Anda di halaman 1dari 1

Dalam Islam Bolehkah Meditasi?

(Dengan kerjasama Dr. Azhar Hj. Sarip, Perunding Emosi dari Soul Axis Management
dr_muhdazh@yahoo.com)

Ketika dalam perjalanan ke selatan tanah air, saya dihubungi seorang teman, juga pengamal
meditasi. Menurut beliau, isterinya pergi ke satu majlis yang dihadiri oleh seorang ustaz terkenal
baru-baru ini. Ketika diberi peluang bertanya, si isteri menyoal sama ada orang Islam itu
dibenarkan melakukan meditasi atau sebaliknya.

Dengan nada lantang, si ustaz menjawab tidak boleh. Katanya lagi, “Mana boleh duduk diam
dan kosongkan fikiran. Nanti datanglah benda yang bukan-bukan menyesatkan atau kena rasuk.”
Teman saya meminta pandangan saya terhadap jawapan ustaz itu. Saya katakan kepadanya,
orang yang tidak pernah minum madu manakan tahu manisnya madu. Jika ingin mengetahui
manisnya madu, minum madu dulu barulah boleh memberi komen.

Inilah kelemahan kebanyakan orang kita. Kita gemar memberi pandangan tanpa mempunyai
pengetahuan terhadap sesuatu. Pada tahun 2001, saya pernah berlakon sebagai seorang yang
mengalami tekanan perasaan dan pergi ke klinik untuk mengetahui jawapan daripada seorang
doktor. Saya bertanya adakah ubat untuk menghilangkan tekanan itu. Doktor itu menjawab,
“Lagi-lagi ubat. Sepatutnya apabila rasa tekanan, bangun tengah malam dan bersembahyang.
Barulah hilang tekanan.”

Saya akui memang benar bahawa solat itu sememangnya terapi yang paling baik untuk apa jua
masalah. Namun solat yang bagaimana? Persoalan yang sering saya utarakan adalah sewaktu
kita tidak mengalami tekanan, kita bersolat tetapi tidak khusyuk dan fikirkan yang bukan-bukan.
Apatah lagi jika sewaktu stres, tentunya solat kita langsung tidak khusyuk.
Melakukan meditasi super sedar mampu menghilangkan tekanan walau seberat mana sekalipun.
Ketika melakukan meditasi itu, kita tidak akan mengosongkan fikiran. Saya berpendapat ustaz itu
tidak begitu memahami.

Pada zaman Rasulullah s.a.w berdakwah menggunakan kaedah syair. Pada zaman sekarang,
berdakwah hendaklah menggunakan kupasan sains. Selagi kita bernafas, selagi itu kita tidak
akan dapat mengosongkan fikiran. Dalam latihan meditasi yang kami anjurkan, intinya ialah
mencapai perasaan cinta yang mendalam terhadap Tuhan. Jika kita mempunyai perasaan cinta,
kita pasti merasakan satu perasaan yang begitu indah dan jiwa tenang. Perasaan inilah yang
perlu ada dalam solat.

Tulisan Dr. Azhar boleh diikuti seterusnya di dalam MINGGUAN WANITA minggu ini.