Anda di halaman 1dari 25

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH SEKOLAH PENDIDIKAN & PEMBANGUNAN SOSIAL (SPPS)

NAME MATRIX NO LECTURER

: CLEOPATRA KISAU : BT09180154 : Prof. Madya Hj. Baharom Bin Mohamad

Kandungan Muka surat

1. Pendahuluan 2. Modal sosial 2.1 Definisi modal sosial 2.2 Kepentingan modal sosial 3. Pendidikan bertaraf dunia 3.1 Definisi pendidikan 3.2 Konsep pendidikan bertaraf dunia 4. Falsafah Pendidikan Kebangsaan 5. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 6. Modal sosial sebagai penjana pendidikan bertaraf dunia 6.1 Pemupukan budaya ilmu 6.2 Dasar Pendidikan Terbuka 6.3 Sekolah Penyayang 6.4 Kerjasama bidang pendidikan dengan negara luar

12

35 57

79 9 10 10 11 11 12

12 13 13 14 14 15 15 16

6.5 Penubuhan Sekolah Bestari 6.7 Prasarana berkualiti Aplikasi teknologi yang canggih 7. Kesimpulan 8. Bibliografi

16 17 17 18 19 20

1. Pendahuluan

Manusia pada dasarnya tidak akan dapat memenuhi semua keperluannya dengan baik tanpa bantuan daripada masyarakat di sekeliling mereka. Semenjak daripada kelahiran seseorang individu, dia memerlukan pertolongan atau bantuan serta sokongan daripada individu lain sehinggalah dia dewasa dan meninggal dunia, dia tetap masih memerlukan individu lain. Fairchild (1980) mengemukakan bahawa masyarakat merujuk kepada kelompok manusia yang menyatupadukan diri masing-masing berdasarkan kepentingan bersama, ketahanan dan kekekalan. Berdikari bukan bermaksud hidup sendiri secara tunggal atau hidup sebatang kara tetapi hidup dengan harmoni dan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan bermasyarakat. Kepentingan hidup bermasyarakat ini telah membawa kepada kewujudan suatu istilah iaitu modal sosial. Modal sosial ini diyakini sebagai satu komponen utama untuk menggerakkan kebersamaan, pertukaran pendapat, kepercayaan dan saling membantu bagi mencapai kemajuan bersama (Witrianto, S.S., & M.Hum., M.Si). Modal sosial merupakan sebuah modal yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Secara umumnya, modal sosial menyumbang kepada perkembangan sesebuah Negara sama ada dari segi institusi politik, ekonomi mahupun sosial. Konsep modal sosial ini sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat dan kajian terhadap kebaikan dan sumbangan modal social ini terhadap masyarakat masih baharu. Sebagai contoh, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah merupakan sejenis organisasi sosial yang melibatkan konsep modal sosial. Selain itu, liga sukan, jaringan internet, jawatan kuasa kampung dan lain-lain lagi juga termasuk dalam kelompok organisasi social yang mengaplikasikan modal ini.
3

Kelompok-kelompok organisasi sosial yang terbina ini boleh membantu membangunkan masyarakat dengan adanya nilai-nilai positif dalam diri setiap anggota kelompok. Walau bagaimanapun, kelompok-kelompok ini juga mampu merapuhkan ikatan kemasyarakatan disebabkan oleh beberapa faktor tertentu seperti kurangnya sifat kerjasama dan juga kepercayaan antara ahli-ahlinya, kegagalan interaksi, perilaku dan banyak lagi. Modal sosial dilihat sebagai sebuah perkara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan oleh setiap anggota masyarakat dalam usaha untuk mencapai matlamat bersama bagi membina sebuah Negara yang makmur. Namun, senarionya pada hari ini menunjukkan bahawa institusi sosial sudah tidak diutamakan lagi terutama dalam kalangan muda-mudi. Kejadian seperti konflik rumah tangga, pembunuhan, rogol, komunis dan lainlain merupakan contoh-contoh perbuatan dan tindakan manusia yang jelas menunjukkan hilangnya nilai-nilai sosial masyarakat yang dulunya diagung-agungkan. Perbuatanperbuatan atau tindakan-tindakan yang tidak bertamadun ini sepatutnya tidak berlaku jika masyarakat dapat memelihara dan mengamalkan norma-norma sosial yang ditekankan dalam modal sosial seperti sifat kerjasama, kejujuran, keadilan, toleransi dan sebagainya. Jelas dilihat bahawa masyarakat terutama pada zaman moden ini lebih mementingkan hidup masing-masing daripada mengamalkan konsep kesatuan atau kebersamaan dengan anggotaanggora masyarakat itu sendiri. Lazimnya, kesatuan yang ada pada sesebuah masyarakat hanyalah terbatas kepada beberapa aspek seperti urusan-urusan perayaan, perkahwinan, kematian dan beberapa lagi aspek lain. Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir masyarakat yang langsung tidak memperdulikan hal-hal sedemikian. Selain masyarakat dengan masyarakat atau individu dengan masyarakat, konsep modal sosial juga melibatkan masyarakat dengan negara. Contohnya dalam negara kita sendiri dimana kerajaan mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen yang membolehkan rakyat menyuarakan pendapat masing-masing dan boleh meminta bantuan daripada kerajaan dalam hal-hal tertentu seperti naiktaraf jalan raya, pembaikpulihan dewan masyarakat, pembinaan jambatan dan banyak lagi. Tetapi ironinya, terdapat segelintir masyarakat yang hanya tahu untuk meminta tetapi tidak mempunyai usaha untuk menjaga dan memelihara bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Masyarakat hanya pandai mengeluh kerana terpaksa hidup dalam kemiskinan tetapi tidak mempunyai usaha untuk
4

meningkatkan diri sendiri dan mara ke hadapan. Oleh yang demikian, rakyat seharusnya memiliki modal sosial dalam diri masing-masing agar kesejahteraan dan kemajuan dapat dicapai dengan lebih efektif dan efisien. Masyarakat yang mengamalkan konsep ini akan dapat menyelesaikan sesebuah masalah dengan lebih mudah dan lebih cenderung untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Secara tidak langsung, masyarakat yang bersatupadu dapat mendorong kepada kejayaan pendidikan bertaraf dunia.

2. Modal social 2.1 Definisi konsep modal social Kajian terhadap konsep modal sosial ini masih baru dan mempunyai definisi yang pelbagai bergantung kepada pemahaman pengkaji-pengkaji yang telah melaksanakan penyelidikan dalam bidang ini. Secara umumnya, modal sosial dapat diukur berdasarkan fungsi sesebuah masyarakat dan bagaimana hubungan antara individu dengan sesebuah masyarakat mahupun sesebuah masyarakat dan masyarakat yang lain dapat menyumbang kepada perkembangan yang positif kepada individu, kumpulan kaum dan juga masyarakat itu sendiri secara keseluruhan (Abu Sufian Abu Bakair & Anizah Md.Ali, 2004). Modal sosial juga disifatkan sebagai kekuatan yang mampu membangun sebuah komuniti dengan meningkatkan semangat kerjasama antara ahli sesebuah masyarakat tersebut (Pupu Saeful Rahmat, 2008). Dengan kata lain, modal social merupakan suatu bentuk kerelaan seseorang individu untuk menerima pendapat dan keputusan yang dilaksanakan dalam sesebuah komuniti. Pelbagai definisi dibuat bagi menggambarkan konsep modal sosial. Menurut Wikipedia, modal sosial membawa maksud, suatu konsep dengan berbagai definisi yang saling terkait, yang didasarkan pada nilai jaringan sscial. Sejak konsep dicetuskan, istilah modal sosial telah digambarkan sebagai sesuatu yang sangat manjur [Portes, 1998:1] bagi semua masalah yang menimpa komunitas dan masyarakat di masa kini.

Berdasarkan maksud modal sosial di atas, modal sosial dapat diertikan sebagai suatu konsep yang berkaitan dengan hubungan sosial atau dengan kata lain, hubungan antara masyarakat dan komuniti yang sangat berkesan bagi menyelesaikan sesebuah permasalahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Dengan adanya hubungan erat diantara masyarakat, pertelingkahan akan dapat dielakkan dan keharmonian dalam masyarakat dapat dikekalkan. Coleman (1988), seorang penyelidik yang terkenal dalam bidang ini memberi gambaran bahawa modal sosial yang terdiri daripada aspek struktur sosial, obligasi dan jangkaan, rangkaian maklumat dan set norma, dan keberkesanan hukuman akan dapat membataskan atau mengalakkan tingkah laku yang baik (Abu Sufian Abu Bakair & Anizah Md. Ali, 2004). Coleman jelas menyatakan bahawa hubungan, norma, dan peraturan sosial adalah penting bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti kerjasama dalam sesebuah masyarakat selain daripada tingkah laku-tingkah laku positif yang lain seperti kejujuran, sikap toleransi, kebolehan menerima pendapat atau pandangan orang lain dan banyak lagi. Dalam aspek ini, modal sosial boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu jaringan sosial, norma sosial dan peraturan sosial (Abu Sufian Abu Bakair & Anizah Md. Ali, 2004). Jaringan sosial bermaksud hubungan sesama individu dalam aspek keupayaan menyampaikan maklumat dengan berkesan agar matlamat dapat dicapai dengan lebih mudah. Contoh mudah bagi hubungan sosial ini ialah hubungan kekeluargaan dan semangat kejiranan. Norma sosial pula merupakan peraturan dan persefahaman yang diterima dan digunapakai oleh setiap anggota masyarakat dimana ia dapat meningkatkan semangat bekerjasama dan saling memahami antara satu dengan yang lain, manakala peraturan sosial pula dapat ditakrifkan sebagai suatu bentuk undang-undang yang digunakan untuk menyelesaikan sesebuah pertelingkahan dalam usaha mencapai keamanan dan keharmonian dalam sesebuah masyarakat. Putnam (1993) pula mendefinisikan modal sosial sebagai suatu sifat organisasi seperti kepercayaan, norma dan jaringan yang bertujuan untuk memudahkan tindakan kerjasama yang kemudiannya akan dapat meningkatkan kecekapan dalam masyarakat (Abu Sufian Abu Bakair & Anizah Md. Ali, 2004). Konsep modal social ini turut ditakrifkan sebagai darjah pautan social yang wujud dalam masyarakat, oleh World Health Organisation (WHO) (Abu Sufian Abu Bakair & Anizah Md. Ali, 2004). Gambaran modal social oleh Putnam dan WHO kedua-duanya meliputi komponen-komponen modal social iaitu jaringan, norma dan
6

peraturan social dimana ia bertujuan untuk memudahkan penyusunan dan kerjasama antara masyarakat. Black and Hughes (2001) turut mengkaji bidang ini dan mereka mendefinisikan bahawa modal sosial adalah corak dan kualiti hubungan dalam masyarakat (Abu Sufian Abu Bakair & Anizah Md. Ali, 2004). Dengan lebih lanjut, corak dan kualiti hubungan masyarakat ini merangkumi erat dan tidak eratnya hubungan sesebuah masyarakat dan bagaimana hubungan baik antara masyarakat ini boleh memberi kebaikan kepada setiap anggotanya. Menurut kajian, terdapat tiga jenis modal sosial yang utama. Yang pertama ialah bonding iaitu modal sosial yang berbentuk ikatan persahabatan antara ahli keluarga atau kumpulan etnik yang sama. Ikatan ini merupakan bentuk ikatan yang paling rapat dimana ia melibatkan orang-orang yang terdekat dengan seseorang individu. Yang kedua pula ialah bridging iaitu modal sosial yang melibatkan ikatan antara pelbagai kumpulan etnik yang berlainan dan yang terakhir adalah jalinan antara pelbagai kelas kumpulan sosial masyarakat atau linking. Contoh hubungan yang ketiga ini ialah hubungan antara golongan kaya dan golongan miskin, hubungan antara majikan dan pekerja, hubungan antara negara dengan rakyatnya dan sebagainya. Jenis hubungan yang ketiga ini merupakan suatu bentuk hubungan yang lebih berpusat kepada status seseorang (Abu Sufian Abu Bakair & Anizah Md. Ali, 2004). Oleh itu, daripada definisi-definisi yang diberikan oleh para pengkaji dalam bidang ini, dapat dirangkumkan bahawa modal sosial merupakan suatu bentuk kebersamaan dan kewajiban sosial masyarakat yang berkaitan dengan kerjasama, peranan, tanggungjawab, serta ikatan yang kemudiannya akan menghasilkan tindakan positif masyarakat itu sendiri. Modal sosial merupakan perkara yang sangat penting dan berguna dalam kehidupan bermasyarakat kerana hilangnya amalan modal social dalam diri seseorang individu akan menyebabkan runtuhnya kesatuan masyarakat, bangsa dan Negara. Selain itu, masalahmasalah juga tidak akan dapat diselesaikan dengan mudah. Sebagai seorang masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu menyedari bahawa kebersamaan dalam masyarakat sangat penting untuk meringankan beban sesama anggota masyarakat, berkongsi idea dan pendapat, saling membantu dan lain-lain lagi. Keadaan ini bertujuan untuk meningkatkan daya tahan, daya juang dan juga kualiti hidup bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan juga Negara.
7

2.2 Kepentingan modal sosial Modal sosial merupakan suatu bentuk modal yang sangat penting dimana ia boleh membawa kepada kebersamaan dan kesatuan masyarakat. Lesser (2000) secara spesifik telah mengkaji mengenai kepentingan modal sosial dalam masyarakat dan beliau telah mengemukakan 6 kepentingan modal social (Pupu Saeful Rahmat, 2008). Pertama, Lesser beranggapan bahawa modal sosial bertujuan untuk member kemudahan dalam mengakses informasi bagi anggota masyarakat. Dengan kata lain, modal sosial ini berfungsi sebagai suatu alat atau pengantara antara indiviu dalam komuniti dan ini akan memudahkan lagi interaksi diantara mereka. Modal sosial menurut Lesser juga menjadi media pembahagian kuasa dalam masyarakat. Sifat organisasi yang ditekankan oleh Putnam melalui kajian beliau mengenai modal sosial seperti sifat kepercayaan dan kerjasama memudahkan proses pembahagian kuasa atua pemilihan pemimpin dalam masyarakat. Selain itu, Lesser juga mengetengahkan kepentingan modal sosial sebagai suatu alat untuk mengembangkan solidariti dalam sesebuah masyarakat. Keakraban yang terjalin diantara ahli-ahli dalam komuniti akan menimbulkan rasa saling memerlukan, saling menghargai dan juga simpati terhadap sesama anggota masyarakat. Seterusnya, modal sosial menyumbang kepada peningkatan kualiti sumber daya komuniti dan juga mempengaruhi pencapaian bersama dalam sesebuah masyarakat. Kesatuan dan kebersamaan masyarakat untuk menyumbang tenaga bagi melaksanakan sesuatu perkara akan memberi hasil yang pastinya positif dan memuaskan masyarakat itu sendiri. Kerjasama dan persefahaman yang kurang dalam masyarakat akan menyebabkan matlamat yang ingin dicapai tidak kesampaian seterusnya boleh menimbulkan pertengkaran di kalangan ahli-ahli masyarakat itu sendiri kerana masing-masing mempersalahkan satu sama lain dengan pencapaian yang tidak memuaskan itu. Lesser juga menggambarkan bahawa amalan modal sosial sangat membantu dalam membentuk sifat kebersamaan masyarakat. Secara tidak langsung, ia juga dapat mencapai keseimbangan organisasi dalam masyarakat. Dalam aspek ini, modal sosial boleh ditakrifkan
8

sebagai suatu komitmen yang diberikan oleh setiap individu dalam masyarakat untuk mengamalkan sifat saling terbuka dan mempercayai antara satu dengan yang lain serta memberi peluang kepada setiap individu untuk memegang peranan sebagai pemimpin dalam sesebuah masyarakat selaras dengan tanggungjawab dan pencapaian individu tersebut. Kepercayaan yang diberikan oleh setiap ahli komuniti akan memudahkan lagi interaksi antara pemimpin dengan masyarakat. Sehubungan dengan itu, keterbukaan pemimpin dalam menerima pendapat, saranan mahupun teguran daripada masyarakat mampu menghasilkan rasa kebersamaan dan kesetiakawanan yang tinggi sekaligus rasa tanggungjawab untuk memajukan hidup diri sendiri dan juga masyarakat. Ibn Maskawaih pula mengemukakan kepentingan modal sosial sebagai suatu pendekatan yang membawa masyarakat kepada keadaan yang lebih stabil dan bersatupadu serta berkembang dengan lebih teratur dan maju dalam pelbagai aspek (Muhammad Farhan, 2009). Pendapat Ibn Maskawaih mengenai peranan atau fungsi manusia selaras dengan Teori Fungsi yang dikemukakan oleh Aguste Comte, seorang ahli sosiologi Perancis dimana mereka berpendapat bahawa, manusia mempunyai peranannya yang tersendiri tidak kira sebagai individu mahupun sebagai anggota masyarakat. Kerjasama setiap anggota masyarakat dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing akan mewujudkan sebuah komuniti yang stabil dan berkembang dengan lebih teratur dan sistematik serta bebas konflik. Pergolakan dalam masyarakat dapat dielakkan dengan amalan modal sosial ini maka secara tidak langsung, keruntuhan institusi kekeluargaan juga dapat dihindarkan.

3. Pendidikan bertaraf dunia 3.1 Definisi pendidikan Sebelum kita mengetahui lebih lanjut mengenai pendidikan bertaraf dunia, kita perlu memahami konsep dan definisi pendidikan terlebih dahulu. Kajian mengenai pendidikan sudah dijalankan sejak sekian lama dan setiap pengkaji atau ahli pendidikan memberikan definisi serta gambaran yang berbeza-beza bagi konsep ini. Secara umumnya, pendidikan boleh didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengembangkan keterampilan, kebiasaan dan
9

sifat-sifat yang berpotensi untuk menjadikan seseorang sebagai seorang individu yang baik untuk masyarakat mahupun untuk Negara. Keterampilan, kebiasaan serta sifat-sifat yang dimaksudkan semestinya sesuatu yang baik dan positif agar matlamat untuk menjadi seorang warganegara yang baik akan dapat dicapai bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri tetapi juga untuk masyarakat setempat dan Negara khususnya. Pendidikan juga boleh diertikan sebagai suatu proses, cara dan perbuatan mendidik yang dilakukan oleh seseorang dan khususnya ia dikaitkan dengan guru atau pendidik. Menurut Wikipedia, pendidikan merupakan sebuah sebuah usaha yang terancang dan teratur bagi mewujudkan suasana proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih aktif di kalangan pelajar agar mereka dapat meningkatkan potensi diri masing-masing. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan potensi diri pelajar-pelajar dari segi kecerdasan mental sahaja tetapi turut membantu dalam mengembangkan potensi mereka dalam aspek fizikal, rohani dan sosial. Ini termasuklah kekuatan kerohanian, pengendalian diri yang teratur, keperibadian yang baik, mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji serta keterampilan yang diperlukan oleh diri mereka sendiri dan juga masyarakat. Pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan sikap-sikap baik tetapi turut melibatkan proses perubahan sikap dan perilaku seseorang mahupun kelompok orang dalam usaha mendewasakan manusia bukan sahaja melalui proses pengajaran tetapi juga melalui latihan-latihan yang dilakukan. John Dewey, seorang ahli pendidikan mentakrifkan pendidikan sebagai suatu proses pembaharuan makna pengalaman. Menurut beliau, proses ini boleh berlaku semasa pergaulan dengan orang atau kelompok orang yang lain dan turut berlaku secara sengaja dan dilembagakan untuk menghasilkan kesinambungan sosial. Pergaulan yang berlaku dalam proses ini melibatkan pergaulan biasa iaitu pergaulan antara individu yang sebaya dan juga pergaulan antara orang dewasa dengan orang yang lebih muda. Frederic J, Mc Donald pula menggambarkan pendidikan sebagai suatu proses atau kegiatan yang diarahkan untuk tujuan mengubah tabiat atau sikap seseorang. Contohnya, proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku diantara guru dengan pelajar merupakan suatu kegiatan yang boleh menyumbang kepada perubahan tabiat seseorang khususnya pelajar berkenaan. Menurut Ki Hajar Dewantara, pendidikan juga diertikan sebagai suatu usaha untuk memajukan diri sendiri dari segi budi pekerti, fikiran serta jasmani bagi membolehkan
10

seseorang individu itu mendapat kehidupan yang lebih sempurna selaras dengan alam dan masyarakat. Dalam aspek ini, keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan yang sangat penting dimana mereka perlu mendidik anak-anak mereka dari peringkat awal lagi agar anak-anak itu mampu berkembang secara fizikal mahupun mental. Secara psikologi, pendidikan mencakupi segala bentuk aktiviti yang memudahkan kehidupan masyarakat seterusnya akan membawa kepada perubahan-perubahan hasil daripada penyertaan seseorang individu dalam kegiatan tersebut. Pendidikan keagamaan sama ada bermula dari rumah ataupun mengikuti pendidikan keagamaan secara intensif merupakan salah satu bentuk aktiviti yang berpotensi untuk membawa perubahan dalam diri seseorang. Walau bagaimanapun, perubahan-perubahan yang akan berlaku bergantung kepada cara pembelajaran dan penerimaan individu itu sendiri.

3.2 Pendidikan bertaraf dunia Negara-negara di seluruh dunia masing-masing mempunyai matlamat untuk menjadikan pendidikan mereka bertaraf antarabangsa. Malaysia khususnya turut mempunyai hasrat untuk meningkatkan taraf pendidikan Negara kepada pendidikan bertaraf dunia dimana ia mampu bersaing di persada antarabangsa khasnya dengan Negara-negara membangun dan maju yang lain. Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia perlu mengatur perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang lebih teliti dan sistematik serta memerlukan pengorbanan dalam pelbagai aspek. Jika dilihat dari perspektif yang luas, Pendidikan Bertaraf Dunia ditakrifkan sebagai suatu pencapaian tertinggi atau setaraf dengannya dalam bidang pendidikan (Lokman Hakim Ab. Wahid). Pencapaian ini dinilai berdasarkan pandangan dunia secara menyeluruh dan bukan hanya daripada pandangan setempat. Taraf pendidikan sesebuah negara hanya boleh disahkan apabila ia diiktiraf oleh pakar-pakar pendidikan seluruh negara dan bukan sekadar mampu memuaskan hasrat pihak-pihak tertentu sahaja. Dengan kata lain, Pendidikan Bertaraf Dunia bermaksud kemampuan sesebuah Negara dalam mencapai kecemerlangan dalam sektor pendidikan yang seterusnya memimpin kepada perubahan serta kemajuan yang dinamik dalam Negara itu sendiri. Perubahan dan kemajuan yang dimaksudkan mencakupi
11

pembangunan tenaga manusia, kepesatan pertumbuhan ekonomi, pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial serta pemodenan dan reformasi sosial masyarakat. Selain itu, kecemerlangan budaya fikir dan intelektual serta pembangunan sains dan teknologi juga turut dititikberatkan sebagai perubahan daripada pencapaian kecemerlangan pendidikan
(http://sarjana.tripod.com/taraf1.html).

Dr. Ismail Zain dalam jurnal pendidikan hasil penyelidikan yang dilakukan oleh beliau sendiri mendefinisikan Pendidikan Bertaraf Dunia sebagai sebuah wacana dalam dasar pendidikan Negara yang meletakkan proses pendidikan sebagai suatu bidang yang penting dalam kehidupan seharian masyarakat. Proses pendidikan ini berlaku khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu dimana ia melibatkan guru-guru dan pelajar-pelajar yang bekerjasama untuk meningkatkan tahap pendidikan masing-masing sekaligus memperbaiki kualiti pendidikan Negara kepada suatu tahap yang lebih tinggi dan mampu menyaingi Negara maju yang lain. Menurut Dr. Ismail Zain, pendidikan bertaraf dunia ini bermatlamat untuk melahirkan generasi yang mengamalkan budaya berfikir bukan sahaja secara kritis dan kreatif tetapi juga inovatif. Individu yang mempunyai budaya berfikir seperti ini sahaja yang mampu bersaing di persada dunia serta berkebolehan untuk menjana idea kearah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan juga Negara.

4. Falsafah Pendidikan Kebangsaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan berkait rapat dengan matlamat Negara untuk mencapai kecemerlangan pendidikan di rantau Asia mahupun di peringkat antarabangsa. Falsafah Pendidikan Kebangsaan berhalatujukan Akta Pendidikan 1996 yang berkesinambungan dengan Penyata Razak 1956 dan Akta Pelajaran 1961 dimana akta-akta ini bermatlamat untuk memartabatkan mutu pendidikan Negara ke tahap yang lebih baik dan cemerlang. Akta Pendidikan 1996 bertujuan untuk memantapkan lagi system pendidikan kebangsaan untuk generasi akan datang. Tujuan akta ini selaras dengan matlamat Negara kita untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi, bertaraf dunia dan mampu bersaing di arena global sekaligus meningkatkan martabat Negara
12

di mata dunia. Dasar pendidikan di Malaysia adalah berlandaskan hasrat Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Negara untuk mencapai tahap Negara maju dalam pelbagai aspek. Ini dijelaskan seperti berikut: DAN BAHAWASANYA pendidikan mempunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dari segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bersatupadu, demokratik, liberal dan dinamik. DAN BAHAWASANYA Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dizahirkan seperti berikut: "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk menzahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara." (Akta Pendidikan 1996) 5. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) adalah penting kerana ia menyediakan asas yang kukuh untuk melonjakkan system pendidikan Negara ke tahap yang lebih tinggi dan menjadikannya bertaraf dunia. Malaysia merupakan sebuah Negara yang membangun dan mempunyai prasarana-prasarana yang boleh dikategorikan sebagai prasarana kelas pertama. Namun, prasarana kelas pertama ini tidak mendatangkan sebarang kelebihan jika minda masyarakat masih berada pada tingkat kelas ketiga. Oleh itu, PIPP (2006-2010) telah dilancarkan bagi membantu usaha kerajaan Malaysia mencapai tahap rakyat berminda kelas
13

pertama dan matlamat ini boleh dicapai melalui agenda pendidikan. PIPP (2006-2010) mengetengahkan enam strategi utama iaitu:i.

Membina Negara bangsa,

ii. membangunkan modal insan,


iii. memperkasakan sekolah kebangsaan, iv. merapatkan jurang pendidikan,

v. memartabatkan profesion keguruan dan; vi. melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Strategi-strategi yang ditekankan di atas jelas membuktikan bahawa kerajaan Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai misi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia. Walau bagaimanapun, kejayaan dan kegagalan misi ini adalah bergantung kepada kesedaran, tanggungjawab dan pelaksanaan pelaksana termasuklah para pelajar, pendidik, pentadbir, masyarakat dan juga pihak eksekutif sendiri. Dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang terlibat, adalah tidak mustahil bagi Negara kita untuk mencapai kecemerlangan pendidikan bertaraf antarabangsa seterusnya menuntun kepada pencapaian matlamat menjadikan Negara Malaysia sebagai sebuah Negara yang maju dalam pelbagai aspek menjelang tahun 2020.

6. Modal sosial sebagai penjana pendidikan bertaraf dunia 6.1 Pemupukan budaya ilmu Salah satu bentuk faktor modal sosial yang boleh menjana pendidikan bertaraf dunia ialah pemupukan budaya ilmu di kalangan masyarakat (Dr.Wan Shamsudin Bin Wan Mamat, 1998). Pemupukan budaya ilmu ini melibatkan pemupukan budaya membaca, menghayati dan seterusnya mengaplikasi hasil pemahaman daripada bacaan itu sendiri. Jika dilihat dalam konteks yang lebih luas, pemupukan budaya ilmu ini bukan sahaja melibatkan penanaman

14

sikap suka membaca tetapi ia juga melibatkan pengaplikasian ilmu dalam kehidupan seharian dan pembentukan insan yang berakhlak mulia serta tinggi ilmu pengetahuannya. Budaya ilmu ini juga menjadi salah satu factor yang menyumbang kepada kejayaan membangunkan sesebuah Negara bangsa yang maju, berwibawa dan cemerlang khususnya dalam bidang pendidikan. Malaysia bercita-cita untuk melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu dan kebenaran serta meletakkan ilmu pengetahuan di tempat yang tetinggi dalam kehidupan sekaligus meningkatkan kefahaman dan penglibatan masyarakat terhadap kepentingan ilmu. Maka, penerapan budaya ilmu merupakan salah satu syarat bagi mencapai cita-cita ini seiring dengan matlamat kerajaan menjadikan pendidikan Negara bertaraf dunia. Pemupukan budaya ilmu ini berkait rapat dengan konsep modal sosial dimana usaha untuk menanam sikap suka membaca merupakan tanggungjawab bersama masyarakat. Budaya ilmu atau budaya membaca ini perlu dipupuk semenjak kecil lagi dan tanggungjawab ini diberatkan kepada golongan ibu bapa. Ibu bapa perlu membantu pertumbuhan anak-anak dari segi mental khususnya bermula daripada pemupukan budaya suka membaca dalam diri anak-anak mereka. Selain ibu bapa, guru-guru sekolah juga merupakan pemangkin kepada perkembangan budaya ilmu di kalangan pelajar-pelajar sekolah dengan cara mengadakan aktiviti-aktiviti seperti pertandingan dan kempen membaca, menganjurkan Projek NILAM iaitu Nilai Ilmu Amalan Membaca dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti seperti ini juga seharusnya mendapat sokongan daripada masyarakat setempat contohnya melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG). Pengemblengan tenaga daripada pelbagai pihak merupakan suatu aplikasi modal sosial yang sangat membantu dalam menjana pendidikan bertaraf dunia. Dengan adanya budaya ilmu dalam diri seseorang, daya kreativiti akan wujud dan ini akan memudahkan lagi proses penyelesaian bagi masalah-masalah yang berkemungkinan akan timbul. Oleh itu, konsep modal sosial yang diaplikasikan menerusi pemupukan budaya ilmu perlu diberi penekanan kerana ia merupakan tunjang kepada kejayaan matlamat pendidikan bertaraf dunia sekaligus membina Negara bangsa yang lebih maju dan bertamadun.

6.2 Dasar Pendidikan Terbuka


15

Malaysia

merupakan

sebuah

Negara

majmuk

atau

multiracial

dimana

masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan budaya. Antara kaum-kaum utama di Malaysia ialah kaum Melayu, kaum Cina, kaum India serta bumiputera Sabah dan Sarawak. Kaum-kaum ini pula terbahagi lagi kepada berberapa kumpulan etnik yang masingmasing mempunyai budaya yang tersendiri. Rakyat yang berbilang kaum ini selaras dengan slogan agensi pelancongan Malaysia iaitu Malaysia, Truly Asia dan telah meletakkan Malaysia di peta dunia atas keunikan yang dimiliki oleh rakyatnya. Bagi merealisasikan system pendidikan bertaraf dunia maka Dasar Pendidikan Terbuka perlu diamalkan (Lokman Hakim Ab.Wahid). Dasar Pendidikan Terbuka turut mengetengahkan konsep modal sosial dimana pendidikan di Malaysia tidak tertumpu kepada hanya satu kaum sahaja tetapi melibatkan semua kaum yang ada di Malaysia. Kesamarataan hak pendidikan yang diberikan kepada semua kaum di Malaysia membuktikan bahawa Malaysia mengamalkan konsep modal sosial dalam usaha untuk meningkatkan taraf pendidikan di Negara kita. Persamaan hak yang dimaksudkan adalah seperti kandungan pelajaran yang sama bagi semua sekolah tidak kira sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis kebangsaan. Walau bagaimanapun, keistimewaan hak kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tidak boleh dipertikaikan kerana ia suda termaktub dalam ordinan hak dan asasi warga Negara Malaysia. Namun, dari segi pendidikan, kaum-kaum lain juga tidak dipinggirkan contohnya, kerajaan membenarkan dan menggalakan pengajaran bahasa-bahasa kaum seperti Cina dan India. Kerjasama dan persefahaman di antara kaum-kaum di Malaysia memudahkan lagi proses pembelajaran seterusnya meningkatkan tahap pendidikan Negara kearah pendidikan bertaraf dunia. Modal sosial sebagai penjana pendidikan bertaraf dunia yang dicirikan oleh Dasar Pendidikan Terbuka turut melibatkan kerjasama antara dalam dan luar Negara contohnya, membenarkan atau menggalakkan pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah institut pengajian tinggi awam mahupun swasta untuk mengakses dan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman melalui jaringan internet di seluruh dunia. Proses ini selari dengan gambaran John Dewey mengenai konsep modal sosial dimana menurut beliau, modal sosial merupakan pembaharuan kepada makna pengalaman. Pembaharuan atau perubahan yang dimaksudkan ini boleh berlaku dengan adanya pergaulan dengan kelompok-kelompok yang lain tidak kira
16

yang sebaya ataupun tidak sebaya. Pengalaman-pengalaman dan idea-idea baru yang dikongsikan antara satu sama lain dapat membantu perkembangan minda secara positif.

6.3 Sekolah Penyayang Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia bukan sahaja bergantung kepada kepandaian dan kepintaran semata-mata tetapi perlu disertakan dengan sifat-sifat positif contohnya kerajinan, kerjasama, kasih sayang dan lainlain lagi. Sekolah penyayang merupakan sejenis perkhidmatan yang disebut perkhidmatan penyayang yang merangkumi sifat bertimbang rasa, adil semasa menjalankan tugas, mesra dalam memberi layanan dan memahami serta sensitive terhadap masalah-masalah yang dihadapi pleh semua pihak sama ada di dalam atau di luar organisasi (Dr.Wan Shamsudin bin Wan Mamat, 1998). Perkhidmatan penyayang ini menerapkan konsep modal sosial dimana ia mengaplikasikan bentuk modal sosial yang ketiga iaitu jalinan antara pelbagai kelas kumpulan sosial masyarakat. Perkhidmatan ini perlu dipupuk bermula dari pembuat dasar, pentadbir, sekolah dan seterusnya diperingkat ibu bapa dan masyarakat. Kasih sayang merupakan keperluan seseorang secara semula jadi dan ia tidak boleh dipisahkan dengan tindakan seseorang terhadap sesuatu perkara. Salah satu contoh bagi perkhidmatan penyayang ialah, mengamalkan sikap adil dan saksama terhadap semua pelajar. Keadaan ini menjelaskan perhubungan kasih sayang antara pendidik dengan pelajar yang penting bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan daripada berlaku. Dalam usaha untuk mencapai matlamat pendidikan bertaraf antarabangsa, perkhidmatan penyayang ini perlu diambil kira dan diberi perhatian teliti oleh semua pihak yang bertanggungjawab kerana sifat-sifat positif yang diamalkan antara dua belah pihak yang terlibat amat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar ia lebih berkesan. Semangat untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pengalaman dalam diri pelajar-pelajar akan semakin bertambah menyebabkan mereka mengambil serius makna kejayaan dalam pendidikan dalam hidup mereka. Kesedaran terhadap pentingnya pendidikan inilah yang akan membawa kepada usaha seseorang individu untuk mencapai tahap pendidikan yang
17

tertinggi seterusnya membantu usaha kerajaan untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia.

6.4 Kerjasama bidang pendidikan dengan Negara luar Kerjasama Malaysia dengan negara-negara luar dalam bidang pendidikan merupakan salah satu bentuk modal sosial yang bertujuan untuk memartabatkan pendidikan negara bertaraf antarabangsa. Dalam aspek ini, pensyarah-pensyarah institusi kerajaan mahupun swasta dalam negara diberi peluang sama rata untuk mendapat ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman di peringkat nasional dan antarabangsa. Dengan memberi peluang sedemikian, institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara tidak akan menghadapi masalah kekurangan tenaga pakar. Pada masa kini, hanya sebilangan kecil sahaja pensyarah yang Berjaya mendapat peluang untuk meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran serta pengalaman terutama dengan pendedahan-pendedahan di luar negara. Pendedahan-pendedahan yang dilakukan di luar negara tersebut akan membuka minda para pensyarah dengan lebih luas mengenai perkara-perkara yang mereka belum ketahui mahupun sudah diketahui sebelum ini. Ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang ditimba dari luar negara ini akan dibawa balik ke dalam negara dan diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah. Sudah terbukti dengan jelas bahawa pensyarah yang mendapat latihan di peringkat yang lebih tinggi adalah lebih proakti dan mempunyai kompetensi yang lebih tinggi berbanding dengan pensyarah-pensyarah yang lain. Salah satu contoh yang jelas ialah keupayaan dan kefasihan mereka dalam berbahasa Inggeris bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan mahasiswa mahasiswi universiti terutama para pensyarah yang berada dalam bidang sains dan matematik selain daripada bidang Bahasa Inggeris. Kemahirankemahiran seperti ini membolehkan pendidikan Malaysia mampu bersaing dengan negaranegara asing di peringkat antarabangsa mahupun dunia.

18

6.5 Penubuhan sekolah bestari Penubuhan sekolah bestari dikaitkan dengan modal sosial kerana sekolah ini melibatkan pelajar-pelajar di seluruh Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya (Dr.Ismail Zain, 1997). Sekolah ini bukan sahaja bertujuan untuk menyesuaikan senario pendidikan alaf baru iaitu pendidikan berasaskan teknologi, sosial dan budaya pada masa kini tetapi turut menjadi asas perpaduan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan juga agama. Percampuran antara pelajar-pelajar yang berlainan kaum akan membentuk perpaduan yang kemudiannya akan memudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sekolah bestari ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan masyarakat pelajar saintifik dan progresif berasaskan teknologi maklumat, menyediakan tenaga pakar untuk industri dalam negara serta meringankan beban guru dalam tugas-tugas pentadbiranseperti kerja-kerja perkeranian dan pengurusan penilaian pelajar melalui penggunaan system pengurusan berbantuk teknologi. Pengurangan tugas guru ini membolehkan guru dapat menumpukan lebih masa dan perhatian kepada pemupukan nilai-nilai pelajar. Sekolah Bestari juga bertujuan untuk mengubah budaya berasaskan ingatan dan pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada budaya berfikir secara kreatif dan kebolehan menyelesaikan masalah. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, ia juga bermatlamat untuk memberi focus terhadap perkembangan individu secara menyeluruh bukan sahaja menekankan aspek intelektual semata-mata tetapi turut mengetengahkan pembentukan warga Malaysia yang berakhlak mulia, celik teknologi maklumat, bersifat global dan mampu bsroperasai dalam arena antara bangsa. Keberkesanan pendidikan ini dapat dicapai melalui peranan guru-guru dan pelajar-pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih mantap dan bersepadu serta memfokuskan pembentukan rakyat Malaysia yang berakhlak mulia, cekap dari segi teknologi maklumat, bersifat global dan mampu beroperasi di peringkat antarabangsa.

6.6 Prasarana berkualiti - Aplikasi Teknologi Yang Canggih

19

Pendidikan bertaraf dunia merupakan suatu komitmen dan matlamat Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara kepada standard yang lebih tinggi agar mampu bersaing dengan pendidikan di negara maju yang lain. Bagi sesebuah negara, sector pendidikannya perlulah berkembang dan berubah sebagai perintis alaf baru dalam pelbagai aspek. Perkembangan dan perubahan ini merupakan satu langkah yang bertujuan untuk mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa. Bagi mencapai hasrat tersebut, beberapa strategi dan pelaksanaan yang konkrit dan exsplisit dilaksanakan yakni melalui pernyediaan prasarana yang berkualiti, dasar pendidikan terbuka, aplikasi teknologi yang canggih, kurikulum terkini yang sesuai dengan kehendak semasa dan juga mempunyai warga guru yang proaktif dan menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan (Lokman Hakim Ab. Wahid). Pihak yang bertanggungjawab juga perlu memastikan bahawa aplikasi ini haruslah mudah di akses oleh para pelajar, pensyarah dan juga masyarakat dari pelbagai lapisan termasuklah orang kurang upaya (OKU). Hasrat ini juga perlu disertai dengan pemantauan yang berterusan daripada pihak pengurusan dengan sokongan padu daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia serta rakyat keseluruhannya. Keadaan ini jelas memperlihatkan wujudnya hubungan kemasyarakatan yang lebih lancar dan efektif antara semua bahagian dalam organisasi mahupun luar organisasi. Kerjasama antara pihak-pihak pengurusan dan juga pengguna berdasarkan prasarana-prasarana yang telah disediakan menentukan jenis kesan yang bakal diperolehi oleh masyarakat iaitu kesan positif ataupun kesan negative. Kerajaan semestinya mahu melihat kesan yang positif dalam aspek ini oleh itu, pihak pengurusan perlulah peka terhadap keperluan-keperluan masyarakat dan masyarakat pula haruslah cuba untuk memanfaatkan prasarana-prasarana yang disediakan dengan sebaik mungkin. Dengan kerjasama yang mantap antara kedua belah pihak ini, maka akan wujudlah sebuah masyarakat yang celik teknologi maklumat dan cemerlang dari segi pendidikan. Justeru itu, hasrat kerajaan untuk mencapai tahap pendidikan betaraf dunia akan dapat dipermudahkan lagi.

20

7. Kesimpulan Masyarakat berbilang kaum di negara ini kadangkala mudah lupa akan seruan kerajaan untuk menjadi masyarakat yang mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi, bukannya bersikap negatif seperti segelintir masyarakat yang memandang enteng tentang amalan nilainilai murni dalam kehidupan seharian. Sikap mudah lupa ini mungkin disebabkan oleh kesibukan hidup sehari-hari yang semakin mencabar dan memerlukan persaingan yang hebat. Percaya ataupun tidak, masyarakat Malaysia pada hari ini kian alpa terhadap tuntutan untuk mengamalkan sikap bersopan-santun dan berbudi bahasa terhadap orang lain. Keghairahan mengejar kekayaan dan status menyebabkan nilai-nilai murni sama sekali diketepikan. Oleh itu, sebelum budi bahasa masyarakat negara ini menjadi luntur dan sukar untuk dikawal di kemudian hari, langkah-langkah mengatasinya perlu dilaksanakan. Contohnya, pada tahun 2005, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan selama seminggu. Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan mengingatkan masyarakat Malaysia tentang pentingnya nilai-nilai murni untuk diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Pengarah Pusat Pembangunan keluarga, Universiti Malaya, Prof Dr Abd. Rahim Abd. Rashid, menekankan bahawa usaha meningkatkan nilai murni di kalangan rakyat ini sangat bergantung kepada keluarga. Menurut beliau, generasi yang berbudi pekerti baik,
21

menghormati orang tua dan menghargai budi serta sumbangan orang lain dapat dilahirkan bermula daripada institusi keluarga. Bekas Perdana Menteri Negara, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa melancarkan kempen pada tahun 2005 yang lalu menekankan kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan pembangunan modal sosial di masa hadapan memandangkan semakin ramai masyarakat yang kini mengalami kemerosotan nilai-nilai kemasyarakatan dalam diri mereka (Utusan Malaysia, 2005). Menurut beliau, kualiti seseorang individu bukan bersandar kepada pendidikan, kepakaran dan teknologi semata-mata tetapi individu itu haruslah mempunyai nilai-nilai moral yang baik, bertanggungjawab serta mengutamakan amalan nilainilai moral yang tinggi. Sebagai kesimpulan, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita seharusnya berani menyahut cabaran Datuk Seri untuk mengamalkan nilai-nilai sosial yang baik kerana modal sosial yang teguh melambangkan budi bahasa masyarakat Malaysia yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat serata dunia.

22

Bibliografi

Abu Sufian Abu Bakar., & Anizah Md. Ali. (2004). Kepentingan modal sosial dalam pertumbuhan ekonomi. Retrieved August 24, 2009 from eprints.uum.edu.my/785/

Dr. Ismail Zain. Pendidikan bertaraf dunia kearah pembestarian dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Retrieved August 24, 2009 from http://www.tutor.com.my/tutor/motivasi/index.asp? pg=artikel/pendidikan_bertaraf_dunia1.htm

Dr. Wan Shamsuddin Bin Wan Mamat. (1998). Pengisian wawasan pendidikan negara menuju abad 21. Retrieved August 24,2009 from http://citacita.tripod.com/nota/wawasdidik.htm

23

Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan (MTT2353). Pendidikan bertaraf dunia: Antara sumbangan dan cabaran dalam menempuh abad ke-21. Retrieved August 24, 2009 from http://sarjana.tripod.com/taraf1.html

Lokman Hakim Ab. Wahid. Sistem pendidikan bertaraf dunia. Retrieved August 24, 2009 from http://www.scribd.com/doc/8071758/Pendidikan-Bertaraf-Dunia-

Muhammad Farhan. Pengasas teori evolusi dan teori fungsi. Retrieved August 24, 2009 from http://islamhadhari.net/?p=3478

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 (RMK-9). Retrieved 25 August, 2009 from http://www.kmph.matrik.edu.my/PIPP/moe_pipp_00.pdf

Pupu Saeful Rahmat. (2008). Memupuk institusi local dan modal sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Retrieved August 24, 2009 from file:///D:/UMS/KBM/Memupuk %20Institusi%20Lokal%20dan%20Modal%20Sosial%20dalam%20Kehidupan %20Bermasyarakat%20%C2%AB%20AKHMAD%20SUDRAJAT%20%20%20LET %27S%20TALK%20ABOUT%20EDUCATION%20!.htm

Utusan Malaysia. (2005). Teguhkan modal sosial.

Wikipedia: Modal Sosial. Retrieved August 24, 2009 from file:///D:/UMS/KBM/Modal_sosial.htm

24

Wikipedia: Pendidikan. Retrieved August 24, 2009 from http://id.wikipedia.org/wiki/Pendidikan

Witrianto, S.S., M. Hum., M.Si. Modal sosial dan pembangunan manusia melayu: Kasus Indonesia dan Malaysia. Retrieved August 24, 2009 from ccm.um.edu.my/umweb/fsss/.../persidangan/.../Pak%20Witrianto.doc

25

Anda mungkin juga menyukai