Anda di halaman 1dari 2

Dunia pendidikan sering menjadi isu penting dalam masyarakat kita hari ini.

Pelbagai isu mengenainya sering diperkatakan baik di peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat pemimpin negara. Ini membuktikan bahawa peranan warga pendidik amat besar dalam membentuk, mencorak dan mengekalkan survival sebuah negara bangsa yang merdeka. Keguruan telah menjadi satu profesion yang dilihat dan dinilai dari sudut 360 darjah. Peranan seorang guru sebagai seorang pendidik, pengasuh, pengajar serta pengeluar produk insan syumul yang berilmu pengetahuan selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru merupakan penjana dan pencanai utama modal insan masa hadapan yang akan menggantikan generasi masa kini. Walaupun peranan pendidik sangat besar, sering dianggap profesion keguruan masih dianggap sebagai profesion kelas pertengahan yang begitu jauh ketinggalan berbanding dengan bidang kedoktoran, kejuruteraan mahupun perakaunan. Suatu ketika dulu sebahagian masyarakat menganggap bidang perguruan merupakan pilihan terakhir sekiranya tiada kerjaya lain atau tidak mendapat kerja. Malahan ada yang berpendapat bahawa tugas seorang guru tidak sukar. Hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada pelajar di samping sedikit tugas sampingan menaip dan mengisi borang. Adakah benar bahawa tugas guru tidak sukar? Benarkah bidang keguruan ini merupakan kerjaya pilihan atau tiada pilihan lain lagi? SEBENARNYA tanggungjawab mendidik anak bangsa bukanlah suatu perkara yang mudah. Sejurus seseorang menandatangani perjanjian sebagai seorang pendidik, jatuh bangun sesebuah bangsa terletak di bahunya. Ungkapan lilin membakar diri masih menebal dalam kalangan masyarakat malaysia. Satu kajian telah dijalankan oleh Peretomode (1991) menunjukkan 70% responden tidak mahu memilih bidang yang sinonim dengan ungkapan di atas. Pada awal tahun 1960-an, bidang keguruan begitu dipandang tinggi. Sumbangan guru sangat besar sebagai pemangkin kepada pembangunan negara dan peniup kepada semangat nasionalisme. Sekarang profesion keguruan seakan terpinggir dan sudah berada dalam kategori terakhir pemilihan kerja. Ada kalanya sering kali para guru menjadi sasaran apabila berlaku kepincangan dalam masyarakat. Dapatan Shuib dan Johari (2002) mendapati profesion guru kurang mendapat tempat di kalangan remaja kerana beberapa sebab. Antaranya ialah profesion ini statik, kurang masa depan dan peluang kenaikan pangkat yang sangat kecil. Bakhtiar (1993) telah mengambil statistik perbandingan peratus peluang kenaikan pangkat dengan beberapa profesion utama yang lain seperti Jurutera (27.1%), Pegawai Perubatan (15.1%), Polis (18.6%), Pegawai Pertanian (13.4%), Pegawai Tadbir dan Diplomatik (38.4%) berbanding dengan guru hanya (3.5%) sahaja. Menyedari dan memahami situasi tersebut, pihak kerajaan telah mengatur beberapa strategi bagi menangani isu berkenaan. Yazid (2001), menggariskan beberapa strategi yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha memartabatkan profesion keguruan dengan

menyediakan peluang kenaikan pangkat lebih cepat dan luas. Dalam Bajet 2012, para pendidik telah mendapat perhatian yang sewajarnya. Pastinya, profesion keguruan merupakan profesion yang mulia. Jasa dan sumbangan seorang guru mendapat pengiktirafan secara langsung dari Baginda Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadisnya yang bermaksud Apabila mati seorang anak adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu amal jariah, ilmu yang bermanafaat (yang telah diajarkan) , dan anak soleh yang mendoakan ibubapanya

Anda mungkin juga menyukai