Anda di halaman 1dari 20

Pembangunan Industri Budaya dan Identiti Melayu Malaysia-Indonesia

(Wan Abdul Kadir) Akademi Pengajian Melayu

Identiti alam Melayu


Berasaskan kepada sejarah awal yang dapat dikesan sejak zaman prasejarah, telah dibuktikan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal di alam Melayu ini. Konsep alam Melayu itu adalah juga berkaitan dengan kawasan atau penempatan asal Melayu. Walaupun terdapat berbagai pendapat dan pandangan para pengkaji/sarjana, tentang konsep Melayu itu yang telah dikemukakan, umumnya Melayu itu adalah dirujuk kepada penduduk asal di rantau alam Melayu ini. Terdapat berbagai pendapat dalam usaha mencari pengertian dan asal usul Melayu itu, namun usaha itu kerapkali telah menimbulkan semakin banyak persoalan dan kekeliruan, yang boleh membawa kepada tiada penemuan yang jelas tentang Melayu. Dalam realiti didapati amat sukar untuk menerangkan kelompok Melayu itu, terutama apabila kelompok-kelompok kecil itu berusaha memperteguhkan identiti masing-masing. Misalnya, masyarakat Jawa, Minang, Krinci dan sebagainya berusaha membina identiti kelompok masing-masing. Perbezaan kelompok itu membina sub budaya masing-masing hakikatnya adalah berbeza daripada kumpulan ethnik yang lain seperti masyarakat Cina dan India. Dalam konteks ini Melayu itu terdiri daripada berbagai kelompok sosial yang

menyatakan identiti masing-masing sebagai sub budaya bagi budaya Melayu yang lebih luas. Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub budaya yang membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu. Pengertian Melayu di Malaysia dinyatakan dengan lebih khusus dalam Perlembagaan Malaysia yang mempunyai kepentingan sosial dan politik. Pengertian itu berasaskan kepada prinsip bahasa, budaya dan Islam. Pengertian Melayu itu lebih khusus yang merupakan sebagai bahagian daripada konsep Melayu yang lebih luas itu. Oleh itu, apabila berbagai kelompok sosial yang merupakan penduduk asal, seperti Orang Asli yang tidak beragama Islam, tidak dapat mencakupi dalam pengertian Perlembagaan itu. Pengertian Melayu itu sebagai idea yang dipakai dalam pentadbiran dan kepentingan politik terdapat pula perbezaan konsep Melayu yang dipakai dalam realiti yang berasaskan kelompok sosial Melayu dengan sub budaya masing-masing. Sejarah peradaban Melayu yang berasaskan perkembangan budaya Melayu di alam Melayu merupakan fenomena penting dalam pembinaan identiti Melayu dalam konteks yang luas itu. Peradaban Melayu itu telah dibina oleh kelompok-kelompok Melayu di alam Melayu ini umumnya dan dengan itu juga telah terbina identiti Melayu yang berasaskan tradisi sejarah yang sama yang dilalui oleh kumpulan Melayu itu. Penduduk asal atau orang Melayu yang mendiami di alam Melayu ini telah membina asas peradaban yang telah mantap sebelum mereka bertembung

dan melalui proses difusi budaya. Pertembungan dengan peradaban India dan kemudian Islam telah memperkukuhkan peradaban Melayu sekian lama. Kerajaan-kerajaan Melayu yang terdapat di alam Melayu telah memainkan peranan penting dalam pembinaan pusat-pusat peradaban itu. Gelombang pengaruh peradaban dari India amat pesat mempengaruhi pembangunan peradanan di kepulauan Indonesia . Kemudian Islam membawa peradaban penting kepada pembinaan peradaban Melayu. Pengaruh-pengaruh itu meningkatkan peradaban Melayu. Namun kesan peradaban yang datang itu tidak pula menghilangkan identiti budaya Melayu itu.

Budaya Kolonial dan Industri Budaya


Kesan pengaruh peradaban India dan Islam ke atas budaya Melayu amat penting dalam meningkatkan pencapaian peradaban Melayu. Namun identiti Melayu dipertahankan, dengan menyesuaikan unsur-unsur budaya asing itu dengan keperluan dan kepentingan tempatan. Walau bagaimanapun perubahan yang berlaku itu telah membina faktor-faktor bahasa, Islam dan tradisi budaya yang amat dominant dalam menyatakan identiti Melayu itu. Bahasa Melayu menjadi lingua franca terutama di pusat-pusat pelabuhan yang cosmopolitan sifatnya. Di samping itu bahasa-bahasa yang digunakan oleh kelompok-kelompok sosial sebagai sub budaya yang berupa pinggiran. Kedudukan Islam semakin dominant berikutan dengan majoriti penduduk di alam Melayu ini menerima Islam. Dan seterusnya sebagai masyarakat serumpun tradisi budaya yang berasaskan sejarah budaya yang sama sudah pasti dapat menyatakan identiti Melayu umumnya. Kedatangan kolonial British di Semananjung Malaysia dan kolonial Belanda di Indonesia atas kepentingan ekonomi telah campur tangan dalam segala urusan pentadbiran. Kegiatan ekonomi kapitalis di barat telah mulai berkembang di alam Melayu dan turut mempengaruhi kehidupan penduduk

tempatan.Perkembangan ekonomi kapitalis yang lebih menekankan kepada maksima keuntungan, dan kemasukan modal serta teknologi dari barat telah membawa perubahan penting di negara ini, terutama di pusat bandar-bandar kolonial. Perkembangan ekonomi kapitalis di barat telah membawa perubahan dan pembangunan industri yang amat pesat. Berikutan dengan ini maka industri budaya turut berkembang pesat, yang menjadikan unsur-unsur budaya sebagai bahan-bahan budaya sebagai bahan pengguna orang ramai sebagaimana bahan-bahan pengguna yang lain. Kehidupan penduduk bandar memerlukan bahan-bahan budaya itu sebagai bahan pengguna yang memberikan mereka pengisian keperluan yang lebih tinggi, misalnya sebagai bahan hiburan, pengisian masa lapang, dan sebagainya. Perkembangan industri budaya di Eropah itu telah mendapat perhatian para pengkaji yang berpendapat perkembangan industri budaya itu adalah sebahagian daripada agenda golongan kapitalis yang mahu melemahkan golongan pekerja, iaitu dengan penawaran bahan-bahan budaya itu dapat melekakan orang ramai daripada menumpukan perhatian kepada perkaraperkara yang lebih penting. Oleh itu indusrti budaya dianggap memberikan keselesaan kepada golongan kapitalis dan memberikan peluang mereka menekan golongan pekerja. Perkembangan industri budaya di barat itu turut mempengaruhi penyebaran dan perkembangan bahan-bahan budaya barat itu di alam Melayu. Bahanbahan budaya keluaran industri budaya itu diberikan nilai-nilai kemodenan dan kemajuan. Berasaskan idea kemodenan dan kemajuan itu bahan-bahan budaya barat itu amat disanjung tinggi dan dihormati penduduk tempatan, terutama penduduk bandar-bandar kolonial yang pesat mengalami proses modenisasi dan urbanisasi itu. Bahan-bahan budaya yang dibawa oleh

kolonial itu mempunyai kedudukan yang tinggi, dan sebaliknya unsur-unsur budaya tempatan dianggap tradisi dan terkebelakang.

Industri Budaya dan Budaya Popular


Kegiatan industri budaya menawarkan bahan-bahan budaya secara komersial kepada orang ramai. Kepentingan ekonomi itu kerapkali dieksploit oleh pengusaha industri itu, dengan berbagai kaedah yang bertujuan untuk mendapat perhatian dan minat orang ramai. Dalam kegiatan itu kerapkali pula pengusaha industri mengeksploit keinginan semula jadi manusia, seperti bahan seks, tanpa mempertimbangkan kepentingan sosial dan keharmonian sosial. Perlakuan seperti ini selalu dianggap boleh membawa kesan-kesan buruk dan seterusnya boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni. Oleh itu, kerajaan atau pihak berkuasa perlu memberikan pengawasan dalam kepesatan penawaran bahan-bahan budaya itu. Walau bagaimanapun kesedaran dalaman anggota-anggota masyarakat itu perlu diberikan ketahanan dalam menghadapi penawaran bahan-bahan budaya yang boleh membawa kesan buruk itu. Pengusaha industri budaya yang berusaha menawarkan bahan-bahan budaya secara meluas untuk kepenggunaan ramai itu, dengan menggunakan berbagai kaedah promosi, dan publisiti boleh melahirkan bahan-bahan budaya itu sebagai fenomenon budaya popular. Dengan kemudahan teknologi moden, sistem pemasaran yang meluas, dan peningkatan ilmu pengetahuan telah membolehkan penawaran bahan-bahan budaya dilakukan secara meluas dan mampu melahirkan fenomenon budaya popular. Budaya popular kini didapati memainkan peranan penting dalam

mempengaruhi kehidupan orang ramai, iaitu merintasi semua peringkat 5

anggota-anggota masyarakat. Perkembangan bahan-bahan budaya popular itu sebagaimana telah diterangkan membawa bersamanya kesan-kesan buruk. Tetapi sebaliknya perkembangan industri budaya itu juga terdapat kepentingan dan keperluannya dalam pembangunan masyarakat budaya. Industri budaya telah memainkan peranan penting dalam membawa pembangunan ekonomi, misalnya pulangan ekonomi, memberi banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai. Industri budaya itu juga memainkan peranan penting dalam membawa perubahan budaya yang dengan jelas menyatakan budaya itu amat dinamiks. Budaya popular mempunyai tempatnya dalam masyarakat yang pesat membangun. Tetapi perkembangannya itu perlukan pengawasan yang sewajarnya bagi menjamin perkembangan dan penawaran bahan-bahan budaya itu tidak membawa kesan-kesan buruk yang keterlaluan.

Pembangunan Industri Budaya


Pembangunan yang dibawa oleh pemerintah kolonial di alam Melayu sebagaimana telah dinyatakan adalah atas kepentingan dan keperluan ekonomi. Bandar-bandar kolonial dibangunkan sebagai pusat perkembangan ekonomi. Di samping itu, perubahan dalam politik dan pentadbiran, sosial,dan pendidikan, tidak dapat dinafikan telah membawa perubahan penting kepada budaya. Perubahan itu turut mempengaruhi kehidupan orang Melayu. Proses modenisasi dan urbanisasi yang dilalui penduduk bandar memerlukan pengisian keperluan-keperluan yang lebih tinggi, seperti seni, hiburan, mainan, dan seumpamanya. Perkembangan industri budaya menawarkan berbagai bahan budaya yang dapat mengisi keperluan hidup orang ramai, terutama penduduk bandarbandar moden itu. Dalam penawaran bahan-bahan budaya yang dibawa dari barat itu membawa bersamanya pengaruh budaya yang dianggap mempunyai kedudukan yang mempunyai nilai-nilai yang tinggi, yang menyatakan

kemodenan dan kemajuan. Namun dalam perkembangan itu terdapat usaha yang telah dilakukan pada peringkat awal untuk menjadikan bahan-bahan budaya tempatan sebagai kegiatan industri. Didapati industri menawarkan bahan-bahan hiburan Melayu telah mendapat perhatian ramai. Misalnya, persembahan bangsawan pernah muncul sebagai bahan budaya yang diusahakan secara komersial dan tersebar luas di alam Melayu. Kemudian diikuti dengan perkembangan muzik Melayu, filem Melayu dan lawak jenaka yang ditawarkan secara komersial dan penyebaran dilakukan secara meluas di alam Melayu ini. Dalam kes bahan-bahan hiburan yang diusahakan secara komersial dan tersebar luas itu membawa ciri-ciri yang berbeza daripada budaya Melayu tradisional. Walaupun terdapat unsur-unsur tradisi dalam perkembangan budaya popular moden itu, tetapi telah disesuaikan dengan keadaan dan keperluan semasa. Misalnya, bangsawan yang pernah amat popular dahulu membawa pembaharuan, dan kemodenan di samping terdapat unsure-unsur budaya tradisi di dalamnya. Dalam masyarakat yang mengalami perubahan itu mahukan penawaran bahan-bahan budaya itu bersesuaian dengan perubahan yang berlaku. Persembahan bangsawan membawa bersamanya kemodenan dan pembaharuan. Juga dapat dikatakan penawaran budaya popular itu membawa bersamanya rites of modernization Penawaran bahan-bahan budaya Melayu berikutan perkembangan industri budaya tempatan, pengusaha berusaha menyesuaikan antara tradisi dan perubahan. Unsur-unsur tradisi masih dipertahankan bagi membolehkan bahan-bahan itu diterima dengan baik oleh orang ramai.Misalnya, terdapat unsur-unsur budaya tradisi disertakan di samping membawa perubahan dan pembaharuan dalam persembahan itu. Perkembangan industri budaya itu disokong oleh perkembangan teknologi moden. Orang Melayu pada peringkat awal kurang menguasai teknologi

moden. Misalnya, perkembangan industri filem, dan industri muzik , dari segi industri dan teknologi dikuasai oleh orang bukan Melayu. Orang Melayu memberikan sumbangan pengisian bahan dalam industri itu. Dengan kemudahan teknologi moden itu juga membolehkan penyebaran bahan-bahan budaya dilakukan dengan meluas. Misalnya alat cetak telah memainkan peranan penting dalam penyebaran bahan-bahan budaya Melayu. Dalam pembangunan industri budaya Melayu umumnya, baik di Malaysia mahupun di Indonesia , perlibatan orang Melayu sebagai pengusaha industri, adalah secara kecil-kecilan. Tidak ramai orang Melayu yang terlibat dalam industri itu secara besar-besaran. Ini dapat dikaitkan dengan berbagai masalah yang dihadapi pengusaha Melayu, terutama dalam pengurusan, pemasaran dan kewangan. Namun kerajaan berusaha memberikan bantuan dan sokongan dalam menggalakkan perkembangan industri budaya tempatan. Nilai-nilai kemodenan yang dipupuk sejak zaman kolonial terhadap bahanbahan budaya yang dibawa dari barat itu amat mendalam kesannya, Penduduk tempatan sentiasa memandang tinggi terhadap bahan-bahan budaya yang dibawa dari barat itu. Bahan-bahan budaya barat merupakan indeks atau ukuran sebagai teladan kepada perkembangan industri budaya Melayu. Perubahan yang berlaku terhadap bahan-bahan budaya dari barat itu turut mempengaruhi perubahan terhadap bahan-bahan budaya Melayu. Dalam bidang seni persembahan, seperti muzik, drama, teater, filem dan lawak jenaka Melayu pesat perkembang dan mengalami perubahan. Bahanbahan itu perlu dilakukan pembaharuan dari masa ke masa bagi menyesuaikan dengan perubahan cita rasa budaya di kalangan para pengguna. Dalam bidang mainan pula, berbagai jenis mainan dari barat mendapat minat di kalangan penduduk tempatan. Keadaan yang sama berlaku dalam fesyen, perhiasan diri, perhiasan dalam rumah, penjagaan

kecantikan, makanan, dan berbagai kegiatan pengisian masa lapang. Fenomenon budaya popular dari barat yang dianggap moden dan maju itu sentiasa mendapat perhatian penduduk tempatan. Cita rasa budaya itu turut mempengaruhi perkembangan industri budaya budaya. Pertumbuhan dan panawaran bahan-bahan budaya popular itu didapati amat mempengaruhi gaya hidup orang ramai. Kesannya amat ketara dalam membawa perubahan, kemodenan dan kemajuan dalam perkembangan budaya Melayu. Di samping itu tidak dapat dinafikan bahawa terdapat kesankesan yang bercanggah atau kurang sesuai dengan tradisi budaya tempatan. Namun, masyarakat memainkan peranan penting dalam menentukan arah perkembangan budaya popular yang sihat, terutama di kalangan muda mudi.

Kolonial dan Globalisasi Budaya


Pembangunan dan nilai-nilai kemodenan yang dipupuk zaman kolonial dahulu masih diteruskan apabila berlaku proses globalisasi budaya. Pembangunan pesat industri budaya di negara-negara maju, dapat pula menyebarkan bahan-bahan budaya itu di peringkat global. Dengan itu memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara-negara maju. Kekuatan ekonomi dan kemajuan teknologi membolehkan negara-negara maju itu meningkatkan kualiti dan kekuatan bahan-bahan budayanya. Oleh itu bahan-bahan budaya negaranegara maju itu mudah di terima oleh penduduk tempatan. Nilai-nilai kemodenan itu dapat terus dipertahankan dan memperteguhkan kedudukan negara-negara maju, terutama barat sebagai negara yang memainkan peranan di peringkat global. Penyebaran bahan-bahan budaya global itu membawa bersamanya budaya barat, memperkukuhkan nilai-nilai kemodenan dan kemajuan itu. Bahanbahan budaya itu mempengaruhi budaya tempatan, menyebarkan ideologi

barat secara berkesan dan seterusnya membawa kesan-kesan sosial dan budaya. Penyebaran bahan-bahan budaya global itu ada kesan baiknya, misalnya membolehkan industri budaya Melayu turut berkembang dan mempelajari kejayaan industri dari negara maju itu.Penyebaran bahan-bahan budaya global itu juga merupakan cabaran kepada pembangunan dan perkembangan industri budaya tempatan. Pengalaman industri budaya barat dalam mencapai kejayaan, masyarakat Melayu dapat mempelajari untuk mencungkil dan menyelidiki unsur-unsur tempatan atau tradisi yang boleh dijadikan bahan keluaran industri, yang mungkin boleh disebarkan ke peringkat global. Kemasukan bahan-bahan budaya global di alam Melayu berlaku secara berleluasa, berikutan dengan kemudahan teknologi moden yang mampu menyebarkan bahan-bahan budaya dari negara-negara maju secara meluas. Dalam tempoh masa yang singkat bahan-bahan budaya keluaran industri negara-negara maju itu dapat disebarkan secara global. Malahan melalui media massa yang berkembang pesat kini, dapat menyebarkan maklumat secepat mungkin secara global tentang perkembangan industri budaya atau bahan-bahan budaya global itu. Media massa seperti media cetak dan media elektronik memainkan peranan penting dalam membawa publisiti dan promosi perkembangan dan kemodenan bahan-bahan budaya di pasaran, serta amat berkesan dalam mempengaruhi cita rasa budaya penduduk tempatan. Penyebaran bahan-bahan budaya global itu telah menjadi dunia semakin sempit, dan penduduk tempatan terdedah kepada perubahan yang berlaku di peringkat global. Pendedahan secara meluas itu menjadikan penyebaran bahan-bahan budaya global itu didapati semakin sukar untuk diawasi atau dikawal. Misalnya, penyebaran media elektronik, dan internet yang disalurkan secara global didapati sangat sukar untuk dikawal atau diawasi.

10

Telah banyak diperkatakan tentang impak atau kesan penyebaran bahanbahan budaya barat dalam proses globalisasi budaya ke atas budaya tempatan, atau budaya Melayu. Malahan bahan-bahan budaya barat itu selalu dianggap bercanggah atau tidak sesuai dengan suasana dan keperluan tempatan. Selain itu, bahan-bahan budaya barat itu juga dikatakan telah membawa banyak kesan sosial kepada penduduk tempatan, terutama di kalangan golongan muda. Selalu dikatakan budaya popular barat menjejaskan nilai-nilai moral dan akhlak golongan muda tempatan. Budaya popular seperti fesyen pakaian dan rambut, perhiasan diri dan kesan daripada filem barat juga amat mempengaruhi golongan muda. Oleh itu perkembangan budaya popular global itu selalu mendapat kritik dan teguran daripada golongan tua. Malahan, penyelewengan atau devian di kalangan muda selalu dikaitkan dengan penyebaran bahan-bahan budaya yang tidak dapat dikawal itu.

Identiti Budaya dan Industri Budaya


Penyebaran pengaruh bahan-bahan budaya daripada industri budaya global atau negara-negara maju, selain membawa kesan-kesan sosial, turut membawa kesan-kesan budaya yang ketara.Budaya Melayu sebagaimana yang telah dinyatakan mengalami perubahan pesat, iaitu budaya Melayu turut mengalami proses modenisasi dan urbanisasi, menyesuaikan dengan perubahan yang dibawa oleh bahan-bahan budaya asing itu. Keadaan ini bermakna mempengaruhi kedudukan budaya Melayu tradisi. Warisan budaya Melayu didapati tidak mampu bersaing dengan perkembangan bahan-bahan budaya yang dibawa oleh industri budaya atau budaya popular itu. Misalnya, berbagai kegiatan seni tradisi semakin kurang mendapat minat ramai, dan ada antaranya telah lenyap. Perkembangan industri budaya Melayu yang turut dipengaruhi kegiatan industri budaya global, kurang berminat untuk menjadikan unsur-unsur budaya Melayu tradisi sebagai bahan budaya komersial. 11

Warisan budaya Melayu tradisional selalu dihubungkan dengan identiti Melayu. Dalam usaha mempertahankan tradisi itu bermakna usaha mempertahankan identiti yang melambangkan keperibadian Melayu itu. Orang Melayu sejak zaman pemerintahan kolonial dahulu menghadapi kebimbangan tentang pesatnya pengaruh budaya barat itu akan melenyapkan identiti Melayu, yang generasi Melayu kemudian tidak lagi dapat mengenali identiti Melayu itu lagi. Pengertian identiti dalam konteks itu bermakna warisan budaya Melayu itu memainkan peranan penting dalam mempertahankan identiti Melayu itu. Orang Melayu di Semenanjung Malaysia sejak kesan perkembangan budaya kolonial dahulu telah memupuk kesedaran kebangsaan berasaskan kekuatan peradaban budaya Melayu masa lampau. Kesedaran semangat kebangsaan Melayu itu juga terkandung tentang warisan budaya Melayu tradisi, selain daripada bahasa dan Islam. Dalam pembinaan konsep budaya kebangsaan atau budaya Malaysia warisan budaya penduduk asal negara ini atau Melayu merupakan prinsip penting. Dalam menyatakan identiti Melayu itu, tidak dapat dinafikan bahawa tradisi itu memainkan peranan penting. Tetapi kita juga memahami bahawa tradisi budaya Melayu itu amat dinamiks dan sentiasa berusaha menyesuaikan dengan perubahan dan perkembangan semasa.Sejak orang Melayu bertembung dengan peradaban asing, terutama India, Islam dan kemudian barat, budaya Melayu amat peka dalam menyesuaikan dengan perubahan dan keperluan semasa. Dalam konteks ini, maka identiti Melayu itu juga berubah menyesuaikan dengan perubahan semasa. Pengertian identiti itu bukanlah suatu yang statik, tetapi dinamiks menyesuaikan dengan keperluan semasa, di samping mempertahankan identiti Melayu itu. Walaupun pengaruh peradaban asing itu amat kencang, terutama apabila orang Melayu menerima agama Islam dan kemudian ideologi kemodenan barat, dengan terdapatnya bijak pendai tempatan, maka identiti Melayu itu tetap dapat dipertahankan. Perubahan budaya berlaku dan seterusnya memperbaiki atau

12

mempertingkatkan pencapaian identiti, dan dengan itu menyatakan dengan jelas kemajuan yang dilalui masyarakat berikutan dengan proses penyesuaian dengan perubahan. Identiti itu menyatakan kemajuan yang dicapai masyarakat, di samping menyatakan warisan yang dipertahankan. Ini bermakna warisan budaya itu mungkin tidak menyatakan perubahan, tetapi menekankan kepada simbol atau lambing warisan tradisi. Sebagai kes kita boleh meneliti pembinaan budaya kebangsaan yang diberikan penekanan oleh orang Melayu tentang warisan tradisi budaya Melayu sebagai lambang atau simbol peradaban Melayu yang telah dibina sejak zaman berzaman. Orang Melayu mahu mengekalkan warisan tradisi itu, misalnya dalam kesenian Melayu sebagai usaha menyatakan identiti Melayu. Namun dalam realiti seharian orang Melayu menerima bahan-bahan budaya moden yang terdapat di pasaran secara meluas itu. Dalam keadaan ini warisan tradisi budaya yang mahu dipertahankan itu mungkin tidak pula diminati atau dihayati ramai, hanya sebagai lambang, sedangkan bahanbahan budaya moden yang dikeluarkan oleh industri budaya amat diminati ramai. Dalam konteks ini, identiti budaya itu tidak sahaja dinyatakan oleh warisan tradisi, malahan perubahan yang berlaku dalam bahan-bahan budaya atau budaya popular itu juga membawa identiti Melayu. Pembinaan budaya kebangsaan misalnya, tidak sahaja terbatas kepada warisan tradisi, tetapi juga mengambil kira bahan-bahan budaya Melayu semasa, terutama hasil industri budaya yang amat pesat berkembang kini.

Industri Budaya Melayu Tradisi-Moden


Baik di Malaysia mahupun di Indonesia didapati usaha menghasilkan bahanbahan budaya tradisi yang disebarkan sebagai penawaran secara komersial telah dilakukan sejak perubahan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh pemerintah kolonial. Misalnya, dalam bidang seni persembahan seperti muzik dan tarian, seni tampak seperti ukiran, dan pertukangan, perubahan

13

tradisional, penjagaan kesihatan, makanan, perhiasan diri, mainan tradisional dan sebagainya. Tetapi penawaran bahan-bahan budaya itu dilakukan secara kecil-kecilan, terutama di kalangan kaum tani yang memberikan perhatian menghasilkan bahan-bahan itu secara sambilan. Penawaran bahan-bahan budaya itu dilakukan dalam konteks tradisi, iaitu diusahakan secara manual secara kecil-kecilan dengan menggunakan kaedah dan teknologi tradisional. Penawaran bahan-bahan budaya itu amat terbatas, misalnya dalam lingkungan kawasan yang terbatas, dan selalunya berlaku secara langsung antara pengeluar dan pengguna. Berikutan dengan perkembangan ekonomi dan teknologi moden, penawaran bahan-bahan budaya yang didatangkan dari negara-negara maju mendapat pasaran baik di rantau ini, sebagaimana yang telah dinyatakan atas kepentingan nilai-nilai kemodenan. Walau bagaimanapun, berasaskan kepada perubahan yang berlaku itu terdapat usaha untuk membina industri budaya Melayu yang lebih baik dengan meggunakan teknologi dan pengurusan moden. Bahan-bahan warisan budaya Melayu dengan menggunakan teknologi moden turut dihasilkan sebagai bahan-bahan pengguna moden, misalnya muzik dan nyanyian, filem dan bahan-bahan kepenggunaan yang lain seperti batik, kraftangan, penjagaan kesihatan, dan seumpamanya turut tersebar luas sebagai usaha komersial tempatan. Dalam perkembangan itu bahan-bahan budaya warisan itu disesuaikan dengan perubahan dan perkembangan semasa. Misalnya, muzik dan nyanyian Melayu dihasilkan dalam bentuk teknologi moden sebagaimana perkembangan industri muzik negara-negara maju. Usaha meningkatkan pembangunan industri budaya tempatan berterusan, Kerajaan juga memberikan sokongan dan dorongan dalam pembangunan industri budaya tempatan. Dengan cara ini dapat mengimbangi penyebaran bahan-bahan budaya yang dibawa dari luar negara. Juga, pembangunan industri budaya tempatan itu mengekalkan pernyataan identiti budaya Melayu.

14

Bagi menghadapi persaingan dengan kemasukan bahan-bahan budaya asing itu, kerajaan Malaysia misalnya, mengenakan berbagai sekatan atau dorongan bagi menjaga kepentingan industri budaya tempatan. Misalnya, kerajaan mengenakan cukai yang tinggi terhadap bahan-bahan budaya yang menjadi saingan dengan pembangunan industri budaya tempatan. Adakala kerajaan memberikan bantuan subsidi kepada industri budaya tempatan bagi menjamin perkembangan industri budaya tempatan. Selain itu, kerajaan dan pihak-pihak tertentu juga menumpukan penyelidikan mendalam terhadap berbagai-bagai bahan budaya tempatan yang boleh dimajukan sebagai usaha komersial, misalnya dalam bidang herbal perubatan dan penjagaan kesihatan tradisional Melayu. Pembangunan industri budaya yang memberikan perhatian terhadap unsur-unsur budaya Melayu tradisional itu terpaksa menghadapi perubahan yang pesat, misalnya dari segi produk, penggunaan teknologi moden, pembungkusan, analisa kandungan, kaedah kepenggunaan dan sebagainya yang berbeza sama sekali dengan cara atau kaedah hasilan tradisi. Walau bagaimanapun, perubahan yang berlaku itu tidak pula menlenyapkan identiti budaya Melayu. Malahan sebagaimana yang telah dinyatakan perubahan yang berlaku itu memainkan peranan penting dalam menyatakan peningkatan identiti masyarakat dan budaya Melayu itu. Pada umumnya masih banyak perkara dan luas bidang atau ruang lingkup untuk pembangunan industri budaya warisan Melayu. Dalam pembangunan industri budaya Melayu itu, pengusaha industri perlu mengikuti perubahan bersesuaian dengan perkembangan semasa. Misalnya, pembangunan industri budaya itu perlu menitikberatkan tentang penyelidikan dan pembangunan yang intensif, penggunaan teknologi moden, sistem pengurusan moden dan kaedah promosi atau pasaran yang berkesan bagi membolehkan bahanbahan budaya Melayu tradisional itu turut tersebar luas, hingga ke peringkat global. Malahan, kerajaan juga turut memainkan peranan dalam penggalakan perkembangan industri budaya tempatan itu.

15

Penawaran bahan-bahan budaya popular Melayu semasa amat pesat berkembang, melalui perubahan dan pembaharuan dari masa ke masa menyesuaikan dengan perubahan yang berlaku di peringkat global. Misalnya, dalam bidang hiburan, seperti industri muzik, filem, fesyen, mainan, memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan dan kecantikan

perkembangan budaya popular semasa. Media massa sebagai pembangunan teknologi moden merupakan saluran penting dan penyebaran maklumat tentang perkembangan industri budaya popular. Walaupun perubahan amat pesat berlaku, yang mengalami perubahan dari semasa ke semasa, perkembangan budaya popular Melayu itu tetap terdapat nilai-nilai tempatan sebagai menyatakan identiti Melayu itu. Proses kreativiti atau penciptaan, penyelidikan dan pembangunan serta penyesuaian dengan keperluan mendorongkan pesatnya perubahan yang dilalui bahan-bahan budaya popular itu. Pihak pengusaha yang mementingkan pencapaian ekonomi, tidak pula mengabaikan nilai-nilai budaya tempatan, terutama Islam dan tradisi yang menentukan kekuatan identiti Melayu itu. Penawaran bahan-bahan budaya Melayu yang kini tersebar luas berikutan dengan pesatnya pembangunan industri budaya, baik dalam menawarkan bahan-bahan budaya warisan tradisi Melayu mahupun bahan-bahan budaya popular yang dianggap moden dan maju, tetap mempertahankan dan mempunyai nilai-nilai identiti tempatan, khususnya Melayu. Pihak pengusaha industri budaya Melayu memahami nilai-nilai budaya tempatan, dan bagi menentukan atau menjamin perkembangan industri itu, pengusaha sentiasa mematuhi atau mempertahankan nilai-nilai sosial tempatan. Pihak kerajaan dan orang ramai memainkan peranan penting dalam menentukan bahanbahan budaya yang ditawarkan itu mematuhi atau tidak bercanggah dengan nilai-nilai sosial tempatan. Dengan ini bermakna perubahan yang pesat itu tetap mempertahankan identiti Melayu.

Perubahan dan Asas Identiti Melayu


16

Berasaskan kepada sejarah pertumbuhan peradaban Melayu di alam Melayu ini, yang telah terbina sekian lama dan telah mengalami proses difusi budaya apabila bertembung dengan peradaban asing, serta penyebaran kelompok Melayu yang luas di rantau alam Melayu ini, maka terdapat asas-asas yang dominant yang mempertahankan kekuatan dan identiti Melayu itu. Sebagaimana telah dibincangkan latarbelakang sejarah perkembangan peradaban Melayu sebelum ini, peranan bijak pandai tempatan amat penting dalam menentukan perubahan dan memperkukuhan identiti Melayu. Kepelbagaian sub budaya dan pengaruh asing dalam budaya Melayu hakikatnya mempertingkatkan khazanah budaya Melayu. Apabila Indonesia dan Malaysia masing-masing mencapai kemerdekaan dan membina kawasan politik tersendiri, maka berlaku pula pemisahan dari segi geo-politik, dan ini seterusnya seperti berlaku pemisahan yang ketara. Sedangkan berasaskan sejarah peradaban dan budaya di alam Melayu ini, terdapat asas-asas yang dominant yang merupakan penyatuan identiti Melayu umumnya. Asas-asas yang dominant itu ialah sejarah kelompok Melayu yang berasaskan rumpun yang sama, tradisi budaya yang sama, bahasa Melayu merupakan bahasa yang dominant di alam Melayu ini sejak lama dahulu, dan Islam pula merupakan asas terpenting kerana majoriti Melayu di alam Melayu ini adalah Islam. Nilai-nilai sosial yang dipupuk berasaskan tradisi dan Islam itu boleh dianggap sebagai asas penting yang merupakan benteng mempertahankan dan memperkukuhkan identiti Melayu.perkembangan pesat industri budaya yang menawarkan bahan-bahan budaya secara meluas sentiasa dibatasi nilai-nilai sosial yang menyatakan identiti budaya Melayu itu. Berikutan dengan pesatnya proses globalisasi budaya, iaitu lambakan bahanbahan budaya dari perkembangan industri budaya negara-negara maju, selalu dianggap membawa kesan-kesan buruk, terutama terhadap budaya tempatan, dan seterusnya boleh menjejaskan identiti budaya tempatan. Sebaliknya, didapati proses globalisasi budaya itu memainkan peranan

17

penting dalam mendorongkan pengukuhan identiti tempatan. Masyarakat Melayu umumnya, sebagaimana masyarakat di negara-negara sedang membangun yang lain menyedari tentang pentingnya mempertahankan identiti tempatan bagi mengimbangi gelombang globalisasi budaya itu.

Rumusan
Malaysia dan Indonesia mempunyai asas sejarah peradaban yang sama, penduduk asal rantau ini daripada rumpun yang sama. Mereka berkongsi sejarah peradaban, tradisi budaya dan asas bahasa yang sama. Berasaskan sejarah peradaban yang lama itu, mereka telah membina identiti yang kukuh dan matang. Bijak pandai tempatan memainkan peranan penting dalam menyesuaikan perubahan dengan tradisi sehingga dapat mempertahankan identiti Melayu itu. Pengaruh peradaban asing dapat mempertingkatkan kecemerlangan peradaban Melayu, namun identiti tetap dipertahankan. Kedua-dua negara itu kemudian dipisahkan dari segi pembangunan politik, ekonomi, sosial dan budaya oleh pemerintah kolonial. Kemudian terbina sebagai dua buah negara yang masing-masing membina pembangunan secara terpisah. Suatu hakikat, penyebaran bahan-bahan budaya global telah memainkan peranan penting dalam menentukan persamaan dari segi kepenggunaan bahan-bahan budaya itu. Berhadapan dengan pesatnya penawaran bahan-bahan budaya dari perkembangan industri budaya negaranegara maju, yang telah bermula sejak zaman pemerintahan kolonial dahulu, kedua-dua negara menghadapi permasalahan yang lebih kurang sama, terutama dalam mengimbangi dengan kekuatan identiti tempatan itu. Maka industri budaya tempatan turut memainkan peranan dalam menghasilkan bahan-bahan budaya yang mempunyai identiti tempatan atau Melayu itu. Kerajaan juga turut memainkan peranan dalam menggalakkan pembangunan industri budaya tempatan, agar bahan-bahan budaya tempatan dapat mengimbangi kepesatan penyebaran bahan-bahan budaya global itu.

18

Bahan-bahan Bacaan Adorono, Theodor and Max Horkheimer, 1944, The Culture Industry: Enlightenment as Mass Deception, Routledge. Alatas, Syed Hussein, 1988, Mitos pribumi malas: citra orang Jawa, Melayu dan Filipina dalam Kapitalisme Kolonial, Jakarta. Barnard, Timotthy P.(ed.) 2004, Contesting Malayness, Singapore: Singapore University Press. Cook,D. 1966, The Culture Industry Revisited, Rowman & Littlefied. Collins, Jim, 2002, High Pop: Making Culture into Popular Entertainment, Maldan, Mass: Blackwell Publishers. Gullick, J.M. 1987, Malay Society in the Late 19th Century, Singapore: Oxford University Press. Harrington, C. Lee, 2001, Popular culture: Production and Consumption, Oxford UK : Blackwell Publishers. Hesmondhalgh, D. 2002, The Cultural Industries, Sage. Roff, William, 1967, The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: University of Malaya Press. Said, Edward W. 1994, Culture and Imperialism, New York: Vintage Books. Shamsul A.B. 1997, Identity Formation in Malaysia. Tonan Ajia Kenkyu, Vol.34, No.3. Soebadio, Haryati, 1985, Cultural Policy in Indonesia, Paris: UNESCO Steinert, Heinz, 2003, Culture Industry, Cambridge: Polity Press.
19

Storey,John, 2000, Culture Theory and Popular Culture: An Introduction, New York: Prentice Hall. Strinati, Dominic, 2000, An Introduction to Studying Popular Culture, London, N.York :Routledge. Wan Hashim Wan Teh, 1997, Tamadun Melayu dan Pembinaan Tamadun Abad Kedua Puluh Satu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

20

Anda mungkin juga menyukai