Anda di halaman 1dari 5

Tips Menyintai Allah

Soalan: Sebenarnya dalam hidup saya, saya rasa kosong saya ingin mencari satu kepastian.... Soalan saya bagaimanakah kita nak bercinta dengan Allah, iaitu cinta yang betul -betul kepadanya, sebab saya lihat kalau bercinta dengan makhluk sesama makhluk lama kelamaan kita akan alpa. Jadi, saya ingin tahu apakah tips untuk kita bercinta dengan Yang Maha Kuasa? Syah, K Terengganu Jawapan: Bercinta dengan Allah bukanlah sepayah bercinta dengan makhluk. Malah Allah SWT memerintahkan semua makhluk manusia mencintaiNya dan mencintai RasulNya lebih dari segala-galanya dalam hidup ini. Orang yang tidak berbuat demikian dikira tidak beriman. Al-Quran dengan jelas menerangkan sesiapa yang cintakan Allah hendaklah mengikut semua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAWT. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidhi menjelaskan apabila Allah SWt itu cinta kepada hamba-hambanya, Ia akan menguji hamba-hambaNya itu. Ini bermakna seseorang yang bercinta dengan Allah hendaklah mematuhi segala titah perintahnya dan menjauhi segala larangannya yang diturunkan kepada rasulNya. Ia juga harus tabah menghadapi ujian Allah samada berbentuk ujian nikmat mahupun ujian berbentuk kesusahan dan pemderitaan. Ia juga mesti tidak takut kepada seseorang dalam memperkatakan kebenaran kecuali kepada Allah semata-mata. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari menjelaskan seseorang yang bercinta dengan Allah hendaklah melaksanakan segala yang difardukan oleh Allah. Ia akan semakin hampir dan dekat dengan Allah apabila ia melaksanakan segala ibadat sunat. Di kala itu Allah SWT akan mengawasi pendengarannya dari mendengar sesuatu yang haram, memelihara penglihatannya dari melihat sesuatu yang haram dan tangannya dari memegang sesuatu yang bukan miliknya dan haram pula. Allah SWT akan memperkenankan segala permintaannya dan akan memberi pertolongan kepadanya. Kesimpulannya bercinta dengan Allah ialah kewajipan semua makhluk dan ia dilakukan dengan cara melakukan segala perkara yang diredai oleh Allah baik yang fardu mahupun yang sunat sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW di samping meredai qadak dan qadarNya.

Rahsia 'Asma ul-Husna'


Soalan: Apakah rahsia disebalik 99 nama Allah "Asma ul-Husna"? Harap tuan jelaskan lebih lanjut lagi mengenai perkara ini. Nawaf, Kajang Jawapan: Allah SWT mempunyai nama-nama yang baik yang disebut dengan Asma ul-Husna. Nama-nama yang baik itu ada 99. Rasulullah SAW bersabda: "Daripada Abu Hurairah ra

sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang menghafalnya maka ia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah itu ganjil (tidak genap) dan menyukai perkara yang ganjil". (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi) Allah SWT berfirman maksudnya: "Katakanlah, serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru. Dia mempunyai Asma ul-Husna (nama-nama yang baik}". (Al Isra' 110) Kita boleh berzikir dengan menyebut nama-nama Allah yang baik itu, kerana setiap nama Allah itu mengandungi fadhilat dan keutamaan. Jika kita tekun mengamalkannya maka akan memperoleh ganjaran yang besar di dunia mahupun di akhirat.

Kekuatan 'Jiwa Dalam'


Soalan: Bagi orang yang bukan Islam (cina) mereka ada tenaga dalam mereka yang digelar "chi" dan dipercayai wujud di dalam setiap diri manusia. Soalan saya ialah apakah rahsia kekuatan tenaga dalam bagi orang Islam, bolehkah tuan huraikan secara lanjut tentang setiap perkara yang berkaitan dalam hal ini? Mat, Kajang Jawapan: Agama Islam agama yang sempurna mengandungi segala aspek kehidupan. Untuk memperoleh sesuatu yang dimaksudkan, Islam menganjurkan kita agar menuntut ilmu pengetahuan. Melalui ilmulah segala sesuatu dapat dicapai menurut syarat dan tujuannya. Orang sufi mempunyai penafsiran sendiri mengenai ilmu. Menurut Imam Ghazali ilmu itu dapat dibahagikan kepada ilmu mukasyafah iaitu ilmu yang dipelajari semata-mata untuk memperoleh pengetahuan. Kemudian ilmu muamalah iaitu ilmu yang dipelajari untuk diamalkan. Bagi orang sufi ilmu yang berfaedah itu ialah ilmu pengamalan iaitu ilmu muamalah. Ilmu ini terbahagi kepada ilmu lahir iaitu segala ilmu yang diamalkan dengan anggota manusia dan ilmu batiniah iaitu segala ilmu yang bersangkut paut dengan keadaan 'jiwa dalam' dan hati manusia. Lalu kita kenallah dalam tasauf ilmu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Syariat pada mulanya bererti peraturan-peraturan agama yang diturunkan Allah. Dikalangan kaum sufi menafsirkan syariat sebagai amal ibadah lahir dan urusan muamalat. Tarekat menurut maksud sufi iaitu seseorang tidak akan sampai hakikat tujuan ibadah itu sebelum menempuh jalan yang dinamakan tariqat. Dalam bahasa disebut tarekat atau suluk dan orang yang melakukan itu dinamakan ahli tariqah atau salik. Tujuan daripada tarekat itu ialah mempertebal iman dalam hati pengikutnya, sehingga tidak ada yang lebih indah dan dicintai selain daripada Allah, dan kecintaan itu melupakan dirinya dan dunia seluruhnya. Dalam menjalani proses tariqah ini kita harus bersih segala amal dan niat (ikhlas), merasa diri sentiasa diawasi Allah (muraqabah), menghitung amalnya dari sudut untung

dan rugi (muhasabah), tajarrud, melepaskan diri apa jua yang akan merintangi sehingga sampai keperingkat rindu dan cinta yang tanpa batas kepada Allah SWT. Hakikat adalah kebenaran dan Haq itu bagi orang sufi dipakai istilah untuk Allah yang dianggap pokok atau dasar dari segala kebenaran. Menurut keyakinan sufi hakikat itu baru dapat dicapai sesudah orang beroleh makrifat yang sebenar-benarnya. Oleh kerana itu Haqqul Yaqin hanya dapat dicapai orang di dalam fana iaitu sesudah melalui dua tingkat keadaan: 1. ainul yaqin dan 2. ilmul yaqin. Mula-mula manusia itu mencari sesuatu itu dengan ilmunya kemudian barulah ia sampai kepada keyakinan akal, kehendak, anganangan dan jiwanya, maka barulah ia memperoleh haqqul yaqin iaitu kebenaran yang sebenar-benarnya diyakini yang dapat menenteramkan dan memuaskan hatinya. Orang sufi mempertahankan bahawa dalam tingkat fana iaitu dalam keadaan lenyap segala tubuh yang kasar itu, betullah ia beroleh mahjub atau mengenal Allah dengan mata hatinya dan memperolehinya secara haqqul yaqin, kerana hanya dalam keadaan yang demikian itulah terbuka baginya apa yang tertutup sehingga mencapai kasyful mahjub iaitu tersingkap tirai yang merintangi seorang hamba dengan Khaliqnya. Istilah kasyful mahjub atau 'kasyaf' inilah yang mungkin sama dengan istilah 'chi'. Dalam bahasa biasa dikenal dengan khusyuk atau kosentrasi. Di dalam Islam peringkat kekhusyukan ini sebenarnya melebihi daripada chi yang dimiliki oleh pengamalan orang cina. Kerana masih ada lagi peringkat yang paling tinggi untuk menuju kepada kekhusyukan itu iaitu peringkat makrifat. Peringkat ini sebenarnya dapat kita ertikan dengan mengenal Allah SWT, kenal kepada-Nya mengenai Zat-Nya, sifat-Nya dan asma-Nya. Sebetulnya jika kita ingin mendalami pengetahuan masalah tasauf atau ilmu tarekat dalam Islam hendaklah kita membaca buku-buku tentang tasauf. Seandainya ingin mengamalkan ilmu tasauf carilah guru yang mursyid yang benar-benar menjalankan ajaran Islam bukan mursyid yang sesat.

Sifat Dua Puluh (Mengenal Sifat-sifat Allah)


Soalan: Saya ada kemusykilan ustaz tentang sifat dua puluh? Adakah sifat dua puluh sifat Allah swt atau sifat kita dan bagaimana nak kenal Allah dan bagaimanakah caracaranya? Azmi, Singapura Jawapan: Sesungguhnya sifat-sifat Allah SWT itu bukan saja berjumlah sebanyak 20 sifat. Jumlah sifat-sifat Allah SWT banyak sekali tetapi tidak ada siapa yang emngetahuin jumlah yang sebenarnya kecuali hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan kerana selain dari sifat 20 masih kita temui sifat-sifat Allah Yang Maha Agung itu dalam Nama-Nama Allah yang indah atau Asmaul Husna.

Di dalam Al Quran masih banyak kita jumpai sifat-sifat Allah yang tidak termasuk dalam sifat 20 dan Asmaul Husna. Walaupun demikian ada 20 sifat yang wajib diketahui, dikalangan ulama terkenal dengan sebutan "Sifat Dua Puluh", iaitu Dua puluh sifat yang wajib bagi Allah, dua puluh sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang jaiz atau harus bagi-Nya. Sifat 20 yang kita pelajari dalam ilmu Tauhid ini merupakan sifat-sifat Allah sedangkan sifat manusia merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kita. Bayangkan saja Rasulullah mengumpamakan keseluruh nikmat yang ada di dunia ini diibaratkan hanya setitik air dari samudera yang luas, begitu besar kekuasaan dan Maha Agungnya Allah. Jadi Sifat 20 tersebut menunjukkan Maha Besarnya Allah dan Agungnya Allah, sedangkan diri kita dengan segala sifat dan kelebihan hanya merupakan serpihan kecil dari nikmat-nikmat Allah. Rukun agama terdiri dari Iman, Islam dan Ihsan. Dalam iman tersimpan keyakinan yang teguh tentang kebenaran wujudnya Allah. Di dalam Islam terkandung kesetiaan dan ketulusan hamba dalam mengabdikan diri kepadaNya. Di dalam Ihsan tersimpan keharmonian hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk yang lain. Ketiga aspek ini merupakan sumber untuk mengetahui akan hakikat Allah. Wallahu a'lam.

Tanda-Tanda Amalan di Terima Allah SWT


Soalan: Apakah tanda-tanda yang amal ibadah kita di terima oleh ALLAH SWT? Nazri, Sunway Jawapan: Begitu besar rahmat dan kasih sayang Allah kepada umat manusia di dunia ini, sehingga tidak ada satu makhlukpun yang mampu menghitung besarnya rahmat Allah tersebut. Rahmat Allah yang luas itu diberikan kepada siapa yang dikehendakiNya tidak kira kepada orang yang beriman ataupun kepada orang ingkar. Dalam beribadah kepada Allah seseorang akan merasakan nikmat kedamaian dalam jiwanya jika ibadahnya diterima oleh Allah. Hati mereka menjadi tenteram bahkan segala kativiti harian yang dilakukannya diserahkan kepada ketentuan dan takdir Allah, setelah itu apapun ganjaran yang diterimanya diterima dengan perasaan redha. Jika perasaan redha dan sabar telah menyatu dalam kehidupan dan keperibadian seseorang maka ini suatu bukti bahawa amalan yang dilakukannya itu diterima oleh Allah. Tetapi jika mereka tergolong orang yang taat mengerjakan ibadah,namun pada masa yang sama masih melakukan pekerjaan mungkar dan terkutuk, sehingga tidak meninggalkan bekas dalam hati dan kehidupannya. ini membuktikan bahawa amalannya tidak diterima oleh Allah. Contoh lain, umpamanya dalam ibadah solat dengan tegas Allah jelaskan "bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar". Namun dalam praktiknya ramai orang mengerjakan solat tetapi pada masa yang sama melakukan kemungkaran, ini suatu bukti

bahawa tanda-tanda amalan solatnya tidak diterima oleh Allah. Kerana ibadah solatnya tidak memenuhi ketentuan yang telah digariskan oleh Allah SWT tadi. Begitu juga dalam ibadah haji, jika seseorang setelah kembalinya daripada tanah suci memiliki keperibadian yang mulia dan berubah dari kurang baik kepada yang lebih baik, ini membuktikan bahawa hajinya tergolong haji yang mabrur ertinya hajinya diterima oleh Allah. Tetapi ada juga sekembalinya dari tanah suci keperibdiannya lebih jahil daripada sebelumnya, ini membuktikan bahawa hajinya adalah haji mardud ertinya amalannya ditolak oleh Allah SWT. Puncak dari diterimanya amalan seseorang itu adalah hati mereka menjadi aman dan tenteram dengan mengingat Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah lah hati menjadi tenteram". (Ar ra'd ayat 28) Wallahu A'lam