bertindak dengan menunaikan janji dan komitmen. b. KEMATANGAN - ditakrifkan sebagai imbangan antara keberanian dengan pertimbangan. - tinggi keberanian dan pertimbangan adalah perlu untuk capai situasi menang/menang. c. ABUNDANCE MENTALITY - satu paradigma bahawa terdapat banyak ruang dan peluang bagi semua orang. - hasilnya berkongsi prtestasi, pengiktirafan, keuntungan, membuat keputusan dan sebagainya. 2. Hubungan : Terbina selepas asas kepada watak dan kepercayaan. walaupun kita melihat sesutau berbeza tetapi oleh kerana kita mempercayai satu sama lain, kita sedia mendengar dan komited bagi memahami pandangan masing-masing dan kerana itu sedia untuk bekerjasama. 3. Persetujuan : Terdapat lima unsur bagi wujudkan persetujuan menang/menang. (a) Hasil yang dikehendaki (bukan kaedah) iaitu kenalpasti apa perlu dilakukan dan bila. (b) Bimbingan; perincikan batasan-batasan )(prinsip dan polisi) di mana hasil perlu disempurnakan. (c) Sumber; kenalpasti bantuan dari segi kemanusiaan, kewangan, teknikal atau organisasional bagi membantu mencapai hasil. (d) Akauntabiliti; tetapkan standard prestasi dan waktu penilaian akan dibuat. (e) Kesan-Akibat; perincikan antara baik dan buruk; natural atau logikal; apa akan berlaku sebagai kesan daripada penilaian tersebut. 4. Sistem Sokongan: - Bagi mencapai matlamat dan nilai, kita perlu selaraskan sistem ganjaran dengan matlamat dan nilai-nilai tersebut. - Libatkan staf di peringkat akar umbi untk membina dan memupuk jenis-jenis sistem yang boleh memotivasi mereka. - Untuk kejayaan menang/menang, sistem-sistem yang perlu ada: - sistem latihan - sistem perancangan - sistem komunikasi - sistem belanjawan

- sistem informasi - sistem ganjaran - Lazimnya sering berlaku masalah di dalam sistem, bukan orangnya. Jika kita letak orang yang baik di dalam sistem yang buruk, kita akan mendapat hasil yang buruk! 5. Proses: Proses dilihat sebagai satu cara bagaimana mencapai situasi menang/menang. Unsur kepada rundingan berprinsip ialah dengan mengasingkan orang daripada masalah, tumpuan kepada kepentingan bukan kepada kedudukan, mencipta pilihan berfaedah bagi kedua-dua belah pihak di samping menekankan kepentingan objektif. Oleh itu penyelesaian menang/menang patut melibatkan proses berikut: 1. Lihat masalah daripada sudut pandangan yang lain. Benar-benar cuba memahami dan beri pendapat kepada keperluan pihak yang satu lagi. 2.Kenalpasti isu-isu kunci dan perkara-perkara yang berkenaan dan bukan kepada kedudukan. 3.Tentukan apa hasil yang diperolehi dalam sesuatu penyelesaian yang diterima sepenuhnya. 4.Kenalpasti pilihan-pilihan baru yang boleh mencapai hasil-hasil tersebut. Penutup Adalah jelas betapa pentingnya hubungan tugas dan peranan di antara individu dengan organisasi bagi menentukan kualiti dan kecemerlangan secara menyeluruh. Individu dan organisasi perlu mempunyai disiplin yang utuh bagi menempa kejayaan. "Organization and discipline can give strength to the weak and small. The role of organization and discipline is not confined to the military forces and to war, though in these areas they play a most vital role. In other fields too organization and discipline are important in ensuring success." ~ (Mahathir Mohamad - The Challenge, 1986) Oleh itu mengejar kualiti dan kecemerlangan organisasi adalah bermula dengan kualiti diri setiap individu sesebuah organisasi dan sewajarnyalah kita sebagai guru besar dan penolong kanan dapat memainkan peranan yang positif secara lebih dinamik dan dengan penuh semangat jaya diri yang unggul dan tinggi setiap waktu. Knowing others is intelligence; knowing yourself is true wisdom. Mastering others is strength; mastering yourself is true power. If you realize that you have enough, you are truly rich... - Taoism

Rujukan Bremer, Sydney Newton. Ph.D (1989) 366 Self-Motivating Essays For Students & Adults. Thinker's Library Sdn. Bhd. Selangor D.E. Brinkman, Rick and Krischner, Rick (1994) Dealing With People You Can't Stand. Mc GrawHill, Inc. New York. Covey, Stephen R. (1989) The Seven Habits Of Highly Effective People. Simon & Schuster, New York. Covey, Stephen R. & Merill, A. Roger & Merill, Rebecca R. (1994) First Things First. Simon & Schuster, New York. Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Mahathir Mohamad (1986) The Challenge. Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor D.E. Mizuno, Shigeru (1988) Company-Wide Total Quality Control. Asian Productivity Organization, Tokyo. Novak, Philip 91994) The World's Wisdom. Harper Collins Publishers, New York. Sheh Seow Wah (1995) Chinese Management. MPH Distributors Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor D.E. ______________________________________________________________________
(* Ceramah disampaikan sewaktu Kursus Pengurusan Pendidikan Sekolah Rendah bagi Guru Besar dan Penolong Kanan (Kurikulum) Daerah Temerloh, bertempat di Institut Latihan Risda Kg. Awah, Temerloh pada 26-29 Disember 1995)

Ciri-Ciri Dan Potensi Diri

Guru Berkesan Dalam Merealisasikan Pendidikan Cemerlang


"If they aren't learning...then you aren't teaching." ~ Anon Pendahuluan Antara persoalan yang sering timbul di benak kita ialah mengapakah berlaku prestasi sebuah sekolah itu lebih baik daripada sebuah sekolah yang lain? Apakah pula faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya senario demikian? Atau adakah perbezaan yang wujud itu disebabkan 'nasib' semata atau kurangnya usaha-usaha melakukan perubahan dan penambahbaikan yang berterusan (Kaizen) kerana tidak wujudnya misi (mission), visi (vision), komitmen (committment) atau contoh ikutan (role model), sama ada dari aspek diri individu atau pihak pengurusan sekolah yang boleh mencetuskan inspirasi dan halatuju (direction) yang jelas, betul dan tepat. Ramai orang inginkan kemajuan, peningkatan, kecemerlangan dan kegemilangan seterusnya apa yang kita namakan sebagai kejayaan. Kejayaan pula berlaku dalam banyak bentuk sama ada kejayaan peribadi, kejayaan organisasi atau pun kejayaan kelompok dan komuniti. Phillip Van Hooser (1998) mendapati bahawa ada tiga unsur penting dalam menentukan kejayaan. Tiga unsur ini berkait rapat antara satu sama lain dan ianya digelar sebagai "Triangle of Success" (yang merangkumi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap). Ilmu Pengetahuan: Apakah pengetahuan? Adakah pengetahuan sahaja sudah cukup? Phillip Van Hooser menyatakan bahawa pengetahuan bukan dimanifestasikan oleh sijil dan diploma, ia juga bukan satu ukuran yang tepat berdasarkan angka gred mata purata atau dengan kekananan dan kelamaan seseorang itu berada di tempat kerja. Pengetahuan sebenar ialah kefahaman (understanding). Dalam kepimpinan, kefahaman terhadap apa yang diperlukan dan dijangkakan oleh pengikut-pengikut daripada pemimpin merupakan pengetahuan kerja yang praktikal. Kemahiran: Pengetahuan dan kemahiran sama-sama penting. Kedua-duanya sangat diperlukan bagi pembangunan kepemimpinan personal. Ringkasnya, kemahiran sama erti dengan aplikasi (application). Kebolehan mengaplikasi sesuatu konsep atau idea kepada sesetengah 'task' merupakan satu kelebihan kepimpinan yang tidak dapat dipertikaikan. Kemahiran-kemahiran khusus termasuklah keberanian profesionalisme, ketegaran (decisiveness) dan kesabaran serta kemahiran mendengar. Sikap: Sikap adalah kunci kepada segalanya. Sikap dapat disamakan dengan kehendak (desire). Sesiapa jua boleh memiliki pengetahuan dan kemahiran yan tertentu bagi melaksanakan perkara-perkara besar lagi hebat, tetapi jika tanpa kehendak yang mendorong dan menggerakkan tingkah-laku dan perbuatan maka hasil akhirnya adalah potensi yang tidak dapat direalisasikan. Didapati juga individu-indidvidu yang kurang pengetahuan dan kemahiran tetapi mereka memiliki sikap, kehendak dan dorongan yang cukup kuat dapat mengatasi sebarang halangan yang mereka hadapi dengan jayanya.

Cabaran kita ialah secara sedar membuang perasaan berpuas hati (complacency) dan terlalu yakin (overconfidence) sewaktu kita mengembangkan satu atau lebih unsur-unsur di atas. Kejayaan dan kecemerlangan sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap orang pelajar, guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri. Guru Berkesan Bagaimana dan apakah ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru yang berkesan itu? Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah menyenaraikan ciriciri guru berkesan sebagaimana berikut: Bersikap profesional. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori. Kaya ilmu. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja. Bermoral teguh. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa. Mempastikan situasi 'Guru mengajar murid belajar' wujud di dalam kelas. Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlamg akademik. Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilanm, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu). Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya. Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi. Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah. Kenyataannya adakah semua ciri tersebut telah kita miliki? Atau sekurang-kurangnya sebahagian besarnya telah kita amalkan dalam diri peribadi mahu pun dalam organisasi? Tetapi yang nyata masih ramai atau sebahagian besar dari kita amat kurang memiliki ciri-ciri tersebut. Jadi bagaimana kita hendak melahirkan pengajaran dan pembelajaran yan berkesan dan seterusnya sekolah berwatak dan sekaligus pendidikan cemerlang? Untuk menjadi guru berkesaan kita perlu berubah. Kita perlu menganjak paradigma, kita perlu melakukan lonjakan quantum dengan merobah dan meruntuh tembok penghalang yang pertama dan utama iaitu Menolak Perubahan (Resist Change). Ken Blanchard, pengarang buku "The One Minute Manager" menyatakan bahawa kita lumrahnya liat dan sukar menerima perubahan. Beliau menyatakan bahawa; Bila memikirkan perubahan kita sering fikirkan perkara-perkara yang kita kena kepaskan, bukan kepada perkara-perkara yang akan kita dapat .

Setiap orang mempunyai toleransi yang berbeza terhadap perubahan kendatipun kepada mereka yang memiliki tahap toleransi yang tinggi akan ada satu titik di mana perubahan tidak berupaya ditanggungi. Selali pun perubahan telah berlaku kita secara fitrahnya mahu meletakkan perkaarapperkara kembali kepada keadaan asalnya. Mengubah Diri Mengubah Sikap

Plato berkat, "Kemenangan yang utama dan pertama ialah menakluki diri." Garfield pula berkata, "Di dunia ini benda-benda tidak berubah, kecuali ada orang yang mengubahnya." Jelas sekali perubahan tidak terjadi tanpa penggeraknya atau pun penyebabnya, dan perubahan yang paling berat dan paling sukar ialah perubahan diri peribadi. Stephen Covey (1989) dalam bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People" menyatakan ada dua tahap proses perubahan yang perlu dilalui bagi mencapai status 'orang-orang yang paling berkesan' iaitu tahap 'memenangi peribadi' dan 'memenangi publik'. Tiga tabiat (habit) yang fundamental bagi seseorang memenangi diri peribadi adalah: Jadilah Proaktif (Be Proactive) Mulai dengan yang akhir di dalam minda (Begin with the End in Mind) Buat dahulu perkara pertama (Put First Things First) Bagi memenangi publik (dalam hubungan interpersoal) tabiat (habit) yang perlu diamalkan adalah: Fikirkan Menang/Menang (Think Win/Win) Fahami dahulu, kemudian minta difahami (Seek first to understand, and then to be understood) Sinergi (Synergize) Tajamilah mata gergaji (Sharpen the Saw) Memenangi Peribadi Dalam hubungan interpersonal kita sentiasa berinteraksi dengan orang-orang di dalam organisasi rasmi kita iaitu sekolah di mana personaliti dan perwatakan memainkan peranan dan pengaruh yang kuat terutama ke atas anak didik kita dan juga rakan sejawatan. Peribadi yang positif dan kuat mudah memberi kesan dan pengaruh serta dapat menjalin hubungan interpersonal yang baik dan harmonis. Antara rangsangan (stimulus) dan tindakan (response) terdapat satu ruang di mana kita boleh membuat pilihan. Apa jua tindakbalas/tindakan yang diambil bergantung kepada sedar-diri (self-awareness), imaginasi, hati nurani (conscience) dan keazaman-diri (independent will) setiap individu itu. Oleh itu sebelum berlakunya sebarang tindakbalas, setiap orang mempunyai satu ruang untuk membuat pilihan, dan di ruangan 'kebebasan memilih' inilah pula manusia sebenarnya memiliki 'anugerah istimewa' iaitu sedar-diri -- keadaan setiap orang sedar situasi sekeliling dan juga implikasi terhadap tindakbalas yang mungkin diambilnya. Di samping sedar-diri ini manusia juga dianugerahkan imaginasi -- kebolehan menjana sesuatu di dalam minda yang melangkaui realiti semasa. Hati nurani (consceince) pula merupakan kesedaran dalaman (suara hati) terhadap salah dan betul, benar dan palsu, terhadap prinsip-prinsip yang mengawal tingkah-laku serta kesedaran wujudnya harmoni antara pemikiran dan tindakan. Akhir sekali ialah satu anugerah kepada 'kemerdekaan' dan keazaman diri -- satu kebolehan bertindak berdasarkan sedar-diri dan bebas daripada segala bentuk pengaruh.

Ciri kedua memenangi peribadi ialah 'mulai dengan gambaran akhir di dalam minda' yang bererti setiap kita dapat melihat diri di akhir episod hidup kita sama ada kemajuan dalam kerjaya atau kejayaan peribadi dan keluarga. Ringkasnya apakah kita mahukan 'husnul khatimah' atau pun 'su'ul khatimah'. Dan ciri ketiga ialah buat dahulu perkara pertama (Put First Things First) yang maksudnya kita mengamalkan 'pengurusan masa' yang kemas dan sistematik, mengutamakan prioriti tindakan serta tidak suka menanggguh kerja. Insya Allah setelah tiga unsur penting ini kita kuasai maka tidaklah sukar untuk menjadi seorang yang lebih berkesan baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru yang cemerlang mahupun sebagai seorang ahli organisasi yan boleh menjadi role model kepada orang-orang lain. Pendidikan Cemerlang Aristotle berkata, "We are what we repeatedly do. Excellence, then, is not an act, but a habit." Sesungguhnya kecemerlangan bukan terjadi secara begitu sahaja tanpa faktor-faktor yang menggalak dan merangsang setiap guru dan pelajar berusaha mencapai matlamat dan kepuasan kendiri yang tinggi setelah bekerja keras, berkorban masa dan tenaga yang bukan sedikit. Oleh itu sekolah dan guru-guru perlu pertamanya melakukan sesuatu bagi menghapuskan atau mengurangkan faktor-faktor dalaman sekolah yang menyekat kemajuan pelajaran pelajarnya. Usaha-usaha memperbaiki kemajuan dan sekaligus kecemerlangan pendidikan di sekolah mestilah berfokuskan pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah. Semua ini perlukan perubahan sikap dan kepercayaan para guru (termasuk pelajar-pelajar). Hussein Mahmood (1993) dalam bukunya "Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah" berkata; "Walau bagaimanapun , di peringkat sekolah pada keseluruhannya, seluruh cara hidup atau cara bekerja - yang dikatakan budaya sekolah serta sistem-sistem tertentu yang menghalang kejayaan sekolah perlu dikaji semula dan diperbetulkan segera. Jika tidak, segala apa juga usaha untuk memajukan sekolah, kemungkinan matlamat yang sepatutnya dicapai tidak dicapai." Menurut beliau usaha untuk memajukan sekolah hendaklah berfokuskan; a. Pencapaian matlamat sekolah, iaitu pelajaran dan pencapaian akademik para pelajar; b. Penyelesaian punca-punca masalah yang menyebabkan keadaan sekolah demikian; c. Membentuk atau mewujdukan budaya baru bagi menggantikan budaya yang sedia ada melalui (b) atau memperkukuhkan budaya yang didapati produktif; dan d. Menggerakkan segala tenaga di sekolah dan di luar sekolah ke arah pencapaian matlamat-matlamat sekolah melalui kepemimpinan pengetua. Kajian terhadap Program Peningkatan Kurikulum dasn Kemajuan Pendidika (PKKP) Jabatan Pendidikan Pahang, Edisi Kedua (1999); Satu Penilaian dan Cadangan Pembaharuan menyebut faktor-faktor berikut sebagai penghalang kepada peningkatan dan dengan itu mstilah dibasmi dan dielakkan: Visi bersama tidak dijelaskan dan tidak dihayati oleh setiap anggota; Mesyuarat/perbincangan mengenai strategi yang terlalu kurang; Sikap tidak cakna;

Anggota yang masih tidak mahu berubah dari 'zon selesa'; Cepat berpuas hati atau puas hati yang melampau; Pemimpin organisasi tidak terlibat dan tidak ikut serta untuk membuat perubahan; Tiada usaha yang lebih atau tiada pengorbanan; Terlalu cepat mengisytiharkan kemenangan; Tiada kemenangan jangka pendek yang boleh diraya atau dibanggakan oleh organisasi menyebabkan hilang momentum untuk berubah dan anggota yang kecewa akan memasuki kumpulan yang menolak perubahan. Menempa Kejayaan

Persekolahan dan pendidikan hari ini bukan sahaja menuntut para guru menyempurnakan tugas dan tanggunjgjawab mereka dalam mempastikan setiap anak didik menguasai tulis baca dan mengira, malah menguasai pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru. Oleh itu tugas dan tanggungjawab serta komitmen guru juga haruslah bertambah dan meningkat dari sebelumnya dan ini sudah tentu memerlukan satu sikap baru dan 'pandangan baru' dalam menempa kecemerlangan pendidikan secara keseluruhannya. Untuk mencapai matlamat ini guru-guru mestilah mempunyai kesedaran diri yang tinggi bahawa apa jua faktor yang memghalang hendaklah dibanteras di samping membuat perubahan pendekatan, strategi dan teknik serta secara berfikir yang positif. Salah satu aspek penting menempa kejayaan ialah pendekatan positif terhadap disiplin dalam hubungan meningkatkan mutu kerja, mutu pengajaran dan pembelajaran, dan akhirnya mutu output iaitu pencapaian anak didik di dalam penilaian dan peperiksaan. Blaine Lee dalam bukunya The Power Principle (1989) menyebut bahawa "The positive approach to discipline focuses 20% on what went wrong, and 80% on what could be different next time." Yang demikian kita seharusnya menumpukan lebih perhatian dan tenaga kepada aspek "next time" ini dan sekaligus menghapuskan segala amalan, tabiat dan tingkah-laku negatif yang merugikan semua orang. Satu daripada pendekatan dan konsep yang boleh diamalkan ialah Shewhart Cycle atau lebih dikenali sebagai PDCA (yakni Plan - Do - Check - Act). Plan (Rancang) : Semua aktiviti (sekolah, kelas, kokurikulum, zon dan daerah) mestilah dirancang dengan rapi. Elakkan sekali-kali mentaliti ad-hoc, buat sesuatu secara tangkap muat, atau ikut sahaja kerana ramai orang lain buat begitu. Do (Buat) : Semua yang telah dirancang mesti dilaksanakan sepenuhnya. Inilah aspek paling penting dan kritikal kerana pada peringkat inilah yang menentukan kejayaan setiap perancangan itu. Apa makna dan apa gunanya jika perancangan tinggal pernacangan sahaja? Soal balik diri sendiri apakah perancangan yang kita buat telah semuanya dilaksanakan? Lihat kembali Folio B dalam Program PKKP selama ini sudahkah dibuat sebagaimana dirancang? Jujurlah kepada diri sendiri, dan jika belum, nah inilah puncanya mengapa kita begitu sukar mengatasi kelemahan dan kemerosotan. Check (Semak) : Semakan amat penting kerana setiap perancangan dan pelaksanaan perlukan; penilaian bagi melihat keberkesanannya atau pun sebab-sebab mengapa ianya tidak mencapai objektif yang ditentukan. Banyak kerja guru-guru kita perlu disemak dengan teliti dan rapi seperti buku latihan murid diperiksa atau tidak, pembetulan dibuat atau tidak,

diagnosis mata pelajaran dibuat atau tidak dan jika dibuat tindakan susulan dibuat atau tidak, keputusan mesyuarat guru atau mesyuarat panitia mata pelajaran dibuat atau tidak, pencerapan pengajaran guru dalam bilik darjah dibuat atau tidak; atau laporan-laporan berkala yang diminta oleh JPNP dan PPD dibuat atau tidak, dan dihantar mengikut masanya atau tidak? Satu cara berkesan memastikan sistem semakan yang praktikal ialah dengan mewujudkan satu Senarai Semak Komprehensif yang melibatkan semua perancangan aktiviti di sekolah. Act (Bertindak) : Setelah semakan dibuat dan jawapannya diketahui sama ada ianya positif atau sebaliknya, tindakan yang amat penting seterusnya ialah mengambil tindakan. Cari puncanya, cari mana silapnya dan cari siapa culpritnya (afritnya). Adakah puncanya kerana sikap manusia atau sistem dan prosedur atau tidak jelas bidang tugas? Tindakan seterusnya memastikan tidak berulang lagi perkara-perkara tidak memuaskan ini dan personnel yang terlibat mestilah disedarkan melalui nasihat, teguran, bimbingan dan kaunseling malah amaran dan tindakan selanjutbya sekali pun jika sudah sampai kepada tahap yang serius dan kritikal. Penutup Menjadi guru berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil dicapai. Prasyarat yang utama dan pertama ialah kesediaan dan keanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan bertindak secara orang-orang profesional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat. Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnnya di sekolah setiap masa dan waktu. Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia belajar dari kesilapan dan kelemahan. Orang-orang yang berfikiran dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan menyalahkan orang lain dan keadaan semata-mata, orang yang optimistik melihat semuanya dari sudut yang serba berkemungkinan berjaya dan meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu pun aspek organisasi. Seperti kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau menyebut; " Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai pendidik yang unggul."

Rujukan Covey, Stephen R. (1989) The Seven Habits of Highly Effective People. Simon and Schuster, New York. Fox, John (1998) Back to the Future - Management of Change. Anne Fox & Associates, Australia. Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. ____________ (1999) Program Peningkatan Kurikulum Dan Kemajuan Pendidikan (Edisi Kedua), Satu Penilaian Dan Cadangan pembaharuan. Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Van Hooser, Phillip (1998) Triangle of Success. Van Hooser Associates, Ocala, Florida, USA. _____________________________________________________________________ (Ceramah Siri 1 Motivasi Personel anjuran Majlis Guru Besar Daerah Maran dan
Pejabat Pendidikan Daerah Maran 1999)

Pengurusan Berkualiti Menyeluruh Hal Ehwal Murid Di Peringkat Sekolah Peranan Dan Ketrampilan Kerja
"You can delegate authority, but not responsibility." ~ Stephen W. Cominsky Pendahuluan Apa pun nama atau label yang kita letakkan kepada sekolah-sekolah yang dikenalpasti sebagai sekolah-sekolah yang cemerlang seperti sekolah berkesan, sekolah bestari, sekolah berwatak, sekolah perdana atau sekolah harapan negara tidak akan wujud secara kebetulan atau secara bernasib baik sahaja atau diberi layanan istimewa daripada pihak-pihak tertentu tanpa wujudnya orang-orang yang bekerja keras meletakkan kepentingan organisasi dan misi ke satu tahap yang sukar ditandingi oleh sekolah-sekolah lain. Siapakah yang memainkan peranan sehingga organisasi mencapai tahap yang gemilang dan cemerlang itu kalau bukan para pentadbir dan guru-gurunya? Organisasi yang tersohor tentulah dianggotai oleh orang-orang yang juga tersohor. Kejayaan orang-orang inilah yang membawa organisasi mereka mencapai matlamat dan objektif dengan berkesan. Kecemerlangan pengurusan sering diukur menerusi kecekapan dan keberkesanan para pengurusnya dalam mencapai objektif organisasinya. Kecemerlangan pengurusan ini hendaklah dilihat sebagai kecemerlangan dan kejayaan semua ahli organisasi terutama di kalangan 'pengurusan' iaitu para penolong kanan terutamanya Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dalam konteks kertas ini. Sebagai 'ketua' di bidang hal ehwal murid ini bererti Penolong Kanan Hal Ehwal Murid juga adalah seorang 'pemimpin'. Antara ciri-ciri pemimpin yang berkesan adalah: Unit atau organisasinya berfungsi dengan lancar. Dapat jadikan orang-orang lain lakukan apa yang dikehendakinya. Dihormati dan dikagumi oleh orang-orang lain. Pihak lain sebulat suara menganggapnya seorang pemimpin yang berkesan. Kepemimpinan yang berkesan ialah kebolehan mencapai sebahagian atau semua ciri di atas. Oleh itu setiap dari kita wajar mengetahui dan menghayati beberapa ciri dan aspek yang bersangkutan dalam membentuk dan mewujudkan pengurusan Hal Ehwal Murid yang 'tiptop' di sekolah masing-masing berdasarkan objektif-objektif kertas ini seperti berikut: Mengetahui, memahami "pengurusan" bidang tugas dengan lebih komprehensif. Meningkatkan kesedaran peranan yang dimainkan oleh GPK HEM. Mampu menterjemahkannya kepada 'kerja-buat' dan produktiviti berkualiti. Meningkatkan kewibawaan dan ketrampilna personel. Menggarap Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam pengurusan amnya dan pengurusan Hal Ehwal Murid khasnya. Sedia menghadapi bidang tugas dan peranan yang lebih berat dalam hubungan prestasi dan kemajuan serta peningkatan kerjaya.

Untuk lebih menjamin kejayaan apa jua urusan yang kita hadapi dan tangani jangan lupa aspek SIKAP; yang menentukan kita sedia atau tidak untuk 'berubah'; sedia atau tidak untuk menukar strategi dan pendekatan; dan bersikap optimistik bahawa kita adalah seorang GPK HEM yang lebih berwibawa dan lebih berkesan. 1. Mengetahui, memahami 'pengurusan' bidang tugas dengan lebih komprehensif. Tahu dan faham semua Bidang Tugas , Senarai Tugas dan Pentadbiran seperti yang dikeluarkan oleh Bahagian Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) seperti yang disertakan. Kena faham betul-betul istilah "penolong kanan" yakni orang kanan, orang harapan Guru Besar, orang penting dalam heirarki organisasi sekolah dalam urusan hal ehwal murid. Ketahui apa yang dibuat itu tepat dan betul dari segi falsafah, konsep, prinsip dan prosedurnya serta memahami batas-batas dan implikasinya dari segi perundangan dan keharmonian organisasi dan masyarakat setempat. Memiliki salinan-sallinan pekeliling dan siaran-siaran berkaitan Hal Ehwal Murid terutamanya Pekeliling-Pekeliling Ikhtisas dengan lengkap dan kemaskini serta mudah diakses apabila diperlukan. Sentiasa tingkatkan pengetahuan dan kemahiran, perbaiki kelemahan dan jangan lupa selaku seorang pemimpin hal ehwal murid di sekolah kita tidak boleh menyalahkan guru-guru di bawah kita sebleum kita 'menyalahkan diri sendiri' terlebih dahulu. 2. Meningkatkan kesedaran peranan GPK HEM Sedar bahawa perkataan 'hal ehwal' itu sendiri menunjukkan segala-gala hal mengenai murid di sekolah; semua hal bersangkutan murid dengan agensi-agnsi luar sekolah...adalah 'kerja kita!' Aspek-aspek yang GPK HEM kena bertanggungjawab iaitu disiplin, kaunseling, kebajikan, keselamatan, motivasi, komunikasi dan sebagainya. Kena sedar betapa 'beratnya' peranan yang GPK HEM patut dan boleh mainkan. Seorang GPK HEM berperanan dalam situasi dan keadaan yang berbeza-beza, sebagai seorang; suri teladan, pemudahcara, penyelesai masalah, kaunselor, motivator, idola, jurulatih, instruktor, bahkan sebagai ibu, bapa, abang atau kakak kepada murid-muridnya. 3. Mampu menterjemahnya kepada 'kerja-buat' dan produktiviti berkualiti Apa yang diketahui, apa yang difahami tidak cukup dengan mengakuinya sahaja; ia mesti dibuktikan dengan 'kerja-buat' kita berdasarkan ciri-ciri; 1. sentiasa on-time 2. sentiasa berkualiti 3. menampakkan unsur imaginatif, kreatif dan inovatif. Kerja-buat yang dimaksudkan meliputi: 1. Pelaporan retan, data dan maklumat, banci, diagnosis dan anlisis 2. Pengelolaan program dan aktiviti berkaitan di sekolah 3. Penyeliaan, pemantauan serta semakan tindak ikut berhubung RMT/PSS, SPBT, Buku Setok, Rekod dan Fail, Jadual Kedatangan, Buku Daftar Sekolah dan Buku Resit Yuran Khas, Buku Rekod Kesihatan Murid (RKM1), Hapuskira Perabot dan Buku Teks dan lain-lain yang seumpamanya. 4. Penglibatan Total dalam semua AJK peringkat sekolah, Pasukan Petugas, Program Khas Untuk Guru atau Murid, Majlis dan Upacara, dan sebagai wakil Guru Besar jika diarahkan. 4. Meningkatkan kewibawaan dan ketrampilan personel

Personel yang berwibawa bercirikan: i. ilmu pengetahuan & pengalaman ii. kemahiran: mengurus dan teknik iii. sikap positif: fikir positif dan buat positif iv. komunikasi: interpersonal dan intrapersonal Ketrampilan adalah isu pokok berhubung dengan 'bakat' dan 'kebolehan' seseorang ketika menjalankan tugas. Bakat adalah potensi kebolehan, sementara kebolehan adalah pengetahuan dan kemahiran yang sedia dimiliki oleh seseorang. Ketrampilan juga bermakna 'sentiasa ke depan' dalam banyak aspek tidak hanya 'penonton' tetapi menjadi 'teraju utama' dalam menyempurnakan tugas dan tanggungjawab. Apabila kita sudah 'boleh' melaksanakan tugas dengan sempurna dan tepat, betul serta kemaskini dan menepati piawaian yang ditentukan barulah kita membuktikan kewibawaan kita dalam bidang di bawah tanggungjawab kita itu tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak. 5. Menggarap Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam pengurusan amnya dan dalam pengurusan Hal Ehwal Murid khasnya. Konsep kualiti secara keseluruhan yang dipamerkan dalam semua aspek di dalam organisasi di mana Hal Ehwal Murid adalah salah satu komponen yang amat penting. Menyeluruh bererti: i. semuanya terlibat (sistem, personel, unit, prosedur) ii. melibatkan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang iii. tidak ada aspek, walau bagaimana kecil sekali pun dibiarkan tanpa ditangani iv. diketahui dan difahami oleh seluruh warga organisasi. Tiga prinsip perlu dipatuhi bagi capai kualiti: Prinsip 1 : Kualiti ialah sebarang produk atau servis yang memuaskan hati pelanggan. Ia bukan soal lebih baik atau lebih mahal. Ia soal menepati kehendak pengguna. Untuk capai kualiti semua pelanggan (luar dan dalam) organisasi mestilah berpuas hati.

Prinsip 2: Standard kerja ialah 'defect free' (tiada kecacatan). Setakat hampirhampir belum cukup. Untuk capai kualiti setiap orang mesti ada sikap 'defect free' dalam apa sahaja yang dibuat. Prinsip 3 : Kualiti diukur dengan 'price of non quality' (PONQ). PONQ ialah apa yang jadi kos kepada organisasi dari segi masa, kewangan atau peluang apabila perkara-perkara tidak dilakukan dengan cara yang paling baik.

Tujuh ASAS KUALITI menyeluruh yang mesti dan perlu dilaksanakan bagi mencapai kualiti menyeluruh di sekolah adalah sebagaimana berikut: Asas # 1 : Menepati Standard Asas # 2 : Mengongsi Visi Asas # 3 : Pencegahan Asas # 4 : Buat Betul Kali Pertama (DIRFT) Asas # 5 : Pengukuran Asas # 6 : Penglibatan Total Asas # 7 ; Penambahbaikan Berterusan (KAIZEN) Asas # 1 : Menepati Standard dimaksudkan sebagai mencapai standard yang telah ditetapkan serta mempunyai sistem yang dapat memenuhi keperluan klien

(pelanggan) yang menjurus kepada; fokus kepada pelajar, boleh dicapai; komunikasi dan persetujuan bersama. Asas # 2 : Mengongsi Visi membawa maksud membina perkongsian padu dalam dan luar sekolah dan tumpuannya kepada keperluan-keperluan, dialog serta usaha-usaha menghapuskan halangan-halanan mencapai penambahbaikan dengan menghapuskan halangan, mengamalkan kesamarataan layanan dan tindakan di dalam dan diluar sistem sekolah bagi mewujudkan faedah bersama. Asas # 3 : Pencegahan membawa pengertian baru di mana perlunya ketrampilan 'mencegah masalah' bukan hanya 'menyelesaikan masalah' dengan jadikan prosesproseseyan boleh ramal, mulakan dengan perancangan, terapkan dan mantapkan bahawa pencegahan adalah sikap dan dengan menambah masa belajar. Asas # 4 : Buat Betul kali Pertama (DIRFT) jadikan ianya satu standard prestasi tunggal dalam semua kerja-buat sama ada kerjaya atau peribadi yang bermaksud tidak ada standard alternatif, buat betul dalam kekmampuan kini serta mengikat keberkesanan dan kecekapan. Asas # 5 : Pengukuran pula bererti dan meliputi mengenalpasti peluang-peluang, membantu tetapkan matlamat penambahbaikan, membantu menetapkan kemajuan, memfokus kepada usaha penambahbaikan sahaja dan mestilah digunakan dalam aspek operasi melibatkan kualiti program, kecekapanan sekolah, kemajuan projek dan budaya kualiti. Asas # 6 : Penglibatan hendaklah dimaksudkan sebagai satu situasi di mana semua orang dan semua tahap terlibat dalam proses menggarap kualiti menyeluruh ini berdasarkan pasukan kualiti dan penglibatan dicirikan dengan menggembleng sumber utama iaitu manusia, berkongsi dalam membuat keputusan, menghargai 'teamwork' dan akhirnya menimbulkan rasa kepunyaan (sense of ownership) Asas # 7 : Penambahbaikan Berterusan (KAIZEN) yang bererti usaha-usaha menggarap kualiti menyeluruh dilakukan tanpa henti dan tanpa penghujungnya. Oleh itu penambahbaikan berterusan mestilah menghapuskan rasa 'selesa', merupakan kunci dan juga menjadi satu tabiat kejayaan, dapat merangsang inovasi tanpa takut dan tidak kurang pentingnya terhapusnya budaya dan sindrom 'hangat-hangat tahi ayam.' Indikator menunjukkan kualiti pengurusan wujud dan dihayati: Aspek ADA; Ada perancangan program dan jadual aktiviti (seperti SKT) berdasarkan tahunan, bulanan, penggal dan mingguan atau harian. Ada instrumen pengesanan boleh merupakan senarai semak (tugas, petugas dan tarikh); pelaporan (perkembangan dan proses); rekod kerja (buku-log, senarai kehadiran, fail khas); penilaian (berkala, berterusan); dan tinddkan (baiki kelemahan dan tidak mengulanginya lagi). Ada dokumentasi yang dijilid kemas sama ada dalam bentuk buku, risalah, hand-out, buletin, news-letter dan sebagainya. termasuk dalam dokumentasi ini juga gambar foto, flow chart, carta Gantt, carta organisasi dan tidak kurang pentingnya mestilah disokong oleh sistem fail yang kemaskini dan lengkap. Aspek TIADA; Tiada surat ulangan, teguran atau peringatan yang diterima daripada JPNP, PPD, KWSP, Audit Sekolah dan seumpamanya. Tiada aduan, sungutan dan rungutan daripada pihak-pihak berkepentingan sampai melibatkan media massa.

Tiada sebarang kelewatan dalam memberi respon sama ada ianya bersifat rutin atau berkala apatah lagi melibatkan klien terdekat kita iaitu murid dan penjaga mereka. Tiada berlakunya buat kerja dua kali yang melibatkan pembetulan dan menyebabkan pembaziran dari segi sumber, masa dan tenaga. Tiada wujudnya sindrom elak-mengelak dalam menerima tugas dan tanggungjawab atau melaksanakan sebarang tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Tiada 'clique' di sekolah yang menularkan pengaruh-pengaruh negatif dan merosakkan organisasi, masing-masing dengan falsafah "aku-aku", "engkau-engkau" seperti kata perumpamaan Melayu "Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing". 6. Sedia Menghadapi Tugas Yang Lebih Berat Pengetahuan dan pengalaman kerja adalah prasyarat kepada peningkatan prestasi yang dijangkakan apabila seseorang itu memegang jawatan-jawatan naik pangkat dalam kerjanya. Pengetahuan dan pengalaman kerja yang dimaksudkan itu tidak akan diperolehi jika kita tidak didedah, dilatih dan dibimbing dalam kerja-kerja kita sewaktu kita masih di peringkat awal perkhidmatan kita. Mampu menjadi seorang 'ketua' yang bertanggungjawab malah berani menghadapi 'risiko' dalam segala keputusan dan tindakannya. Seorang ketua sejati tidak melepaskan segala-galanya kepada orang-orang bawahannya sahaja. Ingatlah "You can delegate authority, but not responsibility". Mampu berfikir secara rasional berdasarkan prinsip yang betul dalam mengambil sebarang tindakan, tidak terpinga-pinga atau tenggelam punca apabila berhadapan dengan kerenah staf dan anak buah. Mampu memimpin organisasi atau unitnya dengan berkesan dan cemerlang dan dengan semangat "kesejawatanan" yang tinggi akhirnya dapat melahirkan 'sekolah berwatak' yang ditunjukkan dalam semua aspek iklim sekolah yang unggul dan berkesan. Mampu menyumbang buah fikiran, tenaga dan kepakaran serta bakat istimewa yang dimiliki bagi membantu sekolah-sekolah atau rakan-rakan yang lain di peringkat kelompok atau pun daerah. Iklim Sekolah

Selaku seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, kita merupakan orang penting (selepas Guru Besar) yang dijangkakan dapat membantu dan membimbing guru-guru dan muridmurid kita mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik melalui portfolio yang kita sandang. Di samping organisasi pengajaran yang merupakan 'teras' kepada matlamat dan objektif mengapa sesebuah sekolah tu diwujudkan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid perlu berfungsi membina dan memupuk iklim sekolah yang sihat, kondusif, ceria, bersih, cantik, kemas, seronok, selamat serta menjadi kebanggaan guru dan murid. Unsur-unsur tidak formal dan normatif di sekolah seperti disebutkan itu amat mempengaruhi malah menyokong pembelajaran serta pembentukan sikap diri insan yang amat tinggi nilainya. Sewajarnyalah kita membetulkan sikap dan tingkah-laku terutamanya dari segi penyempurnaan tugas-tugas seharian kita di sekolah. Kepemimpinan yang paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan. Oleh itu sebelum memimpin orang lain, pimpinlah diri kita dahulu. Di sinilah sikap dan ketrampilan kita dalam memberi teladan kerja memainkan peranan penting dalam membentuk dan memupuk 'school-wide improvement' yang melibatkan semua orang dan berjalan secara berterusan.

Mencapai tahap pengurusan atau budaya kerja yang berkualiti tinggi memerlukan satu kekuatan jiwa dan mental bagi melakukan perubahan dan menangani kemelut dan konflik yang sama ada telah lama wujud atau yang baru 'diimport' yang terdapat di sekolah kita sekarang. Menangani perubahan tidak bermakna sekadar 'bertukar sekolah' tetapi kita masih tidak ' bertukar sikap, pemikiran dan amalan' kita selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Menangani perubahan memerlukan penglibatan semua orang di sekolah. Salah satu pengaruh menghalang pelaksanaan pembaharuan ini adalah pengaruh negatif kumpulan tidak formal (informal group) di kalangan guru-guru atau kakitangan bukan guru yang lain di sekolah. Tidak sukar mencapai keberkesanan kerja-buat atau mempertingkatkan kefahaman dan amalan kita kepada 'kerja sebagai ibadah' atau 'amalan soleh' dalam hubungan tugas-tugas hakiki kita selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah jika kita membetulkan dan memperluas konsep 'ibadah' dan 'amal soleh' itu sendiri. Prof. Hassan Langgulung (1991) menyebut; "Sebagai contoh apa yang dimaksudkan daripada ungkapan itu adalah pandangan yang menyeleweng tentang makna "soleh". Pengertian manusia soleh, sepeti yang kita fahami sekarang adalah orang yang tidak mencuri, tidak minum arak, tidak berzina dan lain-lain. Sekan-akan kita lupa sama sekali tentang apa dia akhlak yang luhur itu. Seakan-akan akhlak yang luhur dan mulia itu sekadar menjauhi perkara-perkara haram itu. Sedang akhlak luhur seperti kesungguhan, kesiapsiagaan, disiplin, tolong-menolong dan lain-lain tidak bermakna apa-apa. Kenapa?" Majid Ersan Al-Kailani dalam bukunya Mendidik Peribadi Muslim (1997) mentakrifkan 'amalan soleh' sebagai: "Amalan soleh bukan sahaja terbatas kepada berbuat kebajikan dan memberi manfaat; akan tetapi ia juga menolak hal yang buruk dan mengatasi bahaya. Amalan soleh, dengan demikin, terbahagi kepada dua, iaitu amalan dengan tujuan memberi manfaat kepada umat manusia dan di redhai Allah s.w.t., dan amalan dengan tujuan mengenepikan bahaya daripada umat manusia dan kemurkaan Allah s.w.t. Manusia yang melaksanakan dua bahagian amalan soleh ini disebut sebagai orang soleh dan muslih (baik sekaligus memperbaiki), manakala orang yang hanya mengerjakan bahagian pertama disebut sebagai orang soleh sahaja." Cabaran kerja kini memerlukan setiap penjawat awam memperlengkapkan diri masingmasing bukan sahaja dalam aspek-aspek profesionalisme tetapi juga dalam aspek-aspek pengurusan yang bekesan, kemahiran interpersonal, pengurusan konflik dan 'stress' dalam kerjaya dan kehidupam sosial dan peribadi, yang boleh membantu kita selaku penolong kanan yang mempunyai ciri-ciri integriti, watak dan jatidiri yang dapat menjadi role-model dan sumber inspirasi kepada seluruh warga organisasi di mana kita bertugas.

Penutup Begitu besar dan beratnya amanah dan tanggungjawab yang kita pikul selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah hendaklah benar-benar diinsafi. Saiz sekolah bukan jadi ukuran; tidak juga dijadikan alasan untuk tidak menyempurnakan amanah, tanggungjawab atau pun tugasan. Betapa kecil sekolah yang kita tadbirkan atau betapa sekali pun keadaan

rupa fizikal sekolah kita, tidak patut sama sekali kita meremehkan bidang tugas dan tanggungjawab hakiki kita. Apa yang perlu kini ialah kita mengubah paradigma dan pemikiran, menambah ilmu pengetahuan dan paling penting mengamalkan apa yang kita sudah pelajari dan buktikannya melalui kerja-buat kita setiap waktu dan ketika. Tak tahu dan tak pandai hendak melakukan sesuatu boleh dipelajari, tetapi jika sudah tahu dan sudah pandai tapi tak mahu buat kerja amatlah malang sekali. Ringkasnya sekadar tahun dan 'mengaku pandai' tidak ada gunanya; yang penting apa yang dibuat dan apa yang diurus, dan apa yang telah kita buktikan melalui kerja-kerja kita selama ini. Bruce Lee seorang aktor kung fu terkenal pernah disebut sebagai berkata: "Knowing is not enough, you must apply. Willing is not enough, you must do". Buatlah refleksi diri masing-masing agar segala kelemahan dan ketidakketrampilan kita sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dapat diatasi dan perbaiki ke tahap yang paling tinggi. Sepatutnya tidak wujud lagi ulasan dan teguran daripada 'stakeholders' kita berhubung dengan pengurusan hal ehwal murid yang sering dilaporkan tidak cekap, tidak berkesan, lewat malah terus tidak diambil tindakan sewajarnya walaupun perkara-perkara tersebut berulang kali diutarakan di dalam setiap taklimat, bengkel atau mesyuarat yang dikelolakan sama ada oleh Jabatan Pendidikan Pahang atau pun Pejabat Pendidikan Daerah sendiri.

Rujukan _____________ Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Rendah (1991). Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur. Hassan Langgulung (1991) Falsafah Pendidikan Di Malaysia: Suatu Analisis Permulaan; dalam Reformasi Pendidikan Di Malaysia, Mohd Idris Jauzi (editor), Nurin Enterprise, Kuala Lumpur. Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur. Majid Ersan Al-Kailani (1997) Mendidik Peribadi Muslim. Berita Publishing Sd. Bhd., Kuala Lumpur. Mohd. Kamal Hassan (1988) Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Nurin Enterprise, Kuala Lumpur. Ramaiah, AL. (1992) Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Dan Masa Kini. IBS Buku Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1994) Pentadbiran Pendidikan. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. ______________________________________________________________________
( * Ceramah dalam Program In-House Sekolah-Sekolah Kelompok Daerah bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Maran pada 14 Mac 2000)

Pembangunan Sekolah Berkesan


Dalam Konteks Sekolah Berwatak

Konsep Dan Komitmen


"Imagination is the beginning of creation. You imagine what you desire, you will what you imagine; and at last you create what you will." ~George Bernard Shaw Pendahuluan Perubahan dan pembaharuan di dalam bidang pendidikan negara berlaku begitu pesat sejak beberapa dekad yang lalu telah memberikan dampak yang bukan sedikit terhadap keseluruhan perancangan, pembangunan, dan presatasi melibatkan semua peringkat dan tahap pendidikan sama ada pendidikan rendah, menengah atau pun pendidikan tinggi. Isu-isu pendidikan tidak jemu-jemu dan tidak putus-putus diperkatakan dan dibahaskan oleh semua lapisan masyarakat menggambarkan bahawa pendidikan adalah satu aspek yang amat penting dalam pembinaan satu negara-bangsa yang bersatu, bersetia, beretika dan beragama, berkeupayaan dan berketrampilan memainkan peranan aktif dan produktif dalam masyarakat antarabangsa. Semuanya ini bermula dari satu 'tempat' yang dinamakan sekolah. Inilah tempatnya kalau kita mahu ianya diberi nama jolokan sebagai 'kilang mendidik dan membangun insan'. Sekolah tidak sahaja dijangkakan menghasilkan produk dalam bentuk insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran yang relevan dengan kehidupan dan zaman tetapi lebih dari itu adakah insan-insan ini benar-benar terdidik dalam erti kata menjadi insan yang berperikemanusiaan, berhati perut dan berperasaan, berbudi dan berakal, berani menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran, seorang yang soleh lagi muslih, dan tunduk dan patuh kepada khaliknya, Tuhan seru sekalian alam. Masanya Akan Tiba... Harapan dan jangkaan ibu bapa dan penjaga khasnya serta masyarakat amnya hari ini terhadap prestasi dan kecemerlangan sekolah tidak dapat dipandang remeh lagi. Setiap ibu bapa mengharapkan segala yang terbaik bagi pendidikan anak-anak mereka daripada pihak sekolah. Sekarang pun sudah berlaku terdapatnya ibu bapa yang terlalu memilih sekolah. Mengapa wujud kecenderungan ini? Sedarkah kita bahawa suatu

masa nanti akan berlaku fenomena ada sekolah-sekolah dikategorikan sebagai sekolah 'laris', 'sederhana laris' atau 'sekolah tak laku'? Di negara maju sendiri berlaku dan meningkatnya ketidakpuasan hati dengan keadaan sekolah-sekolah awam kini. Salah satu alternatif yang popular sekarang ialah apa yang dipanggil 'home schooling'. Di Saskatchewan, bilangan murid-muird yang mengikuti 'home schooling' telah meningkat sehingga 30% setiap tahun sejak 1993. The Saskatchewan Home-Based Educators menjangkakan bilangan muridmurid 'belajar di rumah' akan mencapai 3,000 orang menjelang alaf baru. Tidak mungkinkah senario seumpama ini akan wujud di negara kita satu masa nanti? Rasa tidak puas hati dan rasa kecewa dengan sekolah-sekolah awam bukannya omong kosong. Masyarakat mengejar keputusan; mereka hendak melihat sekolah-sekolah yang baik dan berkesan. "In schools, treading water is no longer an option. School people must either propel themselves in some direction, be towed, or sink" (Barth,1990). Dengan itu jelas sekali aliran sebegini membuktikan betapa mendesaknya sekolahsekolah menilai dan mengambil langkah-langkah perlu dalam konteks menjadi sekolah-sekolah yang lebih dan betul-betul berkesan. TINJAUAN KAJIAN Kritikan terhadap persekolahan semakin ketara sekitar tahun 60an, sikap masyarakat menjadi pesemistik kepada pemikiran yang mengatakan latar belakang dan pengaruh sosial menentukan pencapaian murid-murid lebih daripada pengajaran rasmi di sekolah (Madaus, Airasian & Kellaghan, 1980). Kemudian sekitar tahun-tahun 70-an dan 80-an daripada kajian-kajian oleh Edmonds (1979) dan Goodlad (1984) mendapati bahawa tanpa mengambil kira latar belakang murid sesetengah sekolah lebih 'berkesan' atau 'memuaskan' daripada yang lain. Di Britain, Rutter, Maughan, Mortimore dan Oustan (1979) telah mengenepikan mitos bahawa sekolah-sekolah mempunyai pengaruh terhad ke atas pembentukan diri insan (murid). Daripada kajian-kajian ini beberapa ciri sekolah berkesan telah dikenalpasti. Semua ini berkait rapat dengan apa yang kita panggil 'profesionalisme'. Inilah aspek yang patut ditekan dan diutamakan dalam seluruh ruang dan masa setiap orang guru ketika bertugas di sekolah lebih-lebih lagi bagi Guru Besar sebagai pemimpin institusi. Abdul Rahman Arshad (1989) mengatakan, "Kalau kita hendak menebus mutu pendidikan negara ini, yang paling penting bukan di sekolah menengah. Apa sebabnya?" Bagi beliau beberapa keadaan di sekolah-sekolah rendah memerlukan 'perubahan' dan 'pembangunan' yang amat mendesak jika 'keberkesanan' sekolah sekaligus mutu

pendidikan dan pencapaian para pelajar hendak dipertingkatkan. Keadaan-keadaan yang beliau sebutkan ialah: suasana di sekolah rendah ini dari segi persekitarannya tidak begitu menggalakkan; oleh kerana tahap akademik juga rendah, maka profesionalismenya juga rendah; sekolah-sekolah itu kecil; oleh itu kaitan dan perhubungan dari segi membangunkan fikiran hampir tidak ada; terdapat guru-guru di sekolah rendah yang kurang mendapat latihan dalam perkhidmatan. Majlis Guru Besar hendak dibangunkan secaras lebih luas, jangan jadi satu badan yang "ceremony"; badan yang bertemu hanya untuk melantik jawatankuasa, tetapi majlis ini mempunyai orang yang perlu melihat dari segi kesesuaian buku teks, sistem mengajar, kaedah-kaedah yang digunakan, perbincangan mengenai pencapaian. Inilah keutamaan untuk meningkatkan profesionalisme. KONSEP PEMBANGUNAN SEKOLAH BERKESAN Istilah sekolah berkesan bukan baru bagi kita di Malaysia kerana telah sering diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan kita sama ada di dalam persidangan, kolokium, seminar-seminar, taklimat-taklimat atau pun sesi dialog dan mesyuarat yang sering diadakan. Kajian-kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (Edmonds, 1979; Goodlad, 1984), Eropah (Creemers, 1992), Britain (Rutter,Maughan, Mortimore & Ouston, 1979; Mortimore, Sammons, Stoll, Lewis & Ecob, 1998) dan di Kanada (Renihan, Renihan & Waldron, 1986) telah mendapati bahawa sesebuah sekolah di mana seseorang murid itu belajar sebenarnya memberi kesan kepada pembentukan dan pencapaian (Rutter et.al.1979). Sekolah tidak beroperasi dalam satu vakuum. Ianya merupakan komposit perhubungan pengajaran dan pembelajaran dan interaksi antara murid-murid, antara guru-guru dengan murid-murid, antara staf dan kakitangan lain, dan hubungan serta peranan aktif dan positif di pihak ibu bapa dan masyarakat setempat. Imej sebuah sekolah yang berkesan dipengaruhi oleh 'keberkesanan pengajaran dan pembelajran di dalam sekolah itu.' Aspek atau ciri-ciri yang ditunjukkan dalam sekolah berkesan dan seterusnya pembangunan berterusan adalah: kepemimpinan pengajaran yang berkesan tujuan yang jelas iklim sekolah yang teratur, tertib dan selamat jangkaan penguasaan minima semua murid ujian digunakan bagi penilaian dan 'membetulkan arah' program matlamat akademik yang jelas penglibatan ibu bapa dan penjaga wujudnya kesejawatanan (collegiality)

Kini perhatian lebih tertumpu kepada budaya organisasi dan pembangunan keadaan-keadaan yang merangsang penciptaan budaya sekolah berkesan. Ini menjadi cabaran dan satu tanggungjawab ke atas bahu kepemimpinan sekolah yang sepatutnya boleh menjadi 'transformational school leaders' yang membangun dan memantapkan budaya kolaboratif, mengupayakan guru-guru menerusi perkongsian bijak dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara kolektif. Sesungguhnya kepemimpinan adalah fungsi kunci di dalam keberkesanan sekolah, budaya dan imej sekolah. Fullan (1992) menyatakan bahawa peranan Guru Besar wajar dibentuk semula daripada 'jaga' kepada 'pemimpin pengajaran'. Ciri-ciri yang terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin sekolah yang berkesan antaranya, pertama ada sikap berani menghadapi risiko, tidak berpuas hati dengan status quo, tidak pula dihalang oleh sekatan-sekatan organisasi. Selain itu pemimpin seperti ini menjadi teladan kepada guru-gurunya dan berpegang kepada keyakinan bahawa sekolah akan mencapai kejayaan. Dengan menggunakan pendekatan 'empowerment' yang betul dalam membuat keputusan, pemimpin begini berjaya mempengaruhi "the capacity to improve from within". Keduanya pemimpin berkesan mempunyai satu komitmen yang amat kuat kepada pengupayaan guruguru melalui permuafakatan. Sergiovanni (1992) menggariskan matlamat-matlamat seorang pemimpin transformasional di dalam satu budaya sekolah seperti berikut: 1. komitmen kepada nilai-nilai teras (core values) yang dipersetujui dan dilaksanakan oleh semua staf, 2. mengamalkan etika penyayang, 3. mewujudkan visi yang jelas dan hala tuju dengan staf, 4. menggalakkan lebih banyak membuat keputusan secara permuafakatan. BUDAYA SEKOLAH BERKESAN Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai "tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-forgranted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri". Manakala Holly dan Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai "konteks dan setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-ahli organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka". Ringkasnya kedua-dua definisi menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal kritikal...dan faktor-faktor peluang. peranan penting (antara peranan-peranan lain) pemimpin dalam membangun budaya yang wajib disedari ialah; pemimpinlah yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas, visi yang dikongsi dan dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah. Sekolah-

sekolah yang menuntut 'mengongsi visi' digelar sebagai 'high consensus schools'. Apakah ciri-ciri yang boleh kita lihat di sekolah ini? Menghargai permuafakatan: di mana semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesalingbergantungan dan bantu-membantu sesama staf. Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi. Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah-laku menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri tegak di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa pula yang tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak dijangka atau perkara-perkara bukan rutin, tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasisituasi yang bermasalah. Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung. Ciri ketiga budaya sekolah berkesan ialah keyakinan guru. Gurugurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran. MEMBANGUN SEKOLAH BERKESAN Pembangunan tidak sahaja kepada sesuatu yang sudah runtuh dan musnah, pembangunan kepada situasi dan keadaan yang sedia adalah juga termasuk dalam pengertian pembangunan. Pembangunan perlukan perubahan pemikiran dan sikap, perubahan pendekatan dan strategi, perubahan alat dan instrumen serta perubahan nilai dan norma. Budaya sekolah harus boleh mengadaptasi 'permintaan' dan 'konflik'. Perubahan yang paling berkesan adalah perubahan dari dalam sekolah itu sendiri.

Peranan menangani perubahan bagi membangun budaya sekolah berkesan yang harus dimainkan oleh para pemimpin sekolah adalah seperti berikut: Pemimpin sekolah melakukan perubahan dengan melihat pengaruhpengaruh luaran dan dalaman serta isu-isu berkaitan, dan dalam melaksanakannya bertindak secara responsif bukan bertindak secara menghalang. Pemimpin bertanyakan soalan-soalan bukan memberikan jawapanjawapan. Pemimpin menggalakkan dan memudahkan perbincangan dan pertimbangan mendalam bagi menuju perubahan daripada sekadar merancang atau mengarahkannya sahaja. Kegagalan dan kesilapan dikongsi bersama. Memegang prinsip "The first rule of leadership, everything is my fault." Pemimpin mengekalkan berpegang kepada teras kepercayaan yang merupakan asas kepada kewujudan komuniti sesebuah sekolah. Membangunkan suatu budaya sekoah yang sihat berkait rapat dengan amalan-amalan kepemimpinan yang berkesan di pihak Guru Besar. Budaya ialah nadi yang menggerak dan mengarahkan serta menggambarkan segala komitmen yang ditunjukkan oleh komuniti sesebuah sekolah itu. Di satu segi, sekolah akan mempersembahkan suatu imej yang menggambarkan budaya sekolah itu kepada seluruh warganya iaitu murid-murid, ibu bapa mereka dan masyarakat umum.

IMEJ SEKOLAH : SEKOLAH BERWATAK Renihan dan Renihan (1998) mendefinisikan imej sekolah seabagai "keseluruhan pandangan-pandangan yang subjektif mengenai kualiti pembelajaran dan persekitaran sosial..'perasaan' kolektif yang terbina oleh masyarakat sebagai hasil daripada pemerhatian dan pengalaman terhadap sesebuah sekolah itu." Membaiki dan membangunkan imej sekolah mesti ada keazaman yang kuat kepada keberkesanan imej yang sedia ada. Renihan dan Renihan membahagikan imej sekolah kepada lima jenis, masing-masing jenis itu pula diperjelaskan dengan dua dimensi yakni: cakna pastoral (memupuk perhubungan berkesana,hormat-menghormati, keterbukaan) dan cakna kosmetik (mempromosikan kejayaan sekolah dalam masyarakat, beri perhatian kepada penampilan). Jenis-jenis imej sekolah yang dimaksudkan itu seperti berikut: 1. sekolah synergistik - tinggi kedua-dua pastoral dan kosmetik 2. sekolah 'candy store' - tinggi penampilan, rendah perhubungan 3. sekolah 'disaffected' - rendah kedua-dua aspek pastoral dan aspek kosmetik 4. sekolah monastik - rendah penampilan, tinggi aspek perhubungan 5. sekolah 'survivor' - sederhana dalam kedua-dua dimensi.

Jadi tugas dan peranan Guru Besar ialah memantau dan membuat pengukuran secara berterusan terhadap imej sekolahnya, secara formal dan tidak formal, menerusi 'stakeholders'. Soalan-soalan yang harus dijawab seperti apa imej yang dikehendaki? Adakah unsur-unsur tertentu terdapat di sekolah? Bagaimanan unsur-unsur ini dapat bersepadu dengan visi dan kepercayaan sekolah? Patutkah dilakukan perubahan? Bagaimana perubahan hendak dipantau? Dengan demikian seseorang Guru Besar sebagai pemimpin transformasional mestilah berkeupayaan dan mampu menangani perubahan, walaupun ianya tidak popular tetapi amat kritikal dan genting dalam konteks meningkatkan imej dan seterusnya 'keberkesanan sekolah' secara menyeluruh dalam semua aspek iklim dan budaya sekolah. Pemimpin sekolah mestilah mengenalpasti apakah 'penyakt-penyakit' yang sedang menular di kalangan staf atau kakitangan terutamanya yang perlu dibanteras dan diperbetulkan 'kiblat' dan 'arahnya' supaya semua orang tidak tersasar daripada tugas hakiki dan bagi mendapatkan sepenuh komitmen merealisasikan sekolah berwatak dan berkesan ini. Menangani perubahan dan mendapatkan komitmen padu seluruh ahli organisasi adalah salah satu cabaran besar yang perlu dihadapi dan di atasi jika kita mahu melihat kejayaan dan keberkesanan program pembangunan yang dilakukan. Segala-galanya hendaklah diurus dan ditangani dengan bijak dan penuh hikmah.

KOMITMEN Kajian-kajian yang dijalankan mendapati secara konsisten telah membuktikan bahawa terdapatnya perkaitan yang amat rapat antara iklim sekolah yang positif dengan lain-lain ciri pengukuran terhadap kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah itu seperti; pencapaian akademik, disiplin yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan. Eugene Howard (1987) menggariskan sebelas faktor (lapan ciri khusus dan tiga lagi ciri umum) yang menyumbang kepada pembangunan iklim sekolah yang positif. Faktor khusus: 1. Pertumbuhan akademik dan sosial yang berterusan. 2. Hormat: murid dan staf punyai 'harga-diri' dan saling bertimbang rasa. 3. Kebolehpercayaan: rasa percaya yang tinggi kepada orang lain. 4. Morale yang tinggi: murid dan staf berasa selesa dan baik berada di situ.

5. Kejelekitan: adanya rasa kepunyaan dan kekitaan. 6. Peluang kepada input: mampu dan boleh menyumbang idea dan mengambil bahagian. 7. Pembaharuan: adanya keterbukaan kepada perubahan dan penambahbaikan. 8. Penyayang: murid dan staf merasakan orang lain mengambil berat tentang mereka. Faktor umum: 1. Program-program kurikulum, aktiviti-aktiviti dan polisi-polisi. 2. Proses mengajar dan stail pembelajaran, penyelesaian masalah dan komunikasi. 3. Sumber-sumber bahan dan kemudahan-kemudahan di sekolah. Apa pun faktor dan keadaan atau ciri-ciri yang telah kita kenal pasti, atau yang sedia kita ketahui dan alami sebelum ini tidak akan memberi apa-apa erti dan makna jika kita sebagai pemimpin di peringkat sekolah tidak berupaya memberikan komitmen yang bulat dan padu dalam membentuk, membangun dan seterusnya melahirkan sekolah berkesan apatah lagi sekolah berwatak yang dapat dikenali daripada sesuatau ciri atau aspek yang menonjol, tersendiri dan unik. Pemimpin transformasional yang berkesan mesti menyedari dan menghayati ungkapan watak General Hopper dalam filem animasi In A Bug's Life: " The first rule of leadership, everything is your fault." Dengan kata-kata lain kemunduran, kegagalan, ketidakberkesanan, kelewatan, kelederan dan ketidakcaknaan adalah salah diri kita, berpunca daripada diri kita selaku pemimpin yang tidak berkesan, pemimpin yang tidak berwawasan; ringkasnya peminpin yang lemah. Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dinafikan dalam mempengaruhi secara positif kepada kualiti imej sekolah secara keseluruhan, dan biasanya Guru Besarlah orangnya yang diletakkan segala harapan bagi menjadikan sesebuah sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang dari masa ke semasa. Omar Hashim (1993) dalam Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan menyebut; " Bahawa bagaimana guru besar, begitulah sekolahnya! Kenyataan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada kita betapa besarnya tanggungjawab seseorang guru besar dalam urusan untuk melahirkan "corak" sekolahnya itu, sama ada untuk kebaikan atau pun sebaliknya." Di sekolah guru-guru bergantung kepada kepemimpinan seorang pemimpin dalam aspek berikut: Visi; Komitmen kepada nilai dan norma; Bersikap asertif, menghargai usaha guru-guru; dan Pemupukan unsur kesejawatanan yang berkesan. 1. VISI: Visi adalah 'gambaran mental' atau bersifat imaginatif di mana sseseorang pemimpin itu 'melihat ke depan' tentang rupa bentuk, iklim, budaya dan imej sekolahnya yang hendak dibentuk, dibangun dan dicapai menerusi pelan tindakan yang terancang, dan tersusun

menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi yang rasional dan praktikal. 2. KOMITMEN kepada nilai dan norma; visi tanpa komitmen samalah dengan 'bermimpi di siang hari'. Komitmen adalah satu sikap diri yang ditunjukkan dalam segala tingkah-laku dan cara berfikir seseorang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Komitmen yang tinggi terhadap kelangsungan organisasi dan kebajikan murid umpamanya dapat dilihat daripada perilaku gurugurunya yang datang awal, mengajar dengan semangat, tidak curi tulang, tumpuan kepada kerja dan mutu kerja, menepati masa dan paling utama meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Orang-orang yang berkomitmen yang tinggi juga sentiasa dapat mematuhi dan menepati norma-norma organisasi atau masyarakat sama ada norma-norma yang tersurat atau pun yang tersirat. Ringkasnya komitmen adalah manifestasi kepada 'second creation' di mana visi adalah 'first creation'nya. 3. BERSIKAP ASERTIF, menghargai usaha guru-guru; merupakan satu lagi aspek penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin transformasional, iaitu imbangan di antara ketegasan dan desakan. Seorang yang asertif bijak dalam 'mendesak dan menggesa' daripada orang-orang bawahnya supaya sesuatu perancangan dan tindakan dapat dipenuhi dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Oleh kerana 'pemimpin' tidak wujud tanpa 'pengikut', seorang pemimpin yang berkesan sentiasa menyedari bahawa kerjasama apatah lagi komitmen yang padu tidak mungkin diperolehi tanpa 'kesetiaan' dan 'kesediaan' pengikut-pengikut untuk bekerja bersama-samanya bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan; maka pemimpin berkesan sentiasa menunjukkan penghargaan kepada sumbangan guru-gurunya dalam pelbagai bentuk dan cara. 4. PEMUPUKAN unsur kesejawatanan yang berkesan; di dalam sesebuah organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apa pun tugas dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain membantunya atau terlibat sama. Kesejawatanan atau "collegiality" bermaksud satu budaya kerja yang ada kaitannya dengan perpaduan, kerjasama, bantu-membantu, hormatmenghormati, nasihat-menasihati atau tegur-menegur di antara ahli-ahli kumpulan atas dasar profesionalisme. Jadi pemimpin yang berkesan mestilah berkeupayaan mewujudkan suasana kesejawatanan ini di kalanngan guru-gurunya, mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan sepanjang masa di samping mengelakkan dan mencegah unsur-unsur kronisme, nepotisme, favouritisme, rodongisme, pilih-kasih, berat sebelah, adu-domba, fitnah-memfitnah, hasad dengki, dan iri hati; di dalam interaksinya dengan staf dan kakitangan lain di sekolah. KESIMPULAN

Menjadi seorang pemimpin di peringkat sekolah, sama ada sebagai Guru Besar, Penolong Kanan atau pun Guru Kanan Mata Pelajaran, tidak semudah yang disangka. Sifat-sifat terpuji diri peribadi berserta beberapa ciri kepemimpinan perlulah ada dan dikuasai pada tahap yang cemerlang dan tinggi supaya matlamat, misi dan visi sekolah, masyarakat dan negara dapat dicapai. Merealisasikan sebuah sekolah yang berkesan dan berwatak, dengan iklim yang positif dan budaya yang tersohor tidak mungkin dicapai dengan berangan-angan sahaja. Semua warga sekolah mestilah memahami konsep berhubung keberkesanan dan kecemerlangan in secara menyeluruh di samping menumpahkan segala komitmen dengan semangat kesejawatanan yang tinggi dalam menggarap dan mewujudkan sekolah berkesan dan berwatak. Adalah menjadi tugas utama seorang pemimpin trasnformasional pendidikan berupaya danberkebolehan menjadi rolemodel yang dapat memberi inspirasi dan motivasi kendiri kepada anak didik dan guru-gurunya di sekolah dan kepada ibu bapa dan penjaga murid-murid. Pemimpin berkesan mesti boleh menunjukkan 'keikhlasan' dalam melaksanakan tugas, di samping dapat mengenalpasti mana-mana guru yang bekerja dengan tidak ikhlas; yakni melakukan sesuatu dengan mengharapkan 'balasan' atau imbalan. Orang-orang hipokrit amat berbahaya kepada organisasi. Perbuatan tidak ikhlas ini akan mendatangkan bibit-bibit tidak puas hati, sakit hati dan iri hati di kalangan staf-staf yang lain pula. Bagaimana kesejawatanan dan keberkesanan sekolah hendak diwujudkan jika keadaan ini berlaku dan mencengkam hati dan perasaan mereka yang melihatnya sebagai satu 'ketidakadilan' di pihak kepemimpinan sekolah? Pemimpin yang berkesan mestilah memiliki ciri-ciri akauntabiliti dan kredibiliti dalam semua tindak-tanduknya di sekolah. Edmund R. Murrow menyatakan: " To be persuasive, we must be believable; to be believable, we must be credible; to be credible, we must be truthful." Orang yang tidak berkata benar, tanda hatinya tidak ikhlas; juga tandanya seorang yang tidak dapat dipercayai dan tidak ada kredibiliti dan akuntabilti. Bagaimana jika orang macam ini jadi pemimpin organisasi? Sebagai pemimpin transformasional pendidikan, kita sangat wajar mengenalpasti hati dan budi guru-guru kita dalam melaksanakan tugas mengajar dan mendidik, adakah guru-guru kita bekerja kerana 'takut' atau kerana 'cinta'? Orang yang bekerja kerana takut walau nampak taat dan rajin namun jauh di lubuk hatinya masih bersarang perassn ria' halus, dan akan melahirkan emosinya apabila tidak mendapat anugerah 'menegak' atau pun 'melintang'. Rabi'ah al-Adawiyah diriwayatkan menjawab pertanyaan Sufian al-Thauri apabila dipersoalkan hakikat iman, sebagai berkata; "Aku menyembah-Nya bukan takut kepada nerakaNya dan bukan cintakan kepada syurga-Nya. Kalau itulah tujuannya samalah seperti buruh yang tidak baik, jika dia takut

dia bekerja, bahkan aku menyembah-Nya kerana cinta dan rinduku kepada-Nya." Hanya apabila 'cinta' kepada tugas dan cinta kepada organisasi di mana seseorang itu berkhidmat, tanpa berselindung dan berpura-pura, barulah wujud komitmen sejati yang akan melahirkan warga pendidik yang menepati ciri seorang yang soleh lagi muslih. Omar Hashim (1993) menyebut; "Kalaulah kita mahukan pendidikan kita pada hari ini berperanan serta bertujuan untuk mengangkat martabat kemanusiaan anak-anak kita masa depan supaya menjadi individu-individu yang soleh dan berbudi, maka kita sebagai pendidik "wajib" membentuk diri kita terlebih dahulu sebagai manusia yang soleh dan berbudi. Bagaimanakah kita hendak mendidik anak-anak kita supaya bermoral sedangkan kita sendiri tidak bermoral? Bagaimana kita hendak mendidik supaya anakanak kita gemar membaca, sedangkan kita sendiri tidak mempunyai minat membaca? Bagaimana kita hendak mendidik anak-anak kita supaya berperikemanusiaan, sedangkan kita sendiri bersikap kasar dan tidak bertimbang rasa?" Kerja memimpin dan membimbing adalah suatu kerja yang tidak ada penghujungnya perlu dijadikan keutamaan dalam senarai tugas kepemimpinan pendidikan di sekolah. Mengenali ciri dan memahami konsep serta mewujudkan komitmen dalam membangun diri (dan organisasi) agar dapat menjadi guru sebenar guru, ke sekolah tidak jemu, mengajar tidak lesu; patut menjadi agenda utama dalam merealisasikan sekolah berkesan dan sekolah berwatak. Rujukan Abu al-Wafa' al-Ghanimi al-Taftazani (Dr.) (1996). Perkembangan Tasawwuf Islam. Terjemahan Prof. Dr. Abdul Shukor Hj. Husin dan Dr. Mudasir Rosder. Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Howard, Eugene (1987). The Importance of Positive School Climate, in Handbook for Conducting School Climate Improvement Projects. Phi Delta Kappa Educational Foundation, 1987. Bolender, Mary (1997). A Study of The Evolving Image of A New School Within the Context of School Effectiveness. SSTA Research Centre. Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Ramaiah, AL. (Dr.) (1992). Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. IBS Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

_____________________ Suara Pendidik Keluaran Khas 1988/1989; Sempena Ulang Tahun ke-20. Persatuan Pendidikan Malaysia, Institut Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

( *Ceramah yang disampaikan di dalam Program In-House Kelompok Bandar Jengka B pada 25 Mac 2000 bertempat di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bandar Jengka )

MEMPERKASA SEKOLAH KEBANGSAAN dengan PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN MENJANA INSAN GEMILANG MENJADI GURU SEBENAR GURU
Oleh Hamzah B. Mohamed

"Kita tidak begitu suka untuk mengakui kebenaran jika ianya mendedahkan kesilapan kita.Tetapi jika kita ingin memperbetulkan sesuatu, kita perlu mengenalpasti sebab yang sebenar dan bertindak memperbetulkan kesilapan itu."
~ Dr. Mahathir Mohamad

Pendahuluan
Dalam pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian Pelajaran Malaysia 2006-2010 salah satu fokus penting ialah usaha Memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk sekolah rendah dan menengah harian berbahasa penghantar Bahasa Melayu sebagai sekolah aliran perdana memupuk perpaduan rakyat Malaysia.Dasar Memperkasakan SK bertujuan supaya SK kekal sebagai pilihan utama masyarakat Malaysia. Fokus kepada SK (rendah dan menengah) menjadikan lebihberaspirasi nasional, meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan meningkatkan kualiti prasarana. Apakah ciri-ciri yang dikatakan Sekolah Perkasa itu?Menurut PIPP,KPM ciri-cirinya adalah seperti berikut: Infrastruktur lengkap dan berkualiti Pemimpin dan Guru Cekap, Terlatih dan Berkualiti Kurikulum berasaskan pelanggan Pelaksanaan Kokurikulum yang berkesan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil Pencapaian Akademik cemerlang Pencapaian Sahsiah cemerlang Iklim dan Budaya Sekolah yang sihat Semua pelajar menguasai 3M Sistem sokongan yang kuat dan cukup Beraspirasi nasioal Namun begitu PIPP,KPM mengakui terdapatnya beberapa kelemahan yang perlu di atasi bagi menjadikan SK sekolah pilihan utama rakyat. Sehingga ini masih terdapat SK yang mempunyai prasarana yang kurang memuaskan. Selain itu terdapat anggapan masyarakat bahawa pencapaian akademik di SK adalah lebih rendah berbanding rendah aliran Cina.Masyarakat bukan Bumiputra mempunyai tanggapan bahawa SK juga terlalu bercirikan Islam manakala masyarakat Islam pula menyatakan sebaliknya.Dasar memperkasakan SK difokuskan untuk menjadikan SK sebagai pusat kecemerlangan pendidikan daripada semua segi (prasarana, disiplin dan keselamatan pelajar, pencapaian kokurikulum dan sukan, penguasaan ICT, kualiti guru dan kepemimpinan sekolah). Seterusnya SK yang telah diperkasa akan diterajui oleh GB yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan berkesan, mempunyai kumpulan guru yang cekap, terlatih dan komited bagi menjamin budaya sekolah yang sihat dan kondusif, serta dapat mengeratkan perhubungan dan penglibatan masyarakat, ibubapa dan sekolah.

Status Semasa
Sehingga Jun 2005 ada 5,761(75.8%) SK daripada keseluruhan sekolah rendah. Dari segi enrolmen pula 2.3 juta (74.2%) murid di SK daripada 3.1 juta murid sekolah rendah. 33.2% SK berada di bandar manakala 66.8% lagi terletak di luar bandar. Dari segi prasarana pula, daripada 5,761 SK masih wujud: 1,642 - SKM (sekolah kurang murid) 1,513 - tiada bekalan air paip 1,639 - tiada makmal/bilik komputer 767 - tiada bekalan elektrik 24 jam 858 - pula sekolah dua sesi

Fokus dan Strategi Pelaksanaan 'Memperkasakan SK'


Dalam tempoh PIPP ini iaitu 2006-2010, fokus dan strategi pelaksanaan diberi tumpuan bagi memperkasakan SK kepada unsur-unsur berikut: Meningkatkan kecemerlangan SK Pemantapan Kepimpinan GB dan Kualiti Guru Pengukuhan Budaya Sekolah:- SK yang berbudaya cemerlang, iklim dan budaya sekolah yang sihat Pemantapan Kurikulum:- pastikan semua murid Tahap I menguasai 3M Pemantanpan aktiviti Kokurikulum dan Sukan Penambahbaikan sistem sokongan Peningkatan prestasi akademik SK Meningkatkan prasarana dan prestasi SK Di antara unsur-unsur tersebut di atas, sekurang-kurangnya ada empat unsur yang paling penting dan utama jika gagasana hendak memperkasakan SK benar-benar menjadi kenyataan. Empat aspek atau unsur tersebut ialah i) Pemantapan Kepimpinan GB dan Kualiti Guru; ii) pengukuhan Budaya Seklah yang cemerlang, dengan iklim dan budaya sekolah yang sihat; iii) Pemantapan Kurikulum iaitu semua murid Tahap I menguasai 3M; dan iv) Peningkatan Prestasi Akademik SK.

i. Pemantapan Kepimpinan GB dan Kualiti Guru


Apakah senarionya kini? Cuba teliti dan kaji bagaimana gaya pengurusan, bagaimana kebolehan para pengurus pendidikan ini menangangi perubahan? Bagaimana wujud tidak kepemimpinan melalui teladan dan sebagainya. Begitu juga aspek kualiti guru di sekolah; bagaimana atau apa ciri-cirinya yang kita boleh kata guru yang berkualiti atau guru cekap itu? Cekap bukan bererti mampu habiskan sukatan pelajaran tetapi tahap penguasaan atau kemahiran murid tidak meningkat? Guru-guru terlatih pula jangan sampai ada berlaku sindrom guru "letih" dan tiada arah tujuan sebagai "guru sebenar guru"? Begitu juga yang kita kata guru berkualiti itu adakah sekadar memiliki diploma/ijazah sudah berkualiti? Bagaimana tahap "ilmunya" jika tidak mampu memperbetulkan kelemahan murid dalam pelbagai aspek P&P seperti aspek ejaan, sebutan, tulisan atau lain-lain bidang kemahiran yang berkaitan? "Kurang kreativiti dan kegagalan mengurus dengan baik oleh pihak sekolah terutama guru besar dikenalpasti punca utama pelajar Melayu di Pulau Pinang terkandas dalam pelajaran, sekaligus gagal bersaing dengan pelajar kaum lain." Prof.Dr. Aminah Ayob (Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM) ketika itu dilapor sebagai

berkata bahawa berdasarkan pemerhatian pihak mereka di beberapa buah sekolah di luar bandar di negeri tersebut mendapati pentadbiran sekolah gagal mencorakkan pembelajaran murid-murid apabila guru tidak hadir di sekolah, dan mendapati (di sebuah sekolah rendah) pelajar berkeliaran dalam kelas dan bermain-main sesama sendiri\ berikutan guru kelas tidak hadir pada hari berkenaan. "Apa yang dikesalkan tiga kelas tersebut ditinggalkan begitu sahaja tanpa pengawasan. Murid-muridnya tidak buka beg ataupun membaca buku." (Utusan Malaysia 5.02.2003) Bagaimana boleh dikatakan seseorang guru itu guru yang berkualiti jika ketrampilan ilmunya dipertikai oleh muridnya sendiri. Email seorang pelajar seperti tersiar di dalam akhbar The Star (25.03.2007) menerangkan maksudnya dengan jelas: "I am in Form One. I would like to write about my English language teacher. I think my friends and I speak better English than her. She cannot even pronounce simple words, for example, the word "crow" is pronounced as "crew". Most of the time she speaks as if she is a saleperson at the supermarket. Her command of the language is very bad. When we read correctly, she stops us and repeats the word wrongly. She confuses us most of the time. She always tells us to talk only in English and not Tamil or Malay but she speaks in Malay. I think she should go for tuition to improve her English. My friends and I often make fun of her but she doesn't understand a thing. I feel sorry for her." ~ Shureen Raj

ii. Pengukuhan Budaya Sekolah


Apa yang dimaksudkan dengan iklim sekolah? Ringkasnya suasana yang menggambarkan sekolah yang teratur, terkawal, tenang, tertib yang memungkinkan atau menyediakan satu suasana yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan dan positif, bukan suasana sebaliknya seperti riuh-rendah ikut suka, kelam-kabut, hingar-bingar dan seumpamanya. Apa dia budaya sekolah? Terry Deal dan Kent Peterson (1993) mentakrifkannya sebagai "realiti dalaman". Robbins dan Alvy (1995) pula meluaskan definisinya sebagai "This inner reality reflects what organizational members care about, what they are willing to spend time doing, what and how they celebrate, and what they talk about." Manakala Gary Phillips (1993) menyatakan budaya sekolah sebagai,"beliefs,attitudes, and behaviours that characterizes a school in terms of: how people treat and feel about each other; the extent to which people feel included and appreciated; and rituals and traditions refelecting collaboration and collegiality." Kajian-kajian mengenai budaya sekolah yang mengenalpasti ciri-ciri berikut sebagai dianggap perlu wujud di sesebuah sekolah yang iklim dan budayanya sihat dan berkesan: Strong and professional principal Strong and professional teachers Clear positive philosophy Environment condusive to learning Effective student welfare framework Strong organizational framework Broad balance curriculum Meaningful assessment and reporting on student progress Support for parent and community participation

Renungilah ciri-ciri tersebut adakah wujud dan menjadi amalan semua pihak sama ada di pihak pengurusan atau pun di pihak staff dan guru-guru termasuk murid-murid dan ibubapa mereka.

iii. Pemantapan Kurikulum: Pastikan Semua Murid Menguasai 3M


Ini suatu aspek yang sangat penting dan utama untuk kita sedari dan hayati sepenuh hati bagi merobah senario dan situasi kelemahan-kelemahan murid di dalam penguasaaan kemahiran asas 3M. Bolehkah senario "semua muird Tahap I menguasai 3M" yang menjadi salah satu ciri menjadikan sesebuah sekolah itu sekolah perkasa dapat dicapai? Menurut PIPP,KPM sehingga 2005 terdapat 4.4.% (atau bersamaan kira-kira 136,400) murid sekolah rendah belum menguasai 3M! Satu daripada punca pelajar Melayu lemah adalah disebabkan tabiat mengajar guru yang tidak mampu menarik minat mereka dan banyak berlaku di sekolah-sekolah luar bandar yang pelajarnya 100% Melayu. "Mentaliti dan sikap mengajar di sekolah dibuat sambil lewa padahal sekolah-sekolah di luar bandar inilah yang perlu diberi perhatian lebih disebabkan kemudahan yang serba-serbi kurang." (Prof.Dr. Aminah Ayob, 2003) Senario 'mentaliti dan sikap mengajar guru-guru yang sambil lewa' ini tentulah menghalang sesebuah sekolah itu mencapai tahap berkesan malah malang sekali apabila kita gagal menjadi 'insan cemerlang' dalam melaksanakan tugas terutama tugas P&P di dalam bilik darjah; gagal mendidik dan meneladan anak didik, yang akhirnya dibuktikan dengan keputusan peperiksaan atau pencapaian kemahiran yang tidak menyerlah. Inilah apa yang Jemaah Nazir Persekutuan namakan sebagai 'kelesuan proses pendidikan' yang wujud di sekolah-sekolah.

iv. Peningkatan Prestasi Akademik


Sudahkah kita ketahui status (majoriti SK) di dalam pencapaian dan seterusnya prestasi akademik, terutama sekolah kita sendiri? Sudahkah kita kaji dan selidik statistik pencapaian peperiksaan UPSR sekolah tiga tahun, lima tahun, tujuh tahun atau 10 tahun lepas? Bagaimana kita melihat dan mentafsir setiap angka dan data berhubung P1, P2, P3 dan seterusnya, atau bagaimana berlaku tidak sikap dan perbuatan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab bila ada berlaku "manipulasi" angka dan data apabila melapor ke pihak PPD/JPN; kerana kita malu dengan pencapaian murid-murid kita? Inilah penyakit yang melanda segelintir daripada orang-orang yang hanya suka "mengubah angka dan data" tetapi tidak mahu "mengubaha sikap dan diri." Hakikat bahawa prestasi akademik SK masih belum pada tahap yang berkualiti tinggi tidak dapat dinafi: "Yang lebih malang ialah prestasi sekolah kebangsaan tidak meningkat darisegi kelulusan peperiksaan. Ada guru yang lebih mengutamakan politik daripada pengajaran ilmu yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Walaupun terdapat banyak sekolah kebangsaan yang cemerlang tetapi prestasi kebanyakannya adalah rendah." (Dr.Mahathir Mohamad, 2001) Tinjau balik penekanan dan penumpuan kita terhadap kawalan proses P&P itu sendiri: bagaimana dengan Ujian Bulanan, aspek kualitinya bagaimana, aspek kesahannya bagaimana?

Ada tidak pelaporan kepada ibubapa dan penjaga (yang lengkap dan kemaskini) atau ada tidak tindakan susulan membaiki kelemahan setiap aspek kemahiran murid dilakukan secara bersungguh-sungguh? Lihat pengurusan kurikulum kita betul-betul di beri fokus utama atau tidak: bagaimana "allocated time" dan "enganged time"; peranan Panitia Mata Pelajaran berfungsi atau tidak; pengesanan P&P dibuat tidak; pencerapan pengajaran guru di dalam bilik darjah dibuat tidak; buku latihan murid diperiksa atau tidak; Jawatankuasa Kurikuklum Sekolah berfungsi dan bergerak secara betul-betul profesional atau tidak? Semuanya ini jawabnya ada pada kita. Oleh itu dalam gagasan dan konsep 'memperkasakan SK' ini kita tidak dapat lari dari aspek memperkasakan individu guru-guru yang menjadi tenaga pengajar yang paling utama dan penting menenrusi ciri dan sifat-sifat yang menunjukkan 'profesionalisme' dan 'profesionalitinya'. Sifat dan ciri-ciri seseorang guru yang perkasa atau berkesan terutama dalam P&Pnya sangat mudah dikenali oleh setiap orang muridnya dan juga oleh rakan-rakan sejawatan dalam setiap interaksi dan aktiviti pembelajaran di sekolah. Antaranya dapat dibahagikan kepada tiga aspek: iaitu aspek terhadap murid; terhadap mengajar dan terhadap disiplin.

Sifat dan Ciri-ciri Seorang Guru Yang Perkasa


Terhadap Murid: Guru ini menunjukkan punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid kenal, hormati dan percayai murid-murid mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan muzikal dn kebudayaan. Terhadap Mengajar: Guru Yang Perkasa melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman adil dalam menilai dan menggred fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan ideaidea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid

merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

Terhadap Disiplin: Guru Yang Perkasa seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar seorang yang 'dahagakan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya menjadi ahli kepada komuniti yang belajar bina dan mengekalkan perhubungan profesional bekerja dalam organisasi sekolah yang luas Secara Peribadinya: Seorang Guru Yang Perkasa itu sentiasa menunjukkan menunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi. Peribadi guru yang perkasa lagi berkesan berfikirn terbuka, berlapang dada, merendah diri dan bersikap optimistik.

Cegah Sebelum Parah: Rawat Diri Bina Kecemerlangan Organisasi


Menjana insan 'guru sebenar guru' sekaligus dalam usaha menjulang kecemerlangan organisasi sekolah kita tidak ada orang lain yang dapat membantunya kecuali diri kita sendiri. Setiap orang guru memiliki potensi yang amat besar menjadi seorang guru yang profesional dengan sikap profesionaliti yang tinggi jika kita sedia, mahu dan sanggup mengubah paradigma dan pendekatan kita terutama sekali di dalam aspek pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan berkualiti. Namun tetap berlaku beberapa kelemahan atau wujudnya 'kebejatan profesionalisme' di mana-mana yang menjadi penghalang diri dan organisasi kita mengubah budaya kepada satu budaya sekolah yang lebih sihat. Seorang guru penolong di sebuah sekolah memberikan pendapat dan pandangannya di dalam slot Hari Profesional Sekolah berhubung budaya dan amalan-amalan yang tidak menggalakkan wujud bertahun-tahun di sekolahnya dan ini menyebabkan prestasi sekolahnya yang tidak menggalakkan sama sekali. Beliau merasa 'malu' apabila sekolahnya sering dipandang rendah di kalangan rakan guru dari sekolah-sekolah berdekatan. Apakah yang menjadi 'barah' dan 'petualang' di sekolah beliau? Antaranya beliau menyenaraikan faktor-faktor berikut yang menjadi penyebabnya:

Tidak ada 'fokus': hendak semua; semua hendak 4A, 5A, tapi GB tidak berperanan, menekan guru sahaja (guru jadi takut). Panitia Mata Pelajaran: Tidak wujud panitia-panitia; yang selalu nampak sedikit ialah Panitia Bahasa Inggersi, Matematik dan Bahasa Melayu sahaja. Tidak ada mesyuarat secara khusus. Cari maklumat bila diperlukan sahaja. Ujian Bulanan: memang tidak ada, kecuali peperiksaan. Ada guru panggil murid untuk tolong 'staple' kertas soalan di Bilik Guru. Ini tidak betul dari segi etika dan kesahan. UPSR: Zaman itu 4A; bila sampai waktu keputusan orang tak tanya pun sekolah dia. Beliau selalu tak puas hati, kerana murid tidak belajar, ibubapa tidak peduli.Pernahkah kita salahkan diri sendiri? Pernah tergolong dalam kelompok sekolah "top ten bawah". Keputusan UPSR sekitar 25-30 % sahaja. Puncanya kerana pengedalian kita silap! Masa P&P: Ada guru main ping-pong waktu mengajar (kebetulan meja ping-pong diletakkan di kantin). Malah guru lain pula boleh 'tumpang sekaki'.Budaya 'negaholik' yang amat ketara dan tidak ada sesiapa yang hendak larang! Kes guru tak masuk kelas memang biasa; bila masuk duduk sahaja, dan sebabkan murid kita kecundang. Sikap: Guru mengajar salah fakta, dan tidak pula betulkan, biarkan sahaja. Inilah 'guru palsu' namanya dan paling buruk wujudnya "guru mengajar menipu". Disiplin: Ada staf yang ambil kesempatan, rehat ke kedai Pak R******, pukul 9.00 pergi beli ikan semasa bertugas. Bagi beliau ini 'salah'. Mesyuarat: Tidak seperti sekarang, dibuat secara 'ad hoc' sahaja, tidak tersusun, dan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat sering pula tidak dilaksana atau dipinda sesuka hati pihak pengurusan. Demikianlah senario dan situasi sebuah sekolah yang lebih menampakkan budaya sekolah yang tidak positif malah mirip kepada satu budaya 'nafsu-nafsi'; dan oleh kerana kegagalan peneraju utama dalam menangani karenah dan tingkah segelintir orang yang tidak bersikap dan berwatak sebagai 'guru sebenar guru' maka menyebabkan kelemahan berlarutan dan bertimpa-timpa dan tentulah memerlukan daya usaha dan kekuatan semangat yang luar biasa bagi mengatasinya.

Pemimpin dan juga seluruh staf sekolah perlu berganding bahu dan bersatu tekad dan kekuatan supaya sekolah yang kita berkhidmat di dalamnya dapat muncul sebagai sebuah sekolah perkasa dan berkesan. Satu daripada caranya ialah dengan mencipta, membentuk dan menggilap satu budaya sekolah yang baru, yang positif dan berkesan melalui Sembilan Prinsip Kitaran Proses Kualiti(Quality Cycle of Process).

Sembilan Prinsip QCoP tersebut adalah:


1. Do It Right First Time (DIRFT): Ertinya setiap kerja mesti bebas daripada buat salah dan silap kerana salah dan silap 'boleh dielak dan dicegah'. Pada tahap yang lebih tinggi ertinya guru-guru mesti mengajar dengan betul dan murid-murid mesti belajar dengan betul dan sentiasa buat betul. Ringkasnya semua guru dan murid-murid mesti faham dan mesti jadikan prinsip utama mencapai kejayaan cemerlang. 2. Guru Mengajar Murid Belajar: Ertinya semua guru mesti faham dulu bahawa 'kerja kita ialah mengajar' bukan berborak, duduk di kantin, tidak masuk kelas, keluar ke kedai, tidur atau lainnya.Mengajar pula mesti penuh persediaan dari segi mental, fizikal dan spiritual, penuh semangat dan berwibawa. Prinsip paling utama 'tidak ada kelas yang

dibiarkan tanpa guru'. Kemudian murid-murid pula mestilah belajar dengan betul, bersungguh-sungguh dan tidak main-main, tidak ganggu rakan-rakan yang lain serta belajar dengan penuh keriangan dan kefahaman. 3. Mengongsi Visi Yang Sama: Ertinya semua guru mesti faham dan hayati halatuju sekolah yakni hendak menjadikan sekolah suatu organisasi yang berkesan, sekolah berwatak dan boleh menjadi sekolah model. Prinsip utamanya semua murid adalah 'normal' dan berpotensi mencapai prestasi akademik yang cemerlang dan gemilang. Apa jua visi yang hendak direaliasasikan bukan hak kepunyaan Guru Besar seorang tetapi menjadi hak kepunyaan semua guru, dan berpegang teguh kepada kata-kata keramat "Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh". 4. Apa Yang Disemai Itu Yang Dituai: Ertinya apa jua yang guru-guru ajar (dan buat) itulah yang akan jadi hasilnya. Apatah lagi kalau guru-guru tidak mengajar dengan sepenuhnya. Prinsip utamanya apa jua yang guru buat (dan atau tidak buat) akan tentukan prestasi atau pencapaian murid seterusnya. Ini kena ingat baik-baik. 5. Penambahbaikan Berterusan: Ertinya mencapai kualiti tidak ada had dan sempadan. Guru mesti sentiasa lakukan Kaizen (Continuous Improvement) dalam semua aspek kerja terutama P&P.Prinsip utamanya mesti tidak mudah merasa berpuas hati dengan status kini tetapi sentiasa memikir dan mencari jalan bagi meningkatkan segala-galanya supaya hasil kerja kurikulum, kokurikulum, pengurusan data dan maklumat, kebajikan dan keselamatan serta keceriaan fizikal dan persekitaran sentiasa dipertingkatkan sepanjang masa. 6. Mencegah Masalah Lebih Utama Daripada Menyelesai Masalah: Ertinya tidak cukup sekadar boleh 'menyelesaikan masalah' sahaja lebih-lebih lagi sudah tahu benda yang akan jadi masalah.Jadi yang diutamakan ialah kebolehan 'mencegah masalah' supaya tindakan awal yang bersifat 'preventive' bukan 'remedial' dapat dibuat dengan berkesan. Prinsipnya amalkan pendekatan PDCA secara total dalam semua aktiviti. Ringkasnya mesti ada sikap proaktif dan hasilnya semua orang tidak hadapi masalah dan organisasi yng iklimnya sangat kondusif kepada proses pembelajaran dan pengajaran yang berkesan lagi berkualiti. 7. Bukan Kepada Siapa Betul Tetapi Kepada Apa Yang Betul: Ertinya apa jua isu yang ditimbulkan dalam menangani perubahan dan melakukan penambahbaikan adalah berdasarkan 'perkaranya' bukan kepada 'siapa orangnya'. Prinsipnya ialah apa yang betul atau tidak betul bukan berdasarkan dia itu Guru Besar atau Penolong Kanan atau Guru Penolong, hatta Pekerja Rendah Awam sekalipun, tetapi kepada apakah persoalannya, apakah kesan dan implikasinya, atau apakah tafsiran dari segi falsafah, peraturan, dan objektivitinya. Matlamat akhirnya semua orang akan buat perkara yang betul dan tidak boleh dipoertikaikan oleh sesiapa pun. 8. Permuafakatan Dan Kesejawatanan: Ertinya dalam organisasi tidak ada orang boleh buat kerja berseorangan, pendeknya setiap orang perlukan orang lain bagi memenuhi atau menyempurnakan sesuatu tugas atau sesuatu bidang tanggungjawab. Prinsipnya semua guru mesti faham bahawa tanpa kerjasama atau permuafakatan banyak kerja lebih-lebih lagi usaha meningkatkan prestasi murid dan sekolah tidak tercapai. Oleh itu perasaan dan pemikiran 'kesejawatanan' maka perlu dihayati sepenuh jiwa dan raga. Aspek permuafakatan dan kesejawatanan in jelas dilihat apabila sikap dan semangat tolong-menolong, sanggup berkorban, ingat-mengingati, nasihat-menasihati dan sebagainya wujud dengan penuh

harmoni. 9. Guru Sebenar Guru~Ke SekolahTidak Jemu Mengajar Tidak Lesu: Ertinya seorang guru yang penuh iltizam, dedikasi, komited dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muridnya. Prinsipnya ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' satu pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat melatah atau menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri. Guru sebenar guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi seperti: selalu ponteng, banyak beri alasan dan helah, sering mengelakkan diri daripada menerima tugas dan tanggungjawab, mengganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara' atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri 'orang malas' ketika berada di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria, penuh semangat serta bersungguh-sungguh.

Penutup
Kejayaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dalam usaha membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia adalah satu tugas besar yang perlu dihayati dan mendapat sokongan dan kerjasama seluruh anggota pendidikan negara bagi membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi di samping melahirkan modal insan yang berpengethauan dan berkemahiran. Yang demikian PIPP, selaras dengan Misi Nasional, memberikn penekanan tinggi ke atas pembangunan modal insan "Minda Kelas Pertama". Oleh it selaku guru-guru hari ini yang sedang bertugas dan berkhidmat di sekolah-sekolah perlulah sedar bahawa kita mempunyai tugas besar dan mencabar bagi memperkasakan bukan sahaja sekolah kebangsaan tetapi yang lebih penting lagi dapat memperkasakan diri sendiri menjadi 'guru sebenar guru; ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu'. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri masing-masing. Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan tindakan tidak profesional kita, kita sangka yang rosak dan bobrok hanyalah organisasi atau sekolah kita sahaja; malah kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri kita sendiri di mata anak-anak didik atau rakan sejawatan kita yang lain. Marilah buangkan segala unsur yang negatif (jika ada) dan binalah jatidiri 'guru sebenar guru'; seorang guru baru yang berkualiti; guru yang berkesan di dalam urusan "core business" kita bagi proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan sepanjang masa. Memetik kata-kata Dr. Bob Kizlik (2002) dalam artikelnya Tips On Becoming a Teacher; "Make no mistake; as a teacher, your day doesn't necessarily end when the school bell rings. If you're conscientious, you will be involved in after school meetings, committees, assisting students, grading homework, assignments and projects, and calling

parents. All of this demand some sacrifice of your personal time."

Rujukan Kizlik, Bob Dr. (2002). Tips On Becoming a Teacher.http://www.adprima.com.tipson/html 16.01.2003 _________________ Center for Improving School Culture (2004) Bowling Green' KY, USA Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (2001); Ucapan Perasmian Kongres Pendidikan Melayu Pertama, Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. _________________ (2007) Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Kementerian Pelajaran malaysia, Kuala Lumpur. ___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan. Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur. The Star, Edisi 25.03.2007, Kuala Lumpur, Malaysia Utusan Malaysia, Edisi 5.02.2003, Kuala Lumpur, Malaysia __________________________________________________________________________ __________________ Ceramah yang disampaikan di dalam Program Latihan Dalam Perkhidmatan Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 24 26400 Bandar Jengka, Pahang Darul Makmur, pada 26 April 2008